Surat Rayuan Terbuka Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu Kepada Kekanda Kami Yb Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

11:58 PM 0 Comments A+ a-



SURAT RAYUAN TERBUKA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TANGGA BATU KEPADA KEKANDA KAMI YB USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

--------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم

YBhg Kekanda,

Rayuan bagi menyelesaikan kemelut Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka sesi 2015-2017

Hampir dua bulan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia(DPPM) Kali ke 56 melabuhkan tirainya, selama itu jugalah Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka(DPPNM) telah digantung menerusi makluman melalui telefon oleh PSU 2 ketika itu, Saudara Khairul Faizi.

2.Sehingga hari ini, kami masih belum menerima surat rasmi penggantungan Mesyuarat Agung DPPNM sebagaimana yang dimaklumkan dalam perbualan telefon oleh Saudara Khairul Faizi bahawa surat tersebut akan menyusul selepas muktamar.

3.Keputusan penggantungan ini dibacakan oleh YBhg. Ustaz Kamal Ashaari, Pengerusi Tetap Pemuda PAS semasa berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia. Lantaran dari itu Jawatan Ketua Pemuda PAS Melaka, Saudara Sharuddin Reduan digantung dan tidak boleh mengundi serta menjadi Perwakilan.
Keputusan pengantungan tersebut juga melibatkan semua barisan Exco DPPNM yang dilantik ketika itu.

4. Akur dengan pengumuman tersebut, maka kami menerima keputusan yang diumumkan sambil menanti pengadilan kes DPPNM. setelah SEBULAN menunggu jawapan kepastian, kami masih tidak menerima sebarang surat pemakluman rasmi berkenaan penggantungan DPPNM. Oleh yang demikian, kami mengusulkan surat Memohon Maklumbalas Berkenaan Status Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka sesi 2015-2017 sebagaimana lampiran.

5. Sebagaimana lampiran, surat tersebut sudah diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung PAS serta Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat pada tanggal 3 Julai 2015. sehinggalah pada tanggal 23 Julai 2015, setelah kami muat naik surat tersebut di Facebook, barulah mendapat respon daripada Saudara Khairul Faizi memaklumkan isu tersebut akan diambil tindakan susulan dalam Mesyuarat Jabatan Setiausaha PAS Pusat yang dijadualkan 24 Julai 2015.

6. Sehingga hari ini, 28 Julai 2015, kami masih menunggu.

7. Bosan dengan sikap tidak serius ini, maka kami memohon jasa baik Kekanda, menggesa Jabatan Setiausaha PAS Pusat supaya bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut ini. Jangan biarkan kelemahan pengurusan mereka menganggu kelancaran perjalanan DPPNM khususnya serta DPPM umumnya.

9. . Akhir kata kami menuntut maaf sekiranya surat rayuan terbuka kami kepada YBhg. Kekanda ini membebankan,dan kami memohon maaf juga sekiranya terdapat kata-kata yang terlanjur atau menyinggung perasaan.

10. Sekian. Terima Kasih.





--


Sila kongsi artikel ini...

Undi Tidak Percaya Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak Ke Arah Penubuhan Kerajaan Peralihan (“Transition Government”)

11:37 PM 0 Comments A+ a-



UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK KE ARAH PENUBUHAN KERAJAAN PERALIHAN (“TRANSITION GOVERNMENT”)


Sejak pendedahan-pendedahan mengenai keterlibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung tuduhan salahlaku pengurusan dana 1MDB dibuat, seluruh negara menjadi mangsa apabila urusan pentadbiran dan pembangunan dikorbankan demi percaturan politik beliau.

Keadaan menjadi parah kebelakangan ini sejak pendedahan Wall Street Journal (WSJ) mengenai pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun yang dituduh milik peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Beberapa minggu ini, seluruh negara diheret dengan pelbagai desas-desus pergolakan politik dalaman Umno seperti berikut:

1. Perpecahan dalaman di dalam Pasukan Petugas Khas (“Special Task Force”) yang diamanahkan menyiasat penglibatan Perdana Menteri kepada dua kumpulan – satu yang ingin menyelamatkan Perdana Menteri dan satu lagi yang ingin mendakwa Perdana Menteri. Perkara ini disahkan dengan berita pemecatan Peguam Negara pada hari ini.

2. Pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kanan dari Umno untuk mengukuhkan kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Segala desas-desus begini adalah tidak baik untuk negara kerana ia menimbulkan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial. Kedegilan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk terus berkuasa akan mengheret negara dengan ketidaktentuan selagi ia tidak diselesaikan segera.

Kami mengutuk sekerasnya-kerasnya tindakan mementingkan diri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengheret seluruh negara sedangkan tanggungjawab beliau adalah mentadbir dan menguruskan negara dengan cekap, telus dan amanah.

Oleh yang demikian, pimpinan-pimpinan KEADILAN, DAP dan Harapan Baru yang hadir pada hari ini menyeru supaya ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang sayangkan negara supaya mengambil tindakan drastik menyokong penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) dengan terma rujukan yang khusus seperti berikut:

1. Perlantikan seorang Perdana Menteri interim dari kalangan pimpinan terkanan (“elder statesman”) bagi tempoh satu tahun sehingga PRU14 yang dipanggil di akhir tempoh tersebut.

2. Reformasi institusi-institusi penting untuk memastikan PRU14 akan berjalan dengan adil dan keluhuran perlembagaan dan undang-undang dikembalikan.

3. Penyelesaian kepada skandal-skandal utama negara termasuk 1MDB dengan matlamat memastikan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.

4. Merombak dasar-dasar ekonomi yang menindas rakyat.

Penubuhan kerajaan peralihan ini boleh diadakan dalam masa terdekat sekiranya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional bersama-sama ahli-ahli Parlimen KEADILAN, DAP dan Harapan Baru menyokong satu usul tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Usul in boleh dibuat diluar sidang Parlimen atau semasa sidang Parlimen akan datang.

Dengan desas-desus yang tersebar luas bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah sampai masanya beliau dan kumpulan beliau serta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain yang cintakan negara menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kami juga memberi amaran kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak mengambil peluang dari pergolakan dalaman Umno ini untuk terus menyalahgunakan kuasa dengan menahan pimpinan-pimpinan pembangkang, pengamal media dan mereka yang mengkritik pentadbiran beliau. Sekiranya beliau meneruskan amalan biasa Umno yang memenjarakan lawan politik pembangkang ketika berlaku pergolakan dalaman Umno, kami pasti ratusan ribu rakyat akan turun ke jalanraya yang akan mempercepatkan kejatuhan beliau.

Kami akan membawa pulang cadangan undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ke arah penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) untuk diperhalusi di peringkat parti masing-masing. Kami yakin rakyat mahu melihat satu kepimpinan yang tegas dari parti-parti pembangkang agar kemelut ketidaktentuan akibat pergolakan dalaman Umno dan tuduhan rasuah terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ini dapat dihentikan serta merta untuk mengembalikan urusan pentadbiran negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.

28 Julai 2015

Mohamad Sabu
Dr Dzulkefly Ahmad
YB Khalid Samad
YB Saari Sungib
YB Dr Siti Mariah
YB Hanipa Maidin
YB Dr Hatta Ramli
YB Kamarudin Jaffar
YB Hasnul Baharuddin
Hj Izham Hashim
YB Tony Pua
YB Teresa Kok
YB Liew Chin Tong
YB Rafizi Ramli
Dato’ Saifuddin Nasution
YB Sim Tze Tzin
YB Wong Chen

 



--


Sila kongsi artikel ini...

SAMM Johor: Penyingkiran Muhyiddin Mengejutkan Rakyat Johor

11:30 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Umum
28 Julai 2015

Penyingkiran Muhyiddin Mengejutkan Rakyat Johor


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor terkejut dengan keputusan drastik Najib Razak untuk menyingkirkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pelan menyelamatkan dirinya untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. Ternyata tindakan Najib ini memperlihatkan kesungguhan Najib untuk menghukum mereka-mereka yang kritis terhadap isu pentadbirannya terutama 1MDB.

SAMM Johor amatlah bersimpati dengan UMNO Johor rentetan daripada peristiwa penyingkiran Muhyiddin ini. Sudah pastilah harapan UMNO Johor untuk melihat seorang Perdana Menteri dari BANGSA JOHOR kian malap.

Rentetan itu, SAMM Johor cuma ingin mengemukakan persoalan kepada UMNO Johor termasuklah kepada Menteri Besar Khaled Nordin, sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan juga Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO Johor seperti Shahrir Samad, Nur Jazlan dan sebagainya, apakah pendirian UMNO Johor berhubung perkara ini? Adakah UMNO Johor rela melihat Najib membuli rakan senegeri mereka?

Malah, seharusnya Ahmad Maslan, Azalina Othman Said dan barisan anggota kabinet dari Johor sepatutnya tidak menerima perlantikan jawatan itu sebagai tanda setiakawan terhadap nasib Muhyiddin yang tersingkir. Begitu juga, Hishamuddin Hussein. Adakah anda akan mengikut telunjuk sepupu anda ataupun anda akan setia bersama Johor?

Kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, SAMM Johor amat simpati kerana anda telah menjadi mangsa kerakusan politik Najib Razak. SAMM Johor berharap agar Tan Sri ingat akan petikan kata-kata, Belum pernah dalam sejarah, anak Johor tunduk dan mengalah dalam menghadapi cabaran. Tan Sri perlu segera membawa usul undi tidak percaya kepada Najib Razak dalam persidangan Parlimen akan datang.

Hadzril Ridzal Husin
Penyelaras SAMM Johor

 
--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media MB Selangor Azmin Ali berkenaan Pemecatan Tan Sri Muhyiddin

7:45 PM 0 Comments A+ a-



SIARAN MEDIA

28 JULAI 2015

Malaysia terjerumus ke gaung krisis yang makin parah dengan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet hanya beberapa hari selepas beliau memberi kenyataan Perdana Menteri perlu memberikan jawapan kepada skandal 1MDB.


Pemecatan Abdul Ghani Patail selaku Peguam Negara, salah seorang anggota panel menyiasat skandal 1MDB, memberikan gambaran Perdana Menteri bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan regimnya dari disiasat oleh panel bebas atas pelbagai salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit.

Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti perlu bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia. Rakyat tidak memberikan dukungan kepada mana-mana ahli parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah.

Dalam pertemuan saya selama lebih dua jam pada Jumaat lalu, Dato’ Seri Anwar menyampaikan pesan agar rakyat Malaysia dan NGO bersatu untuk bersama dalam membawa perubahan.

Parti Keadilan Rakyat telah memulakan siri jelajah Amanat Presiden sejak seminggu yang lalu untuk memupuk perpaduan dalam parti sebagai asas untuk menggembleng kekuatan rakyat dan semua kekuatan politik dalam negara untuk melaksanakan perubahan.

YAB MOHAMED AZMIN ALI
Dato’ Menteri Besar Selangor |
Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

 


--


Sila kongsi artikel ini...

Nik Nazmi: Pengesahan Rombakan Kabinet - Masa untuk Bersatu Selamatkan Malaysia

7:38 PM 0 Comments A+ a-



PENGESAHAN ROMBAKAN KABINET - MASA UNTUK BERSATU SELAMATKAN MALAYSIA
Keputusan Perdana Menteri Najib Razak untuk merombak Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan alasan "pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran" jelas menunjukkan bahawa beliau tidak langsung mementingkan kepentingan awam di dalam keputusan yang diambil.


Pengguguran mantan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikutan pendirian beliau untuk mempersoalkan isu 1MDB secara terbuka memberi gambaran yang jelas bahawa Najib Razak mempunyai sesuatu yang terselindung.

Ahli UMNO yang sebelum-sebelum ini hanya mampu mengundang kontroversi seperti Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Rahman Dahlan dan Azalina Othman, pula ada yang dinaiktaraf dan kebanyakkannya dikekalkan sebagai menteri kabinet.

Tidak salah rasanya jika dikatakan barisan ahli kabinet ini merupakan antara yang paling hambar di dalam sejarah Malaysia.

Dalam pada itu, beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga telah dinaiktaraf menjadi ahli kabinet, walaupun PAC sedang dalam satu fasa kritikal di dalam siasatan mereka ke atas 1MDB.

Keputusan untuk menaiktaraf ahli PAC, dan menarik keluar ahli-ahlinya termasuklah Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, boleh dilihat sebagai satu perancangan untuk menumpulkan usaha penyiasatan Jawatankuasa tersebut. Sekiranya bekas-bekas anggota PAC ini berwibawa, mereka sudah menolak perlantikan tersebut.

Peguam Negara Gani Patail juga telah ditamatkan kontrak sebelum waktunya. Kenyataan beliau bahawa beliau tidak mengetahui mengenai keputusan tersebut bercanggah sama sekali dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa, bahawa beliau "direhatkan" atas faktor kesihatan.

Apakah ia berkait rapat juga dengan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat 1MDB dan telah melakukan beberapa tangkapan berkenaan kes tersebut?

Beliau pula digantikan oleh Apandi Ali yang merupakan bekas Bendahari UMNO Kelantan.

Rombakan kabinet, penamatan kontrak Peguam Negara, penggantungan akhbar media The Edge, sekatan ke atas Sarawak Report, semua langkah ini bagai hendak menutup skandal 1MDB.

Sebagaimana telah disebut di dalam kenyataan akhbar wakil-wakil rakyat KEADILAN, DAP dan GHB, ini adalah masa perbezaan politik diketepikan dan semua wakil rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran menubuhkan sebuah kerajaan peralihan diketuai pimpinan kanan yang dihormati (elder statesman) bagi menyelamatkan Malaysia dari kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi rakyat pada hari ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN





--


Sila kongsi artikel ini...

Pemuda PAS: Rombakan Kabinet: Bersama PAS Selamatkan Negara

6:12 PM 0 Comments A+ a-








ROMBAKAN KABINET : BERSAMA PAS SELAMATKAN NEGARA

Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini sebenarnya hanyalah langkah untuk menyelamatkan beliau sendiri dan bukan untuk menyelamatkan UMNO jauh sekali menyelamatkan negara serta memberikan keyakinan kepada rakyat. Secara zahirnya, golongan yang digugurkan ialah mereka yang membangkitkan persoalan-persoalan yang berlegar di kalangan rakyat berhubung ketelusan pengurusan kewangan yang membabitkan wang pembayar cukai.

Keraguan rakyat berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh diselesaikan dengan penyusunan semula kabinet. Mungkin suara-suara yang menentang boleh disenyapkan di dalam kabinet, namun ia tetap menjadi persoalan utama yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat. Jika ditambah pula dengan isu-isu lain seperti skandal pembelian hartanah MARA, Tabung Haji, Felda Global Venture (FGV), kenaikan kos sara hidup, kenaikan tol dan sebagainya, rakyat sebenarnya boleh menjatuhkan hukuman total kepada UMNO dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Jelas sekali, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tidak berhasrat untuk menyelamatkan negara. Apa yang ingin diselamatkan hanyalah dirinya dan kepentingan golongan yang berkaitan. Tiada harapan lagi untuk ahli-ahli UMNO untuk mengharapkan kepimpinan yang jujur dan telus dari Presiden mereka pada hari ini.

Tiba masanya untuk beralih kepada bahtera penyelamat yang sebenar. Kuasa politik umat Islam wajib diberikan keutamaan. Sampai masanya untuk PAS menjadi alternatif sebenar kepada seluruh pengundi, samada untuk umat Islam khususnya mahupun masyarakat majmuk berbilang agama, Melayu mahupun bukan Melayu, ahli UMNO yang ingin berhijrah mahupun yang hanya ingin menterjemahkan sokongan melalui kotak undi.

Mari membina Malaysia Baru. Malaysia yang bebas dari korupsi. Malaysia yang berkebajikan. Malaysia yang ditunjangi kuasa politik Islam sebagai asas penyelamat. Tiada harapan lagi bagi UMNO di era kepimpinan ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bertarikh : 28 Julai 2015

--


Sila kongsi artikel ini...

Geng Ustaz: Pertahan Najib, UMNO Hancur: Pandangan Presiden PAS tepat

6:09 PM 0 Comments A+ a-








kenyataan media 27 Julai 2015

PERTAHAN NAJIB, UMNO HANCUR: PANDANGAN PRESIDEN PAS TEPAT

Geng Ustaz terkejut mendengar rombakan kabinet terbaru yang berlaku, di mana ia kelihatan untuk memperkukuhkan kedudukan politik Najib Razak setelah mulai hilang sokongan daripada kabinet sendiri.

Ternyata Umno kini tidak dapat bertahan lagi, dan terpaksa menghadapi kehancuran terutama apabila Muhyidin Yasin dijangka membuat gerakan bersama Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib. GU tidak menolak kemungkinan gerakan 'reformasi' yang pernah dibuat oleh Tengku Razaliegh pada 1988 dan Anwar Ibrahim pada 1998 akan berulang. Muhyidin mungkin boleh membentuk GHB versi Umno selepas ini.

Ternyata kesan buruk yg dialami oleh Umno ini adalah akibat tindakan Pas mempertahankan supaya Najib terus menjadi PM, ketika sebahagian pemimpin PR mendesak Najib digantikan oleh Muhyidin. Pandangan Presiden Pas yg ditentang oleh golongan GHB ternyata lebih tepat dalam mempercepatkan keruntuhan Umno.

GU menjangkakan politik Melayu akan berubah dgn petkembangan ini. Orang2 melayu yang kecewa dengan umno sekarang akan beralih kepada Pas setelah Dap tidak lagi menjadi sekutunya. Sebelum ini, orang Melayu bimbang peranan Dap dalam meruntuhkan pengaruh politik Melayu.

Serpihan Umno jika diwujudkan oleh Muhyidin sudah pasti akan memilih Pas sebagai regunya untul memperkukuhkan politil Melayu Islam dan menghadapi Umno dan PR 2.0 yg diketuai Dap nanti.

Dalam keadaan politik seperti ini, Pas dilihat paling berpotensi dalam menggambil alih kepemimpinsn negara dan mengukuhkan kedudukan politik Melayu Islam. GU mengucapkan tahniah di atas kebijaksaan strategi politik Presiden Pas.

Norazli Musa
Presiden Geng Ustaz




--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor Berhubung Rombakan Kabinet

5:30 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
YAB DATO' MOHAMED KHALED NORDIN, MENTERI BESAR JOHOR BERHUBUNG ROMBAKAN KABINET 28 JULAI 2015.

1. Semasa YAB Perdana Menteri datang ke Johor pada 15 Mei 2015 yang lepas, Perhubungan Umno Johor telah membuat keputusan bahawa Perdana Menteri perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi, khususnya isu 1MDB.

Oleh itu, jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk rombakan dilakukan terhadap barisan kabinet, dan termasuk terpaksa menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita menerima ketetapan itu, lebih-lebih lagi kerana kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri.

Kita mendoakan barisan kabinet yang baharu dibentuk ini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, sebagaimana keyakinan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya dalam masa yang munasabah.

2. Dalam pada itu, perlulah juga diambil peringatan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Timbalan Presiden Umno, dan diharap semua pihak terus menghormatinya. Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang telah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat-mesyuarat Umno bahagian masing-masing.

3. Saya berharap rakyat dan ahli-ahli Umno khususnya daripada Johor dapat bersabar dan melalui saat-saat ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Semoga Allah SWT memberi kita semua kekuatan untuk akhirnya menemui kebenaran.


--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Shafie Afdal 28 julai

5:00 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

Selama ini saya telah memperjuangkan kepentingan rakyat dan sentimen akar umbi.

Pandangan yang saya berikan adalah demi untuk menguatkan UMNO dan niat ini bertujuan untuk meletakkan negara di landasan yang sepatutnya.

Sekiranya ini dianggap tidak selari dengan pendirian YAB Dato' Sri Najib maka itu adalah hak beliau sebagai Perdana Menteri untuk membuat rombakan.

Sejak memegang jawatan kabinet, saya telah menjalankan amanah dan tanggungjawab yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar.


Sekian.
28 JULAI 2015


Shafie Apdal Official



--


Sila kongsi artikel ini...

KENYATAAN MEDIA YBHG TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

4:14 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
YBHG TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.

Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

28 Julai 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Husam Musa: AG digugur untuk elak PM ditahan? Pengguguran tak sah

3:53 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Husam Musa

AG digugur untuk elak PM ditahan? Pengguguran tak sah?

Menggantikan AG bukanlah satu kesalahan.
Namun, menggugurkan AG yang terlibat dengan siasatan skandal yang melibatkan PM yang mencadangkan pengguguran itu ketika kemuncak siasatan, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.


Apa lagi tuan punya diri, seperti dilaporkan Malay Mail Online, tidak tahu menahu dengan pengguguran itu.

Jika tuan punya diri masih sihat tetapi alasan beliau digugurkan adalah sakit, lebih menimbulkan tanda tanya.

Apalagi ada berpandangan pemecatan AG memerlukan penubuhan sebuah tribunal terlebih dahulu.

Kenapa AG perlu digugurkan begitu gopoh?

Jika ia bertujuan untuk mengubah haluan siasatan 1MDB, ternyata negara berhadapan dengan ancaman yang amat kritikal.

SELAMATKAN NEGARA!!!

Husam Musa
28 Julai 2015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media YAB Perdana Menteri Mengenai Rombakan Kabinet

3:51 PM 0 Comments A+ a-



Pejabat Perdana Menteri

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
MENGENAI ROMBAKAN KABINET


Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan berikut:

Menteri Persekutuan:

(i) YB Datuk Wilfred Madius Tangau;

(ii) YB Dato’ Hamzah bin Zainudin;

(iii) YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar;

(iv) YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid;

(v) YB Dato’ Sri Azalina binti Dato’ Othman Said;

(vi) YB Datuk Seri Ong Ka Chuan; dan

(vii) YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak

(Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak sebagai Ahli Dewan Negara dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam masa terdekat).

Timbalan Menteri Persekutuan:

YB Dato’ Wira Mohd Johari bin Baharum;
YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin;
YB Datuk Nur Jazlan bin Mohamed;
YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki;

(v) YB Senator Tuan Chong Sin Woon;

(vi) YB Dato' Seri Reezal Merican bin Naina Merican;

(vii) YB Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakob;

(viii) YB Tuan Masir anak Kujat; dan

(ix) YB Dato’ Johari bin Abdul Ghani.

Rombakan Kabinet hari ini dibuat bagi tujuan memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam kita menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14.

Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta perubahan portfolio,dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran

Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13.

Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan Negara serta menguruskan isu-isu Negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.

Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan serta Negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility).

Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang kini tidak lagi bersama saya di dalam pentadbiran Kerajaan.

Insha-Allah, saya yakin senarai Kabinet yang baru ini dapat meneruskan hasrat Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah juga memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda diadakan pada Rabu, 29 Julai 2015, jam 10 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri
Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak
28 Julai 2015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Pemuda PAS: KLIA 2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat

3:34 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media: KLIA 2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Kerajaan Malaysia bertindak segera menyelesaikan masalah mendapan akibat takungan di terminal KLIA 2. Masalah ini sudah berlarutan sekian lama sejak ia mula dibuka pada tahun lepas sehingga kini masih belum mempunyai penyelesaian yang konkrit. Laporan media antarabangsa, Bloomberg di dalam portal beritanya yang bertajuk “Kuala Lumpur’s $ 1 Billion Terminal Is Sinking, Airline Says” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Rujukan: http://www.bloomberg.com/…/kuala-lumpur-s-1-billion-air-ter…


2.Pada penghujung tahun 2014 , Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan nama lima anggota panel Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik . Mereka diberikan tugasan untuk memastikan KLIA 2 mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan dan mengkaji semua aspek termasuk isu mendapan di apron KLIA 2. Kini, tempoh masa 6 bulan yang diberikan sudah pun tamat. Bilakah pihak kerajaan akan menunaikan janji untuk mengumumkan laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 tersebut kepada rakyat dan tindakan susulan yang perlu diambil?

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Kerajaan Malaysia agar memandang serius berkenaan aspek keselamatan di lapangan terbang ini lebih-lebih lagi pada saat imej dan reputasi industri penerbangan negara telah merosot teruk akibat insiden misteri kehilangan MH 370 dan MH17 yang ditembak jatuh. Usah menanti kejadian buruk berlaku,barulah sibuk untuk bertindak bak kata pepatah “sudah terhantuk, baru tengadah”.

4. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pengangkutan mengumumkan segera laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 agar rakyat dapat menilainya dengan adil dan telus. Sebarang unsur salahguna kuasa, penyelewengan dan kecuaian oleh pihak yang terbabit perlulah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan pada masa sama penyelesaian kongkrit terhadap masalah mendapan akibat takungan air perlu diselesaikan dengan kadar segera. Kerajaan usahlah menggadai nyawa rakyat akibat kelemahan dan kegagalan dalam bertindak.

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
28 Julai 2015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Solidariti Untuk Pak Shukor Haron, Kembalikan Kebebasan Media - GHB

3:32 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media:
SOLIDARITI UNTUK PAK SHUKOR HARON,
KEMBALIKAN KEBEBASAN MEDIA


28 Julai 2015 | George Town

Berita pemberhentian kolumnis veteran Pak Shukor Harun daripada Harakah menjadi satu lagi tanda kegelitaan Kebebasan Media di tanah air ini.

Baru semalam, saya mewakili Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menerima jemputan bersolidari bersama-sama Gabungan Wartawan Akhbar Pulau Pinang memprotes pergantungan permit penerbitan dua akhbar The Edge, hari ini berita buruk daripada media yang menjadi lidah rasmi Pas pula.

Sumber memberitahu, tulisan Pak Shukor Haron mula disekat untuk disiarkan dalam portal berita Harakahdaily pada menjelang Hari Raya Aidilfitri lagi.

Selain itu, kolum Sastera yang diselenggara oleh seorang lagi wartawan, Sdr. Ali Bukhari Amir di Harakahdaily turut ditutup, selepas cerpen "Rumah Baru" disiarkan.

Dikatakan, khidmat Pak Shukor Haron ditamatkan antara lain kerana dilihat mengkritik Pas dalam beberapa tulisannya di The Malaysian Insider, walaupun tulisan beliau dalam Harakah jejas tidak memihak.

Muktahir ini, Pak Shukor Haron juga dilihat aktif mengikuti perkembangan ‪#‎HarapanBaru‬ melalui deklamasi puisi dan mengarang puisi panjang tentang #HarapanBaru, barangkali mengakibatkan beliau dizalimi.

Sepatutnya penulisan kritikal Pak Shukor mengenai dinamika politik dalaman PAS wajar dihargai, bukan dizalimi.

Apa bezanya pergantungan permit penerbitan The Edge atas sebab mendedahkan skandal 1MDB, dengan pemberhentian Pak Shukor Harun daripada Harakah kerana menulis secara kritikal mengenai politik dalaman Pas?

Pas harus jujur, tak cukup hanya menyebut "sokong kebebasan media", tapi pada masa yang sama menafikan hak kewartawanan orang seperti Pak Shukor Haron yang krisis itu.

Tak berkuasa lagi, Pas seakan sudah simpan kuku dan melayan tidak adil ke atas wartawannya.

Bayangkan jika berkuasa, barangkali mungkin sama zalim dengan rejim Umno BN sekarang.

Padanlah ada yang seorang rakan sekerja lama di Harakahdaily pagi tadi mencebik, "Tamat perkhidmatan Pak Shukor itu berdasarkan 'Islamic Security Act' (ISA) itu sebab Pas tiada kuasa macam KDN."

Sokong Kebebasan Media!
Solidariti Untuk Pak Shukor Haron!

ZAINULFAQAR YAACOB
Ketua Penerangan (sementara)
Gerakan Harapan Baru (GHB) Pulau Pinang

merangkap

Timbalan Pengerusi II
NGO PasMa Pulau Pinang






--


Sila kongsi artikel ini...

Muhyiddin Yasin Tersingkir - ZulHazmi Shariff

3:30 PM 0 Comments A+ a-



MUHYIDDIN YAASIN TERSINGKIR.

Pengumuman rombakan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yaasin dikeluarkan daripada anggota Jemaah Menteri. Mulai esok beliau bukan lagi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga bukan lagi Menteri Pendidikan.

Tan Sri Muhyiddin walau bagaimana pun masih lagi Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Presiden Barisan Nasional.


Apa yang menariknya sebelum ini Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti sehingga 2017, maka dengan itu Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Presiden Umno sehingga 2017 melainkan ada percaturan lain yang berlaku.

Bukan sahaja Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Presiden Umno, banyak lagi jawatan-jawatan lain akan terus kekal dan berguguran sepanjang tempoh sehingga 2017.

Paling sadis ialah sayap Pemuda Umno. Apabila pemilihan ditangguhkan ini bermakna pemimpin-peminpin pemuda yang bercadang bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno peringkat pusat, negeri dan bahagian ada yang akan terlepas had umur pemuda. Kesian mereka. Sudah banyak melabur melobi tiba-tiba pemilihan ditangguhkan. Projek-projek yang ditunggu juga akan ikut terlepas bersama penangguhan pemilihan dan rombakan Jemaah Menteri.

Adakah mereka ini hanya tunggu dan lihat merenung nasib??? Parti Melayu mesti ada jiwa pahlawan Melayu. Mesti lawan. Takkan nak tunggu saja.

Sekarang dengan tersingkirnya Muhyiddin daripada Jemaah Menteri, beliau boleh mengetuai gerakan pembaharuan Umno. Umno mesti dipertahankan. Dalam keadaan Umno terkecamuk dengan pergeseran dalaman, ayuh kita semua rakyat Malaysia yang sayangkan Malaysia bersama tinggalkan Umno kepada orang Umno. Tinggalkan Umno dan bersama Gerakan Rakyat selain Umno itu lebih baik. Kita mesti jaga Malaysia.

Malaysia akan lebih baik tanpa Umno. Malaysia akan lebih aman sejahtera tanpa Umno. Umno sudah lama menjahanamkan Malaysia dan menjahanamkan diri mereka sendiri. Sekarang masa yang terbaik untuk kita bersatu Selamatkan Malaysia demi masa depan kita.

BERANI BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF
28072015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

PSM's Solidarity Message to the People of Greece

12:30 PM 0 Comments A+ a-



PSM's Solidarity Message to the People of Greece

28 July 2015

We from the Socialist Party of Malaysia (PSM) would like express our solidarity with the people of Greece who are currently under continuous attacks by punitive austerity measures imposed by the Troika (EC, ECB and IMF) which represent only the interest of the big banks and European financial capital.


We understand that the current Greek government is under tremendous pressure from the savage international debtors and forced to accept bailout deal that will further worsen the life of the Greek people who already had gone through over 5 years of austerity measures. We believe what the European leaders and international financial institutions have done to Greece is constituted a coup that robbed its sovereignty, coup without tanks but with banks.

We salute the people of Greece who withstood the blackmailing and voted “NO” on 5 July 2015. 61% of NO votes represented the popular will of the Greek people to resist the austerity onslaught. This is a clear demand from the Greek people and those who stand with them, for a better future, for both Greece and Europe.

We believe that the Greek people do not need any more austerity. What needed now for the Greek people is solidarity around the world.

We stand with Greece, and call for the cancellation of all odious debts. Only by cancelling the odious and illegitimate debts imposed on Greece by the international financial institutions, the Greek people will have the chance to restart its economy and rebuild a better future for the country as well as Europe.

In solidarity,
Socialist Party of Malaysia (PSM)

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media ABIM: 1MDB JPM Mencabuli Etika Perkhidmatan Awam

9:30 AM 0 Comments A+ a-



[Kenyataan Media 1MDB JPM Mencabuli Etika Perkhidmatan Awam]

Merujuk kepada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri bertarikh 27 Julai 2015, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan kekesalan yang mendalam.


Kekesalan ini adalah berdasarkan kenyataan dari perenggan ke 3 hingga ke 6 yang jelas menyamakan Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Presiden UMNO. Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana ia jelas mencabuli etika dan profesionalisme kakitangan awam.

Hak bagi jawatan Perdana Menteri bukanlah hak mutlak Presiden UMNO. Presiden UMNO tidak semestinya Perdana Menteri selama-lamanya. Ia bergantung kepada pilihan rakyat menerusi sistem demokrasi pilihanraya yang diamalkan dalam pemerintahan negara.

Kenyataan akhbar tersebut jelas bertentangan dengan tataetika perkhidmatan awam sepertimana yang dipertegaskan dalam perenggan 3 dan 4 pekeliling yang diedarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Jun 2011. Perkeliling tersebut dengan jelas bertujuan untuk mempertahankan prinsip 'neutrality' dan'impartiality perkhidmatan awam terhadap mana-mana pihak, kumpulan termasuk gerakan, fahaman dan parti.

Kegagalan membezakan antara parti dan kerajaan mendorong kepada pelbagai kesalahan dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan. Tidak mustahil jika satu kenyataan akhbar yang sepatutnya mewakili Perdana Menteri pun tidak boleh dibezakan apatah lagi dengan kemudahan lain termasuklah kewangan.

Kesimpulannya, jika maksud kenyataan akhbar tersebut adalah untuk memelihara keyakinan orang awam jelas ia tidak mencapai maksudnya. Ia semakin memualkan dan semakin menghakis keyakinan orang ramai terhadap tatakelola dan profesionalisme kerajaan dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Kejengkelan rakyat terus membuak-buak melihat kelemahan tata urus terutamanya tatkala membicarakan skandal 1MDB

Cikgu Amidi Abd Manan, Presiden ABIM






--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media : Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Pemerdagangan Orang(U.S. TIP REPORT) Bagi Tahun 2015

4:30 AM 0 Comments A+ a-

KENYATAAN MEDIA : LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT) BAGI TAHUN 2015

KENYATAAN MEDIA



MENTERI DALAM NEGERI

YB DATO SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI



MENGENAI



LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT)

BAGI TAHUN 2015





(28 JULAI 2015)


Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) telah mengeluarkan Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2015 di Washington, Amerika Syarikat pada 27 Julai 2015. Penilaian oleh JNAS dibuat terhadap 188 buah Negara termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan. Laporan tersebut telah meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) bagi tahun 2015.

Peningkatan daripada kedudukan Tahap 3 (Tier 3) pada tahun 2014 kepada Tahap 2 Pemerhatian merupakan pengiktirafan kepada komitmen dan inisiatif Malaysia dalam menangani jenayah ini. Ini dapat dilihat daripada penubuhan High Level Committee (HLC) mengenai pemerdagangan orang yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 3 Julai 2014 bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan susulan daripada Laporan JNAS 2014. Menerusi pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Jun 2015 dan Dewan Negara pada 7 Julai 2015, HLC akan menjadi mekanisme kekal sebagai jawatankuasa peringkat tertinggi dalam membuat keputusan dasar dalam menangani jenayah ini.

Pindaan ATIPSOM 2007 juga melibatkan pemerkasaan keanggotaan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran(MAPO) dengan penambahan anggota baru merangkumi Kementerian Pertahanan, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Belia dan Sukan. Dengan menjadi ahli Majlis, Kementerian/Agensi berkenaan akan turut sama menyumbang dan terlibat dalam usaha membanteras jenayah ini secara kolektif dan bersepadu mengambil kira kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Aspek utama pindaan ATIPSOM 2007 adalah penambahbaikan kepada aspek perlindungan mangsa di mana akan memberikan kebenaran bagi mangsa pemerdagangan orang untuk bergerak bebas dan tinggal di luar rumah perlindungan serta diberi peluang bekerja. Di samping itu, MAPO akan membayar elaun kepada orang yang diperdagangkan.

Peruntukan khusus juga telah dimasukkan melibatkan pembayaran pampasan dan pembayaran gaji tertunggak kepada mangsa pemerdagangan orang. Ini merupakan pindaan signifikan memandangkan isu ini adalah kritikal kerana kebanyakan daripada mangsa-mangsa yang berstatus PATI tidak dapat membuat tuntutan ini disebabkan kekangan perundangan sebelum pindaan yang hanya membenarkan tuntutan penyelesaian tunggakan gaji kepada mangsa warga asing yang bekerja di Negara ini secara sah sahaja.

Penglibatan sepenuhnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang di Rumah Perlindungan NGO dan petugas NGO bertindak sebagai Pegawai Pelindung adalah merupakan satu transformasi dan seiring dengan amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan Negara-negara maju seperti U.S., Australia dan United Kingdom.
Pihak U.S. amat prihatin mengenai aspek eksploitasi buruh dan buruh paksa terutama di sektor perladangan kelapa sawit, serta tekstil dan baru-baru ini pula merangkumi sektor elektrik dan elektronik. Bagi menangani kebimbangan ini, MAPO telah mengadakan kerjasama dengan empat (4) syarikat multinasional iaitu Seagate, Intel, Western Digital dan Hewlett Packard dalam menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa di mana Bengkel-bengkel telah diadakan pada 20 April, 2015 di Johor Bahru, 21 April, 2015 di Petaling Jaya dan 23 April, 2015 di Pulau Pinang. Bengkel-bengkel ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada majikan, kontraktor dan syarikat pembekal pekerja asing mengenai amalan terbaik dalam pengambilan dan pengurusan pekerja.

Sebagai usaha berterusan untuk menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa terutamanya di sektor elektrik dan elektronik, Malaysia menerusi MAPO telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat (U.S.) untuk menganjurkan The First Joint Malaysia - U.S. Electrical & Electronics (E&E) Best Labour Practices Workshop yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Jun 2015. Kerajaan sedar rekod pemerdagangan orang yang baik penting terutamanya melibatkan penyertaan Negara ke Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

Komitmen dan ketegasan Negara untuk menangani aspek pemerdagangan orang bukan sahaja untuk mempertingkatkan tahap penilaian tahunan JNAS tetapi juga untuk memenuhi obligasi di bawah Proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodical Review – UPR) di bawah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatua (PBB). Untuk itu, Malaysia telah menunjukkan sikap keterbukaan dengan menerima lawatan Pelapor Khas PBB mengenai Pemerdagangan Orang terutamanya wanita dan kanak-kanak, Ms. Maria Grazia Giammarinaro telah mengadakan lawatan ke Negara ini dari 23 hingga 28 Februari 2015.

Di peringkat serantau pula, penganjuran Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan bagi membincangkan Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di Rantau Asia Tenggara (EAMMTC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2015 baru-baru ini, telah menunjukkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang.







_______________________________________________________________________

Kementerian Dalam Negeri

28 Julai 2015











--


Sila kongsi artikel ini...

Khalil Hadi: Kecam Tindakan Yahudi & Israel Timbulkan Ketegangan Agama

3:55 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KECAM TINDAKAN YAHUDI & ISRAEL TIMBULKAN KETEGANGAN AGAMA


1. DPPM mengecam tindakan pihak keselamatan Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan sehingga mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan Masjid al-Aqsa dan mencederakan 17 orang Islam ketika meleraikan ketegangan yang berlaku antara orang-orang Islam dan penganut Yahudi.

2. Sedangkan, insiden ketegangan itu berlaku berpunca daripada tindakan 120 orang penganut Yahudi diketuai oleh Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel yang cuba menceroboh Masjid al-Aqsa sempena Tisha B'Av iaitu hari berkabung tahunan dalam agama Yahudi bagi memperingati kemusnahan rumah ibadat purba mereka yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

3. DPPM melihat tindakan tersebut adalah suatu bentuk provokasi yang sengaja dicetuskan oleh Israel bagi menimbulkan ketegangan agama di kota suci itu. Akhbar dan portal berita Israel sejak semalam dan hari ini membuat liputan berkenaan insiden itu telah mula mencanangkan bahawa ia berpunca daripada rusuhan yang dibuat oleh umat Islam. DPPM percaya ia dilakukan bagi membuka laluan kepada tindakan ketenteraan selepas daripada ini.

4. DPPM menyatakan sokongan padu di atas keteguhan pejuang HAMAS dan rakyat Palestin dalam mempertahankan kemuliaan dan kesucian Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. DPPM juga menyeru negara-negara Islam di seluruh dunia untuk membantu perjuangan HAMAS dan rakyat Palestin.

5. DPPM menuntut Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas dan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu ini.

Sekian.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Isnin, 27 Jul 2015 | 11 Syawal 1436 H



 



--


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Tengku Adnan 28 Julai 2015

12:34 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
28 JULAI 2015

Saya meminta semua barisan kepimpinan UMNO di peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan serta ahli-ahli UMNO di akar umbi untuk bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden parti, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak berkaitan keputusan beliau melakukan rombakan kabinet hari ini. Sewajarnya, keputusan YAB Presiden melakukan rombakan kabinet tidak perlu dipersoalkan sebagaimana hak beliau yang memegang amanah bagi memastikan barisan Jemaah Menteri kukuh dalam menghadapi cabaran mengurus tadbir negara.


Selaras dengan itu, saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, juga tahniah kepada barisan anggota kabinet yang baharu dilantik.

Dalam masa yang sama, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang telah menerajui kepimpinan selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, juga kepada Dato’ Seri Shafie Apdal dan Dato’ Seri Hassan Malek yang telah mencurahkan khidmat bakti dalam kementerian masing-masing sebelum ini.

Sehubungan itu, sekali lagi saya menyeru ahli-ahli UMNO sekalian untuk terus, bersatu padu, memperteguh muafakat dan memperkukuh tekad dalam memastikan parti terus teguh serta dapat bersama-sama mempertahankan kesejahteraan negara.

BERSATU – BERSETIA – BERKHIDMAT

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR






--


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.