Kenapa Belanjawan Jabatan Perdana Menteri Tinggi? - Wan Ahmad Fayhsal

10:44 PM 0 Comments A+ a-



KENAPA BELANJAWAN JABATAN PERDANA MENTERI TINGGI?

Saya salah seorang tenaga kerja dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada tahun 2012. Saya asalnya eksekutif di PETRONAS kemudian mendapat tawaran menjadi eksekutif kanan (senior executive) di TERAJU. Yang bawa saya keluar daripada PETRONAS ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, ketika itu Menteri Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di JPM.

Bos saya di bawah bahagian pengurusan stakeholder ialah En. Norizan bin Sharif kini menerajui IKSEN. Antara sumbangan saya di TERAJU ialah menyiapkan blueprint Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang kini ramai anak Melayu dan Bumiputera mendapat manfaat daripadanya.

TERAJU diwujudkan oleh DS Najib Razak sebagai ganti kepada pelupusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang kali terakhir menterinya ialah Dato' Noh Omar.

TERAJU adalah satu daripada 66 agensi dan jabatan yang bernaung di bawah JPM. (rujuk: https://goo.gl/MZwV5J)

Jadi tidak hairan mengapa JPM terima belanjawan yang sangat besar hasil daripada dasar "agensifikasi" (agensification) kerajaan DS Najib Razak.

Apakah tujuan agensifikasi ini? Salah satunya ialah untuk menarik "talent" dari luar Jabatan Perkhidmatan Awam khususnya swasta untuk berkhidmat dengan kerajaan. Maknanya membuka ruang kerja-kerja PTD untuk pihak luar untuk sumbang tenaga kepada kerajaan.

Sudah tentu skim "emolument" (gaji, manfaat) haruslah bersifat "attractive" (menarik) dan berbaloi untuk tarik "talent" ini ke dalam agensi kerajaan. Seperti saya yang sudah berada dalam PETRONAS, syarikat negara yang satu-satunya dalam Fortune 500, kalau pakej tawaran kerja di TERAJU tidak menarik dan lebih rendah daripada PETRONAS, saya mungkin tidak akan menyertai TERAJU .

Itu baru TERAJU. Bagaimana dengan PEMANDU yang memang ramai "talent" daripada swasta yang sudah tentu menuntut kepada pakej yang setanding dengan syarikat multinasional gergasi.

Bukan itu saja, agensi-agensi di bawah JPM ini mengguna pakai konsultan yang bukan murah untuk dibayar.

Ada baik buruk agensifikasi di bawah JPM ini. Baiknya ialah kita dapat menggembeleng tenaga dari luar sistem JPA yang segar, kreatif dan "fresh" untuk bantu kerajaan seterusnya mengatasi birokrasi (red tape) Kementerian yang sering menjadi aduan ramai.

Tapi ada keburukan juga seperti kata Tun Mahathir, agensi-agensi ini telah "masuk padang" (encroach into the turf) dan tugasan tradisional Kementerian yang sedia ada sehingga banyak "redundancy".

Dari segi politik, JPM di bawah DS Najib mempunyai kuasa yang besar untuk mengatur cara perjalanan dasar negara. PEMANDU adalah salah satu contoh. Dengan menteri yang penuh, PEMANDU amat-amat berpengaruh dan ini menimbulkan ketidak senangan di kalangan PTD dalam Kementerian lain.

Banyak idea segar timbul daripada agensifikasi JPM ini seperti program BAHTERA yang saya selalu dengar mendapat pujian ramai.

Walau apa pun, ada seribu agensi di bawah JPM dan gaji yang menarik pun semuanya kembali kepada asas pentadbiran yang Allah SWT ajar dalam Qur'an: kemampuan jitu (qawīy) dan amanah (amīn).

Sekian pandangan seorang tenaga kerja JPM 2012 di bawah kerajaan DS Najib Razak.





Sila kongsi artikel ini...

Perkasa Pakatan Rakyat - Tuan Ibrahim Tuan Man

9:31 PM 0 Comments A+ a-



Perkasa Pakatan Rakyat

PAS akan memperkasakan Pakatan Rakyat dengan penyusunan semula kekuatan antara parti PAS dan PKR di samping beberapa buah parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat bersama PKR yang diadakan minggu lepas bersetuju untuk mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan. Pakatan Rakyat tanpa DAP adalah satu platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini.


Pakatan Rakyat masih lagi wujud dan ini dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang iri hati lalu menimbulkan spekulasi seperti Langkah Rawang sebagai cubaan menghuru-harakan politik Selangor.

Realitinya di Malaysia, paksi politik dan perubahan total negara hanya akan berlaku bila paksi politik Melayu / Bumiputera membuat perubahan. Tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP dilihat sebagai satu anjakan besar perubahan di kalangan pengundi Melayu, apabila 'bebanan' PAS dituduh sebagai alat DAP tercabut dari pundak politik PAS.

Anjakan besar juga dijangka berlaku di kalangan pengundi Melayu apabila kos dan kualiti kehidupan mereka terus dihimpit oleh polisi-polisi dan penyelewengan pentadbiran Umno-BN seperti peningkatan kadar GST yang dijangkakan akan berlaku dalam masa setahun dua jika negara terus kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada GST untuk menampung perbelanjaannya.

Kegagalan Umno/BN dalam mengurus tadbir negara dan kontroversi tidak henti mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana dana derma RM2.6 bilion dan 1MDB, kini sudah memberi petanda bahawa masa sudah tiba untuk anjakan paradigma politik di kalangan pengundi Melayu / Bumiputera demi kesejahteraan ekonomi dan masa depan negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Belanjawan Sogok Gagal Selesai Masalah Rakyat – Faiz Fadzil

9:28 PM 0 Comments A+ a-



Belanjawan sogok gagal selesai masalah rakyat – Faiz FadziL

Belanjawan 2016 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak banyak berkisar kepada polisi lama walaupun kutipan GST dijangka sebanyak RM39 billion.

Kerajaan seperti dijangkan mengekalkan pemberian BR1M dengan kenaikan RM50. BR1M sering dikaitkan dengan sogokan politik kerana pemberian wang secara terus, namun ia tidak menyelesaikan masalah jangka panjang dan kehidupan seharian rakyat kerana tiada pakej berkesan bagi mengurangkan kos sara hidup.

Dengan kutipan GST sebanyak RM39 billion, kerajaan seharusnya meningkatkan jumlah subsidi bahan api yang mana akan menurunkan harga komoditi tersebut, dan akhirnya dapat mengurangkan harga barang. Tiada juga pengumuman penurunan tarif elektrik yang juga faktor utama kenaikan harga barang.

Kerajaan hanya membelanjakan RM5.9 billion untuk BR1M. RM1000 hanya diberikan sekali setahun dan bukannya bantuan bulanan. Jumlah tersebut hanya memberikan tambahan RM3 sehari kepada rakyat yang layak sedangkan kos sara hidup sekarang meningkat RM20 sehari.

Skim pembiayaan deposit rumah pertama juga tidak banyak membantu rakyat untuk memiliki rumah terutama anakmuda kerana mereka perlu juga meminjam untuk membayar deposit rumah yang mahal. Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan untuk menurunkan harga rumah memandangkan kelulusan harga rumah adalah daripada kerajaan dan bukannya pemaju. Jelas, kerajaan hanya membiarkan kelompok kapitalis seperti pemaju untuk terus mengaut keuntungan.

Bantuan Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada pelajar IPT juga tidak banyak membantu memandangkan ia juga bantuan sekali setahun. Kerajaan seharusnya menawarkan bantuan baucar komputer riba bagi membolehkan setiap pelajar IPT memiliki komputer riba bagi meningkatkan mutu pendidikan.

Bayaran khas bonus RM500 kepada pegawai kerajaan juga tidak banyak membantu pegawai kerajaan yang banyak berbakti kepada negara, apatah lagi dalam persediaan persekolahan anak-anak. Seharusnya, mereka diberikan bonus sebulan gaji jika benar gaji mereka dibayar daripada kutipan GST. Hasil GST hendaklah dikembalikan kepada rakyat kerana ia dikutip daripada rakyat.

Belanjawan kali ini banyak tertumpu kepada negeri Sarawak berbanding negeri lain, tidak lain tidak bukan bagi menyogok pengundi pilihanraya negeri yang semakin hampir. Rakyat Sarawak bukan sahaja perlu dibantu untuk tempoh jangka pendek, tetapi hendaklah diatur untuk jangka panjang dengan memantapkan ekonomi penduduk luar bandar terutama peluang pekerjaan anakmuda negeri tersebut.

Yang jelas ekonomi rakyat Kelantan terus terpinggir. Tiada tanda-tanda royalti minyak akan dibayar kepada kerajaan negeri. Rakyat Kelantan bukan sahaja perlu membayar GST, tetapi hak sumber asli milik mereka dirompak. Pemberian royalti minyak jika diberikan pasti banyak memangkin ekonomi dan pembangunan negeri.

Walaupun kutipan GST begitu tinggi hasil daripada keringat rakyat, namun ia tidak dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat. Janji kerajaan GST adalah untuk rakyat adalah janji palsu. Jika begini, tiada gunanya GST dilaksanakan dan hendaklah dibatalkan.

Peruntukan RM10 billion untuk pembinaan LRT3 walaupun untuk kemudahan rakyat dibimbangi melebihi kos yang sepatutnya dan ini pasti menguntungkan kantung kroni.

Selagi kerajaan gagal menyelesaikan skandal kewangan terutama 1MDB, selagi itulah integriti dan transparensi kerajaan diragui. Jika ketirisan wang rakyat terus berlaku, rakyat akan terus derita walaupun pelbagai sogokan belanjawan diumumkan. –

Faiz Fadzil
24 Oktober, 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Saya tetap istiqamah dengan PAS - Siti Zailah Mohd Yusof

6:14 PM 0 Comments A+ a-



Saya tetap istiqamah dengan PAS...walaupun macam macam spekulasi ditohmah kepada saya...hati dan jiwa saya tetap bersama dengan perjuangan Islam..

Jika ada kelemahan ..itu kelemahan manusia biasa.


Saya buang rasa kecil hati
Saya maafkan segala fitnah
Saya buang rasa dendam
Saya berjuang kerana Allah bukan kerana manusia

Semoga Allah merahmati semua pejuang Islam yang istiqamah

Rapatkan saff....mantapkan ukhwah...terus mara...kerana Allah

 - Siti Zailah Mohd Yusof


Sila kongsi artikel ini...

Pemuda Sosialis Mengutuk Pengurangan Peruntukan Untuk Pendidikan Pengajian Tinggi Dalam Bajet 2016

9:40 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA (24/10/15)

PEMUDA SOSIALIS MENGUTUK
PENGURANGAN PERUNTUKAN UNTUK PENDIDIKAN PENGAJIAN TINGGI DALAM BAJET 2016


Pemuda Sosialis mengutuk tindakan kerajaan yang telah mengurangkan peruntukan untuk Pendidikan (KPT) dalam bajet 2016. Bajet 2016 memperuntukkan keseluruhan RM267.2 bilion. Peruntukan Pendidikan untuk tahun 2016 RM 13,378 Billion (5% dari keseluruhan peruntukan bajet 2016) adalah kurang berbanding peruntukan untuk tahun 2015 iaitu RM 15,785 Billion(5.8% dari keseluruhan peruntukan bajet 2015).

Pengumuman ini sudah pasti telah memeranjatkan dan menimbulkan rasa tidak puashati terutamanya dalam kalangan pelajar dan anak muda terhadap tindakan kerajaan ini. Ini kerana bidang pendidikan adalah satu bidang yang paling penting dalam negara dan sebelum pembentangan pun ramai pelajar telah meletakkan tuntutan mereka iaitu kerajaan harus memberi pendidikan percuma(pendidikan bukan komoditi dan tidak harus dikenakan sebarang bayaran) atau sekurang-kurangnya penambahan peruntukan untuk bidang pendidikan.

Dengan penambahan pendapatan(RM 39 Billion), hasil pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sepatutnya kerajaan meningkatkan lagi peruntukan bagi sektor pendidikan negara. Tanggujawab sesebuah kerajaan juga adalah membiayai dan menyediakan akses pendidikan untuk rakyatnya. Tetapi hasilnya hari ini kerajaan telah mengurangkan lagi peruntukan Pendidikan. Ini mencerminkan dasar-dasar neo-liberal kerajaan yang semakin hari semakin menindaxs rakyat.

Pengurangan peruntukan sudah pasti akan memberi pelbagai implikasi dalam pengurusan dan pembangunan bidang pendidikan Negara tambahan pula dengan peningkatan kos sara hidup dan pelaksanaan cukai GST. Sudah pasti pelajar adalah mangsa yang sebenar dan mereka yang terpaksa menanggung beban kos pendidikan.

Dalam Bajet 2016 bagi pendidikan objektif kerajaan adalah untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang terbaik, tapi mana mungkin dapat merealisasikannya kalau peruntukkan untuk sektor pendidikan tinggi Negara dikurangkan ???

Kesavan PS
Setiausaha Pemuda Sosialis
0103954614


Sila kongsi artikel ini...

Bajet 2016: Pasif - Nasrudin Hassan

8:42 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Penerangan. 43

BAJET 2016: PASIF

1. Tiada Inspirasi Baharu Dalam Bajet 2016. Meskipun iklim ekonomi yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan elemen pasaran sebagaimana diakui oleh Perdana Menteri sendiri, kerangka dan inisiatif Bajet 2016 masih mengikut naratif lama.

2. Lihat sahaja bajet Jabatan Perdana Menteri sehingga melebihi RM 14 billion. Ianya sudah menjadi suatu kelaziman bajet JPM menjadi sebegitu besar hatta mengatasi peruntukan pendidikan dan pertahanan !

3. Perdana Menteri pula tidak menyentuh untuk apa jumlah yang sebegitu besar diperlukan oleh portfolionya di dalam ucapan bajet. Fenomena sebeginilah yang disifatkan oleh kebanyakan kapten industri seperti yang diungkapkan CEO Air Asia Tony Fernandes akan tiadanya ketelusan dalam perbelanjaan kutipan cukai.

4. Malah jika dirujuk kepada kenyataan Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Kewangan seperti yang dilaporkan Bernama bahawa kerajaan akan memperincikan pendapatan dan perbelanjaan dari hasil GST menerusi pembentangan Bajet 2016, hakikatnya bajet yang telah dibentang tidak benar - benar diperincikan. Khasnya perincian pada aliran belanja dari hasil GST tersebut.

5. Menteri Kewangan terus menabur janji bahawa Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan oleh Parlimen namun hakikatnya termanya terus menjadi rahsia. Malah para Ahli Parlimen yang sepatutnya mewakili suara rakyat terus dinafikan akses kepada dokumen TPPA berbanding PriceWaterhouseCoopers, sebuah firma perunding asing yang diberikan layanan istimewa untuk menilai dokumen TPPA.

6. Soalnya mengapa? Sekali lagi Bajet 2016 tidak memberikan sebarang jawapan. Jangan pula salahkan rakyat kalau agenda Bajet 2016 penuh keraguan. Dengan gah Perdana Menteri mengumumkan 10,000 rumah akan dibina bagi merancakkan pemilikan hartanah kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

7. Namun lihat sahaja rekod kerajaan pusat membina rumah kekal baru bagi mangsa-mangsa banjir besar tahun lepas. Meskipun kononnya RM 500 juta diperuntukkan untuk Kelantan, hanya 50 buah rumah yang mampu dibina kerajaan pusat sehingga akhir Julai 2015. Sekarang kerajaan berani pula menjanjikan 175 ribu unit kediaman mampu milik untuk rakyat?!

8. Bajet 2016 hanyalah suatu bajet kitar semula tanpa sebarang inspirasi baru. Dengan tanggungan hutang kerajaan hampir RM 800 billion dan tanggungan hutang isirumah tertinggi di Asia, ruang untuk negara mengembangkan ekonomi semakin terhad. Apakah Bajet 2016 mengakui hambatan besar ini dan apa pula penyelesaian yang diberikan? Jawapannya tiada.

9. Tetapi sekiranya penjawat awam tercari-cari jawapan mengapa terus menerus tiada bonus untuk mereka (yang ada cuma imbuhan khas RM 500) maka jawapannya bukanlah kerana produktiviti perkhidmatan awam merudum tetapi kerana hutang kerajaan yang melampau telah menghambat keupayaannya untuk menjaga kebajikan kakitangannya sendiri.

10. Hakikatnya Bajet 2016 tidak memberi inspirasi dan menyuntik keyakinan rakyat akan ketahanan dayaupaya ekonomi negara. Telah jelas kini bahawa pemerintah masih tandus modal dan idea untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beristiqamah Hingga Kemenangan.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh


Sila kongsi artikel ini...

Mana Penjelasan? - Husam Musa

8:17 AM 0 Comments A+ a-



Mana Penjelasan?

Seseorang Exco Kelantan telah menafikan beliau ada berceramah di Kota Raja dalam sebelas hari ini, bermula dari 1 Muharam 1437H.

Namun tidak ada pula mana-mana Exco Kelantan ada menafikan kandungan ucapan yang tersebar luas di media sosial berkaitan isu ini.


Adakah dengan itu, kandungan ucapan itu di iyakan?

Tempat ucapan itu diucapkan adalah sampingan/secondary selagi mana kandungannya benar.

Samaada di Kota Raja atau di Kelana Jaya - itu mungkin umpanan bahasa untuk mengail respon.

Pokoknya, adakah Exco Penerangan telah menjawab dakwaan saya selama ini secara terbuka?
Sepanjang tulisan saya tentang tunggakan caruman YIK:
1. Angka saya tepat?
2. Kenapa berlaku tunggakan?
3. Bila akan dijelaskan?

Berkenaan isu-isu lain yang saya bangkitkan, ada juga pihak yang memberikan alasan tidak boleh diberikan penjelasan terbuka kerana dibimbangi menyentuh zaman pentadbiran TGNA.

Ini tidak benar.

Pemberian kawasan konsensi oleh KPK di bawah harga pasaran dibuat Disember 2014.

Kelulusan 5,000 ekar kawasan ladang dengan harga rendah dibuat April 2015.

Pemberian kawasan hutan simpan seluas 4,500 ha kepada syarikat orang yang sama berulang kali dibuat tahun ini.

Tebangan hutan secara haram di Ulu Sat berlaku selepas Tok Guru sudah meninggal.

Kekerapan lawatan ke luar negara dengan tuntutan luar biasa, itu pun mahu dikaitkan dengan TGNA?

Penjelasan adalah tugas.

Husam Musa
11 Muharam 1437/24 Oktober 2015





Sila kongsi artikel ini...

Bajet 2016: Bajet Kala Waktu Diuji - Dr Mujahid Yusof Rawa

8:03 AM 0 Comments A+ a-



BAJET 2016: BAJET KALA WAKTU DIUJI

Bajet kali ini datang dalam keadaan suram suasana ekonomi negara dengan kesan penurunan Ringgit Malaysia dan ekonomi global yang perlahan. Faktor penurunan Yuen China turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Dalam suasana ini, Malaysia ada pecutan terakhir dalam perancangannya mencapai status negara maju dalam RMK 11 dan bajet ini adalah yang pertama lonjakan dalam masa lima tahun berbaki ke tahun 2020. Antara harapan dan halangan Bajet 2016 lahir dalam desakan perubahan politik yang semakin meningkat dan populariti Perdana Menteri Najib Razak yang semakin menurun.

Tiada yang istimewa dalam bajet kali ini kecuali gaji minima dipertingkatkan kepada RM1200 untuk awam dan RM1000 untuk swata. Ini dialukan sepertimana yang pernah diperjuangkan selama ini oleh pembangkang walaupun ada yang menngaggap RM1000 kepada swasta tidak merangsangkan pekerjaan sektor swasta yang perlu dikukuhkan. Peruntukan BRIM dan insentif lain kepada rakyat sememangnya dijangkakan untuk memberikan sedikit rasa kelegaan sebagai kerajaan yang bergantung kepada sokongan rakyat.

Menarik tentang GST yang anggaran hasilnya dilihat meningkat dari asal RM29 bilion kepada RM34 bilion atau peningkatan 24 peratus berbanding anggaran pendapatan lain yang menurun dari yang disasarkan termasuk cukai Petronas dan cukai syarikat. Pendapatan negara bajet ini ialah RM225 bilion. Manakala perbelanjaan ialah RM267 bilion dengan perbelanjaan operasi mengambil 80 peratus berbanding 20 peratus untuk pembangunan.

Bajet ini juga mengulangi agenda Bumiputra yang disebut dalam RMK11 namun isu asal yang menghantui peruntukan Bumiputra selama ini tidak digarap seperti ketirisan, tadbirurus agensi seperti MARA dan lain-lain. Penekanan kepada peningkatan ekuiti dengan peruntukan untuk Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebenarnya tidak banyak membantu majoriti Bumiputra yang merupakan mereka yang berpendapatan tetap. Begitu juga penstrukturan semula agensi Bumiputra adalah lebih releven disentuh khusunya tumpuan kepada pendidikan dan latihan. Pengendalian MARA yang dianggotai oleh ahli majlis pengurusannya yang majoriti ahli politik menyebabkan MARA tidak ditadbir secara profesional dan menjana. Lebih penting ialah merasionalisasikan agensi Bumiputra bagi memaksimakan pelaburan kerajaan selama ini.

Isu lain yang tidak ditangani ialah pekerja asing yang semakin memberi kesan kepada isu peningkatan produktiviti kerana gaji yang murah dan kurangnya peningkatan pekerja mahir atau separuh mahir. Lesen pekerja asing patut diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia dan bukan Kementerian Dalam Negeri kerana keperluan tenaga kerja dan rasionalnya adalah merupakan kerja utama KSM.

Isu pekerja tiada disebutkan secara substantif reform dari sudut suara melalui kesatuan mahupun pulangan keuntungan kepada pekerja berbanding majikan serta pengurangan caruman KWSP bagi menambahkan pendapatan boleh belanja pekerja.

Perkembangan 3-5 peratus ekonomi turut menghantui prestasi mencapai status negara maju 2020 yang mensasarkan pendapatan purata rakyat berbanding PDNK ialah USD15000 Untuk berbuat demikian perkembangan 6 peratus diperlukan setiap tahun apatah lagi dengan penurunan RM pencapaiannya lebih sukar.

Secara menyeluruh tiada pembaikan struktural dalam menangani krisis yang dihadapi dan tiada yang baru tentang reformasi tatakelola kewangan yang baik dengan mengambilkira skandal 1MDB dan RM2.6 bilion serta unsur yang meyakinkan kita ada usaha untuk menutup kes-kes ini disiasat dengan telus dan jujur.

Demikianlah Bajet 2016 hadir kala negara diuji dengan kerapuhan ekonominya dan tadbirurus negara yang tidak mengisyaratkan ke arah lebih telus amanah dan bertanggungjawab. Bajet Pakatan Harapan pula membawa tema “Mengelak Krisis” yang akan kita lontarkan sebagai bahan perbahasan semasa perdebatan minggu depan nanti.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)

Bertarikh 24 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Penggantungan Yb Gelang Patah - Azalina Othman

12:50 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PENGGANTUNGAN YB GELANG PATAH

1. Dakwaan pihak pembangkang bahawa YB Gelang Patah dinafikan Hak Untuk Didengar (The Right To Be Heard) adalah tidak berasas sama sekali.


2. Beliau telah mempunyai tempoh hampir 3 hari dari tarikh beliau mengeluarkan kenyataan terhadap Speaker pada 19 Oktober 2015. Manakala, pada sebelah petang 21 Oktober 2015, pihak Kerajaan atas arahan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat, telah menarik balik Pemberitahu Usul untuk memberi peluang kepada YB Gelang Patah untuk memohon maaf.

3. Malah, beliau juga diberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan permintaan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat sebelum Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) dibaca pada jam 11.30 pagi semalam.

4. Selanjutnya, mengenai cadangan Pembangkang bahawa YB Gelang Patah sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan 80A juga tidak timbul malahan tiada keperluan.

5. Ini adalah kerana peruntukan kedua-dua Peraturan Mesyuarat ini memerlukan satu siasatan dijalankan dengan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan. Sedangkan di dalam kes ini adalah jelas dan nyata di mana YB Gelang Patah telah membuat kenyataan tersebut di dalam Dewan yang mulia, di hadapan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat seperti yang dicatatkan dalan Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat bertarikh 19 Oktober 2015.

6. Sebagai seorang Ahli Parlimen veteran, sejak tahun 1969, YB Gelang Patah seharusnya sudah ariff akan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tahu apa tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan apabila Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat berkali-kali meminta beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

7. Ini jelas membuktikan bahawa, YB Gelang Patah digantung bukan berkenaan dengan 1MDB sepertimana persepsi yang cuba diwujudkan oleh Pembangkang.

8. Malah, berpegang kepada prinsip ketelusan, pihak Kerajaan sendiri telah mengarahkan agar Jabatan Audit Negara dan PAC menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Untuk rekod, arahan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB dikeluarkan selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2015.

Sekian terima kasih.

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tarikh: 23 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Bahagian Ii - Bagaimana YB Lim Kit Siang Digantung? - Zulhazmi Shariff

12:43 AM 0 Comments A+ a-



BAHAGIAN II - BAGAIMANA YB LIM KIT SIANG DIGANTUNG?

Pada 22/10/2015 jam 11:40 pagi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Azalina Othman Said mengusulkan kepada Dewan suatu usul di bawah Peraturan 27 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan seperti berikut :-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan;

“BAHAWA pada Isnin, 19 Oktober 2015, Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah telah mengeluarkan kenyataan semasa perbahasan usul pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang merupakan satu tuduhan ke atas Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengenai penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

BAHAWA tuduhan itu menyatakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak ada kuasa di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan mendakwa Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menyalahgunakan kuasa.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah membuat tuduhan
bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah melakukan sabotaj terhadap penyiasatan 1MDB.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah melemparkan tuduhan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat menjadi diktator dalam membuat tafsiran kepada peraturan mesyuarat dan turut mempolitikkan kedudukan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

BAHAWA tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah adalah dakwaan yang amat serius dan merupakan suatu penghinaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan demikian bererti penghinaan juga kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam (6) bulan dari tarikh usul ini diputuskan”. [Tepuk]
Saya mohon mencadangkan

Perlu diambil perhatian bahawa usul di atas dibawa mengikut Peraturan 27 (3) yg memperuntukkan seperti berikut :-

(3) Kecuali sebagaimana yang disyaratkan dalam Peraturan Mesyuarat 43 dan perenggan (5) dalam Peraturan Mesyuarat 86 dan 26(1), apa-apa usul hendaklah dikeluarkan pemberitahu tidak kurang daripada empat belas hari terlebih dahulu tetapi jika usul itu dengan nama Menteri, maka memadailah dengan dikeluarkan pemberitahu tujuh hari sahaja terlebih dahulu, dan pula jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.

Peraturan 27 (3) ini ialah berkaitan bagaimana sesuatu usul hendak dibawa oleh Menteri bukan berkaitan hendak mengambil tindakan terhadap seseorang ahli. Jika kita lihat usul yang dibacakan oleh Menteri, kita tidak nampak usul tersebut dibuat mengikut peruntukkan Peraturan yang mana, justeru dari awal lagi usul sudah tidak betul.

Peraturan Mesyuarat Dewan sebenarnya ada peruntukkan bagaimana hendak mengambil tindakan tatatertib terhadap seseorang ahli dewan iaitu di Peraturan 80 dan 80A.

Peraturan 80 ialah berkaitan pewujudan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang akan berfungsi seperti Jawatankuasa Disiplin atau Tatatertib yang boleh menyiasat dan mengambil tindakan.

Peraturan 80A pula ialah jika berlaku sesuatu tindakan yang segera, maka Majlis Mesyuarat boleh mengambil tindakan tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Peraturan 80A

80A. Walau apa pun peruntukan-peruntukan Peraturan Mesyuarat 80 berhubungan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, kiranya pada hemat Majlis telah berlakunya, sama ada oleh seorang ahli atau oleh mana-mana orang lain, apa-apa perbuatan, perkara atau benda yang boleh dikenakan hukuman sebagai perbuatan menghina Majlis di bawah Ordinan Majlis-Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, Majlis boleh melantik suatu Jawatankuasa untuk terus menyiasat hal itu dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut Ordinan tersebut

Usul oleh Menteri tidak menggunakan Peraturan 80 dan 80A sebaliknya mengikut Peraturan 27 (3) yang jelas salah.

Kemudian Speaker membenarkan usul tersebut dibahaskan dan kemudian membuat keputusan di dalam Majlis juga adalah salah.

Jelas bahawa tindakan menggantung YB LKS adalah tidak mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat justeru penggantungannya menjadi tidak sah.

Adalah amat menyedihkan apabila Dewan Rakyat yang menjadi institusi ulung dalam negara telah diperkotak katikkan demi kelangsungan politik pemerintah.

ZULHAZMI SHARIFF.
23102015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.