Penemuan Mayat Kevin : Negara Semakin Tidak Aman - FadhliI Shaari
Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
PENEMUAN MAYAT KEVIN : NEGARA SEMAKIN TIDAK AMAN
DPPM melahirkan rasa bimbang terhadap tahap keamanan negara yang semakin terancam khususnya selepas penemuan mayat Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Kevin Anthony Morais di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah, Sungai Kelang awal pagi ini. Penemuan mayat tersebut telah disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) Datuk Seri Mohamad Salleh dalam satu kenyataan hari ini.
DPPM menyifatkan penemuan mayat tersebut sebagai satu penanda aras yang cukup bahaya terhadap mutu keselamatan negara. Kevin yang dikatakan merupakan seorang pegawai yang cekap dan berdedikasi tidak syak lagi menjadi mangsa kepada pembunuhan kejam dan terancang oleh pihak-pihak tertentu. Kaedah pelupusan mayat dengan menggunakan tong berisi konkrit juga menjelaskan bahawa ia dilakukan oleh satu sindiket yang tersusun dan mempunyai motif yang sangat besar.
DPPM mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa menyelesaikan proses siasatan secepat mungkin dan mendakwa pihak yang terlibat ke muka pengadilan. Hari ini rakyat melihat instituti-instituti yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak dengan proses siasatan seperti polis, SPRM mahupun Jabatan Peguam Negara ditekan dan diganggu gugat oleh pihak ketiga. Proses pertukaran pegawai, penamatan kontrak dan sebagainya berlaku dengan sewenang-wenangnya yang jelas menunjukkan badan-badan ini seolah-olah ‘diperkudakan’ untuk mencapai matlamat tertentu.
Pembunuhan Kevin ini sekalipun belum dipastikan puncanya juga merupakan satu bentuk tekanan terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam. Justeru, DPPM mendesak agar satu tindakan pantas diambil untuk mengembalikan keyakinan masyarakat mutu keamanan negara.
Kerajaan juga diminta memberikan penghargaan sewajarnya terhadap keluarga mendiang Kevin yang telah mengalami kehilangan yang tidak diduga ini. Bagi pihak DPPM, takziah setinggi-tingginya dirakamkan dan diharapkan keluarga mendiang dapat bersabar dan menghadapi ujian ini dengan tabah.
Sekian.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Rabu, 16 September 2015 | 2 Zulhijjah 1436 H
Sila kongsi artikel ini...