Mesej Untuk Rakyat Malaysia - Tunku Mahkota Johor

1:37 AM 0 Comments A+ a-



MESEJ UNTUK RAKYAT MALAYSIA

Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda. Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat. Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia. Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang.

Dalam aturan dunia yang baru, saya membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing. Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur. Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka. Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi.

Akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang. Kita akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.

Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka. Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.

Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka. Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.

Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu-isu nasional yang lain. Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti.

-DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor








--


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan DS Anwar mengenai Pakatan Rakyat

3:33 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media: Perutusan DS Anwar mengenai Pakatan Rakyat

Semalam saya telah bertemu DS Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh berkenaan beberapa kes mahkamah. Berikut adalah perutusan beliau yang dituju kepada rakan-rakan politik dan rakyat Malaysia, yang beliau sampaikan kepada saya dalam pertemuan tersebut:

“Saya amat risau dengan perkembangan terkini berkenaan Pakatan Rakyat, yang telah diwujudkan sebagai alternatif kepada sistem politik yang gagal dan urus tadbir kerajaan yang lemah di bawah Barisan Nasional.

Saya kesal dengan usul untuk memutus hubungan dengan DAP yang telah diterima di Muktamar PAS. Saya gesa rakan politik kami PAS untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas, dan agar ia tidak dilaksana pada ketika ini.

DAP yang telah lama menjadi teman dan rakan seperjuangan, terus komited dengan perjuangan untuk membawa perubahan. Saya juga tahu yang DAP bersama kami dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan menjadi pilihan alternatif rakyat.

Di bawah BN, keadaan semakin teruk. Rakyat terbelenggu dengan GST dan hutang mahabesar 1MDB; manakala polemik perkauman dan agama masih belum reda.

Adalah menjadi harapan besar rakyat agar Pakatan Rakyat terus mara untuk menyelesai masalah-masalah politik dan ekonomi yang semakin teruk di bawah pentadbiran BN.”

DS Anwar Ibrahim juga telah menghantar pesanan khusus berkenaan isu ini kepada Sdr Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

N SURENDRAN
Ahli Parlimen Padang Serai
Anggota Biro Politik KEADILAN

9 Jun 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.