KEADILAN Seru Isu Bai’ah Lafaz Ta’Liq Di Selesai Secara Hikmah
KEADILAN SERU ISU BAI’AH LAFAZ TA’LIQ DI SELESAI SECARA HIKMAH
Sesungguhnya, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama ( BIPPA ) KEADILAN amat dukacita dengan perkembangan isu bai’ah talak yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini. BiPPA berpandangan bahawa isu ini perlu dikendalikan dengan berhati-hati dan cermat, agar ia dapat dileraikan dengan bijaksana dan hikmah bersandarkan rujukan keilmuan yang sahih, autoritatif dan kredibiliti yang tinggi.
Sehubungan dengan itu, kami berpendirian bahawa bahawa amalan menjadikan lafaz ta’liq perceraian dalam politik kepartian adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip syari’ah Islam. Ia membawa mudarat kepada kerukunan rumahtangga kerana melibatkan perceraian dan keruntuhan institusi keluarga. Adalah jelas, bahawa dari perspektif maqasid syariah, menjaga kerukunan institusi dan maruah keluarga, amatlah diberi penekanan. Justeru, keharmonian keluarga tidak wajar dijadikan taruhan untuk survival mana-mana parti politik dan kelompok manapun jua. Sesungguhnya, agama Islam amat memberi perhatian kepada pemeliharaan martabat dan kehormatan wanita. Kaum hawa ini, adalah amanah Allah yang perlu dijaga dengan sempurna.
Dalam meleraikan kekusutan yang sedang berlaku ini, BiPPA mengalu-alukan pendirian tegas dan jelas yang diberikan oleh beberapa ulama kontemporari dan pimpinan gerakan Islam sedunia. Dalam hal ini, pandangan tokoh-tokoh seperti Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi (Presiden Kesatuan Ulama Sedunia), Dato’ Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (Mufti Kerajaan Pulau Pinang) dan ramai lagi perlu diberi perhatian dan dokongan. Kesemua tokoh-tokoh tersebut berpendirian, bahawa amalan baiah yang berta’liq seperti ini adalah tertolak dan tidak wajar diamalkan. Malah, Setiausaha Gerakan Ikhwan al-Muslimun Antarabangsa, menyatakan bahawa bai’ah talaq ini adalah haram dan bersifat ‘takfiri’ (kafir-mengkafir). Ia juga boleh menjadi fitnah besar kepada seluruh gerakan Islam secara global. Justeru itu BIPPA menyeru supaya warga politikus Muslim di Malaysia supaya membudayakan politik yang lebih berhati-hati, demi menjaga maslahah dan kepentingan umat.
BIPPA juga menyeru kepada badan kehakiman mahkamah syariah supaya lebih berintegriti dan menjaga profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Hakim sewajarnya tidak memberikan komentar dan pandangan diluar mahkamah kerana boleh menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan umum kepada keupayaan sistem mahkamah syariah untuk memberikan keadilan kepada semua pihak.
DR MOHD NOR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama ( BiPPA )
PARTI KEADILAN RAKYAT
4 September 2015
Sila kongsi artikel ini...