Kegurugan Ahli Dari Perjuangan Islam Sudah ada Sunnahnya - Khairuddin at-Takiri

10:00 PM 0 Comments A+ a-



KEGUGURAN AHLI DARI PERJUANGAN ISLAM SUDAH ADA SUNNAHNYA

Dewan Ulamak PAS Pusat meneliti dengan serius percubaan untuk memecah-belahkan perpaduan PAS oleh pihak tertentu menerusi hasutan kepada ahli untuk keluar daripada gerakan Islam PAS secara beramai-ramai.

Sesungguhnya usaha sebegini bukannya baru. Sepanjang zaman, musuh-musuh kepada perjuangan politik Islam mencuba pelbagai cara sama ada dari dalam atau dari luar untuk melemahkan kekuatan PAS. Tentunya usaha dari dalam dengan menabur racun yang halus lebih berjaya berbanding usaha dari luar kerana menjadi seumpama api dalam sekam yang membakar tanpa sedar.

Namun, sejarah membuktikan PAS terus gagah sejak ditubuhkan 1951 meskipun mengharungi pelbagai kocakan dalaman termasuk gugurnya beberapa belas pimpinan tertinggi PAS pada 1982. Hal ini kerana kekuatan PAS adalah pada dasar Islam yang dipegang serta rujukan al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas yang memandu hala tuju dan gerak kerja PAS.

Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi, namun, parti berasaskan Islam yang membawa cahaya kebenaran Islam akan terus berjalan dan berlangsung.

Allah berfirman;
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
"
"Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka sedang Allah enggan melainkan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang yang kufur."
(Surah Taubah ayat 32)

Keguguran Tentera Talut

Keguguran sebilangan pimpinan dan ahli dari perjuangan PAS memperingatkan kita dengan tapisan yang dilakukan oleh Allah terhadap tentera Talut, seorang raja yang dipilih oleh Allah bagi memimpin Banu Israel memerangi si zalim Jalut.

Dalam perjalanan perang, tentera Talut diuji dengan sebatang sungai. Mereka tidak dibenarkan minum airnya melainkan sekadar secebok tangan. Majoriti tentera gagal dalam ujian lalu digugurkan dari barisan tentera sehinggakan tinggal sekumpulan kecil sahaja kalangan mereka.

Menurut satu riwayat daripada al-Sudi bilangan mereka ialah 80,000. Yang terpaksa digugurkan kerana gagal tapisan pertama ialah 76,000 manakala yang berjaya hanya 4,000 sahaja.
Lantas sebahagian besar daripada kumpulan kecil yang berjaya tapisan pertama ini pula teruji perasaan mereka dengan kebimbangan setelah mereka menyeberangi sungai. Lalu mereka mengeluh; "tiada upaya kita dengan bilangan kecil ini untuk menghadapi Jalut dan tenteranya yang ramai!!"
Namun, segelintir yang lain pula menegaskan keimanan mereka bahawa mereka mampu menang dengan bantuan Allah. Kata mereka "Betapa banyak kumpulan yang sedikit mengalahkan kumpulan yang banyak DENGAN IZIN ALLAH sedang Allah bersama orang-orang yang sabar"
( rujuk Surah al-Baqarah ayat 249)

Menurut al-Sudi, golongan yang lemah iman itu berjumlah 3680 orang lebih. Manakala golongan yang kuat imannya hanyalah 310 orang lebih sebagaimana bilangan tentera Badar. Namun, kesabaran menjadi sebab untuk mereka menang akhirnya mengalahkan Jalut.

Perang Uhud

Ketika berlaku perang Uhud di saat tentera Quraisy telah tiba ke sempadan Madinah, Rasulullah saw keluar dengan jumlah tentera Islam seramai seribu orang. Namun, dipertengahan jalan 1/3 tentera telah mengundurkan diri secara tiba-tiba dengan pelbagai alasan dengan diketuai oleh kepala Munafikin yang bermuka-muka dengan Nabi saw iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.
Tujuannya untuk melemahkan semangat baki tentera Islam. Namun, baginda meneruskan juga perjuangan dan hasilnya kemenangan pada pusingan pertama perang telah memihak kepada baginda saw.

Rom Menaja Masjid Dirar

Kerajaan Rom selaku musuh Islam mendalangi dan menaja penubuhan sebuah masjid di Madinah menerusi golongan Munafik bagi memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Ia menjadi pengajaran bagi mereka yang bersedia untuk bersekongkol dengan pihak luar bagi melemahkan Islam dan memecah-belahkan kesatuan Islam. Tidak mungkin musuh Islam sudi membantu jika tiada muslihat dan kepentingan.

Seruan

Saya menyeru seluruh ahli PAS untuk Istiqamah meneruskan perjuangan politik Islam menerusi wadah PAS. Kita bersama PAS memperjuangkan kuasa politik Islam hanyalah kerana Allah demi memperjuangkan agama-Nya. Selagi PAS terus menjadikan Islam sebagai dasarnya dengan empat rujukannya iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas maka kita akan terus istiqamah. Sesungguhnya kemenangan Islam itu semakin hampir. Hanya orang yang sabar bakal menikmatinya.

Sekian.

Istiqamah Hingga Kemenangan

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Khamis 5 Zulkaedah 1436 H bersamaan 20hb Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.