Kongres Rakyat: Suara Rakyat, Resah Rakyat - Wan Ahmad Fayhsal

11:37 PM 0 Comments A+ a-


KONGRES RAKYAT: SUARA RAKYAT, RESAH RAKYAT

Macam biasa laporan media mahukan sensasi. Dalam banyak-banyak isi Kongres Rakyat, yang dijadi buah mulut dan sensasi adalah perihal menyalak babi dalam bukit seperti tamsilan Tuan Guru Haji Hadi.

Ada beberapa pandangan yang menarik khusus Tuan Guru Haji Hadi mengulas perihal dan kedudukan orang Melayu sebagai pemimpin di tanah bertuah ini. Syaratnya Islam mesti dijadikan panduan sepenuh-penuhnya. Semua orang Melayu yang ada akal yang sihat pasti setuju dengan ni tak kira parti apa pun.

Saya dah lama tidak ke kongres sebegini. Zaman siswa dulu memang selalu bersama Cikgu Azmi ke sana ke mari dalam banyak kongres. Kali ini saya bawa isteri yang pertama kali hadir ke kongres yang mana ramai tunjangnya digerakkan oleh ahli PAS.

Isteri saya sendiri kagum melihat sifat gotong-royong unit AMAL yang mengendali logistik dan aturan majlis. Kita tahu bahawa sukarelawan PAS selalunya menyumbang tenaga dan masa secara sukarela tanpa dibayar, sedang kita maklum kebanyakan program UMNO sukar digerakkan tanpa "pelincir" dan "saguhati".

Semalam kami saksikan rakyat marhaen dan mustad'affin (golongan susah dan tertindas) yang datang daripada latar belakang seperti nelayan, petani, pekerja kilang, ibu tunggal, OKU, orang FELDA, guru sekolah melahirkan rasa kecewa dan marah mereka kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Semua daripada mereka rasakan diri mereka dipermain-mainkan dengan kata-kata berbelit dan simpang siur.

Kenapa rakyat benci UMNO? Sebenarnya kebencian itu bukan pada UMNO tetapi rasuah dan pecah amanah. Disebabkan korupsi yang terlampau (blatant corruption) dan pecah amanah itu terlampau sinonim dengan UMNO penilaian penyokong parti pembangkang acap kali menyatukan keduanya walaupun tidak semestinya "rasuah" dan "UMNO" itu "mutually inclusive".

Walaupun korupsi, pecah amanah, politik wang membarah dalam UMNO tidak bermakna semua ahli UMNO jahat atau jatuh kafir. Mereka ada hak mereka yang kita perlu hormati juga walaupun kita membenci kesalahan dan kesilapan sesetengah pemimpin UMNO yang lupa daratan.

Jangan jadikan luka lama berdarah semula dalam merapatkan saf sesama kaum Muslimin. Memang sukar sebab itu kita kena faham latar dan gambaran besar masalah.

Kita maafkan sajalah golongan ini. Mereka perlu bimbingan agar kemarahan mereka kepada mana-mana penguasa korup itu tidak gelincir pada lembah kezaliman. Berpada-pada.

Bagi saya, perwakilan dan pemerhati perlu bangkitkan dan belajar bagaimana mantan orang kanan almarhum Tun Razak seperti Tan Sri Abdul Aziz Rahman bangkitkan dan tunjukkan kepada kita bagaiamana berjuang dalam saluran demokrasi menggunakan otak yang cerdas. Bila saya lihat deraf rang undang-undang Autoriti Pengurusan Kemiskinan yang diusulkan oleh Tan Sri Aziz, ianya adalah himbauan kepada kegeniusan pasukan Tun Razak, Tun Dr Ismail dalam menyusun atur semula masyarakat dan ekonomi guna Dasar Ekonomi Baru (tolak tepi ketirisan dan salah laku dalam pelaksanaan). PAS khusus ahli parlimen PAS boleh belajar daripada sini dan perjuangkannya dalam parlimen nanti! Kita alu-alukan semua wakil rakyat memperjuangkan rang undang-undang ini demi maslahah rakyat!

Dalam ucapan saya, telah saya bangkitkan dan cuba letakkan pergeseran UMNO vs PAS; PAS vs AMANAH, PAS vs DAP dalam konteks yang lebih kecil dari segi pemberat kepada maslahah politik negara. Kita terlampau disibukkan sehingga kita hilang punca tentang cabaran geopolitik dan politik ekonomi antarabangsa yang menatijahkan kepada arus deras sekularisasi berupa "rampasan ekonomi kewangan ke atas ekonomi tampak" (financialization of real economy).

Rintihan dan kekecewaan rakyat daripada pelbagai golongan memang ada asas dan mereka semua adalah mangsa termasuk UMNO dan Barisan Nasional, dalam perangkap samar jenayah kolar putih seperti Sabotaj Ekonomi melalui perbankan ribawi, TPPA dan sebagainya.

Sebagai anak muda yang berpendidikan tinggi, beban ilmu adalah amanah untuk kita perjuangkan menyelesaikan semua simptom-simptom yang dirintihkan golongan mustad'afin tadi yang berpunca daripada akar masalah yang sebenarnya terbit di universiti yang mengajar ilmu-ilmu yang merosakkan lagi tidak bermanfaat!

Mana orang kampung faham apa itu ekonomi neo-liberalisme, "fractional reserve banking" yang menggugat keadilan dalam rantaian nilai pertanian, perikanan, perkilangan, pendidikan dan banyak lagi???

Saya sendiri berhempas pulas dalam ucapan saya nak terangkan permainan geopolitik agensi rating seperti S&P, Moody's, Fitch dalam meranapkan ekonomi sesebuah negara seperti mana Russia dan Brazil kena.

Walau apa pun tahniah kepada sekretariat Kongres Rakyat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Cikgu Azmi dan ahli-ahli sukarelawan daripada PAS yang menjayakan program ini.

Saya syorkan tuan-tuan tonton dan dengar ucapan Tan Sri Aziz Rahman kerana pada hemat saya dalam Kongres Rakyat, "Poverty Management Bill" yang diusulkan beliau adalah satu senjata paling ampuh untuk Kongres Rakyat dan kita semua perjuangkan selepas ini: https://youtu.be/Z8CWlw0keZM?t=4h6m53s

Juga pidato ringkas saya selama 7 minit tentang cabaran geopolitik dan jerat hutang ke atas kedaulatan negara: https://youtu.be/Z8CWlw0keZM?t=6h9m22s


Sila kongsi artikel ini...

PAS Tegas Tidak Terlibat Perhimpunan 16 Sept - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:24 PM 0 Comments A+ a-



PAS tegas tidak terlibat Perhimpunan 16 Sept

PAS berasa kesal di atas tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan bendera dan lambang parti PAS dan cubaan mengaitkan parti di dalam himpunan 16hb September ini.

PAS telah menegaskan bahawa ia tidak terlibat dalam himpunan tersebut dan turut melarang mana-mana ahli menghadirkan diri.


Perhimpunan yang menyuburkan unsur perkauman ini langsung tidak membantu negara malah ia melemahkan perpaduan nasional dan akan merosakkan lagi imej Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak kerana dianjur oleh orang besar Umno Tan Sri Ali Rustam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Parti Amanah Negara Akan Segera Bertemu ROS

9:18 PM 0 Comments A+ a-



PARTI AMANAH NEGARA AKAN SEGERA BERTEMU ROS

www.amanahnegara.org


1. Saya dimaklumkan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengeluarkan kenyataan melarang sebarang aktiviti atas nama Amanah kerana pertukaran nama daripada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan.


2. Saya agak terkejut kerana hanya mendapat tahu maklumat berkenaan daripada pihak media yang menghubungi saya untuk mendapatkan reaksi terhadap perkara itu.


3. Untuk makluman, kita telah menghantar permohonan menukar nama, logo, bendera dan beberapa pindaan struktur parti kepada pihak ROS.


4. Saya yakin bahawa ROS yang telah diberi amanah oleh kerajaan untuk mengurus pendaftaran pertubuhan termasuk parti-parti politik, akan menjalankan tugas mereka secara profesional.


5. Oleh itu, saya akan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat ROS pada kadar segera untuk berbincang dan memberi penjelasan jika terdapat salah tanggapan dalam perkara ini.


HAJI ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
13 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Apa Motif Himpunan Warga FELDA Sempena Hari Malaysia - Mazlan Aliman

9:16 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA: APA MOTIF HIMPUNAN WARGA FELDA SEMPENA HARI MALAYSIA

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) mohon penjelasan kepada Pengarah Besar Felda, Dato' Hanapi Suhada, berhubung surat yang dikeluarkan oleh Zulhai bin Mohd Nor Affendy, yang mendakwa bagi pihak Pengarah Pembangunan Komuniti FELDA, mengenai arahan Himpunan Warga Felda Sempena Hari Malaysia pada 16 september ini.

1. Adakah ianya program resmi Felda dan dalam pengetahuan Pengarah Besar?
2. Apakah yang dimaksudkan dengan ' Perhimpunan yang melambangkan kebersamaan dan kebersatuan warga Felda turut disertai pertubuhan dan badan badan bukan kerajaan'?
3. Adakah ianya mempunyai kaitan dengan Himpunan Baju Merah yang dibuat pada tarikh yang sama?
4. Menerusi anggaran 20,000 peserta dan menggunakan 500 buah bas, adakah kosnya di tanggung Felda?


Ngo ANAK mohon penjelasan, apakah motif di sebalik Himpunan tersebut. Jika ianya ada kaitan dengan Himpunan Baju Merah, ANAK menggesa agar ianya DI BATALKAN. Felda tidak harus terlibat dengan aktiviti yang mengundang risiko keselamatan dan mengeksploitasi warga Felda untuk agenda politik pihak tertentu. Jika ia menggunakan bajet Felda, ia adalah salah guna kuasa yang pihak polis atau SPRM mesti menyiasatnya.

Di saat warga Felda sedang tertekan dengan berbagai isu seperti FGV, KPF, hutang tanam semula, perumahan generasi kedua, kadar perahan gred dan kos sara hidup; aktiviti yang membazirkan wang rakyat mestilah dihentikan. Bahkan, kejatuhan harga komoditi sawit dan getah, telah menambah derita peneroka dan pekebun kecil di seluruh negara. Fokus menangani kehidupan rakyat adalah keutamaannya, bukan mengheret rakyat kepada kegiatan yang memudaratkan negara.

' MENERAJUI PERUBAHAN '

Mazlan Aliman
Presiden ANAK
13 Sept 2015


Sila kongsi artikel ini...

Bersatu Menentang Pencerobohan di Banggol Donas, Kuala Nerus - Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

9:13 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus

Bersatu Menentang Pencerobohan di Banggol Donas, Kuala Nerus

Saya mendapat perkhabaran daripada Tn Hj Salleh Embong, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kg Banggol Donas berdasarkan sumber yang boleh dipercayai oleh beliau bahawa operasi perobohan rumah-rumah kediaman di kg Banggol Donas akan dilakukan pada esok Isnin 15 Sept 2015 bermula jam 7 pagi.


Ini adalah kali ke 3 ancaman hendak merobohkan rumah-rumah penduduk yang masih dalam kes perbicaraan mahkamah ini dilakukan.

Isu keesahan Notis 425 telah dirujuk ke Mahkamah dan tarikh perbicaraan rayuan ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 22 oktober dan 5 Nov 2015. Selagi ianya masih dalam proses pertikaian mahkamah, status tanah tersebut masih kekal menjadi milik penghuninya yang tidak wajar dicerobohi atas nama undang-undang negara dan hukum Islam.

Pihak berkuasa sewajarnya akur kepada undang-undang untuk tidak bertindak terhadap sesuatu kes yang masih dalam kes perbicaraan. Malah akhlak sebagai muslim juga menuntut untuk ditangguhkan sebarang tindakan kes yang masih dalam pertikaian di mahkamah.

Saya mengajak seluruh rakyat Kuala Nerus yang membenci kezaliman untuk turut hadir memberi sokongan kepada penduduk Banggol Donas esok hari bagi menghalang perlakuan percerobohan yang tidak beretika.

Sekian.

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad 13hb September 2015
6.15 ptg


Sila kongsi artikel ini...

YB Dato' Mahfuz Omar, Hentikan Kenyataan Keliru - Jab Penerangan PAS

7:44 PM 0 Comments A+ a-



YB DATO' MAHFUZ OMAR, HENTIKAN KENYATAAN KELIRU.

Saya harap YB Dato' Mahfuz Omar membantu memperkukuhkan parti seperti pengorbanan yg dibuat oleh akar umbi PAS seluruh negara yg berusaha keras sekarang sehingga mencatat keahlian baru PAS antara 9,000 ke 10,000 setiap bulan.

Di Kongres Rakyat semalam, Mantan Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, antara yg paling lama pernah menjadi menteri, menyebut dengan lantang dan jelas, politik di Malaysia ini tunjangnya orang orang Islam khususnya melayu yg menjadi majoriti rakyat. Parti parti lain ada pemimpin, tapi tiada dokongan massa, iaitulah akar umbi rakyat.


Yang ada kekuatan ini hanyalah UMNO dan PAS. Katanya UMNO telah rosak dan wajib ditolak.

Kalau nak cakap dan bincang kerjasamapun, UMNO kena yakinkan rakyat dulu yg dia dah bertaubat. Ujar Tan Sri dalam ucapannya di pentas Kongres Rakyat yg dihadiri kira kita 10 ribu peserta dari seluruh negara termasuk perwakilan Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Kadir melaungkan dengan jelas, sekarang, PAS tunjang politik Malaysia. Mahu bentuk kerajaan, mesti ada parti tunjang!

Saya harap ada yg dapat buat keratan video ucapan ini kerana ia banyak manfaat dan menginsafkan datang dari orang lama politik.

Kalau Tan Sri Kadir boleh berucap begini, sebagai orang lama dalam PAS yg banyak berjasa, Dato Mahfuz selayaknya memperkukuhkan lagi dengan kenyataan kenyataan positif yg membantu momentum yg sedang terbina dalam PAS sekarang.

Di Kongres Rakyat semalam, Sdra Tian Chua, Naib Presiden PKR pun boleh hadir. Malah Hj Mustafa Kamil, juga pimpinan tertinggi PKR, bertugas sepanjang hari sebagai Speaker Kongres Rakyat.

Tan Sri, Dato' Seri, Dato' dan orang kenamaan boleh hadir untuk bersama rakyat

Akar umbi kecewa kelibat YB Dato' Mahfuz tak kelihatan.

Lebih terluka lagi, di saat kita bersyukur, gelombang kemasukan ke dalam PAS sedang berlaku termasuk 6,000 orang ahli baru di Selangor dalam tempoh 3 minggu di PIHAK 13.0 Banting semalam dan begitu juga dari kalangan warga Felda di Cerul dan Jerangau di Terengganu, Dato Mahfuz pula terus mengeluarkan kenyataan kenyataan bernada keliru.

Sayang sungguh!

Akar umbi masih hormat dan sayang pada YB Dato' Mahfuz Omar.

Kembalikan Singa PAS yg kami kenali dulu. Kami akan terus dokong YB.

Tapi jika YB terus keliru, PAS akan terus ke hadapan, tak menoleh ke belakang lagi.

HJ. AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
13hb. September 2015


Sila kongsi artikel ini...

IKRAM: Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)

6:27 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

12 September 2015 bersamaan 29 Zulkaedah 1436H

Penglibatan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus Dalam Parti Amanah Negara (AMANAH)


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus sebagai Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) seperti yang diumumkan oleh Pengerusi AMANAH, Hj Mohammad Sabu dalam sidang media pada 31 Ogos 2015.

IKRAM menghormati keputusan Ustaz Hasanuddin untuk melepaskan jawatannya dalam IKRAM dan terlibat aktif dalam politik sepertimana yang diucapkan beliau dalam program perlancaran parti tersebut.

Sebagai Timbalan Presiden dalam IKRAM untuk penggal 2014-2018, beliau telah menunjukkan kegigihan dan kesungguhan yang amat tinggi dalam mempelopori usaha-usaha IKRAM khususnya dalam membina rangkaian hubungan dan melaksanakan program perubahan ke arah kebaikan dan kesejahteraan negara menerusi pelbagai relung amal di dalam dan juga di luar negara.

IKRAM percaya dengan latar belakang, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau boleh berjaya dalam apa juga medan yang bakal diceburi.

IKRAM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas sumbangan yang amat besar kepada IKRAM khasnya dan masyarakat umum amnya.

Semoga beliau dapat terus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia dalam lapangan politik kepartian yang diceburinya.

IKRAM berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah-Nya dalam setiap urusan beliau.

Selamat maju jaya.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.