AMANAH Melaka Memohon untuk menangguhkan penubuhan PH di peringkat Negeri Melaka

10:31 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN AKHBAR AMANAH MELAKA

Parti AMANAH Negara Negeri Melaka (Amanah Melaka) mengucapkan tahniah kepada kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana sepakat menubuhkan gabungan baharu yang diyakini membawa harapan baharu kepada kehidupan rakyat dan negara Malaysia.

AMANAH Melaka juga menghormati keputusan kepimpinan tertinggi yang mengarahkan setiap negeri menubuhkan Pakatan Harapan (PH) di negeri masing-masing.


Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan AMANAH Melaka yang bermesyuarat pada hari Khamis, 15 Oktober 2015 telah mengambil pendirian:

1. Memohon untuk menangguhkan penubuhan PH di peringkat Negeri Melaka

2. Penangguhan ini dipohon kerana AMANAH Melaka ingin mendapatkan kepastian tentang status parti sahabat PH yang mengadakan kerjasama dengan PAS: dalam masa yang sama PAS turut mengadakan kerjasama dengan Perkasa.

3. AMANAH Melaka merasakan bahawa keputusan mana-mana parti komponen PH untuk menjalin kerjasama dengan PAS yang mesra Perkasa perlu diperjelaskan kerana semua rakyat tahu bahawa Perkasa adalah NGO yang bersifat perkauman dan mendokong aspirasi Umno dalam perjuangannya. Malah, rata-rata pimpinan Perkasa adalah bekas pemimpin atau masih memegang jawatan di pelbagai peringkat dalam parti tersebut.

4. Sayugia diingatkan bahawa Perkasa telah banyak mengguris hati rakyat Malaysia dengan kenyataan dan tindakan bersifat perkauman melampau, di samping seringkali menyokong dasar pemerintahan Umno/BN yang merugikan rakyat.

5. Oleh hal yang demikian, AMANAH Melaka mengharapkan kepimpinan AMANAH Nasional dapat mempertimbangkan permohonan kami ini.

Sekian, terima kasih.

Hj Yuhaizad Abdullah
Setiausaha
AMANAH Melaka


Sila kongsi artikel ini...

Penubuhan Pakatan Harapan Peringkat Negeri Perlu Diutamakan - Khalid Samad

10:26 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN PAKATAN HARAPAN PERINGKAT NEGERI PERLU DIUTAMAKAN

www.amanahnegara.org


Kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Nasional telah menerima permohonan dari Amanah Melaka berhubung penangguhan penubuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Negeri Melaka. Permohonan dan alasan sebalik penangguhan itu difahami dan bersama ini disertakan reaksi kami:-

1. Kepimpinan AMANAH peringkat Nasional telah memutuskan bahawa penubuhan PH perlu disegerakan demi mengisi kelompangan yang terhasil dengan terkuburnya Pakatan Rakyat. Ianya dianggap keperluan yang mendesak. Melalui penubuhan PH penyelarasan sikap dan tindakan parti-parti anggota dapat dicapai melalui perbincangan dan pertemuan secara rasmi. Kata sepakat dalam semua persoalan boleh seterusnya diusahakan.

2. Kerjasama antara PERKASA dan PAS tidak melibatkan mana-mana anggota PH. Penjelasan adalah wajar dipohon daripada PAS sendiri dan bukan daripada mana-mana parti anggota PH.

3. Kerjasama PAS dengan PERKASA adalah bukti perubahan yang telah berlaku dalam pendekatan PAS dan dengan itu menjadi hujah menyokong pembentukan AMANAH.

4. Wujudnya kerjasama ini adalah bukti wujudnya usaha mempopularkan gaya politik perkauman. Kecenderungan politik perkauman ini ditolak oleh PH. Oleh itu perlu dipercepatkan penubuhan PH di semua peringkat.

5. Maka dengan itu AMANAH Melaka adalah diarah untuk mengusahakan penubuhan PH Melaka supaya akan lebih berkesan dalam menangani trend politik perkauman dan masalah negara yang semakin meruncing.

6. Pada masa sama, pimpinan AMANAH di semua peringkat diingatkan supaya menghormati pendekatan berbeza anggota PH dan saling meyakini komitmen setiap anggota terhadap agenda perubahan dan pembaikan serta penolakan politik perkauman.

Sekian untuk pengetahuan dan tindakan pimpinan AMANAH di semua peringkat.

"Harapan Baru"

"Islam Rahmat Untuk Semua"

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara

17 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Sms Palsu Dan Kain Rentang Berunsur Hasutan Bertujuan Memfitnah Pas

10:23 PM 0 Comments A+ a-



SMS PALSU DAN KAIN RENTANG BERUNSUR HASUTAN BERTUJUAN MEMFITNAH PAS

PAS Kuala Terengganu telah menerima banyak bertanyaan berhubung sebaran SMS (palsu) yang menggunakan nombor talipon tangan Ustaz Wan Sukairi Abdullah, Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu.


Dalam masa yang sama kain rentang yang mempunyai kandungan mesej yang hampir serupa ditemui di tepi jalan utama di Kelantan dengan memfitnahkan 'Geng Ustaz' sebagai pemilik kain rentang.

Kelantan pada hari ini menjadi tumpuan rakyat seluruh negara di mana akan berlangsung perhimpunan terbesar FASTAQIM mulai petang ini.

Kedua dua SMS dan kain rentang ini mempunyai unsur hasutan kebencian dan ancaman perang serta mesej perkauman dan sentimen ekstrim permusuhan agama.

SMS palsu ini nyata bertujuan membentuk pandangan serong kepada bukan sahaja Ust Wan Sukairi sebagai seorang tokoh dan ustaz yang dihormati oleh masyarakat, tetapi juga menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada PAS oleh kerana beliau seorang pemimpin PAS.

Ustaz Wan telahpun membuat penafian menyatakan sms itu bukan dari beliau dan akan segera membuat laporan polis supaya pembuat sms ini ditangkap segera.

Polis mempunyai kepakaran menyelesaikan kes sebegini seperti kes SMS palsu ugutan bunuh bertujuan memfitnah Dato' Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu satu ketika dulu. Kes ini dengan segera dapat diselesaikan dan pelakunya telah dihukum.

Kedua dua kain rentang dan SMS palsu sekalipun berlaku di lokasi yang jauh, Kelantan dan Terengganu berlaku dalam sela masa yang amat rapat dan kandungan mesej yang serupa.

Ia dengan jelas bertujuan membentuk gambaran yang buruk kepada PAS khususnya di kalangan bukan Islam dan rakyat Malaysia yang umumnya cintakan keamanan.

PAS mengecam perbuatan fitnah yang tidak bertanggungjawab ini dan ia seperti manifestasi bangkrap idea oleh pelakunya dalam berdepan secara budiman 'gentleman' dengan PAS yang kini menerima dokongan jelas dari rakyat dan dijadikan tumpuan meminta pandangan dan sokongan oleh rakyat hatta oleh NGO NGO yang pernah paling keras sikap permusuhannnya dan paling setia kepada UMNO sebelum ini seperti PERKASA.

Yang nyata budiman ketika ini adalah PAS yang terus beristiqomah melapangkan dada menerima kunjungan sesiapa sahaja yang mahu berbincang tentang kepentingan rakyat dan negara kecuali yang nyata khianatnya kepada PAS.

HJ. AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
17hb. Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

RM 14.6 J Tunggakan - Guru YIK Menderita Anda Bergembira - Husam Musa

2:16 PM 0 Comments A+ a-



RM 14.6 J TUNGGAKAN - GURU YIK MENDERITA ANDA BERGEMBIRA

Asalnya masalah guru-guru YIK tidak dalam senarai saya untuk dibangkitkan.

Selepas serombongan guru YIK datang mengadu hal kepada saya, saya terpaksa mengubah fikiran.


Saya terkejut melihat jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru sudah meningkat kepada RM 14.6 juta hingga September 2015!

Gaji guru dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi berkenaan. Ia menjadi tertunggak.

Bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014!

Sehingga September 2015, jumlah tunggakan caruman guru-guru kepada Koperasi Maik sahaja sudah berjumlah RM 5,188,381!

Ia menimbulkan banyak kerumitan kepada guru-guru pencarum dan koperasi juga. Tidak perlu untuk saya menyenaraikan semuanya di sini. (Saya bersangka baik MB dan TMB sudah pun membaca masalah dan kerumitan yang ditanggung oleh guru dan koperasi hasil berlakunya tunggakan)

Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21 jenis potongan caruman yang tertunggak. Senarainya terlalu panjang.

Ia nampak serius. Ia menyusahkan guru-guru terbabit dalam banyak segi.

Ia menggambarkan kedudukan kewangan negeri yang tenat.

Jika benar kewangan kerajaan negeri tenat, apa patut dibuat oleh pimpinannya?

Terus boros? Membazir? Bersuka hilai ke luar negara? Menjual aset negeri di bawah nilai pasaran?

Seminggu dua yang lalu, mudir YIK di bawa melawat Indonesia. Saya tidak berhasrat mengkritik para mudir atas lawatan ini kerana mereka mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan.

Saya tertanya apa perlunya Exco dari portfolio lain dan Speaker turut sama? Bukankah itu memakan belanja?

Jika belanja itu dijimatkan, sedikit sebanyak ia boleh menampung caruman yang tertunggak itu.

KE (Ketua Eksekutif) sebuah agensi baru pulang dari lawatan ke Moscow, selepas seminggu dua sebelumnya melawat Afrika Selatan.

Mudah-mudahan ada pelaburan dari Rusia dan untungnya boleh menampung tunggakan itu?

Cuba lihat negara mana lagi yang tidak dilawatinya?

Di tengah tukaran wang menjunam, 14 orang anggota kerajaan baru-baru ini melawat Jepun.

Kalau Tok Guru masih hidup, saya yakin seratus peratus lawatan itu tidak akan diluluskan.

Mana lebih mustahak, antara lawatan ke Jepun atau menjelaskan tunggakan caruman?

Pemuda parti kerajaan baru-baru ini mengadakan himpunan 10k di Pasir Puteh. Katanya tiga exco masing-masing menyumbangkan RM 100 ribu. Maknanya RM 300 ribu paling tidak, wang kerajaan hangus.

Jika RM 300 ribu itu didahulukan kepada YIK?

Saya tidak tahu berapa pula wang yang dibelanjakan untuk pelbagai himpunan yang lain sehari dua ini.

Adakah anda tidak terasa malu dan segan dengan diri sendiri?

Husam Musa
Adun Salor
4 Muharam 1437/17 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Anina Saadudin: Saya terpanggil untuk memberi komen terhadap kenyataan Noh Omar semalam berkaitan isu kenaikan kadar tol di Lembah Klang

8:53 AM 0 Comments A+ a-



Saya terpanggil untuk memberi komen terhadap kenyataan Noh Omar semalam berkaitan isu kenaikan kadar tol di Lembah Klang. Ianya kini menjadi perang antara Putrajaya dan Shah Alam.

Noh membuat kenyataan berikut semalam:

“I urge the Selangor government to immediately announce the profits which they have earned and expected to gain from their shares in the Kesas and Sprint concessionaires. The state government should return all those profits to the people of Selangor if they really want to help the people"


Saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat baik untuk rakyat jika Shah Alam bersetuju dengan cadangan tersebut. Pengguna lebuhraya di Selangor akan dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah jika Kerajaan Selangor memulangkan segala keuntungan dari saham 30% dua anak syarikatnya kepada rakyat. Hebat cadangan Noh tersebut.

Namun begitu, saya juga ingin mencadangkan kepada Putrajaya untuk memulangkan semua hasil kutipan GST sejak April lalu kepada rakyat. Jangan hentikan bayaran konsesi kepada syarikat pengendali lebuhraya.

Saya yakin jika Noh berjaya memujuk Putrajaya ianya akan membolehkan rakyat Selangor lebih sayang dan percayakan Noh berbanding Azmin Ali. Noh perlu bekerja keras bermula hari ini untuk membuktikan kepada rakyat Selangor bahawa dia adalah seorang pemimpin yang boleh dipercayai.

Saya ingin menegaskan di sini supaya rakyat faham dan tahu bahawa punca sebenar kenaikan kadar tol adalah kerana Putrajaya mengambil keputusan untuk menghentikan bayaran konsesi yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan kepada syarikat pengendali lebuhraya.

Rakyat juga perlu tahu bahawa lebuhraya yang melibatkan pegangan saham 30% anak syarikat kerajaan Selangor hanyalah KESAS dan SPRINT (yang terlibat dalam kenaikan kadar tol).

Politik adalah untuk kebaikan rakyat. Politik bukan untuk kebaikan mana-mana pihak. Kembalikan hak rakyat kepada rakyat.

Shah Alam tidak pernah menjanjikan 30% saham anak syarikatnya kepada rakyat TETAPI Putrajaya sememangnya mencanangkan bahawa kutipan GST akan dipulangkan kepada rakyat.

Saya penyokong BN, tetapi saya tidak menyokong sebarang bentuk pembohongan kepada rakyat. Pengundi BN adalah rakyat. Ianya adalah Kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Tidak salah jika saya meminta Putrajaya memulangkan hak rakyat kepada rakyat.

Anina Saadudin


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.