BERSIH , Harapan Baru dan Merdeka - Mujahid Yusof

11:48 PM 0 Comments A+ a-



BERSIH, HARAPAN BARU DAN MERDEKA

Ada apa dalam faktor kesamaan perkataan Bersih, Harapan Baru dan Merdeka?

Kesemuanya membawa kepada satu nilai iaitu KEBEBASAN.

Jika Diambil perkataan Bersih secara bahasa contohnya, berlawanan dengan kotor dan bolehlah dikatakan Bersih adalah kebebasan dari kekotoran dan ia adalah sesuatu yang sangat didambakan oleh manusia.

Perkataan Harapan pula membawa konotasi anti kekecewaan dan apabila dikaitkan dengan deskripsi 'Baru' ia seolah-olah KEBEBASAN dari rasa kecewa dan senantiasa melihat masa depan yang cerah.

Apa pula tentang Merdeka?

Perkataan Merdeka lebih 'direct' kepada makna KEBEBASAN sebagai kata lawan daripada sifat kongkongan dan menjajah.

Ketiga-tiga perkataan adalah sinergi kepada kelahiran entiti baharu dan stimulus kepada impian yang mahu dicapai bersama.

Tetapi faktor kesamaan ini secara operasionalnya jauh lebih realistik dan mencabar sifatnya.

BERSIH sudah terbukti sebagai gerakan massa yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila tuntutan Pilihanraya Bersih telah mengubah cara SPR mengendalikan Pilihanraya dan membebaskan sikap SPR yang dilihat berat sebelah sebagai pengadil demokrasi berpilihanraya.

BERSIH merakamkan tiga perhimpunan besar sebelum ini (2007, 2011 dan 2012) melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan demokrasi dan cara pengendaliannya yang adil dan telus.

BERSIH tidak berhenti sekadar isu pilihanraya, kini ia menuntut ketelusan pemerintahan, hak berdemo, mengukuhkan sistem berparlimen serta menyelamatkan ekonomi negara.

Usah dikira susah payah yang terpaksa dilalui berhadapan dengan polis anti rusuhan yang satu ketika memalukan dunia reaksi berlebihan dan salah guna kuasa untuk menyuraikan perhimpunan aman.

BERSIH adalah perjuangan mempertahankan Artikel 10 Perlembagaan Negara serta menguji keberkesanan pihak polis mengawal hak ini bagi melahirkan sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun dalam mengendalikan penentangan secara sivil.

Negara tidak terkecuali dari dinamika parti politik yang membentuk sebahagian dari proses demokrasi.

Politik kepartian adalah tonggak terbentuknya sebuah kerajaan, walaupun di negara dunia yang lain parti politik boleh sahaja berubah asalkan mereka menang pilihanraya tetapi di Malaysia kenyataan ini nampaknya masih taboo pada amalan politik Malaysia.

Parti pembangkang sejak sekian lama cuba untuk membentuk pakatan politik yang kuat dan rekod terbaiknya ialah pada PRU ke-13 dengan jentera Pakatan Rakyat atau PR.

PR memperkukuhkan kedudukannya sehingga meraih 52 peratus undi popular dan BN haya mampu mengekalkan kemenangan dengan kerusi yang dimenanginya di Timur Malaysia.

Namun harapan untuk melihat PR bertambah kukuh berkecai kerana parti komponennya masih berbalahan sehingga 52 peratus undi yang diperolehinya seolah tidak dihormati.

PAS, DAP dan PKR sudah tidak dilihat bersatu lagi walaupun jaminan demi jaminan diberikan namun keretakan hanya menanti belah.

Peluang dalam krisis PR tercipta dengan lahirnya sebuah HARAPAN BARU yang mahu mengekalkan momentum pembangkang mengambil alih pentadbiran negara dari UBN.

Kelahiran Harapan Baru adalah dari kehendak gelombang rakyat terbentuk daripada kelompok pelbagai yang mahu bebas dari politik lama dan harapan lama.

Kini Harapan Baru akan muncul sebagai entiti politik menyatukan kekuatan pembangkang dalam kelahiran PR 2.0 yang dinanti-nantikan.

MERDEKA menjadi kebanggaan setiap anak watan negara ini malah lagu Bahtera Merdeka sudah cukup menaikkan semangat menambahkan kecintaan kita pada negara ini.

MERDEKA adalah sebuah perjuangan membina dan mewarisi amanah besar tanpa sebarang syarat dan siap berkorban supaya negara ini kekal merdeka.

Setelah perginya penjajah perjuangan kemerdekaan mengambil bentuknya yang lebih rumit iaitu merdeka daripada korupsi, merdeka dari pemimpin berkepentingan, merdeka dari kongkongan akta yang menyekat, merdeka dari ideologi sempit agama dan kaum serta merdeka minda dan cita-cita.

BERSIH akan berhimpun di ambang kemerdekaan bagi menuntut sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar mengibar Jalur Gemilang atau melaungkan kalimah keramat Merdeka!

Perhimpunan penuh makna ini adalah dalam semangat kemerdekaan yang padat dengan patriotisme kepada negara.

Harapan Baru akan mengumumkan pada pelancaran awalnya 31 Ogos ini tentang parti baharu bagi meneruskan gelombang rakyat dan cita- cita membentuk kerajaan baharu.

MERDEKA akan tetap datang tanpa BERSIH ataupun HARAPAN BARU namun kali ini MERDEKA akan senyum kerana kedatangannya disambut oleh dua pengawal kiri dan kanannya untuk menyuntik semangat pada kita semua bahawa Bahtera Merdeka akan tetap terus melayari lautan bergelora demi memenuhi impian ke Pulau Idaman, destinasi seluruh rakyat Malaysia.

Itulah kebebasan yang dicari, erti sebuah kemerdekaan hakiki.

SALAM BERSIH!
SALAM HARAPAN!
SALAM MERDEKA!

Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

29 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Hari Kebangsaan ke-58 - Tan Sri Muhyiddin Yassin

11:32 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN KE-58

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO


30 OGOS 2015

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Negara kita telah merdeka selama 58 tahun. Telah banyak kemajuan yang dicapai oleh negara kita selama ini dan Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan dihormati di persada dunia.

Asas yang membina kemerdekaan dan kemajuan negara kita ialah kepercayaan. Sebelum merdeka dahulu, penduduk negara ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai rasa sangsi antara satu sama lain. Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu, mereka telah berjaya memupuk kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini bahawa Malaysia adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Semua warganegara mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan semua mereka bertanggugjawab untuk memelihara keamanan, keselamatan dan keharmonian negara dengan memupuk perasaan saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Kepercayaan juga terbentuk antara pemimpin pelbagai kaum. Pemimpin Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain boleh duduk semeja untuk berbincang mengenai kepentingan semua kaum dan merancang kemajuan negara kerana mereka mempercayai antara satu sama lain. Memang sepanjang negara ini ditadbir oleh Barisan Nasional, terdapat beberapa masalah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum, tetapi semua masalah ini dapat diatasi kerana pemimpin Barisan Nasional percaya bahawa perundingan dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Rakyat juga mempercayai kerajaan yang memerintah. Mereka percaya bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memerintah secara adil dan saksama, melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, memacu kemajuan ekonomi, menyediakan pendidikan yang berkualiti, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerana itu, selama 58 tahun merdeka, rakyat di negara kita tidak pernah bertindak melampau untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik menerusi pilihanraya yang bebas dan adil.

Para pelabur dan komuniti perniagaan juga selama ini mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap negara kita. Mereka yakin bahawa dengan kestabilan politik, keharmonian kaum dan kecekapan kerajaan mengurus negara, pelaburan dan perniagaan mereka di negara kita adalah terjamin. Dengan keyakinan ini, Malaysia merupakan antara penerima pelaburan langsung asing yang tertinggi di rantau ini dan saban tahun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Sekiranya kita dapat mengekalkan, malah memperkukuhkan kepercayaan antara sesama pemimpin, antara sesama rakyat, antara rakyat dan pemimpin, antara kerajaan dan rakyat, antara pelabur, komuniti perniagaan dan institusi ekonomi negara, maka saya yakin negara kita akan terus berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan (trust deficit) yang parah. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah semakin longgar. Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga sudah luntur.

Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding Dollar Amerika dengan nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling rendah dalam tempoh 7 tahun.

Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera.

Saya menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi negara kita kukuh. Ini adalah satu perkembagan yang amat baik untuk kita membina semula kepercayaan masyarakat dunia terhadap ekonomi dan politik negara kita. Yang perlu kita atasi ialah sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita yang agak negatif disebabkan oleh beberapa isu politik yang sedang melingkari kita hari ini.

Rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan akauntabiliti kelihatan semakin terhakis dalam pentadbiran negara. Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan tugas ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.

Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat.

Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita, terdapat pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba mencabuli prinsip perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.

Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat kebebasan rakyat daripada menyuarakan pandangan terutamanya di media sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan dan teguran rakyat yang semakin hari semakin lantang.

Selain itu, mereka yang menegur tindak tanduk pemimpin digelar sebagai pengkhianat dan dituduh hendak menggulingkan kerajaan. Mereka ini jelas tidak dapat membezakan antara menegur pemimpin dengan menggulingkan kerajaan adalah dua perkara yang berlainan. Betapa ramai pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah kukuh.

Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi demokrasi yang ada dilihat sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan dikawal dengan ketat oleh mereka yang berkuasa.

Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah negara dan kerajaan akan terus dibebani dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah.

Bagi saya, isu kepercayaan ini akan dapat diselesaikan jika negara kita kembali dipimpin berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan penanggungjawaban kepada rakyat. Prinsip ini jugalah yang dituntut oleh Islam ke atas setiap pemimpin sebagaimana hadis Rasululullah s.a.w:

Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun ‘an ra’iyyatih

Yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Sehati Sejiwa”, marilah kita bersama-sama membentuk kesatuan hati atau “wahdatul qulb” untuk membina semula kepercayaan terhadap negara kita dengan mengembalikan kepimpinan yang berintegriti, berakauntabiliti dan bertanggungjawab.

Yakinlah bahawa Malaysia adalah tanah air kita yang berdaulat dan bermaruah, dan kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk terus memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Saya berdoa agar negara kita terus kekal aman, maju dan berdaulat.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-58.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO


Sila kongsi artikel ini...

Kecewa fitnah AntaraPos - SAMM

11:28 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
30 Ogos 2015

(Kecewa fitnah AntaraPos)


Merujuk kepada laporan berita (http://antarapos.com/bm/index.php…) bertarikh 28-08-2015 12:08 ditulis oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar yang jelas ia merupakan satu fitnah.

Dalam berita tersebut Antara Pos tersebut dengan sengaja menfitnah cheGuBard dengan mengatakan kononya cheGuBard dalam satu forum menyebut DAP mahu menjatuhkan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor apabila membangkitkan isu Darul Ehsan INVESTMENT Group (DEIG) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Setelah meneliti berkali kali rakaman video forum tersebut dengan jelas laporan AntaraPos ini fitnah jahat.

Dalam forum tersebut, pihak yang mendakwa DAP menggunakan isu DEIG untuk menjatuhkan Azmin Ali adalah dari pengerusi forum dan juga respon seorang lagi panel lain, mungkin dengan tujuan bagi memberi persepsi buruk menunjukkan bagaimana jahatnya DAP mencaturkan politik menjatuhkan individu. Namun cheGuBard menjelaskan isu DEIG ini bermula 'panas' dengan dibangkitkan oleh YB TS KHALID IBRAHIM (adun bebas) bukan DAP yang bangkitkan.

Hanya kemudian selepas Khalid bangkitkan baru ia mendapat respon wakil DAP, malah ditegaskan bukan sahaja wakil DAP tetapi wakil PAS dan wakil Umno dalam dewan juga turut respon. Jadi cheGuBard dengan jelas menegaskan tidak perlu ada pihak yang cuba 'spin' isu ini sebagai isu perkauman bagi memburukkan DAP.

Ketika memberikan komen berkenaan isu ini dalam forum tersebut dengan jelas cheGuBard menyatakan yang seharusnya malu dalam perkembangan ini ialah pembangkang utama di Selangor iaitu wakil - wakil umno kerana sepatutnya ia dibangkitkan oleh wakil Umno tetapi Umno yang sangat lemah sebagai pembangkang sehingga tidak mampu melantik ketua pembangkang terpaksa menanti Adun bebas Khalid untuk membangkitkan perkara itu barulah kemudian disambut oleh Umno.

SAMM dengan tegas menggesa AntaraPos membetulkan laporan ini yang jelas berniat jahat dan seolah cuba memburukkan cheGuBard dan menjejaskan hubungan SAMM dengan DAP.

SAMM juga memohon ADUN Bukit Gasing (DAP) sebelum memberikan komen kepada media seharusnya beliau memastikan dahulu kedudukan sebenar. Kami yakin YB Rajiv Rishyakaran sendiri tidak menonton rakaman forum tersebut sebaliknya hanya memberikan komen terus tanpa ketahui kebenaran apabila dihubungi wartawan antarapos.

Kami tidak menolak untuk mengambil tindakan lanjutan jika pembetulan dan permohonan maaf tidak diperolehi secara terbuka dalam masa terdekat.

sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sila kongsi artikel ini...

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0! - Dr Dzulkefly Ahmad

11:24 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

Syabas dan Tahniah Rakyat Malaysia di BERSIH 4.0!

www.harapanbaru.net


1. Gerakan Harapan Baru terpanggil untuk memberi reaksi terhadap propaganda perkauman yang sedang ditiupkan bahawa himpunan‪#‎Bersih4‬ kurang mendapat penyertaan daripada orang Melayu.

2. Umum maklum bahawa himpunan #Bersih4 kali ini dianjur ditengah-tengah ugutan dan ancaman oleh pihak kerajaan BN yang mengisytiharkannya sebagai himpunan haram.

3. Kesemua saluran media perdana digunakan seluasnya dengan membawa hujah pemimpin, tokoh agama dan pihak berkuasa untuk menakut-nakut serta memomokkan rakyat khususnya orang Melayu agar tidak menyertai himpunan ini.

4. Kita juga tahu bahawa himpunan #Bersih4 kali ini tidak mendapat partisipasi secara penuh oleh semua komponen parti pembangkang apatah lagi dari parti-parti komponen barisan pemerintah, yang diharapkan pihak penganjur untuk turut terlibat.

5. Pada masa yang sama, suka untuk saya tegaskan bahawa Gerakan Harapan Baru yang masih berstatus NGO telah berusaha untuk memobilisasi ahli-ahli dan jenteranya seumpama ARif dan Pro-Guam untuk membantu.

6. Pun begitu, ucapan jutaan tahniah dan syabas buat seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum; Cina, Melayu, India dan etnik-etnik dari Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asal yang telah turun sejak semalam menyertai gelombang himpunan rakyat #Bersih4 kali ini.

Disebalik semua propaganda, penyertaan etnik Melayu tetap signifikan khasnya generasi anak muda Melayu yang ketara, meyakinkan dan membanggakan.

7. Alhamdulillah, anda semua warga Malaysia yang patriotik telah berjaya menunjukkan bahawa himpunan ini aman tanpa sebarang provokasi. Terima Kasih juga kita rakamkan buat pihak Keselamatan.

8. Saya ingin menyeru agar sikap profesional yang tinggi ini dikekalkan sehingga ke akhir himpunan ini malam ini.

Kita adalah rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahukan perosak negara dibersihkan segera.

Kami, Harapan Baru, tetap bersama anda,

Amanah Progresif Peduli

Dr Dzulkefly Ahmad
Setiausaha
Gerakan Harapan Baru
30 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Kemerekaan Kali ke-58 Presien PAS

11:23 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE-58 PRESIDEN PAS

15 Zulkaedah 1436H / 30 Ogos 2015M

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang kita kecapi sejak 58 tahun yang lalu. Marilah kita semua hayati dan penuhi kemerdekaan ini dengan pengertian kemerdekaan sebenar menurut kaca mata islam yang bukanlah hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata.

Erti Sebenar Kemerdekaan Islam

Kemenangan perjuangan Islam yang dipimpin Baginda Nabi dikenali sebagai "Al-Fath" iaitu pembukaan. Pembukaan pembebasan Kota Mekah dari kegelapan jahiliyah menggambarkan satu contoh sebuah kemerdekaan sebenar Islam. Sesuai dengan satu ungkapan yang cukup terkenal oleh seorang Pahlawan Islam iaitu Rubaei Bin Amir apabila ditanya kepada oleh Rustum, Panglima Perang Parsi. Jawab Rubaei :

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Islam, daripada kekeliruan agama agama kepada keadilan Islam”.

Nilai Kemerdekaan Kita Hari ini

Malaysia merdeka setelah dijajah sejak awal kurun ke-16 selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Kemudian bersilih ganti dengan Belanda, British, Jepun dan British semula sehingga hampir sahaja ummat kita kehilangan identiti sebenar. Bermula di zaman British dan Belanda, Tanah Melayu dan Nusantara disusun untuk memenuhi kepentingan politik, ekonomi dan agama empayar mereka. Dengan penduduk asal di kalangan Melayu, penjajah mula membawa pekerja pekerja luar dari India dan China. Penduduk dari India dibawa untuk bekerja di estet-estet getah manakala orang-orang dari Tanah Besar Cina dibawa untuk sektor perlombongan.

Peninggalan penjajahan ini telah menjadikan demografi negara kita masyarakat majmuk yang kompleks. Di hujung era penjajahan, berlaku kebangkitan rakyat di seluruh dunia untuk keluar daripada cengkaman penjajah barat. Perjuangan kemerdekaan negara diisi oleh rantaian perjuangan yang panjang dipelopori oleh golongan ulamak seawal zaman penjajahan yang kemudiannya dikongsi bersama oleh semua kaum di Tanah Melayu. PAS sangat menghargai pengorbanan pejuang pejuang kemerdekaan negara, justeru kita sebagai golongan pewaris perlu mengisi kemerdekaan ini sebaik mungkin supaya pengorbanan mereka tidak disiakan.

PAS meyakini dengan sedalam dalamnya bahawa Islam sahajalah yang akan dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam erti kata sebenar kemerdekaan. Pembentukan kemerdekaan Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman Feudalisme dan Gereja. Namun, malang sekali cahaya Islam itu semakin ditinggalkan ummat Islam, sehingga barat pula mengambil kesempatan menjajah tanah tanah ummat Islam.

Kemerdekaan Islam, Kemerdekaan Hakiki

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh ummat manusia khususnya di Malaysia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saidina Umar, Orang orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum.

Akhirnya, di hari kita menyambut kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah bersama-sama PAS untuk kita membina negara dengan kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan Pencipta seluruh alam yang menjadikan Islam sebagai penyelesaikan kepada seluruh kehidupan manusia.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS



Sila kongsi artikel ini...

Puisi 'BANGSAT' - Faisal Abdul Aziz

10:46 PM 0 Comments A+ a-





Puisi "BANGSAT"




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah menyelongkar dengan dahsyat segala khazanah harta milik rakyat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah merampas jiwa merdeka sebagai azimat dalam diri kami yang selama ini tersemat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah memecahkan perpaduan masyarakat yang selama ini sepakat bermuafakat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah melacurkan dasar pendidikan yang penuh keramat untuk mengangkat generasi kami supaya tinggi martabat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah mengangkat pihak asing yang laknat sebagai penasihat hingga menggadai masa depan negara yang berdaulat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah memeras apa saja barakat yang rakyat dapat dengan bermacam jerat hingga bangsa ini hidup merempat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah menjatuhkan maruah umat yang bermartabat dan dipandang hormat untuk pastikan mereka taat tanpa syarat.




Kau kata kami BANGSAT,

Tapi kau lah yang telah mempermain hukum Tuhan yang bersumber wahyu dan riwayat hingga acap kali menjadi mangsa diperalat.




Hari ini demi membersihkan diri kami dari noda ‪#‎BANGSAT‬, maka seluruh rakyat telah sepakat mengangkat cita mulia BERSIH EMPAT.




Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz

Setiausaha Agung ABIM

29 Ogos 2015, Kuala Lumpur


Sila kongsi artikel ini...

Laporan Polis Terhadap Syarikat-Syarikat Dikawal oleh Najib Tun Razak dan Keluarga Jho Low di Ibu Pejabat Polis Hong Kong - Khairuddin Abu Hassan

8:03 PM 0 Comments A+ a-



LAPORAN POLIS TRRHADAP SYARIKAT-SYARIKAT DIKAWAL OLEH NAJIB TUN RAZAK DAN KELUARGA JHO LOW DI IBU PEJABAT POLIS HONG KONG

Saya secara rasminya telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis Hong Kong pada 30 ogos 2015 jam 2 petang waktu tempatan keatas empat buah syarikat yang mana najib tun razak menjadi 'signatory' serta syarikat-syarikat yang dimilikki oleh jho low serta keluarganya.


Dalam laporan polis di Hong Kong; saya telah memohon pihak berkuasa di sana untuk menyiasat secara rapi terhadap empat buah syarikat iaitu:
1) ALLIANCE ASSETS INTERNATIONAL LIMITED
2) CITYFIELD ENTERPRISES LIMITED
3) BARTINGALE INTERNATIONAL LIMITED
4) WONDER QUEST INVESTMENTS LIMITED

Syarikat-syarikat ini amat meragukan kerana difahamkan bahawa najib tun razak adalah 'signatory' nya dan di dalam akaun-akaun syarikat ini pernah mempunyai rekod simpanan sejumlah RM1.125 billion yang disimpan melalui bank CREDIT SUISSE HONG KONG BRANCH.




Saya turut memohon pihak polis Hong Kong untuk buat penyiasatan secara terperinci dan komprehensif mengenai sumber kewangan syarikat ini dan transaksi dananya.

Pada masa yang sama, saya turut membuat laporan polis keatas syarikat-syarikat yang dimilikki oleh jho low dan ahli keluarganya merangkumi syarikat-syarikat:
1) JYNWELL CAPITAL (HK)
2) JYNWELL CHARITABLE FOUNDATION
3) STRATEGIC RESOURCES (GLOBAL LIMITED)

Satu siasatan yang teliti akan dilaksanakan oleh pihak polis Hong Kong bagi menyiasat samada syarikat-syarikat milik kepentingan jho low serta keluarganya pernah berusurusan ataupun tidak dengan syarikat 1MDB yang mencecah hutang piutang sejumlah RM42 billion setakat bulan mac 2014.

Saya juga memohon pihak polis Hong Kong untuk menyiasat samada syarikat-syarikat milik jho low serta keluarganya pernah membuat apa-apa pelaburan ataupun tidak bagi pihak syarikat 1MDB di Hong Kong?!

Laporan polis di Hong Kong dibuat adalah semata-mata kerana saya mahu pihak polis dari negara luar menyiasat secara komprehensif, telus serta tanpa sebarang pengaruh dari Perdana Menteri Malaysia yang nampak kini sedang menyalah-guna kuasa bagi mengambil pelbagai tindakan terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang sedang menyiasat kes skandal 1MDB ini!!

Sepertimana yang saya pernah katakan; secara jujur dan ikhlas saya tidak lagi mempunyai kepercayaan mahupun keyakinan terhadap PDRM, Bank Negara Malaysia serta Pejabat Peguam Negara Malaysia.

Badan-badan berkuasa ini tidak berani untuk menyiasat kes skandal 1MDB secara bebas, adil, telus serta komprehensif!! Keseluruhan rakyat dah mula sedar seolah-olah ada 'tangan ghaib' yang sedang mebuat 'kawalan jauh' untuk memperlahankan seterusnya kemungkinan menutup kes penyelewangan skandal syarikat 1MDB!!

Dengan izin Allah swt; seandainya berlaku pertukaran kepimpinan di negara kita maka kesemua pegawai tertinggi badan-badan berkuasa ini bersama sesiapa saja yang terlibat di dalam konspirasi untuk menutup kemungkaran kes skandal syarikat 1MDB mesti didakwa dan dihukum secara setimpalnya!!

Kalangan ini telah menodai dan mengkhianati amanah Allah swt serta rakyat Malaysia untuk melaksana tanggungjawab secara teramanah yang mungkin!!

Adalah tidak keterlaluan sekiranya saya katakan puak-puak haprak ini adalah pengkhinat kepada bangsa, agama mahupun tanahair kita yang tercinta ini!!


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan Hari Kebangsaan 2015 YAB Menteri Besar Kelantan

7:58 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2015
YAB MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu ketika kaum kuffar yang memusuhi kamu hendak menghulurkan tangannya demi untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
(Al-Maidah: 11)

Sesungguhnya, Baginda Rasulullah SAW adalah seorang tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Ianya bermula dengan penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah kita sama-sama menghayati aspek sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh seorang pejuang kemerdekaan iaitu Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, Rustum:

إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ العِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ العِبَادِ وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الِإسْلَامِ وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سعَةِ الدُنْيَا وَالآخِرَة

Maksudnya: Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki daripada penghambaan diri kepada sesama manusia agar mereka menghambakan diri hanya kepada Tuhan manusia, daripada penyelewengan agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada sempitnya dunia menuju kepada luasnya dunia dan akhirat.

Inilah intipati kemerdekaan yang sebenar iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka.

Ini bermakna, kemerdekaan menurut Islam ialah tidak tunduk kepada makhluk Allah, kemerdekaan yang meletakkan sepenuhnya cara hidup berlandaskan syariat Allah dan kemerdekaan yang menolak ideologi dan pemikiran manusia yang bertentangan dengan hukum Allah yang ianya akan membawa kepada kemurkaanNya. Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama ialah menentang jahiliyah yang ada dalam masyarakat Arab ketika itu. Mekah pada masa itu bukannya dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi, tetapi dijajah oleh jahiliyah Arab. Kemerdekaan dicapai setelah peristiwa Fathul Makkah berlaku dan disitulah jahiliyah mula tunduk kepada kekuasaan syariat islam sehinggalah ke zaman khulafa Al-Rasyidin.

Di negara kita, setiap tahun pada tanggal 31 Ogos disambut sebagai tarikh perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan kuasa asing. Sambutan ini seharusnya diraikan oleh kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik mahupun aliran fahaman, kerana ia merupakan satu anugerah kemenangan yang besar dalam sejarah perjuangan umat ini membebaskan diri dan watan daripada cengkaman kuasa asing.

Sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama mempertahankan akidah umat Islam semenjak negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13 lagi. Nama-nama besar seperti Tuan Guru Haji Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut yang bangkit mempertahankan ketuanan Islam di Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1915, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu telah memimpin kebangkitan ummah menentang kemaraan penjajahan British serta tokoh-tokoh lain seumpama Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohamad Taha, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan Dr Zulkifli Mohamad adalah merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Peta pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan pemikiran bagi memajukan masyarakat untuk bangkit membina tamadun umat Islam yang unggul di negara kita.

Sempena memperingati kemerdekaan ini juga, marilah sama-sama kita kukuhkan jalinan ukhuwwah, Ta’awun ‘Ala Al-Birri Wa Al-Taqwa iaitu berganding bahu dalam perkara kebaikan dan takwa untuk membina umat yang kuat. Dengan kesatuan hati, bergerak sehati sejiwa dan rasa tanggungjawab terhadap negara, kita akan mampu membina ketamadunan yang unggul dalam negeri dan negara, kita akan mampu membangunkan negara dengan stabil dan saksama.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadikan kemerdekaan ini sebagai anugerah Allah SWT yang sangat bermakna dalam usaha membangunkan negara ini dengan tuntutan syariat sepertimana yang disifatkan Allah sebagai;
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور ٌ

“MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

“MERDEKA FIKRAH DARIPADA FAHAMAN JAHILIYAH”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Bertarikh: 15 Zulkaedah 1436/30 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.