Akmal Mesti Mohon Maaf Atau Disaman - Jamil Khir

10:57 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom

13 November 2015

AKMAL MESTI MOHON MAAF ATAU DISAMAN


Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015. Sesungguhnya dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri. Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya. Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan.

Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Balas Berkenaan Temubual Peguam Negara - Nik Nazmi

2:23 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN BALAS BERKENAAN TEMUBUAL PEGUAM NEGARA

Saya merujuk kepada temubual Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang telah disiarkan di laman web The Malaysian Insider pada hari ini dengan tajuk 'Pendakwaan terhadap Nik Nazmi bukan bersifat peribadi, kata peguam negara' (http://www.themalaysianinsider.com/…/pendakwaan-terhadap-ni…).

Tindakan Peguan Negara mendakwa saya untuk kali ketiga adalah menyalahi sistem kerana kes tersebut telah pun mencapai keputusan muktamad pada peringkat Mahkamah Rayuan.


Bagaimana Peguam Negara boleh mewajarkan tindakan mendakwa saya untuk kali ketiga sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah mengharamkan perbicaraan berulang (double jeopardy), malah di dalam kes ini triple jeopardy.

Di dalam siri temubual yang sama dengan The Malaysian Insider, Peguam Negara menyatakan bahawa beliau hanya akan membuat dakwaan sekiranya tindakan itu mempunyai 99 peratus kemungkinan sabitan, untuk mengelak daripada membuang masa penguatkuasa dan mahkamah. Tetapi jelas beliau cakap tak serupa bikin di dalam hal ini. Tindakan ini hanya membazirkan tenaga kerja yang sepatutnya boleh digunakan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah berat dan korupsi.

Adakah ini juga akan menjadi satu kebiasaan untuk Peguam Negara? Adakah beliau akan mendakwa semula kesemua kes-kes duluan (precendet cases) yang berakhir di Mahkamah Rayuan? Jika tidak, kenapa beliau memilih kes di bawah Akta Perhimpunan Awam sahaja?

Mendakwa seseorang sewenang-wenangnya hanya untuk mendapatkan keputusan muktamad berkenaan sesuatu perundangan, walaupun ia menyalahi sistem yang sedia ada, adalah tidak wajar sama sekali.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

1000 Doktor tidak minat: Perlu tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan - Ustaz Idris Hj Ahmad

10:39 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (25)
1000 Doktor tidak minat: Perlu tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan
Ustaz Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
13/11/15

Ramai yang kehairanan membaca kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Melaka bahawa seramai 1000 doktor pelatih tidak meneruskan kerjaya sebagai pegawai perubatan disebabkan masalah penguasaan bahasa English. Sedangkan, kebanyakan pembelajaran dan buku rujukan mereka menggunakan bahasa tersebut. Walaupun bahasa merupakan alat komunikasi terpenting, namun perlu disedari bahawa masalah sebenarnya adalah permasalahan sikap dan persekitaran kerja yang tidak sihat.

Memetik laporan Health Facts 2015, nisbah doktor kepada populasi Malaysia setakat Disember 2014 adalah 1:661. Kita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju seperti New Zealand (1:465), United Kingdom (1:356) dan Korea Selatan (1:467). Juga, maklumat daripada World Banks menunjukkan Malaysia masih belum mencapai matlamat status kesihatan yang ditetapkan oleh Millennium Developmental Goals. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang berkesan dan tersusun bagi menarik lebih ramai pegawai perubatan ke dalam sektor perkhidmatan awam di samping mengekalkan tenaga sedia ada; sebagai prasyarat kepada penyampaian sistem kesihatan yang lebih baik.

Realitinya hari ini adalah peningkatan jumlah pegawai perubatan berlangsung tidak seiring dengan perkembangan keutuhan pengurusan sumber manusia dan kelestarian profesionalisme. Buktinya adalah keluhan pegawai perubatan mengenai waktu kerja yang tidak terbatas, beban kerja yang tidak seimbang, kurangnya budaya kerja berpasukan, karenah birokrasi sistem sokongan serta kekangan latihan kepakaran. Ini semua menyebabkan tekanan di tempat kerja yang tidak menyumbang kepada kepuasan kerjaya. Natijahnya adalah pudarnya komitmen untuk terus berkhidmat dan mengembangkan kerjaya.

Adalah dianggarkan dalam masa 4 tahun akan datang, sejumlah 20,151 jawatan pegawai perubatan perlu diwujudkan bagi menampung sasaran 1 doktor 400 rakyat menjelang 2020. Untuk itu, Kongres Rakyat telah mengutarakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sesuai dengan keperluan untuk memantapkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Selaras dengan peruntukan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi memperkasa dan melicinkan pengurusan sumber manusia di bidang kesihatan. Ini selaras dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa sumber manusia merupakan komponen terpenting bagi menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Antara perkara utama yang diharapkan dengan penubuhan suruhanjaya ini adalah supaya dapat dijalankan satu kajian teliti untuk menyiasat punca berlakunya penghijrahan pegawai dan pakar perubatan daripada perkhidmatan awam. Kita mahu melihat usaha-usaha yang serius daripada kerajaan untuk menawarkan kualiti hidup yang lebih baik kepada profesion perubatan. Contohnya, wujudkan undang-undang yang menyelia waktu kerja semua pegawai perubatan termasuklah pakar. Di Eropah sudah dilaksanakan peraturan yang hanya membenarkan doktor bekerja tidak lebih daripada 48 jam seminggu. Kita akur keperluan di Malaysia berbeza justeru memerlukan pendekatan yang berbeza. Namun perlu dirintis usaha yang konkrit bagi melindungi pegawai perubatan daripada membahayakan nyawa pesakit mahupun nyawa mereka sendiri akibat kepenatan dan tekanan.

Suruhanjaya tersebut juga diharap berperanan bagi menggarap penyampaian perkhidmatan yang berkualiti melalui komitmen kerja berpasukan yang tinggi di kalangan profesion perubatan. Adalah amat malang sekali melihatkan segelintir doktor pelatih yang mengalami tekanan perasaan akibat budaya kerja yang tidak sihat, di samping masalah peribadi. Maka, peranan pakar klinikal kini bukan sekadar merawat pesakit sahaja tetapi lebih daripada itu, mereka adalah contoh ikutan serta bertanggungjawab menyelia dan membimbing doktor yang bekerja di bawah mereka. Ini menuntut anjakan perubahan sikap, komitmen dan latihan untuk mengasah kemahiran berorganisasi. Juga, sebahagian daripada kepuasan berkhidmat adalah untuk melihat penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu di mana setiap disiplin perubatan dan kesihatan boleh berkomunikasi sesama mereka tanpa karenah birokrasi yang hanya akan merugikan kerajaan dan rakyat.

Oleh itu, kerajaan diseru supaya lebih prihatin terhadap persekitaran kerja pegawai perubatan jika berhasrat untuk mempersembahkan sistem kesihatan bermutu tinggi demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Kerajaan perlu sedar bahawa pendekatan yang bersifat jangka pendek atau symptomatic tidak akan membawa negara ke mana, malah menambah beban kepada sumber sedia ada. Besarlah harapan rakyat dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan mampu untuk menjamin perkhidmatan yang lebih efisyen di samping menyemai persekitaran kerja yang kondusif dan produktif. Jangan disalahkan penguasaan bahasa menjadi punca diskriminasi kerana kelak yang ruginya adalah kesihatan rakyat dan masa depan negara.


Sila kongsi artikel ini...

PM perlu bawa dua saksi penting SRC International jumpa SPRM - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:24 AM 0 Comments A+ a-



PM perlu bawa dua saksi penting SRC International jumpa SPRM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya sudi ditemuramah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu terdekat. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed memaklumkan bahawa SPRM sedang menunggu tarikh untuk mendapat penjelasan Najib terhadap kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Apakah Najib diambil keterangan sebagai seorang saksi atau tertuduh?


Apakah akhirnya Najib akan mendedahkan nama misteri penderma RM2.6 bilion?

Namun siasatan SPRM tidak akan lengkap tanpa kehadiran Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International) serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd). Ini dinyatakan dalam satu kenyataan SPRM pada 13 Oktober 2015 – di mana badan itu menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat mendapat keterangan dan akses kepada dua pengarah SRC International, yang dikatakan saksi penting.

Umum mengetahui SRC International adalah sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, di mana Najib juga adalah Menterinya.

Di parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Najib telah menyatakan bahawa kedua-dua pegawai tertinggi SRC International Nik Faisal dan Datuk Suboh akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM. Cuma sehingga hari ini, tarikh tersebut masih belum diketahui.

Yang lebih peliknya ialah tindakan SRC International Sdn Bhd selepas itu di mana ia melakukan desakan agar peguam negara menyiasat mereka yang bertanggungjawab ke atas dakwaan ketirisan dan kemungkinan penjualan maklumat rahsia, sebelum ia bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan salahguna dana melibatkan pihaknya. Ini dilihat seolah-olah ingin melanggar ‘arahan’ Najib di parlimen.

Masalahnya, Najib tidak menyuarakan bantahannya. Apakah ini bermaksud Najib turut bersetuju dengan syarat SRC International? Jika ya, apakah ini juga syarat Najib yang bakal dikemukakan sebelum memberi keterangan penuh kepada SPRM?

Jika Najib berminat untuk mendedahkan segala ‘kebenaran’, PAS menyarankan agar PM menggunakan segala kuasa yang ada untuk mengarahkan Nik Faisal Arif Kamil serta Datuk Suboh Md Yasin untuk kembali ke Malaysia untuk disoalsiasat oleh SPRM.

Jika ini semua tidak berlaku, maka kemungkinan besar ini semua hanyalah wayang politik seperti laungan Najib untuk menyaman Wall Street Journal yang tidak terjadi sehingga hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 November 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.