Berapa banyak lagi wang rakyat Selangor akan terbazir kerana melayan sombong Azmin - che'GuBard

10:22 PM 0 Comments A+ a-



Berapa banyak lagi wang rakyat Selangor akan terbazir kerana melayan sombong Azmin
Catatan Umum

22 Ogos 2015

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memandang serius dan meneliti dengan dekat perkembangan yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehari dua ini.

2. SAMM menyambung desakan meminta Menteri Besar Selangor, YAB Azmin Ali untuk membentangkan sepenuhnya pecahan jumlah RM9.65 billion wang rakyat yang digunakan untuk pengambilalihan atau penstrukturan air Selangor. Jumlah ini jauh tinggi dari penstrukturan yang ditandatangani oleh Khalid Ibrahim ketika menjadi MB dan kemudian dirombak semula oleh Azmin.

3. Di dalam dewan baru ini hanyalah melibatkan kos RM 2 billion sahaja. Ke manakah RM 7.65 billion lagi ? Mengapakah nilai penstrukturan air Azmin lebih mahal dari penstrukturan air Khalid ? Azmin perlu menjelaskan ini, jika tidak ia tidak dapat mengelakkan persepsi ada 'kick back' dalam urus niaga ini. Kegusaran rakyat lebih lagi apabila Kerajaan Selangor melupakan janji dimana rakyat Selangor boleh memiliki saham syarikat air tetapi kini janji itu telah bertukar kepada kemungkinan kenaikan tarif tidak dapat dielak dan kemungkinan tiada lagi skim air percuma.

4. Dalam perkembangan lain dibangkitkan pula mengenai kewujudan sebuah syarikat Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang merupakan sebuah entiti syarikat baru kelihatan diluar MBI dengan kedudukannya lebih istimewa kerana tidak perlu melaporkan terus kepada kerajaan negeri selain operasinya tidak akan diaudit sedangkan ia terlibat mengurus aset bernilai RM6.3 billion. Ini mengundang bukan sahaja kritikan pembangkang (Bn) Selangor tetapi sekutu PKR seperti Pas dan Dap juga.

5. Diteliti dari daftar Syarikat, DEIG diterajui oleh dua orang yang terlibat di dalam MBI, maka ini makin pelik kenapa orang yang sama di dalam MBI membuka sebuah syarikat lain untuk menguruskan pelaburan Selangor. Dua kemungkinan wujud ialah Azmin ingin mewujudkan sebuah entiti perniagaan tanpa audit langsung dari Kerajaan Negeri untuk mudah melakukan 'sesuatu' atau dia bersikap paranoid melampau dan mahu dilihat berbeza dengan Menteri Besar sebelum ini. Jika hanya untuk dilihat berbeza dia membazirkan wang rakyat membuka satu lagi syarikat ia satu kebiadapan selaku pemimpin.

6. Kenyataan Azmin menyalahkan konon serangan ini ada pihak luar yang arah tidak ubah seperti perangai pemimpin Umno Bn. Mengelak dengan menyalahkan orang lain. Ia cukup berbunyi seperti Najib.

6. Itu belum disebut bagaimana dalam Ramadhan yang lepas keluar arahan wang zakat dari syarikat korporat Selangor dan GLC Selangor dikumpulkan dalam satu tabung khas lain. Wang tersebut disalurkan melalui 'jentera parti' di dalam dan di luar Selangor. Bangga dengan trellar panjang dengan wajah dia yang besar turun ke negeri - negeri seleuruh Malaysia menghantar bantuan dalam bentuk barangan dan wang tunai. Soalnya adakah ini dibenarkan ? Wang zakat tersebut akhirnya menjadi alat politik beliau secara peribadi. Ia bukan sahaja disalurkan melalui PKR tetapi ia disalurkan hanya melalui siapa pemimpin cabang yang menyokong dia. Contohnya Cabang Rasah, N.Sembilan (sekadar menyebut satu cabang dipercayai banyak cabang lain) Ketua Cabangnya tidak menyokong Azmin dalam PKR maka Cabang tersebut diketepikan dari bantuan. Ada cabang yang mendapat lebihhan bantuan barangan dan wang tunai juga. Ini menimbulkan fitnah dan siapa yang mengaudit jutaan yang tersalur secara bercelaru di Selangor dan seluruh negara ini ? Berapa julah yang sampai betul dan berapa jumlah yang bocor ? Bayangkan jika ini dilakukan oleh Umno pasti beratus sidang media dan laporan polis/SPRM dilakukan. Mujur Umno Bn itu berantakan hebat khususnya Umno Selangor yang lembab maka perkara ini terdiam. Namun adakah ia halal hanya kerana ia dilakukan oleh Azmin ?

7. Inilah yang SAMM tegaskan ia bukan soal individu tetapi soal sistem. Bertukarlah siapa individu jika sistem pincang ini membenarkan korupsi itu ia pasti berlaku cuma dalam bentuk dan pendekatan berbeza.

8. Kebenaran itu selalunya pahit dan ia tidak berubah ifat berdasar siapa perlaku atau geng mana melakukannya. Kebenaran itu bersifat putih dan bukan kelabu. Mohon semua buka mata dan saya bersedia juga telah biasa akan dilabel dengan perbagai label selepas menyatakan apa yang saya yakini betul. Mohon Azmin tampil menjawab dan faham mungkin saya terlalu kecil di mata Azmin yang besar untuk dijawab maka akui dan perbetulkan sahaja segera.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sila kongsi artikel ini...

Kegurugan Ahli Dari Perjuangan Islam Sudah ada Sunnahnya - Khairuddin at-Takiri

10:00 PM 0 Comments A+ a-



KEGUGURAN AHLI DARI PERJUANGAN ISLAM SUDAH ADA SUNNAHNYA

Dewan Ulamak PAS Pusat meneliti dengan serius percubaan untuk memecah-belahkan perpaduan PAS oleh pihak tertentu menerusi hasutan kepada ahli untuk keluar daripada gerakan Islam PAS secara beramai-ramai.

Sesungguhnya usaha sebegini bukannya baru. Sepanjang zaman, musuh-musuh kepada perjuangan politik Islam mencuba pelbagai cara sama ada dari dalam atau dari luar untuk melemahkan kekuatan PAS. Tentunya usaha dari dalam dengan menabur racun yang halus lebih berjaya berbanding usaha dari luar kerana menjadi seumpama api dalam sekam yang membakar tanpa sedar.

Namun, sejarah membuktikan PAS terus gagah sejak ditubuhkan 1951 meskipun mengharungi pelbagai kocakan dalaman termasuk gugurnya beberapa belas pimpinan tertinggi PAS pada 1982. Hal ini kerana kekuatan PAS adalah pada dasar Islam yang dipegang serta rujukan al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas yang memandu hala tuju dan gerak kerja PAS.

Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi, namun, parti berasaskan Islam yang membawa cahaya kebenaran Islam akan terus berjalan dan berlangsung.

Allah berfirman;
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
"
"Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka sedang Allah enggan melainkan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang yang kufur."
(Surah Taubah ayat 32)

Keguguran Tentera Talut

Keguguran sebilangan pimpinan dan ahli dari perjuangan PAS memperingatkan kita dengan tapisan yang dilakukan oleh Allah terhadap tentera Talut, seorang raja yang dipilih oleh Allah bagi memimpin Banu Israel memerangi si zalim Jalut.

Dalam perjalanan perang, tentera Talut diuji dengan sebatang sungai. Mereka tidak dibenarkan minum airnya melainkan sekadar secebok tangan. Majoriti tentera gagal dalam ujian lalu digugurkan dari barisan tentera sehinggakan tinggal sekumpulan kecil sahaja kalangan mereka.

Menurut satu riwayat daripada al-Sudi bilangan mereka ialah 80,000. Yang terpaksa digugurkan kerana gagal tapisan pertama ialah 76,000 manakala yang berjaya hanya 4,000 sahaja.
Lantas sebahagian besar daripada kumpulan kecil yang berjaya tapisan pertama ini pula teruji perasaan mereka dengan kebimbangan setelah mereka menyeberangi sungai. Lalu mereka mengeluh; "tiada upaya kita dengan bilangan kecil ini untuk menghadapi Jalut dan tenteranya yang ramai!!"
Namun, segelintir yang lain pula menegaskan keimanan mereka bahawa mereka mampu menang dengan bantuan Allah. Kata mereka "Betapa banyak kumpulan yang sedikit mengalahkan kumpulan yang banyak DENGAN IZIN ALLAH sedang Allah bersama orang-orang yang sabar"
( rujuk Surah al-Baqarah ayat 249)

Menurut al-Sudi, golongan yang lemah iman itu berjumlah 3680 orang lebih. Manakala golongan yang kuat imannya hanyalah 310 orang lebih sebagaimana bilangan tentera Badar. Namun, kesabaran menjadi sebab untuk mereka menang akhirnya mengalahkan Jalut.

Perang Uhud

Ketika berlaku perang Uhud di saat tentera Quraisy telah tiba ke sempadan Madinah, Rasulullah saw keluar dengan jumlah tentera Islam seramai seribu orang. Namun, dipertengahan jalan 1/3 tentera telah mengundurkan diri secara tiba-tiba dengan pelbagai alasan dengan diketuai oleh kepala Munafikin yang bermuka-muka dengan Nabi saw iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.
Tujuannya untuk melemahkan semangat baki tentera Islam. Namun, baginda meneruskan juga perjuangan dan hasilnya kemenangan pada pusingan pertama perang telah memihak kepada baginda saw.

Rom Menaja Masjid Dirar

Kerajaan Rom selaku musuh Islam mendalangi dan menaja penubuhan sebuah masjid di Madinah menerusi golongan Munafik bagi memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Ia menjadi pengajaran bagi mereka yang bersedia untuk bersekongkol dengan pihak luar bagi melemahkan Islam dan memecah-belahkan kesatuan Islam. Tidak mungkin musuh Islam sudi membantu jika tiada muslihat dan kepentingan.

Seruan

Saya menyeru seluruh ahli PAS untuk Istiqamah meneruskan perjuangan politik Islam menerusi wadah PAS. Kita bersama PAS memperjuangkan kuasa politik Islam hanyalah kerana Allah demi memperjuangkan agama-Nya. Selagi PAS terus menjadikan Islam sebagai dasarnya dengan empat rujukannya iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas maka kita akan terus istiqamah. Sesungguhnya kemenangan Islam itu semakin hampir. Hanya orang yang sabar bakal menikmatinya.

Sekian.

Istiqamah Hingga Kemenangan

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Khamis 5 Zulkaedah 1436 H bersamaan 20hb Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Angkatan Muda Keadilan Menyokong Bersih 4

9:40 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA : ANGKATAN MUDA KEADILAN MENYOKONG BERSIH 4

Angkatan Muda Keadilan menyatakan sokongan penuh kepada Himpunan Bersih 4, yang bakal berlangsung di tiga bandar utama, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos ini. Himpunan ini adalah bagi mendesak peletakan jawatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga menuntut satu kerajaan yang bersih dan telus - di saat beliau dan kerajaan yang dipimpinnya berhadapan dengan krisis kepimpinan dan integriti yang paling teruk dalam sejarah negara ini.


Bersih 4 adalah satu amalan demokrasi yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Hak untuk berhimpun dengan aman bagi menyatakan pendirian adalah amalan yang biasa dan sejarah siri himpunan yang lalu membuktikan bahawa bilamana aparatus kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia memberikan kerjasama penuh kepada penganjur, himpunan dapat dijalankan secara aman dan terkawal.

Bagi menzahirkan sokongan Angkatan Muda Keadilan kepada Bersih 4, beberapa acara telah diatur menjelang himpunan Bersih 4;

1 - Ceramah Selamatkan Malaysia : BERSIH 4

21 Ogos, Jumaaat - Tumpat, Kelantan
22 Ogos, Sabtu - Seberang Jaya, Pulau Pinang
23 Ogos, Ahad - Bagan Datok, Perak
25 Ogos, Selasa - Kuala Perlis, Perlis
27 Ogos, Rabu - Sungai Petani, Kedah
27 Ogos, Rabu - Ampang, Selangor

2 - Jelajah Bersih : Konvoi Bermotor
23 Ogos, Ahad bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam

3 - Siri DIalog Anak Muda : Selamatkan Malaysia

Angkatan Muda Keadilan juga mengerakkan mobilisasi anggota kami dari seluruh negara untuk menyertai Himpunan Bersih 4, di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. Angkatan Muda Keadilan juga menyeru semua anak muda di negara ini, untuk turut sama menyertai Bersih 4 bagi menzahirkan penentangan kita terhadap segala bentuk kepincangan, kezaliman dan kebobrokan kerajaan Barisan Nasional. Bersama selamatkan Malaysia demi masa depan kita.

Dr AFIF BAHARDINTimbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
20 Ogos 2015




Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Koordinator ‪#‎HarapanBaru‬ Kapar: Peletakan Jawatan dalam Parti Islam Semalaysia

9:14 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Koordinator ‪#‎HarapanBaru‬ Kapar: Peletakan Jawatan dalam Parti Islam Semalaysia

Assalamualaikum W.B.T

Saya Abdul Razak Bin Abd Rashid (Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kapar),
Hj Mohd Shaiful Bin Roseman (Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kapar),
Saudara John Philips (Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Kapar),


Bersama ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli jawatankuasa dewan-dewan di semua peringkat, dengan berat hati mengikut arahan pimpinan parti, meletakkan semua jawatan yang disandang dan akan menjadi ahli biasa.

Tujuan perletakan jawatan ini sesuai dengan arahan pimpinan PAS Pusat yang memohon agar mana-mana ahli yang cenderung kepada Harapan Baru agar melepaskan semua jawatan yang disandang untuk memudahkan PAS bergerak seperti sediakala.

Saya juga selaku Koordinator Harapan Baru Kawasan Kapar bersama 227 orang ahli PAS kawasan Kapar di semua peringkat akan berhijrah kepada gerakan Harapan Baru untuk memastikan kesinambungan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan membawa semangat Islam yang lebih inklusif merentasi batas perkauman serta memaknai maksud ‘rahmatan lil alamin’ (Islam Rahmat Untuk Seluruh Alam)

Terima kasih

19 Ogos 2015
Klang


Sila kongsi artikel ini...

Terima Kasih Daun Keladi - Nik Abduh

9:13 PM 0 Comments A+ a-



Terima Kasih Daun Keladi

Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah pun isytihar keluar PAS dan melepaskan jawatan masing-masing. Ia penyelesaian yang saya harapkan berlaku. Ia penyelesaian paling mudah. Yang dah berpatah arang dan mula menghentam PAS dengan pelbagai jenis hentaman, tiada lagi premis untuk mereka kekal dalam PAS. Mereka sayugia keluar.

Dalam maklumat yang saya perolehi secara rasmi, masih ada yang belum isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang sama. Ia membantu kedua-dua pihak yang bertelagah.


PAS Shah Alam misalnya, bertindak cepat mengisi kekosongan. Begitu juga kawasan-kawasan yang telah dikosongkan dan akan dikosongkan selepas ini. Saya doakan PAS akan kembali teguh berperanan di dalam masyarakat seperti asalnya.

Manakala bagi rakan-rakan yang telah keluar PAS pula, mereka semestinya boleh bergerak lebih bebas tanpa terbeban dengan tanggung jawab yang mereka telah tidak lagi berminat dengannya. Melepaskan beban yang tak perlu adalah nikmat bagi setiap kita.

Dapatan rasmi menunjukkan PAS semakin bersatu setiap hari selepas krisis yang melanda pasca muktamar baru-baru ini. Malah, lebih menggembirakan, banyak PAS kawasan yang ditanda dan dilihat keliru dan bertitik panas telah menunjukkan respon dan tindak balas sebaliknya.

Saya ucapkan tahniah khas kepada PAS Johor, Selangor dan Perak, tiga negeri besar yang begitu kuat diserang oleh rakan GHB, tetapi mereka bertindak balas menolak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan dengan menampilkan sikap istiqamah yang tinggi.

Bagi ahli PAS, adalah jelas berterang cahaya matahari dan bulan, jikalah benar PAS telah lari daripada landasan ugama dan perjuangan, Allah pasti tidak akan jadikan sebab utamanya ialah kerana pecahnya Pakatan Rakyat akibat sikap keras DAP terhadap matlamat perjuangan PAS.

Menjadikannya alasan adalah seperti bergayut di sarang lelabah.


Nik Abduh


Sila kongsi artikel ini...

Polis Telah Melakukan Kesalahan Jenayah - Zulhazmi Shariff

8:38 PM 0 Comments A+ a-



Polis Telah Melakukan Kesalahan Jenayah

Kenyataan YB Dato' Haji Mahfuz Omar bertajuk MENGGUNAKAN POLIS UNTUK HALANG UNDI TAK PERCAYA PADA NAJIB ADALAH PENCABULAN TERHADAP KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG UNDANG adalah dirujuk.

Kenyataan YB Dato' Haji Mahfuz antara lain berkisar tentang tindakan Polis yang sedang menyiasat tindakan beberapa Ahli Parlimen yang dikatakan akan menyokong proses undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen nanti.


Bagi saya tindakan menyiasat perkara tersebut bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan malah sebenarnya telah melanggar peruntukkan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Tindakan Polis tersebut merupakan suatu tindakan berupa menghalang tugas Ahli Parlimen yang sah kerana proses undi tidak percaya merupakan suatu hak semua Ahli Parlimen.

ZULHAZMI SHARIFF
20/08/2015




Sila kongsi artikel ini...

Mahu rombak pasukan bola Perak? Ini saya senaraikan cara-caranya. - Daniyal Kadir

8:12 PM 0 Comments A+ a-



Mahu rombak pasukan bola Perak? Ini saya senaraikan cara-caranya.

1. Swastakan pasukan ini. Tiada lagi sumbangan daripada Kerajaan. Semuanya melalui tajaan dan carian modal sendiri. Sumbangan Kerajaan mungkin boleh diberikan pada peratusan yang rendah buat permulaannya, selebihnya ialah melalui dana dan tajaan yang dicari sendiri oleh pasukan.

2. Organisasi pengurusan merupakan aspek yang perlu dirombak. Wujudkan jawatan-jawatan seperti Pengerusi, CEO, COO, Ketua Komunikasi, Pegawai Kewangan, Pegawai Tadbir. Pisahkan aspek teknikal dan pengurusan supaya kedua-duanya boleh bertindak sebagai badan bebas. Namun, keputusan kedua-duanya boleh diselaraskan dalam satu mesyuarat induk, misalnya soal pembelian pemain.


3. Organisasi teknikal, merangkumi soal kejurulatihan, taktikal, pembangunan bola sepak, pemantauan (scout) pemain berpotensi boleh diketuai oleh seorang individu sebagai Pengarah Teknikal. Beliau seharusnya manusia yang memiliki kredibiliti dan reputasi tinggi di peringkat nasional dan internasional. Calon yang paling sesuai dan memahami bola sepak Perak buat masa ini ialah Karl-Heinz Weigang.

4. Organisasi Pengurusan pula diketuai oleh seorang yang benar-benar berkeupayaan dalam bidang pengurusan dan sewajarnya memiliki pengalaman hebat dalam dunia korporat.

5. Pengerusi Kelab Bolasepak Perak boleh dalam kalangan bekas pemain, orang korporat atau orang-orang kenamaan lain yang memiliki pengaruh dan mampu menarik banyak tajaan.

6. Jangan sesekali merombak barisan pemain dengan menamatkan kontrak mereka dan mencari pemain baru. Sebaliknya penamatan kontrak hanya untuk pemain yang gagal menyerlahkan prestasi sahaja. Pemain yang baik harus dikekalkan. Selain itu, aspek kontrak pemain juga perlu dinilai semula bagi memastikan pemain utama tidak mudah dipancing oleh pasukan lain.

7. Barisan kejurulatihan boleh dirombak dengan mengambil jurulatih yang benar-benar berkualiti. Pelantikan Ketua jurulatih dan jurulatih ini hendaklah datang hasil cadangan Pengarah Teknikal.

8. Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hanya bertindak sebagai pemantau dan badan yang menguruskan bolasepak sahaja. Badan Induk yang mengeluarkan akreditasi, meluluskan program pembangunan, mewujudkan liga di Peringkat negeri serta daerah dan sebagainya. Kelab Bolasepak Perak bukan mewakili PAFA, tetapi bernaung di bawah PAFA. Kelab-kelab lain juga boleh tumbuh berasaskan kepada model yang ada supaya Perak menjadi tempat mewujudkan kelab-kelab lain yang boleh bersaing di peringkat tertinggi. Diharapkan ini ialah permulaan untuk kita melihat kemunculan Kangsar City, Bercham Rovers, Kamunting FC, Real Manjoi dan Manong United.

Sekian pandangan saya. Diharapkan idea 'bodoh' ini boleh dikembangkan lagi. Hentikan penggunaan wang cukai untuk membiayai sebuah pasukan bola yang tak kemana-mana hasilnya. Lembaga Air Perak wajib menghentikan tajaan dengan segera! Hidup Perak! Kejor Yob Kejor!

s


Sila kongsi artikel ini...

Pentadbiran Kawasan dan Cawangan PAS Diteruskan - Iskandar Samad

4:03 PM 0 Comments A+ a-



PENTADBIRAN KAWASAN DAN CAWANGAN PAS DITERUSKAN

Sukacita dimaklumkan Badan Perhubungan Negeri Selangor sedia mengambil alih mana-mana Kawasan atau Cawangan demi kelancaran pentabiran Parti.

Pihak kami telah berbincang dengan YB Dato' Setiausaha Agung PAS dan bersetuju bahawa sebarang pengambilalihan adalah selari dengan Perlembagaan PAS seperti berikut,


FASAL 26 (9) j - Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambil alih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa Tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.

Pihak kami telah turut melakukan perbincangan-perbincangan di peringkat akar umbi dan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk mengenalpasti pemimpin dan penggerak tempatan untuk mentadbir dan menggerakkan mana-mana Kawasan atau Cawangan yang terlibat.

Terdapat hampir 1,000 cawangan PAS dan hampir 100,000 ahli PAS di Selangor.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS
Negeri Selangor
19 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

MemorandumKepada Penerbit Program Da'i Millinea , TV3.

3:41 PM 0 Comments A+ a-




1.0 MUQADDIMAH

Dakwah merupakan satu tuntutan yang digalakkan oleh Islam kepada setiap muslim. Nama Da’i atau pendakwah sinonim dengan imej Islam yang ditampilkan. Jika imej da’i baik, maka imej Islam juga baik. Jika imej da’i terpalit dengan keaiban, maka imej Islam turut terkesan.

Beberapa insiden yang berlaku dalam program realiti TV ‘ Da’i Millenia baru-baru ini mencetuskan perbualan yang kurang enak dalam kalangan masyarakat, sedikit sebanyak mencemarkan imej pendakwah.

Sebagai sebuah organisasi dakwah di tanah air, Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia terpanggil untuk berkongsi inspirasi yang sama dengan semua pihak agar penerbit Da’i Millenia meneruskan rancangan ini dengan beberapa penambahbaikan.

Memorandum ini bersifat cadangan agar pihak penerbit memberikan perhatian serius. Pendirian kami sangat jelas untuk menyokong mana-mana usaha dakwah yang dilakukan melalui pelbagai medium dan kaedah agar keindahan Islam dirasai dalam masyarakat Islam dan bukan Islam.

2.0 Isu yang berlaku

Berdasarkan episod pertama, musim ketiga program realiti TV ‘ Da’i Millenia , kami mendapati beberapa perkara yang telah mencemarkan kaedah dan tatacara berdakwah serta batasan Islam bagi seorang Da’i. Insiden yang berlaku ini telah mencemarkan imej semua Da’i dan Islam itu sendiri.

Antaranya ialah:
1. Wargame lelaki perempuan
2. Pumping lelaki perempuan sekali
3. Para daieyah kurang menjaga adab, menjerit hingga hilang watak daie ketika main wargame antara lelaki perempuan.
4. Kawat sebelah menyebelah tanpa jarak
5. Daieyah buat sesi luahan pasal cinta tak kesampaian
6. Da'i ikat kaki dengan da'iyah semasa explorace atas alasan denda.
7. Main pistol air antara peserta lelaki dan perempuan.

3.0 Cadangan

3.1 Usaha untuk menambah rating penonton selari dengan syariat. Pihak penerbit sewajarnya mengelakkan insiden yang boleh mencemarkan imej Islam dan mengorbankan syariat demi menaikkan rating penonton.

3.2 Mendapatkan khidmat pantauan syariah bagi setiap siri dari sudut pelaksanaan modul dan memaksimakan tenaga pendidik untuk memantau perjalanan rancangan agar patuh syariat.

3.3 Modulkan para peserta untuk tinggal bersama penduduk pedalaman seperti Sabah dan Sarawak kerana di sana terdapat banyak kes murtad dan ada yang masih Islam tapi terlalu jauh dari cara hidup Islam. Tempatkan peserta dalam tempoh tertentu sebagai sasaran untuk mengislamkan mad’u. Harapannya melalui program ini, mereka dapat merasai betapa peritnya berdakwah dialam realiti sebenar.

3.4 Modulkan para peserta tinggal di kampung terpencil dan kendalikan sebuah masjid atau surau untuk tempoh tertentu. Sasarkan mereka boleh mengajar penduduk kampung muda dan tua tentang cara solat, bersuci dan amalan Islam yang lain.

4.0 Penutup

Adalah diharapkan agar pihak tuan menilai memorandum ini dengan hati yang terbuka bagi sama-sama membantu ke arah pembangunan dakwah Islam di Malaysia. Ianya melibatkan imej Islam dan kesan terhadap masyarakat yang menonton rancangan ini.

Dsediakan oleh,

Ustaz Hafez Sabri
Pengerusi,
Lajnah Dakwah
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)


Sila kongsi artikel ini...

Khairuddin Abu Hassan: Saya Bersama Peguam Telah Hantar Bahan Bukti Kes Skandal 1Mdb Ke Pejabat Peguam Negara Switzerland Di Bern

1:55 PM 0 Comments A+ a-



SAYA BERSAMA PEGUAM TELAH HANTAR BAHAN BUKTI KES SKANDAL 1MDB KE PEJABAT PEGUAM NEGARA SWITZERLAND DI BERN

Syukur ke hadrat Allah swt yang telah memberkati kelicinan urusan penyerahan semua bahan bukti mengenai kes skandal 1MDB di pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.

Saya akan serahkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan 'swiss financial regulator finma' untuk buat siasatan secara komprehensif terhadap semua salahlaku penyelewengan kes skandal 1MDB yang membabitkan swiss bank serta beberapa bank antarabangsa.


Kunjangan saya ke pejabat peguam negara switzerland di bern telah ditemani oleh peguam saya Matthias Chang.

Kami telah menyerahkan segala bahan bukti dan kronologi kes skandal 1MDB kepada peguam negara switzerland yang beribu pejabat di Bern pada hari selasa (18 ogos 2015) jam 2:30 petang waktu tempatan.

Salahlaku dalam kes skandal 1MDB ini mesti dilawan secara habis-habisan demi untuk menyelamatkan dana kerajaan mahupun wang rakyat di tanahair kita dari sebarang unsur penyelewangan!!

Saya bersama peguam iaitu Matthias Chang berikrar untuk menangani kes skandal 1MDB serta menyerahkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan kewangan antarabangsa bagi membantu menyiasat penyelewengan ini secara telus, adil, saksama serta komprehensif.

Masakini, saya amat kecewa dengan pihak penguatkuasaan undang-undang dan kewangan di negara kita yang nampak secara ketara tidak menyiasat kes ini secara professional dan telus!!

Lain yang saya laporkan kepada pihak polis diraja malaysia (PDRM) dan Bank Negara (BNM) tetapi malangnya lain yang disiasat!!

Sebagai contohnya pihak PDRM asyik sibuk nak siasat justo dan clare brown (editor sarawak report) tetapi penyangak jho low tidak pernah disiasat pun dan masih bebas sehingga kini!!

Beberapa laporan polis telah dibuat keatas penyangak jho low tetapi sehingga kini masih tiada kelihatan sebarang daya-usaha untuk memanggil seterusnya menyiasat pembabitannya dengan urus niaga 1MDB!! Mengapa??!!

Secara rasminya saya turut membuat laporan kepada SPRM, BNM serta Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengenai penyangak jho low ini!! Apa istimewanya dengan penyangak jho low ini yang masih tidak disentuh oleh pihak penguatkuasa undang-undang di negara kita??!!

Secara jujurnya saya sudah mula hilang kepercayaan dan tidak yakin dengan pihak penguatkuasaan undang-undang di tanahair kita masakini!!

Sepatutnya penjawat awam dan penguatkuasa undang-undang di negara kita harus memikul tanggungjawab mereka secara teramanah yang mungkin!!

Mereka harus takut pada Allah swt bukan takut sesama manusia!! Kalangan ini juga jangan lupa bahawa mereka bakal disoal di Padang Mashar di hari akhirat kelak!! Bertindaklah selaras dengan ajaran agama Islam tanpa takut walaupun sebesar zarah terhadap manusia sesama manusia khususnya kalangan puak yang mungkar serta korup!!


Khairuddin Abu Hassan


Sila kongsi artikel ini...

Mahfuz Omar: Menggunakan Polis Untuk Halang Undi Tak Percaya Pada Najib Adalah Pencabulan Terhadap Keluhuran Perlembagaan Dan Kedaulatan Undang Undang.

12:24 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

MENGGUNAKAN POLIS UNTUK HALANG UNDI TAK PERCAYA PADA NAJIB ADALAH PENCABULAN TERHADAP KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG UNDANG.

1. Sesuatu yang sangat pelik dan jelek bila persoalan undi tidak percaya terhadap Najib sebagai Perdana Menteri diserahkan kepada Polis oleh Dato'Zahid Hamidi TPM yang juga Menteri KDN yang berkuasa ke atas Polis.


2. Tindakan ini adalah salahguna kuasa mengguna Polis menghalang tindakan undi tidak percaya terhadap Najib sebagai PM. Undi tidak percaya ialah suatu proses yang demokratik dan diizin oleh Perlembagaan dan Undang undang. Ini bermakna Polis dipaksa menghalang tindakan Ahli Parlimen dan Institusi Penggubal Undang-undang iaitu Parlimen yang mengikut proses Perlembagaan dan Perundangan. Tindakan mengguna Polis untuk menyekat kebebasan Ahli dan Institusi Parlimen ini adalah "SUATU PENCABULAN TERHADAP KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG UNDANG"

3. Saya minta TPM Zahid dan KPN menghentikan pelanggaran terhadap Perlembagaan dan Perundangan dengan memperalat dan menjadikan anggota Polis seperti pemuda tahan lasak dan komando Umno untuk mengugut dan menakut-nakutkan Ahli Parlimen. Undi tidak percaya terhadap Najib ialah untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Buat Zahid, saya mengingatkan beliau sebagai sahabat agar bersahabat lah dengan rakyat. Manakala untuk semua Ahli Parlimen tanpa mengira Parti, saya menyeru agar kita semua mendahulukan negara dan rakyat. Mandat yang kita perolehi ialah pinjaman dan pindahan kuasa daripada rakyat kepada kita bagi menunaikan amanah besar demi kesejahteraan rakyat dan negara.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

20 Ogos 2015/5 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Tatacara Membubarkan Parti Dan/Atau Cawangan Parti (PAS) - Zulhazmi Shariff

11:34 AM 0 Comments A+ a-




TATACARA MEMBUBARKAN PARTI DAN/ATAU CAWANGAN PARTI

MUQADDIMAH

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sama seperti parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan lain yang ditubuhkan mengikut Akta Pertubuhan 1966. (Akta 335). Parti induk (Pusat) didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335. Walau pun begitu Akta 335 memberikan ruang kepada Parti Induk untuk menubuhkan cawangan-cawangannya mengikut Seksyen 12 Akta 335. Kedua-dua peringkat samada Pusat mahu pun kawasan dan/atau cawangan hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.


PENUBUHAN DAN PENDAFTARAN PAS.

PAS ditubuhkan dan didaftarkan mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dan Pejabat Agung PAS yang didaftarkan ialah di Pejabat Agung PAS No. 318-A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Ini dijelaskan di Fasal 2 Perlembagaan PAS.

Fasal 23dan Fasal 24 Perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa PAS boleh menubuhkan PAS Kawasan dan Cawangan.

Fasal 23 seperti berikut :-

1. Kawasan PAS hendaklah ditubuhkan hanya sebuah sahaja bagi tiap-tiap satu daerah (bagi negeri Kelantan, “Jajahan”) mengikut sempadan kekuasaan Pegawai Daerah (bagi negeri Kelantan “Pegawai Jajahan”) atau kawasan pilihan raya Parlimen dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua ratus orang ahli PAS yang telah berdaftar, kecuali jika dipandang sangat mustahak oleh Badan Perhubungan PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan, dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengikut cara yang lain.

2. Pesuruhjaya PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sahajalah yang berkuasa menubuhkan Kawasan-kawasan PAS di daerah-daerah (Jajahan-jajahan bagi negeri Kelantan) atau kawasan-kawasan Parlimen yang belum ada Kawasan PAS atau dalam menyempurnakan kehendak-kehendak ceraian (1) Fasal ini, dan bagi negeri-negeri/Wilayah Persekutuan yang belum ada Pesuruhjaya PAS atau Badan Perhubungan ini adalah tertakluk di bawah kekuasaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Peruntukkan Fasal 23 jelas menyatakan bahawa hanya Pesuruhjaya PAS Negeri atau Wilayah yang berkuasa menubuhkan PAS Kawasan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada 250 orang ahli berdaftar.

Fasal 24 seperti berikut :-

1. Adapun Cawangan-cawangan PAS bagi sesebuah Kawasan itu bolehlah ditubuhkan di mana-mana saja tempat di dalam daerah kekuasaan PAS Kawasan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

2. Adapun bagi kawasan-kawasan yang tiada atau belum ditubuhkan PAS Kawasan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

3. Adapun bagi PAS Kawasan yang digantung atau dibubarkan mengikut Fasal 26(9)(j) Perlembagaan ini atau dibatal pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Sementara PAS Kawasan berkenaan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau ditubuhkan mengikut apa-apa ketetapan lain yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Fasal 24 ini menjelaskan bahawa Cawangan PAS boleh ditubuhkan dalam sesebuah Kawasan PAS oleh Yang DiPertua PAS Kawasan jika telah sedia ada tidak kurang daripada 25 orang ahli berdaftar dengan persetujuan JKPP.

Walau pun begitu, kebiasaannya PAS Cawangan ini ditubuhkan oleh sebuah Jawatankuasa Penaja yang memohon persetujuan YDP Kawasan dan seterusnya persetujuan JKPP.

Apabila PAS Kawasan dan/atau PAS Cawangan ditubuhkan, kedua-duanya hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan mempunyai sijil pendaftaran dan no pendaftaran.

Ini bermaksud PAS Kawasan dan/atau PAS Cawangan tersebut boleh berdiri dengan sendiri mengurustadbir perjalanan mereka masing-masing tertakluk kepada Perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

BAGAIMANA MEMBUBARKAN PAS/KAWASAN/CAWANGAN.

Fasal 87 Perlembagaan PAS memperuntukkan seperti berikut :

FASAL 87. Cara Memansuhkan PAS

1. PAS ini tidaklah boleh dimansuh atau dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripada ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

2. Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang baki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu.

3. Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu.

Perlembagaan PAS sendiri memperuntukkan tentang tatacara memansuhkan atau membubarkan PAS. Ini bermaksud PAS boleh dibubarkan jika dirasakan perlu. Walau bagaimana pun untuk memansuhkan PAS perlulah mendapat persetujuan tidak kurang tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli secara bersendiri atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar Khas yang diadakan bagi tujuan memansuhkan PAS.

Jika PAS dibubarkan dan dimansuhkan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang atau baki harta hendaklah dikendalikan mengikut keputusan Muktamar tersebut. Apabila dibubarkan maka keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

Perlembagaan PAS tidak memperuntukkan tatacara khusus memansuhkan dan membubarkan PAS Kawasan dan PAS Cawangan secara bersendiri tetapi memberikan kuasa kepada JKPP di bawah Fasal 26 (9) (j) untuk membubarkan Cawanganjika Cawangan itu kosong ditinggalkan atau mempunyai masalah. Walau pun begitu, ianya tidak bermaksud PAS Cawangan tidak boleh membubarkan diri sendiri kerana mereka mempunyai hak dan kuasa untuk berbuat demikian.

Bagaimana sesebuah Pas Cawangan hendak membubarkan Cawangan?

Cawangan PAS tetap boleh dimansuhkan dan/atau dibubarkan mengikut tatacara pembubaran PAS di bawah Fasal 87 seperti mana PAS dibubarkan dan dimansuhkan.

PAS Cawangan yang berhasrat untuk membubarkan cawangan BOLEH memanggil suatu Mesyuarat Agung Khas Cawangan dan mengusulkan agar Cawangan itu dibubarkan. Cawangan akan bubar jika tiga perlima (3/5) ahli PAS Cawangan bersetuju dan apabila persetujuan pembubaran diperolehi, maka hendaklah dimaklumkan pembubaran Cawangan tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan. Dengan itu Pendaftar Pertubuhan akan membatalkan pendaftaran Cawangan tersebut.

Bagaimana Menguruskan Harta-Harta Cawangan Yang Dibubarkan?

Fasal 87 (2) Perlembagaan PAS menjelaskan bahawa jika PAS dibubarkan maka segala hutang hendaklah dijelaskan, manakala baki harta adalah mengikut keputusan Muktamar. Berdasarkan peruntukkan Fasal 87 (2) ini, jika Cawangan PAS dibubarkan, maka di dalam Mesyuarat Agung Khas Cawangan tersebut, hendaklah diputuskan bagaimana harta-harta Pas Cawangan diuruskan setelah PAS Cawangan tersebut dibubarkan.

Perlu diambil perhatian bahawa harta-harta PAS Cawangan bukan harta PAS Pusat dan tidak tertakluk dengan PAS Pusat.

Semoga Bermanfaat.

Ditulis oleh
Zulhazmi Shariff
20082015


Sila kongsi artikel ini...

Panda dari China disusukan, rakyat sendiri… – Najwan Halimi

2:18 AM 0 Comments A+ a-



Semalam perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memuat naik tulisan di akaun Twitter dan Facebook miliknya menzahirkan kegembiraan atas kelahiran seekor anak panda di Zoo Negara.

Liang Liang, ibu panda yang dirujuk Najib di dalam tulisan beliau itu merupakan salah seekor dari dua ekor panda yang dihadiahkan kerajaan China tahun lalu sebagai simbol hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China. Seekor lagi bernama Xing Xing.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang keterujaan dan kegembiraan Najib dalam meraikan kelahiran anak panda itu kerana beliau berhak untuk menulis dan memuatnaik apa saja menerusi akaun media sosial miliknya.


Namun begitu, kegembiraan Najib itu ternyata tidak dikongsi majoriti pengikut akaun media sosial beliau.



Jika dibaca respons yang dimuat naik, rata-rata dari mereka bersikap sinis dan memperolok-olok kenyataan Najib.

Barangkali masyarakat sudah mulai tidak peduli dengan hal panda yang suatu ketika dulu pernah menjadi tumpuan umum.

Mutakhir ini, dengan pelbagai isu dan krisis yang melanda pentadbiran negara, rakyat semakin bersikap sinis dan kritis terhadap apa jua yang mereka baca dan apa yang dilaporkan media kepada mereka.

Bermula tragedi kehilangan pesawat MH370, pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, penahanan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terkini isu berkaitan ‘derma’ wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib serta kemerosotan nilai Ringgit – membuatkan rakyat semakin resah dan beremosi.

Ini dirumitkan lagi bila mana penjelasan terhadap isu-isu penting melibatkan kepentingan negara dan rakyat tidak ditangani dengan sewajarnya.

Rakyat melihat tiadanya ketelusan dan kejujuran di pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan menambahbaik kualiti kehidupan mereka.

Kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar pengangguran dan jenayah yang berleluasa terus mendera dan menghimpit kehidupan mereka.

Najib perlu meletakkan keutamaan yang sewajarnya dalam pentadbiran beliau.

Hal-hal mendesak membabitkan tata kelola ekonomi dan urus tadbir perlu ditangani secara serius dan beriltizam.

Kepimpinan adalah amanah dan tangungjawab. Ia bukan sesuatu yg boleh diambil ringan dan dilaksana secara main-main dan seronok-seronok.

Usah biarkan emosi rakyat sampai ke satu tahap di mana mereka akan terus-terusan memandang sinis dan memperolok-olokkan kepimpinan beliau.

Keutamaan seseorang pemimpin adalah rakyatnya.

Jangan sampai panda dari China disusukan, rakyat sendiri sengsara kelaparan.

– 19 Ogos, 2015.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.