Kebenaran Mendidik Kita Setia [Komentar Terhadap Artikel Ustaz Hasrizal]
KEBENARAN MENDIDIK KITA MENJADI SETIA
[Komentar Terhadap Artikel Ustaz Hasrizal]
1. MUQADDIMAH
Saya bukan seorang penulis blog atau buku bestseller yang berbakat. Apatah lagi seorang selebriti dan perunding motivasi terkenal. Jauh sekali. Saya hanya seorang ahli Pas yang minat dengan perkaderan. Kerana minat itulah, saya terlibat dengan sektor tarbiah dan perkaderan dalam Pas sudah lebih 10 tahun. Saya mengenali Ustaz Hasrizal. Mungkin beliau mengenali saya dan mungkin tidak. Itu tidaklah terlalu penting. Saya bukanlah sesiapa untuk murabbi cinta anak muda seperti beliau mengenalinya. Tapi saya antara pembaca tegar blog beliau "saifulislam" satu ketika dahulu. Banyak tulisan-tulisan di dalam blog itu yang kemudiannya dibukukan. Dahulu, saya print dan simpan artikel-artikel beliau sebagai rujukan.
Saya mengambil masa lama untuk mula mencoret komentar ini. Lama saya berfikir. Merujuk beberapa sahabat untuk menilai dan menimbang antara manfaat dan mudharat. Manakah yang lebih besar? Ataukah saya hanya akan membuang masa dan teralih fokus melayani sesuatu yang kurang penting? Saya membaca berulang kali artikel beliau bertajuk SETIA DENGAN KEBENARAN [rujuk : https://www.facebook.com/muarrikhun/posts/388146238060634 …] Akhirnya saya memutuskan perlu untuk membuat komentar, kerana Ustaz Hasrizal yang saya kenali konsisten bersyarah tentang SIKAP dan sering menekan butang PAUSE rupanya tidaklah sekonsisten artikel dan tulisannya. Antara faktor yang mendorong saya membuat komentar ialah :
a) Ramai sahabat-sahabat yang menghubungi saya dan meminta komentar peribadi saya terhadap artikel Ustaz Hasrizal tersebut.
b) Ustaz Hasrizal rancak bercerita dalam artikel tersebut tentang perkaderan dalaman Pas secara terbuka dan negatif.
c) Beliau seolah-olah memperkecilkan ustaz-ustaz muda yang ramai berada di dalam Pas ini sebagai jumud dan profesional yang bersama dengan ustaz-ustaz ini adalah profesional yang bengap.
d) Beliau membongkar sikap dirinya yang sebenar apabila berkongsi cerita emosionalnya mengoyakkan sijil keahlian Pas (murabbi cinta?) serta tuduhan yang saya kira setaraf dengan blogger-blogger picisan kononnya pemimpin-pemimpin yang tersingkir bukan atas kapasiti individu, sebaliknya hasil strategi terancang.
e) Sokongan terbuka beliau kepada penubuhan Gerakan Harapan Baru yang masih lagi sebahagiannya ahli Pas, ahli parlimen dan adun Pas. Malah sebelum itu telah tersebar artikel beliau kepada umum yang turut mencadangkan ke arah penubuhan parti baru dengan cadangan nama Parti Progresif Ihsan (PPI). Malah artikel terkini yang menjadi asas komentar saya ini juga telah dijadikan rujukan oleh pimpinan jamaah Ikram untuk turut menyokong GHB.
2. PENGLIBATAN DALAM PAS DAN PERKADERAN KAMPUS
Saya mungkinlah tidak sehebat beliau dalam mencanangkan idea-idea segar dalam dunia perkaderan. Tapi alhamdulillah, dalam 10 tahun ini, saya banyak terlibat dalam perkaderan dan tarbiah anak muda khasnya anak muda kampus. Malah ketika beliau memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP sekitar tahun 2005 itu (rujuk artikel beliau) saya pernah bermesyuarat sekali dengannya di Taman Melewar. Selepas itu, saya terus aktif di dalam unit perkaderan tersebut sehingga dipecahkan kepada 2 entiti iaitu perkaderan dalam dan luar negara sehinggalah ke hari ini. Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu muka dengannya dalam program perkaderan parti. Sementara dalam program-program yang lain samaada di peringkat pusat, pemuda dan sebagainya, langsung tiada kelihatan kelibat beliau.
Adakah tarbiah dan perkaderan itu hanya sebuah wacana pemikiran dan lontaran idea semata-mata? Di mana keteladanan? Apakah bentuk kader yang ingin kita lahirkan? Di ketika mana jamaah memerlukan petugas, pemikir dan penggerak di pelbagai peringkat dan organ parti, kita hanya berlegar di zon wacana pemikiran dan motivasi sikap dan cinta bersama kalangan kampus. Maka tidak sedikit yang terkesima dengan keindahan bahasa sang murabbi cinta dan memasang cita-cita untuk menjadi perunding motivasi dan selebriti terkenal sedangkan mereka jauh dari alam realiti perjuangan jamaah Pas di akar umbi?
Apa jawapan yang kita boleh berikan selaku murabbi jika para mutarabbi (anak didik tarbiyah) bertanyakan tentang susuk tubuh kita yang kurang kelihatan dalam program-program besar dan kecil parti? Bagaimana kita ingin mereka menggerakkan cawangan, kawasan, organ pemuda, muslimat dan urusan ulama' serta unit-unit dalam jamaah serta patuh dengan arahan dan peraturan parti jika murabbi sendiri mengutamakan jadual kursus motivasi, ceramah pembentukan sikap dan bisnesnya lebih dari jadual jamaah dan parti? Mutarabbi (anak didik) bagaimana yang ingin kita lahirkan?
Pada pandangan peribadi saya (maaf), keterlibatan beliau dengan Pas yang terbatas, rapat dengan lingkungan rakan-rakan Pas yang terhad kepada kecenderungan yang tertentu, takjub dengan pandangan dan pemikiran sendiri dan kelompok, menghasilkan Ustaz Hasrizal Jamil yang sangat berbeza dari keperibadian ideal yang ditonjolkan dalam tulisan-tulisannya.
3. PERKECIL USTAZ MUDA PAS DAN PROFESIONAL YANG BERBEZA DENGAN IDEA BELIAU
Semenjak 2008, kita boleh mengesan pandangan negatif beliau terhadap ustaz-ustaz Pas khasnya ustaz-ustaz muda. Beliau kerap menekankan dan menonjolkan kepentingan intergrasi antara ilmu syariatullah dan sunnatullah. Selalu digambarkan ramainya ustaz-ustaz yang hanya tahu syariatullah tetapi lemah dalam ilmu sunnatullah. Apabila timbulnya pertembungan pemikiran di dalam Pas khasnya berkaitan ulama' dan profesional saya melihat ustaz-ustaz muda menjadi kritikan dan sinis. Saya bukan ulama', juga bukan anggota dewan ulama' mahupun ahli ulama' pelapis Pas. Saya fokus pemuda. Tapi saya kenal ramai di kalangan ulama' muda Pas yang berlatar belakang akademik peringkat master dan phd dalam pelbagai disiplin ilmu syariatullah dan sunnatullah. Malah ada yang juga pakar dalam ekonomi, sejarah dan sains kemanusiaan. Tidak kurang yang ahli dengan sejarah turki dengan segala catatan empayar era khilafah uthmaniah. Bukan hanya Ustaz Hasrizal seorang sehingga ia perlu kagum dengan dirinya lantas melihat ustaz-ustaz muda Pas itu jumud sehingga profesional yang bersama mereka juga dilabel bengap!
Saya meneliti pandangan-pandangan Ustaz Hasrizal khasnya dalam isu-isu politik dalaman Pas dan Pakatan Rakyat. Beliau pernah menulis tentang Jamaah Centric vs Ummah Centric yang menjadi isu di antara Dr Maslee Malik dan Yb Ustaz Nasruddin Tantawi. Beliau menyimpulkan ummah adalah matlamat, jamaah adalah wasilah. Beliau pernah memberi analogi tentang taadud jamaah (berbilang jamaah) seperti pengguna ubat gigi dan pegawai eksekutif di syarikat ubat gigi. Disimpulkan dengan sekadar menjadi peserta program Jim, peserta seminar anjuran Isma tidak mengapa. Tetapi untuk menjadi pekerja dan penggerak, kita mesti bersama dengan satu jamaah sahaja. Beliau juga pernah mencatatkan di dalam artikelnya tentang kekeliruan bapa angkatnya di Turki untuk menyokong Erbakan atau Erdogan. Secara prinsipnya bapa angkatnya cenderung bersama Erbakan, tetapi secara pendekatan cenderung kepada Erdogan. Saya meneliti tulisan-tulisan beliau tersebut. Kenapa saya sebut di sini beberapa contoh itu? Untuk membuktikan bahawa saya bukan sengaja suka mengkritik Ustaz Hasrizal dalam keadaan langsung tidak mengenalinya. Saya mengenalinya. Namun hari ini, dengan sikapnya menyokong penubuhan parti baru melalui Harapan Baru, mendorong saya untuk menghasilkan komentar ini
Adalah menjadi satu perkara yang sangat asas dalam fiqh Islam, untuk kita menetapkan sesuatu pendirian dalam sesuatu perkara, mestilah kita memahami konteks atau tasawwur situasi yang sebenar. Agar kita tidak tersilap meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya lantas kita berlaku zalim. Dalam keterlibatan yang terbatas, lingkungan yang terhad dan mungkin berpihak, disertakan pula dengan sentimen-sentimen peribadi (contoh disenaraihitam sebagai pengisi tarbiah kampus), menghasilkan Ustaz Hasrizal Jamil bertindak diluar batasan. Menyokong malah mencadangkan parti Islam baru di Malaysia menggambarkan Ustaz Hasrizal yang telah melupakan butang PAUSE yang sering dia gunakan dan diulang-ulang di dalam tulisan dan ceramahnya.
4. USTAZ HASRIZAL MURABBI CINTA DI KALANGAN ANAK MUDA?
Dari manakah anda mengenali Ustaz Hasrizal Jamil? Mungkin ramai yang lebih rapat dengan beliau berbanding saya. Tapi secara jujur saya mengenali beliau bermula dengan menjadi pembaca tegar blog saifulislam. Bukan baru, tetapi lebih dari 12-13 tahun dulu lagi. Saya print artikel-artikelnya menjadi simpanan seawal semasa dia bekerja dengan syarikat Ustaz Pahrol Md Joi, juga motivator cinta yang terkenal. Semenjak itu lagi saya mengikuti perkembangan beliau satu demi satu. Kisah-kisah hidupnya boleh digambarkan dalam catatan-catatan pengalamannya. Saya yakin tidak sedikit anak muda khasnya anak muda kampus yang menjadikan beliau idola. Saya juga pernah mengaguminya. Tetapi tidaklah kekaguman itu menjadikan saya hilang rasional. Saya mengesan beberapa sisi berbeza dalam meneliti setiap artikelnya dari masa ke semasa. Saya mengesan tekanan kesihatan yang dilaluinya di samping bisnes yang bermasaalah dan akademik isterinya yang hampir-hampir mengheret dia untuk merantau ke Australia. Saya mengesan kecenderungannya dalam isu dalaman Pas semenjak 2008. Beliau ada menceritakan tentang persahabatannya dengan Ustaz Ramadhan Fitri dan sebagainya. Kebelakangan ini, beliau sering pula mempertikai sistem tarbiyah jamaah sehingga isu-isu ketika mendapat tarbiyah di Jordan juga digembar-gemburkan. Barangsiapa yang meneliti artikel beliau secara tekun dan kritis, akan perasan dan bertemu sisi-sisi yang berbeza itu.
Saya bukanlah hanya mengenali Ustaz Hasrizal dari artikel-artikel itu sahaja. Ramai peminat-peminat beliau dan anak didiknya yang menjadi teman-teman rapat saya. Begitu juga ramai teman-teman seangkatannya sewaktu di Jordan, kini menjadi teman-teman rapat saya. Tulisan-tulisan beliau tentang diri dan pengalamannya samaada dalam blog atau buku, adalah mewakili dirinya dari sisi pandang dirinya sendiri. Biasanya orang hanya akan menulis sisi putih hidupnya. Tetapi untuk mengenali dirinya yang sebenar, kita perlu juga mendengar pandangan-pandangan dari sisi mereka yang pernah melalui hidup bersamanya. Saya menggabung semua sisi tersebut untuk membuat komentar ini.
Bagi saya, tulisan yang dipersembahkan oleh ustaz Hasrizal ini adalah sangat emosional. Adakah semasa beliau menulis artikel tersebut, beliau sedar atau tidak bahawa beliau seolah-olah berada pada tahap stres yang melampau terhadap jamaah Pas yg telah disertai oleh beliau sebelum ini? Tahap stres melampau ini boleh dikesan melalui tindakan beliau mengoyak sijil keahlian Pas serta mengongsikannya dengan umum. Adakah tindakan ini boleh menjadi sebuah teladan baik untuk generasi melinium Malaysia hari ini? Ada sahabat yang pernah bersama beliau di Jordan memaklumkan secara sinis kepada saya ;
"Sikapnya begitulah semenjak dulu. Mudah stres, suka terpengaruh dengan perkara yang kontroversi, cepat melatah, kurang bertolak ansur dan mudah merajuk"
Jika semata-mata dengan membaca artikelnya yang dahulu, saya mungkin tidak mempercayainya. Tetapi setelah meneliti tulisan-tulisan beliau kebelakangan ini, mengenali rakan-rakan yang melingkunginya, mendengar perihal dirinya dari rakan belajar seangkatannya dan membaca artikel terkininya ini yang terang-terang memburukkan sistem perkaderan Pas dan secara tidak langsung berkempen memecahkan Pas, maka saya nekad untuk menulis komentar ini.
5. ADAKAH SAYA ADA MASALAH PERIBADI DENGAN USTAZ HASRIZAL?
Tidak. Saya pernah menghormati beliau dan masih menyimpan sekelumit rasa hormat tersebut. Sewaktu saya bekerja sebagai penjawat awam di sebuah IPT dahulu, saya pernah beberapa kali menjemput syarikat beliau untuk mengisi program pembangunan insan kami. Saya pernah minum petang di rumah sahabat beliau yang juga sahabat baik saya ketika itu dan kami berbual-bual mesra. Komentar ini saya catatkan kerana saya tahu beliau sangat berpengaruh dan artikelnya yang tersebar itu telah viral di alam maya. Ia bukan sahaja memberi gambaran yang buruk terhadap Pas, tetapi juga menjadi bahan kempen Gerakan Harapan Baru.
Isu-isu yang ditimbulkan oleh beliau seperti isu kepimpinan ulama', label melabel dan kepimpinan yang tersingkir hasil strategi terancang dan sebagainya adalah kesimpulan dari bacaan realiti dalaman yang saya anggap terlalu bias dan cetek. Mengejutkan kerana ia datang dari Ustaz Hasrizal Jamil? Adakah dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu siapakah pencetus isu pertembungan ulamak dan profesional dalam Pas? Isu yang berkali-kali telah dinafikan oleh pimpinan. Adakah dia melihat dengan sebelah mata terhadap label-label yang dilemparkan kepada kem G18, sementara menutup sebelah matanya terhadap label yang dicampakkan kepada kem satu lagi yang rata-rata memimpin Pas ketika ini? Lebih menyedihkan apabila Ustaz Hasrizal turut sama membuat kesimpulan seperti blogger-blogger picisan kononnya pemimpin yang tersingkir bukan atas kapasiti individu, sebaliknya hasil strategi terancang. Tidakkah langsung dia mendengar tentang pertemuan separa sulit PasMa di pustaka Az-Zahra Kota Bharu pada bulan September tahun lepas yang terbongkar isi kandungannya akan gerak kerja terancang untuk mencatur Pas. Ataukah dia langsung tidak melihat berita tentang SD Hawaii Five O?
Malah artikel beliau itu dijadikan hujjah oleh Jamaah Ikram untuk menyokong Gerakan Harapan Baru. Tidakkah Ikram sedar yang penggerak GHB itu masih ahli Pas. Bukankah menyatakan sokongan terbuka begitu menggambarkan Ikram sengaja campurtangan dalam isu dalaman Pas. Adakah Ikram langsung tidak belajar dari keperitan sejarah perpecahan mereka ketika berwadahkan Jim dahulu apabila berpecah dengan Isma? Adakah kalian bergembira di atas perpecahan orang lain?
Saya ahli Pas. Saya masih yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh Pas. Saya berusaha agar ahli-ahli Pas tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah ahli dan bekas pimpinan Pas yang berkempen kepada ahli Pas untuk bersama mereka dalam gerakan tersebut. Saya masih yakin dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh Pas walaupun terpaksa mendepani badai dan rintangan. Kalau ada yang telah pudar cintanya pada Pas, tidak perlulah sampai menghebohkan seluruh dunia bahawa dia telah mengoyak sijil keahlian atau memotong kad ahli. Saya memilih untuk bersabar, teguh dan terus istiqamah. KEBENARAN ITU MENDIDIK SAYA UNTUK SETIA.
عَÙ†ِ اِبْÙ†ِ عُÙ…َرَ -رَضِÙŠَ اَللَّÙ‡ُ عَÙ†ْÙ‡ُÙ…َا- Ù‚َالَ: Ù‚َالَ رَسُولُ اَللَّÙ‡ِ - صلى الله عليه وسلم – "اَÙ„ْÙ…ُؤْÙ…ِÙ†ُ اَÙ„َّØ°ِÙŠ ÙŠُØ®َالِØ·ُ اَلنَّاسَ, ÙˆَÙŠَصْبِرُ عَÙ„َÙ‰ Ø£َØ°َاهُÙ…ْ Ø®َÙŠْرٌ Ù…ِÙ†ْ اَÙ„َّØ°ِÙŠ Ù„َا ÙŠُØ®َالِØ·ُ اَلنَّاسَ ÙˆَÙ„َا ÙŠَصْبِرُ عَÙ„َÙ‰ Ø£َØ°َاهُÙ…ْ " Ø£َØ®ْرَجَÙ‡ُ اِبْÙ†ُ Ù…َاجَÙ‡ْ بِØ¥ِسْÙ†َادٍ ØَسَÙ†ٍ
Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya : "Seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar di atas kesakitan bersama dengan mereka lebih baik dari mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar di atas kesakitan bergaul dengan mereka."
Saya menulis komentar ini di bulan Syawal, setelah melihat orang lain tegar berkempen untuk memecahkan Pas di bulan Ramadan, bulan menahan diri. Semoga Ramadan yang berlalu, menjadikan kita terus istiqamah. Semoga Allah ampuni kesilapan saya. Membantu saya melihat yang benar itu benar dan yang salah itu salah dan direzekikan untuk saya mengikutinya. Semoga komentar ini dibaca dengan kelapangan dada.
Ustaz Mohamad Hazmi Dibok
17 Julai 2015, Jumaat.
Sila kongsi artikel ini...