Mengapa YB Lim Kit Siang Perlu Memeluk Islam - Xifu Nasser & rakan-rakan

9:25 PM 0 Comments A+ a-

Watch "10 REASON WHY YB KIT SIANG SHOULD BE A MUSLIM" on YouTube ---


Sila kongsi artikel ini...

Mufti Pahang Wajar Berani Berhujah Jika Benar - Wan Ji

8:30 PM 0 Comments A+ a-



MUFTI PAHANG WAJAR BERANI BERHUJAH JIKA BENAR

1. Merujuk kepada isu khutbah Aidul Adha di Pahang, tindakan Mufti Pahang tidak bersedia berjumpa dan berdialog dengan pihak DAP merupakan tindakan yang boleh disifatkan memalukan umat Islam. Ini kerana, dakwaan DAP sebagai "musuh Islam", walau atas alasan memberi nasihat sekalipun, merupakan tuduhan yang berat. Sudah pasti, ia perlu diselesaikan dengan ilmiah dan berfakta.

2. Dalam pengajian usul fiqh, ada kaedah menyatakan bahawa hukum sesuatu perkara, setengahnya terletak pada mengetahui gambaran perkara yang mahu dihukumkan itu. Justeru, wajib bagi mufti bahawa berdialog dan berhujah dengan pihak DAP untuk memastikan sejauh mana kebenaran disebalik dakwaan DAP sebagai Musuh Islam itu.


3. Dari sudut sejarah umat Islam, Saidina Ali ada menghantar wakil untuk berhujah ketika berhadapan dengan Khawarij yang ketika itu mahu melakukan pemberontakan. Jika Saidina Ali boleh berdialog dan menyampaikan hujah yang jitu dalam berhadapan dengan pemberontakan, sudah pasti amat tidak wajar pihak mufti tidak bersedia berhujah dan berdialog dengan DAP atas tuduhan sebagai musuh Islam, sedangkan mereka tidak pernah memberontak, malahan tuduhan bahawa mereka sebagai musuh islam itu sendiri masih kabur. Sebagai mufti yang dianggap mewakili suara Islam oleh ramai rakyat Malaysia, amat perlu sedia mengambil sikap seperti Saidina Ali agar tidak merosakkan imej agama Islam.

4. Pihak Mufti patut bebas berhujah dan tidak takut berkata tentang kebenaran. Jika tidak, sudah pasti kenyataan para mufti selepas ini akan dianggap picisan oleh rakyat Malaysia. Keadaan ini, sudah pasti memberi implikasi buruk pada imej institusi mufti di mata rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan bukan muslim.

5. Pihak BiPPA AMK Malaysia berharap, agar pihak mufti Pahang mengambil sikap profesional dalam berhadapan dengan isu perbezaan politik kepartian, disamping menjauhkan pendekatan yang boleh melahirkan permusuhan antara rakyat Malaysia. Pihak BiPPA AMK Malaysia juga berdoa agar budaya rahmat menjadi amalan rakyat Malaysia. Sudah pasti, amalan permusuhan berasaskan kaum dan agama dapat dielak.

Wallahu 'Alam.

Wan Ji bin Wan Hussin
Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) AMK Malaysia.


Sila kongsi artikel ini...

1MDB: Bahasa Berheman Untuk Najib Berundur - Salahuddin Ayub

7:45 PM 0 Comments A+ a-



1MDB: BAHASA BERHEMAH UNTUK NAJIB BERUNDUR

www.amanahnegara.org

1. AMANAH yakin teguran Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang baru-baru ini bertujuan memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang. Ini disebabkan skandal Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum diselesaikan.

2. Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Dato' Seri Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara.

3. Banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno sendiri dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato' Ungku Dr Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz dan bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail.

4. AMANAH merasakan ia adalah isyarat jelas bahawa Dato’ Sri Najib perlu berundur dengan segera kerana beliau masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu tentang isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan peribadi beliau yang sehingga kini belum ‘dibersihkan’ lagi di mahkamah.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
7 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Muhyiddin Yassin: Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB

7:19 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap piha-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri.

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu.

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

7 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Hormat Gesaan Majlis Raja-Raja; Najib Wajib Letak Jawatan atau Hadapi Undi Tidak Percaya - Fadzil Ahamad Pemuda AMANAH

6:56 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

HORMAT GESAAN MAJLIS RAJA-RAJA; NAJIB WAJIB LETAK JAWATAN ATAU HADAPI UNDI TIDAK PERCAYA

1. Pemuda AMANAH Nasional memandang serius gesaan Majis Raja-raja Melayu supaya siasatan terhadap skandal 1MDB segera diselesaikan sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad susulan mesyuarat Pra-Majlis semalam.


2. Kenyataan tersebut amat tepat pada masanya setelah sekian banyak desakan oleh pelbagai pihak sama ada dari kalangan pembangkang mahupun di pihak kerajaan sendiri yang mahukan isu ini diselesaikan secara tuntas.

3. Namun, Pemuda AMANAH Nasional berpendirian bahawa siasatan semata-mata tidak memadai selagi Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB masih berada di tampuk kuasa yang memungkinkan perjalanan siasatan terhadap badan itu sekali lagi menemui jalan buntu.

4. Sebagaimana yang diketahui umum, pasukan penyiasat khas untuk menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan Polis, SPRM, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara, telah dibubarkan sejurus Perdana Menteri mengambil tindakan drastik menukar Peguam Negara. Selain itu, perjalanan siasatan 1MDB juga terganggu apabila Perdana Menteri menggunakan kuasa prerogatifnya merombak kabinet dengan melantik ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) ke jawatan menteri dan timbalan menteri ketika jawatankuasa tersebut masih dan sedang menjalankan siasatannya.

5. Oleh itu, Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa Perdana Menteri wajib meletakkan jawatannya serta merta susulan gesaan Majlis Raja-raja Melayu semalam bagi memastikan siasatan terhadap skandal 1MDB dapat dijalankan dengan lebih telus dan adil.

6. Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional juga menggesa supaya satu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri benar-benar dibawa dalam sidang Parlimen akan datang dan menyeru kepada seluruh ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah setia menjunjung tinggi Institusi Raja Berperlembagaan supaya menyokong usul tersebut demi menyelamatkan maruah negara yang kian tercalar akibat skandal yang dicipta Perdana Menteri sendiri.

MUHAMAD FADZIL AHAMAD
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH Nasional

7 Oktober 2015




Sila kongsi artikel ini...

Mahfuz Omar : Majlis Raja-Raja Melayu Perlu Berusaha Untuk Pecat Najib dan Peguam Negara

6:48 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU PERLU BERUSAHA UNTUK PECAT NAJIB DAN PECAT PEGUAM NEGARA.

1. Saranan dan gesaan Majlis Raja-Raja Melayu untuk disegera dan dipercepatkan siasatan dan penyelesaian ke atas kes Skandal 1MDB memperlihatkan betapa keperihatinan Majlis Raja-Raja Melayu terhadap kesan skandal tersebut terhadap beban kehidupan rakyat Malaysia.

2. Saya berpendapat Saranan dan gesaan Majlis Raja-Raja seharusnya lebih keras dan tegas setelah melihat kepada pelbagai massalah timbul dalam pengendalian penyiasatan yang berjalan setakat ini sehingga membawa kepada pemecatan Tan Seri Muhiyudin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ekoran daripada perbalahan beliau dengan PM dalam isu 1MDB. Begitu juga pemecatan Tan Seri Gani Patail sebagai Peguam Negara pada saat kerancakan Peguam Negara pada waktu itu sedang meneliti kertas siasatan yang dibuat oleh Pasukan Khas 1MDB pelbagai agensi siasatan.

3. Keperihatinan Majlis Raja-Raja sangat saya sanjungi tetapi seharusnya memperlihatkan tindakan yang lebih drastik melindungi negara dan rakyat dimana Raja-Raja sebagai payungnya. Majlis Raja-Raja tidak boleh membiarkan institusi awam dan pegawainya bersendirian apa bila berlaku ugutan kepada pegawai pegawai agensi penyiasatan seperti SPRM , PDRM dan Bank Negara yang mengalami tekanan dan ugutan seperti yang didedahkan oleh Dato' Hamid Bahador, bekas Timbalan Ketua Polis Cawangan Khas.

4. Ke bawah DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institusi Raja-Raja tercalar oleh institusi awam yang berdiri atas nama DiRaja bertindak berasaskan campurtangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang. DYMM Raja-Raja harus sedar pentadbiran negara sekarang tak ubah seperti mana perjalanan pentadbiran sebuah kumpulan mafia. Dalam kumpulan mafia siapa lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya.

5. Saya menyarankan Majlis Raja-Raja perlu memberi tekanan yang lebih tegas dan keras dan berusaha untuk membawa kepada pemecatan Peguam Negara yang hingga kini telah lebih sebulan kertas laporan siasatan Bank Negara berkaitan 1MDB dengan cadangan tindakan telah diserahkan pada Peguam Negara tanpa sebarang tindakan diambil. Majlis Raja-Raja juga hendaklah berusaha untuk memastikan Dato'Seri Najib dipecat sebagai PM dan membentuk satu Kerajaan Peralihan daripada semua pihak bagi melakukan reformasi pentadbiran negara khususnya pada institusi-institusi awam yang sering diganggu gugat oleh campurtangan politik pemerentah.

6. Ke bawah DYMM Tuanku Raja-Raja, patik berdoa agar Allah berikan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk DYMM Tuanku Raja-Raja bertindak melindungi negara dan rakyat. Patik mohon agar DYMM Tuanku Semua bersama rakyat bertindak "Berani Kerana Benar".

DAULAT TUANKU,
DAULAT TUANKU,
DAULAT TUANKU.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
7 Okt 2015/23 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Malaysia Majmuk Dan Kepimpinan Muslim - Abdul Hadi Awang

2:22 PM 0 Comments A+ a-



MALAYSIA MAJMUK DAN KEPIMPINAN MUSLIM

Apabila wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat RA bermesyuarat di medan Thaqifah Bani Sa’eidah bagi memilih pengganti Rasulullah SAW untuk memimpin ummat dan negara yang telah diasas dan dibina di Kota Suci Madinah Munawwarah. Ini menunjukkan Islam bukan hanya sekadar dakwah, ibadat dan akhirat, bahkan penegasan betapa pentingnya urusan politik negara, sehingga sebahagian besar pemimpin para sahabat tidak berada ditempat pengebumian jasad Rasulullah SAW yang mulia itu.

Tiga kumpulan ummat Islam mengemukakan pandangan dan calon masing-masing. Kalangan Ansar daripada kabilah Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah, menegaskan bahawa kalangan merekalah sepatutnya menjadi ketua negara, kerana mereka adalah penduduk asal tempat yang menjadi pusat negara dan penglibatan mereka menegakkan Islam dengan bai’ah dan berjuang bersama Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan Sa’ad bin ‘Ubadah RA pemimpin Ansar.

Ada pun kalangan keluarga Rasulullah SAW yang dinamakan Ahli Al-Bait menegaskan supaya dipilih daripada kalangan mereka, lalu mereka mencalonkan Ali bin Abi Talib RA, menantu Rasulullah SAW dan sepupu Baginda. Kalangan ini juga disokong oleh sebahagian para sahabat, di antara mereka ialah Zubair bin ‘Awwam dan Tolhah bin ‘Ubaidillah RA.

Sebahagian besar kalangan Muhajirin pula mencalonkan daripada kalangan mereka dan dipilih daripada kabilah Quraisy. Hujah mereka adalah yang terawal bersama Islam dan menegakkannya bersama Rasulullah SAW dan berhujahkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

الْأَئِمَّة مِنْ قُرَيْش مَا إِذَا حَكَمُوا فَعَدَلُوا " الْحَدِيث

"Para pemimpin itu daripada kalangan Quraisy selagi mereka memerintah berlaku adil."

Langkah pemilihan ini menunjukkan Islam mendahului demokrasi moden sejak beberapa abad, memperkenalkan sistem pemerintahan yang melibatkan rakyat, dengan asas agama yang sangat kukuh. Nyata betapa pengajian orentalis juga mempengaruhi demokrasi moden.

Akhirnya sebahagian besar para sahabat memilih Abu Bakar RA menjadi Ketua Negara bergelar Khalifah, beliau dipilih daripada kalangan muhajirin dan Quraisy. Langkah yang diambil selepas wafatnya Rasulullah SAW sehingga hukum syariat Islam dalam urusan politik pemerintahan negara yang menjadi perbincangan yang dicatit dalam kitab-kitab Tafsir Al-Quran, Aqidah, Feqah dan Tasawuf, merupakan jurusan-jurusan ilmu Islam yang asasi.

Walaupun aspek ini lebih dekat dengan ilmu Feqah yang dicabut daripadanya ilmu Siyasah Syar’iyyah atau Ahkam Sultoniyyah. Namun, masalahnya tetap berkaitan dengan Nas Al-Quran dan Hadis. Kalangan Syiah meletakkannya dalam perkara Aqidah menyebabkan dibincang juga oleh mazhab Ahli Sunnah dalam kitab Aqidah, seperti Imam Al Ghazali RA meletakkan bab Imamah (kepimpinan negara) dalam kitab Aqidah karangannya (الاقتصاد في الاعتقاد). Perkara ini juga berkait dengan ilmu akhlak yang menjadi perbincangan ilmu Tasawwuf. Namun kesemua ajaran Islam tetap berkaitan diantara satu sama lain laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan.

ISLAM AQIDAH NEGARA

Para sahabat RA secara Ijmak meneruskan kewajipan bernegara yang berdasarkan aqidah dan dasar Islam, meneruskan segala arahan Al-Quran dan sunnah yang di amal, yang tersurat dan tersirat daripadanya sehingga melahirkan Ijtihad (kajian ilmiah dalam perkara yang tidak ada nas).

Negara yang berteraskan aqidah beribadah (ketundukkan kepada Allah) dan adanya perhitungan pahala dan dosa selepas meninggal dunia dalam kewajipan menegakkan keadilan terhadap semua dan rahmat terhadap semua, yang disimpulkan kepada konsep negara berkebajikan dengan makna yang luas, bukan sahaja dalam aspek kemasyarakatan dan ekonomi, membolehkan Islam memerintah masyarakat majmuk. Firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

"Dan kalau sekiranya Allah tidak menolak manusia itu berlawanan di antara kumpulan yang memperjuangkan Islam menghadapi penentangnya, nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut agama Yahudi, gereja-gereja penganut Nasrani (Kristian), sembahyang-sembahyang dan Masjid penganut Islam yang disebut didalamnya nama Allah. Demi sesungguhnya Allah tetap menolong sesiapa yang berjuang menegakkan agamaNya. Sesungghnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa."

(Surah Al-Hajj, ayat 40)

Menegaskan bahawa kerajaan Islam yang sebenar mampu memerintah masyarakat majmuk diatas ajaran agama Islam yang boleh mengawal semangat fanatik kaum dan agama daripada semangat tanpa ilmu dan kebijaksanaan yang menimbulkan ketegangan diantara kaum dan agama.

KONSEP KEPIMPINAN KAUM MUSLIMIN YANG TERBESAR

Pemilihan kabilah Quraisy yang berpegang dengan Islam kerana jumlahnya yang terbesar dan kedudukannya yang terkuat. Para ulamak Islam menerima kaum yang silih berganti memimpin negara, berdasarkan konsep tersebut dalam pemilihan Khalifah yang pertama (Abu Bakar RA) dan Khulafa Rasyidin selepasnya (sila lihat Muqadimah: Ibnu Khaldun dan Itmam Al-Wafa : Muhammad Al-Khadri).

Jawatan Khalifah (Ketua Negara) dalam sejarah Islam bergilir kaum, dipilih daripada kalangan kaum yang terkuat dan majoriti umat yang berpegang teguh dengan Islam, berpandukan juga firman Allah :

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

"Dan jika sekiranya kamu berpaling (daripada menegakkan Islam dan syariatnya), nescaya Allah menukarkan kaum yang lain daripada kamu , kemudian mereka tidak saperti kamu."

(Surah Muhammad, ayat 38)

Kenyataan sejarah kegemilangan Islam membuktikan mukjizat Al-Quran wujudnya berbagai bangsa penganut Islam yang beriman, berilmu dan budiman memimpin negara besar masyarakat majmuk dengan sistem dan hukum yang adil dan menegakkan tamdun dunia yang berjaya. Kepimpinan bertukar daripada bangsa Arab, kepada Kurdis, Turki dan lain lain.

Dalam masa yang sama pemerintahan Islam juga melibatkan kalangan bukan Islam berbagai bangsa berada dalam kabinet Wazarah Tanfiz (kementerian yang tidak berkait dengan perkara dasar) dan Idarah (pengurusan) mengikut kepakaran dan kedudukan mereka yang munasabah .

MALAYSIA WAJIB BERPEMIMPIN ISLAM MELAYU

Islam telah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat telah mengubah landskap negara menjadi masyarakat bersama kaum-kaum yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk . Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun negaranya mengikut konsep Islam sepenuhnya dilemahkan oleh penjajah. Namun penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

Berasaskan pelaksanaan Islam yang tersebut, daripada ajaran Islam dan sejarahnya , maka wajib ditegakkan pemerintahanya dengan cara yang betul, bersama kepimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Dalam masa yang sama wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan melibatkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi , pendidikan dan lain lain. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan adanya perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

Adapun ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama daripada politik, ekonomi dan segala pengurusan bermasyarakat, tidak mampu mengawal fanatik dan cauvinisma yang tetap akan merumitkan lagi masalah yang telah sedia ada, bahkan boleh menambahkan kerumitan atau mengundang masalah baru. Kenyataan ini bukan kerana taksub kepada Islam atau kaum bangsa, tetapi melalui hakikat yang wujud dalam ajaran Islam dan perbezaannya dengan ideologi-ideologi lain.

Al-Quran memaparkan segala sistem pemerintahan dunia sejak Nabi Adam tanpa mengira sama ada sistem Ketua Negara secara Malakiah (beraja mengikut warisan) atau Khilafah (mengikut pemilihan). Nabi Daud dan Muhammad SAW secara Khilafah, manakala Nabi Sulaiman AS dan Zukarnain yang adil adalah mengikut system Malakiyyah (beraja), semuanya diiktiraf oleh Allah . Yang diharamkan dan dikutuk ialah pemerintah yang zalim berkuku besi yang menyalah gunakan kuasa, memperhambakan rakyat dan tidak amanah terhadap rakyat dan harta yang menjadi isi negara.

Maka kewajipan kita ialah mengislahkan keadaan dengan melakukan tajdid bagi menghapus peninggalan penjajah dan adat yang negatif dan menerima segala kebijaksanaan berpandukan petunjuk Islam dengan menafsirkan Perlembagaan yang ada mengikut kebijaksanaan sendiri, tanpa pengaruh warisan penjajah. Firman Allah :

يَا عِبَادِ فَاتَّقُونِ * وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِ * الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ *

"Wahai hamba-hambaKu ! Bertaqwalah ! Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada pelampau supaya memperhambakan diri kepada pelampau itu, (sepatutnya) mereka kembali kepada memperhambakan diri kepada Allah sahaja. Bagi mereka berita gembira (kebaikan dunia dan akhirat). Maka sampaikan berita gembira kepada hamba-hambaKu, apabila mereka mendengar kata-kata, nescaya mereka mengikut yang terbaik. Merekalah orang yang mendapat petunjuk Allah dan merekalah orang berakal fikiran (yang bijak)."

(Surah Az-Zumar, ayat 16 - 18)

Sabda Rasulullah SAW juga menafsirkannya, merujuk kepada kitab Sunan Ibnu Majah :

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

"Ungkapan kata yang bijaksana itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka dimana sahaja didapatinya, maka dialah yang paling berhak mengambilnya."

Maka Islam menegakkan tamadunnya dengan menimba semua ilmu yang berfaedah daripada semua sumber, bukan sahaja ilmu wahyu daripada Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW bahkan ilmu dan pengalaman yang bijaksana daripada semua kaum dan negara saperti Rom, Parsi, Mesir, China, India dan lain-lain, bahkan Islam menolak segala yang mungkar dan zalim walau pun daripada kalangan bangsa arab yang dilahirkan di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Maka masyarakat majmuk adalah ruang mesej Islam yang bersifat sejagat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

23 Zulhijjah 1436H / 07 Oktober 2015M


Sila kongsi artikel ini...

Parti Amanah Negara Mahu ‪Kesan Jangka Pendek‬ Dan ‪Jangka Panjang‬ Berhubung ‪TPPAMesti Dikaji Dengan Teliti - YB Khalid Samad

1:18 PM 0 Comments A+ a-



PARTI AMANAH NEGARA MAHU ‪KESAN JANGKA PENDEK‬ DAN ‪JANGKA PANJANG‬ BERHUBUNG ‪#‎TPPA‬ MESTI DIKAJI DENGAN TELITI - YB KHALID SAMAD

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa bahawa Perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement), walaupun telah dipersetujui, namun tidak akan ditandatangani sebelum mendapat persetujuan dari Parlimen dan semua pihak berkepentingan. YB Menteri turut menjanjikan keseluruhan isi kandungan perjanjian akan dikemukakan kepada rakyat dan perbahasan menyeluruh akan diadakan.

2. Kami harap pihak Menteri akan menepati janji tersebut dengan menentukan masa yang cukup dan memadai, bukan sahaja untuk Parlimen, tetapi juga masyarakat umum bagi meneliti dan membahasnya. Begitu juga kami harap bahawa semua teguran akan diambil berat dan diambil tindakan sewajarnya dan perbahasan tidak akan merupakan satu ‘public relations excercise’ semata-mata.

3. Kenyataan Menteri dengan sendirinya mengakui wujudnya berbagai kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati terhadap perjanjian ini. Kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati ini sambil diakui kewajarannya, dijawab dengan sekadar menyatakan bahawa Malaysia telah mendapat ‘konsesi’ dalam hampir kesemua isu yang dikemukakan. Dijelaskan bahawa konsesi tersebut mengambil bentuk ‘keanjalan dari sudut tempoh’ dan ‘layanan berbeza bagi bidang-bidang sensitif negara’. Malangnya kenyataan tersebut tidak menjelaskan aspek ‘keanjalan’ dan ‘layanan berbeza’ yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.

4. Di antara kekhuatiran terhadap perjanjian sebegini rupa adalah bahawa ianya bertujuan untuk menjamin persaingan bebas tanpa kawalan dan campur tangan kerajaan. Ini akan menyebabkan pihak yang lebih kuat dan berkebolehan mengatasi semua pihak lain dan menguasai pasaran. Dengan itu syarikat-syarikat tempatan yang jauh lebih kecil berbanding syarikat antarabangsa Amerika Syarikat dan sebagainya akan terjejas dan dengan sendirinya terpinggir. Pembukaan pasaran di negara rakan TPPA seperti Amerika, Canada dan Australia tidak begitu bermakna sekiranya diakui bahawa syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing walaupun di pasaran negara sendiri. Sekiranya itu benar, maka sudah pasti mereka tidak akan mampu bersaing di negara rakan TPPA!

5. Kekhuatiran yang bersifat lebih menyeluruh adalah berhubung kebebasan dan hak Negara untuk menjalankan usaha ‘penyususnan semula’ ekonomi negara. Usaha seperti ini sudah pasti akan terjejas. Kerajaan akan berada dalam keadaan ‘tangan terikat’ di mana apa jua usaha memberi layanan berbeza dengan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan boleh dipertikaikan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak syarikat asing.

6. Begitu juga dengan persoalan hak milik intellektual yang akan mendatangkan kesan terhadap harga ubat-ubatan khususnya. Penguatkuasaan hak milik intellectual ini akan menyebabkan kos ubat-ubatan melambung dan walaupun ini mungkin baik bagi syarikat-syarikat farmasutikal, sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat jelata.

7. Kami mendapati kesemua persoalan ini dan yang sepertinya difahami Menteri kerana telah disentuh olehnya melalui kenyataan tersebut. Hanya yang tidak dijelaskan adalah sejauh mana ‘konsesi’ yang telah diperolehi menjawab dan menyelesaikan segala kekhuatiran dan perasaan tidak senang hati berhubungnya. Ini akan diselidiki dan diperincikan apabila isi kandungan perjanjian ini didedahkan kepada rakyat untuk dibahaskan.

8. Semestinya Parti Amanah Negara tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat. Namun yang dikhuatiri adalah ianya hanya mendatangkan keuntungan jangka masa pendek sambil menambahkan kebergantungan negara kepada sumber hasil tertentu. Segala usaha untuk mengembangkan kemampuan sektor swasta dan awam dalam bidang lain demi menerokai sumber hasil baru akan tercantas dari awal melalui perjanjian ini. Oleh itu kesan jangka pendek dan jangka panjang perjanjian sebegini perlu dikaji dengan penuh teliti.

9. Ke arah itu Parti Amanah Negara mengalu-alukan jaminan Menteri untuk membawa setiap aspek perjanjian ini untuk dibahas, sambil menjamin tempoh yang memadai untuk perbahasan ini, sebagai satu tindakan yang wajar dan perlu.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara
6 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Seru Rakyat Tolak TPPA Jika Tiada Konsultasi Yang Efektif - Nasrudin Hassan

1:14 PM 0 Comments A+ a-



SERU RAKYAT TOLAK TPPA JIKA TIADA KONSULTASI YANG EFEKTIF

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) minta majoriti rakyat Malaysia menolak Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) sekiranya substantif perjanjian tidak dijelaskan secara telus dan komprehensif terlebih dahulu. Kerajaan perlu mendedahkannya kepada ruang awam sebelum ia dibentangkan di peringkat Parlimen untuk dibahaskan.

2. Kerajaan Malaysia juga harus memberikan jaminan untuk bersedia keluar daripada perjanjian yang diketuai oleh Amerika Syarikat ini sekiranya rakyat menolak substantif yang dikemukakan. Kita tidak mahu proses konsultasi di Malaysia hanya sekadar memenuhi syarat semata-mata sebaliknya pra persetujuan telah diikat dikalangan negara-negara anggota kelmarin.

3. Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global hari ini, Malaysia seharusnya memikirkan inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan dengan negara-negara kontroversi khususnya Amerika Syarikat. Ikatan perjanjian yang termeterai akan menyebabkan Malaysia terdedah kepada konteks ekonomi politik yang berisiko tinggi.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
24 Zulhijjah 1436 / 7 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Pandangan SAMM Berhubung TPPA

5:16 AM 0 Comments A+ a-



Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

06 Oktober 2015

Pandangan SAMM Berhubung TPPA


Pada ketika ini, adalah sukar bagi SAMM untuk meletakkan kepercayaan bahawa Kerajaan melalui MITI telah melakukan penilaian pro dan kontra yang terperinci sama ada Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) ini benar-benar akan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini dan di masa akan datang. Ini adalah kerana kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI semenjak awal sehinggalah ke saat rundingan perjanjian ini berakhir tampak tidak meyakinkan.

Menteri juga tidak memberikan butiran terperinci bagaimana impak TPPA ke atas negara ini sebaliknya hanya memberikan satu arah yang terlalu umum berkaitan soal bidang sensitif dan keanjalan dari sudut tempoh. Kenyataan Menteri ini tidak meredakan kebimbangan dan kegusaran rakyat berhubung dengan beberapa perkara yang termaktub dalam rundingan tersebut. Antaranya seperti hak milik intelektual yang akan dipanjangkan tempohnya kepada 70 tahun. Bagaimana kesan penetapan peraturan ini terhadap ubat-ubatan generik dan juga buku-buku?

SAMM menegaskan Kerajaan Pemerintah perlu memberikan masa yang secukupnya untuk semua pihak menilai isi kandungan perjanjian ini. Kerajaan Pemerintah tidak perlu tergesa-gesa untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini. Kerajaan Pemerintah juga perlu membuka ruang dan peluang kepada semua rakyat untuk memahami isi kandungan TPPA yang akan memberikan kesan kepada kehidupan mereka sama ada secara langsung atau tidak. Seharusnya Kerajaan juga bersedia untuk mengadakan satu sesi konsultasi awam supaya rakyat dapat memberikan pandangan.

Pembentangan atau perbahasan mengenai TPPA di Parlimen nanti tidak seharusnya menjadi satu lagi contoh tipikal bagaimana Kerajaan Pemerintah akan menggunakan sepenuhnya kelompangan sistem Parlimen itu untuk meluluskan perjanjian ini. Seperti mana yang telah berlaku dalam banyak perbahasan Rang Undang-Undang sebelum ini. SAMM sangat curiga bahawa Parlimen Malaysia boleh menjadi medan yang sesuai bagi mengambil satu keputusan yang amat besar ini.

Pengalaman sebelum ini dalam Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi contoh yang paling baik bagaimana sikap dan mentaliti Ahli-Ahli Parlimen Blok Kerajaan akan mengundi membuta tuli tanpa memikirkan kemaslahatan rakyat umum.

TPPA bukan sekadar rundingan perdagangan semata-mata tetapi juga turut membawa perubahan terhadap beberapa perundangan dan dasar negara. Ahli-Ahli Parlimen, pihak berkepentingan dan semua lapisan rakyat perlu sedar dan faham bahawa sebarang perjanjian perdagangan tidak sepatutnya mengusik kedaulatan Malaysia dan juga pembangunan ekonomi negara.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM


Sila kongsi artikel ini...

Hidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB - Tuan Ibrahim Tuan Man

2:50 AM 0 Comments A+ a-



Hidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB

Sebelum ini, 1MDB telah membidas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sejurus beliau menyatakan nilai Ringgit akan pulih jika masalah 1MDB dapat diselesaikan secepat mungkin.

Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan Gabenor mahupun membuat teguran kepada 1MDB – seolah-olah teguran 1MDB diberi lampu hijau. Maklumlah penasihat 1MDB ialah Datuk Seri Najib Razak sendiri yang bertindak sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.


Hari ini, Raja-raja Melayu pula menyatakan kerisauan yang sama bahawa kegagalan kerajaan memberikan jawapan yang menyakinkan telah menyebabkan rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa masalah 1MDB turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak.

Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat Raja-Raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada Raja-Raja Melayu?

PAS menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

Dengan saranan Raja-Raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM dan membenarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

PAS mengharapkan pasukan siasatan ini akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada PAC.

Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan.

Sebagaimana dakwaan Perdana Menteri bahawa tiada penyelewengan dalam isu 1MDB, maka beliau sepatutnya mendokong penuh siasatan dilakukan.

Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi? Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Najib Selamat Dengan 30 Juta Rakyat Malaysia Dipenjara TPPA - Mahfuz Omar

2:40 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

NAJIB SELAMAT DENGAN 30 JUTA RAKYAT MALAYSIA DIPENJARA TPPA.

1. Kenyataan Dato' Mustafa Mohammad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkaitan rundingan TPPA sangat meragukan. Rundingan yang dirumuskan hanya sekadar bersetuju mempertimbangkan kebimbangan dan sensitiviti Malaysia dalam isu-isu pemerolehan kerajaan, perusahan milik negara dan bumiputra, tetapi tiada satu pun pengesahan yang ianya memberi jaminan perlindungan kepada kepentingan tersebut. Pada hal Kerajaan telah bersetuju kandungan perjanjian tersebut.


2. Persoalannya, bagaimana kebimbangan dan senstiviti terhadap kepentingan perlindungan dan Kedaulatan Malaysia dapat diatasi apabila Kerajaan telah pun bersetuju dengan kandungan perjanjian tersebut? Sejauhmanakah pula soal hak kepentingan bumiputra akan dilindungi di bawah TPPA jika sekarang pun Kerajaan sendiri yang mencabuli perjanjian berkaitan hak bumiputra yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan?

3. Jaminan Dato' Mustafa Mohammad bahawa teks perjanjian ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan bukan untuk mengubah kandungan perjanjian yang telah dipersetujui. Perbahasan kepada perkara yang sudah dimuktamadkan hanya sekadar "wayang pacak" untuk memperlihatkan kononnya Kerajaan telah mendapat persetujuan Parlimen yang dikuasai majoritinya Ahli Parlimen mereka daripada BN. Demi kepentingan kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan kepentingan lain, semua Ahli Parlimen BN akan akhirnya akur kepada keputusan Kabinet dan PM Najib untuk melindungi Najib daripada tekanan Amerika terhadap Skandal 1MDB. Najib akan berusaha menyelamatkan diri daripada tekanan kuasa Amerika walaupun memaksa 30 juta rakyat Malaysia terpasung dalam penjara TPPA Amerika.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
6 Okt 2015/22 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Menderap Langkah Menuju Himpunan FASTAQIM - Yusni Mat Piah

12:26 AM 0 Comments A+ a-



MENDERAP LANGKAH MENUJU HIMPUNAN FASTAQIM

Suasana politik Malaysia hari ini menyebabkan rakyat semakin muak dan benci terhadap penyelewengan serta kezaliman yang dilakukan oleh Umno-BN. Rakyat juga dilihat semakin tidak berminat kepada parti politik yang menyajikan pelbagai siri pengkhianatan kepada rakan seperjuangan.


Sedang umum menyaksikan, PAS sebagai sebuah gerakan Islam, dalam mendepani suasana ini, kekal istiqamah bersama Islam yang diperjuangkan. Bahkan PAS dilihat semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti yang diyakini untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan dilakukan Umno-BN.

Buktinya, setiap program dianjurkan PAS telah mendapat dokongan dan sokongan hebat daripada masyarakat. Rakyat berpusu-pusu membanjiri Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) yang telah diadakan di seluruh negara.

Malah, dalam perhimpunan itu juga kita menyaksikan, ribuan borang keahlian baru PAS telah diserahkan kepada pimpinan PAS Pusat tanda rakyat begitu meyakini perjuangan ini.

Kemuncak kepada episod kebangkitan rakyat ini, satu perhimpunan mega telah diatur. Perhimpunan gergasi yang diberi nama Himpunan Fastaqim akan berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-V, Kota Bharu, Kelantan tanggal 17 Oktober ini.

Selaku Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, saya menyeru kepada semua ahli dan pencinta kebenaran untuk kita hadir beramai-ramai menjayakan himpunan tersebut. Semua murabitun parti wajib menghadirkan diri sebagai membuktikan kecintaan kita terhadap parti dan perjuangan agung ini.

Himpunan yang mensasarkan 60 ribu kehadiran ini bakal menjadi 'turning point' kepada kemenangan Islam yang didambakan oleh semua pejuang. Ayuh, kita ke bumi Serambi Makkah menjayakan Himpunan Fastaqim.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang.
6 Oktober 2015 /
22 Zulhijjah 1536H


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.