Jangan Tutup Masalah Negara Dengan Asap Vape - Ustaz Idris Ahmad

3:58 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (24)
Jangan Tutup Masalah Negara Dengan Asap Vape.
Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
1/11/2015

Kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape sebagai memahami aspirasi anak muda adalah sangat wan mengecewakan. Ia menyimpang jauh dari cita-cita sebenar negara dan ibu bapa mereka untuk melihat modal insan yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.
Saya menyeru supaya kerajaan meneliti beberapa fakta berikut untuk dijadikan rujukan:
1. Kajian terkini oleh Public Health England bertajuk ‘E-cigarettes: a new foundation for evidence-based policy and practice’ menunjukkan bahawa vape mempunyai potensi untuk menolong perokok supaya berhenti merokok. Namun, ia bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan bahawa vape digunakan untuk tujuan berhenti merokok sahaja dan tidak mendedahkan budaya vape kepada bukan perokok dan kanak-kanak. Adakah kerajaan sudah bersedia dengan akta kawalan untuk melindungi golongan tersebut dan kawasan bebas asap rokok?
2. Laporan tersebut turut menekankan bahawa setiap klinik berhenti merokok perlu digiatkan secara aktif untuk memastikan perokok yang bertukar kepada vape akhirnya berhenti merokok. Mohon jemaah menteri periksa berapa bilangan klinik berhenti merokok yang aktif di seluruh negara dan berapa bilangan kakitangan yang mahir dan bersedia untuk menggerakkannya.
3. Kajian di United Kingdom (UK) menganggarkan bahawa kandungan vape adalah 95% kurang berbahaya. Namun, perlu ada piawaian dan pemantauan oleh badan bertanggungjawab terhadap kandungan bahan kimia vape di pasaran. Sedangkan, hari ini kedai vape tumbuh bagai cendawan selepas hujan, siapa yang kawal selia?
4. Kajian tersebut juga adalah berasaskan perokok yang bertukar kepada vape dimana penggunaannya hanya meningkat naik sejak tahun 2012 di UK. Ini bermakna kita belum tahu kesan vape kepada pengguna baru serta kesan jangka masa panjang penggunaannya. Adakah benar kerajaan ingin memenuhi aspirasi anak muda dengan sesuatu yang belum pasti?
5. Public Health England telah menzahirkan keazaman untuk melahirkan generasi bebas tembakau menjelang 2025. Oleh itu, pelbagai langkah diambil termasuklah untuk memantau secara berterusan kesan penggunaan vape kepada individu dan masyarakat serta menjalankan kajian ke atas keselamatan dan keberkesanannya. Adakah jemaah kabinet telah meletakkan sebarang matlamat dan apakah langkah yang dirancang bagi menjamin vape benar-benar selamat dan dapat menyelesaikan masalah ketagihan rokok? Sedangkan kajian ada menunjukkan wujud perokok yang ketagih vape pula.
Oleh itu, kerajaan mengambil pendekatan yang berkesan dengan melihat kepada gambaran yang lebih besar bahawa ketagihan sebenarnya adalah masalah utama. Sedangkan kawalan diri adalah intipati taqwa. Janganlah kerana ketagihan sokongan anak muda sehinggakan lupa bahawa Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaannya.
Mana mungkin asap vape boleh mengaburi kebejatan sosioekonomi yang melanda negara.


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Rasmi Ucapan Tahniah Daripada Setiausaha Agung FAM Kepada Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim

2:11 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN RASMI UCAPAN TAHNIAH DARIPADA SETIAUSAHA AGUNG FAM KEPADA JUARA PIALA AFC 2015, JOHOR DARUL TA'ZIM

Saya mewakili Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh warga kerja FAM pertama sekali ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di atas kejayaan mereka muncul juara kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi tahun 2015.

Kejayaan JDT menewaskan pasukan dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe, malam tadi menerusi jaringan tunggal Leandro Sebastian Velazquez pada minit ke-23 adalah satu sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.

Saya dan Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Hj Afandi Hamzah yang turut berada di stadium berkenaan menyaksikan perlawanan akhir itu cukup gembira dan berasa bangga dengan kejayaan diraih JDT terutama beraksi di hadapan hampir 18,000 penyokong pasukan lawan.

Lebih manis, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sendiri telah mencemar duli untuk naik ke pentas penyampaian hadiah bagi menyerahkan trofi Piala AFC kepada kapten JDT, Safiq Rahim.

Jika sebelum ini, Selangor muncul pasukan pertama dari Malaysia berjaya layak ke final edisi sulung Kejohanan Kelab Juara Asia (sebelum ditukar namanya ke Kejuaraan Kelab Asia dan Liga Juara-Juara AFC) pada tahun 1967 tetapi tewas 2-1 kepada kelab Israel, Hapoel Tel Aviv, kini JDT melakar satu lagi sejarah baharu.

Sejak Piala AFC diperkenalkan pada tahun 2004, kejuaraan bagi kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia ini dimonopoli penuh pasukan-pasukan dari Asia Barat iaitu kelab-kelab dari Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria serta Uzbekistan.

Belum pernah ada mana-mana pasukan dari Malaysia mahupun dari Asia Timur termasuk juga Asia Tenggara muncul sebagai juara sebelum JDT akhirnya berjaya melakukannya pada final edisi kali ke-12 bertarikh 31 Oktober 2015, malam tadi.

Sebelum ini, saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir sebelum JDT mencipta sejarah muncul pasukan pertama berjaya mara ke separuh akhir Piala AFC tahun ini, seterusnya mencipta pula sejarah sebagai pasukan pertama ke perlawanan akhir dan melakar sejarah menjadi pasukan juara pertama dari Malaysia.

Ternyata kejayaan JDT ini sesuatu yang cukup membanggakan kerana ia sekali gus telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia dan ia patut dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain di Malaysia untuk mempunyai cita-cita tinggi bagi mencapai kejayaan bukan hanya di saingan domestik tetapi di peringkat Asia.

Bagi pihak FAM, kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan berterusan pada masa akan datang termasuk dari aspek penyusunan jadual liga domestik yang tidak terlalu padat buat wakil-wakil negara di kejohanan Piala AFC dan ternyata ia sedikit sebanyak telah membantu JDT untuk mara sehingga ke perlawanan akhir pada tahun ini.

Akhir kata, ucapan tahniah sekali lagi kepada seluruh barisan pegawai, jurulatih dan juga pemain JDT yang telah berusaha keras sejak dari awal saingan Piala AFC musim ini termasuk ketika mereka bersaing pada perlawanan playoff Liga Juara-Juara AFC.

Tidak dilupakan kepada Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tunjang utama dalam mengubah landskap bola sepak di Johor, sekali gus berjaya menjulang nama JDT untuk mencapai kejayaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

Tahniah sekali dari daripada saya yang mewakili Presiden FAM, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM dan seluruh warga kerja FAM kepada Tunku Ismail serta seluruh warga kerja PBNJ dan pasukan JDT.

DATO' HJ HAMIDIN HJ MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
DUSHANBE, 1 NOVEMBER 2015


Sila kongsi artikel ini...

Menggunakan vape bagi PEROKOK TEGAR dengan niat sebagai suatu ikhtiyar berhenti merokok - Dr. Zaharuddin Abd Rahman

12:11 AM 1 Comments A+ a-



Menggunakan vape bagi PEROKOK TEGAR dengan niat sebagai suatu ikhtiyar berhenti merokok, masih boleh diperbincangkan hukumnya. Tidak dinafikan ada yang MENGHARUSKAN namun dengan pelbagai SYARAT-SYARAT, antaranya :-

a. Mesti punyai plan tempoh sehingga dia mampu terus berhenti vaping juga akhirnya.
b. Jumlah nikotin yang digunakan mesti sentiasa menurun dari minggu ke minggu.
c. Tidak 'modify' alat vape & cecairnya sesuka hati, tidak juga menggunakan bahan tiruan kerana mudaratnya mungkin boleh menjadi lebih besar.
d. Tidak bermain asap vape di tempat awam dan menghembusnya kepada orang sekeliling atau menghalang sesuatu fokus pemandangan yang penting seperti ketika memandu kereta dan sepertinya.
e. Memahami bahawa tiada kajian saintifik yang konkrit lagi bahawa vape kurang berbahaya berbanding rokok, justeru kekerapan menghisapnya mesti dikurangkan dari semasa ke semasa.
f. Membuktikan kepada diri & insan sekeliling bahawa penggunaan itu berjaya memulihkan beberapa mudarat sosial & kewangan berbanding merokok biasa. Sebagai contoh, hubungan keluarga semakin baik kerana bau yang tidak sebusuk rokok tembakau, kos bulanan untuk vape berkurangan berbanding kos dikeluarkan kerana merokok tembakau biasa, kebersihan mulut semakin baik dan banyak lagi.


Hal ini penting untuk dinilai kerana asas kaedah Fiqh bagi yang sudah terjebak dan sangat sukar berhenti sertamerta yang boleh digunapakai adalah
"Melakukan sesuatu yang kurang mudaratnya (di antara dua mudarat) adalah dibenarkan" Iaitu sebagai suatu proses kepada pemberhentian terus merokok.

Namun, bagi mereka yang TIDAK PERNAH MEROKOK dan bukan perokok tegar khususnya, MAKA telah PASTI bahawa hukum mereka menggunakan Vape untuk bersuka-suka sahaja atau kononnya mengikut trend adalah HARAM dari sudut hukum Syara' disebabkan:-

a. Mudarat yang masih wujud padanya berdasarkan kajian-kajian saintifik sedia ada, khususnya pada kandungan nikotin,
b. Keselamatan pada alat vape yang belum teruji sepenuhnya,
c. Mencerminkan budaya dan imej tidak sihat serta akhlak tidak terpuji berdasarkan uruf setempat.
d. Unsur mengganggu manusia lain dan persekitaran dengan asap dan bau masih wujud dalam penggunaan vape.

Apa yang pasti, menguji kesan baik dan buruk dari vape memerlukan kos tinggi dan waktu, selain itu mungkin juga terdapat lobi dari penguasaha rokok biasa untuk mengelirukan awam dan pihak berkuasa berkaitan vape kerana tentunya disedari sekiranya vape menguasai pasaran perokok, maka rokok tembakau bakal berkubur, justeru itu, syarikat rokok tembakau yang kaya raya & penyumbang cukai yang besar sebelum ini pastinya TIDAK BERDIAM diri serta melancarkan 'perang info' dan lobi terhadap kewujudan vape diketepikan. Justeru itu, penerimaan sebarang maklumat hatta hasil kajian saintifik masih perlukan "cross referencing" dan semakan agar hasil kajian adalah berintegriti dan sahih.

Wallahu 'alam

Dr. Zaharuddin Abd Rahman


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.