Pembunuhan kejam pegawai tinggi kerajaan Anthony Kevin Morais - Jauhar Mohd Dawi

9:27 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan media
Pembunuhan kejam pegawai tinggi kerajaan Anthony Kevin Morais

1) Susulan daripada kejadian pembunuhan kejam Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais pada hari semalam, Parti AMANAH Negara Negeri Melaka merasakan kegusaran sehubungan perkara ini. Tidak sepatutnya pembunuhan kejam ini berlaku di dalam negara kita yang di katakan aman dan damai seperti mana yang di laungkan selalu oleh menteri-menteri.


2) Kejadian sebegini pernah berlaku juga kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati di Putrajaya pada 26 April 2013 di mana beliau di tembak semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

3) Parti Amanah Negara Melaka merasakan kejadian sering berlaku semasa pegawai-pegawai ini melakukan siasatan dan pendakwaan dalam kes profile tinggi. Adakah semua kejadian ini menjadi "trend" untuk penjenayah untuk melepaskan diri mereka dengan membunuh pegawai-pegawai yang sedang melakukan pendakwaan kes mereka.

4) Sehubungan ini kami mendesak kepada Kerajaan dan Ketua Polis Negara melakukan perubahan dalam aspek keselamatan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekiranya mereka sedang melakukan siasatan yang boleh menggugat keselamatan nyawa mereka. Sekiranya mereka merasakan diri mereka diancam ataupun di ugut, pihak Polis perlu melindungi mereka sehingga kes kendalian mereka selesai.

5) Kami mendesak juga pihak Polis melakukan siasatan yang telus di lakukan agar tidak ada sesiapa pun yang terlepas dari kes pembunuhan kejam Kevin Anthony Morais yang berkhidmat cemerlang selama beliau bekerja.

6) Akhir kata, kami dari Parti Amanah Negara Melaka mengucapkan sekalung takziah kepada keluarga mendiang Anthony Kevin Morais. Kematian beliau adalah satu pengorbanan besar bagi negara dan kami juga berbangga dengan mendiang yang begitu berdedikasi dalam menjalankan tugas beliau.

Jauhar Mohd Dawi
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Melaka.


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media AMANAH Berkaitan Logo Parti - Anuar Tahir

8:32 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA AMANAH BERKAITAN LOGO PARTI

www.amanahnegara.org

1. Pertamanya, saya ingin mengucap syukur di atas kejayaan Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berlangsung di Shah Alam, semalam yang menyaksikan ribuan hadir memberi sokongan.


2. Bagaimanapun, saya difahamkan terdapat kegelisahan dikalangan ahli dan penyokong Parti AMANAH berkaitan logo parti yang baru sahaja diperkenalkan kepada umum pada majlis pelancaran semalam.

3. Ingin saya jelaskan bahawa penentuan logo parti telah melalui proses sepatutnya. Satu jawatankuasa logo dibentuk dan kemudian mereka telah mengemukan beberapa cadangan kepada Jawatankuasa Pusat parti, dan akhirnya logo "A" seperti dilancarkan semalam telah dipilih dan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan ROS.

4. Berkait isu persamaan logo yang timbul itu, ia berkemungkinan berlaku secara kebetulan dan pihak kami telah mengambil maklum. Kami sangat menghargai pandangan serta komen orang ramai dan akan berbincang dengan pihak berkaitan.

5. Namun lebih besar daripada isu itu adalah, sebuah lagi parti politik Islam baru telah berjaya dilancarkan bersempena tarikh penubuhan Malaysia semalam, dan bersedia untuk menawar khidmat kepada seluruh rakyat.

HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
17 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perkembangan Terkini Operasi Pembehinan Awan - Madius Tangau

8:28 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

YB DATUK MADIUS TANGAU
MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI MALAYSIA


17 SEPTEMBER 2015

MENGENAI

PERKEMBANGAN TERKINI OPERASI PEMBENIHAN AWAN

OPA hari ini telah dijalankan di sekitar kawasan Negeri Melaka, Utara Johor dan Negeri Sembilan telah berjaya menghasilkan hujan di kebanyakan kawasan di mana operasi dijalankan. Operasi telah bermula pada jam 1.05 tengah hari dan berakhir pada pukul 3.15 petang.

Bagi negeri Sarawak, OPA tidak dapat dijalankan hari ini kerana faktor cuaca dan juga keselamatan penerbangan. Tinjauan cuaca di Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman keadaan atmosfera yang kering dan stabil yang tidak menggalakkan pertumbuhan awan. Selain daripada itu, jarak penglihatan yang dicerap sejak 6.30 pagi tadi merosot kepada 200 m berbanding dengan semalam. Jarak ini berbahaya untuk aktiviti pelepasan dan juga pendaratan kapal terbang. Oleh sebab itu, OPA di Kuching untuk hari ini dibatalkan.

Datuk Madius Tangau
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi


Sila kongsi artikel ini...

Nurul Izzah: Pertahankan Maruah Melayu dengan Perangi Perkauman Sempit, Rasuah dan Pertahankan Integriti Negara

8:04 PM 0 Comments A+ a-



Pertahankan Maruah Melayu dengan Perangi Perkauman Sempit, Rasuah dan Pertahankan Integriti Negara

Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang racist. Melayu Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama,ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
-Dato' Dr Siddiq Fadzil


Perhimpunan Himpunan Maruah Melayu yang dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) semalam yang disertai rata-rata orang Melayu dari pelbagai negeri dengan bas-bas yang dikatakan ditaja oleh parti UMNO wajar dikecam.

Lebih mengejutkan apabila himpunan ini turut disertai pimpinan UMNO termasuklah Timbalan Menteri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Bung Moktar Radi, Datuk Abdul Rauf Yusof, Tan Sri Ali Rustam, Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Jamal Yunos, Datuk Ismail Kijo dan Datuk Seri Noh Omar. Malah pimpinan ini turut berada di pentas himpunan.

Laungan-laungan kasar berbentuk maki hamun jelas kedengaran di Perhimpunan ini dengan pelbagai panggilan yang penuh dengan sentimen perkauman. Pastinya ini bukan Perhimpunan Pertahankan Maruah Melayu. Ini Himpunan menjual Maruah Melayu! Apakah yang mereka perjuangkan?

Tanggal 16 September 1963, sebuah kesatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah termeterai untuk membentuk sebuah negara baru yang digelar sebagai Malaysia. Kesatuan ini dibina atas dasar kerjasama demi membawa ketiga-tiga wilayah ini kearah kemajuan dan keharmonian sejagat, tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik. Rakyat Malaysia wajar menjiwai dengan sepenuhnya maksud Hari Malaysia ini.

Hari Malaysia sepatutnya disambut dan dizahirkan dengan merapatkan hubungan silaturrahim antara kaum serta menghapus semua sentimen perkauman yang wujud di negara ini. Watak orang Melayu itu menolak permusuhan, mengangkat persahabatan serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Orang Melayu juga satu bangsa yang saling jujur memaafkan dan mengutamakan silaturrahim yang rapat antara ahli keluarga dan sahabat handai. Sebagai bangsa majoriti di negara ini, orang Melayu sepatutnya menjadi abang besar dalam memastikan silaturrahim antara kaum sentiasa kukuh dan erat.

Menurut saya, untuk mempertahankan maruah orang Melayu, kita wajib bangun dan perangi perkauman yang sempit, perangi rasuah, selongkar skandal 1MDB, dan pulihkan integriti negara!

Selamat Hari Malaysia!

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Wan Azizah: Persidangan Meja Bulat Ke Arah Pembentukan Pakatan Pembangkang Yang Baru

7:58 PM 0 Comments A+ a-



PERSIDANGAN MEJA BULAT KE ARAH PEMBENTUKAN PAKATAN PEMBANGKANG YANG BARU

Mutakhir ini, pelbagai kemelut negara akibat ketempangan kepimpinan kerajaan di bawah YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri telah membebankan rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang tinggi supaya parti-parti pembangkang di negara ini bersatu dalam sebuah pakatan yang harmoni demi tujuan bersama membela rakyat dan menewaskan Umno/Barisan Nasional.


Sebagai Ketua Pembangkang, saya telah mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan pimpinan parti-parti pembangkang utama sejak sebulan yang lalu. Alhamdulillah melalui pertemuan-pertemuan ini, saya yakin ada kesepakatan yang kukuh ke arah membentuk sebuah pakatan pembangkang baru seperti yang dikehendaki rakyat.

Justeru, saya dengan penuh keinsafan dan harapan akan menganjurkan satu persidangan meja bulat ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru, seperti berikut:

Tarikh : Selasa, 22 September 2015

Tempat : Banquet Hall, Hotel Empire Subang Jaya

Aturcara

930 pagi : Pendaftaran pimpinan parti-parti politik, NGO & pemerhati

10 pagi : Persidangan meja bulat

12 tengahari : Sidang media

Pada hari ini, saya telah memanjangkan jemputan kepada pimpinan parti-parti pembangkang utama iaitu YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YB Saudara Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) untuk menyertai persidangan meja bulat itu bersama-sama 3 pimpinan kanan lain dari setiap parti. Selain pimpinan parti-parti pembangkang, saya juga telah memanjangkan jemputan yang sama kepada pimpinan NGO seperti ABIM, Wadah, IKRAM, BERSIH dan Negaraku serta tokoh-tokoh seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Tan Sri Simon Sipaun dan lain-lain.

Saya memanggil persidangan meja bulat ini untuk membincangkan perkara-perkara penting yang perlu dipersetujui bersama ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang selama ini bersama-sama berjuang untuk melahirkan sebuah Malaysia yang adil, inklusif, harmoni dan berdaya saing.

Saya yakin semua pihak akan mengenepikan perbezaan demi melahirkan sebuah pakatan pembangkang baru yang berkesan untuk membela rakyat dan menumpaskan Umno/Barisan Nasional.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang Malaysia
Presiden KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

SAMM Rai Kewujudan Parti Amanah Negara

7:49 PM 0 Comments A+ a-

SAMM RAI KEWUJUDAN PARTI AMANAH NEGARA

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mengucapkan tahniah dan meraikan kelahiran sebuah lagi parti politik iaitu Parti Amanah Negara atau ringkasnya AMANAH. Parti ini terpaksa diwujudkan dengan menjenamakan semula sebuah parti yang tidak aktif iaitu Parti Pekerja. Walaupun begitu ia masih diiktiraf parti baru kerana pengambil aih parti lama dan menjenamakan semula ialah ekoran ketakutan regim penguasa untuk menerima dan meluluskan pendaftaran parti baru ini. Ini bukti awal regim tidak senang dan ini jelas sebagai tanda kelahiran parti ini sebagai kelahiran parti melawan regim penguasa.

Namun wujud beberapa pertikaian seperti logo parti ini kononya seakan sama dengan logo sebuah organisasi di India. Isu ini diperbesarkan khususnya oleh mereka yang dikenali dari sebuah parti diluar regim yang turut merasa terancam dengan kewujudan AMANAH.

SAMM melihat isu ini sebagai isu kecil, bukan sedikit logo kgususnya dalam bentuk grafik moden yang akan berbentuk seakan malah simbol penumbuk dalam lambang SAMM juga sama dengan banyak organisasi dalam dunia. Jika hendak membawa pertikaian logo sebagai pertikaian besar maka sebuah parti yang dominan seperti PAS juga boleh dikatakan punya logo yang sama dengan bendera Jepun atau Bangladesh adakah kita hendak menyebut PAS meniru bendera negara tersebut ?

Juga jika diselusuri laman sosial beberapa pemuka dikenali sebagai parti yang rasa terancam dengan kewujudan AMANAH, amat rasa hairan bila tiba - tiba menggunakan hujah Pendaftar Pertubuhan tidak meluluskan AMANAH maka ia tidak sah digunakan. Ini sangat menyedihkan, biarlah kita bersaing tetapi adakah kita bersetuju dengan kekangan regim menggunakan kuasa mengekang hak berorganisasi melalui ROS ?

Amat sedih apabila ramai memerangkap diri membincangkan kewujudan parti AMANAH ini dengan hanya persoalan kecil seperti itu sahaja.

SAMM mengajak semua berbincang perkara lebih 'real'.

SAMM berharap kehadiran AMANAH ditengah kekecewaan rakyat dan kepayan rakyat ini mampu memberi harapan besar. SAMM berharap AMANAH boleh lari dari imej dimana persepsinya ia ialah hanya parti pecahan dari PAS dan terhasil dari kekalahan sekumpulan pemimpin dalam pemilihan parti.

SAMM juga menanti polisi ekonomi yang diambil oleh AMANAH. Adakah ia bersifat porpulis juga seperti sebelum ini ? Contohnya bila harga minyak dunia turun kita sama menyokong mansuhkan sistem harga kawalan bersubsidi dan kemudian bila harga minyak naik kita meminta mengembalikan subsidi.

SAMM juga mendesak segera diselesaikan isu pengagihan kerusi. Seharusnya pada pilihanraya depan ini semua kerusi wajib hanya ditandingi satu lawan satu. SAMM amat gusar jika tidak mampu diselesaikan maka Barisan Nasional akan menang semua kerusi Melayu apabila semua kerusi majoriti Melayu ditandingi 3 penjuru maka Umno akan menang. Hasilnya nanti akan terbentuk keadaan dimana pembangkang ialah mereka yang menang di kerusi bukan majoriti Melayu dan Kerajaan ialah mereka yang menang di kerusi majoriti Melayu. Keadaan ini amat mudah dipercik untuk membakar sentimen perkauman.

Kecuali gabungan AMANAH dan parti pembangkang lain berjaya membawa sentimen sesiapa tidak bersama gabungan yang bakal terbentuk nanti ialah sebahagian dari agenda regim untuk menggagalkan perubahan, namun sejauh mana idea ini mampu ditanam diminda pengundi.

Amanah harus segera menampilkan muka selain dari bekas PAS, AMANAH kena segera mempersiapkan sistem pengkaderanya sendiri. Masa amat mencemburui tetapi yakinlah AMANAH ini punya peranan tersendiri dan diperlukan dalam arus perubahan.

Selamat datang dan ingatlah anda memerlukan rakyat. Hadirlah dengan politik berinsip jelas bukan porpulis yang mempergunakan keadaan semata. SAMM sedia bekerjasama.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Mahfuz Omar: Himpunan Baju Merah Kebangkitan Maruah Melayu, Perjualan Baru Bermula. - BETOI KA?

5:56 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

HIMPUNAN BAJU MERAH KEBANGKITAN MARUAH MELAYU, PERJUANGAN BARU BERMULA.
-BETOI KA?-


1. Saya terkejut membaca kenyataan-kenyataan yang berkaitan Perhimpunan Melayu Bersatu dengan warna temanya warna merah serta terpampang di bahagian depan baju tulisan "Kebangkitan Melayu Bermaruah". Di samping kenyataan Tan Seri Anuar Musa, Pengerusi Mara yang mengatakan himpunan ini adalah perjuangan awal Melayu baru bermula.

2. Persoalannya ialah apakah benar Melayu baru bangkit daripada tidur? Di mana dan apa jadi dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) selama ini? Adakah umno khususnya pimpinannya tidur atau pun pengsan selama ini? Atau umno yang ada sekarang umpama baru keluar dari wad ICU?

3. Menurut Tan Seri Anuar Musa, Perhimpunan Baju Merah sebagai perjuangan awal orang melayu dan baru bermula. Soalan saya, tak kan baru nak bermula selepas kita sudah ketinggalan jauh? Selama ini pimpinan melayu umno buat apa? Bukan kah yang menguasai kerajaan adalah pemimpin-pemimpin melayu dari atas sampai ke bawah? Selepas 58 tahun Malaysia Merdeka, perjuangan untuk selamatkan orang melayu baru hendak bermula?? Betapalah malangnya!

4. Selepas 58 tahun melayu ketinggalan kini baru hendak bermula. Harapan Tan Seri Anuar Musa, Pengerusi Mara iaitu salah sebuah institusi bagi menjaga kepentingan melayu, perjuangan Melayu yang bermula ini tidak berakhir di Padang Merbuk. Soalan saya yang seterusnya ialah di mana dan bila kesudahan perjuangan yang baru bermula ini? 58 tahun sudah berlalu, bangsa melayu masih menjerit salahkan bangsa lain pada waktu Melayu yang kuasai kerajaan di sepanjang tempoh Malaysia merdeka. Apakah Melayu kena tunggu 58 tahun lagi yang belum ada kepastian?

5. Apa yang pasti ialah Himpunan Baju Merah ini ialah sekadar himpunan mempermainkan maruah melayu untuk selamatkan pemimpin melayu umno yang sedang berada di puncak kuasa. Politik Malaysia masih memperlihatkan Melayu terus menjadi pertaruhan Politik untuk selamatkan kepimpinan umno. Bukannya menyelamatkan Malaysia dan bangsa Melayu itu sendiri.

6. Saya yakin Melayu baru tidak akan terperangkap dengan RM100 dan sehelai t-shirt bewarna merah. Melayu baru adalah sebenarnya Melayu bermaruah yang mahu melihat Malaysia berubah dan bebas daripada rasuah. Melayu Baru bersama seluruh rakyat berbilang kaum mahu bebas daripada perasuah memimpin negara dan rakyat mahu menobatkan mereka yang jujur dan beramanah untuk Malaysia.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
17Sept 2015/3Zulhijah 1436H.


Sila kongsi artikel ini...

MyWatch merakamkan rasa dukacita dan simpati berikutan penemuan mayat Kevin Morais

10:52 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

MyWatch merakamkan rasa dukacita dan simpati berikutan penemuan mayat Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais jam 6.00 pagi tadi di Jalan Subang 3,Subang Jaya.


Mayat dijumpai dalam keadaan berikat di dalam guni dan disimen dalam satu tong konkrit.

Kevin Morais hilang sejak 4 September lepas dan menurut rakaman CCTV mendiang disahkan diculik.

Umum mempercayai kehilangan Kevin Morais ada kaitan dengan kes kontroversi 1MDB disebabkan beliau sedang menyiasat syarikat berkenaan.

Ini merupakan satu lagi kes berprofil tinggi yang harus pihak berkuasa khususnya PDRM menyiasat seadilnya tanpa ada pendakwaan terpilih.

Sebagai sebuah Badan Pemantau Jenayah, pihak MyWatch akan sentiasa memantau perjalanan siasatan kes ini hingga selesai supaya pihak bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.

Dato' Sri Sanjeevan R
Pengerusi MyWatch


Sila kongsi artikel ini...

Pemimpin UMNO Hari Ini Adalah Musuh UMNO Sebenar - Anina Saadudin

9:38 AM 0 Comments A+ a-



PEMIMPIN UMNO HARI INI ADALAH MUSUH SEBENAR PARTI UMNO

Assalamualaikum dan selamat malam.

UMNO adalah sebuah parti yang ditubuhkan dengan niat suci untuk menjaga orang Melayu dan menjamin kehidupan harmoni antara kaum.


UMNO bukan parti racist. UMNO hanya ingin menjamin kesejahteraan rakyat dan menyokong usaha kerajaan untuk memajukan dan memakmurkan negara demi untuk kehidupan bersama yang lebih baik .

Langsung tidak tercatat dalam perlembagaan UMNO bahawa parti itu ditubuhkan untuk menjaga dan melindungi mana-mana pihak dengan menindas bangsa lain.

Perpaduan kaum adalah hasrat luhur pemimpin terdahulu. Kerana itulah UMNO bergabung dengan parti-parti bangsa lain dan membentukan perikatan yang dikenali sebagai Barisan Nasional.

Hari ini UMNO telah dipergunakan oleh pihak tertentu dengan menyemarakkan semangat perkauman yang sungguh merbahaya.

Saya sayangkan UMNO. Ramai orang Melayu sayangkan UMNO. Orang Melayu kini diperalatkan untuk mempertahankan pemimpin yang jahat oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Saya ingin seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tahu bahawa UMNO tidak jahat. Pemimpin UMNO terdahulu telah menjaga orang Melayu dan bangsa-bangsa lain dengan begitu baik. Pemimpin UMNO terdahulu telah membuktikan kepada dunia negara ini ditadbir dengan baik dan menjadikan negara ini negara yang membangun dengan pesat dan progresif.

Jangan salahkan UMNO. Apa yang berlaku hari ini bukan salah UMNO tetapi salah pemimpin yang rakus dan jahat.

Saya tidak akan berhenti dari berusaha untuk menegakkan kebenaran. Walaupun saya kononnya dilucutkan keahlian, kasih sayang saya pada UMNO yang luhur tidak akan padam.

Musuh sebenar UMNO adalah pemimpin UMNO yang kini sedang berkuasa, bukan pihak luar. Semoga Allah memusnahkan parasit-parasit yang cuba menjahanamkan UMNO.

Salam kasih sayang untuk rakyat Malaysia,

Anina Saadudin


Sila kongsi artikel ini...

Penemuan Mayat Kevin : Negara Semakin Tidak Aman - FadhliI Shaari

1:25 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PENEMUAN MAYAT KEVIN : NEGARA SEMAKIN TIDAK AMAN


DPPM melahirkan rasa bimbang terhadap tahap keamanan negara yang semakin terancam khususnya selepas penemuan mayat Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Kevin Anthony Morais di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah, Sungai Kelang awal pagi ini. Penemuan mayat tersebut telah disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) Datuk Seri Mohamad Salleh dalam satu kenyataan hari ini.

DPPM menyifatkan penemuan mayat tersebut sebagai satu penanda aras yang cukup bahaya terhadap mutu keselamatan negara. Kevin yang dikatakan merupakan seorang pegawai yang cekap dan berdedikasi tidak syak lagi menjadi mangsa kepada pembunuhan kejam dan terancang oleh pihak-pihak tertentu. Kaedah pelupusan mayat dengan menggunakan tong berisi konkrit juga menjelaskan bahawa ia dilakukan oleh satu sindiket yang tersusun dan mempunyai motif yang sangat besar.

DPPM mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa menyelesaikan proses siasatan secepat mungkin dan mendakwa pihak yang terlibat ke muka pengadilan. Hari ini rakyat melihat instituti-instituti yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak dengan proses siasatan seperti polis, SPRM mahupun Jabatan Peguam Negara ditekan dan diganggu gugat oleh pihak ketiga. Proses pertukaran pegawai, penamatan kontrak dan sebagainya berlaku dengan sewenang-wenangnya yang jelas menunjukkan badan-badan ini seolah-olah ‘diperkudakan’ untuk mencapai matlamat tertentu.

Pembunuhan Kevin ini sekalipun belum dipastikan puncanya juga merupakan satu bentuk tekanan terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam. Justeru, DPPM mendesak agar satu tindakan pantas diambil untuk mengembalikan keyakinan masyarakat mutu keamanan negara.

Kerajaan juga diminta memberikan penghargaan sewajarnya terhadap keluarga mendiang Kevin yang telah mengalami kehilangan yang tidak diduga ini. Bagi pihak DPPM, takziah setinggi-tingginya dirakamkan dan diharapkan keluarga mendiang dapat bersabar dan menghadapi ujian ini dengan tabah.

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Rabu, 16 September 2015 | 2 Zulhijjah 1436 H


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.