Mudahan Istiqamah Sebagai Ahli PAS - Syarhan Humaizi Halim
Mudahan Istiqamah Sebagai Ahli PAS
1. Dalam kemelut yang berlaku dalam Parti PAS, sebenarnya saya mengambil sikap untuk tidak mengulas secara langsung apatah lagi secara terbuka di media baru. Saya lebih suka pendekatan bentuk program dalaman melalui usrah, liqa, atau dialog dengan Pemuda di semua peringkat. Cumanya mutakhir ini heboh orang bicara pasal pimpinan Pemuda yang ada dalam Negeri Selangor meletakkan jawatan. Sebelum ini saya mendapat berita perletakkan jawatan Ketua Pemuda PAS Shah Alam oleh Sdr Hilmi Ridhuan. Penjelasan yang dibuat oleh beliau adalah untuk memberi fokus kepada Gerakan Harapan Baru.
2. Walaupun pada asasnya saya terkejut dan tidak setuju dengan tindakan beliau itu, apatah lagi terlibat masuk dalam gerakan GHB ini, namun saya hormat. Paling kurang Sdr Hilmi jujur pada diri sendiri dan mengambil tanggungjawab tidak "menikam parti dari belakang". Saya ucap tahniah dan selamat maju jaya pada beliau dan mudahan Allah beri pentunjuk agar kembali pada bahtera perjuangan PAS ini.
3. Berbeza dengan beberapa individu yang masih menjadi pimpinan Pemuda Kawasan tapi mengambil sikap untuk terlibat dengan GHB. Turun naik pentas mempromosi GHB seakan perjuangan PAS wajib ditinggalkan. Tapi diri sendiri tidak amanah pada Parti bahkan boleh dikatakan menjadi "duri dalam daging" pada perjuangan. Ada jugak Timbalan Ketua Pemuda satu kawasan mengambil sikap memaklumkan pada Parti untuk berehat. Padahal bergiat dalam GHB. Saya tidak tahu apa sikap ini dan dimana perasaan malu pada Jemaah, pada sahabat, malu pada pimpinan yang diketuai oleh Tok Guru apatah lagi malu pada Allah Taala. Saya nasihatkan agar takutlah pada amanah yang akan disoal oleh Allah pada hari akhirat kelak.
4. Terbaru sahabat-sahabat dari Pemuda PAS Shah Alam. Pada mulanya saya membaca kenyataan sidang media itu sekadar meletak jawatan kerana tidak serasi dengan kepimpinan peringkat Negeri dan Pusat. Walaupun agak terguris dengan cara berkumpul beramai-ramai serta mengumunkan perletakkan jawatan tersebut. Saya pun tidak tahu apa masalah yang berlaku. Saya kira hubungan saya dan Pemuda Negeri dengan AJK Pemuda Kawasan Shah Alam dan kawasan-kawasan lain seperti biasa. Peralihan tampuk kepimpinan Pemuda Shah Alam yang sebelum ini Ketua Pemudanya Us Husni Zaim bertukar kepada Sdr Hilmi Ridhuan dan sahabat kepimpinan baru dikira oleh kepimpinan Pemuda Negeri sebagai satu perubahan biasa yang berlaku dalam proses pemilihan dan demokrasi dalam parti. Begitu jugak Muktamar Pemuda Negeri berlangsung dengan baik. Bahkan Pemuda Negeri menganjurkan beberapa program turun ke kawasan termasuklah Rally Iftar dalam bulan Ramadhan baru ni yang turun bertemu dengan Pemuda Kawasan mendapat sambutan yang baik. Bahkan hubungan saya secara peribadi dengan Sdr Hilmi, Sdr Zainal TKP, Sdr Abbas NKP bahkan dengan Sdr Danial jugak baik. Jika ada kesalahan, sudah tentu mereka yang bersikap profesional dalam politik tahu saluran perbincangan yang boleh dilakukan serta pertemuan yang boleh merungkaikan segala permasalahan.
5. Namun apabila saya melihat rakaman kenyataan media itu yang tersiar dalam "you tube" saya agak terkejut kerana di penghujung sidang media itu apabila wartawan bertanya tentang GHB, soalan itu dijawab bagaimana GHB akan menjadi wadah yang akan dipertimbangkan untuk disertai seakan telah memberi jawapan pada semua persoalan di awal tadi. Saya harapkan mudahan jawapan itu sekadar jawapan spontan tanpa "niat" apabila "diprovok" oleh pihak wartawan. Dalam masa yang sama DPPK Shah Alam saya yakin akan terus melangkah gagah. Barangkali lebih gagah dari sebelum ini. Sunatullah Allah Taala buat disaat ujian berat melanda, akan pasti lahir sinar dan cahaya yang menerangi seluruh ufuk memuncak kekuatan guna demi perjuangan. Sahabat-sahabat Pemuda Shah Alam yang masih thabat akan menjadi seperti Pemuda "Hawariyun" yang cekal, optimis dan terus istiqamah hingga kemenangan.
6. Kita para Pemuda adalah aset pada perjuangan. Allah anugerah aqal pada kita supaya kita bijak menggunakannya agar selari dengan agama. Konflik dalaman ini bukan ini kaedah penyelesaiannya. Tidak akan selesai dan tidak akan berkesudahan jika setiap kali ada masalah, perlu ditubuhkan parti dan wadah baru. Apatah lagi jika dari segi dasarnya yang ada dalam parti iaitu Islam tidak diselewengkan oleh kepimpinan parti. Maka atas alasan apa kita merasakan perlu meninggalkan parti.
7. Perjuangan PAS tidak sama seperti perjuangan yang lain. Perjuangan PAS mengikat kita dengan akidah. Itulah pesanan para murabi kita dahulu seperti almarhum Tok Guru Nik Aziz, almarhum Us Fadhil Nor, almarhum Us Yahya Othman, almarhum Us Harun Taib hafizahullah. Bahkan ia terhurai panjang dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Tatkala kita mengisi borang PAS, maka saat itu lah kita mengikat diri kita dengan Akidah Perjuangan yang dasarnya Islam yang pernah diperjuangkan oleh Baginda Nabi SAW.
8. Justeru dasar perjuangan PAS sudah tentu tidak boleh dipertikaikan lagi. Barangkali di bangkitkan soal pendekatan. Jika itulah masalahnya, maka benarlah kata Nabi SAW bagaimana pusingan kehidupan itu berlaku. Walaupun kisahnya kisah yang sudah lama namun wataknya muncul semula. Dalam PAS, kecewa dan tak setuju dengan pendekatan ini adalah asam garam dan perkara yang pernah berlaku. Berapa ramai dikalangan bekas pimpinan tertinggi telah keluar parti akibat kecewa dan tidak setuju dengan pendekatan. Sejarah tidak boleh menipu kita. Senantiasa terpahat buat ingatan pada para pendokong.
9. Akhir sekali, baca dan ulang baca lah ayat ini serta pengertiannya. Barangkali ini antara ayat yang mampu menyentuh hati kita agar istiqamah dan kembali istiqamah kepada bahtera perjuangan PAS sebagai satu peringatan pada diri sendiri dan pada semua Pemuda.
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لَا يَحْزُنكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِن قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِن بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَن يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَن تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَن يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ..
Maksudnya : "wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri mereka dalam kekufuran iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya "kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman, demikian jugak dari orang-orang yahudi, mereka adalah golongan yang sangat suka mendengar berita-berita dusta, mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita yahudi) yang tidak pernah datang menemui kamu untuk mendapat berita yang benar, mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam kitab Taurat) itu dari tempat yang sebenar. Mereka berkata "jika disampaikan kepada kamu hukum atau perkara yang kena dengan kamu, maka ambillah dan jika sekiranya tidak maka jagalah diri baik-baik". Dan siapa dikehendaki Allah akan kesesatannya, maka engkau tidak ada kuasa sama sekali menolak sesuatu apa pun yang datang dari Allah untuknya. Mereka iallah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar." Al Maidah 41
10. Mudahan sedikit coretan ini memberi sedikit sebanyak peringatan bersama. Mudahan Allah beri hidayah agar mampu terus istiqamah dengan bahtera PAS.
USHH
6.00 Petang
12 Ogos 2015
Syarhan Humaizi Halim
Sila kongsi artikel ini...