Saman Najib dan SPR, SAMM Ucap Tahniah PKR

11:40 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
13 Ogos 2015

Saman Najib dan SPR, SAMM Ucap Tahniah PKR

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ucap tahniah buat PKR di atas tindakan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dakwaan membelanjakan RM2.6 bilion duit derma dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, melanggar Akta Pilihan Raya 1954.

Selari dengan pendirian SAMM sejak dari awal pendedahan Wall Street Jurnal, gesaan YB Nurul Izzah agar mahkamah membatalkan keputusan bagi semua 222 kerusi Parlimen dalam PRU13 lalu dan mengadakan pilihan raya semula dilihat sebagai satu kenyataan berani yang menunjukkan kesediaan PKR mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.

Bagi SAMM, seharusnya sebuah badan NGO yang mempunyai gagasan terbesar seperti BERSIH harus mengambil peranan membawa perkara ini ke peringkat mahkamah. Ia jauh lebih baik kerana BERSIH wajar dilihat bersih dari kepartian, maka sudah pasti desakkan itu akan lebih bersifat neutral dan jauh lebih besar nilainya.

Inilah jalan yang SAMM cuba gambarkan dalam kempen #SudahlahMahathir, kempen ini mensasarkan perubahan sistem bukan sekadar perubahan individu. SAMM menegaskan hanya menjatuhkan Najib dan menaikkan seorang lagi PM ikut tunjuk Mahathir tidak membawa erti apa-apa selain menyambung kesengsaraan rakyat.

SAMM dalam masa yang sama dengan tegas mencadangkan Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) ditubuhkan bagi mengganti kerajaan sedia ada. ‘Caretaker Government’ ini merupakan satu kerajaan sementara yang terdiri daripada anggota Dewan Rakyat merangkumi wakil-wakil daripada kesemua Parti Politik yang ada di dalam Dewan tersebut.

Kerajaan Peralihan ini akan beroperasi mengikut tempoh masa yang sesuai bagi tujuan menyelesaikan beberapa perkara yang mendesak. Tempoh masa yang dicadangkan adalah 18 bulan. Selepas itu, Kerajaan Peralihan ini wajib membubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah Kerajaan yang baharu.

Dalam tempoh masa Kerajaan Peralihan ini, SAMM menggariskan beberapa perkara yang dilihat agak kritikal untuk dirombak semula supaya Malaysia dapat diletakkan ke landasan yang sebenar. Sila ke pautan http://anakmudamalaysia.com/2015/08/rethinking-merdeka-negara-perubahan/ (Rethinking Merdeka – Kerajaan Perubahan) untuk maklumat selanjutnya.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sila kongsi artikel ini...

Pencabulan Kebebasan Asasi Terhadap Intelektual Mahasiswa - Faiz Fadzil

11:38 PM 0 Comments A+ a-



PENCABULAN KEBEBASAN ASASI TERHADAP INTELEKTUAL MAHASISWA

Hukuman yang menyedihkan dan memeranjatkan apabila dua orang pimpinan tertinggi mahasiswa UIAM iaitu Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli dikenakan hukuman gantung pengajian selama 2 semester atas sebab penganjuran Forum GST.

GST adalah satu sistem percukaian yang baru diperkenalkan oleh pihak Kerajaan. Sudah pasti segala aspek ekonomi, undang-undang dan kesan sosial mempunyai kaitan rapat dengan pelaksanaan GST. Maka, forum adalah medan terbaik bagi membicarakan aspek-aspek ini. Forum yang merupakan medan ilmiah terbaik telah bertukar menjadi medan kesalahan.


Agak memalukan apabila UIAM gagal mempraktikkan sifat islamnya dan antarabangsanya. Sesungguhya Islam mengarahkan sesuatu perkara dihukum dengan adil. Adilkah menghukum mahasiswa sebegitu rupa hanya kerana menganjurkan forum? Bukankah kebebasan asasi untuk berhimpun dan bersuara dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang diiktiraf dalam Geneva Convention yang diterima sejagat?

GAM Harapan Baru melahirkan rasa kecewa dengan hukuman draconian ini kerana ia memperlekehkan mahasiswa yang merupakan golongan intelektual yang merupakan harapan negara bagi membawa negara tercinta ini ke tahap yang lebih maju dan berintegriti. Sebagai mahasiswa, mereka juga tidak terkecuali daripada pelaksanaan GST. Hukuman penggantungan pengajian 2 semester akan menyebabkan tempoh pengajian mereka berpanjangan dalam keadaan mereka pula perlu membayar balik pinjaman PTPTN.

GAM Harapan Baru dengan ini mendesak Majlis Senat UIAM mengkaji semula hukuman tersebut dan seterusnya membatalkan hukuman tersebut. Hukuman tersebut secara prima facie terbatal kerana tidak rasional yang bertentangan dengan prinsip rukun keadilan asasi dan Wednesbury Principle.

Gerakan Harapan Baru menawarkan khidmat guaman melalui NGO PROGUAM yang telah ditubuhkan bagi mengendalikan isu dan kes pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia yang menyokong Gerakan Harapan Baru.

Harapan Baru mendoakan semoga kedua-dua pejuang dan mahasiswa harapan negara ini terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga pengajian kalian tidak terganggu dan berjaya hendaknya.

Faiz Fadzil
Pengarah Komunikasi
Gerakan Anak Muda (GAM)
Harapan Baru
13 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

iCGPA Tiada Pembaharuan - Khalil Hadi , Pemuda PAS

8:44 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA


28 Syawal 1436 | 13 Ogos 2015

iCGPA TIADA PEMBAHARUAN

_____________________

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan projek perintis penilaian baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di lima buah universiti awam yang terpilih sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, kelmarin.

Walau bagaimanapun, DPPM melihat sistem penilaian yang meliputi sembilan aspek dengan menggunakan kaedah Spider Web tersebut bukan sesuatu yang baharu bahkan ia sebenarnya telah menjadi hasrat kualiti graduan yang diharapkan sebelum ini.

Kebiasaannya, sebelum sesuatu modul kurikulum tersebut dibentuk, maka pelbagai aspek akan dititikberatkan untuk diserapkan kepada para pelajar seperti yang terdapat dalam Bloom Taxonomy yang merangkumi kognitif, afektif dan psikomotor. Persoalannya, adakah ia benar-benar memenuhi matlamat tersebut?

Kementerian Pendidikan Tinggi seharusnya melihat kepada faktor-faktor yang menghalang potensi seseorang mahasiswa dikembangkan. Tidak semua mahasiswa mempunyai kecenderungan yang sama dan universiti bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan industri semata-mata.

DPPM menyarankan agar pihak kementerian harus peka terhadap pemasalahan semasa dan melihat secara komprehensif bagaimana mempersiapkan generasi Malaysia terutamanya bagi memiliki jatidiri yang lebih ampuh untuk mendepani cabaran yang lebih besar di hadapan kelak.

Sekian, terima kasih.



Sila kongsi artikel ini...

Felda Bukan Milik Peribadi Umno & Najib - Roslan Md Esa , Pemuda PAS

8:22 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
27 Syawal 1436 | 12 Ogos 2015

"Felda Bukan Milik Peribadi Umno & Najib"

Presiden Umno, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak nyata begitu terdesak hingga mengadakan pengumuman mahu menjadikan Felda sebagai benteng terkuat Umno-BN.

Ternyata kenyataan itu menimbulkan episod baru kecurigaan ke atas beliau yang kini dihimpit skandal RM2.6 bilion di mana antara pandangan banyak pihak adalah bakal menjadi rasuah politik untuk mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum kelak.

Kecurigaan ini wajar dalam kedudukan kawasan Felda di seluruh negara adalah berjumlah 54 Parlimen. Jika benar, maka ia ternyata usaha menyelamatkan diri dengan mengaut segala kebobrokan tanpa mempedulikan maruah dan harga diri serta integriti semata-mata mengekang diri dari terkubur.

Felda dijadikan talian hayat terakhir untuk Najib menyusun rentak dan dijangka sanggup 'meleburkan' segalanya demi mendapat balasan setimpal iaitulah undi dari warga Felda.

Memandang serius perkara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Najib bahawa BN sudah lama memperalatkan warga Felda hingga akhirnya banyak kepentingan warganya tergadai. Antaranya idea dan jaminannya meletakkan FGV ke Bursa Saham Malaysia menyaksikan kini peneroka menanggung kesan kerugian ketara.

Sedangkan ketika sama pihak pengurusan tertinggi Felda dan seluruh pegawainya kekal menikmati laba dari janaan penat lelah peneroka sejak puluhan tahun. FGV menjadi petanda jelas kepada keperitan hidup rakyat yang dicetuskan dari keborosan dan tidak amanah pemimpin BN.

Kebangkitan rakyat dalam PRK Rompin awal tahun ini memperlihatkan suatu signal jelas khususnya warga Felda bahawa mereka tidak mahu lagi tertipu dengan dakyah Umno BN. Sedangkan mereka sentiasa berdepan kesusahan akibat dasar menindas Umno BN dan kapitalis FGV yang sedia menghirup darah serta perit jerih warga Felda.

Peruntukan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bernilai RM1.4 billion mula dikhianati. Harapan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri terbantut apabila projek ini diumumkan Tan Sri Isa Samad telah ditangguh.

Peringkat pertama program PGBF menjanjikan 20,000 unit rumah akan dibina di tanah rancangan terpilih seluruh negara, namun hanya sekitar 8500 unit sahaja berjaya dibina dengan peruntukan yang besar ini .

Paling menyedihkan, sebahagian dari 8,500 unit yang dibina ini pula tidak semua siap sepenuhnya dan diduduki. Difahamkan banyak masalah timbul dan paling utama faktor harga yang mahal, mekanisma kelayakan pemohon dan kegagalan kontraktor.

Demikian itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Najib menghentikan pembohongan beliau dengan umpan beracun yang disumbat ke mulut warga Felda.

Anak anak Generasi Kedua Felda kini sudah tidak lagi percaya dengan dogma palsu Najib untuk terus memperjudikan nasib mereka.

Anak Felda tidak mahu tanah warisan kami yang diilhamkan pemberiannya ini oleh ayahanda kepada Najib iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak akhirnya tergadai kerana kerakusan Najib serta kerajaannya.

Kami nasihatkan Najib agar menyelesaikan terlebih dahulu skandal derma RM2.6 billion selain pelbagai skandal lain khasnya keparahan ekonomi negara dengan nilai RM kini kian merudum (1USD-RM4) serta pelbagai masalah yang dihadapi negara.

USTAZ ROSLAN MD ESA
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...

Kerajaan Diminta Perjelas Isu Pembelian Tanah TRX Oleh Affin Bank - Pemuda PAS Wilayah

7:30 PM 0 Comments A+ a-



KERAJAAN DIMINTA PERJELAS ISU PEMBELIAN TANAH TRX OLEH AFFIN BANK

Oleh : Nurul Islam Mohamed Yusoff
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.


1. Saya menggesa kerajaan memperjelaskan isu pembelian plot-plot tanah 1MDB di TRX oleh Affin Bank Bank, sebuah agensi kerajaan yang melibatkan dana dan kepentingan rakyat awam.

2. Tindakan 'bailout' menggunakan dana awam telah mendapat kecaman ramai pihak ketika Lembaga Tabung Haji (LTH) membeli tanah tersebut pada Mei yang lalu dengan jumlah RM188.5 juta. Mengapa Kerajaan mengulangi tindakan yang sama hari ini dengan menggunakan sewenang-wenangnya dana rakyat untuk kepentingan pihak tertentu?

3. Affin Bank Bhd adalah milikan penuh Syarikat Affin Holdings Bhd dan sebahagian besar sahamnya dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Bousted Holdings Bhd (BHB), dua agensi kerajaan yang melibatkan dana awam. Malah ia juga melibatkan wang persaraan anggota tentera.

4. Lebih mencurigakan adalah posisi yang disandang orang nombor satu 1MDB, Tan Sri Dato' Seri Haji Lodin Bin Wok Kamaruddin yang juga merupakan salah seorang daripada lembaga pengarah bagi LTAT dan BHB.

5. Tindakan pembelian itu tidak lain hanyalah jalan pintas kerajaan yang dilihat begitu terdesak melakukan pelan bailout terhadap bebanan hutang yang ditanggung 1MDB. Malah, keyakinan yang dilontarkan PM bagi menyelesaikan hutang 1MDB hanya dengan enam bulan menambahkan kebimbangan mengenai banyak lagi dana-dana awam yang akan menjadi 'korban' pihak kerajaan.

6. Apatah lagi transaksi melibatkan aset 1MDB sepatutnya dibekukan kerana siasatan terhadapnya masih berjalan dan belum selesai. Ini semua membuktikan kerajaan semakin tertekan dengan segala desakan yang dilakukan rakyat. Malah ia juga menimbulkan tanda tanya dan persepsi negatif kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Dato Sri Najib Tun Razak.


Sila kongsi artikel ini...

Segera Siasat Bank Negara Berkaitan Kemasukan Wang Sebanyak RM 2.6 Bilion Ke Dalam Akaun PM Malaysia - Ketua Anak Muda HB Kelantan

6:30 PM 0 Comments A+ a-



CADANGAN KEPADA SPRM : SEGERA SIASAT BANK NEGARA BERKAITAN KEMASUKAN WANG SEBANYAK RM 2.6 BILION KE DALAM AKAUN PERDANA MENTERI MALAYSIA

1. Pendedahan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report berkaitan dengan penyaluran wang sebanyak RM2.6 Bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak telah menjadi satu isu yang cukup serius di mata rakyat.

2. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan Institusi kewangan tersebut dilihat tidak lagi mampu berfungsi untuk mendedahkan dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Memandangkan pasukan BNM yang diketuai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjadi sebahagian anggota penyiasat dilihat telah menerima tekanan yang hebat daripada pihak tertentu, maka SPRM perlu campur tangan untuk membuktikan kemasukan wang RM 2.6 billion tersebut melalui penyiasatan terhadap BNM.

3. Bank Negara Malaysia sepatutnya boleh memainkan peranan segera untuk menyiasat dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion seterusnya mengesahkan berlakunya penyelewengan menerusi peruntukan undang-undang berikut:

3.1 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Undang-undang ini telah memberikan BNM kuasa pengawasan, pengawalan dan penyeliaan dalam menghadapi perkembangan persekitaran kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Sebarang pengaliran wang masuk melebihi RM 50, 000 sepatutnya dapat dikesan BNM terlebih dahulu tetapi dalam kes penyaluran wang sebanyak RM 2.6 bilion, sistem pantauan tersebut gagal berfungsi sepenuhnya. Oleh itu, kami mengesyaki bahawa BNM tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya FSA dan IFSA apabila berhadapan dengan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi yang melibatkan Perdana Menteri.

3.2 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah dikuatkuasakan. BNM seharusnya menggunakan akta tersebut dalam usaha menyiasat penyaluran wang sebanyak RM 2.6 Bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Akta ini diperuntukkan bagi melucutkan harta yang terlibat atau diperolehi daripada pengubahan wang haram. Maka, BNM telah dilihat gagal dalam menyiasat pengaliran wang masuk ke dalam akaun peribadi yang mempunyai kemusykilan terhadap asal usul wang tersebut dengan menggunakan AMLA. Justeru, kami mendesak SPRM membuat penyiasatan terhadap BNM berikutan kegagalan institusi kewangan tersebut untuk menggunakan AMLA bagi menyiasat misteri penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.

4. Berkaitan dengan isu RM 2.6 bilion yang cukup serius melanda negara pada hari ini. Kami sebagai wakil suara anak muda dan rakyat Malaysia menyeru SPRM untuk membuat penyiasatan terhadap BNM kerana tidak mampu berperanan di peringkat tertinggi dalam menyiasat penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.

5. Kegagalan BNM untuk bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam membuat semakan terhadap isu ini dipercayai telah dicampuri oleh sesetengah pihak bagi menghalang BNM untuk membuat semakan terhadap akaun Perdana Menteri. Oleh itu, kami mendesak supaya SPRM menyiasat kegagalan BNM untuk membuat semakan terhadap penyaluran wang yang meragukan.

6. Kesimpulannya, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Kelantan menyokong penuh usaha SPRM bagi memerangi rasuah termasuk kesungguhan dalam membuat penyiasatan terhadap kes RM 2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Kami melihat BNM tidak lagi mampu untuk memainkan peranan seperti yang sepatutnya disebabkan ugutan dan tekanan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru, kami menyeru supaya SPRM membuat penyiasatan secara kritikal terhadap BNM berkaitan dengan kes RM 2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Hazmi Hassan
Ketua Anak Muda HB Kelantan
13 Ogos 2015/28 Syawal 1436


Sila kongsi artikel ini...

Siasatan Bank Negara, SPRM atau deklarasi Najib yang betul? - Tuan Ibrahim Tuan Man

5:19 PM 0 Comments A+ a-



Siasatan Bank Negara, SPRM atau deklarasi Najib yang betul?

Kini, nampaknya ada tiga siasatan berkait dengan 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1. Siasatan SPRM terhadap SRC International


SPRM berkata siasatan terhadap SRC International masih diteruskan. Siasatan ini dikatakan tidak berkait dengan 1MDB tapi ura-ura mengatakan ia berkait dengan pengaliran dana KWAP yang didakwa berakhir di akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

2. Siasatan SPRM ke atas RM2.6 bilion

SPRM mengumumkan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib ialah derma. Tapi pada masa yang sama, SPRM ingin mendapat keterangan daripada Najib. Peliknya sebelum mendapat keterangan, Najib berkata SPRM telah membersihkannya daripada tuduhan rasuah.

Ke mana perginya RM2.6 bilion itu? Siapa pula yang menerima ‘derma’ itu daripada Najib?

3. Siasatan Bank Negara kepada 1MDB

Melihat penampilan Gabernor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini melegakan rakyat. Zeti memaklumkan pihaknya sudah menyiapkan siasatan terhadap 1MDB dan langkah-langkah susulan yang dicadangkan sudah sampai di tangan Peguam Negara.

Timbul persoalan kepada siasatan-siasatan ini:

1. Apakah ketiga-tiga siasatan ini dimulakan oleh Pasukan Petugas Siasatan Khas ke atas 1MDB yang telah dibubarkan?

2. Apakah Najib dan isterinya telah dipanggil memberikan keterangan dalam ketiga-tiga siasatan ini?

3. Apakah peranan Tan Sri Abdul Gani Patail di dalam ketiga-tiga siasatan ini sebelum beliau dipecat?

4. Apakah polis sedang membantu ketiga-tiga siasatan ini atau sedang melengahkan siasatan ini?

5. Yang mana menjadi keutamaan siasatan polis, siasatan ke atas tuduhan salahlaku 1MDB dan Perdana Menteri atau siasatan ke atas kebocoran maklumat penyiasatan 1MDB?

6. Apakah maklumat yang dibocor mengenai pengaliran tunai 1MDB selama ini tulen?

7. Apakah Peguam Negara akan bertindak atau perlu menunggu arahan pihak tertinggi yang lain sebelum bertindak?

8. Peguam Negara akan bertindak mengikut laporan siapa terlebih dahulu Bank Negara, SPRM atau Polis? Atau beliau akan memberikan alasan untuk menangguhkan tindakan sehingga Jawatankuasa Kira-kira Awam yang kini lumpuh selesai bersidang mengenai 1MDB?

9. Apakah Najib yang betul bahawa beliau sudah dibersihkan SPRM?

Kegagalan Peguam Negara bertindak dengan adil dan saksama pasti akan menyemarakan kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan BN. Diharap Peguam Negara dapat memihak kepada kepentingan rakyat dan negara dalam apa jua keadaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Ingatan Untuk Rakyat Malaysia Sertai Demonsterasi,Huru Hara Hanya Propaganda.- Mahfuz Omar

4:30 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan media

INGATAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA SERTAI DEMONSTERASI,HURU HARA HANYA PROPAGANDA.

"Demonstrasi Aman Adalah Demokrasi Perlembagaan"

1.Tidak wajar untuk mana-mana pihak merasai bimbang dengan demonstrasi Bersih 4.0. Sudah 3 kali demonstrasi Bersih diadakan sebelum ini disamping demonstrasi yang lain.Tiada pun dalam agenda penganjur untuk menimbulkan huru hara.Apa yang berlaku ialah keengganan pihak berkuasa khususnya Polis memberikan kebenaran dan kerjasama pada penganjur dan peserta.

2.Saya masih ingat bagaimana perkataan Bersih diharamkan dan baju kuning juga diharamkan. Ini merupakan provokasi awal pihak berkuasa menyekat kebebasan berhimpun.Ada perhimpunan yang dibuat di dalam Stadium Merdeka yang berjalan dengan lancar. Ada yang dibuat dihadapan bangunan Sultan Abdul Samad berlangsung dengan aman.Tidak dinafikan ada yang berlaku kekecohan akibat provokasi dan tindakan pihak berkuasa bertindak memukul dan menembak gas pemedih mata serta memancutkan air kimia melemahkan peserta.Sudah tentu bila berlaku tindakan keterlaluan seperti itu maka berlaku kekecohan tetapi bukan huru hara yang dirancang.

3.Demonstrasi di lebuhraya kesas bukan kerana peserta nak adakan demonstrasi di lebuhraya, tetapi tindakan bodoh pihak polis yang tidak membenarkan peserta keluar dari tol untuk menuju kejalan kebun tempat sebenar perhimpunan.Saya masih ingat kerana ketika itu saya bersama dengan Allayarham Dato'Ust Fadzil Noor, bekas Presiden Pas turut menyertai perhimpunan yang sepatutnya diadakan dijalan kebun terpaksa bertempiaran lari kerana dikejar polis dengan gas pemedih mata dan air kimia.

4.Demonstrasi kriket Israel menyaksikan hampir seratus orang yang ditahan termasuk saya dan Salahudin serta Haji Amjal yang didapati bersalah dan merengkok dalam penjara selama sebulan kerana kami enggan membayar hukuman denda yang dijatukan keatas kami. Kami berpegang bahawa himpunan kami adalah himpunan aman dan hanya inginkan Kerajaan Malaysia mengusir penyertaan pasukan kriket dari negara Haram Israel.Tiada tujuan untuk huru harakan negara.

5.Berlaku penangkapan yang brutal terhadap pimpinan politik dan Ngo.Datuk Seri Anwar Ibrahim,Dato'Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang,Hj Mohammad Sabu,Salahudin Ayob dan saya sendiri serta ramai lagi dalam himpunan bersih 3.0.Ada yang mati kerana sesak nafas akibat terhidu gas.Saya dan Salahudin Ayob menyaman kerajaan Malaysia dan PDRM kerana melakukan tangkapan yang salah dan akhirnya kami menang.

6.Tak wajar untuk mana mana pihak melihat dan mengaitkan demonstrasi untuk huru harakan negara,dan lebih lebih lagi melihat demonstrasi untuk gulingkan kerajaan.Demonstrasi hanya menuntut sesuatu dari pihak yang berkuasa,bukannya salah pun.Nak tuntut piliharaya yang bersih tak kan salah kut.Nak tuntut Najib letak jawatan ganti dengan orang lain yang juga dari Umno dan Bn itu bukan guling kerajaan namanya.Peserta demonstrasi tak bawa senjata api untuk rampas kuasa tawan istana Negara atau Parlimen Malaysia.Yang bawa senjata anggota keselamatan PDRM.Memang tak terguling kerajaan dengan demonstrasi.Najib pun tak kan terguling, kecuali Najib sendiri nak berguling.

7.Terima kasih Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Nor Rashid Ibrahim yang beri jaminan Polis hanya akan bertindak jika perhimpunan Bersih 4.0 cuba jatuhkan kerajaan melalui jalan yang tidak dibenarkan.saya menyakini perhimpunan Bersih 4.0 untuk tuntut piliharaya yang bersih untuk tujuan sebarang perubahan kerajaan mesti melalui proses demokrasi piliharaya.

8.Terima kasih sahabat saya Datuk Nur Jazlan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan tiada masalah dengan demo Bersih jika berlangsung dengan aman.Sememangnya perhimpunan Bersih adalah perhimpunan aman.Saya menyeru peserta Bersih 4.0 dan anggota keselamatan Polis dan tentera mari bersama kita menjaga keamanan negara.Pastikan BERSIH 4.0 aman tanpa provokasi dan gangguan.

9.Jadi Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ayuh kita bersama walaupun seketika pada 29 dan 30 Ogos untuk menunjukkan kesetiaan,kecintaan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia tercinta dalam BERSIH 4.0

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato' Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
13 ogos 2015/28 Syawal 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Tanpa Bawa Pulang Jho Low 'The Dirtiest Mastermind' Segala Usaha Akan Sia-Sia! - Rahim Tamby Chik

3:52 PM 0 Comments A+ a-



Bila 2 akaun bank Jho Low dibekukan di Singapura, langkah seterusnya ialah Republik ini akan mendakwa Jho Low atas kesalahan "money laundering".

Saya sempat temui Tan Sri Gani Patail sebelum beliau diberhentikan di pejabatnya & bertanya bagaimana nak siasat dan cara huraikan masalah 1MDB.

TS Gani beritahu hanya satu cara saja untuk tahu semuanya berkaitan 1MDB iaitu dengan bawa pulang Jho Low ke Malaysia dan diinterogasi secukupnya.


TS Gani juga beritahu saya sebagai anak Malaysia yang patriotik, beliau akan pastikan Jho Low dibawa balik walaupun terpaksa cara warrant of arrest.

Mendengar determinasi yang jitu dari seorang Peguam Negara, saya terus bangun & bersalam dengan beliau lalu menyatakan" Syabas..Allah bless you".

Tak lama salepas itu saya terpegun bila tersiar berita Peguam Negara diberhentikan. Hasrat untuk berbakti kepada negara dan rakyat turut tersadai.

Tidak hairanlah dalang raksaksa ini Jho Low hilang tak dapat dikesan apabila PAC arahkan beliau datang ke Parlimen untuk disoal selidik.

Rakyat khuatir apa pun badan siasatan yang telah dan akan ditubuhkan tanpa bawa pulang Jho Low " The Dirtiest Mastermind" segala usaha akan sia-sia!

y


Sila kongsi artikel ini...

Pembalakan Laluan Lebuhraya Rakyat - Husam Musa

3:35 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media : Pembalakan Laluan Lebuhraya Rakyat

Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Pengasih

Sejak saya tidak lagi menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, banyak tuduhan dilemparkan secara berleluasa ke atas saya kononnya saya mendapat faedah peribadi langsung atau tidak langsung dari hasil pembalakan di atas cadangan laluan Lebuh Raya Rakyat, khususnya laluan di Kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, Machang.


Malangnya, tiada sebarang penjelasan dari pihak kerajaan mengenai kedudukan yang sebenar.

Kebelakangan ini, tuduhan seperti itu semakin rancak oleh sesetengah pengamal media sosial menerusi FB mereka.

(Sebahagian petikan FB berkenaan disertakan bersama kenyataan ini)

Bagi mendapatkan penjelasan sebenar bersifat autoritatif (berautoriti), saya telah secara rasmi menulis surat memohon penjelasan kepada YB Dato Hanipa Haji Ahmad selaku Pengerusi Syarikat Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd. Untuk makluman, Baldah telah diputuskan sebagai agensi pelaksana oleh Kerajaan Negeri sejak Al Marhum YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah Menteri Besar .

(Salinan surat itu saya kembarkan di sini) (Surat 1) (surat 2)

YB Dato Hanipa Hj Ahmad adalah Pengerusi Baldah sehingga kini. Ini dengan sendirinya membuktikan pelaksanaan Lebuhraya Rakyat adalah diputuskan secara rasmi oleh kerajaan sejak mula. Ini berlawanan dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan.

Pada waktu saya merangka surat ini, saya telah diberi maklum oleh sumber yang sah bahawa berlakunya kesalahan hutan berhampiran blok yang diluluskan kepada Baldah di Hutan Simpan Ulu Sat iaitu Blok A dan Blok B Hutan Simpan Ulu Sat.

Akibatnya, semua usaha pembalakan oleh Baldah dihentikan sementara waktu dan kayu-kayu disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Bagi meninjau laporan ini, saya melakukan lawatan ini pada hari ini ke tapak berkenaan.

Semakan menunjukkan Baldah telah membayar bayaran lesen mengambil hasil hutan pada 27 Januari 2015, iaitu awal tahun ini. Ini adalah setahun setengah selepas saya tidak lagi mempengerusikan Baldah.

Tempoh sah lesen ini adalah dari 6 April 2015 hingga 5 Oktober 2015 dengan no lesen DT 01 (P) - 16 - 15.

Papan tanda di betau menunjukkan kontraktor yang dilantik oleh Baldah adalah Sykt Alaf Ulung Sdn Bhd.

Foto-foto kayu yang disita di betau milik Baldah boleh dilihat di sini.

Saya memohon YAB Menteri Besar menjelaskan bagaimana perbuatan ini boleh berlaku dan menuntut tindakan yang tegas diambil kepada pihak yang bersalah dan bentuk tindakan itu diumumkan kepada rakyat Negeri Kelantan.

Saya tidak mahu perbuatan buruk seperti ini cuba ditutup oleh mana-mana pihak dengan menjadikan saya sebagai mangsa fitnah secara berterusan.

Saya juga ingin tahu siapakah pemilik Alaf Ulung.

Sekian.

YB Dato Husam Musa

Adun Salor/Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Kelantan

28 Syawal 1436/13 Ogos 2015


r


Sila kongsi artikel ini...

Surat 2 Husam Musa : Pohon Penjelasan Tentang Kontraktor Pembalakan Kawasan Di Hutan Simpan Ulu Sat

3:33 PM 0 Comments A+ a-

SURAT 2)

YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,

Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd,

merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,

Kota Darul Naim, Kota Bharu.

POHON PENJELASAN TENTANG KONTRAKTOR PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT

Merujuk surat saya mengenai tajuk di atas, setelah melawat betau milik Baldah di Ulu Sat pada pagi ini, saya dapati nama kontraktor Baldah adalah Alaf Ulung Sdn Bhd.

Saya pohon penjelasan bagaimana Alaf Ulung dilantik, pemiliknya dan terma-terma lantikannya seperti surat saya yang asal.

Sekian, terima kasih.

Yb Dato Husam Musa

Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015

s.k:

1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim

2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media


Sila kongsi artikel ini...

Surat 1 Husam Musa: Pohon Penjelasan Tentang Kelulusan Pembalakan Kawasan Di Hutan Simpan Ulu Sat Yang Terlibat Dengan Laluan Lebuh Raya Rakyat

3:25 PM 0 Comments A+ a-





Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih

YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd, merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,
Kota Darul Naim, Kota Bharu.

POHON PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUH RAYA RAKYAT

Saya mengutuskan surat ini untuk mendapatkan penjelasan terhadap tajuk di atas ekoran adanya penulisan oleh Facebookers secara berleluasa sejak lama yang mengaitkan saya sebagai pihak yang mendapat faedah dari tebangan balak di kawasan laluan Lebuhraya Rakyat dan kawasan R n R (Rehat dan Rawat) di Hutan Simpan Ulu sat.

Penjelasan YB Dato boleh membantu menjelaskan kedudukan yang sebenar.

A. Siapa Mendapat Faedah Dari Tebangan Hutan Berkaitan?

Adakah saya, terlibat dalam sebarang bentuk faedah dan kepentingan berkait dengan tebangan balak bagi ketiga-tiga Blok yang diluluskan kepada Baldah?

B. Bila Kelulusan Pembalakan Diperolehi?

Selanjutnya, saya pohon penjelasan bilakah Baldah mendapat kelulusan secara rasmi untuk mengusahakan hasil hutan dalam blok-blok yang terlibat? Ini penting untuk menunjukkan siapa bertanggungjawab memberikan kelulusan itu.

C. Bagaimana Syarikat Lucky Wong Terlibat Dengan Baldah?

Saya difahamkan lesen pembalakan dikeluarkan atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd (lesen no DT 01 (P) - 16 - 15) dan Baldah juga telah didaftarkan sebagai kontraktor bagi kawasan yang diluluskan.

Setahu saya, Baldah secara tidak rasmi bagaimana pun telah melantik Syarikat Lucky Wong (Wong Bertuah) Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi kerja penebangan.

Saya pohon penjelasan YB Dato, jika Lucky Wong memang dilantik sebagai kontraktor, bagaimana cara pemilihan Syarikat Lucky Wong dilakukan? Secara runding terus atau tender?

Jika tidak, apa hubungan Baldah dengan Lucky Wong?

Siapakah pemilik Syarikat Lucky Wong?

Apakah terma perlantikannya? Bagaimana pula bentuk pembayaran atau keuntungan antara Baldah dan Lucky Wong?

Berapakah jumlah tan kayu yang ditebang setakat ini? Berapakah nilai jualannya? Berapakah dari jumlah itu menjadi hasil bersih Baldah setakat ini?

D. Adakah Kawasan Cadangan R n R Akan Ditebang Habis?

Dari tiga blok Hutan Simpan Kekal Ulu Sat yang diluluskan kepada Baldah, satu darinya untuk laluan lebuh raya dan dua lagi iaitu blok A (65 hektar) dan blok B (10 hektar) adalah untuk R n R (Rehat dan Rawat).

Seingat saya, dalam pelan asal, kawasan R n R (Rehat dan Rawat), tidak ada tebangan habis akan dilakukan. Ini atas hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Menteri Besar pada waktu itu supaya kawasan hutan dikekalkan untuk menjadikan ia R n R mesra alam yang pertama di Malaysia serta R n R yang terindah dengan pokok-pokok asli dan air terjun berdekatan.

Namun begitu, dari perkembangan terakhir yang saya dapati, Baldah telah memperolehi kelulusan untuk tebang habis. Bahkan, dikatakan tebangan telah dilakukan di luar kawasan yang diluluskan dan ubah sempadan dari pelan kelulusan asal telah berlaku.

Ini mungkin merosakkan pelan asal untuk menempatkan R n R berkenaan dalam teduhan pokok-pokok besar yang asal untuk tujuan rekreasi pengunjung.

Saya pohon penjelasan adakah ini benar berlaku?

Adakah tebangan habis akan dilakukan dan mengapa ia dilakukan? Mengapa cadangan asal atas hasrat Tok Guru diubah?

Jika Baldah tidak berhasrat untuk menebang habis, kenapa dinyatakan dalam kelulusan lesen adalah tebang habis?

E. Kenapa Pembalakan Disita dan Ditahan?

Adakah benar tebangan di luar kawasan berlaku?

Adakah benar sempadan asal diubah?

Saya difahamkan Baldah telah menafikan ia dilakukan oleh kontraktor Baldah.

Namun, dari tinjauan saya dengan Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK), tiada usaha hasil hutan yang lain berdekatan. Serta tiada kelulusan lain berdekatan dikeluarkan dan tiada pihak lain melakukan apa-apa kegiatan pembalakan berdekatan.

Dengan itu, mustahil pihak lain yang tidak berkaitan melakukan tebangan luar kawasan tanpa jentera dibawa masuk dan ubah sempadan boleh dilakukan.

Saya difahamkan, Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK) telah menghentikan kerja pembalakan dan menyita kayu-kayu yang telah ditebang oleh kontraktor Baldah dengan lebih 1,000 tan kayu telah ditahan. Sehingga hari ini, saya difahamkan, penahanan masih diteruskan.

Kejadian ini sangat mendukacitakan saya selaku salah seorang ADUN yang mendokong Dasar Membangun Bersama Islam. Sudah tentu kejadian ini mencemarkan penghayatan dasar ini.

Saya juga yakin, rakyat negeri ini merasa dukacita dengan kejadian ini.

Saya difahamkan, bagi Blok B seluas 10 hektar, semua kayu telah ditebang dan bagi Blok A pula, baru 20% kawasan ditebang sebelum penyitaan berlaku.

Ini bermakna, 23 hektar dari kedua-dua blok telah ditebang.

Dengan jumlah kayu yang disita melebihi 1,000 tan, bermakna secara purata dianggarkan sebanyak 43 tan se hektar balak bagi kawasan ini. Ia mungkin termasuk kayu yang ditebang di luar kawasan yang diluluskan dan dengan itu anggaran purata per hektar mungkin sedikit berkurangan

Ia satu jumlah yang agak banyak yang menunjukkan kawasan ini adalah kaya dan dengan itu, sewajarnya ia tidak diambil kesempatan lain selain tujuannya yang asal.

Jika benar selepas siasatan dilakukan tebangan luar kawasan berkait dengan Baldah iaitu agensi Kerajaan Negeri sendiri, ia satu perbuatan yang memalukan.

Lebih meragukan lagi, jika benar pihak lain melakukan perbuatan itu, adakah Baldah telah melaporkannya dengan segera kepada Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK)?

Jika laporan dibuat, bila tarikh laporan itu dibuat?

Jika tidak, kenapa tiada laporan dibuat?

Dalam hal ini, saya pohon penjelasan samada YB Dato sendiri telah mengambil tindakan menyiasat siapa sebenarnya terlibat melakukan perbuatan itu?

Ini adalah penting untuk membersihkan nama baik Baldah jika Baldah memang tidak terlibat sama sekali.

Jika tidak, ia memberikan persepsi - dengan keluasan sesempit itu pun keselamatan kawasan hutan tidak dapat dijaga oleh agensi kerajaan sendiri. Harapkan pagar, pagar sendiri memakan padi, kata pepatah.

F. Di atas adalah antara perkara-perkara yang saya pohonkan penjelasan dari YB Dato.

Sebahagian pertanyaan itu adalah atas kepentingan dan kebaikan Negeri Kelantan jua.

Saya sangat berharap mendapat maklum balas yang adil dan segera dari YB Dato, khususnya untuk membersihkan nama baik saya yang cuba dicemari dengan niat jahat sejak sekian lama.

Semoga Allah memelihara kita semua, khususnya dalam menunaikan amanah mengikut cara yang sebaiknya untuk mendapat keredhaanNya pada hari Kebangkitan Agung yang menjadi tujuan semua pejuang Islam. Itulah antara janji kita kepada perjuangan ini dan janji kita kepada rakyat Kelantan.

Sekian, terima kasih.

Yb Dato Husam Musa

Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015

s.k:

1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim

2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media











Sila kongsi artikel ini...

Harapan Baru , Masalah lama - S. Arutchelvan

3:24 PM 0 Comments A+ a-



Harapan Baru
masalah lama

oleh S. Arutchelvan

Selepas kemangkatan Pakatan Rakyat (PR), satu parti baru dengan nama Gerakan Harapan Baru (GHB) telah muncul sebagai ubat kepada segala permasalahan yang wujud hari ini. GHB, jika mengikut skrip DAP, akan bergabung bersama DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan 2.0 atau Pakatan Baru. Pakatan Baru ini pula mendapat suntikan tenaga apabila Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh melalui peguamnya memberikan isyarat lampu hijau. Situasi ini menyebabkan PAS semakin dipinggirkan, walaupun sebagai parti yang begitu besar dan berusia lama, yang sudah tentunya pengaruh parti tersebut tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja. Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa satu gabungan baru mengantikan Pakatan Rakyat (PR) hampir pasti.   
Sekali pandang, muka-muka yang bersama GHB, sememangnya mereka adalah komrad seperjuangan dalam banyak isu yang melibatkan permasalahan rakyat. Puak GHB nampaknya lebih selesa dan mesra dengan imej negara kita sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian etnik.

Namun saya ingin mempertengahkan beberapa persoalan dan kritikan. Adalah diharap kritikan saya tidak disalahtafsir sebagai penulisan “penulis upahan UMNO”, iaitu satu “tagline” selesa yang sering digunakan oleh beberapa orang di pihak pembangkang setiap kali mereka dikritik. Isu yang ingin saya pertengahkan adalah sejauhmana apa yang disebut sebagai Harapan Baru ini bersedia menangani masalah lama.

Dalam keadaan politik negara kita dan pentadbiran di bawah Najib Razak sekarang ini, nampaknya puak yang memerintah mengalami tentangan yang paling hebat dari dalam, sehinggalah Perdana Menteri harus menyingkirkan Timbalannya dan beberapa orang Menteri untuk membuat satu rampasan kuasa lembut bagi memastikan semua institusi penting seperti Peguam Negara, polis dan institusi kewangan negara berada di bawah kawalan sepenuhnya dan menari mengikut rentak yang sama.

Pada masa yang sama, nampaknya pihak pembangkang begitu lemah sekali dan Mahathir dalam usia 90 tahun seolah-olah dilihat oleh segelintir orang sebagai hero untuk menyelamatkan negara. Pada masa yang sama, satu kumpulan yang membicarakan harapan baru telah muncul. Masanya tepat sekali, tetapi banyak soalan masih perlu dijelaskan. Tidak memadai hanya sekadar mengambil posisi ABU (Asalkan Bukan UMNO) untuk kita menentang UMNO-BN. Rakyat harus mendapat penjelasan sepenuhnya apa itu GHB atau apa bezanya PR 2.0 dan kita juga tidak perlu telan apa-apa sahaja yang dihidangkan kepada kita.

Untuk menyelesaikan masalah politik negara, kita memerlukan satu pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salahtadbir negara, kita memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita memerlukan satu sistem baru.

Selesaikan isu-isu pokok

Maka, ada dua isu yang harus diselesaikan oleh GHB, iaitu bagaimana menyelesaikan kesengaraan rakyat, dan juga “persoalan nasional” yang begitu penting di negara kita, iaitu isu-isu yang melibatkan persoalan bahasa, budaya dan agama.

Namun, isu pertama iaitu untuk menyelesaikan kesengaran rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisme yang dianuti di negara kita dan dipegang kuat sama ada oleh BN ataupun PR. Sistem ini mementingkan kepentingan pelabur, mengagung-agungkan penswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan  perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA.

Perjuangan rakyat melawan sistem ini dilemahkan pula oleh perpaduan rapuh kerana kita sering bertelingkah dalam isu-isu perkauman seperti isu Hudud, Negara Islam, bahasa ibunda, isu penukaran agama dan sebagainya.

Jadi, tiada gunanya untuk kita mengatakan bahawa kita adalah harapan baru jika isu-isu asas dan fundamental ini tidak ditangani. Contohnya, isu Hudud dan pilihanraya tempatan . Alasan mengapa tidak ada persefahaman dalam Pakatan Rakyat dalam isu-isu ini adalah kerana ia berakarumbikan isu perkauman. Maka GHB mahupun Pakatan 2.0 harus mempunyai posisi tentang isu-isu ini dan mereka tidak boleh mengambil langkah pintas dengan berkata, “kami setuju untuk tidak setuju.” (We agree to disagree)

Dalam banyak isu pokok, memang PR mempunyai kontradiksi yang serius. Contohnya. dalam isu TPPA, posisi PR adalah lebih kepada mahu transparensi tetapi tidak ambil posisi membantah sepenuhnya TPPA, kerana mereka masih mahu berjinak dengan kapitalis Amerika Syarikat dan antarabangsa. Dalam isu gaji minimum, Lim Guan Eng meminta supaya pekerja asing dikecualikan daripada diberi gaji minimum dan posisi ini bercanggah pula dengan PKR. Begitu juga ada kerajaan negeri PR yang mempromosikan “pelancongan kesihatan” walaupun langkah tersebut akan melemahkan hospital awam. Bagaimana pula dengan polisi alam sekitar? Apakah posisi GHB atau parti-parti lain dalam PR 2.0 mengenai isu nuklear umpamanya? Ini adalah beberapa isu yang perlu mereka memberi jawapan, kerana kita tidak mahu PR 2.0 masih diselubungi kontradiksi dan kelemahan yang wujud dalam PR 1.0.

Politik Penggabungan

Isu kedua yang ingin saya lemparkan adalah, mana-mana parti jikalau ingin memerintah, hanya boleh berbuat demikian melalui politik penggabungan. Dalam kata lain, mustahil untuk mana-mana parti sama ada DAP, PAS, PKR mahupun GHB untuk membentuk kerajaan secara solo atau persendirian. Ini memang difahami oleh mereka semua dan memang politik peggabungan menjadi sebahagian daripada resepi politik negara kita.

Jika kita melihat gabungan-gabungan politik pembangkang sebelum ini. Kita boleh rumuskan seperti dalam jadual 1.



Jika kita meneliti semua gabungan ini, baik gabungan berhaluan kiri seperti PUTERA-AMCJA dan Barisan Sosialis mahupun gabungan pembangkang berhaluan kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu menjurus kepada persoalan nasional dan perkauman. Mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.

Sejarah mengajar kita bahawa pakatan pembangkang berpecah kerana isu bahasa, isu sekolah vernakular , isu Hudud dan isu Negara Islam. Jika Pakatan 2.0 tidak menangani isu ini, maka sudah pastinya, ia juga akan mengalami nasib yang sama.

Misalya, kalau kita mengambil Barisan Sosialis Rakyat Malaya atau Malayan People Socialist Front sebagai satu contoh. Pada awalnya, ia merupakan satu gabungan yang cukup kuat dengan kombinasi Parti Buruh dan Parti Rakyat. Mereka juga mempunyai satu program yang cukup hebat. Antara dasar perjuangan mereka yang penting adalah “Semua perbezaan mengikut perkauman adalah salah. Rakyat hanya harus dipisahkan antara penindas dan mereka yang ditindas. Mereka juga mengusulkan satu bahasa untuk menyatukan kaum pekerja dan membina satu Bangsa Malaya melalui budaya, seni dan kesusasteraan yang mempunyai kaitan langsung dengan massa dan rakyat.

Namun demikian, Barisan Sosialis mengalami pelbagai masalah dalam persoalan bahasa dan budaya. Pada tahun 1965, wujud perpecahan antara Parti Rakyat dan Parti Buruh atas isu budaya dan bahasa. 4 isu yang menjadi konflik antara dua parti ini adalah :-
i)              Isu bahasa dan budaya - bahasa kebangsaaan vs bahasa ibunda, di mana Parti Rakyat setuju dengan Laporan Rahman Talib manakala Parti Buruh membantahnya;
ii)             Isu kesamarataan dan hak etnik
iii)            Isu hak keistmewaan orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
iv)            Hak ekuiti ekonomi negara.

Disebabkan gagal mengatasi masalah ini, Barisan Sosialis berpecah pada tahun 1966.

Namun, selepas Peristiwa Mei 13 dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), parti-parti baru yang wujud terus membentuk gabungan tetapi kesemua gabungan ini berpecah kerana isu agama dan bahasa. Malah gabungan parti selepas DEB pula tidak berlandaskan perjuangan kelas seperti dalam era sebelum kemerdekaan atau pada tahun 1960-an.

Konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh Gagasan Rakyat & APU, kemudiannya Barisan Alternatif, dan sekarang Pakatan Rakyat adalah isu berkaitan dengan Negara Islam dan Hudud. Maka, Harapan Baru atau Pakatan 2.0 tidak harus menyapu semua ketidaksamaan ini di bawah tikar dan hanya cuba menang dengan sentimen popular seperti mempergunakan isu 1MDB dan cincin Rosmah.

Keistimewaan PUTERA-AMCJA

Namun dalam situasi hari ini, Anwar Ibrahim dan GHB sering mengatakan bahawa gabungan baru ini adalah gabungan parti politik dan NGO. Beberapa nama NGO juga dilontarkan seperti BERSIH, IKRAM, ABIM dan lain-lain lagi. Namun demikian, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau dokumen yang dibincangkan. Semuanya samar-samar sahaja.

Maka adalah penting untuk kita cuba belajar daripada gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan, kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu, mereka juga berjaya menganjurkan Hartal Se-Malaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan dan kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh mereka ini masih tiada lagi bandingannya sehingga kini. BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat, tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Klang dan bandar-bandar utama sahaja.

PUTERA-AMCJA berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi di bawah AMCJA  adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga daripada keseluruhan kaum pekerja (berbanding dengan MTUC yang hanya mempunyai sokongan 6% kaum pekerja hari ini); manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , Hizbul Muslimin dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda).
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang diterbitkan oleh mereka. Yang lebih aneh adalah Gabungan AMCJA yang majoritinya bukan Melayu telah mengusulkan
antaranya cadangan mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri dan mereka juga mengusulkan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu; dan jika dilihat usul yang dibawa oleh PUTERA yang boleh diterima oleh AMCJA adalah Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Kerakyatan Malaya harus dinamakan “Melayu”.

Jika PUTERA-AMCJA tidak dihancurkan oleh British melalui Darurat 1948 untuk membolehkan UMNO memerintah, maka kita akan berdiri di bawah Perlembagaan Rakyat di mana kita tidak lagi dipanggil Melayu, Cina, India dan lain-lain kerana kita semua akan mempunyai satu identiti.

Jadi, apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius tentang isu-isu pokok utama supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan berulang dan berulang… Ini adalah cabaran untuk Harapan Baru dan Pakatan rakyat 2.0. Harapan baru harus berani menghadapi masalah lama dan cuba mengatasinya

m


Sila kongsi artikel ini...

Low Yat 2 - Ybhg. Dato' Jamal Md Yunos Ketua Umno Bahagian Sungai Besar

3:11 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
YBHG. DATO' JAMAL MD YUNOS
KETUA UMNO BAHAGIAN SUNGAI BESAR

Selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan mewakili kepimpinan serta seluruh ahli akar umbi UMNO Bahagian Sungai Besar, saya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya cadangan yang diutarakan oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk mewujudkan "Low Yat 2" khusus untuk peniaga-peniaga Bumiputera.


Bagi saya, ini adalah satu cadangan yang sangat bernas atas kebijaksanaan YB Menteri untuk membantu Bumiputera terutamanya bangsa Melayu. Dengan wujudnya "Low Yat 2" yang dicadangkan untuk beroperasi di Tingkat 3, Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Jalan Raja Laut, saya yakin ia akan memberikan alternatif kepada semua pengguna untuk mencari serta membeli gajet dan alat-alat elektronik dengan harga yang lebih berpatutan.

Selaras dengan cadangan YB Menteri tersebut, saya juga berpandangan dan mencadangkan agar YB Menteri dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan juga "Petaling Street 2". Dengan adanya "Petaling Street 2", saya percaya ramai penjaja dan peniaga kecil Bumiputera akan mendapat manfaat dari inisiatif ini.

Selain memberi peluang perniagaan kepada peniaga Bumiputera, ia juga dapat memecahkan monopoli dan meningkatkan kuasa membeli dan memilih kepada pengguna.

Saya berpendapat, peniaga yg bukan Bumiputera terutamanya berbangsa Cina perlu menyokong dan menyahut baik cadangan ini. Kerana dgn adanya pilihan seperti "Low Yat 2" ini dapat memberi persaingan yang sihat kepada peniaga-peniaga dalam menetapkan harga barang.

Saya seterusnya berharap agar YB Menteri akan terus memperjuangkan dan menambahbaik peluang-peluang ekonomi untuk Bumiputera melalui agensi seperti MARA, KEMAS, INFRA, JAKOA dan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

DATO' JAMAL MD YUNOS
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar
13 Ogos 2015

s


Sila kongsi artikel ini...

Al-Marhum Dr Wahbah Az-Zuhaili Yang Saya Kenali - Hadi Awang

12:53 PM 0 Comments A+ a-



AL-MARHUM DR WAHBAH AZ-ZUHAILI YANG SAYA KENALI

28 Syawal 1436 H / 13 Ogos 2015 M

Pada petang hari sabtu 23 Syawal 1436 bersamaan 8 Ogos 2015 yang lalu. Umat Islam seluruhnya kehilangan Tokoh Ulama Besar, laksana kehilangan satu bintang yang menunjuk arah perjalanan yang jauh di alam dunia sehingga akhirat, kerana ilmunya, amalan dan perjuangannya melalui tulisan dan lisan . Dr Wahbah Az-Zuhaili Rahimahullah berusia 83 tahun, Allamah bumi Syam atau Syria, kalangan mereka yang benar-benar mewarisi pusaka Anbiya AS.


Saya mula mengenali Almarhum melalui kitabnya yang terawal berkenaan Usul Fiqh dan diikuti penulisan yang berikutnya, menunjukkan keilmuan beliau yang tinggi, khusus dalam bidang Syariat, sehingga seringkali menjadi rujukan para ulama seluruh dunia. Ketokohannya sehingga dilantik menjadi ahli Persatuan Ulama Sedunia, menyertai Majmak Taqrim dikalangan mazhab, Ahli Majlis Fiqh dibawah OIC dan dijemput menjadi Penal Syariah dibanyak Negara umat Islam, termasuk Malaysia.

Alhamdulillah, saya berkesempatan menemuinya secara dekat berkenalan dalam banyak persidangan antarabangsa diluar negara, membincangkan isu umat Islam dan perpaduannya, mendengar ucapan dan berbincang secara lisan dalam bengkel persidangan dan pertemuan peribadi. Seterusnya saya menjadi tetamu Almarhum apabila melawat Universiti Dimasyk Syria di tahun 2013.

Beliau adalah salah seorang ulama yang mendukung perjuangan Islam secara ilmu, bukan sahaja tulisannya sahaja, bahkan para pelajar Malaysia yang menuntut di-bumi Syria melaporkan keberanian beliau menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat di masjid secara berterus terang menyatakan yang benar, tanpa takut kepada manusia. Namun Almarhum sependapat dengan saya supaya masalah umat Islam dalam tanah air sendiri dan kalangan kaum bangsa sendiri berbeza dengan menghadapi musuh yang datang menceroboh, mewajibkan Muwajahah Silmiyyah (secara damai ) tidak melampau.

Sehingga apa yang berlaku dalam dunia Islam sendiri, khususnya di Syria terkini adalah fitnah dalaman yang dicampuri syaitan dalaman umat dan diluar mereka. Almarhum mengambil sikap yang berani bersama rakyat dalam penderitaan tanpa keluar negara sehingga akhir hayat.

Adapun sokonganya kepada PAS cukup bermakna, apabila Almarhum menyebut nama Almarhum Dr Abdullah Ibrahim Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS adalah rakan sepengajian beliau, dan apabila menemui saya terus menyebut : "Salam sejahtera wahai Mujahid !". Ucapan beliau yang sentiasa berdengung ditelinga saya dan masuk kedalam kalbu. Bukan hanya untuk saya, bahkan untuk mengiktiraf perjuangan PAS bagi menegakkan Islam dengan cara yang Istiqamah.

Marilah berdoa untuk Almarhum dan bersembahayang ghaib, dengan doa supaya menempatkannya bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin. Mudah-mudahan kita bersama beliau di alam akhirat di kalangan mereka yang berbahagia di sisi Allah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS


Sila kongsi artikel ini...

Apakah Mengalir Air Mata Ahli Politik Islam Ketika Bangun Tahjud Di Tengah Malam? Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

10:34 AM 0 Comments A+ a-



APAKAH MENGALIR AIR MATA AHLI POLITIK ISLAM KETIKA BANGUN TAHJUD
DI TENGAH MALAM?

oleh: Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus


Tahniah! Mereka yang bangkit cuba menyusun kekusutan politik negara.

Tahniah! Mereka yang berani bangkit menegur kepincangan para Menteri dalam mengurus tadbir negara.

Tahniah! Mereka yang menegur penjawat awam yang lembab dan tidak berani membuat penguatkuasaan apabila ada rasuah, pecah amanah dan ketirisan.

Ya! Kita semua ahli politik yang dikagumi apabila inginkan negara diurus dengan baik. Walau kita bukan aktivis mana-mana partai politik. TERUSKAN teguran-teguran itu.

NAMUN adakah kita pada waktu yang sama berkesempatan bangun di tengah malam sebagaimana Imam Auzaie yang jauh lebih alim dan warak dari kita?

دخلت إحدى النساء على زوجة الإمام الأوزاعي رحمه الله فرأت تلك المرأه بللاً في موضع سجود الأوزاعي ، فقالت لزوجة الأوزاعي : ثكلتك أمك !! أراك غفلت عن بعض الصبيان حتى بال في مسجد الشيخ ( أي مكان صلاته بالليل ) فقالت لها زوجة الأوزاعي : ويحك هذا يُصبح كل ليلة !! من أثر دموع الشيخ في سجوده .

Salah seorang wanita menziarahi isteri Imam Auzaie dan dia terpandang kesan basah di tempat sujud Imam Auzaie.

Lalu dia menegur isteri Iman Auzaie:

"Apalah kecuaian engkau sehingga kanak-kanak masuk dan kencing di tempat sujud Imam Auzaie (tempat solat malamnya).

Jawab isteri Imam Auzaie:

"Apalah engkau ini! Kejadian sebegini berlaku setiap malam; Inilah kesan tangisan curahan air mata Imam Auzaie ketika sujudnya"


s


Sila kongsi artikel ini...

NUNJI15 : Ke Arah Fiqh Malaysia, Model Majmuk - Dr Mujahid Yusof Rawa

12:20 AM 0 Comments A+ a-



NUNJI15 : KE ARAH FIQH MALAYSIA, MODEL MAJMUK

Kepelbagaian kaum atau kemajmukan masyarakat di Malaysia menjadikan ia sebuah negara yang unik, bebeza dengan negara-negara yang lain.


Namun, dalam mengurus kepelbagaian ini, negara memerlukan satu formula terbaik, bukan sahaja untuk memanfatkan kepelbagaian itu, dan pada masa sama mengurus perbezaan dalam menjaga keharmonian.

Sebagai sebuah gerakan politik, Harapan Baru melihat dengan cermat segala perubahan yang berlaku, termasuk suasana hubungan agama dan kaum yang semakin tegang ketika ini.

Atas dasar itu, Harapan Baru terpanggil untuk mencari satu formula penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan.

Harapan Baru tampil dengan menganjurkan Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji15), yang akan berlangsung 15 Ogos 2015 ini, di Shah Alam, Selangor.

Nadwah ini akan menghimpunkan ulama-ulamak dan tokoh-tokoh pemikir Islam dari dalam dan luar negara, untuk berbincang dalam membentuk satu formula "fiqh bernegara" yang paling sesuai untuk Malaysia.

Ia juga akan menjadi garis panduan kepada Harapan Baru merangka pendekatan politik Islam wajah baru melalui parti yang akan ditubuhkan sedikit masa lagi.

Ia dalam maksud, menyebarkan keadilan Islam dan menyatukan masyarakat berbilang kaum sesuai dengan konsep "Islam, Rahmat Untuk Semua".

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA
Pengarah
Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015
12 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Perlantikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perlantikan Pengerusi RISDA - Ismail Sabri

12:17 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN AKHBAR
PERLANTIKAN PENGERUSI MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)
DAN
PERLANTIKAN PENGERUSI RISDA


Saya ingin mengumumkan perlantikan semula Yang Berhormat Tan Sri Haji Annuar Musa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa hari ini (12hb Ogos 2015) dan perlantikan Yang Berhormat Datuk Zahidi bin Zainul Abidin sebagai Pengerusi Risda berkuatkuasa pada 1 September 2015, selepas mendapat persetujuan daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

1. YB Tan Sri Haji Annuar, 59 tahun, merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT UMNO) sejak tahun 2013 dan merupakan Ahli Parlimen Ketereh memiliki sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London, serta Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

2. Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah, Bahagian Perancang Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi FAMA (1989-1990) serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

3. Antara jawatan politik yang pernah disandang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat (1986-1990), ADUN Kok Lanas (2004-2008) serta Ahli Parlimen Peringat (1995-1999) di Kelantan; Menteri Belia dan Sukan Malaysia (1990-1993); Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia (1993-1999); Majlis Tertinggi UMNO (1991-2009) serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan (2004-2009).

4. YB Tan Sri Haji Annuar turut aktif dalam badan sukarela antaranya Ahli Korporat Pertubuhan Perancang Malaysia; Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan (1991-kini); Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-Indonesia (2002-kini); Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (2007-kini) serta Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia bagi tahun 2010 hingga kini.

5. Sementara itu, YB Datuk Zahidi, 54 tahun, yang merupakan Ahli Parlimen Padang Besar sejak tahun 2013 memiliki Ijazah Sarjana Sains Politik dari Irish International University, Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Northern California Global University dan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

6. YB Datuk Zahidi pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis, DUN Beseri, (1999 – 2008), Setiausaha Politik Menteri Kewangan II (2003) dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis (1994)

Saya percaya bahawa perlantikan YB Tan Sri Haji Annuar dan YB Datuk Zahidi akan dapat memimpin MARA dan Risda dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh Kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara.

Y.B Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

s


Sila kongsi artikel ini...

Mudahnya Menabur Fitnah - Dr. Fathul Bari

12:08 AM 0 Comments A+ a-



MUDAHNYA MENABUR FITNAH

Penyebaran FITNAH bahawa saya mengungkapkan "Wajib Taat Pada Perdana Menteri Walaupun Dia Mencuri Harta Rakyat". Berikut adalah ulasan saya:

1) FITNAH ini disebarkan dengan meletakkan TAJUK PROVOKASI (seperti di atas) pada satu kuliah Maghrib saya di sebuah masjid di Batu Caves pd 31/05/2011.

2) Video berdurasi 8 minit 19 saat itu merupakan jawapan saya kepada satu soalan tentang sejauh mana ketaatan kepada pemimpin. Adakah dengan kenaikan tarif elektrik mengharuskan kita untuk tidak mentaati pemimpin dalam hal yang makruf?

3) Terlalu banyak video-video ulasan saya tentang pemerintahan dan konsep mentaati pemimpin. Sila rujuk: http://www.drfathulbari.com/…/menjawab-fitnah-wajib-taat-pe…
Jadi, sebarang kesimpulan yang ingin dibuat tentang pendirian saya, perlu mengambil kira ulasan-ulasan saya secara kolektif dan janganlah diputarbelitkan yang kemudiannya boleh menjadi modal memfitnah.

4) Oleh kerana, pemfitnah sentiasa gagal berhujjah ilmiah, maka mereka cuba memutarbelitkan kenyataan saya dengan tujuan mengadu domba. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga pengadu domba" (Muttafaq ‘alaihi). Al-Imam al-Nawawi (w.676H) memberikan takrifan "al-Namimah" (adu domba) sebagai menukilkan kata-kata seseorang dan menyebarkannya dengan tujuan jahat. (lihat: al-Azkar, oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, ms 99)

5) Mentaati Pemerintah Islam yang SAH dalam hal yang ma'ruf adalah satu KEWAJIPAN selama mana tiada arahan melakukan maksiat. Asas pendirian saya berdasarkan hadis Nabi SAW:
"Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruhnya untuk melakukan kemaksiatan. Apabila pemerintah menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (HR Muslim, no: 3423. al-Tirmidzi, no: 1629)

6) Kezaliman pemerintah sudah tentu wajib diingkari dan dinasihati. Sabda Nabi SAW: “Jihad yang paling utama adalah MENGATAKAN KEBENARAN di hadapan pemerintah yang zalim.” (HR Abu Daud, no:4344, al-Tirmidzi, no:2174). Asas menasihati adalah secara berhadapan dengan pemimpin bukan di belakangnya.

7) KAEDAH "mengatakan kebenaran" @ menegur @ mengingkari @ menasihati semestinya perlu menepati METHODOLOGI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.

8) Methodologi AHLI SUNNAH dalam menasihati pemerintah:

a. Menasihati bukan provokasi.
b. Menyampaikan hujjah bukan fitnah
c. Penuh kesopanan bukan kebiadapan
d. Dengan kasih sayang bukan kebencian
e. Secara bersendirian diutamakan bukan dijalanan atau terang terangan.
f. Dengan keikhlasan bukan kepentingan
g. Penuh penghormatan bukan mengaibkan
h. Bersangka baik bukan bersangka buruk
i. Dengan kebijaksanaan bukan kejahilan (cth: BIJAK memilih tempat, masa, perkataan, menilai kemampuan diri, menilai maslahah dan mafsadahnya)

* Saya memaafkan semua pemfitnah, pemaki hamun, pengadu domba, pengumpat dan penyebar yang tidak bertabayyun. Moga Allah mengampuni kita semua. Wallaahualam.

Dr Fathul Bari bin Mat Jahya
Exco Pergerakan Pemuda UMNO




Dr. Fathul Bari
s



Sila kongsi artikel ini...

Mudahan Istiqamah Sebagai Ahli PAS - Syarhan Humaizi Halim

12:03 AM 0 Comments A+ a-



Mudahan Istiqamah Sebagai Ahli PAS

1. Dalam kemelut yang berlaku dalam Parti PAS, sebenarnya saya mengambil sikap untuk tidak mengulas secara langsung apatah lagi secara terbuka di media baru. Saya lebih suka pendekatan bentuk program dalaman melalui usrah, liqa, atau dialog dengan Pemuda di semua peringkat. Cumanya mutakhir ini heboh orang bicara pasal pimpinan Pemuda yang ada dalam Negeri Selangor meletakkan jawatan. Sebelum ini saya mendapat berita perletakkan jawatan Ketua Pemuda PAS Shah Alam oleh Sdr Hilmi Ridhuan. Penjelasan yang dibuat oleh beliau adalah untuk memberi fokus kepada Gerakan Harapan Baru.


2. Walaupun pada asasnya saya terkejut dan tidak setuju dengan tindakan beliau itu, apatah lagi terlibat masuk dalam gerakan GHB ini, namun saya hormat. Paling kurang Sdr Hilmi jujur pada diri sendiri dan mengambil tanggungjawab tidak "menikam parti dari belakang". Saya ucap tahniah dan selamat maju jaya pada beliau dan mudahan Allah beri pentunjuk agar kembali pada bahtera perjuangan PAS ini.

3. Berbeza dengan beberapa individu yang masih menjadi pimpinan Pemuda Kawasan tapi mengambil sikap untuk terlibat dengan GHB. Turun naik pentas mempromosi GHB seakan perjuangan PAS wajib ditinggalkan. Tapi diri sendiri tidak amanah pada Parti bahkan boleh dikatakan menjadi "duri dalam daging" pada perjuangan. Ada jugak Timbalan Ketua Pemuda satu kawasan mengambil sikap memaklumkan pada Parti untuk berehat. Padahal bergiat dalam GHB. Saya tidak tahu apa sikap ini dan dimana perasaan malu pada Jemaah, pada sahabat, malu pada pimpinan yang diketuai oleh Tok Guru apatah lagi malu pada Allah Taala. Saya nasihatkan agar takutlah pada amanah yang akan disoal oleh Allah pada hari akhirat kelak.

4. Terbaru sahabat-sahabat dari Pemuda PAS Shah Alam. Pada mulanya saya membaca kenyataan sidang media itu sekadar meletak jawatan kerana tidak serasi dengan kepimpinan peringkat Negeri dan Pusat. Walaupun agak terguris dengan cara berkumpul beramai-ramai serta mengumunkan perletakkan jawatan tersebut. Saya pun tidak tahu apa masalah yang berlaku. Saya kira hubungan saya dan Pemuda Negeri dengan AJK Pemuda Kawasan Shah Alam dan kawasan-kawasan lain seperti biasa. Peralihan tampuk kepimpinan Pemuda Shah Alam yang sebelum ini Ketua Pemudanya Us Husni Zaim bertukar kepada Sdr Hilmi Ridhuan dan sahabat kepimpinan baru dikira oleh kepimpinan Pemuda Negeri sebagai satu perubahan biasa yang berlaku dalam proses pemilihan dan demokrasi dalam parti. Begitu jugak Muktamar Pemuda Negeri berlangsung dengan baik. Bahkan Pemuda Negeri menganjurkan beberapa program turun ke kawasan termasuklah Rally Iftar dalam bulan Ramadhan baru ni yang turun bertemu dengan Pemuda Kawasan mendapat sambutan yang baik. Bahkan hubungan saya secara peribadi dengan Sdr Hilmi, Sdr Zainal TKP, Sdr Abbas NKP bahkan dengan Sdr Danial jugak baik. Jika ada kesalahan, sudah tentu mereka yang bersikap profesional dalam politik tahu saluran perbincangan yang boleh dilakukan serta pertemuan yang boleh merungkaikan segala permasalahan.

5. Namun apabila saya melihat rakaman kenyataan media itu yang tersiar dalam "you tube" saya agak terkejut kerana di penghujung sidang media itu apabila wartawan bertanya tentang GHB, soalan itu dijawab bagaimana GHB akan menjadi wadah yang akan dipertimbangkan untuk disertai seakan telah memberi jawapan pada semua persoalan di awal tadi. Saya harapkan mudahan jawapan itu sekadar jawapan spontan tanpa "niat" apabila "diprovok" oleh pihak wartawan. Dalam masa yang sama DPPK Shah Alam saya yakin akan terus melangkah gagah. Barangkali lebih gagah dari sebelum ini. Sunatullah Allah Taala buat disaat ujian berat melanda, akan pasti lahir sinar dan cahaya yang menerangi seluruh ufuk memuncak kekuatan guna demi perjuangan. Sahabat-sahabat Pemuda Shah Alam yang masih thabat akan menjadi seperti Pemuda "Hawariyun" yang cekal, optimis dan terus istiqamah hingga kemenangan.

6. Kita para Pemuda adalah aset pada perjuangan. Allah anugerah aqal pada kita supaya kita bijak menggunakannya agar selari dengan agama. Konflik dalaman ini bukan ini kaedah penyelesaiannya. Tidak akan selesai dan tidak akan berkesudahan jika setiap kali ada masalah, perlu ditubuhkan parti dan wadah baru. Apatah lagi jika dari segi dasarnya yang ada dalam parti iaitu Islam tidak diselewengkan oleh kepimpinan parti. Maka atas alasan apa kita merasakan perlu meninggalkan parti.

7. Perjuangan PAS tidak sama seperti perjuangan yang lain. Perjuangan PAS mengikat kita dengan akidah. Itulah pesanan para murabi kita dahulu seperti almarhum Tok Guru Nik Aziz, almarhum Us Fadhil Nor, almarhum Us Yahya Othman, almarhum Us Harun Taib hafizahullah. Bahkan ia terhurai panjang dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tatkala kita mengisi borang PAS, maka saat itu lah kita mengikat diri kita dengan Akidah Perjuangan yang dasarnya Islam yang pernah diperjuangkan oleh Baginda Nabi SAW.

8. Justeru dasar perjuangan PAS sudah tentu tidak boleh dipertikaikan lagi. Barangkali di bangkitkan soal pendekatan. Jika itulah masalahnya, maka benarlah kata Nabi SAW bagaimana pusingan kehidupan itu berlaku. Walaupun kisahnya kisah yang sudah lama namun wataknya muncul semula. Dalam PAS, kecewa dan tak setuju dengan pendekatan ini adalah asam garam dan perkara yang pernah berlaku. Berapa ramai dikalangan bekas pimpinan tertinggi telah keluar parti akibat kecewa dan tidak setuju dengan pendekatan. Sejarah tidak boleh menipu kita. Senantiasa terpahat buat ingatan pada para pendokong.

9. Akhir sekali, baca dan ulang baca lah ayat ini serta pengertiannya. Barangkali ini antara ayat yang mampu menyentuh hati kita agar istiqamah dan kembali istiqamah kepada bahtera perjuangan PAS sebagai satu peringatan pada diri sendiri dan pada semua Pemuda.

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لَا يَحْزُنكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِن قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِن بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَن يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَن تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَن يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ..

Maksudnya : "wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri mereka dalam kekufuran iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya "kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman, demikian jugak dari orang-orang yahudi, mereka adalah golongan yang sangat suka mendengar berita-berita dusta, mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita yahudi) yang tidak pernah datang menemui kamu untuk mendapat berita yang benar, mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam kitab Taurat) itu dari tempat yang sebenar. Mereka berkata "jika disampaikan kepada kamu hukum atau perkara yang kena dengan kamu, maka ambillah dan jika sekiranya tidak maka jagalah diri baik-baik". Dan siapa dikehendaki Allah akan kesesatannya, maka engkau tidak ada kuasa sama sekali menolak sesuatu apa pun yang datang dari Allah untuknya. Mereka iallah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar." Al Maidah 41

10. Mudahan sedikit coretan ini memberi sedikit sebanyak peringatan bersama. Mudahan Allah beri hidayah agar mampu terus istiqamah dengan bahtera PAS.

USHH
6.00 Petang
12 Ogos 2015



Syarhan Humaizi Halim


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.