Saya Melayu Tapi Saya Tolak Perhimpunan Baju Merah - Fitri Asmuni

10:59 PM 0 Comments A+ a-



SAYA MELAYU TAPI SAYA TOLAK PERHIMPUNAN BAJU MERAH

1. Perhimpunan “Baju Merah” tinggal 2 hari saja lagi untuk diadakan. Tarikh yang ditetapkan untuk Perhimpunan tersebut adalah pada 16 September 2015 iaitu tarikh yang sama dengan sambutan “Hari Malaysia”.

2. Pada tahun 2010, kerajaan telah mengisytiharkan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat Malaysia.

3. Pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum pada setiap tahun adalah satu initiatif kerajaan bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia.

4. Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan telah digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, bertujuan bagi mewujudkan satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi diantara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kerjasama ini juga dibentuk bagi menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau.

5. Setelah melalui proses rundingan yang panjang bermula sejak tahun 1961, Malaysia akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Pada hari yang penuh bersejarah tersebut, teks pemasyhuran penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang berkumpul di Stadium Merdeka.

6. Diantara teks tersebut yang menarik untuk dikongsi di sini adalah:-

“…………… Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada 16 September 1963 bersamaan dengan 28 Rabiul Akhir 1383 Hijrah, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

7. Berdasarkan kepada teks pemasyhuran yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman itu, jelas bahawa hasrat penubuhan Malaysia ini adalah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kepada kebebasan dan keadilan serta bagi mempertahankan dan memelihara keamanan dan kemesraan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.

8. Tetapi malangnya, Hari Malaysia yang sepatutnya diraikan dengan penuh keharmonian, keamanan dan kepelbagaian bakal dicemari dengan perhimpunan perkauman yang dinamakan “Perhimpunan Baju Merah”. Perhimpunan tersebut pasti akan menjejaskan matlamat asal sambutan Hari Malaysia yang bertujuan untuk memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

9. Perhimpunan Baju Merah ini juga diadakan sebagai satu tindak balas terhadap perhimpunan BERSIH 4.0 yang diadakan baru-baru ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

10. Kalau dilihat kepada asas penubuhan BERSIH, ia tidak lain melainkan menuntut kepada pihak kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN agar satu transformasi di dalam sistem pentadbiran negara dilakukan antaranya desakan agar mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, pilihanraya yang bebas dan adil, hak untuk berdemonstrasi dan mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen.

11. Kebiasaannya di negara-negara Barat, rakyat turun berhimpun di jalan raya bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap beberapa tindakan dan polisi kerajaan yang dianggap menindas, tidak adil dan membebankan rakyat. Tetapi Perhimpunan Baju Merah ini bukanlah perhimpunan rakyat terhadap kerajaan, tetapi perhimpunan Melayu terhadap BERSIH. Ini pelik !

12. Bagi saya, apa yang dituntut oleh BERSIH semuanya baik dan bagus untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Ia mesej universal yang dituntut oleh semua rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang telus, adil dan bersih. Jadi, saya tidak faham apakah sebenarnya tindak balas yang mahu ditonjolkan oleh perhimpunan Baju Merah terhadap BERSIH. Adakah bermakna penganjur Perhimpunan Baju Merah tidak bersetuju dengan semua tuntutan BERSIH tersebut terhadap pihak kerajaan? Tidak jelas.

13. Kalaulah Perhimpunan Baju Merah ini bermotifkan protes terhadap bangsa Cina yang telah mendominasi perhimpunan BERSIH 4.0, itu bukan lesen untuk bangsa Melayu mengadakan Perhimpunan Baju Merah pula.

14. Bagi saya itu merupakan satu kejahilan dalam menonjolkan kekuatan Melayu.

15. Sesuatu bangsa itu harus bangkit dengan ilmu dan perpaduan. Tetapi Melayu hari ini telah dibangsatkan dengan kebodohan yang dibangsatkan oleh UMNO. Orang Melayu telah lama dibangsatkan tetapi disebabkan oleh kebodohan yang ditanam oleh UMNO, orang Melayu tidak tahu bahawa mereka sedang dan asyik dibangsatkan.

16. Kalau benarlah Melayu yang menyokong Perhimpunan Baju Merah itu ingin menonjolkan kekuatan Melayu, maka mereka sepatutnya menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 yang lalu dan nyatakan hasrat mereka secara bersama bahawa kita mahukan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan telus kerana kemunduran Melayu di Malaysia bukanlah disebabkan oleh bangsa Cina, tetapi disebabkan oleh UMNO yang gagal menjaga orang Melayu.

17. Saya mengkritik bukan bererti saya menafikan hak dan kebebasan mereka untuk berhimpun. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita bertanggungjawab di atas kebebasan yang diberikan tersebut untuk memastikan perhimpunan yang dianjurkan itu berjalan secara aman dan ia tidak disalahgunakan di tempat yang salah.

18. Buat para penganjur Perhimpunan Baju Merah, hak anda untuk berhimpun secara aman tidaklah salah, tetapi motif dan tujuan anda berhimpun itulah yang salah. Perhimpunan yang akan anda adakan pada 16 September ini jelas bertentangan dengan matlamat dan objektif penubuhan Malaysia yang mahu menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi yang menghormati hak-hak bangsa, agama dan budaya rakyat Malaysia yang pelbagai.

19. Maaf, walaupun saya Melayu, tetapi saya menolak Perhimpunan Baju Merah anda. Ia PERKAUMAN !!

‪#‎HarapanBaru‬

Mohd Fitri B. Asmuni
Timbalan Ketua
AMAN Perak


Sila kongsi artikel ini...

Pernyataan Sikap Terhadap Himpunan Maruah Melayu- WADAH

10:36 PM 0 Comments A+ a-

PERNYATAAN SIKAP TERHADAP HIMPUNAN MARUAH MELAYU




Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) kesal dengan sikap beberapa pimpinan kerajaan yang tidak mengambil pendirian tegas bagi menolak Himpunan Maruah Melayu, yang dirancang bakal dianjurkan oleh Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dan gabungan NGO-NGO Melayu, pada 16 September 2015 ini. Ini termasuklah kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang tidak menghalang ahli-ahli UMNO untuk ikut serta dan kenyataan Timbalannya, Dato' Seri Zahid Hamidi yang memberi ruang ahli-ahli UMNO untuk terlibat menyertainya. Dengan kenyataan-kenyataan demikian, mereka terlepas peluang untuk membuktikan diri mereka sebagai negarawan yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.

WADAH berpendirian adalah salah untuk menggerakkan satu kaum berhimpun bagi menunjukkan kekuatan dan kehebatannya terhadap kaum-kaum yang lain. Kenyataan jurucakap perhimpunan, Jamal Md. Yunus, bahawa 'ini adalah perhimpunan Melayu' (this is a Malay rally)- sebagai tindak balas terhadap Himpunan Bersih 4 yang dituduh sebagai perhimpunan Cina- adalah satu provokasi perkauman yang amat berbahaya dan berisiko berlakunya pergaduhan dan pertumpahan darah.

Pimpinan negara dan pimpinan parti-parti politik perlu diingatkan bahawa mereka tidak wajar meneruskan politik buruk menggunakan faham perkauman sempit dan faham chauvanis dengan mengapi-apikan kebencian satu kaum terhadap kaum yang lain sebagai senjata kelangsungan politik mereka. Kita mendengar para pemimpin ini, pada masa yang lain, sering bercakap tentang perlunya rakyat 'hidup bersama secara aman dan saling menghormati' (peaceful co-existence and mutual respect). Tapi sayangnya sikap dan tindakan mereka kali ini bercanggah dengan hasrat dan cita-cita tersebut.

WADAH, dengan ini menuntut tindakan tegas pihak berkuasa, pimpinan negara dan pimpinan parti-parti politik bagi memberhentikan 'Himpunan Kebangkitan Maruah Melayu' atau 'Himpunan Baju Merah' 16 September ini, demi membendung berkembangnya emosi dan sentimen perkauman yang memudharatkan negara. Penganjur himpunan perlu rasional dan berfikir secara mendalam mengenai implikasi buruk yang mungkin menimpa masyarakat. WADAH juga menyeru mereka membatalkan perhimpunan tersebut. Mereka masih mempunyai masa untuk memperbetulkan keadaan dan dihargai kerana berbuat sesuatu yang betul.







ABDUL HALIM ISMAIL

Setiausaha Agung

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

14 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Adakah Peguam Negara Juga Sedang Dialisis Buah Pinggang? - Mahfuz Omar

8:27 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

SEBULAN BERLALU, KENAPA PEGUAM NEGARA BEGITU LEMBAB UNTUK JELASKAN TINDAKAN KE ATAS
LAPORAN SIASATAN BANK NEGARA BERKAITAN SKANDAL 1MDB.

ADAKAH PEGUAM NEGARA JUGA SEDANG DIALISIS BUAH PINGGANG.

1. Di dalam sidang media khas yang diadakan pada tanggal 13 Ogos 2015yang lalu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyatakan bahawa Bank Negara sudah selesai menjalankan penyiasatan terhadap segala urusan transaksi perbankan yang berkait dengan 1MDB dan kertas siasatan yang menyatakan butir-butir terperinci penyiasatan yang dijalankan telah dihantar kepada Peguam Negara. Dr Zeti juga menyebut bahawa kandungan kertas siasatan tersebut turut mengandungi beberapa rekomendasi dari Bank negara untuk tindakan selanjutnya oleh Peguam Negara.

2. Setelah genap sebulan berlalu selepas Bank Negara menyerahkan laporan siasatan tersebut kepada Peguam Negara, nampaknya tiada sebarang tindakan konkrit dibuat oleh Peguam Negara sehingga kini. Di dalam sekurang-kurangnya dua kenyataan rasmi yang dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali selepas tarikh 13 Ogos tersebut, termasuk yang terkini pada 3 September 2015, Peguam Negara gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung dengan status laporan siasatan Bank Negara tersebut melainkan beliau hanya setakat menyatakan bahawa beliau masih dalam proses meneliti hasil laporan tersebut.

3. Dalam suasan negara makin tenat dengan jerebu asap dan ‘jerebu’ ekonomi, nilai ringgit yang semakin menyusut serta pasaran saham yang malap akibat ketidakyakinan pelabur kepada ekonomi negara yang sudah tentu berpunca dari skandal 1MDB dan juga kes penyaluran wang berbilion ringgit ke akaun Perdana Menteri, amat menghairankan apabila Peguam Negara gagal melihat betapa perlunya segala kes yang berkaitan dengan 1MDB ini diselesaikan dengan segera. Jika alasan melantik Tan Sri Apandi menggantikan Peguam Negara yang lama ialah kerana kononnya Tan Sri Gani Patail menghadapi masalah kesihatan, maka sangat tidak munasabah Tan Sri Apandi yang diberitakan sihat walafiat dan tiada masalah buah pinggang begitu lembab dalam memutuskan apakah tindakan susulan patut diambil dari kertas siasatan bank negara.sehingga sekarang masih belum habis lagi mengkaji laporan siasatan Bank Negara.Entah entah Tan Seri Peguam negara yang baru juga dah diserang penyakit buah pinggang dan terpaksa berulang alik kepusat hemodialisis seminggu tiga kali.

4. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan ini jika Tan Seri Peguam negara benar benar sehat saya mendesak supaya Peguam Negara segera bertindak berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Bank Negara. Jangan sampai timbul spekulasi di kalangan rakyat bahawa Peguam Negara serba salah dan dalam dilema untuk menggunakan kuasanya sebagaimana yang diberikan Perlembagaan kerana satu-satunya rekomendasi yang dibuat Bank Negara ialah supaya Peguam Negara menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat melakukan atau bersubahat di dalam kesalahan-kesalahan jenayah sebagaimana hasil penyiasatan yang dijalankan oleh Bank Negara.

5. Jika Peguam Negara terus melengahkan kes ini, ianya juga bakal menimbulkan persoalan adakah semata-mata kerana hasil penyiasatan Bank Negara ini telah menyeret sama individu-individu berjawatan besar,lantas ‘skrip’ yang sesuai sedang dirangka bagi memberi justifikasi kepada apa jua keputusan yang bakal diambil Peguam Negara yang sememangnya berkuasa penuh dalam hal ehwal pendakwaan?

6. Sebagaimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, Peguam Negara bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk segera bertindak di atas hasil penyiasatan skandal 1MDB yang telah dijalankan oleh Bank Negara dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain. Sebarang tindakan ‘cover-up’untuk melindungi individu atau pihak tertentu adalah suatu penyalahgunaan kuasa dan tidak akan membantu untuk menyelamatkan ekonomi negara atau memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara.


“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
14 Sept 2015/30 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Apa Motif Himpunan Merah 16 hb September?- Ustaz Hj Idris Hj Ahmad

4:11 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (19)

Apa Motif Himpunan Merah 16 hb September?.
Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
14/9/15
Kalau Himpunan Bersih 1, 2, 3, 4 motifnya untuk menuntut pilihanraya yang adil dan demokrasi yang telus. Himpunan membantah PPSMI supaya kerajaan membatalkan matapelajaran Metematik dan Sains diajar di dalam Bahasa Inggeris. Himpunan supaya memansuhkan ISA. Himpunan membantah penyenaraian Felda Global Venture. Himpunan membantah GST. Semua himpunan ini jelas dari segi matlamat dan tujuan. Persoalannya himpunan merah 16 September ini, apa pula tujuannya?.

Apakah himpunan ini sebagai reaksi himpunan Bersih 4 baru-baru ini. Atau hanya untuk menutup dan mengalih isu yang melanda di negara ini terutama 1MDB dan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang paling kita bimbang himpunan ini kalau bertujuan untuk meniupkan semangat perkauman.

Sebenarnya himpunan merah tidak perlu dibuat kalau hanya hendak mengeluh kegagalan orang-orang Melayu yang ketinggalan dalam segala sudut. Kerana sebahagian besar pengajur ialah mereka yang menyokong parti yang terpalit dengan isu 1MDB. Mereka boleh belasah perkara ini di dalam Persidangan Umno, kenapa orang Melayu tertinggal sebab pemimpin Umno gagal melaksanakan amanah rakyat. Jangan salahkan kaum lain dan orang lain. Tidak perlu menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan yang berpunca daripada dari sendiri. Dunia akan ketawa, kenapa perlu merungut, sedangkan kamu perlu bertindak dan mengarahkan kerana mempunyai kuasa. Himpunan ini tidak perlu kalau hendak tunjuk kekuatan orang Melayu sehingga menimbul keresahan orang lain. Lebih-lebih lagi di dalam keadaan ekonomi yang mengucup dan nilai ringgit yang menjunam. Kita bimbang tanggapan buruk di kalangan pelabur semakin buruk, maka impaknya kepada semua rakyat. Di dalam dunia masa kini, politik yang menanamkan sentimen kaum sudah tidak relevan. Pas sudah membuat ketetapan tidak terlibat di dalam himpunan merah 16 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Enam Isu Wajib Difahami Dengan Betul - Ahmad Fadhli bin Shaari

1:39 PM 0 Comments A+ a-



Enam Isu Wajib Difahami Dengan Betul

Saya terpanggil untuk menulis beberapa isu yang menjadi persoalan di kalangan ahli dan penyokong PAS khususnya apabila berdepan dengan beberapa dakwaan yang dilihat sengaja menyembunyikan fakta yang sebenar. Barangkali tulisan ini kurang lengkap atau mengandungi fakta yang kurang tepat, para pembaca boleh membuat penilaian dan pembetulan jika perlu. Apa yang pasti, tulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaan saya sendiri di dalam parti dan kerajaan. Walaupun tidak sebagai seorang yang penting, namun ia cukup untuk mengajar saya berfikir dan meneliti fakta-fakta secara adil sebelum bertindak menyatakan sokongan atau bantahan.

1. KEMENANGAN DAN KEREDHAAN ALLAH

1.1: Selaku seorang mukmin yang betul aqidahnya akan mengerti dan memahami bahawa matlamat hidup adalah untuk memperolehi keredhaan Allah. Bagi orang yang ditarbiyyah dan dididik dalam sesuatu jamaah atau gerakan Islam tentunya tidak akan mempertikaikan bahawa matlamat asas perjuangannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah.

1.2: Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai sebuah jemaah Islam dan parti politik telah meletakkan dasarnya yang selari dengan matlamat memperolehi keredhaan Allah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 5; Tujuan PAS ialah; “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.”

1.3: Jika diamati dan difahami apa yang terkandung dalam fasal 5 tersebut, bagi mancapai matlamat tertegaknya hukum Islam di negeri dan negara tentunya melalui kuasa pemerintahan. Realiti di negara kita Malaysia, kuasa pemerintahan ditegakkan melalui sistem demokrasi secara pilihanraya. Oleh itu PAS terpaksa memilih saluran ini. Dari aspek hukum dan keharusan perjuangan melalui parti politik, menyertai pilihanraya dan pengundian sudah pun dibahas dan diselesaikan oleh para ulamak muktabar muta’akhhirin , dan tidak menjadi persoalan besar untuk dipolimikkan.

1.4: Dalam perjuangan untuk mencapai kemenangan, tentunya PAS selaku parti Islam terikat dengan hukum dan syariat. Kemenangan dan kejayaan adalah matlamat PAS, namun matlamat yang lebih utama ialah keredhaan Allah. Kemenangan dan kejayaan hendaklah datang seiringan dengan keredhaan Allah. Ini bermakna, sesuatu kejayaan yang dicapai tanpa keredhaan Allah tidak akan membawa makna dalam perjuangan PAS dan ia bercanggah dengan perlembagaan PAS. Jika diberi pilihan antara kejayaan yang segera tetapi tidak mendapat keredhaan Allah, dengan kejayaan yang tertangguh, namun mendapat keredhaan Allah, tentunya PAS memilih jalan yang kedua. Inlah wajah sebenar sebuah parti Islam.

1.5: Pandangan inilah yang tidak difahami dan mahu dimengerti oleh pemikiran sekular. Bagi mereka, kemenangan adalah segala-galanya tanpa mengisi dalam kamus perjuangan dengan istilah-istilah seperti “redha Allah”, “barakah”, “pertolongan Allah” dan seumpamanya. Sebab itulah mutakhir ini kedengaran cemuhan dan sindiran terhadap PAS seperti “PAS bukannya nak menang pilihanraya, dia nak keredhaan Allah sahaja”.

1.6: Bagi menjamin setiap tindakan berlaku di atas landasan syariat dan hukum, PAS mewujudkan “Majlis Syura Ulamak”. Kuasa dan peranan majlis ini ialah sebagaimana di dalam Fasal 7 (3) (b) Perlembagaan PAS;
“ Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

2. TAHALUF SIYASI

2.1: Perjuangan untuk mencapai kemenangan melalui sistem pilihanraya hendaklah dilihat secara waqi’ oleh PAS khususnya negara ini yang mengandungi rakyat berbilang bangsa dan agama. Satu jalinan kerjasama perlu diwujudkan dengan parti-parti lain, termasuk parti bukan Islam. Namun prinsip dan hukum syariat tidak boleh ditolak ansur. Kerjasama boleh berlaku, tetapi mesti melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan dan pernah diterokai dalam perjuangan Islam terdahulu. Dari sinilah terbitnya istilah Tahaluf Siyasi.

2.2: Menurut rekod, Majlis Syura Ulamak telah diberikan peranan dalam pembentukan Tahaluf Siyasi ini. Setelah merujuk kepada kaedah-kaedah dalam Usul al-Fiqh dan Qawa`id Fiqhiyyah, terbentuklah Tahaluf Siyasi dengan menggariskan 6 prinsip atau syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak lain yang ingin menjalinkan kerjasama dengan PAS. Ini bermakna, selagi 6 prinsip ini tidak dicerobohi dan masih berlaku dalam ruang yang dimaafkan, Tahaluf siyasi boleh diteruskan. Maka berjalanlah persefahaman dan kerjasama PAS dengan parti-parti politik yang lain khususnya PKR dan DAP dalam satu ikatan yang dipanggil Pakatan Rakyat. 6 prinsip dalam Tahaluf Siyasi tersebut sentiasa menjadi panduan dan semakan dari masa ke masa oleh Majlis Syura Ulamak. Jika pencerohohan yang ketara dilakukan oleh rakan kerjasama terhadap PAS, sehingga tidak diharuskan oleh pandangan syarak, maka Tahaluf Siyasi akan terbatal.

2.3: Ikatan persefahaman melalui Tahaluf Siyasi ini membawa matlamat yang sama antara parti-parti pembangkang, iaitu menumbangkan parti pemerintah negara. Merombak ikatan ini tentunya mendatangkan kerugian dan merugikan PAS sendiri, namun kompromi dan tolak ansur dalam Islam ada batas hukum dan sempadan syariat. Memperolehi kemenangan, tetapi dalam masa yang sama mengundang kemurkaan Allah, tidak memberi makna bagi PAS. Inilah yang tidak difahami oleh pemikiran sekular serta golongan yang terlalu ghairah mengejar kemenangan.

Penulis sendiri secara peribadi telah diminta oleh Almarhum Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood pada tahun 2008 untuk menulis kertas kerja bertajuk Tahaluf Siyasi ini selepas pilihanraya umum pada tahun tersebut sebagai satu bahan untuk kursus Tamrin Sahifah Madinah bagi seluruh jentera parti di negeri Kelantan.

3. BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU

3.1: Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai dasar, matlamat dan falsafah perjuangan masing-masing. Namun di sana ada satu tujuan yang serupa iaitu menegakkan keadilan serta menentang pelbagai penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh parti pemerintah dengan cara menumbangkannya dalam pilihanraya. Penyelarasan usaha dan kerja antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh diselaraskan demi mencapai tujuan tersebut. Dalam masa yang sama parti-parti boleh menjalankan tindakan dan pelaksanaan ke arah mencapai matlamat dan misi masing-masing, yang mungkin tidak berlaku kesepakatan dan persetujuan antara satu sama lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, sebelum PRU13, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah menandatangani satu dokumen setebal 20 halaman, bersetuju untuk setiap parti menegakkan visi dan misi masing-masing. Di sinilah terbitnya istilah “agree to disagree” (bersetuju untuk tidak bersetuju). Sesebuah parti dalam komponen Pakatan Rakyat boleh tidak bersetuju dengan pelaksanaan yang akan dibuat oleh rakan komponennya, tetapi tidak boleh menghalang atau membuat apa-apa tindakan ke arah menggagalkannya.

3.2: Hasil dari persetujuan “agree to disagree” PAS telah bertindak ke atas perkara atau pelaksanaan parti lain dalam Pakatan Rakyat. Contohnya;

3.2.1: Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang
Kerajaan DAP Pulau Pinang telah berusaha untuk melaksanakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. PAS telah membantah hasrat DAP itu atas alasan ia boleh melebarkan lagi polarisasi kaum serta sosio ekonomi di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Namun DAP terus bertekad sehingga memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mencari remedi undang-undang bagi mengembalikan pilihanraya Kerajaan Tempatan.

PAS membantah usaha DAP tersebut, namun tidak menghalang untuk menggagalkannya kerana mematuhi prinsip agree to disagree.

3.2.2: Langkah Kajang
Kerajaan PKR Selangor mengadakan “Langkah Kajang” dengan cara mengosongkan satu kerusi DUN di Selangor dan bercadang untuk digantikan dengan Ketua Umum PKR. Perkiraan dari segi untung-rugi politik jika diadakan pilihanraya semula di Kajang, antara PKR dan PAS tidak sama. PAS mengira langkah tersebut memberi kesan negatif, sedangkan PKR berpandangan sebaliknya.

Namun, bila kerusi Kajang dikosongkan, Ketua Umum PKR dihalang oleh perundangan dari menjadi calon pilihanraya, menyebabkan tempat tersebut diganti oleh Presiden PKR. Walau bagaimana pun bantahan PAS hanya setakat “agree to disagree” di mana PAS turut bersama dalam usaha memenangkan calon PKR dalam pilihanraya kecil Kajang.

Dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor, apabila PAS diminta oleh pihak Istana mencadang nama calon Menteri Besar, PAS mengemukakan tiga nama, sesuai dengan titah Istana yang mahukan lebih daripada dua nama, tidak sebagaimana PKR yang hanya mengemukakan satu nama sahaja, iaitu Presiden PKR. PAS bertindak demikian adalah disebabkan dua perkara;

i. Istana telah menolak cadangan PKR yang mengemukakan nama Presidennya sebagai calon Menteri Besar. Adalah tidak bijak jika PAS turut membuat cadangan yang sama, yang kesudahannya akan ditolak.

ii. Presiden PKR ialah seorang wanita. Setakat ini PAS, melalui pandangan Majlis Syura Ulamak hanya membenarkan wanita menduduki jawatan di tahap (wilayah khassah) seperti menteri atau EXCO Kerajaan. Sementara jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri, ia merupakan jawatan di tahap (wilayah ammah) dan bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulamak.

Percanggahan PAS dengan PKR dalam isu ini masih berlaku dalam ruang “agree to disagree”.

4. ISU HUDUD

4.1: Kerajaan PAS Kelantan telah meluluskan Rang Kanun Jenayah Syariah II (hudud) pada tahun 1993, sebelum wujudnya Pakatan Rakyat. Namun undang-undang tersebut tidak dapat dilaksanakan atas halangan kuasa Parlimen yang mengatasinya.

4.2: Selepas PRU13, Kerajaan Kelantan telah membawa satu Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Negeri Kelantan dan diluluskan pada 18 Mac 2015.

4.3: Usaha Kerajaan PAS Kelantan mengkanunkan enakmen tersebut adalah sebahagian dari usaha melaksanakan dasar parti iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, sebagaimana terkandung dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS.

4.4: Usaha PAS ini mendapat bantahan dari PKR dan DAP, namun PAS menganggap bantahan tersebut adalah satu kebiasaan, berlaku dalam ruang “agree to disagree”. PKR dan DAP boleh tidak bersetuju, tetapi tidak boleh bertindak menghalang dan menentang sebagaimana sikap dan tindakan PAS terhadap isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang dan isu Langkah Kajang.

4.5: Namun DAP bertidak melebihi sempadan apabila melihat kepada kenyataan para pemimpinnya;
i. Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo; Kata Dua Untuk Pas: Pas bukan lagi sebahagian ahli komponen PR jika bertegas bentang rang undang-undang hudud di sidang Dun Kelantan 18 Mac ini. - Sinar Harian, 23 Feb 2015.

ii. Setiausaha organisasi DAP, Anthony Loke;
Sila Keluar Pakatan; Tindakan Pas Kelantan mahu laksana hudud dianggap cabuli muafakat PR. Sekiranya Pas bertegas untuk buat keputusan dan ambil tindakan yang tidak konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk Pas ialah berundur dari Pakatan Rakyat. - Sinar Harian, 26 April 2014

iii. Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim; Pas boleh meninggalkan gabungan pembangkang kerana isu hudud tidak termasuk dalam kerangka PR. - FMT News , 15 Mei 2015

4.6: Apa yang dikesali ialah sikap umat Islam termasuk segelintir ahli PAS yang tidak merasa sensitif dengan tindakan DAP, sebaliknya meletakkan kesalahan ke atas bahu pemimpin PAS yang kononnya tidak menyantuni DAP dengan sewajarnya. Tuduhan yang mengatakan PAS tidak pernah menjelaskan hasrat pelaksanaan hudud kepada DAP adalah tidak berasas. Merujuk kepada akhbar Sinar Harian bertarikh 30 April 2014 : DAP berpuas hati: DAP berpuas hati dengan penjelasan Pas dan Kerajaan Kelantan mengenai cadangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu. Bagaimana pun Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, hudud tetap isu berasingan dan bukan agenda PR. “Walau pun isu hudud isu persendirian Pas, kami akan cuba cari persefahaman dalam perkara ini.” ujarnya selepas menyertai Mesyuarat Setiausaha Agung PR di Pejabat Agung Pas, di sini semalam. ( https://www.youtube.com/watch?v=tSPM-9NVVHE )

4.7: Sesetengah ilmuan atau ahli akademik juga keliru ketika menghurai pelaksanaan hudud di Kelantan. Mereka tidak dapat membezakan antara usaha mengkanunkan enakmen dengan pelaksanaan hukum. Pendapat yang menyatakan hudud tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan masyarakat yang tidak kondusif boleh diterima, dalam ertikata hukuman, seperti hukuman potong tangan tidak dilaksanakan di zaman Khalifah `Umar al-Khatab akibat kemarau. Barangkali inilah makna kondusif, suasana kemarau yang menyulitkan umat Islam mencari makanan dianggap sebagai suasana yang tidak kondusif. Maka Khlaifah menangguhkan hukuman tersebut. Namun undang-undang hudud masih termaktub dan dikanunkan sebagai undang-undang negara. Cuma hukumannya tidak dapat disempurnakan. Inilah yang sebenarnya diperjuangkan oleh PAS di Kelantan. Kanun Jenayah Syariah perlu diangkat sebagai undang-undang, supaya ia mempunyai kuasa untuk menghukum. Namun semasa hukuman hendak dijalankan, suasana kondusif atau tidak diambil kira. Para ulamak dalam PAS bukanlah bebal tidak berilmu, untuk menghukum pesalah secara membuta tuli tanpa membuat perkiraan sebagaimana yang disebut oleh para ilmuan dan ahli akademik itu. Seolah-olah Dewan Ulamak PAS hanya mengerti Islam secara teori, jumud, konservatif, tidak memahami waqi’ umpama lebai kampung yang hanya tahu bertahlil dan bertalqin.

4.8: Memahami realiti dan mempertimbangkan suasana kondusif inilah, PAS telah mengambil inisiatif untuk kemukakan private bill di Parlimen bagi meminda Akta 355 yang diperuntukkan kepada mahkamah syariah. Ia merupakan usaha pendahuluan atau langkah mula bagi memperkenalkan hukuman Islam kepada masyarakat. Terkandung dalam Akta 355 ini ialah kuasa Mahkamah Syariah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebatan tidak melebihi 6 kali. Jika parlimen meluluskan pindaan tersebut, sekurang-kurangnya mahkamah syariah dapat melaksanakan hukuman yang melibatkan sebatan, iaitu bagi kes zina ghair muhsan, minum arak dan qazaf. Juga boleh dilaksanakan hukuman diat dan takzir. Hukuman berupa sebatan, penjara dan denda sudah pun terlaksana di bawah bidang kuasa mahkamah syariah buat masa ini, dan tidak asing kepada masyarakat. Cuma pindaan ini akan memberi kuasa untuk menambah bilangan sebatan, jumlah denda dan penjara supaya ia dapat disesuaikan dengan kehendak hukum syarak.

Hukuman potong tangan pencuri dan rejam yang dikira asing bagi masyarakat, buat masa ini ditangguhkan, dan tidak terkandung dalam pindaan Akta 355. hukuman tersebut mengkin menjadi kejutan dan dilihat berat di sisi masyarakat Islam. Sementara menunggu saat dan ketika yang kondusif, PAS mengemukakan hukuman-hukuman yang lebih ringan dan mudah diterima melalui pindaan Akta 355 terlebih dahulu. Melakukan sesuatu yang mudah dahulu, sementara menunggu penerimaan yang lebih berat adalah berasaskan kepada kaedah; “Sesuatu yang tidak diperolehi semua, jangan tinggalkan semua"

Ini menunjukkan PAS memahami aspek kondusif. Pelaksanaan hukum hudud melalui pindaan ini dikira sebagai langkah awal bagi memperkenalkan hukuman Islam kepada masyarakat, agar mereka dapat menyaksikan keindahanya. Sebagai orang mukmin, tentunya beriman dengan istilah barakah, rahmat, pertolongan Allah dan seumpamanya, yang dijanji oleh Allah bilamana orang mukmin melaksanakan perintahNya. Langkah mula pelaksanaan beberapa hukuman melalui pindaan Akta 355 ini diyakini boleh menjadi pembuka pintu ke arah memperolehi (cegahan dari Allah) yang dijanjikanNya, dalam suasana jenayah dan gejala sosial yang tidak terkawal mutakhir ini di negara kita. Inilah aqidah PAS yang tidak dimengerti oleh orang-orang bukan Islam, golongan sekular dan mereka yang terbuai lena dengan janji untuk mencapai kemenangan tanpa keredhaan Allah.

5. PAS DAN DAP

5.1: Sebagaimana yang disebut terdahulu, hubungan PAS dan DAP dibina melalui kaedah Tahaluf Siyasi. Majlis Syura Ulamak PAS telah menggariskan 6 prinsip sebagai kayu pengukur dan panduan dalam setiap gerak kerja dan tindakan, agar ia tidak terkeluar dari garisan hukum syarak.

5.2: Tahaluf Siyasi terus berjalan. Di sepanjang hubungan dan kerjasama antara parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat, wujud beberapa pergeseran antara PAS dan DAP. Namun Tahaluf Siyasi masih boleh diteruskan selagi 6 prinsip tersebut tidak dilanggari secara ketara dan masih boleh dimaafkan. PAS amat menghormati perjanjian bersama dalam Pakatan Rakyat untuk agree to disagree.

5.3: PAS sentiasa memerhati tindakan dan geraklaku rakan dalam PR khususnya DAP, dan merujuk kepada Majlis Syura Ulamak untuk menentukan sama ada Tahaluf Siyasi ini masih sah atau terbatal. Kini PAS telah membuat keputusan untuk membatalkan Tahaluf Siyasi dengan DAP, apabila usul ini dikemukakan oleh Dewan Ulamak Pusat dalam muktamar ke-61, untuk dikaji dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak.

5.4: Tindakan membatalkan Tahaluf Siyasi adalah berdasarkan kepada beberapa faktor;

5.4.1: Sikap dan tindakan DAP yang telah melampaui batas agree to disagree sebagaimana yang disebutkan terdahulu dalam para 4.5 di atas.

5.4.2: DAP telah menunjukkan tanda-tanda awal untuk menyisihkan PAS dalam Pakatan Rakyat dan terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan PAS.

Contohnya;

a. DAP telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS
b. DAP Sarawak dan Sabah memutuskan hubungan dengan PAS negeri-negeri tersebut.
c. Ucapan-ucapan pemimpin tertinggi DAP yang difahami memberi isyarat agar Presiden PAS dan golongan ulamak disingkirkan. DAP gesa PAS singkirkan ulamak kalau nak ke Putrajaya (Tranungkite, 9 Mac 2015)
d. Tindakan DAP mencampuri urusan pemilihan pimpinan PAS dan hubungannya dengan PASMA.
e. Kebimbangan PAS terhadap sikap agresif DAP yang semakin ketara dan
merbahaya dalam mencabar dan menentang pelaksanaan Islam. Contohnya

i. Pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham; DAP mahu umat Islam hormati hak untuk murtad (The Malaysian Insider; 12 Julai 2014)
ii. Ahli Parlimen DAP, Oscar Ling, Sekolah agama turut menjadi punca pemisahan kaum (Watan-Online)
iii. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; DAP memberi amaran kepada kepimpinan PR supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang itu merampas Putrajaya pada PRU14 nanti (Sinar Harian)
iv. Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; GHB perlu rujuk DAP dulu jika mahu teruskan agenda hudud (AntaraPos; 15 Julai 2015)

6. TOK GURU NIK AZIZ DAN PIMPINAN PAS KINI

6.1: Pihak yang tidak bersetuju dengan pembatalan Tahaluf Siyasi antara PAS dan DAP termasuk dari kalangan ahli dan pemimpin PAS sendiri telah menyalahkan pimpinan kini yang diterajui oleh presiden. Tuduhannya ialah kerana pimpinan kini terutama Presiden PAS telah gagal menyantuni DAP secara bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz, menyebabkan ikatan dengan DAP terlerai dan menggagalkan misi PR ke Putrajaya. Jika Tok Guru masih hidup tentunya DAP masih bersama PAS.

6.2: Hujah yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada pemerhatian kepada peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hubungan baik Tok Guru dengan para pemimpin DAP. Dikemukakan gambar-gambar Tok Guru makan sekali dengan pemimpin DAP, bersalaman, berbual mesra dan gambar Tok Guru Nik Aziz memotong kek hari jadi mendiang Karpal Singh. Tidak kurang juga dengan bukti-bukti sambutan dan orang-orang bukan Islam yang sangat menghormati dan menyayangi Tok Guru. Kesimpulannya Tok Guru Nik Aziz bijak berinteraksi dengan pimpinan DAP, tidak sepertimana Tok Guru Presiden.

6.3: Persoalan pokok yang menatijahkan terlerainya ikatan DAP dan PAS bukan masalah hubungan baik. Cuba selidiki dan perhalusi, titik pemisahnya ialah isu hudud, bila DAP menentang Rang Undang-Undang Pindaan yang dibawa dan diluluskan di Dewan Negeri Kelantan serta private bill untuk pindaan Akta 355 di bawa ke Parlimen, sebagaimana yang dibincangkan di para 4 di atas.

6.4: Dalam isu hudud, Tok Guru Nik Aziz lebih tegas dan Presiden hanya selaku penyambung hasrat dan kerja al-Marhum. Ketegasan al-Marhum Tok Guru tidak berganjak sejak beliau masih di kerusi Menteri Besar lagi. Contohnya sepertimana dilaporkan dalam Sinar Harian bertarikh 23 September 2011; Jangan Halang PAS – Nik Aziz: Tetap mahu laksana hudud sekali pun DAP mahu keluar PR.

Al-Marhum Tok Guru sudah membayangkan dari awal lagi, bahawa sampai kepada satu tahap, PAS mungkin akan berpisah dengan DAP, bila DAP bertegas menghalang perjuangan PAS. Persoalannya, adakah Tok Guru berubah haluan dan sikap selepas tidak menjadi Menteri Besar, membatalkan hasrat pelaksanaan hudud demi menjaga hati DAP?

Hasrat al-Marhum Tok Guru yang sangat inginkan hudud terlaksana di Kelantan boleh dilihat apabila bersetuju mengadakan sedikit rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan. Rujuk kepada Akhbar Sinar Harian bertarikh 30 April 2014; Tok Guru setuju: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz sambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud di peringkat Kebangsaan.

Tetapi malangnya, apabila pimpinan PAS melanjutkan usaha atas persetujuan Tok Guru ini untuk berunding dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan ke arah menjayakan pelaksanaan hudud dituduh usaha ke arah pembentukan UG.

Tok Guru sudah menyedari wujudnya penentangan dari rakan parti dalam Pakatan Rakyat, namun beliau sangat optimis dengan usaha Kerajaan PAS Kelantan. Sinar Harian bertarikh 12 April 2014 melaporkan; Tok Guru Yakin: Walau pun ditentang hebat rakan sekutunya, Mursyidul Am Pas yakin DAP dan PKR akan akur dengan cadangan Kerajaan Kelantan untuk laksanakan hukum hudud di negeri ini.

6.5: Selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, al-Marhum Tok Guru bertugas sebagai penasihat atau Murabbi Ummah, di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), berpejabat di Kompleks Kota Darulnaim, sehingga beliau kembali ke Rahmatullah. Selaku Mursyidul Am, hal ehwal politik PAS berjalan di bawah kehendak beliau. Tuan Guru Presiden dan pimpinan PAS serta pimpinan-pimpinan Kerajaan Kelantan sering mengunjungi beliau di Pejabat IPTG, melapor dan membincang permasalahan politik serta perjalanan kerajaan Kelantan termasuk usaha pelaksanaan hudud.

6.6: Menuduh pembawaan dan tindakan Tok Guru Presiden telah menyimpang dari kehendak Tok Guru Nik Aziz adalah tuduhan yang tidak berasas. Contohnya dalam isu Langkah Kajang ketika menamakan calon Menteri Besar Selangor. Sinar Harian bertarikh 19 Ogos 2014 melaporkan; Nik Aziz sokong Pas Pusat; Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz menyokong keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor.

6.7: Tuduhan juga dibuat terhadap Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang merupakan anak kepada Tok Guru Nik Aziz, kononnya tindakan dan kenyataan Nik Abduh bercanggah dengan kehendak ayahnya. Bagi menjawab tuduhan ini, sila rujuk kepada akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Oktober 2014; Nik Aziz sokong pandangan anak: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong pandangan anaknya, Nik Abduh yang mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi termasuk isu berkaitan dalaman Pas dan PR.

6.8: Kesimpulannya, pandangan yang menyatakan bahawa pimpinan PAS kini telah menyimpang dari hasrat dan cara yang telah dibawa oleh al-Marhum Tok Guru Nik Aziz adalah tidak berasas dan berupa andaian yang mempunyai niat dan tujuan tertentu. Usaha menjarakkan al-Marhum Tok Guru dengan apa yang dibawa oleh pimpinan PAS kini khususnya Tok Guru Presiden, dipercaya satu usaha untuk menunjukkan kepada masyarakat khususnya para ahli dan penyokong PAS, bahawa pimpinan PAS kini telah membawa PAS jauh tersasar dari perjuangan sebenar dan sudah tidak relevan lagi. Akhirnya ia menghalalkan tindakan keluar dari PAS dan menubuhkan parti baru.

PENUTUP

Enam persoalan yang utama yang saya nukilkan di atas adalah merupakan kata kuncI kepada kemelut yang sedang berlaku di dalam komponen Pakatan Rakyat khususnya melibatkan hubungan di antara PAS dan DAP. Semoga ia menjadi pencerahan kepada ahli-ahli PAS dan juga para penyokong untuk mereka memahami kedudukan isu yang sebenar dan tidak terpengaruh dengan maklumat-maklumat separuh masak yang berlegar terutama yang berniat jahat dan menjatuhkan kredebiliti PAS selaku parti Islam di negara ini.

- Ahmad Fadhli bin Shaari merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Sila kongsi artikel ini...

Terima Kasih Yab Tuan Lim Guan Eng - AMK Selangor

11:40 AM 0 Comments A+ a-



TERIMA KASIH YAB TUAN LIM GUAN ENG

AMK SELANGOR mengucapkan terima kasih kepada YAB Tuan Lim Guan Eng berkenaan dengan ucapan beliau di Johor Bharu pada 13/9/2015 berkaitan kerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Kami berpandangan beliau sudah menunjukkan kematangan berpolitik dan telah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan khususnya di Negeri Selangor. Kenyataan beliau jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat amat penting didalam meneruskan agenda yang telah dipersetujui bersama selama ini. Konsensus dan muafakat didalam Pakatan Rakyat adalah amanah daripada rakyat dan kemenangan besar Pakatan Rakyat di Selangor adalah kerana harapan dan amanah besar rakyat kepada Pakatan Rakyat.


AMK SELANGOR berharap agar kerjasama dan muafakat Pakatan Rakyat akan dapat diperkukuhkan demi menyelamatkan negara daripada kehancuran oleh UMNO dan Barisan Nasional. Di samping itu, muafakat Pakatan Rakyat di Selangor adalah sangat penting didalam mengekalkan kemenangan rakyat dan bagi menjayakan agenda Pembangunan Berkualiti Rakyat Di Peduli.

Kepada semua pimpinan utama Pakatan Rakyat, AMK SELANGOR menyeru agar kita semua kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Rakyat sedang memerhatikan kita dan jangan sesekali kita khianat amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

AMK SELANGOR menyokong dan mendukung penuh usaha ke arah memperkukuhkan Pakatan Rakyat demi Malaysia tercinta dan negeri Selangor yang kita kasihi bersama.

Terima kasih.
Salam Reformasi,

Zainol Abidin Mohamed
Timbalan Ketua AMK SELANGOR/
Ketua AMK Gombak
14/9/2015


Sila kongsi artikel ini...

Zionis Undang Siri Peperangan Baru Dunia - Khalil Hadi

10:47 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
30 Zulkaedah 1436 | 14 September 2015

"Zionis Undang Siri Peperangan Baru Dunia"


1. Tindakan sekumpulan penduduk Zionis Israel bersama Menteri Pertanian Zionis menyerbu ke Masjid al-Aqsa jelas merupakan provokasi amat melampau dan cubaan mencetus ke arah siri pertembungan panjang.

2. Bahkan, perbuatan mereka itu yang dilakukan di bawah perlindungan pasukan keselamatan Zionis dilihat sebahagian taktikal ketenteraan ke arah pertempuran bersenjata. Pengalaman lalu telah membuktikan bahawa tindakan-tindakan sedemikian adalah permulaan kepada kerahan ketenteraan yang menjurus kepada peperangan.
3. Malah, penahanan penjaga Masjid al-Qibli dalam serbuan tersebut serta menghalang para pelajar masuk ke situ, selaim lemparan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah ke arah penduduk Islam yang sedang bersolat, seakan semboyan ketenteraan dan seruan untuk bertempur.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam pencerobohan dan tindakan membabitkan masyarakat awam tersebut. Kami menyeru masyarakat dunia bersolidariti bagi menyatakan bantahan terhadap perkara itu.

5. Kami percaya, ianya langkah lanjutan penjajahan Zionis ke atas premis suci itu, sekaligus bakal mengundang peranan sekutu-sekutu Israel bagi meneguhkan cengkaman mereka ke atas Palestin.

6. Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti segera dan tidak berlengah lagi untuk mendesak Israel menghentikan serta merta tindakan mereka yang boleh mengundang siri peperangan baru itu.

7. Ancaman kepada keselamatan mesti ditegaskan sama sekali ke atas sesiapa sahaja tanpa memihak dan seterusnya mengundang persengketaan blok kuasa-kuasa dunia hingga menggugat keamanan sejagat.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

AMANAH Rakam Takziah Kepada Ahli Keluarga Mangsa Kren Tumbang di Masjidil Haram

10:36 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

AMANAH RAKAM TAKZIAH KEPADA AHLI KELUARGA MANGSA KREN TUMBANG DI MASJIDILHARAM

www.harapanbaru.net


1. AMANAH merakamkan ucapan takziah kepada semua Ahli Keluarga mangsa Kren Tumbang di Masjidilharam, Mekah yang sedang mengerjakan Ibadah Haji yang terkini dilaporkan seramai lima orang mangsa yang telah meninggal dunia.

2. Didoakan agar Allah Taala menempatkan mereka dikalangan orang-orang yang beriman tahkala mereka semua berada di tempat yang amat mulia di sana, mengharapkan seluruh Ahli Keluarga agar bersabar dan tabah dengan ujian yang sedang berlaku ini.

3. Saya dan rakan-rakan juga bersempati kepada mangsa yang tercedera akibat tragedi Kren Tumbang tersebut dan mendoakan agar mereka semua kembali sembuh serta dapat meneruskan Ibadah Haji ketika ini, marilah kita semua berdoa agar keselamatan Jemaah Haji Malaysia selamat di sana.

4. AMANAH mengharapkan agar Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji memastikan aspek keselamatan dan kemudahan khasnya kepada mangsa-mangsa yang tercedera dan juga melaporkan tahap terkini kedudukan mereka di sana kepada Ahli Keluarga di tanahair.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
14 September 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.