Selamatkan Duit Pelabur PNB dan Tabung Haji Daripada Sukuk 1MDB - Wan Ahmad Fayhsal

10:42 PM 0 Comments A+ a-



SELAMATKAN DUIT PELABUR PNB DAN TABUNG HAJI DARIPADA SUKUK 1MDB

oleh:
Wan Ahmad Fayhsal

Sudah sampai masanya Tun Ahmad Sarji dan lembaga pengarah PNB serta Lembaga Tabung Haji melantik "receiver" bagi mengutip duit pelaburan PNB dan Tabung Haji dalam Sukuk Bandar Malaysia 1MDB yang kini terkontang kanting berhadapan dengan "default" seterusnya "insolvency".

Duit rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dalam PNB dan Tabung Haji hendaklah diselamatkan terlebih dahulu daripada 1MDB yang kini berhadapandengan tuduhan serius kerana tidak melangsaikan janji USD $1.4 bilion (~RM 6 bilion) kepada IPIC di UAE.


Kegagalan membuat demikian menunjukkan betapa lemahnya tadbir urus dan amanah menjaga duit pelabur khususnya dikalangan orang Melayu yang kita tahu amat-amat miskin dari segi modal pelaburan.

PNB menafikan seperti tertera dalam gambar dimana pekeliling telah dikeluarkan. Akan tetapi laporan kewangan AmInvest menunjukkan PNB merupakan salah satu pelanggan hutang sukuk 1MDB. Tabung Haji dah mengaku dari awal.

Baju merah kamu nak protes, protes benda ini sebab duit orang Melayu banyak tersangkut dalam kertas hutang 1MDB. Jangan kamu nafikan hal ini dan terima janji manis nak selesaikan dalam 6 bulan lagi.

Selamatkan duit orang Melayu!


rujuk: http://sahathevan.blogspot.my/2015/07/ahmad-sarji-and-pnb-board-may-be.html



Sila kongsi artikel ini...

Perutusan DS Anwar Mengenai "Perhimpunan Baju Merah"

9:25 PM 0 Comments A+ a-



Perutusan DS Anwar mengenai "perhimpunan baju merah"

Berikut merupakan perutusan DS Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui peguam beliau pada 9 September 2015:

"Adalah wajar pertahankan hak dan keadilan bagi semua kaum dan rakyat Malaysia termasuk mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.


Namun kita tidak wajar mengapikan isu perkauman yang dibantah oleh Islam dan budaya Melayu, seperti yang dirancang melalui perhimpunan baju merah pada 16 September.

Kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi serta sekerat pemimpin Umno lain bahawa ahli Umno bebas untuk menyertai perhimpunan sedemikian, memperlihatkan kegagalan moral pada kepimpinan mereka.

Yang pastinya apa yang dirancang adalah untuk mengalih pandangan dari kemelut politik dan kegawatan ekonomi yang terus melanda negara.

Rakyat tidak wajar terpedaya atau termakan oleh taktik pecah-belah seperti ini."

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

10 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

1MDB: 6 Bulan - Tempoh Keramat yang Tiada Penghujung - Tuan Ibrahim Tuan Man

8:17 PM 0 Comments A+ a-



1MDB: 6 bulan - tempoh keramat yang tiada penghujung

Semalam – 9 September 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah 1MDB melalui pelan rasionalisasinya.

Ini bukan kali pertama, Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.

Kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015. Perkara ini didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Batoh kepada media seperti The Malaysian Insider and The Rakyat Post. Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015.

Hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.

Oleh itu, persoalan yang bermain di minda rakyat sekarang ialah berapa panjang sebenarnya tempoh 6 bulan yang disebut Najib?

Jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi. Apakah semalam Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?

Walaupun menjadi hak PM untuk tidak menyatakan plan pemulihan tersebut, namun oleh kerana tempoh keramat yang diminta beliau sentiasa berubah, PAS mencadangkan rangka pemulihan dana 1MDB dibentang di parlimen bagi rakyat mengetahui dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelan pemulihan tersebut.

Sehingga kini pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran PM sebagai Menteri Kewangan sahaja. Pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu, faedah pinjaman terus meningkat dan ini bermakna kerisauan rakyat semakin bertambah.

Drama 6 bulan ini tidak boleh berterusan. PAS meminta Najib menyatakan tarikh khusus bila masalah hutang 1MDB akan selesai, dan jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?

Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

10 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Rafizi: Selesai Maslaah 1MDB Dalam 6 Bulan: Apa yang dijual, DIgadai, Dilelong?

4:37 PM 0 Comments A+ a-



SELESAI MASALAH 1MDB DALAM 6 BULAN: APA YANG DIJUAL, DIGADAI, DILELONG?

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan dari sekarang. Kenyataan beliau itu adalah konsisten dengan pengumuman kononnya proses rasionalisasi kewangan 1MDB akan mengambil masa 6 bulan sejak bulan lepas.

Sejak membawa isu 1MDB bersama-sama dengan YB Tony Pua dan Ahli Parlimen yang lain, saya tidak pernah mempersoalkan mengenai kemungkinan hutang-hutang 1MDB (yang setakat 31 Disember 2014 berjumlah RM42 bilion) itu boleh dibayar. Ada banyak cara bagaimana hutang korporat boleh dibayar dan bukanlah sukar untuk mencari jalan menyelesaikan hutang RM42 bilion itu.

Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

Rekod pentadbiran Barisan Nasional dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah (“ruling elite”) sejak tahun 1980an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya Barisan Nasional menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Dahulunya, dana PETRONAS sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah.

Setakat ini, rakyat telah mengetahui bahawa badan-badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya telah terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urusniaga kewangan dengan 1MDB (sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan, bon yang dipegang dan lain-lain).

Jika sebelum ini pun pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?

Saya juga sedia maklum bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk merundingkan urusniaga kewangan dengan bank-bank dan pihak berkuasa Negara-negara Teluk bagi tujuan membantu 1MDB. Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang. Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung.

Oleh yang demikian, saya bimbang apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan, ini bermakna sudah ada persetujuan-persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar kemungkinan akan merugikan rakyat.

Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu.

Soalan-soalan berikut perlu dijawab secara terperinci oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi setiap urusniaga kewangan itu:

1. Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

2. Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?


3. Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?


4. Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?


5. Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?


6. Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu?


Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat. Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
10 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Wan Azizah: Rakyat Malaysia Perlu Penyelesaian Kemelut Ekonomi dan Politik Bukan Provokasi Perkauman dan Kebejatan Keharmonian

4:05 PM 0 Comments A+ a-




Kenyataan Media

Rakyat Malaysia Perlu Penyelesaian Kemelut Ekonomi dan Politik Bukan Provokasi Perkauman dan Kebejatan Keharmonian

KEADILAN hari ini menggesa pihak yang ingin menganjurkan“Himpunan Rakyat Bersatu” atau “Himpunan Maruah Melayu” yang dijadualkan berlangsung pada 16 September 2015 untuk tumpu kepada penyelesaian kemelut ekonomi dan politik negara yang dihadapi oleh rakyat.


Sementara penganjuran perhimpunan aman dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012 namun tujuan dan motif perhimpunan atas dasar perkauman tidak wajar dilakukan.

Ia boleh mengakibatkan kebejatan keharmonian dan kaum, apatah lagi dicadang untuk dilakukan di kawasan majoriti kumpulan etnik Cina iaitu Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Lebih malang lagi, dilaporkan ada pimpinan UMNO yang menggesa ahli-ahlinya untuk turut serta perhimpunan berkenaan.

Pihak polis wajib bertindak untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi perkauman seperti yang dipaparkan oleh poster-poster di Kuala Lumpur yang berkait dengan himpunan berkenaan.

Malaysia sedang hadapi krisis kepimpinan. Skandal yang tidak berkesudahan. Ekonomi yang terus merudum. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia berganding bahu untuk bangkit mendepani kepincangan yang merencatkan masa depan kita.

Himpunan ‘baju merah’ dengan motif perkauman, jika dibiarkan, boleh membawa kejatuhan kepada nilai masyarakat dan kewarasan.

Atas dasar itu, KEADILAN tidak membenarkan ahli-ahlinya menyertai himpunan berkenaan.

Hari ini KEADILAN turun ke Bukit Bintang menghulurkan mesej keamanan kami kepada semua kumpulan etnik untuk kita sama-sama menyelamatkan negara sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

10 September 2015

-


Media Statement

Malaysians In Need of Solutions to Economic and Political Crisis, Not Racial Provocation and Disharmony

KEADILAN today urge the organizer of “Himpunan Rakyat Bersatu” or “Himpunan Maruah Melayu” which is scheduled to take place on 16 September 2015 to focus on finding solutions to the country’s economic and political crisis faced by the people.

Whilst peaceful assembly is allowed under the Federal Constitution and the Peaceful Assembly Act 2012, nevertheless the reason and motive of having the demonstration along racial lines is unwarranted.

It can lead to disharmony and racial discontent, what more when the demonstration is planned to be held in areas with majority Chinese ethnic group such as at Bukit Bintang and Petaling Street.

Worse still, it was reported that certain UMNO leadership has informed that they will be sending party members to join the rally.

The police must act to stem any efforts to racialise events as being displayed by posters in Kuala Lumpur associated with the rally.

Malaysia is facing a leadership crisis. Scandals are mounting. The economy has taken a turn for the worse. It is time that we Malaysians come together to fight against real concerns that are truly plaguing our future.

The ‘red shirt’ rally with clearly racial sentiments, if allowed, will bring down the very essence of value of our society, common decency and sense.

On that premise, KEADILAN will not allow its members to attend the rally.

Today KEADILAN goes down to Bukit Bintang extending our peace message to all ethnic groups in a consolidated effort to save our country as Malaysians of many ethnic groups and religion.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
KEADILAN President

10 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Agamawan Yang Memburukkan Wajah Islam - Alang Ibn Shukrimun

3:49 PM 0 Comments A+ a-



AGAMAWAN YANG MEMBURUKKAN WAJAH ISLAM

Kenapa masih ramai yang mudah tertipu dengan agamawan-agamawan jahat? Mereka justifikasikan tindakan pihak yang menyebelahi mereka dengan berbagai hujah agama. Mereka sembunyikan sisi-sisi buruk dan sengaja mengemukakan sisi-sisi khilaf agar boleh menegakkan benang basah.

Secara jelas YB-YB yang melompat parti bersama jawatan wakil rakyat adalah perbuatan khianat. Ini isu utama yang menjadi pertelingkahan sekarang. Tak perlu dalil agama, moral manusiawi pun akan kata ini perbuatan jahat. Bahkan mereka-mereka juga pernah mengatakan dahulu apabila ada wakil rakyat PKR dan DAP lompat ke parti lain, berbagai fatwa dikeluarkan mencemuh tindakan tersebut. Tapi hari ini, mufti dan agamawan inilah yang sedaya upaya menutup perkara ini dengan menimbulkan isu-isu lain bersifat sampingan dan sensitif tetapi sengaja diperbesarkan.

Apa yang dilakukan oleh YB-YB adalah khianat dan melanggar perjanjian. Perjanjian mereka sebelum ini adalah untuk meletakkan jawatan sekiranya keluar dari PAS. Tetapi ada mufti yang menyesatkan manusia menyatakan perbuatan itu tidak mengapa, boleh diselesaikan dengan hanya membayar kafarah sahaja. Ajaran apakah ini?

Jangan belitkan sumpah dengan perjanjian. Sumpah adalah perkara-perkara yang dibuat tanpa penglibatan risiko pihak lain. Sedangkan perjanjian berkait dengan pemberian hak pihak lain kepada yang berjanji.

Kalaulah melanggar perjanjian dalam Islam semudah membayar kafarah sahaja, maka adakah halal seseorang yang meminjam wang 2.6 bilion dan berjanji memulangkannya kembali, boleh melanggar janji tersebut hanya dengan kafarah sembelih kambing dan jamu orang miskin lalu menyapu percuma 2.6b?

Adakah halal seorang jurujual kereta yang buat perjanjian menjual kereta syarikat, melanggar perjanjian dengan melarikan kereta dan hanya bayar kafarah?

Wakil-wakil rakyat sebelum dicalonkan PAS, mereka terlebih dahulu berjanji akan taat setia kepada parti dan melaksanakan amanah parti. Jika mereka enggan, mereka berjanji untuk melepaskan jawatan. Apa yang lebihnya perjanjian ini adalah, mereka turut diminta bersumpah dengan nama Allah dan demi agama Allah lalu jadilah ia sebuah baiah. Berbeza dengan orang yang bersumpah "akan berjalan kaki ke Mekah", dimana itu sumpah yang boleh dibatalkan dengan kafarah sahaja kerana tidak melibatkan kerugian yang ditanggung pihak lain.

Samalah halnya beza orang yang melakukan dosa dengan Allah dan dosa sesama manusia. Menurut Imam Nawawi dosa dengan Allah seperti meninggalkan solat, zina dan hasad dengki boleh diselesaikan dengan bertaubat, tetapi dosa yang berkaitan dengan manusia seperti mencuri, mencederakan atau menipu tidak cukup dengan bertaubat, tetapi wajib meminta maaf dan menyelesaikan segala tuntutan orang tersebut. Barulah Islam akan dilihat adil.

Sikap mufti dan agamawan berat sebelah ini hanya memburukkan wajah Islam di mata masyarakat. Betapa mudahnya ajaran Islam menghalalkan tindakan mungkir janji hanya dengan kafarah. Kerugian yang ditanggung pihak lain langsung tidak terbela. Bagaumana bukan Islam mahu tertarik dengan sekiranya khianat dihalalkan dengan upacara tertentu sahaja? Agamawan sepatutnya menunjukkan keadilan Islam. Mereka mesti berpandangan secara menyeluruh. Faham dulu situasi sebenar sebelum gelojoh menjawab.

Saya amat menyanjungi sikap mufti Wilayah Persekutuan. Beliau mengeluarkan suatu tulisan menggambarkan Islam sebenar iaitu kewajipan akur kepada janji. Namun ia seolah tidak mendapat sambutan lantaran fatwanya berbeza dari nafsu serakah mereka yang gila kuasa. Maka tanggunglah wahai para agamawan yang tidak jujur dalam berpendapat sehingga menghodohkan kejernihan Islam. Wallahu ma aqulu wakil.

Kepada Dr Maza, UZAR, Dr Rozaimi dan seangkatan dengannya, bacalah pesan orang biasa ini. Kepada umat Islam dan bukan Islam, jangan salah sangka. Apa yang mereka nyatakan bukanlah gambaran Islam yang sebenar.

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Gesa Kerajaan Bantu Peladang Hadapi Situasi Kejatuhan Harga Komoditi - Nik Abduh

3:28 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

26 Zulqaedah 1436H/10 September 2015

GESA KERAJAAN BANTU PELADANG HADAPI SITUASI KEJATUHAN HARGA KOMODITI

Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ahli Parlimen Pasir Mas

1. Kelembapan ekonomi global nyata memberikan kesan secara tidak langsung kepada kejatuhan harga komoditi terutamanya melibatkan industri minyak dan gas (O&G) dan minyak sawit negara. Lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran (BoP) kepada PNK menunjukkan penurunan daripada 4.8 peratus pada 2014 kepada 2 sehingga 3 peratus sahaja bagi tahun ini.

2. Malaysia sebagai negara kedua pengeluar minyak kelapa sawit dunia sudah pasti merasai implikasi daripada kejatuhan harga komoditi dunia tersebut. Ini disebabkan permintaan yang rendah dari China yang mengalami kelembapan ekonomi, pengukuhan dolar AS dan dalam masa yang sama harga komoditi minyak mentah yang rendah, memberi kesan negatif kepada industri biodiesel.

3. Atas faktor ketidaktentuan ekonomi global tersebut di samping permintaan yang rendah, harga komoditi minyak sawit telah menyaksikan penurunan kepada RM1,836.50 per tan berbanding pada 2014, harga komoditi tersebut pada paras di antara RM1,944 dan RM2,921 per tan.

4. Kejatuhan harga minyak sawit juga sudah pasti memberi kesan kepada pendapatan peladang yang bergantung sepenuhnya kepada industri kelapa sawit sebagai sumber utama pendapatan mereka.

5. DPPM menggesa kerajaan agar menyediakan suatu insentif bagi membantu meringankan beban peladang tersebut. Dalam keadaan tekanan ekonomi domestik dan antarabangsa yang dihadapi negara ketika ini, maka, keutamaan tidak seharusnya diberikan hanya dalam memperbaiki kerancakan industri eksport dan import negara semata-mata.

6. Malah, dalam suasana harga komoditi di pasaran antarabangsa kini yang terumbang-ambing dan sukar diramal, DPPM menuntut agar kerajaan segera menyediakan plan jangka panjang bagi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi sebegini. Para peladang selalu menjadi mangsa terakhir yang diabaikan pihak kerajaan setiap kali berlaku kejatuhan harga komoditi. Ia juga mestilah melibatkan pekerja dari semua industri lain yang berkait termasuklah industri getah yang juga mengalami kesan yang sama.

7. Kerajaan perlu lebih peka terhadap keperluan rakyat dan pendapatan keluarga terutamanya para peladang yang merupakan unit asas kepada pembangunan ekonomi sesebuah masyarakat dan negara. DPPM juga memandang serius perkembangan yang berlaku terhadap kejatuhan industri yang melibatkan perdagangan industri komoditi negara dan berharap ia akan segera pulih bagi menstabilkan kedudukan ekonomi negara.

8. Situasi politik ganjil dalam negara yang menyaksikan kekayaan melampau parti pemerintah melalui derma antarabangsa RM2.6 bilion begitu melelehkan air liur rakyat miskin bahawa kekayaan negara hanyalah berputar di kalangan bangsawan politik sahaja. Sayugialah rakyat juga turut diberi peluang merasai 'derma ganjil' ini melalui insentif dan pelan bantuan daripada pihak kerajaan seperti yang dinyatakan di atas.

Sekian, terima kasih.


Sila kongsi artikel ini...

UMNO Perlu Bertanggungjawap Sepenuhnya Terhadap Kesan Buruk Himpunan Baju Merah - Sany Hamzan

2:47 PM 0 Comments A+ a-



UMNO PERLU BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA TERHADAP KESAN BURUK HIMPUNAN BAJU MERAH - SANY HAMZAN

Secara asasnya Pemuda AMANAH menghormati hak semua pihak untuk berhimpun sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, Pemuda AMANAH mengingatkan agar himpunan Baju Merah yang bakal diadakan nanti untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi kaum atau agama. Sungguh menyedihkan apabila Hari Malaysia yang sepatutnya menjadi simbol penyatuan semua rakyat diisi dengan kebencian dan kemarahan terhadap mana-mana kaum atau agama di negara ini.


Sentimen antara kaum yang semakin memuncak yang sekaligus telah menggagalkan konsep 1Malaysia seharusnya diletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas UMNO memandangkan pendirian parti tersebut, melalui Naib Presidennya yang seolah-olah merestui ahli-ahli UMNO untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Umum mengetahui bahawa isu perkauman sering menjadi senjata akhir untuk UMNO mengalih satu-satu isu besar. Jika kali ini pun UMNO mahu menggunakan modus operandi yang sama, Pemuda AMANAH memohon agar pihak PDRM mampu untuk bertindak profesional dan berani untuk menghalang perhimpunan tersebut sungguhpun agensi tersebut duduk di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Dato' Seri Zahid Hamidi yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Malaysia
9 Sept 2015


Sila kongsi artikel ini...

Gerakan Islam dan politik perubahan – Siddiq Fadzil

2:00 PM 0 Comments A+ a-

Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.

Demikianlah hakikat gerakan Iqra’ yang mengawal kebangkitan Islam, revolusi intelektual berintikan kesedaran tauhid yang menghasilkan keberanian bersikap — menolak kebatilan dan kezaliman, dan berhujung dengan kepatuhan mutlak kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa (kalla la tuti‘hu wa ‘sjud wa ‘qtarib).

Dalam kaitan inilah perlunya kita melihat semula tarbiyah harakiyah sebagai proses merubah diri (al-taghyir al-nafsiy) yang tidak terhenti sebatas otak, tetapi harus meliputi watak dan akhlak.

Gerakan Islam akan kehilangan wibawa, kredibiliti dan keberkatan apabila para kader aktivisnya gagal menepati ciri-ciri ilmuan berakhlak mulia.

Justeru, gerakan Islam tidak boleh gagal mendidik para kadernya dengan mujahadah melawan sifat egois, angkuh, tamak, dan tidak berdisiplin.

Al-taghyir al-nafsiy, perubahan pedalaman diri (jiwa dan minda, otak dan watak) adalah pra-syarat kebangkitan dan perubahan yang tidak dapat dikompromi.

Untuk menjawab cabaran zaman yang sentiasa berkembang dan berubah, gerakan Islam memerlukan tahap kompetensi keilmuan yang tinggi, di samping daya fikir yang memungkinkannya melakukan ijtihad kolektif (al-ijtihad aljama‘iy) menangani pelbagai isu kontemporari.

Keterikatan dengan sumber-sumber rujukan klasik, tanpa keupayaan memahami perubahan realiti zaman dan lingkungan, akan menjadikan gerakan Islam tidak relevan.

Untuk melaksanakan misi perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, gerakan Islam perlu menguasai fiqh al-taghyir (fiqh perubahan) agar matlamat dapat dicapai tanpa harus menciptakan masalah-masalah yang tidak teratasi.

Memang kita harus mengakar pada turath khazanah keilmuan silam, tetapi ia harus dipadukan dengan ilmu kontemporari, di samping pemikiran dan perancangan strategik.

Dengan demikian gerakan Islam akan dapat melaksanakan misi Islamisasinya dengan bijaksana, berhikmah dan penuh kearifan, serta berdasarkan urutan keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) yang tepat.

Politik perubahan dalam pengertian siyasat al-taghyir harus didasarkan pada fiqh al-waqi‘ atau kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti yang ditangani.

Misi merubah realiti masa kini tidak akan terlaksana dengan hanya membolak-balik kitab-kitab fiqh tradisional al-Mawardiy, Abu Ya‘la atau Ibn Taymiyyah.

Memang karya-karya klasik mengandungi prinsip dan nilai yang universal dan merentas zaman, tetapi penerapannya tidak terlepas dari konteks realiti era pengkaryaannya. Justeru, yang ditangani adalah realiti atau waqi‘ zaman dan lingkungan para fuqaha’ silam, yang jelas berbeza daripada realiti masa kini.

Untuk memahami realiti masa kini kita memerlukan ilmu kontemporasi seperti falsafah, sejarah, kebudayaan, sosiologi, sains politik, ekonomi dan lain-lain yang terliput dalam pelbagai disiplin sains sosial dan humaniora.

Tradisi keilmuan yang tidak berorientasi waqi‘ masa kini tidak mungkin dapat memberikan jawapan dan penyelesaian dengan tepat dan tuntas. Bagaimana mungkin menyikapi pemerintah dan politik masa kini berdasarkan fiqh zaman sebelum mengenal demokrasi.

Kebebasan bersuara, hak membangkang, berhimpun dan berdemonstrasi adalah bahagian daripada proses demokrasi yang pada asasnya tidak bertentangan dengan Islam.

Kebelakangan ini kita sering terganggu dengan suara-suara yang mengharamkan hak-hak demokratik tersebut, fatwa-fatwa yang didasarkan pada pendapat ulama silam yang dipetik secara selektif untuk disesuaikan dengan kecenderungan politik dan afiliasi kepartian “ulama/mufti” yang berkenaan.

Fatwa adalah ilmu dan sekali gus amanah, bukan nafsu mengampu majikan. Warisan fiqh politik Islami harus difahami secara utuh dan menyeluruh, tidak hanya dimensi sam‘an wa ta‘atan (dengar dan patuhnya) sahaja, tetapi juga dimensi oppositional revolusionernya (al-janib al-thawriy al-inqilabiy li al-fiqh al-Islamiy).

Bagi gerakan Islam, membangkang tidak bererti menanggang, dan mendebat tidak bererti menjebat; kita bukan keturunan Si Tanggang, dan bukan juga waris Hang Jebat.

Segala yang kita lakukan (membangkang dan mendebat) adalah pelaksanaan tanggungjawab dakwah: amar makruf nahi mungkar yang merupakan salah satu teras ajaran Islam.

Sebagaimana yang ditegaskan al-Imam al-Ghazaliy bahawa al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar adalah al-qutb al-a‘zam fi al-din atau paksi utama agama, yang kerananya diutus para rasul dari zaman ke zaman.

Menyatakan pendapat — menyokong atau membangkang — adalah bahagian daripada amalan musyawarah (shura) yang wajib dilaksanakan pemerintah dan rakyat.

Memang dalam istilah shura terkandung makna saran dan teguran, sokongan dan bangkangan.

Berasaskan hakikat itulah Dr Muhammad Muhammad al-Qadiy dalam bukunya al-Siyasat al-Shar‘iyyah Masdaran li al-Taqnin bayna alNazariyyat wa al-Tatbiq mengatakan bahawa musyawarah dan pembangkangan adalah dua sisi mata wang yang sama (inna al-shura wa al-mu‘aradata wajhani li ‘umlatin wahidah…). (Al-Qadiy,M.M., 1989:653).

Demikianlah hak-hak demokratik seharusnya dipersepsikan dari perspektif fiqh kontemporari. – 10 September, 2015.

Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
Demikianlah hakikat gerakan Iqra’ yang mengawal kebangkitan Islam, revolusi intelektual berintikan kesedaran tauhid yang menghasilkan keberanian bersikap — menolak kebatilan dan kezaliman, dan berhujung dengan kepatuhan mutlak kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa (kalla la tuti‘hu wa ‘sjud wa ‘qtarib).
Dalam kaitan inilah perlunya kita melihat semula tarbiyah harakiyah sebagai proses merubah diri (al-taghyir al-nafsiy) yang tidak terhenti sebatas otak, tetapi harus meliputi watak dan akhlak.

Gerakan Islam akan kehilangan wibawa, kredibiliti dan keberkatan apabila para kader aktivisnya gagal menepati ciri-ciri ilmuan berakhlak mulia. Justeru, gerakan Islam tidak boleh gagal mendidik para kadernya dengan mujahadah melawan sifat egois, angkuh, tamak, dan tidak berdisiplin.
Al-taghyir al-nafsiy, perubahan pedalaman diri (jiwa dan minda, otak dan watak) adalah pra-syarat kebangkitan dan perubahan yang tidak dapat dikompromi.
Untuk menjawab cabaran zaman yang sentiasa berkembang dan berubah, gerakan Islam memerlukan tahap kompetensi keilmuan yang tinggi, di samping daya fikir yang memungkinkannya melakukan ijtihad kolektif (al-ijtihad aljama‘iy) menangani pelbagai isu kontemporari.
Keterikatan dengan sumber-sumber rujukan klasik, tanpa keupayaan memahami perubahan realiti zaman dan lingkungan, akan menjadikan gerakan Islam tidak relevan.
Untuk melaksanakan misi perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, gerakan Islam perlu menguasai fiqh al-taghyir (fiqh perubahan) agar matlamat dapat dicapai tanpa harus menciptakan masalah-masalah yang tidak teratasi.
Memang kita harus mengakar pada turath khazanah keilmuan silam, tetapi ia harus dipadukan dengan ilmu kontemporari, di samping pemikiran dan perancangan strategik.
Dengan demikian gerakan Islam akan dapat melaksanakan misi Islamisasinya dengan bijaksana, berhikmah dan penuh kearifan, serta berdasarkan urutan keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) yang tepat.
Politik perubahan dalam pengertian siyasat al-taghyir harus didasarkan pada fiqh al-waqi‘ atau kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti yang ditangani.
Misi merubah realiti masa kini tidak akan terlaksana dengan hanya membolak-balik kitab-kitab fiqh tradisional al-Mawardiy, Abu Ya‘la atau Ibn Taymiyyah.
Memang karya-karya klasik mengandungi prinsip dan nilai yang universal dan merentas zaman, tetapi penerapannya tidak terlepas dari konteks realiti era pengkaryaannya. Justeru, yang ditangani adalah realiti atau waqi‘ zaman dan lingkungan para fuqaha’ silam, yang jelas berbeza daripada realiti masa kini.
Untuk memahami realiti masa kini kita memerlukan ilmu kontemporasi seperti falsafah, sejarah, kebudayaan, sosiologi, sains politik, ekonomi dan lain-lain yang terliput dalam pelbagai disiplin sains sosial dan humaniora.
Tradisi keilmuan yang tidak berorientasi waqi‘ masa kini tidak mungkin dapat memberikan jawapan dan penyelesaian dengan tepat dan tuntas. Bagaimana mungkin menyikapi pemerintah dan politik masa kini berdasarkan fiqh zaman sebelum mengenal demokrasi.
Kebebasan bersuara, hak membangkang, berhimpun dan berdemonstrasi adalah bahagian daripada proses demokrasi yang pada asasnya tidak bertentangan dengan Islam.
Kebelakangan ini kita sering terganggu dengan suara-suara yang mengharamkan hak-hak demokratik tersebut, fatwa-fatwa yang didasarkan pada pendapat ulama silam yang dipetik secara selektif untuk disesuaikan dengan kecenderungan politik dan afiliasi kepartian “ulama/mufti” yang berkenaan.
Fatwa adalah ilmu dan sekali gus amanah, bukan nafsu mengampu majikan. Warisan fiqh politik Islami harus difahami secara utuh dan menyeluruh, tidak hanya dimensi sam‘an wa ta‘atan (dengar dan patuhnya) sahaja, tetapi juga dimensi oppositional revolusionernya (al-janib al-thawriy al-inqilabiy li al-fiqh al-Islamiy).
Bagi gerakan Islam, membangkang tidak bererti menanggang, dan mendebat tidak bererti menjebat; kita bukan keturunan Si Tanggang, dan bukan juga waris Hang Jebat.
Segala yang kita lakukan (membangkang dan mendebat) adalah pelaksanaan tanggungjawab dakwah: amar makruf nahi mungkar yang merupakan salah satu teras ajaran Islam.
Sebagaimana yang ditegaskan al-Imam al-Ghazaliy bahawa al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar adalah al-qutb al-a‘zam fi al-din atau paksi utama agama, yang kerananya diutus para rasul dari zaman ke zaman.
Menyatakan pendapat — menyokong atau membangkang — adalah bahagian daripada amalan musyawarah (shura) yang wajib dilaksanakan pemerintah dan rakyat.
Memang dalam istilah shura terkandung makna saran dan teguran, sokongan dan bangkangan.
Berasaskan hakikat itulah Dr Muhammad Muhammad al-Qadiy dalam bukunya al-Siyasat al-Shar‘iyyah Masdaran li al-Taqnin bayna alNazariyyat wa al-Tatbiq mengatakan bahawa musyawarah dan pembangkangan adalah dua sisi mata wang yang sama (inna al-shura wa al-mu‘aradata wajhani li ‘umlatin wahidah…). (Al-Qadiy,M.M., 1989:653).
Demikianlah hak-hak demokratik seharusnya dipersepsikan dari perspektif fiqh kontemporari. – 10 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/gerakan-islam-dan-politik-perubahan-siddiq-fadzil#sthash.9ioNayeU.WZxbrnTp.dpuf
Gerakan Islam dan politik perubahan – Siddiq Fadzil - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/gerakan-islam-dan-politik-perubahan-siddiq-fadzil#sthash.9ioNayeU.WZxbrnTp.dpuf


Sila kongsi artikel ini...

Khalifah Yang Lari Menyorok Dan Marah-Marah

1:41 PM 0 Comments A+ a-



KHALIFAH YANG LARI MENYOROK DAN MARAH-MARAH

Sangat malu apabila melihat cara umat Islam dan pimpinannya mengendalikan masalah ummah pada hari ini.

Ketika masyarakat Cina dan India serta masyarakat berbilang kaum cuba menagih apa yang mereka rasakan hak mereka, pemimpin sebahagian gerakan Islam dan sebahagian ulamanya lari daripada menghadapi masalah ini.


Ini bertentangan dengan jiwa seorang khalifah. Seorang khalifah sewajarnya bangkit di meja perundingan dan mencari jalan keluar serta mencipta jalan penyelesaian.

Lebih menyedihkan, musnah kehaibatan seorang khalifah apabila mengisytiharkan anak-anak buah mereka sendiri sebagai musuh.

Kita sepatutnya memimpin dan memandu masyarakat bukan Islam bagaimana menjalani kehidupan bersama sebagai rakyat Malaysia.

Kita tidak boleh jemu memujuk masyarakat Islam dan bukan Islam untuk berkongsi kehidupan, kerana seorang khalifah merasakan mereka wakil kepada Tuhan di bumi ini.

Tugas wakil Tuhan adalah untuk mengatur bumi sebagaimana yang Tuhan kehendaki.

Khalifah seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s. mengurus manusia dengan penuh bijaksana tetapi tetap tegas.

Nabi Sulaiman a.s. mengurus dua ibu yang berebut-rebut mengaku si bayi sebagai anak mereka.

Nabi Sulaiman a.s. yakin salah seorang wanita itu pasti bukan ibu si bayi dengan meletakkan kebarangkalian salah seorang daripada ibu bayi itu salah faham atau menipu atau ada pelbagai kemungkinan lain.

Dengan ‘bijaksana’, ‘sabar’ dan menggunakan ‘ilmu’, Nabi Sulaiman a.s. menawarkan untuk mengerat dua bayi tersebut untuk dikongsikan.

Naluri sayangkan bayi sendiri membuat ibu sebenar berundur demi menyelamatkan bayinya. Kasih dan sayang semulajadi seorang wanita terserlah.

Adapun seorang lagi yang hidup dalam keadaan menipu; bersetuju untuk dibelah dua, terserlah kehilangannya terhadap erti sebuah sayang.

Pemimpin gerakan Islam dan ulamanya perlu menunjukkan bahawa kita berjiwa khalifah. Kita penyelesai masalah dan pengatur hidup manusia, walau dalam kalangan manusia ada yang merancang untuk menipu kita sendiri.

Kita adalah pemimpin kepada manusia yang baik dan yang tidak baik atau yang belum baik.

Ayuh! Masih ada masa dan peluang untuk pemimpin gerakan Islam dan ulamanya serta pengikut-pengikut mereka, untuk keluar dari alam persembunyian dan kita bersama-sama memimpin dunia dan karenahnya.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Naib Pengerusi
PARTI AMANAH NEGARA

09.09.2015


Sila kongsi artikel ini...

Hubaya-Hubaya Meremeh Bai’ah - Subky Latif

1:05 PM 0 Comments A+ a-

Hubaya-Hubaya Meremeh Bai’ah

Oleh : Subky Latif

AMAT memilukan betapa antara orang yang ditarbiyah bertahun-tahun meremehkan bai’ah yang setiap calon PAS amal selama ini. Ia sudah diadakan sebelum era kepimpinan ulama dan diteruskan setelah konsep kepimpinan ulama diwujudkan. Tiada siapa dalam PAS mempertikainya dan tidak ada calon yang menolaknya.

Tidak ramai yang masih hidup tahu bagaimana ia bermula. Tetapi PAS ada pengalaman apabila kerajaannya yang pertama di Terengganu ditumbangkan awal 1960-an apabila beberapa Adunnya menyokong undi tidak percaya kepada Menteri Besar Mohd Daud Abdul Samad yang diusulkan oleh Adun Perikatan, Ibrahim Fikri. Jemaah Islam itu mengira ia satu pengkhianatan. Ahli dan penyokong bertungkus lumus, berhabis menegakkan kerajaan yang pertama itu, ia tumbang oleh wakil rakyat yang tidak setia.

Mengutuk orang meninggalkan parti tidak berguna. Yang penting ialah membendung perbuatan yang tidak bermaruah itu. Cara terbaik ialah memperkenalkan bai’ah kepada calonnya. Antara kandungan bai’ah ialah mereka akan dilaknat Allah jika khianat. Kebelakangan ini ada yang menambah tertalak tiga isterinya. Ia tidak sekadar calon biasa, bahkan pemimpin dan tok guru melafazkan bia’ah itu.

Yang dikira khianat itu bukan calon yang menang saja, malah ada calon lari semasa kempen menyebabkan masuk pilihan raya dengan calonnya hilang. Mungkin yang meninggalkan PAS itu kerana marahkan ketua parti, tetapi ketika kerajaan PAS Terengganu tumbang itu ketua parti ialah Dr Burhanuddin alHelmy dan Prof Zulkifli Muhammad yang tidak pernah dicela oleh ahli PAS dulu dan sekarang.

Tiada calon yang membantah. Setengah calon masa dulu dipaksa jadi calon, tetapi tiada paksa berbai’ah. Mereka diberi pilihan berbai’ah untuk menjadi calon. Jika mereka kira ia dipaksa, mereka boleh tarik diri dari bertanding. PAS boleh gantikan dengan calon lain. Tidak ada yang menolak bai’ah.
Ada mufti dari Perlis dan Pulau Pinang mengira bai’ah hingga tertalak tiga isteri tidak laku di sisi agama. Maka pandangan mufti dijadikan sandaran bagi wakil rakyat dan setengah pemimpin untuk berpisah dengan PAS. MP dan Adun tidak merasa perlu meletak jawatan setelah meninggalkan parti. Ia dirasakaan tidak khianat, tidak tertakluk dengan laknat yang pernah dilafazkan dan tidak tercerai isterinya.

Bagus dan bertuahlah kiranya ia tiada apa atau tidak laku. Tetapi kalau laku seperti yang hakim syariah Kelantan kata, macam mana. Saya teringat tentang perli seorang mahasiswa terhadap rakannya yang tak tinggal solat dan puasa. Bagaimana dengan solat tunggang-tonggeng setiap hari, bila mati, tiada neraka dan tiada syurga. Jawab kawan itu, jika tiada syurga dan neraka, dia tidak apa-apa. Bagaimana kalau ada? Ia tidak rugi, sebaliknya yang tidak solat dan tidak puasa akan rugi. Terdiam orang yang meremehkan syurga dan neraka itu.

Jika bai’ah itu laku orang yang dikira khianat itu akan berdepan dengan laknat dan isterinya tercerai. Jika dia tidak percaya bai’ah itu laku, dia akan bersekedudukan dengan jandanya secara tidak sah, justeru perkahwinannya sudah terbubar.

Cerai itu pula talak tiga. Untuk berbalik semula, janda itu kena kahwin lain dulu. Kalau suami isteri itu tidak mahu bercerai, maka Waibi akan kehilangan isterinya terus. Ada sistem yang menggunakan Cina buta. Yang jantan mengambil upah. Lepas nikah dicerainya. Tetapi pandangan masyhur ulama, Cina buta itu tidak laku. Macam nikah mutaah yang diamalkan oleh Syiah dulu.
Ada yang mengira pelanggaran bai’ah itu dapat ditebus dengan memberi makan sejumlah orang miskin. Adakah terhapus pantang itu dengan memberi makan saja sedang kerusi yang dibawa lari tidak dipulangkan? Atau tidak gugur talak? Jika menjamu makan dibolehkan, maka ini ertinya dia mengakui pelanggaran telah dilakukan. Jika pelanggaran itu diakui, tidak memadai sekadar menjamu makan, tetapi dia mesti menyatakan penyesalan dan minta maaf kepada sekalian yang terlibat, pulangkan balik kerusi dan mengaku tidak akan mengulanginya lagi. Atau kembali semula ke pangkuan PAS, taubat dan kemudian berjamu. Tetapi sekadar mengaku taubat, tidak minta maaf, tidak menyesal, sama seperti orang mengaku taubat, lepas itu dia terus langgar taubatnya.

Mungkin juga pendapat dua mufti itu laku. Tetapi mufti yang lain diam. Majlis mufti tidak pula membincangkannya. Mufti itu juga ulama. Maka mereka boleh berbeza panangan dengan ulama yang lain. Kemudian orang boleh menimbang pandangan ulama mana lebih kuat. Kita kena tanya mufti yang dua tu dulu. Cara mana pandangan itu mereka buat. Adakah sekadar ilmu yang ada dan kitab fekah yang dibaca dan ada kajian yang luas?
Terutama mufti Perlis yang diketahui seorang warga universiti. Orang universiti biasanya dia ada kajian termasuklah menemui pihak yang ada hubungan berkaitan. Ilmu dan pengetahuan saja tidak cukup. Dia mesti jumpa Majlis Syura Ulama PAS, tanya mengapa mereka buat begitu dan begini? Apa yang medorongkan Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli dulu buat begitu? Dan bagaimana ulama zaman Dato’ Asri Muda putuskan bai’ah itu?

Macam mana Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Dr Haron Din dan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang luluskan bai’ah sedemikian. Mufti adalah atas dari kadi dan hakim syariah. Hakim tidak jatuhkan hukum sebelum mendengar kesaksian yang dituduh, peguam bela dan pendakwa. Dalam sejarah ulama rasmi atau ulama yang mendekati umarak tidaklah sama bisanya dengan ulama bebas dan yang tidak makan gaji. Ulama bebas itu menjauhkan diri dari umarak kerana celakalah ulama yang mendekati umarak. Bahagialah umarak yang mendekati ulama tetapi kurang bahagiannya bila umarak itu mendekati ulama yang mendekatinya siang dan malam.
Mufti yang makan gaji luas pengalamannya dengan semua hukum hakam dan pentadbiran yang berkaitan bidang kuasanya. Tetapi mereka tidak ada pengalaman menjaga orang politik. Ulama PAS kaya dengan pengalaman politik dan kerenah orang politik bersamanya. Antaranya ialah menghadapi rakannya yang lari dari jemaah.

Abu Hurairah, Imam Bukhari, Imam Muslim kaya dengan ilmu hadis tetapi tidak sama dengan Sayidina Umar al-Khatab, Ali Abu Talib dan Umar Abdul Aziz yang tidak sekadar mahir dengan ilmunya tetapi mentadbir dengan ilmunya. Para khalifah dan gabenornya tidak sekadar memanfaatkan ilmunya tetapi berijtihad dalam perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.
Itulah lebih ulama yang berpolitik. Apapun pandangan mufti tentang bai’ah itu menjadi rujukan kepada setengah orang PAS yang hendak lari dari bai’ahnya. Jika 50,000 orang tidak menghargai bai’ahnya, besar jasa mereka pada perkembangan politik umat. Mungkin bai’ah itu tidak wajib, tapi samalah ia tidak wajib taklik bagi setiap pengantin laki-laki. Mengapa taklik yang mungkin dikira bidaah oleh setengah orang disyaratkan oleh pentadbiran syarak? Tentu ada muslihatnya.

Hubaya-hubaya meremehkan bai’ah, takut tertipu diri sendiri. Elakkan berloyar buruk. Bukan orang lain yang binasa. Takut kita sendiri binasa.


Sila kongsi artikel ini...

Jerat Hutang 1MDB Adalah Perhambaan kepada Rakyat - Wan Ahmad Fayhsal

10:34 AM 0 Comments A+ a-



JERAT HUTANG 1MDB ADALAH PERHAMBAAN KEPADA RAKYAT

oleh: 
Wan Ahmad Fayhsal
Aku tidak menentang Najib Razak kerana Najib Razak atau 1MDB. Aku menentang HUTANG yang dijerat-jerut oleh Jho Low dan Goldman Sachs ke atas rakyat Malaysia melalui 1MDB dan Najib Razak yang menggunakan JAMINAN KERAJAAN untuk meraih hutang 42,000 kali ganda daripada modal asal.

Kamu faham tak kenapa pemiutang yang jahat suka sangat dengan mana-mana syarikat setahun jagung tapi dapat jaminan kerajaan untuk berhutang? Why they like government backed and guaranteed companies?


Sebabnya kalau gagal bayar, kerajaan yang tanggung dan kerajaan TIDAK AKAN SESEKALI "DEFAULT" sebab kerajaan akan sentiasa mampu cukai rakyatnya dan paling teruk kerajaan akan jual aset negara (asset stripping atau structural adjustment program) untuk bayar hutang seperti Greece dan Indonesia lalui.

Inilah jalan perhambaan moden (road to serfdom) dan perangkap neo-kolonialisme.

Bukankah Nabi SAW dah berdoa bahawa hutang itu akan datang dengan kerahan manusia?? Kamu mengaji tak?

Najib Razak selaku PM dan Menteri Kewangan amat culas mengeluarkan JAMINAN KERAJAAN dalam pelbagai bentuk (implicit guarantee lah, comfort letter lah, sovereign backed lah) dan melanggar banyak akta negara seperti Loan Guarantee Act dan External Loan Act kerana tidak bentangkan di parlimen.

Yang kamu bodoh pertahankan 1MDB tu kenapa? Kamu tu pun mangsa hutang.

Kecuali kamu memang dapat manfaat atas kesengsaraan rakyat Malaysia. Kamu dah kenyang makan dapat habuan lepas tu kamu biarkan kami generasi muda tanggung pelahap dan ketamakan kamu. Adilkah???

Kamu memang tak rasa sebab kamu dah bagi anak bini kamu makan duit syubhah. Tapi rakyat biasa yang berpegang kepada adab dan akhlaq, haram makan rasuah takkan lakukan macam kamu lakukan.

Siapa yang bangsat? Siapa?

Maruah Melayu konon.



Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.