Penubuhan Pakatan Harapan Peringkat Negeri Perlu Diutamakan - Khalid Samad

10:26 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN PAKATAN HARAPAN PERINGKAT NEGERI PERLU DIUTAMAKAN

www.amanahnegara.org


Kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Nasional telah menerima permohonan dari Amanah Melaka berhubung penangguhan penubuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Negeri Melaka. Permohonan dan alasan sebalik penangguhan itu difahami dan bersama ini disertakan reaksi kami:-

1. Kepimpinan AMANAH peringkat Nasional telah memutuskan bahawa penubuhan PH perlu disegerakan demi mengisi kelompangan yang terhasil dengan terkuburnya Pakatan Rakyat. Ianya dianggap keperluan yang mendesak. Melalui penubuhan PH penyelarasan sikap dan tindakan parti-parti anggota dapat dicapai melalui perbincangan dan pertemuan secara rasmi. Kata sepakat dalam semua persoalan boleh seterusnya diusahakan.

2. Kerjasama antara PERKASA dan PAS tidak melibatkan mana-mana anggota PH. Penjelasan adalah wajar dipohon daripada PAS sendiri dan bukan daripada mana-mana parti anggota PH.

3. Kerjasama PAS dengan PERKASA adalah bukti perubahan yang telah berlaku dalam pendekatan PAS dan dengan itu menjadi hujah menyokong pembentukan AMANAH.

4. Wujudnya kerjasama ini adalah bukti wujudnya usaha mempopularkan gaya politik perkauman. Kecenderungan politik perkauman ini ditolak oleh PH. Oleh itu perlu dipercepatkan penubuhan PH di semua peringkat.

5. Maka dengan itu AMANAH Melaka adalah diarah untuk mengusahakan penubuhan PH Melaka supaya akan lebih berkesan dalam menangani trend politik perkauman dan masalah negara yang semakin meruncing.

6. Pada masa sama, pimpinan AMANAH di semua peringkat diingatkan supaya menghormati pendekatan berbeza anggota PH dan saling meyakini komitmen setiap anggota terhadap agenda perubahan dan pembaikan serta penolakan politik perkauman.

Sekian untuk pengetahuan dan tindakan pimpinan AMANAH di semua peringkat.

"Harapan Baru"

"Islam Rahmat Untuk Semua"

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara

17 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.