Penjelasan ringkas isu Baiah Taklik. - Ahmad Fathi Muhammad

11:13 PM 0 Comments A+ a-



Penjelasan ringkas isu Baiah Taklik.

PERTAMA: Patutkah Baiah ini dibuat, tidakkah ia kelihatan zalim dan kejam kepada isteri?

Jawapan: Melihat kepada zahir sesuatu perkara tanpa memahami tujuan kenapa perkara itu dibuat akan membuatkan kita tempang dalam membuat penilaian.

Nabi menyuruh minum air yang dimasuki lalat dengan merendamkan sepenuhnya lalat itu tidakkah kelihatan jijik? Tetapi apabila kita memahami tujuan kenapa dibuat maka kita akan mudah menerimanya.

Hidup di padang pasir yang sememangnya sangat menghargai nikmat air walau segelas sudah cukup memadai dan menginsafkan kita kepada keperluan dan kepentingan air daripada dibazirkan kerana seekor lalat.

Baiah disertai Taklik talak tiga kepada isteri secara zahirnya kelihatan dahsyat dan zalim. Tetapi apabila kita memahami tujuan dan sebab ia dibuat akan membuatkan kita menyedari kepada keperluan Baiah sebegitu dibuat.

Sikap sebahagian manusia zaman sekarang yang mudah menjual harga diri tanpa mempedulikan kepentingan orang lain sudah menjadi lumrah kehidupan.

Terutamanya dalam politik, di mana persaingannya cukup genting dan tidak mengira cara bagi menjatuhkan parti lawan.

Untuk mereka yang biasa membaca sejarah Islam zaman Imam Malik, mereka sedar baiah sebegini pernah berlaku.

Untuk mereka yang biasa berhadapan dengan masalah nikah cerai di mahkamah Syariah, mereka juga menyedai hal ini biasa berlaku.

Bahkan ada kes seorang lelaki yang melafazkan taklik talak kepada isterinya jika dia menonton video lucah. Tujuannya ialah untuk dia bertegas terhadap nafsu dirinya sendiri.

Dalam soal politik di Negeri Kelantan, umum mengetahui bagaimana Kelantan cuba dijatuhkan sejak berzaman oleh tiga perdana menteri namun tidak berjaya.

Bahkan Kelantan pernah berada di hujung tanduk dengan kelebihan satu kerusi sahaja pada tahun 2004. Namun walau dengan kelebihan satu kerusi ini, kerajaan Kelantan dapat bertahan sehingga ke akhir penggal.

Sarjana Islam dalam Siyasah Shar'iyyah sendiri menegaskan bahawa pemerintah berhak mencipta hukuman yang tegas sesuai dengan perubahan jenayah masyarakat pada zamannya.

Zaman nabi Muhammad, Nabi melarang menghukum manusia dengan membakarnya hidup-hidup.

Namun zaman Sayyidina Ali, beliau memerintahkan hukuman bakar hidup-hidup bagi mereka yang terus berdegil mempertuhankan Ali. Hukuman ini diperakui oleh sarjana Islam sebagai bersesuaian dengan maslahah mengatasi jenayah tersebut.

Sekarang ini, timbul isu Baiah Taklik. Isu ini timbul setelah mereka yang berbaiah taklik itu sibuk mahu menukar parti. Mereka mempertikaikan kembali baiah taklik yamg pernah mereka sendiri lakukan.

Sepatutnya soalan PATUT atau TIDAK PATUT baiah taklik ini tidak lagi menjadi persoalan kerana mereka sendiri telah bertanding dalam pilihan raya beberapa kali menggunakan Baiah Taklik tersebut.

Seperti orang yang telah makan nasi dua tiga pinggan kemudian bertanya kepada tuan rumah, patut atau tidak nasi tersebut dihidangkan.

KEDUA: Berlaku penafian oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri ketika ditanya oleh wartawan tentang kewujudan Baiah Taklik ini, macam mana?

Jawapan: Mereka yang mengesahkan kewujudan Baiah Taklik ini telah membuktikan kewujudannya. Maka penafian tentang kewujudannya yang perlu dipersoalkan.

Apakah wartawan telah tersalah memetik kenyataan, atau kenyataan yang dibuat itu di luar konteks yang sepatutnya atau individu yang membuat penafian itu bercakap bagi dirinya sendiri yang tidak perlu membuat Baiah Taklik tersebut atau pelbagai andaian lain lagi.

Soalnya perkara ini telah dibuktikan, justeru, jika ada penafian yang dibuat, maka penafian itu yang perlu dipersoalkan.

Tambahan pula, individu yang dikatakan mengangkat sumpah Baiah Taklik hanya mendiamkan diri yang menunjukkan bahawa beliau sebenarnya memang pernah mengangkat sumpah Baiah Taklik tersebut. Tuan punya badan yang terkena senyap, tiba-tiba penyokong yang tidak tahu apa-apa sibuk mempertahankan.

KETIGA: Bagaimana untuk membebaskan diri daripada Baiah Taklik ini?

Mereka yang telah melakukan baiah taklik ini dengan rela untuk menjadi wakil rakyat kepada PAS perlulah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat iaitu memulangkan kembali amanah yang diwatikahkan kepada mereka dengan cara yang sepatutnya.

Mereka bertanding mewakili PAS dan menang, maka mereka perlu meletakkan jawatan yang dimenangi tersebut sebelum menyertai parti lain tanpa menggunakan jawatan tersebut untuk mewakili parti lain pula.

Dengan cara ini, baiah taklik mereka akan gugur dengan perletakan jawatan mereka. Mereka juga akan kelihatan lebih AMANAH dan PROFESIONAL.
Wallahu'alam.
Sekian, wassalam.


Ahmad Fathi Muhammad
B.A & M.A Uni Qadi Iyyad
Marrakech. Morocco.
Anak Kpd Dr Muhammad Daud (Bekas Adun Tendong)


Sila kongsi artikel ini...

Isu Bai'ah: Ahli Diminta Bersabar, Rujuk Ulamak Muktabar - Mat Sabu

10:50 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

ISU BAI'AH: AHLI DIMINTA BERSABAR, RUJUK ULAMAK MUKTABAR

www.harapanbaru.com


Saya selaku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua ahli, khususnya mereka yang berasal daripada PAS dan kini menyertai parti Amanah, supaya mempunyai kesabaran paling tinggi terutama dalam menghadapi isu bai'ah ini.

Dalam menghadapi isu ini, saya menasihatkan ahli supaya berpeganglah kepada pandangan mana-mana ulamak atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia ada kelonggaran.

Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.

Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan daripada Mufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal bai'ah ini termasuk isu menceraikan isteri.

Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah, dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai.

Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar yang kita akan hadapi.

Paling penting adalah, untuk kita melepasi ujian-ujian ini dan pada masa sama mencapai keredhaan Allah sebagai matlamat tertinggi kita.

HJ MOHAMAD BIN SABUPengerusi
Parti Amanah Negara3 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Mahfuz Omar: Selamat Datang Parti Pekerja Pekerja Malaysia ( Amanah Negara ) Dalam Keluarga Besar Politik Demokrasi Malaysia.

7:39 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

SELAMAT DATANG PARTI PEKERJA PEKERJA MALAYSIA ( AMANAH NEGARA ) DALAM KELUARGA BESAR POLITIK DEMOKRASI MALAYSIA.

1. Saya mengambil kesempatan sebagai Ahli Parlimen mengucapkan selamat datang kepada Parti Politik baru dalam negara Malaysia. Kelahiran Parti Pekerja Pekerja Malaysia (Amanah Negara) pada waktu Negara Malaysia sedang dilanda krisis politik dan ekonomi akibat daripada salahguna kuasa dan korupsi kepimpinan negara diharap dapat membantu usaha pemulihan yang sedang dilakukan oleh semua pihak termasuk parti-parti pembangkang PAS,PKR, DAP, NGO dan Individu rakyat Malaysia untuk melihat negara kembali berada di landasan yang sebenar.

2. Kemunculan Parti Amanah Negara melalui pengambil alihan Parti Pekerja Pekerja Malaysia yang diusahakan oleh rakan-rakan saya tidak seharusnya dilihat sebagai suatu ancaman pada mana- mana parti politik yang sedia ada, sebaliknya kemunculan Amanah hendaklah diterima baik sebagai persaingan yang sihat daripada sudut politik dalam proses pemurnian demokrasi di Malaysia yang akhirnya akan memberikan keuntungan pada negara dan rakyat.

3. Kepada parti pembangkang yang sedia ada, dengan Kehadiran Amanah sebagai keluarga baru dalam kelompok pembangkang yang menjadi kerajaan menanti, jadikan lah perbincangan dan meja rundingan sebagai ruang mencari kata sepakat dalam mengurus dan menerajui perubahan baru Politik Malaysia.

4. Politik Malaysia memerlukan perubahan,yang seharusnya permulaan perubahan adalah daripada kepimpinan yang menerajui parti-parti politik yang ada khusus parti pembangkang. Politik Malaysia memerlukan kepimpinan politik jujur yang penuh beramanah dan bertanggungjawab untuk mengeluarkan Malaysia daripada krisis yang berpunca akibat salah guna kuasa dan ketamakan pemimpin negara.

5. Sebagai kerajaan menanti pemimpin parti-parti politik pembangkang sebijaknya tampil dengan wajah baru untuk Malaysia dengan menjauhi dari terjebak dengan permainan politik perkauman dan keagamaan sempit, amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,sebalik membawa misi politik damai, berintegriti dan rahmat untuk semua.

6. Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak dan P ilihan Raya Umum yang ke 14, parti- parti pembangkang sudah seharusnya memulakan rundingan dan perbincangan untuk mencapai kata sepakat yang membawa kepada situasi menang - menang yang akan memberi kebaikan kepada rakyat dan Malaysia tercinta. Demikian, PAS dan Amanah juga tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab ini untuk duduk di meja rundingan dan perbincangan dengan lapang dada , fikiran terbuka dan merendahkan ego masing masing. Pertembungan sesama sendiri di dalam pilihan raya di kalangan parti pembangkang akan menyebabkan hancur berkecailah harapan rakyat yang mengharapkan sinar dan wajah Malaysia baru.

7. Kepada pemimpin parti pembangkang ingatan jujur saya pada anda semua jangan sampai rakyat juga muak dan meluat kepada anda semua hanya kerana keegoan dan kedegilan anda seperti mana rakyat muak dan meluat kepada kepimpinan negara kerana ketamakan dan salah guna kuasa. Jika ini yang berlaku rakyat akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan politik

8. Kepada rakan-rakan saya yang mendukung Amanah saya ucapkan selamat maju jaya dan terus Istiqamah dengan Islam. Siiru A'la barokatillah.

Kepada yang terus kekal dalam PAS usah gusar dengan perkembangan, usah risau apa di hadapan, cabaran pasti mendatang. Tidak cukup kita hanya sekadar berslogan "Istiqamah Hingga Kemenangan" tetapi rakyat sekali lagi terlepas daripada kemenangan untuk perubahan yang diharapkan. Semua pihak perlu bersama rakyat untuk bersama menukar angan-angan menjadi realiti dan mengubah impian menjadi kenyataan.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"
"INILAH SLOGAN KITA"

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
3 Sept 2015/19 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Menyelesaikan Masalah Politik Melayu - Mohammad Agus Yusoff

5:55 PM 0 Comments A+ a-



MENYELESAIKAN MASALAH POLITIK MELAYU

oleh: 
Mohammad Agus Yusoff

Tidak habis saya fikir, kenapa apabila berlaku kekecohan dalam politik Melayu, baik itu dalam UMNO atau PAS, maka DAP, LGBT, dan kaum Cina yang dipersalahkan?

Pada saya, cukuplah kita menyalahkan kaum lain dengan masalah yang kita hadapi. Takkanlah masalah politik UMNO dan PAS hari ini adalah disebabkan oleh DAP dan kaum Cina?

Sepatutnya, jika kita orang Melayu bergaduh, kita muhasabah diri dan bertanya—apa puncanya? Adakah itu kerana terlalu mengejar kuasa, menjaga kuasa, memburu kekayaan, terlalu berpuak, atau adakah kerana terlalu sombong dan angkuh?

Selepas itu, tanya lagi diri kita. Sudah cukupkah kita membantu orang Melayu? Sudah cukupkah tindakan yang kita buat untuk menyatukan politik Melayu?

Dalam kita mencari jawapan kepada pertanyaan di atas, elakkanlah dari terus bersikap denial syndrome dengan hanya menyalahkan kaum lain. Lihatlah pada integriti kita, komitmen kita dan perancangan kita dalam menyelesaikan masalah Melayu.

Yang perlu sekarang ialah kita memahami keresahan rakyat. Cukuplah kita melihat masalah politik orang Melayu sekarang dari aspek polarisasi kaum.

Yakinilah, masalah kita tidak akan selesai jika sikap dan pemikiran kita tidak berubah. Dan ini harus dimulakan oleh pemimpin kita!


Sila kongsi artikel ini...

Dr MAZA: Hukm Mengambil Pemberian Dari Sumber yang Haram

4:44 PM 0 Comments A+ a-



HUKUM MENGAMBIL PEMBERIAN DARI SUMBER YANG HARAM

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri yang menyatakan tidak mengapa selagi transaksi itu atas bantuan, bukan judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?
Mazlan, Pulau Pinang.

Jawapan: Saudara Mazlan, perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas transaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut. Umpamanya, kakitangan kerajaan yang berkerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi. Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
(maksudnya): “dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing baginda memakannya. Ini seperti yang oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka. Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:
هُوَ لَهَا صَدَقَةٌ، وَلَنَا هَدِيَّةٌ
“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:
إِنَّ لِي جَارًا يَأْكُلُ الرِّبَا، وَإِنَّهُ لَا يَزَالُ يَدْعُونِي، فَقَالَ: «مَهْنَؤُهُ لَكَ وَإِثْمُهُ عَلَيْهِ
“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq).
Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: Ya” (al-Sunan al-Kubra).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab: “Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya: “Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan...(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

10. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.


Sila kongsi artikel ini...

Aduan Salah Laku Dan/Atau Perlanggaran Kod Etika Hakim Syarie Oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad.

3:55 PM 0 Comments A+ a-



ADUAN SALAH LAKU DAN/ATAU PERLANGGARAN KOD ETIKA HAKIM SYARIE OLEH KETUA HAKIM MAHKAMAH SYARIAH KELANTAN DATUK DAUD MUHAMMAD.

Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian khususnya Berita Harian Online bertarikh 2 September 2015 yang mana melaporkan antaranya bahawa Datuk Daud Muhammad, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan menyatakan bahawa perkahwinan antara Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan isterinya, sah gugur talak tiga selepas melanggar baiah yang dilafazkan sebelum ini. Beliau juga dilaporkan berkata "Perkara itu berlaku berdasarkan kandungan baiah (yang dilafazkan). Memandangkan mereka bukan lagi pasangan suami isteri, mereka tidak boleh lagi tinggal bersama".


Mengulas lanjut, Daud meminta pasangan terbabit hadir ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan status mereka. "Sehingga kini, Dr Hatta dan pasangannya belum mendaftar mengenai status perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah," katanya.

Laporan berita tersebut boleh didapati dipautan berikut :-

http://www.bharian.com.my/node/79063

Saya memohon merujuk kepada Arahan Amalan No. 1 Tahun 2001 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertarikh 2 Februari 2001 yang bersamanya menguatkuasakan KOD ETIKA HAKIM SYARIE.

Saya memohon merujuk kepada Peraturan 3 (g) Kod Etika Hakim Syarie yang memperuntukkan seperti berikut :

Kod Etika Di Luar Mahkamah.

Seseorang Hakim Syarie tidak boleh :-

(g) memberi pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya sedang dibicarakan atau berkemungkinan akan menjadi suatu isu dalam mana-mana perbicaraan di hadapannya, kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya;

Berbalik kepada laporan akhbar Berita Harian di atas, maka jelas bahawa Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan telah melanggar Peraturan 3 (g) Kod Etika Hakim Syarie kerana telah mengeluarkan pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya berkemungkinan akan menjadi isu dalam mana-mana perbicaraan kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh suatu pihak lain menyokong hujahnya.

Sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syariah, beliau telah mengeluarkan pendapat dengan memutuskan isu yang mungkin akan dibawa ke hadapan Hakim Syarie di bawahnya. Ini jelas merupakan perlanggaran Kod Etika Hakim Syarie.

Saya dengan ini memohon suatu siasatan dijalankan dan tindakan diambil terhadap Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan di bawah Peraturan 2 (2) yang memperuntukkan seperti berikut :-

Pelanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika ini boleh menjadi suatu alasan bagi tindakan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.[P.U.(A)395/93]

Sekian, Terima kasih.

ZULHAZMI SHARIFF
3 SEPTEMBER 2015


Sila kongsi artikel ini...

Mengapa PAS Tak Sesuai Berada di Pakatan Rakyat 2.0? - Hanipa Maidin

2:42 PM 0 Comments A+ a-



MENGAPA PAS TIDAK SESUAI BERADA DI PAKATAN RAKYAT 2.0

1. Saya dan rakan rakan dari Parti Amanah Negara sesungguhnya amat gembira dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan yang padu kepada wujudnya parti Islam baru atas nama Parti Amanah Negara sepertimana perutusan beliau dari penjara Sg Buluh bertarikh 1 hb September 2015.

2. Sudah tentu perutusan DSAI tersebut memberi suntikan baru kepada parti islam baru yang kami tubuhkan ini kerana semua tahu DSAI adalah satu figur dan nama besar dalam politik negara ini yang telah membawa satu reformasi politik yang menakjubkan kepada rakyat negara ini sekaligus berjaya mengubah lanskap politik negara ini.

3.Amat malang kerana politik balas dendam,kotor dan jijik Barisan Nasional rakyat dijauhkan secara fizikalnya dari DSAI bagi terus mengemudi kebangkitan rakyat menumbangkan BN. Namun jiwa, semangat dan ruh perjuangan beliau tidak mampu BN penjarakan dan ia terus menyalakan obor perjuangan bagi menentang kebobrokan dan salah guna kuasa BN.

4. Semasa kami berada dalam Pas dan semasa Pas masih berada dalam Pakatan Rakyat ,kami tidak pernah sangsi dan ragu dengan kepimpinan DSAI menerajui PR. Meskipun wujudnya elemen elemen tertentu dalam Pas dalam waktu waktu tertentu cuba menyemai keraguan terhadap kepimpinan beliau kami yakin keraguan itu tidak berasas sama sekali. Sejak Anwar diperlakukan secara kejam dan brutal oleh rejim BN saya sendiri telah menulis, berceramah, berforum ,berdemo dan melakukan banyak lagi perkara bagi mempertahankan DSAI. Saya pohon dari Allah dari sifat riya' namun sejarah boleh membuktikan di Parlimen banyak kali saya bersuara menentang kezaliman Umno/BN ke atas DSAI hingga saya dan kawan kawan digelar oleh parti sendiri sebagai Anwarinas dan pelbagai label lagi.

5. Saya dan kawan kawan juga sanggup dilabel ,difitnah dan dicerca oleh rakan rakan sejemaah atau parti sendiri kerana bersuara lantang mempertahankan Anwar, sahabat sahabat PKR dan Dap demi menjaga kelangsungan Pakatan Rakyat. Ianya berakhir dengan kami semua dinyahkan secara hina daripada saf kepimpinan Pas dalam Muktamar Pas yang lalu.

6.Pokoknya kami telah lakukan apa sahaja di dalam dan luar parti bagi mempertahankan PR. Namun gelombang dalam Pas yang mahukan elemen elemen dalan Pas yang pertahankan PR dinyahkan amat kuat dan malangnya disokong oleh mereka yang duduk di kepimpinan tertinggi Pas sendiri.

7. Apa yang boleh saya simpulkan bila kami mencetuskan Harapan Baru yang mencetuskan pula Parti Amanah Negara ianya dilakukan atas penuh kesedaran bahawa Pas, melalui pengalaman yang panjang dalam Pas, tidak benar benar menghayati tahaluf siyasi dengan Dap dan Pkr dalan wadah PR . Malahan Pas sebenarnya tidak begitu selesa kerana merasakan tidak dapat atau mampu mendominasi PR. Sedangkan bagi kami, isu pendominasian tidak seharusnya wujud dalam PR kerana "we are equal partners ( rakan kongsi yang setara )

8.Ini bermakna jika sekalipun Parti Amanah Rakyat tidak wujud dan andaikata PR masih wujud antara Pas, Pkr dan Dap, kewujudan PR itu bukan sahaja tidak akan memberi nilai tambah kepada PR dalam pilihanraya umum akan datang malahan saya berani katakan PR akan reput dengan gaya dan stail politik Pas dan kesannya rakyat bukan sahaja akan menghukum Pas ,malahan Dap dan PKR juga akan dihukum bersama.

9. Bertolak dari situ, kami percaya sekiranya PR baru atau Pakatan Rakyat 2.0 ingin diwujudkan semula , maka amat perlu parti parti yang membentuk komposisi PR tersebut menghayati prinsip prinsip dan pendirian pendirian bersama yang telah diputuskan secara konsensus. PR 2.0 mesti memfokuskan kehendak rakyat bukan kehendak parti parti yang menganggotai PR 2.0.Apa yang lebih penting segala keputusan yang diambil mestilah dibuat secara konsensus dan tiada mana mana parti yang cuba mendominasi PR tersebut.

10. DSAI atas kebesaran jiwanya dan sikap keterbukaanynya menyeru supaya permuafakatan politik yang baru hendaklah merangkumi PKR,DAP, Parti Amanah Negara dan PAS. Meskipun semua tahu bagaimana sikap Pas terhadap Anwar dan PKR seperti isu kerusi Dun Kota Damansara dan Dun Sg Acheh, isu pelantikan MB Selangor,isu kritikan Presiden Pas atas Datin Seri Wan Azizah , isu pemboikotan Pas piliihanraya kecil Permatang Pauh dan banyak lagi,Anwar masih mampu menunjukkan jiwa besarnya terhadap Pas. Malangnya Pas dalam program program tertutup masih terus menyalahkan DSAI khususnya dalam isu Kajang Move.

11. Apa pun, dengan penuh hormat kepada DSAI, saya dengan rendah diri memohon berbeza pendapat dengan beliau dalam soal keperluan melibatkan Pas dalam permuafakatan baru politik pembangkang.

12. Saya tidak yakin permuafakatan politik baru yang melibatkan PKR, DAP , PARTI AMANAH NEGARA dan PAS akan wujud. Saya tidak pernah berdendam atau benci dengan Pas , namun saya percaya kita harus realistik. Maka saya penuh yakin, mengambil kira realiti politik sekarang, keberadaan PAS dalam permuafakatan politik baru atau PR 2.0 bagi menggantikan PR tidak akan menguntungkan mana mana parti dalam PR 2.0 itu nanti. Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang ada sekarang saya tidak rasa Pas adalah aset kepada PR 2.0. Gaya dan stail politik Pas ,dengan penuh hormat, bukan gaya dan stail politik berkawan sebaliknya ia stail politik " lone ranger". Kenyataan ramai pimpinan Pas adalah jelas Pas tidak kisah menang atau kalah pilihanraya jadi bagaimanakah nak ditubuhkan satu pakatan politik yang ingin memenangi pilihanraya jika ada parti dalan komponen pakatan itu tidak kisah menang atau kalah pilihanraya ?

13. Saya juga tidak nampak bagaimanakah DAP boleh menerima keberadaan PAS dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu. Saya juga tidak nampak bagaimanakah pengundi pengundi bukan Islam boleh menyokong PR 2.0 jika Pas berada dalam PR 2.0 tersebut. Pendirian Pas dalam Bersih 4, pada hemat saya,menjadi suatu testimoni baru kepada rakyat bukan Islam untuk terus menolak Pas dan apakah jaminan mereka tidak akan menolak PR 2.0 jika Pas berada di dalamnya.

14 Ya ,benar PR 2.0 perlukan lonjakan beberapa peratus lagi undi melayu bagi mendapat kuasa di Putrajaya atas andaian status quo pengundi bukan Islam khususnya cina akan terus menyokong PR. Maka mungkin atas dasar itu ada yang melihat Pas perlu dilibatkan dalam PR 2.0' kerana tradisinya Pas disokong oleh orang melayu dan bertanding di banyak kerusi bermajoriti orang melayu.

15. Hakikatnya , Pas banyak menang di kerusi yang campuran kerusi melayu dan bukan melayu kecuali di Negeri Kelantan.Di kerusi yang majoriti orang melayu calon calon Pas masih sukar untuk menang. Justeru itu jika Pas dilibatkan dalam PR 2.0 dan turut bertanding di kerusi yang jumlah peratusan pengundi bukan melayunya agak substantif maka bukan sahaja di atas kertas ia akan kalah kerana sikap pengundi bukan melayu yang jelas ke atas Pas malahan yang lebih membimbangkan kerusi kerusi Dap dan PKR juga akan menerima kesan yang besar melalui hukuman yang pengundi bukan melayu kenakan kerana melibatkan Pas dalam PR 2.0

16. Saya menyimpulkan Pakatan Rakyat atau PR 2.0 hanya viable jika Pas tidak dilibatkan sebaliknya ianya hanya meliputi PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat sahaja. Biarlah Pas dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agenda solonya secara solo .

17. Maaf DSAI dan sahabat sahabat PKR yang saya amat sayangi ,saya mohon berbeza pandangan .

MOHAMED HANIPA MAIDIN

PARTI AMANAH NEGARA


Sila kongsi artikel ini...

Jabatan Peguam Negara Swiss bekukan akaun berkaitan 1MDB... - Wan Ahmad Fayhsal

12:34 AM 0 Comments A+ a-


oleh: 
Wan Ahmad Fayhsal
Jabatan Peguam Negara Swiss bekukan akaun berkaitan 1MDB...
Transparency International menempelak "tuan rumah"...

Entahlah tuan-tuan, saya dah tak rasa marah sangat bila baca berita yang mengkantoikan Najib dan 1MDB.


Saya rasa kecewa dan sedih, malah kasihan yang teramat. Bukan kepada Najib dan 1MDB tapi kepada kita semua.

Perlukah negara kita diaibkan sebegitu di persada dunia kerana buatan pemimpin kita sendiri?

Kenapa mereka yang ada kuasa untuk mengikat dan memutuskan talian hayat Najib masih sanggup bergelumang dengan pendustaan demi dunia yang fana' ini?

Tidakkah mereka fikirkan nasib dan masa depan negara ini?
Nasib anak-anak mereka?
Nasib cucu-cucu mereka?

Adakah hak kami untuk hidup aman, damai dan bebas dusta dan nista tidak bererti apa-apa di kaca mata pemimpin kita?

Kenapa masa depan kami diperjudi hanya mahu jaga tembolok sendiri?

Keyakinan yang hancur untuk dibina semula mengambil masa yang lama.

Masyarakat dunia sedang melihat Malaysia dengan pandangan yang cukup membimbangkan...

Semoga Allah SWT membuka pintu hati Najib dan para penyokong beliau yang masih mempertahankan kemungkaran ini untuk menyerah kalah, mengaku salah dan bertaubat.

Kasihanilah kami yang akan mewarisi negara dalam keadaan yang longlai.

Bukan mudah untuk kita bina semula...



Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.