Gabungan Anak Muda Demi Malaysia mengecam tindakan pihak polis yang melampau dalam menahan peserta Himpunan ‪#‎TangkapNajib‬.

11:30 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

1.8.2015 (SABTU)

Kami Gabungan Anak Muda Demi Malaysia dengan sekeras-kerasnya mengecam tindakan pihak polis yang melampau dalam menahan peserta Himpunan ‪#‎TangkapNajib‬.

Hak berhimpun dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang- undang yang bercanggah dengan peruntukkan ini terbatal secara otomatik. Malah, notis 10 hari yang diwar-warkan oleh pihak polis adalah tidak sah dari segi undang-undang berikutan kes DPP melawan Nik Nazmi.

Terdapat tiga ulasan hari ini.

Yang pertama, tiga daripada wakil Demi Malaysia ditahan semalam bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, kerana kononnya mengganggugugat sistem demokrasi berparlimen negara. Petang tadi, Mandeep Singh direman selama 4 hari, Syukri Razab direman selama 6 hari, dan Adam Adli direman selama 6 hari. Jika didakwa dan disabit kesalahan, mereka berkemungkinan dipenjarakan selama 20 tahun maksimum.

Kita juga mendapat maklumat daripada peguam Demi Malaysia bahawa Safwan Anang dan Fahmi Zainol turut ditahan, dan berkemungkinan besar akan disiasat di bawah seksyen yang sama seperti Mandeep, Syukri dan Adan Adli.

Kedua, Demi Malaysia ingin menegaskan bahawa pihak polis telah memberi jaminan pada hari Khamis bahawa tidak ada penahanan yang akan dibuat sekiranya pihak penganjur bekerjasama dengan pihak polis. Namun, ketiga-tiga wakil daripada gabungan Demi Malaysia yang disebut tadi telah dicekup sebaik sahaja selesai memberikan keterangan di balai polis semalam.

Ketiga, pihak polis telah berjanji semalam bahawa peserta berhak dan dibenarkan berkumpul, dengan syarat kami tidak berarak. Namun sepertimana yang kita lihat petang tadi, 29 peserta telah ditahan secara keras. Mereka dalam linkungan 14 sehingga 69 tahun.

Kesemua 29 orang yang ditahan (23 lelaki & 6 perempuan) akan disiasat bawah Seksyen 143 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan. Kita ingin menegaskan bahawa perhimpunan #TangkapNajib adalah sah di sisi undang-undang.

Sepatutnya Himpunan #TangkapNajib kali ini dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi Timbalan Perdana Menteri baru, yang juga merupakan merangkap Menteri Dalam Negeri yang berkuasa atas pihak polis.

Pihak penganjur #TangkapNajib berpendapat bahawa tindakan keras pihak polis ini bertujuan menakut-menakutkan orang ramai.

Apa tugas pihak polis sebenarnya? Melindungi rakyat, menangkap pencuri, perompak dan penjenayah-penjenayah lain. Namun, ini bukan yang kita perlihatkan. Rakyat marhaen, mahasiswa dan aktivis yang langsung tidak menggugat keselamatan negara ditangkap, manakala yang tertuduh pula bebas. Kita cuma mendesak supaya YAB Perdana Menteri ditangkap dan disiasat.

Persoalan yang timbul sekarang adalah, bolehkah masyarakat umum terus menaruh kepercayaan kepada janji pihak polis dengan janji-janji yang dimungkiri.

Kami ingin menyeru kepada orang ramai supaya tidak kehilangan fokus. Himpunan petang tadi merupakan peringatan kepada orang ramai bahawa isu-isu seperti 1MDB belum selesai. Persoalan “adakah RM2.6bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi YAB Perdan Menteri Najib Tun Razak” sehingga kini belum dijawab.

Anak muda Demi Malaysia menegaskan bahawa kami tidak akan berhenti untuk terus menegakkan keadilan dan menyeru kepada orang ramai untuk terus bersama dalam perjuangan ini.


Young Syefura









--


Sila kongsi artikel ini...

Pelan Tindakan Bersama Untuk Selamatkan Malaysia - Wan Azizah

7:26 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PELAN TINDAKAN BERSAMA UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

Minggu ini menjadi titik hitam di dalam sejarah demokrasi Malaysia. Insiden mirip 1998 menghantui kita apabila sekali lagi seorang Timbalan Perdana Menteri telah dipecat hanya kerana meminta penjelasan.


Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak serupa dengan pemecatan saudara Anwar Ibrahim, walaupun kedua-dua insiden berlaku tatkala Malaysia di ambang krisis; pada 1998 telah berlaku krisis kewangan Asia, dan pada 2015 pula krisis skandal kewangan 1MDB.

Kali ini bukan sahaja seorang Timbalan Presiden telah dipecat, malah juga seorang Peguam Negara, dan telah berlaku beberapa penggantian termasuk Pengarah Cawangan Khas. Terkini merupakan tangkapan yang dibuat terhadap seorang bekas penasihat SPRM dan pegawai di Jabatan Peguam Negara. Memang ini memberi persepsi kepada kita bahawa pemecatan, penggantian, dan tangkapan ini berkait dengan krisis skandal kewangan 1MDB.

Minggu lepas saya selaku Ketua Pembangkang mengadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil gerakan masyarakat sivil untuk membincangkan halatuju politik negara. Luahan hati masyarakat sivil jelas, iaitu Ahli-Ahli Parlimen yang sayangkan tanah air kita, tidak kira dari pihak Pembangkang mahupun Barisan Nasional dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatu untuk selamatkan Malaysia.

Muafakat dan kesepakatan menyelamatkan Malaysia ini harus berasaskan agenda reformasi tulen dan menyeluruh, dan salah satu dokumen rujukan yang boleh menjadi titik rujukan kerangka muafakat ini ialah Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Malah ‘Pelan Tindakan Demi Rakyat’ yang dilancarkan Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa NGO lain juga perlu diambil kira, dan cadangan-cadangan di dalam pelan tersebut boleh digunapakai jika bersesuaian.

Dalam masa terdekat, saya akan bertemu dengan Ahli-Ahli Parlimen dari pihak Pembangkang dan juga sesiapa sahaja yang berniat untuk menyelamatkan Malaysia. Kita tidak punyai masa yang banyak; negara kita di ambang krisis dan malapetaka ekonomi yang luas. Ugutan dan amaran pihak yang mahu kekal berkuasa tidak harus menghalang kita dari melaksanakan kewajipan menyelamatkan negara tercinta kita ini.

Demi Malaysia. Demi Rakyat!

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

1 Ogos 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

Penangkapan Aktivis & Peserta Himpunan ‪#‎Tangkapnajib‬ Bukti Pm Takut Suara Rakyat

7:24 PM 0 Comments A+ a-



PENANGKAPAN AKTIVIS & PESERTA HIMPUNAN ‪#‎TANGKAPNAJIB‬ BUKTI PM TAKUT SUARA RAKYAT

Beberapa aktivis rakyat yang memperjuangkan hak kita semua supaya bebas dari pemerintahan yang korup dan zalim ditangkap hari ini.

AMK Perlis amat kecewa atas tindakan sedemikian kerana ia menyekat hak rakyat dalam kebebasan bersuara.


Ini membuktikan Datuk Seri Najib Razak takut dengan melihat realiti rakyat terhadap pemerintahannya sekali gus beliau seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan bahawa beliau gagal mentadbir negara.

Dengan cara yang dilakukan Najib ini, ternyata lebih jelas beliau adalah pemerintah kuku besi.

Sepatutnya Najib harus malu bahawa semakin ramai rakyat yang bangkit hari ini menentang pemerintahan beliau dan Barisan Nasional (BN) yang mana beliau harus meletakkan jawatan dengan segera.

Najib dilihat menggunakan kuasa yang ada supaya suara rakyat terpadam, tapi beliau harus ingat kuasa mutlak adalah ditangan rakyat untuk menentukan siapa yang layak mentadbir negara.

Di sini, AMK Perlis membantah sekeras-kerasnya tindakan yang diambil Najib dengan menggunakan pihak berkuasa untuk 'menutup' mulut rakyat.

AMK Perlis mahu mengingatkan beliau supaya jangan menyalahgunakan kuasa yang ada. Jika hari ini beliau mahu 'menutup' mulut rakyat, akan lebih ramai lagi pejuang-pejuang rakyat diluar sana akan menentang pemerintahan rejim Najib dan BN.

MOHD SHAHRUN RADZI SALEHUDIN
KETUA AMK PERLIS

1 OGOS 2015



 
--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Fitnah Terhadap Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang Yang Di Dakwa Menjadi Pusat Penyebaran Hadis Palsu

7:19 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Fitnah Terhadap Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang Yang Di Dakwa Menjadi Pusat Penyebaran Hadis Palsu

Saya menerima panggilan yang banyak untuk memintak penjelasan terhadap isu Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang menjadi pusat penyebaran Hadis Palsu di Pulau Pinang yang telah disebarkan Atas Nama Dr Jailani (Penguam) Melalui Aplikasi Whatsapp Dr Maza.

Ini Jawapan saya :

Pertama sekali saya merasa begitu kesal atas fitnah yang dibuat. Namun saya mengambil sikap yang diajarkan oleh Islam adalah dengan meminta kepastian dan penjelasan dengan menghubungi sendiri Dr Jailani dan dalam perbualan kami beliau sendiri tidak pasti adakah kenyataan itu benar ataupun tidak dari Dr Maza.

Maka disini jelaslah bahawa sebaran ini jelas sekali tidak berasas dan hanyalah fitnah semata-mata kerana kami tidak pernah menubuhkan Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang untuk tujuan demikian.

Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan dan menuntut kepada Dr Maza dan Dr Jailani yang sengaja atau dengan tidak sengaja membangkitkan berita ini, supaya memberikan kenyataan rasmi terhadap isu ini secara terbuka kerana dengan sebab PENAMA ini telah mengecewakan hati-hati dan menghilangkan kepercayaan mereka yang telah membuat sumbangan terhadap Institusi ini (PPDHPP).

Perbuatan fitnah ini juga boleh menggagalkan impian kami untuk membina Pusat Pengajian dengan mengumpul dana pembelian tanah di Lot 439 & 440 Pokok Machang Tasek Gelugur seluas 5,4 ekar yang berharga RM2,008660.40

Jesteru, saya dengan hati yang terbuka juga meminta kepada mereka yang telah membuat dan menabur fitnah terhadap kami supaya memohon maaf kerana fitnah memfitnah ini bukanlah ajaran yang diajar oleh Islam.
Bertapa ruginya ummat Islam dalam isu fitnah ini

Sekian dari saya,

Mohmad Hanif Bin Haron
Mudir,
Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang
1 Ogos 2015 Sabtu
Jam 6.10 petang

s

--


Sila kongsi artikel ini...

Jangan Ganggu Sprm Siasat Isu 1MDB - Wan Azizah

7:15 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

JANGAN GANGGU SPRM SIASAT ISU 1MDB

KEADILAN memandang serius tangkapan yang dibuat Polis Di-Raja Malaysia hari ini terhadap seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta seorang pegawai Jabatan Peguam Negara. Siri tangkapan ini kelihatan seperti satu amaran berbaur ugutan kepada SPRM, yang merupakan salah satu agensi kerajaan yang terlibat di dalam pasukan siasatan khas terhadap isu skandal kewangan 1MDB.


Kesemua agensi kerajaan yang terlibat di dalam siasatan terhadap 1MDB wajib diberi ruang dan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan siasatan tersebut. Agensi-agensi ini tidak patut diganggu, dan sebarang penukaran petugas atau tangkapan seperti yang berlaku hari ini hanya menimbulkan syak wasangka dan keraguan tentang kebebasan jawatankuasa tersebut untuk melakukan siasatan.

Pada masa yang sama, saya menggesa Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih sayangkan negara kita untuk mendengar suara rakyat yang mendahagakan kebenaran. Janganlah berdiam diri di dalam isu 1MDB ini. Janganlah takut, kerana Rakyat pasti akan bersama kita di dalam menegakkan kebenaran.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

1 Ogos 2015




--


Sila kongsi artikel ini...

Rakyat Johor Terus Menderita Akibat Kegagalan Kerajaan BN Johor Menguruskan Air - Khairul Faizi

7:09 PM 0 Comments A+ a-



RAKYAT JOHOR TERUS MENDERITA AKIBAT KEGAGALAN KERAJAAN BN JOHOR MENGURUSKAN AIR
Tarikh : 1 Ogos 2015

Pengumuman kenaikan tarif air di Johor antara RM2 dan RM3 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang bermula pada hari ini adalah merupakan berita dukacita bagi seluruh rakyat Johor. Ia secara tidak langsung terus membuktikan bahawa penswastaan Air Johor sebelum ini merupakan satu kegagalan yang berterusan oleh kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ura-ura bahawa tarif air di Johor akan dinaikkan telahpun sampai kepada pengetahuan umum pada September tahun lalu apabila Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Johor iaitu Datuk Ir Hasni Mohammad membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri Johor akan memutuskan cadangan kenaikan tarif air selewat-lewatnya awal tahun 2015. Namun ia telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana kerajaan negeri tidak menerima sebarang permintaan atau kertas cadangan untuk menaikkan tarif air di Johor pada ketika itu.

SPAN telah menaikkan tarif ini atas cadangan daripada Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd yang sebelum ini merupakan syarikat swasta yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 1999 namun telah menemui kegagalan yang berterusan termasuklah meningkatkan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat akibat kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.

Akibat daripada kegagalan ini maka satu perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan air di Johor di kerajaan Pusat, kerajaan negeri Johor, Randhill dan SAJ telah dilakukan yang mana ia melibatkan pengambilalihan aset-aset berkaitan air Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi yang dianggar sebanyak RM4.025 bilion, manakala liabiliti ataupun tanggungan ke atas aset-aset berkaitan air tersebut pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion. [1]

Keputusan SPAN menaikkan tarif air Johor yang sebelum ini adalah merupakan tarif air yang tertinggi di Malaysia [2] adalah merupakan tambahan bebanan baru terhadap rakyat Johor yang semakin terhimpit kehidupan mereka akibat daripada kos sara hidup yang semakin tinggi.

PAS Johor ingin mempertegaskan bahawa bebanan rakyat Johor yang terpaksa membayar tarif yang tinggi ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan Johor pimpinan UMNO/BN kerana menswastakan perbekalan air Johor sebelum ini.

Justeru PAS Johor membantah kenaikan tarif yang telah diumumkan ini kerana ia tidak menyelesaikan masalah yang sepatutnya diberikan perhatian oleh SPAN.

Sekian. Wassalam.


Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruh Jaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor




1. http://www.khairulfaizi.net/2011/05/penswastaan-air-johor-gagal-di-bawah.html
2. http://www.span.gov.my/index.php/en/statistic/water-statistic/water-rates







--


Sila kongsi artikel ini...

Tindakan Saman Terhadap Yb Mohd Rafizi Ramli - Khairul Azwan Harun

2:13 PM 0 Comments A+ a-



TINDAKAN SAMAN TERHADAP YB MOHD RAFIZI RAMLI

Ingin saya maklumkan bahawa hari ini peguam saya telah memfailkan tindakan undang-undang (saman) di mahkamah terhadap YB Mohd Rafizi Ramli ke atas tohmahan serta fitnah beliau ke atas saya mengenai isu transaksi perniagaan yang dilakukan oleh MARA baru-baru ini.


Tindakan ini diambil setelah tempoh yang saya berikan kepada beliau untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan telah tamat.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa dakwaan beliau itu adalah tidak betul dan berniat jahat terhadap saya serta Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Saya membuat keputusan ini atas dasar menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah insititusi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta jawatan yang telah diamanahkan kepada saya.

Sekali lagi ingin saya ingatkan kepada semua bahawa Pemuda UMNO dan saya sendiri menyokong serta menggalakkan perdebatan sihat, perbezaan pendapat serta percambahan idea namun kita tidak boleh biarkan budaya pembohongan serta penipuan berleluasa kerana ini akan merosakkan suasana berpolitik di negara kita ini.

Berani kerana benar maka beranilah mencari kebenaran.

Sekian.

Khairul Azwan Harun
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia


s


--


Sila kongsi artikel ini...

Tan Sri Pandikar Amin Mesti Kotakan Apa Yang Dikata - Zulhazmi Shariff

12:09 AM 0 Comments A+ a-



TAN SRI PANDIKAR AMIN MESTI KOTAKAN APA YANG DIKATA.

Sebelum ini Tan Sri Pandikan Amin Mulia, Yang DiPertua Dewan Rakyat semasa menafikan kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat berkata, beliau hanya mahukan Parlimen yang bebas yang tidak mengikut telunjuk kerajaan. Sekarang nampaknya Tan Sri Pandikar bukan seperti yang beliau idamkan sebelum ini.

Semalam, Tan Sri Pandikar dilaporkan berkata bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh bermesyuarat sehingga dilantik seorang Pengerusi yang baru pada sidang Oktober nanti memandangkan Pengerusi PAC sebelum ini Datuk Nur Jazlan mengosongkan jawatan kerana dilantik menjadi Timbalan Menteri dalam rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Lebih pelik apabila Tan Sri Pandikar memetik Peraturan Mesyuarat 77 (3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa walau pun Peraturan 77 (3) memberikan kuasa kepada ahli-ahli PAC melantik seorang ahli lain sebagai Pengerusi jika Pengerusi dan Naib Pengerusi tiada akibat uzur atau sebab-sebab lain.

Peraturan 77 (3) adalah seperti berikut :-

(3) Semasa ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi oleh kerana keuzuran atau lain-lain sebab, Jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi seorang Pengerusi yang akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa itu.

Peraturan tersebut JELAS bahawa dalam ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi oleh kerana keuzuran atau sebab-sebab lain, ahli-ahli jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang yang lain menjadi Pengerusi.

Kita lihat dalam keadaan sekarang, Pengerusi tiada tetapi PAC masih mempunyai Naib Pengerusi yang boleh bertindak sebagai Pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat. Justeru tidak timbul isu ahli perlu melantik orang lain kerana Naib Pengerusi sedia ada masih wujud dan berfungsi. Peraturan 77 (3) mengatakan jika kedua-dua Pengerusi dan Naib Pengerusi tiada, tetapi sekarang Naib Pengerusi masih ada.

Malah jika ahli perlu melantik ahli yang lain pun tidak menjadi masalah kerana Peraturan 77 (3) jelas menyatakan bahawa jika Pengerusi atau Naib Pengerusi tiada atas keuzuran atau lain lain sebab. Dalam hal ini, Pengerusi mengosongkan jawatannya, maka ianya termasuk dalam "lain-lain sebab" yang mewajarkan Jawatankuasa memilih ahli lain sebagai Pengerusi.

Tan Sri Pandikar juga berkata mesyuarat PAC juga tidak wajar diteruskan kerana 3 lagi ahli yang lain juga telah melepaskan jawatan kerana turut terlibat dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ini juga suatu kenyataan yang pelik kerana walau pun 3 orang ahli tiada, PAC masih cukup korum yang mana sekarang masih ada 9 ahli termasuk Naib Pengerusi.

Perlu diambil perhatian bahawa PAC hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 6 orang ahli dan tidak lebih 12 ahli tidak termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi. Ini disebut dalam Peraturan 77 (2) seperti berikut :

(2) Jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis dan tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen

Sekarang PAC masih mempunyai 9 ahli termasuk Naib Pengerusi justeru PAC masih boleh berfungsi seperti sedia ada dan perlantikan ahli baru boleh dibuat semasa sidang Oktober nanti.

Tan Sri Pandikar tidak perlu bersusah payah menjaga kepentingan pihak tertentu sehingga menggadaikan kebebasan dan kehormatan Parlimen seperti yang beliau mahukan.

Buktikan bahawa Parlimen ialah sebuah institusi bebas yang menjunjung konsep keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan hak rakyat.

Jangan cuba jadikan Parlimen sebagai tempat berselindung mana-mana pihak yang menggadai hak rakyat.

BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF
31072015











--


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.