Kenyataan Media Pertubuhan Generasi Pelapis Malaysia (Isu Pemecatan Muhyiddin)

4:41 PM 0 Comments A+ a-

 KENYATAAN MEDIA MAJLIS TERTINGGI PERTUBUHAN GENERASI PELAPIS MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada 28 Julai 2015, rakyat Malaysia digemparkan dengan rombakan kabinet yang telah dilakukan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Sempena rombakan tersebut, antara nama menteri yang telah digugurkan daripada kabinet ialah YB Datuk Seri Palanivel A/L K. Govindasamy, YB Datuk Seri Haji Shafie Bin Haji Apdal, YB Datuk Sri Hasan Bin Malek dan YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri.

Kami menerima keputusan YAB Perdana Menteri dengan penuh rasa hormat, namun mengambil pendekatan untuk tidak bersetuju dengan keputusan pengguguran YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pada pengamatan kami selama YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 10 April 2009, beliau sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri. Beliau seorang yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa menghormati YAB Perdana Menteri sebagai pemimpin negara. Malah, sewaktu diumumkan pengguguran beliau daripada jemaah menteri, beliau kelihatan tenang dan menerima keputusan dengan hati terbuka tanpa penentangan keras seperti yang pernah kita lihat pada situasi sama ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Dalam isu 1MDB, kami melihat YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin mempunyai prinsip yang jelas dalam mempertahan nama baik dan "survival" parti UMNO demi kepentingan negara. Beliau hanya menuntut kebenaran di sebalik kemelut yang berlaku dan mewakili rakyat yang risau dengan isu yang masih belum ada titik noktahnya sehingga hari ini. Beliau konsisten dalam menuntut kebenaran agar dibentangkan supaya imej UMNO kembali bersih untuk terus menerima sokongan padu rakyat Malaysia.

Namun, sekiranya pendirian YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin inilah yang menyebabkan beliau digugurkan daripada kabinet, kami membuat keputusan untuk MENYOKONG YAB Tan Sri atas prinsip beliau mempertahan hak rakyat Malaysia.

MAJLIS TERTINGGI,
PERTUBUHAN GENERASI PELAPIS MALAYSIA
29 Julai 2015



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.