Alahai 10-0 - Pemuda PAS

3:32 AM 0 Comments A+ a-



"Alahai 10-0"

Salam 10-0. Apa lagi yang boleh diharapkan dengan mutu bola sepak negara. Kekalahan yang memalukan! Alasan boleh sahaja diberi namun di manakah letaknya maruah bola sepak Malaysia? Sudahlah Malaysia dimalukan di mata dunia dengan kejatuhan nilai mata wang yang teruk, kini Malaysia diaibkan lagi dengan kekalahan 10-0 dengan UAE!

Aib! Malu! Kecewa! Marah! Geram! Semuanya berbaur dalam satu perasaan. Seolah bagaikan tiada harapan lagi masa depan bola sepak negara jika ini peneraju yang ada

Strategi bertahan oleh jurulatih pasukan negara, Dollah Salleh nyata tidak menjadi. Satu demi satu gawang negara dibolosi. Entah di mana silapnya. Strategi? Jurulatih? Pemain? Ataupun FAM itu sendiri. Boleh dibayangkan berapa banyak gol akan dibolosi lagi jika bukan bermain secara bertahan. Sesuatu harus dibuat demi mengekang aib ini daripada berterusan.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa agar FAM segera dirombak. Meskipun kabinet FAM dilihat seperti berwajah baru namun ianya tidak memberi sebarang erti. Ranking bola sepak negara terus merudum, bisa taring Harimau Malaya sudah lama hilang. Justeru, FAM harus dirombak segera demi menyelamatkan mutu dan maruah bola sepak Malaysia.

Sudah tiba masanya sukan di Malaysia khususnya bola sepak diterajui oleh golongan yang mahir. Bukan sekadar menjadi penaung sahaja. FAM sebelum ini bagaikan menulikan telinga, membutakan mata sahaja apabila ranking Malaysia jatuh. Bagaikan sudah terbiasa dengan kejatuhan yang berlaku. Apakah yang dimahukan oleh FAM sebenarnya? Apakah penubuhan FAM adalah untuk melihat kejatuhan mutu bola sepak negara? Lihat sahaja peneraju-peneraju bola sepak negara lain seperti Jepun dan Korea misalnya. Mereka diterajui oleh golongan yang berkebolehan, berkepakaran malah tahu selok belok berkenaan sukan bola sepak. Bahkan pembangunan bola sepak mereka lebih pesat berbanding tempoh 50 tahun dahulu. Berbeza dengan Malaysia yang mana ianya diterajui oleh golongan bangsawan, politikus dan elit yang hanya tahu mengaut keuntungan di atas kejayaan sesuatu sukan.

Selain itu, FAM perlu keluar kepada mencari alternatif-alternatif lain bagi membangunkan mutu bola negara. Saya lebih suka mengambil Korea Selatan sebagai contoh kerana negara ini tidak asing dalam sejarah bola sepak negara. Mereka menubuhkan akademi bola sepak masing-masing bagi mencari pelapis-pelapis baru. Natijahnya, mereka tidak ketandusan pemain bahkan boleh menghantar pemain-pemain mereka ke beberapa tempat untuk menimba ilmu dan pengalaman. Hasilnya, Korea Selatan berjaya menjadi salah satu pasukan pilihan Asia dalam Piala Dunia.

Suatu masa dahulu, Malaysia diperkenalkan dengan program realiti televisyen dalam mencari bakat pemain bola sepak negara yang mempunyai ciri-ciri seperti akademi ini. Namun setelah beberapa siri, ianya senyap dan tidak ketahuan ke manakah perginya bakat-bakat yang digilap tersebut. Program yang terbaru; Mencari Ramli diharapkan akan terus memastikan bakat-bakat muda ini digilap dan diserapkan dalam skuad negara. Sikap pilih kasih dan kroni dalam memilih skuad negara perlu dibuang jika ingin memastikan bola sepak kita kembali bangkit.

DPPM percaya cadangan-cadangan yang dilontarkan ini merupakan cadangan-cadangan yang telahpun diberi kepada pihak FAM sebelum ini. Namun, seperti biasa, sikap ego dan keras kepala FAM akan membakul sampahkan semua cadangan yang ditujukan. DPPM memberi amaran bahawa jangan sampai rakyat dan peminat bola sepak Malaysia hilang terus kepercayaan kepada bola sepak negara. DPPM juga berpesan kepada yang berkenaan agar berundurlah demi masa depan bola sepak negara. Dengarlah rintihan para peminat tegar pasukan negara, janganlah mengaibkan negara lagi.

Pencinta Bola Sepak

Ir Haji Khairil Nizam Khirudin
Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.