Tidak Perlu Lagi Jawatankuasa Baru! Oleh : Nasrudin Hassan

1:12 PM 1 Comments A+ a-



Kenyataan Media Penerangan. 52

Tidak Perlu Lagi Jawatankuasa Baru!

Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


Tarikh : 17 Rabiul Awwal 1437 / 30 Disember 2015

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak rancangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai kos sara hidup rakyat. Ini dianggap langkah simplistik selepas anggota kabinet mencadangkan rakyat melakukan 2 kerja bagi menampung kos sara hidup bulanan.

2. Penolakan itu berasas kerana sebelum ini, sejak Januari 2014 hingga Mei 2015, kabinet memang telah mempunyai sebuah jawatankuasa khas untuk menangani kos sara hidup rakyat yang telah dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sewajarnya, pelbagai pelan dan polisi telah dilaksanakan oleh kerajaan.

3. Sekarang tiada lagi keperluan untuk menubuhkan pelbagai lagi jawatankuasa, makmal dan kajian. Sepatutnya, kerajaan mengambil tindakan drastik untuk memulihkan kos sara hidup rakyat dengan segera dan mesti memberikan kesan yang efektif bagi menangani cabaran ini. Jika jawatankuasa khas sebelum ini berfungsi dengan baik dan seluruh kabinet mementingkan agenda ini, sudah pasti pelbagai langkah telah diambil sejak tahun lalu.

4. Namun, sepanjang tahun 2015 ini, tiada sebarang langkah penting untuk meringankan kos sara hidup rakyat, sebaliknya kerajaan mengumumkan pelbagai pakej kenaikan harga dan kadar baru yang membebankan rakyat. Semua kadar tambang pengangkutan awam dan tol telah meningkat, disusuli dengan kenaikan pelbagai harga barangan serta perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan GST,

5. Malah, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), memang sudah terdapat satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menangani kos sara hidup rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2011. Namun, jika kita menilainya sehingga hari ini, tiada impak yang berkesan untuk mengurangkan kos sara hidup tersebut.

6. PAS tidak mahu dalam tempoh 2015 dan 2016 ini, kerajaan mengambil pelbagai peluang untuk menaikkan pelbagai harga dan kadar baru sebelum mengumumkan pelbagai ‘goodies’ pilihan raya pada tahun 2017 dan 2018 nanti. Ini adalah kitaran politik-ekonomi yang amat buruk dan ia sememangnya telah memperjudikan nasib rakyat.

Sekian.


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan LENSA Kampus Berkenaan Tuduhan yang DIkenakan Ke Atas Encik Zulkifli

7:24 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN RASMI LENSA KAMPUS BERKENAAN TUDUHAN YANG DIKENAKAN KE ATAS ENCIK ZULKIFLI

Baru-baru ini seorang bapa di Terengganu, Encik Zulkifli telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh di bawah S302. Beliau telah menikam perompak yang cuba untuk merompak rumah dan keluarga beliau sehinggat mati. Sehingga hari ini beliau masih direman dan menunggu tarikh perbicaraan.

Lensa Kampus melahirkan rasa simpati kepada beliau atas tuduhan yang dikenakan. Kami berpendapat bahawa suatu perbicaraan yang adil mesti dilaksanakan dengan segera bagi memberi peluang kepada beliau untuk membela diri. Beliau juga harus dilepaskan dari reman kerana beliau dari golongan susah dan perlu bekerja bagi menampung keluarganya. Tidak ada keperluan untuk seorang yang baik seperti beliau untuk melarikan diri kerana apa yang dilakukan beliau adalah untuk mempertahankan keluarganya dari dirompak.


Lensa Kampus juga menyeru kepada warga Malaysia agar menyerahkan kes ini kepada yang pakar dan terus berdoa untuk beliau supaya dipermudahkan urusan. Ayuh sama-sama kita membantu, terutamanya membantu keluarga beliau yang hilang punca pendapatan kerana beliau masih dalam tahanan reman.

Semoga keadilan diberikan kepada yang berhak dan terus tertegak di Malaysia.

Nazrul Nazir,
Jawatankuasa Koordinator LENSA Kampus,
LENSA Anak Muda Malaysia


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.