Semuanya 'Derma' : Jalan keluar Najib daripada kemelut - Tuan Ibrahim Tuan Man

7:31 PM 0 Comments A+ a-



Semuanya 'Derma' : Jalan keluar Najib daripada kemelut

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam yang menyatakan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah memberi gambaran seolah-olah ini adalah jalan keluar bagi beliau untuk menjelaskan tuduhan RM42 juta yang dikatakan dialirkan daripada SRC International ke akaun persendirian beliau.


Nampaknya, Najib kini percaya bahawa perkataaan ‘derma’ dapat menutup segala-segalanya sepertimana kontroversi ‘derma’ misteri RM2.6 bilion yang berakhir di dalam akaun persendirian beliau yang tidak dapat mengugat kedudukannya dalam Umno mahupun BN meskipun beliau terpaksa berdepan dengan serangan bengis Tun Dr Mahathir Mohamad. Pendek kata, jika terdapat ketidakteraturan kewangan, ‘derma’ lah jalan keluarnya kerana ini amalan yang boleh diterima Umno dan BN.

Bukan itu sahaja, semalam Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa pihak polis juga tidak dapat mengesan dua bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob selain Jho Low.

Rasanya Kementerian Dalam Negeri perlu merujuk kepada Najib, Peguam Negara dan SPRM cara untuk menghubungi Nik Faisal. Ini kerana Najib sendiri yang memberitahu parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Nik Faisal akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM manakala Peguam Negara memberitahu sebuah portal The Malaysian Insider bahawa Nik Faisal sudah memberi keterangan kepada SPRM.

Siapa yang benar? Kemungkinan besar juga Najib, Peguam Negara dan SPRM semuanya benar, tapi rakyat yang tersilap dengar. RM2.6 bilion itu kan ‘derma’?

Kalau 'derma' sebegitu boleh diterima baik, maka SPRM khasnya perlu mencadangkan agar perubahan takrif rasuah perlu dibuat semula agar semua dapat 'menikmatinya' seperti Najib.

InsyaAllah Malaysia akan dikenali sebagai negara penderma paling ramai selepas ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Lawatan Presiden AS ke Malaysia:- ABIM Gesa Kerajaan Tegas Dalam Isu TPPA dan Palestine

4:00 PM 0 Comments A+ a-



[Kenyataan Media] Lawatan Presiden AS ke Malaysia:- ABIM Gesa Kerajaan Tegas Dalam Isu TPPA dan Palestine

Angkatan Belia Islam Malaysia merujuk kepada lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack H Obama ke negara ini mulai 20 November 2015.

ABIM menilai lawatan beliau ke negara ini strategik dari segi diplomasinya tatkala Malaysia masih berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan di tengah kehangatan isu Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).


ABIM melalui penglibatannya dalam gabungan NGO Bantah TPPA menilai wujud ketempangan dan ketidakadilan yang nyata dalam isi kandungan TPPA yang perlu disuarakan oleh kerajaan kepada Presiden Obama.

Semenjak isi kandungan draf perjanjian TPPA ini disiarkan secara umum, pelbagai maklumbalas bernadakan kebimbangan terhadap implikasi perjanjian TPPA ini telah disuarakan oleh rakyat dalam pelbagai kapasiti, sektor, serta bidang yang berbeza. Ternyata kebimbangan ini terbukti benar.

Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat. Malaysia seharusnya berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat. Malaysia tidak seharusnya rasa rendah diri dalam mengambil pendirian terutama sekali dalam isu TPPA dan isu-isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan umat Islam di persada global. Atas dasar ini, pihak ABIM menuntut agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak dan kerajaan Malaysia agar tidak menandatangani TPPA, demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.

Untuk makluman; ABIM telah menfailkan semakan kehakiman berhubung dengan TPPA dan kes ini akan diperdengarkan di Mahkamah Jalan Duta, pada 19 November 2015, jam 9 pagi.

Pada masa yang sama, ABIM sebagai badan gabungan Save Al Quds International Campaign turut menggesa agar YAB Perdana Menteri amenyuarakan secara tegas pendirian umat Islam agar Amerika Syarikat menghentikan samasekali sokongan dan bantuan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada sekutu rapatnya Israel yang kini agresif menceroboh Masjid al Aqsa. Gesaan ini adalah lambang solidariti negara serta rakyat dan rantau ASEAN (selaku pengerusi ASEAN) terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas negara “haram” Zionis- Israel.

Mohamad Raimi Ab.Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
‪#‎bantahTPPA‬ ‪#‎TPPA‬


Sila kongsi artikel ini...

Janganlah Buat Fitnah Politik - Mohammad Agus Yusoff

3:12 PM 0 Comments A+ a-



JANGANLAH BUAT FITNAH POLITIK

Sejak minggu lepas saya di negara China, di sebuah negara yang facebooknya disekat.

Kelmarin semasa di Shanghai, kawan menghubungi saya bertanyakan sama ada saya ada mengeluarkan kenyataan sedemikian: "Sokongan ke atas Tun Mahathir hanya dari kalangan budak-budak sekolah."


Hari ini, sebaik sahaja sampai di tanah air saya membuat kenyataan ini: Saya tidak dihubungi oleh sesiapa untuk mendapat kenyataan sedemikian. Saya tidak membuat kenyataan sedemikian.

Dalam politik, saya tidak menggunakan serangan peribadi terhadap pemimpin saya. Setiap teguran dan pandangan politik yang saya berikan, saya sertakan dengan hujah dan alasan.

Sama ada saya setuju atau tidak dengan tindakan politik Tun Mahathir, saya tidak sesekali akan mengeluarkan atau menulis kenyataan yang tohor daya inteleknya.

Justeru, saya mohon janganlah kita berpolitik dengan terus menabur fitnah. Ingatlah dosa pahala.


Sila kongsi artikel ini...

Usaha Laga-Lagakan Kononnya Mohamad Sabu Pro DAP Dan Salahudin Ayub Pro PKR, Namun Amanah Terus Dapat Sambutan Rakyat Malaysia

1:43 PM 0 Comments A+ a-



USAHA LAGA-LAGAKAN KONONNYA MOHAMAD SABU PRO DAP DAN SALAHUDIN AYUB PRO PKR, NAMUN AMANAH TERUS DAPAT SAMBUTAN RAKYAT MALAYSIA

Perkembangan pesat Parti Amanah Negara (Amanah) dewasa ini yang mendapat liputan, perhatian dan sambutan masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun berusia hanya dua bulan. Pemimpin-pemimpin kanan Amanah telah diberikan penghargaan menyertai pelbagai forum / pentas politik nasional dan internasional yang membuktikan bahawa Amanah telah diiktiraf sebagai sebuah entiti politik yang penting.


Pihak sekretariat pula sedang bekerja keras memproses permohonan keahlian yang telah mencapai 50 ribu disamping menunggu 150 ribu borang keahlian yang telah diedarkan ke seluruh negara. Hasrat untuk Amanah mencapai 100 ribu ahli sebelum akhir tahun ini akan menjadi kenyataan insyaallah .

Pencapaian Amanah yang menyakinkan ini dengan berteraskan dasar Islam yang berwajah Rahmat Untuk Semua disamping pendekatan yang Progresif, Inklusif dan Peduli, ramai yang meletakan harapan yang tinggi kepada Amanah untuk terus maju kehadapan mewarnai aspirasi rakyat Malaysia bersama Pakatan Harapan.

Mungkin kerana inilah ada golongan atau pihak yang rasa resah dan iri hati dengan kewujudan dan kejayaan Amanah.

Cubaan paling lucu dan nakal ialah melagakan gaya kepimpinan saya dan Hj Mohd Sabu. Kononnya saya pro PKR dan Hj Mohd Sabu terlalu pro DAP. Amat menjengkelkan bukan?

Kekuatan yang kami praktikkan dalam Amanah ialah kebertanggungjawapan secara kolektif. Kami padu dalam melaksanakan keputusan parti dan tidak bersikap "kluk-klek". Presiden Amanah tidak besar kepala dan gemar membuat keputusan sendiri. Jawatankuasa Nasional pula bebas menegur pimpinan tanpa ancaman.

Berbekalkan pengalaman puluhan tahun dipersada perjuangan, saya dan Hj Mohd Sabu waras membaca pelbagai permainan politik murahan seperti ini.

InsyaAlLah Amanah walaupun usianya masih baru mampu untuk membaca kilat ikan di air.

Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden AMANAH
17hb November, 2015


Sila kongsi artikel ini...

Penjelasan YaPEIM terhadap Fitnah Akmal Nasir - YaPEIM

12:51 PM 0 Comments A+ a-



Penjelasan terhadap fitnah kepada Yb Menteri dan peneraju tertinggi YaPEIM.



KENYATAAN AKHBAR

Dato’ Abibullah Hj Samsudin

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah sebuah institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952 pada 13 Oktober 1976 sebagai instutusi yang berorentasikan ekonomi dan kebajikan.

Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang paling berjaya ialah Program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.

Malah YaPEIM adalah pelopor dan peneraju dunia dalam memperkenalkan instrumen Ar Rahnu sejak 1993. Program Ar Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang amat memberangsangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana pendapatan mencecah RM83 juta dari aktiviti Ar Rahnu. Pendapatan ini telah meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta tahun 2014.

Selain daripada Ar-Rahnu, YaPEIM kini mula terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan yang lain seperti pasaraya, perniagaan berasaskan emas, bidang keselamatan (termasuk perlindungan takaful dan CCMS) dan pelaburan hartanah. Ketika ini YaPEIM sedang menggerakkan Tabung Ibadah Qurban dan meneliti peluang untuk menceburi di bidang penternakan.

Melalui pelbagai pendekatan ekonomi yang dilaksanakan ini, Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Berdasarkan Laporan Kewangan 2014, jumlah aset keseluruhan YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.

YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan operasinya.

Hasil dari kejayaan dan keuntungan yang dijana melalui pelbagai aktiviti perniagaan pembangunan ekonomi YaPEIM memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional – SANTUN (melibatkan 5,200 orang pelajar yang cemerlang termasuk pelajar dari keluarga miskin), Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar 200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada penghujung tahun 2015). Untuk rekod, YaPEIM juga merupakan penyedia dana dan pelopor utama bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar Malaysia di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum ianya diambil alih oleh Kerajaan.

Seiring dengan pendekatan YaPEIM yang ingin berkongsi dengan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan, YaPEIM turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang melalui skim-skim yang diperkenalkan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan.

YaPEIM sentiasa berpegang kepada prinsip Syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan pengoperasiannya

Amat malang bagi umat Islam, walaupun YaPEIM telah menempa pelbagai kejayaan dan telah menebar bakti sejak mula beroperasi, kini YaPEIM terpaksa berdepan dengan pelbagai pertuduhan jahat daripada Akmal bin Nasir, Ketua Cabang PKR Johor Bahru merangkap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan [National Oversight and Whistleblowers (NOW)] yang bertujuan menjatuhkan reputasi YaPEIM.

Akmal bin Nasir pada 9 November 2015 membuat satu pertuduhan bahawa YaPEIM telah membelanjakan wang sejumlah RM223,000.00 untuk kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.

Kemudiannya pada 11 November 2015, Akmal bin Nasir membuat pertuduhan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden serta keluarganya menerima pendapatan keseluruhan sebanyak RM154,700 sebulan.

Pada 13 November 2015, Akmal bin Nasir mengeluarkan lagi kenyataan bahawa terdapat satu skandal melibatkan YaPEIM di mana wang sebanyak RM410,978.56 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah telah disalahgunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Akmal bin Nasir menambah bahawa walaupun perjalanan tersebut dikatakan untuk tujuan “Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM”, berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang dicaj dan dibayar oleh YaPEIM adalah bersifat sukaria dan langsung tiada unsur amal jariah. Beliau turut menyatakan bahawa pembayaran dibuat menggunakan duit yang dikhususkan untuk kegunaan anak yatim dan miskin.

Namun keesokan harinya pada 14 November 2015 beliau tampil membuat pembetulan jumlah yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM590,000.00 yang dibelanjakan di dalam program di Amerika Syarikat dan mendakwa hanya melibatkan 100 orang peserta sahaja.

Terbaru pada 16 November 2015 petang, Akmal Nasir membuat pertuduhan bahawa YaPEIM membelanjakan sebanyak RM290,000.00 bagi penganjuran kursus perkahwinan di Paris yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Beliau membuat tuduhan bahawa program tersebut tidak mencerminkan matlamat kebajikan dan amal jariah.

YaPEIM memandang serius segala pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir kerana ianya telah menyebabkan krisis keyakinan dikalangan penyumbang dan meletakkan YaPEIM di dalam pandangan umum yang sangat buruk. Ianya turut memberi kesan negatif dalam urusan perniagaan YaPEIM. Tuduhan penyalahgunaan dan penyelewangan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan bermotifkan politik. Lebih mendukacitakan ia telah diterima oleh sebahagian daripada masyarakat di dalam dan luar negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam dokumen dalaman YaPEIM yang dicuri dan kemudiannya diputarbelitkan oleh NOW.

YaPEIM dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya segala pertuduhan dan ingin menjelaskan serta menyatakan dengan tegas bahawa:

1 – YaPEIM bukanlah sebuah badan kerajaan. YaPEIM adalah sebuah perbadanan yang tertakluk kepada Surat Ikatan Amanah yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (selepas ini dirujuk sebagai “Surat Ikatan”).

2 – Setakat tahun 2014, YaPEIM telah mengeluarkan sejumlah RM453,089,453.00 bagi tujuan program pembangunan sosio-ekonomi (amal jariah). Dalam tempoh yang sama jumlah kutipan sumbangan amal jariah YaPEIM melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dan skim-skim lain hanyalah sebanyak RM334,931,764. Manakala sejumlah RM118,157,689.00 adalah jumlah penambahan dari Dana Perniagaan YaPEIM bagi pengeluaran amal jariah yang diambil daripada sumber dana perniagaan YaPEIM.

* Kutipan SPG dan Skim-skim lain RM334,931,764.00

* Dana Perniagaan YaPEIM RM118,157,689.00

* Jumlah Pengeluaran Amal Jariah RM453,089,453.00

3 – Maka tuduhan bahawa YaPEIM menyalahgunakan atau menyeleweng kutipan duit sumbangan amal jariah daripada para penyumbang di bawah Skim Potongan Gaji adalah tidak benar sama sekali dan jelas ianya merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menghakis keyakinan penyumbang kepada institusi perniagaan Islam seperti YaPEIM.

4 – Atas sebab itu, tidak timbul sebarang isu kononnya YaPEIM membayar elaun Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan duit sumbangan amal jariah melalui Skim Potongan Gaji. Segala pembayaran gaji, elaun dan keseluruhan kos operasi ditanggung sepenuhnya melalui dana daripada aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dilaksanakan YaPEIM. Lebih penting sejak awal penubuhan hingga kini YaPEIM diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

5 – Presiden dan Timbalan Presiden telah memberi sumbangan yang besar dan berkesan kepada kemajuan dan perkembangan YaPEIM. Melalui usaha dan komitmen penuh mereka dan disokong pengurusan dan semua kakitangan menjadikan Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Jumlah keseluruhan Aset YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.

6 – YaPEIM menjalankan perniagaan seakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti PNB, Tabung Haji dan Felda. Namun bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak menikmati pembayaran bonus dan dividen sebagaimana syarikat berkaitan kerajaan atau institusi korporat yang lain.

7 – Berkenaan perlantikan ahli keluarga Timbalan Presiden di dalam YaPEIM, ingin dijelaskan bahawa pelantikan mereka telah dibuat mengikut proses dan prosedur perlantikan yang sah dan tiada peraturan yang menghalang pelantikan ahli keluarga di dalam YaPEIM. Mereka mula dilantik di dalam anak syarikat YaPEIM berdasarkan kelayakan dan keperluan yang wujud. Wan Johan Wan Ismail memiliki ijazah sarjana muda Perancangan, Bangunan dan Perumahan dan Ijazah sarjana (masters) pengurusan Projek daripada Universiti Sains Malaysia manakala Tuan Haji Ismail bin Mohd Nasib pula merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling University of Western Michigan, Amerika Syarikat, post graduate Diploma Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sejarah, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pensyarah Bachelor of Education TESL Universiti Kebangsaan Malaysia dan jawatan terakhir adalah Pegawai Kebajikan Pelajar, Chicago, Amerika Syarikat. Mereka juga telah memberikan sumbangan kepada pembangunan perniagaan YaPEIM.

8 – Setiap aktiviti atau keputusan yang dibuat di dalam YaPEIM adalah berdasarkan kepada polisi yang telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah selaras dengan Surat Ikatan. Ahli Lembaga Pemegang Amanah pula terdiri daripada 12 ahli lembaga dari pelbagai latarbelakang antaranya akauntan, peguam, bekas mufti, rektor universiti, mantan Timbalan Naib Canselor, Pegawai Tinggi Kerajaan dan lain-lain. Selain itu YaPEIM turut dikawal-selia Jawatankuasa Pengawasan Syariah yang sentiasa memantau segala urusan operasi YaPEIM.

9 – Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh YaPEIM adalah bertujuan untuk memenuhi matlamat penubuhan iaitu pembangunan sosio-ekonomi umat Islam dan kebajikan. YaPEIM telah menjalankan pelbagai program samada di dalam negara mahupun di luar negara. Berkenaan program-program yang dijalankan oleh YaPEIM di luar negara ianya merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru bagi menerapkan nilai-nilai kepimpinan dan keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara selain memastikan kebajikan mereka diberi perhatian. Program-program yang telah dirangka juga adalah bertujuan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berdialog secara terus dengan YB Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Islam. Sepanjang dialog dan interaksi yang dibuat mereka telah diberikan kefahaman dan penerangan berkaitan isu-isu kenegaraan, isu-isu semasa hal ehwal Islam, isu-isu keganasan, LGBT dan lain-lain.

10 – YaPEIM ingin menyangkal tuduhan bahawa YB Menteri telah hadir ke program-program anjuran YaPEIM di luar negara adalah untuk bersukaria. YB Menteri telah dijemput oleh YaPEIM bukan sahaja untuk merasmikan dan terlibat di dalam program-program secara langsung dengan para pelajar tetapi juga mewakili YaPEIM dalam mengadakan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia yang menjaga secara langsung kebajikan para pelajar Malaysia di luar negara.

11 – Berdasarkan fakta-fakta di atas amat jelas sekali bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir dan NOW adalah tidak berasas sama sekali, berunsur fitnah dan berniat jahat. Ianya telahpun berjaya menghakis keyakinan para penyumbang dan dengan persepsi serta pandangan buruk masyarakat dan pelabur terhadap YaPEIM sudah pasti menjejaskan perniagaan dan pertumbuhan YaPEIM sebagai satu badan yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi umat Islam.

12 – Tambah memeritkan daripada fitnah ini, adalah kesan kepada penerima-penerima sumbangan amal jariah YaPEIM yang terdiri daripada 200,000 keluarga kumpulan sasar Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional, 120,000 usahawan kecil yang terlibat dalam program pembangunan komuniti dan program pembangunan usahawan serta 5,200 pelajar di bawah Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN).

13 – Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih mempunyai kepercayaan dan terus menyokong YaPEIM dalam menjayakan misi membangun sosio-ekonomi umat Islam di negara ini.

14 – YaPEIM dan individu-individu yang kredibilitinya terjejas teruk dengan fitnah NOW akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat. YaPEIM juga memohon kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan tertentu bagi menyekat kegiatan jahat NOW mencuri dokumen-dokumen dalaman YaPEIM dan seterusnya menyebarkan maklumat palsu dan memutarbelitkan fakta bertujuan memfitnah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Baharom, YaPEIM dan peneraju-peneraju tertinggi YaPEIM.





Dato’ Abibullah Hj Samsudin
Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM



Sila kongsi artikel ini...

Bajet 2016: Apa Yang Boleh Dipelajari – Syahir Sulaiman

6:26 AM 0 Comments A+ a-



Pandangan Profesional Ekonomi Muda PAS...

Bajet 2016: Apa Yang Boleh Dipelajari – Syahir Sulaiman

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Bajet yang sukar.

Bajet 2016 adalah sangat rumit untuk Malaysia. Ia dirangka dalam keadaan yang sangat mencabar, dilatari ketidaktentuan ekonomi global serta kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit, di samping kesempitan defisit dan hutang kerajaan yang memuncak, demi memenuhi agenda mensejahtera kehidupan rakyat.

Mengikuti perbincangan dan perdebatan Bajet 2016 mengajar kita beberapa pelajaran, antaranya:

Pelajaran Pertama: Matematik

Matlamat utama perbelanjaan kerajaan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan impak berganda (multiplier-effect) dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, supaya kek ekonomi terus berkembang untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dengan seadilnya.

Formula nilai tambah ini dapat dihasilkan melalui empat kaedah. Pertama, pertambahan melalui penambahan, antaranya dengan meningkatkan mutu modal insan dengan peningkatan kualiti pendidikan dan kesihatan rakyat. Kedua, pertambahan melalui penolakan, antaranya dengan menghentikan segala bentuk pembaziran, rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan, sebagaimana yang kerap dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dan SPRM.

Ketiga, pertambahan melalui penggandaan, antaranya dengan melipatgandakan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta budaya inovasi dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan untuk menjadikan Malaysia mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi di peringkat global. Keempat, pertambahan melalui pembahagian, antaranya dengan memastikan agihan kekayaan negara tidak hanya dimonopoli oleh golongan T20, tetapi turut diagih secara adil kepada golongan M40 dan B40 mengikut keperluan semasa.

Formula menambah-nilai ini adalah elemen utama dalam prinsip keberkatan, yang ditakrifkan sebagai ziyadatul-khayr (bertambah-tambah kebaikan), yang merupakan kunci utama kesejahteraan hidup rakyat dalam sesebuah negara yang adil dan berkebajikan.

Pelajaran Kedua: Pengurusan Kewangan

Bajet adalah satu pilihan samada mahu berbelanja atau berjimat daripada setiap ringgit yang diperolehi. Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “Berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.

Namun, apayang yang dikesali, kerajaan masih berpegang kepada prinsip belanjawan yang ‘membelanjakan RM120 daripada setiap RM100 yang diperolehi’, mengakibatkan Malaysia terus terperangkap di dalam kitaran defisit dan hutang yang sama, sejak tahun 1998.

Inilah pengajaran yang dapat diambil daripada jawapan Nabi Yusof a.s. kepada mimpi Raja Mesir, “..Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa.. biarkanlah sedikit di tangkai kecuali untuk dimakan.. selepas itu adakan datang tujuh tahun kemarau.. tiadalah makanan kecuali sedikit dari apayang kamu simpan..” (Yusuf: 47–49).

Pelajaran Ketiga: Geografi

Malaysia adalah sebuah bumi yang bertuah, dilimpahi dengan sumber alam dan kesuburan tanah, kaya dengan hasil petroleum, sawit dan getah, di samping keunikan biodiversitinya yang wajar diurus secara mampan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Kekayaan hasil bumi ini perlu diagih secara adil dan seimbang di antara bandar dan luar bandar, serta dibahagi kepada negeri-negeri agar nikmat pembangunan dapat dikecapi bersama. Tidaklah wajar Kelantan terus dipinggirkan, sebagaimana nasib yang sama turut menimpa Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan dan pemodenan.

Di peringkat global, dengan kedudukan yang sangat strategik di pertengahan laluan dagangan timur dan barat, ia menjadikan negara kecil ini mempunyai peranan besar dalam pentas geo-politik antarabangsa dan serantau, khususnya di peringkat ASEAN, OIC, dan NAM, serta yang terkini, perdebatan samada Malaysia wajar menyertai pakatan 12 negara di dalam perjanjian TPPA yang bakal dimeterai tahun hadapan ataupun sebaliknya.

Pelajaran Keempat: Akhlak

Di sebalik angka berbilion ini, Bajet 2016 memperlihatkan tiada mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti, disiplin fiskal dan langkah penjimatan, malah masih terdedah kepada elemen salah urustadbir yang sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, di samping kecenderungan untuk memohon bajet tambahan setiap tahun.

Inilah satu pelajaran yang ditinggalkan oleh Almarhum Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan berteraskan agenda ‘Membangun Bersama Islam’, berpaksikan kepada prinsip ‘Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (U.M.I). ‘Ubudiah merujuk kepada penyerahan diri manusia sebagai hamba Allah SWT, Mas’uliah pula berkait rapat dengan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah selaras dengan tuntutan syariat, manakala Itqan merujuk kepada etika kerja berkualiti tinggi.

Besarlah harapan agar Malaysia dilimpahi dengan ekonomi yang memberi kehidupan dan politik yang mewujudkan keamanan, dalam keadaan tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 17 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Mohd Sabu dan Saya - Salahudin Ayub

3:24 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

Mohd Sabu dan Saya

Perkembangan pesat Parti Amanah Negara (Amanah) dewasa ini yang mendapat liputan, perhatian dan sambutan masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun berusia hanya dua bulan.

Pemimpin-Pemimpin kanan Amanah telah diberikan penghargaan menyertai pelbagai forum / pentas politik nasional dan internasional yang membuktikan bahawa Amanah telah diiktiraf sebagai sebuah entiti politik yang penting.

Pihak sekretariat pula sedang bekerja keras nemproses permohonan keahlian yang telah mencapai 50 ribu disamping menunggu 150 ribu borang keahlian yang telah diedarkan ke seluruh negara. Hasrat untuk Amanah mencapai 100 ribu ahli sebelum akhir tahun ini akan menjadi kenyataan insyaallah .

Pencapaian Amanah yang menyakinkan ini dengan berteraskan dasar Islam yang berwajah Rahmat Untuk Semua disamping pendekatan yang Progresif, Inklusif dan Peduli , ramai yang meletakan harapan yang tinggi kepada Amanah untuk terus maju kehadapan mewarnai aspirasi rakyat Malaysia bersama Pakatan Harapan.

Mungkin kerana inilah ada golongan atau pihak yang rasa resah dan iri hati dengan kewujudan dan kejayaan Amanah.
Cubaan paling lucu dan nakal ialah melagakan gaya kepimpinan saya dan Hj Mohd Sabu. Kononnya saya pro PKR dan Hj Mohd Sabu terlalu pro DAP. Amat menjengkelkan bukan?

Kekuatan yang kami praktikkan dalam Amanah ialah kebertanggungjawapan secara kolektif. Kami padu dalam melaksanakan keputusan parti dan tidak bersikap "kluk-klek". Presiden Amanah tidak besar kepala dan gemar membuat keputusan sendiri. Jawatankuasa Nasional pula bebas menegur pimpinan tanpa ancaman.

Berbekalkan pengalaman puluhan tahun dipersada perjuangan, saya dan Hj Mohd Sabu waras membaca pelbagai permainan politik murahan seperti ini. InsyaAlLah Amanah walaupun usianya masih baru mampu untuk membaca kilat ikan di air.

Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden AMANAH
17hb November, 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.