Dewan Ulamak PAS Selangor Menyokong Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

7:38 PM 0 Comments A+ a-



Dewan Ulamak PAS Selangor Menyokong Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Firman Allah s.w.t dalam Surah At Tawbah : 107,

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

"...Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta..."

Kenyataan :

1. Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menyokong penuh kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Tuan Guru Dato' Dr Mahfoz Mohammad yang menasihatkan mereka yang sedang memegang jawatan parti dalam masa yang sama sedang menginisiatifkan parti baru serta mengajak ahli-ahli PAS untuk meninggalkan PAS melepaskan semua ikatan diri dengan PAS terlebih dahulu sebelum bertindak dengan sikap menyalahi tanggungjawab sebagai ahli PAS.

2. Sikap ini tidak lain dan tidak bukan adalah seburuk-buruk kejahatan yang dilakukan ahli jamaah kepada jamaahnya sendiri.

3. Mereka yang sedang memegang status keahlian PAS dengan muka yang tebal dan tanpa segan silu sanggup berkempen ke sana dan ke sini mendedahkan secara terang-terangan hasrat untuk menubuhkan wadah parti baru sambil menggunakan kelebihan keahlian parti dan jawatan yang sedang dipegang samada ahli DUN dan ahli Parlimen.

4. Ingatlah,
👉 Bukankah status keahlian PAS dan ahli DUN dan Parlimen itu diperolehi atas nama PAS?
👉 Bukankah mereka telah mengisi borang PAS dan bersetuju untuk mentaati dan mengikut dasar PAS dan perlembagaan PAS?
👉 Bukankah sebahagian mereka menang dalam pilihanraya atas pilihan PAS dan dibantu material, moral, tenaga, masa, undi, wang, sokongan masyarakat kepada mereka atas nama PAS?
👉 Bukankah mereka yang menjadi calon pilihanraya dan menang juga telah berbaiah dengan PAS dengan lafaz sumpah setia dan walak?
👉 Bukankah mereka dan kita semua tiada sesiapapun kenali dan dihormati tanpa PAS?
👉 Bukankah kita semua berhajat kepada jamaah PAS dan bukannya PAS berhajat kepada kita?

5. Kalau beginilah sikap mereka dengan PAS maka selama ini wajarlah mereka dikatakan perosak jamaah PAS yang pernah diingatkan oleh beberapa pimpinan sebelum ini dan tahniah kepada ahli PAS dan para perwakilan muktamar PAS yang ke-61 yang lalu, mereka telah melakukan tugas dan tanggungjawab yang tepat dan kena pada masanya.

6. Allah S.W.T. telah memperlihatkan kebenaran dan telah membongkarkan kejahatan mereka selama ini yang telah diselindung berkali-kali dengan penafian dan lenangan air mata kononnya mereka berniat baik dan tiada kepentingan melainkan untuk PAS dan ISLAM.

7. Rupa-rupanya dalam hati kecil mereka terkandung kejahatan dan tersimpan keburukan niat yang tidak baik kepada jamaah PAS ini.
Adakalanya perkara kecil dalam hati yang tersembunyi yang asalnya adalah rahsia tetapi terdedah dengan memperlihatkan pekung di dada masing-masing dengan sikap dan tindakan yang dizahirkan.

8. Dewan Ulamak PAS Selangor mendesak agar ke semua mereka yang terlibat dengan penubuhan wadar parti baru agar bertaubat kepada Allah S.W.T. dan ketahuilah bahawasanya tindakan mereka ini sebenarnya tidak memberi apa-apa kebaikan kepada ISLAM dan PAS serta perjuangan ISLAM.

9. Tiada keuntungan pada perpecahan melainkan kebaikan yang ada adalah apabila tindakan mereka melarikan diri daripada PAS sebagai bentuk penapisan daripada Allah S.W.T.

10. Dewan Ulamak PAS Selangor juga meminta agar mereka yang ingin juga dan sedang berusaha dan berkempen untuk mengajar ahli PAS melakukan sabotaj kepada PAS agar meletakkan jawatan terlebih dahulu dan juga keahlian PAS dan barulah wajar mereka hendak melakukan apa sedang dilakukan dan merancang untuk melakukannya.

11. Ingatlah mereka, bahawa segala ucapan dalam ceramah, kerjabuat, komentar serta kritikan pernah mereka buat terhadap kumpulan dan parti lain satu ketika dahulu bahawa mereka telah melakukan perkara yang sama dilakukan oleh musuh politik PAS selama ini iaitu UMNO yang kini sedang dilakukan oleh diri mereka sendiri. Ini menjadikan mereka bersikap perangai yang tiada bezanya dengan musuh politik iaitu UMNO.

Wallahua'alam bisshowab.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak
PAS SELANGOR
18 Julai 2015M / 2 Syawal 1436hH


Sila kongsi artikel ini...

Permasalahan Taahud baiah dan Kafarah Sumpah. - Ahmad Hakimi Othman

10:51 AM 0 Comments A+ a-



Permasalahan Taahud baiah dan Kafarah Sumpah.

Terasa ingin merungkai kekeliruan yang ditimbulkan oleh Ustaz Fauwaz Fadzil ini.

Menerusi tulisan ini terdapat beberapa kekeliruan padanya:

1. Keliru antara baiah dan sumpah.

2. Kurang jelas antara jemaah, daulah dan ikatan kedua duanya.

3. Keliru antara politik Islam dan Feqah berkenaan Politik dan siasah.

Dalam kekeliruan baiah taahud dan Sumpah,
Ustaz Fauwaz menyamakan ikatan baiah dan sumpah atas nama Allah yang boleh dikaffarahkan sekiranya mahu keluar dari ikatan sumpah.
Sebagai contoh, bersumpah atas nama Allah tak akan pijak negeri selangor, maka nak membatalkan sumpah ada kaffarahnya.

Namun dalam baiah taahud, sememangnya ada kalimah qasam wallahi wabillahi watallahi, tetapi sumpah baiah adalah baiah mengikat ikatan sesama insan dengan Allah dengam syarat yang kekal.

Dalam baiah gerakan islam, kita baiah taahud untuk berjuang islam sehingga akhir hayat selagi mengikut syariat. Maka, selagi syarat kekal, baiah adalah kekal.

Berkenaan dengan baiah daulah dan jemaah.
Apakah setiap naqib yang membaih Nabi ketika baiatul aqabah satu dan Dua dalam keadaan bernegara?
Apa pula status baiah tersebut? Boleh terbatal dengan kaffarah menyembelih kambing?

Maka, dalam hal seterusnya, kekeliruan dalam memahami jemaah islam dan fenomena taadud jemaah yang berlaku. Apakah keharusan jemaah baru sekiranya jemaah yang sedia ada masih perjuangkan islam? Maka apa jawapan kita kepada Allah supaya Jangan berpecah?

Seterusnya kekeliruan ini membawa kepada mencampur aduk fiqh siasah dan fiqh ibadat tanpa memahami isu sebenar. Namun malang, ramai yang keliru.

Moga, tulisan ini mencambahkan pemikiran supaya lebih teliti mengeluarkan pendapat di luar bidang yang tidak kita bukan ahlinya.

Ahmad Hakimi Othman.
ketua Pemuda Dpp Kuala Selangor.
18 jul 2015


Sila kongsi artikel ini...

Mengenali Hasrizal Menerusi Tulisannya - Dr. Mohd Hasan

10:50 AM 0 Comments A+ a-



Mengenali Hasrizal Menerusi Tulisannya

Mengenali Hasrizal Jamil menerusi tulisan beliau dalam blog sejak belasan tahun sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan bahawa beliau seorang yang sentiasa berkonflik dengan diri sendiri. Sejak alam pengajiannya di Jordan membawa kepada penghijrahannya ke UK kemudian kembali ke Malaysia satu sikap yang melengkari dirinya ialah mudah tertekan dengan suasana dan keadaan dan tidak berlapang diri.

Keadaan itu menjadikan dirinya gagal untuk menjadi seorang pemimpin. Seorang pemimpin sentiasa berlapang dada dengan perbezaan, mampu menyesuaikan diri dengan keadaan, tidak beremosi terhadap suasana serta tidak bersifat keakuan.

Ketika di Jordan dia gagal membawa dirinya berinteraksi dengan jamaah PAS yang beliau ikuti sehingga membawa dirinya beruzlah. Meskipun namanya terkenal menerusi kumpulan nasyid terkenal al-Firdaus yang ditubuhkan oleh jamaah PAS di Jordan.

Penglibatannya dengan perkaderan pelajar PAS di UK menjadi ruang untuknya membawa fikrah dan wacana "Hasrizal" bukan wacana PAS menggambarkan sikapnya yang juga tidak boleh berinteraksi dengan jamaah atau organisasi yang diikutinya.

Tulisan-tulisan yang beremosi yang sentiasa diviralkan sudah cukup untuk kita menilai siapa Hasrizal Jamil. Bukanlah beliau seorang yang terbaik untuk dijadikan teladan kerana beliau seorang yang gagal dalam kehidupan.

Cuba lihat kegagalannya dalam akademik di Universiti di saat beliau terkenal sebagai motivater. Dia sendiri gagal memotivasi diri untuk maju dan konsistant dalam akademik. Sepatutnya seorang yang rajin menulis dan mengkaji seperti dirinya sudah mampu mencapai gelaran akademik "doktor" namun ianya tidak berlaku. Saya sendiri tidak pasti status terkini adakah beliau telah berjaya mendapatkan ijazah sarjana beliau yang tertangguh dan bertukar-tukar universiti dan jurusan itu.

Ketika beliau menyertai MURSHID, sebagai medium menghimpunkan ustaz-ustaz selebriti, beliau juga khabarnya berkonflik dengan beberapa ustaz lalu bertindak menyisihkan diri beberapa ketika sebelum dipujuk untuk bersama kembali.

Tulisan-tulisannya penuh dengan prasangka terhadap orang lain, memperkecilkan keilmuan orang lain, menganggap hanya dirinya satu-satu yang mengetahui. Kebenaran bagi dirinya hanyalah apa yang dia rasakan benar dan bersumberkan dirinya. Ini bukannya ciri seorang ilmuwan tetapi ciri seorang bekas hamba Tuhan yang pernah tersungkur kerana kagum dengan dirinya sendiri sehingga akhirnya menolak untuk sujud kepada Tuhan.

Cukuplah semua ciri-ciri negatif bagi sesiapa yang mengenali beliau menerusi tulisan beliau untuk membuang ke dalam tong sampah segala pandangannya yang tidak akademik dan beremosi.

Maaf Hasrizal, saya terpaksa menulis sebegini di saat tulisan hodoh tuan diviralkan di ambang Syawal.

Dr. Mohd Hasan bin Hamdan Phd.
Petaling Jaya
2 Syawal 1436 Hijrah


Sila kongsi artikel ini...

Seorang Ustaz Bernama Besar Berjiwa Kecil - Zuhdi

10:24 AM 0 Comments A+ a-



SEORANG USTAZ BERNAMA BESAR BERJIWA KECIL

Saya bukanlah pembaca blog Saiful Islam yang dikendalikan oleh seorang ustaz yang namanya besar di ruang maya terutama di kalangan anak-anak muda. Bagaimanapun menjelang Hari Raya beberapa hari yang lalu, beliau telah menulis satu artikel, yang antara lain nama saya disebut dalam artikel tersebut. Ada pula yang menyebut artikel tersebut adalah maklumbalas kepada kenyataan saya tentang Gerakan Harapan Baru (GHB) yang mendukung aliran pemikiran Muslim Progresif. Sayapun membaca artikel itu untuk melihat kalau-kalau dakwaan saya terhadap GHB itu meleset.

Selepas saya membaca artikel itu, apa yang saya temui ialah luahan kekecewaan demi kekecewaan beliau terhadap PAS yang sukar berubah. Bermula daripada idea-idea beliau tentang perubahan yang tidak mendapat perhatian kepimpinan Pemuda PAS, diikuti dengan gagasan ustaz-ustaz muda yang menelan idea-idea perubahan beliau dan golongan profesional yang tidak 'membeli' apa yang beliau kemukakan. Akhir sekali beliau memaparkan kemuncak kekecewaan beliau dengan mengoyak Sijil PAS.

Seorang ahli falsafah masa kini tentang Epistemologi, John Ziman, menulis tentang peringkat-peringkat perubahan, iaitu bermula dengan perubahan kognitif, diikuti perubahan institusi dan akhir sekali perubahan paradigma. Ustaz yang bernama besar ini berhasrat melakukan perubahan institusi iaitu merubah PAS. Lalu dia memulakan dengan melakukan perubahan kognitif terhadap ahli-ahli PAS khusus golongan muda yang bakal mewarisi perjuangan. Malangnya perubahan kognitif yang diketengahkan ditelan oleh gagasan ustaz-ustaz muda yang dikatakan jumud dan tidak dibeli oleh profesional muda yang disebut bengap.

Dalam artikel itu beliau menyalahkan ustaz-ustaz muda yang menyebabkan perubahan kognitif yang diusahakannya terbantut. Beliau melahirkan kemarahan apabila perubahan kognitif yang dibawanya ditolak pula oleh golongan profesional muda. Kemuncak kekecewaannya ialah mengoyak sijil keahlian PAS apabila peluang untuk mengangkat idea-idea perubahan yang dirintisnya seperti hampir tertutup setelah Muktamar PAS ke 60 di Johor yang lalu. Tiada yang menarik dalam artikel beliau melainkan luahan kekecewaan dan memori peribadi beliau yang terlibat seketika dengan perkaderan PAS.

Seorang ustaz yang bernama besar serta bermotivasi, tidak seharusnya meluah kekecewaannya di khalayak awam. Kalau idea-idea perubahannya bernas dan mantap pasti ia akan diterima oleh ustaz-ustaz dan profesional-profesional muda. Kalau ada penolakan terhadap idea beliau belum tentu yang tidak menerima itu yang jumud dan bengap, boleh jadi idea-idea perubahan yang dibawanya itu yang dangkal dan bebal. Memaksa orang lain menerima idea-idea seumpama itu atau mendesak agar mereka membelinya bukanlah sikap yang sepatutnya bagi seorang ustaz yang bernama besar.

Cuma saya tertarik juga dengan artikel beliau yang menempelak saya, apabila saya mendakwa aliran pemikiran yang dibawa oleh GHB adalah gagasan Muslim Progresif. Beliau kelihatan bersetuju dengan saya, bahawa gagasan Muslim Progresif itu adalah jelik justeru beliau tidak memggemarinya apabila dilabelkan gagasan yang jelik itu terhadap GHB. Saya tidak pula melihat penaja GHB sendiri menafikan gagasan mereka adalah Muslim Progresif, malah mereka begitu berbangga dengan label tersebut.

Seorang penaja GHB pernah menyebut ada cadangan supaya nama bagi parti baru ialah Parti Islam Progresif. Cuma mereka mungkin alpa bahawa istilah 'Progresif', 'Muslim Progresif' dan 'Islam Progresif' adalah istilah yang sudah menjadi konsep dalam wacana pemikiran Islam semasa. Istilah itu bukan hanya menjadi konsep, tetapi juga sudah diinsitusikan atas nama Forum dan NGO. Menggunakan istilah yang sudah menjadi konsep dan telah diintitusikan hanya akan dilakukan oleh mereka yang mendukung gagasan itu atau mereka yang alpa terhadap pengertian sebenar istilah itu.

Di kalangan penaja GHB ada yang memegang ijazah kedoktoran berkaitan pengajian Islam dan ada juga yang begitu pakar dengan penggunaan istilah-istilah. Tidak mungkin mereka boleh alpa dengan konsep dan institusi sebenar istilah progresif, Muslim Progresif atau Islam Progresif, seperti yang diwacanakan dalam bidang pemikiran Islam kontemporari. Sekiranya kealpaan itu bukan alasan, maka kesimpulan saya bahawa GHB memang telah 'membeli' istilah progresif itu sebagaimana konsep dan institusinya sememangnya mempunyai asas. Saya bersyukur bila ustaz yang menulis artikel itu turut jelik dengan gagasan Muslim Progresif tersebut.

Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

18 Julai 2015
2 Syawal 1436


Sila kongsi artikel ini...

Kebenaran Mendidik Kita Setia [Komentar Terhadap Artikel Ustaz Hasrizal]

10:08 AM 0 Comments A+ a-



KEBENARAN MENDIDIK KITA MENJADI SETIA
[Komentar Terhadap Artikel Ustaz Hasrizal]

1. MUQADDIMAH


Saya bukan seorang penulis blog atau buku bestseller yang berbakat. Apatah lagi seorang selebriti dan perunding motivasi terkenal. Jauh sekali. Saya hanya seorang ahli Pas yang minat dengan perkaderan. Kerana minat itulah, saya terlibat dengan sektor tarbiah dan perkaderan dalam Pas sudah lebih 10 tahun. Saya mengenali Ustaz Hasrizal. Mungkin beliau mengenali saya dan mungkin tidak. Itu tidaklah terlalu penting. Saya bukanlah sesiapa untuk murabbi cinta anak muda seperti beliau mengenalinya. Tapi saya antara pembaca tegar blog beliau "saifulislam" satu ketika dahulu. Banyak tulisan-tulisan di dalam blog itu yang kemudiannya dibukukan. Dahulu, saya print dan simpan artikel-artikel beliau sebagai rujukan.

Saya mengambil masa lama untuk mula mencoret komentar ini. Lama saya berfikir. Merujuk beberapa sahabat untuk menilai dan menimbang antara manfaat dan mudharat. Manakah yang lebih besar? Ataukah saya hanya akan membuang masa dan teralih fokus melayani sesuatu yang kurang penting? Saya membaca berulang kali artikel beliau bertajuk SETIA DENGAN KEBENARAN [rujuk : https://www.facebook.com/muarrikhun/posts/388146238060634 …] Akhirnya saya memutuskan perlu untuk membuat komentar, kerana Ustaz Hasrizal yang saya kenali konsisten bersyarah tentang SIKAP dan sering menekan butang PAUSE rupanya tidaklah sekonsisten artikel dan tulisannya. Antara faktor yang mendorong saya membuat komentar ialah :

a) Ramai sahabat-sahabat yang menghubungi saya dan meminta komentar peribadi saya terhadap artikel Ustaz Hasrizal tersebut.

b) Ustaz Hasrizal rancak bercerita dalam artikel tersebut tentang perkaderan dalaman Pas secara terbuka dan negatif.

c) Beliau seolah-olah memperkecilkan ustaz-ustaz muda yang ramai berada di dalam Pas ini sebagai jumud dan profesional yang bersama dengan ustaz-ustaz ini adalah profesional yang bengap.

d) Beliau membongkar sikap dirinya yang sebenar apabila berkongsi cerita emosionalnya mengoyakkan sijil keahlian Pas (murabbi cinta?) serta tuduhan yang saya kira setaraf dengan blogger-blogger picisan kononnya pemimpin-pemimpin yang tersingkir bukan atas kapasiti individu, sebaliknya hasil strategi terancang.

e) Sokongan terbuka beliau kepada penubuhan Gerakan Harapan Baru yang masih lagi sebahagiannya ahli Pas, ahli parlimen dan adun Pas. Malah sebelum itu telah tersebar artikel beliau kepada umum yang turut mencadangkan ke arah penubuhan parti baru dengan cadangan nama Parti Progresif Ihsan (PPI). Malah artikel terkini yang menjadi asas komentar saya ini juga telah dijadikan rujukan oleh pimpinan jamaah Ikram untuk turut menyokong GHB.

2. PENGLIBATAN DALAM PAS DAN PERKADERAN KAMPUS

Saya mungkinlah tidak sehebat beliau dalam mencanangkan idea-idea segar dalam dunia perkaderan. Tapi alhamdulillah, dalam 10 tahun ini, saya banyak terlibat dalam perkaderan dan tarbiah anak muda khasnya anak muda kampus. Malah ketika beliau memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP sekitar tahun 2005 itu (rujuk artikel beliau) saya pernah bermesyuarat sekali dengannya di Taman Melewar. Selepas itu, saya terus aktif di dalam unit perkaderan tersebut sehingga dipecahkan kepada 2 entiti iaitu perkaderan dalam dan luar negara sehinggalah ke hari ini. Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu muka dengannya dalam program perkaderan parti. Sementara dalam program-program yang lain samaada di peringkat pusat, pemuda dan sebagainya, langsung tiada kelihatan kelibat beliau.

Adakah tarbiah dan perkaderan itu hanya sebuah wacana pemikiran dan lontaran idea semata-mata? Di mana keteladanan? Apakah bentuk kader yang ingin kita lahirkan? Di ketika mana jamaah memerlukan petugas, pemikir dan penggerak di pelbagai peringkat dan organ parti, kita hanya berlegar di zon wacana pemikiran dan motivasi sikap dan cinta bersama kalangan kampus. Maka tidak sedikit yang terkesima dengan keindahan bahasa sang murabbi cinta dan memasang cita-cita untuk menjadi perunding motivasi dan selebriti terkenal sedangkan mereka jauh dari alam realiti perjuangan jamaah Pas di akar umbi?

Apa jawapan yang kita boleh berikan selaku murabbi jika para mutarabbi (anak didik tarbiyah) bertanyakan tentang susuk tubuh kita yang kurang kelihatan dalam program-program besar dan kecil parti? Bagaimana kita ingin mereka menggerakkan cawangan, kawasan, organ pemuda, muslimat dan urusan ulama' serta unit-unit dalam jamaah serta patuh dengan arahan dan peraturan parti jika murabbi sendiri mengutamakan jadual kursus motivasi, ceramah pembentukan sikap dan bisnesnya lebih dari jadual jamaah dan parti? Mutarabbi (anak didik) bagaimana yang ingin kita lahirkan?

Pada pandangan peribadi saya (maaf), keterlibatan beliau dengan Pas yang terbatas, rapat dengan lingkungan rakan-rakan Pas yang terhad kepada kecenderungan yang tertentu, takjub dengan pandangan dan pemikiran sendiri dan kelompok, menghasilkan Ustaz Hasrizal Jamil yang sangat berbeza dari keperibadian ideal yang ditonjolkan dalam tulisan-tulisannya.

3. PERKECIL USTAZ MUDA PAS DAN PROFESIONAL YANG BERBEZA DENGAN IDEA BELIAU

Semenjak 2008, kita boleh mengesan pandangan negatif beliau terhadap ustaz-ustaz Pas khasnya ustaz-ustaz muda. Beliau kerap menekankan dan menonjolkan kepentingan intergrasi antara ilmu syariatullah dan sunnatullah. Selalu digambarkan ramainya ustaz-ustaz yang hanya tahu syariatullah tetapi lemah dalam ilmu sunnatullah. Apabila timbulnya pertembungan pemikiran di dalam Pas khasnya berkaitan ulama' dan profesional saya melihat ustaz-ustaz muda menjadi kritikan dan sinis. Saya bukan ulama', juga bukan anggota dewan ulama' mahupun ahli ulama' pelapis Pas. Saya fokus pemuda. Tapi saya kenal ramai di kalangan ulama' muda Pas yang berlatar belakang akademik peringkat master dan phd dalam pelbagai disiplin ilmu syariatullah dan sunnatullah. Malah ada yang juga pakar dalam ekonomi, sejarah dan sains kemanusiaan. Tidak kurang yang ahli dengan sejarah turki dengan segala catatan empayar era khilafah uthmaniah. Bukan hanya Ustaz Hasrizal seorang sehingga ia perlu kagum dengan dirinya lantas melihat ustaz-ustaz muda Pas itu jumud sehingga profesional yang bersama mereka juga dilabel bengap!

Saya meneliti pandangan-pandangan Ustaz Hasrizal khasnya dalam isu-isu politik dalaman Pas dan Pakatan Rakyat. Beliau pernah menulis tentang Jamaah Centric vs Ummah Centric yang menjadi isu di antara Dr Maslee Malik dan Yb Ustaz Nasruddin Tantawi. Beliau menyimpulkan ummah adalah matlamat, jamaah adalah wasilah. Beliau pernah memberi analogi tentang taadud jamaah (berbilang jamaah) seperti pengguna ubat gigi dan pegawai eksekutif di syarikat ubat gigi. Disimpulkan dengan sekadar menjadi peserta program Jim, peserta seminar anjuran Isma tidak mengapa. Tetapi untuk menjadi pekerja dan penggerak, kita mesti bersama dengan satu jamaah sahaja. Beliau juga pernah mencatatkan di dalam artikelnya tentang kekeliruan bapa angkatnya di Turki untuk menyokong Erbakan atau Erdogan. Secara prinsipnya bapa angkatnya cenderung bersama Erbakan, tetapi secara pendekatan cenderung kepada Erdogan. Saya meneliti tulisan-tulisan beliau tersebut. Kenapa saya sebut di sini beberapa contoh itu? Untuk membuktikan bahawa saya bukan sengaja suka mengkritik Ustaz Hasrizal dalam keadaan langsung tidak mengenalinya. Saya mengenalinya. Namun hari ini, dengan sikapnya menyokong penubuhan parti baru melalui Harapan Baru, mendorong saya untuk menghasilkan komentar ini

Adalah menjadi satu perkara yang sangat asas dalam fiqh Islam, untuk kita menetapkan sesuatu pendirian dalam sesuatu perkara, mestilah kita memahami konteks atau tasawwur situasi yang sebenar. Agar kita tidak tersilap meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya lantas kita berlaku zalim. Dalam keterlibatan yang terbatas, lingkungan yang terhad dan mungkin berpihak, disertakan pula dengan sentimen-sentimen peribadi (contoh disenaraihitam sebagai pengisi tarbiah kampus), menghasilkan Ustaz Hasrizal Jamil bertindak diluar batasan. Menyokong malah mencadangkan parti Islam baru di Malaysia menggambarkan Ustaz Hasrizal yang telah melupakan butang PAUSE yang sering dia gunakan dan diulang-ulang di dalam tulisan dan ceramahnya.

4. USTAZ HASRIZAL MURABBI CINTA DI KALANGAN ANAK MUDA?

Dari manakah anda mengenali Ustaz Hasrizal Jamil? Mungkin ramai yang lebih rapat dengan beliau berbanding saya. Tapi secara jujur saya mengenali beliau bermula dengan menjadi pembaca tegar blog saifulislam. Bukan baru, tetapi lebih dari 12-13 tahun dulu lagi. Saya print artikel-artikelnya menjadi simpanan seawal semasa dia bekerja dengan syarikat Ustaz Pahrol Md Joi, juga motivator cinta yang terkenal. Semenjak itu lagi saya mengikuti perkembangan beliau satu demi satu. Kisah-kisah hidupnya boleh digambarkan dalam catatan-catatan pengalamannya. Saya yakin tidak sedikit anak muda khasnya anak muda kampus yang menjadikan beliau idola. Saya juga pernah mengaguminya. Tetapi tidaklah kekaguman itu menjadikan saya hilang rasional. Saya mengesan beberapa sisi berbeza dalam meneliti setiap artikelnya dari masa ke semasa. Saya mengesan tekanan kesihatan yang dilaluinya di samping bisnes yang bermasaalah dan akademik isterinya yang hampir-hampir mengheret dia untuk merantau ke Australia. Saya mengesan kecenderungannya dalam isu dalaman Pas semenjak 2008. Beliau ada menceritakan tentang persahabatannya dengan Ustaz Ramadhan Fitri dan sebagainya. Kebelakangan ini, beliau sering pula mempertikai sistem tarbiyah jamaah sehingga isu-isu ketika mendapat tarbiyah di Jordan juga digembar-gemburkan. Barangsiapa yang meneliti artikel beliau secara tekun dan kritis, akan perasan dan bertemu sisi-sisi yang berbeza itu.

Saya bukanlah hanya mengenali Ustaz Hasrizal dari artikel-artikel itu sahaja. Ramai peminat-peminat beliau dan anak didiknya yang menjadi teman-teman rapat saya. Begitu juga ramai teman-teman seangkatannya sewaktu di Jordan, kini menjadi teman-teman rapat saya. Tulisan-tulisan beliau tentang diri dan pengalamannya samaada dalam blog atau buku, adalah mewakili dirinya dari sisi pandang dirinya sendiri. Biasanya orang hanya akan menulis sisi putih hidupnya. Tetapi untuk mengenali dirinya yang sebenar, kita perlu juga mendengar pandangan-pandangan dari sisi mereka yang pernah melalui hidup bersamanya. Saya menggabung semua sisi tersebut untuk membuat komentar ini.

Bagi saya, tulisan yang dipersembahkan oleh ustaz Hasrizal ini adalah sangat emosional. Adakah semasa beliau menulis artikel tersebut, beliau sedar atau tidak bahawa beliau seolah-olah berada pada tahap stres yang melampau terhadap jamaah Pas yg telah disertai oleh beliau sebelum ini? Tahap stres melampau ini boleh dikesan melalui tindakan beliau mengoyak sijil keahlian Pas serta mengongsikannya dengan umum. Adakah tindakan ini boleh menjadi sebuah teladan baik untuk generasi melinium Malaysia hari ini? Ada sahabat yang pernah bersama beliau di Jordan memaklumkan secara sinis kepada saya ;

"Sikapnya begitulah semenjak dulu. Mudah stres, suka terpengaruh dengan perkara yang kontroversi, cepat melatah, kurang bertolak ansur dan mudah merajuk"

Jika semata-mata dengan membaca artikelnya yang dahulu, saya mungkin tidak mempercayainya. Tetapi setelah meneliti tulisan-tulisan beliau kebelakangan ini, mengenali rakan-rakan yang melingkunginya, mendengar perihal dirinya dari rakan belajar seangkatannya dan membaca artikel terkininya ini yang terang-terang memburukkan sistem perkaderan Pas dan secara tidak langsung berkempen memecahkan Pas, maka saya nekad untuk menulis komentar ini.

5. ADAKAH SAYA ADA MASALAH PERIBADI DENGAN USTAZ HASRIZAL?

Tidak. Saya pernah menghormati beliau dan masih menyimpan sekelumit rasa hormat tersebut. Sewaktu saya bekerja sebagai penjawat awam di sebuah IPT dahulu, saya pernah beberapa kali menjemput syarikat beliau untuk mengisi program pembangunan insan kami. Saya pernah minum petang di rumah sahabat beliau yang juga sahabat baik saya ketika itu dan kami berbual-bual mesra. Komentar ini saya catatkan kerana saya tahu beliau sangat berpengaruh dan artikelnya yang tersebar itu telah viral di alam maya. Ia bukan sahaja memberi gambaran yang buruk terhadap Pas, tetapi juga menjadi bahan kempen Gerakan Harapan Baru.

Isu-isu yang ditimbulkan oleh beliau seperti isu kepimpinan ulama', label melabel dan kepimpinan yang tersingkir hasil strategi terancang dan sebagainya adalah kesimpulan dari bacaan realiti dalaman yang saya anggap terlalu bias dan cetek. Mengejutkan kerana ia datang dari Ustaz Hasrizal Jamil? Adakah dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu siapakah pencetus isu pertembungan ulamak dan profesional dalam Pas? Isu yang berkali-kali telah dinafikan oleh pimpinan. Adakah dia melihat dengan sebelah mata terhadap label-label yang dilemparkan kepada kem G18, sementara menutup sebelah matanya terhadap label yang dicampakkan kepada kem satu lagi yang rata-rata memimpin Pas ketika ini? Lebih menyedihkan apabila Ustaz Hasrizal turut sama membuat kesimpulan seperti blogger-blogger picisan kononnya pemimpin yang tersingkir bukan atas kapasiti individu, sebaliknya hasil strategi terancang. Tidakkah langsung dia mendengar tentang pertemuan separa sulit PasMa di pustaka Az-Zahra Kota Bharu pada bulan September tahun lepas yang terbongkar isi kandungannya akan gerak kerja terancang untuk mencatur Pas. Ataukah dia langsung tidak melihat berita tentang SD Hawaii Five O?

Malah artikel beliau itu dijadikan hujjah oleh Jamaah Ikram untuk menyokong Gerakan Harapan Baru. Tidakkah Ikram sedar yang penggerak GHB itu masih ahli Pas. Bukankah menyatakan sokongan terbuka begitu menggambarkan Ikram sengaja campurtangan dalam isu dalaman Pas. Adakah Ikram langsung tidak belajar dari keperitan sejarah perpecahan mereka ketika berwadahkan Jim dahulu apabila berpecah dengan Isma? Adakah kalian bergembira di atas perpecahan orang lain?

Saya ahli Pas. Saya masih yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh Pas. Saya berusaha agar ahli-ahli Pas tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah ahli dan bekas pimpinan Pas yang berkempen kepada ahli Pas untuk bersama mereka dalam gerakan tersebut. Saya masih yakin dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh Pas walaupun terpaksa mendepani badai dan rintangan. Kalau ada yang telah pudar cintanya pada Pas, tidak perlulah sampai menghebohkan seluruh dunia bahawa dia telah mengoyak sijil keahlian atau memotong kad ahli. Saya memilih untuk bersabar, teguh dan terus istiqamah. KEBENARAN ITU MENDIDIK SAYA UNTUK SETIA.

عَنِ اِبْنِ عُمَرَ -رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا- قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ - صلى الله عليه وسلم – "اَلْمُؤْمِنُ اَلَّذِي يُخَالِطُ اَلنَّاسَ, وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ اَلَّذِي لَا يُخَالِطُ اَلنَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ " أَخْرَجَهُ اِبْنُ مَاجَهْ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ

Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya : "Seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar di atas kesakitan bersama dengan mereka lebih baik dari mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar di atas kesakitan bergaul dengan mereka."

Saya menulis komentar ini di bulan Syawal, setelah melihat orang lain tegar berkempen untuk memecahkan Pas di bulan Ramadan, bulan menahan diri. Semoga Ramadan yang berlalu, menjadikan kita terus istiqamah. Semoga Allah ampuni kesilapan saya. Membantu saya melihat yang benar itu benar dan yang salah itu salah dan direzekikan untuk saya mengikutinya. Semoga komentar ini dibaca dengan kelapangan dada.

Ustaz Mohamad Hazmi Dibok
17 Julai 2015, Jumaat.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.