Adakah Kejatuhan Ringgit Malaysia Sudah Masuk Ke Fasa 'Freefall'?

7:30 PM 0 Comments A+ a-



ADAKAH KEJATUHAN RINGGIT MALAYSIA SUDAH MASUK KE FASA 'FREEFALL'?

www.amanahnegara.com

1. Hari ini Ringgit Malaysia berada di paras 4.47 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Setahun lalu, pada September 2014, Ringgit hanya pada tahap 3.2 hingga 3.5 berbanding dolar AS.

2. 'Fundamentals' kepada ekonomi negara pada waktu itu dan sekarang adalah hampir serupa dan tidak banyak berbeza. Tetapi persoalannya, mengapa Ringgit sudah memasuki tahap 'freefall' seperti hari ini?

3. Ini lah akibatnya apabila persepsi terhadap pemimpin negara mempengaruhi persepsi terhadap negara. Persepsi dunia terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini adalah beliau seorang perasuah tegar dan terlibat dalam penggubahan wang haram (money laundering). Pelabur mana tidak berasa curiga untuk membuat pelaburan dalam ekonomi negara jika persepsi tersebut wujud dan semakin menebal?

4. Kejatuhan Ringgit ke tahap freefall ini juga membawa makna bahawa Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah gagal dalam membawa kemakmuran kepada negara.

5. Ketika Najib mengambil tampuk kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2009, Ringgit berada di paras 3.5 berbanding dengan dolar AS. Hari ini pula sudah mencapai 4.41. Ini bermakna transformasi yang dibawa Najib seperti 1Malaysia, ETP (Economic Transformation Programme) dan GTP (Government Transformation Programme) telah gagal sama sekali.

6. Namun yang menerima padah daripada kegagalan Najibnomics ini adalah rakyat dan negara. Sementara Perdana Menteri dan isteri kesayangannya masih boleh ke sana dan ke sini dengan jet peribadi milik rakyat Malaysia.

7. Dengan kegagalan sehingga tahap ini, sudah sampai masanya Najib berundur atau diundurkan. Najibnomics kini sudah bertukar menjadi Najibcomics. Yang merana adalah rakyat.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
29 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Catatan Di Belakang Tirai Besi - Dr Mohamad Khir Toyo

5:23 PM 0 Comments A+ a-



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.

2. Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.

3. Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.

4. Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin UMNO mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana. Hakikatnya, rumah saya antara bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.

5. Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan Pendakwa Raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.

6. Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya. Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

7. Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah 2 tahun penjara.

8. Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

9. Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.

10. Adillkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.

11. Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak SPRM sendiri.

12. Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM 2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (lihat: Fakta dan Angka Tidak Boleh Menipu]

13. Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.

14. Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.

15. Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus Sudah Harapan?]

The Sun

16. Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.

17. The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor disiytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.

18. Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.

19. Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

20. Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya. Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.

Kuil

21. Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.

22. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

23. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

24. Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai Menteri Besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar. Di bawah pentadbiran saya juga Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Penyapu

25. Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?]

26. Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.

27. Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan En Tukiman Nail, bekas Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.


Setinggan

28. Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan. Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan; (i) memberi penempatan yang lebih baik, (ii) menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan, (iii) memberi subsidi RM 7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.

29. Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.

30. Jika ada hayat dikandung badan, in sha Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.

Wassalam.


Sila kongsi artikel ini...

Isu Duta China, Selesai Cara Diplomasi - Khalil Hadi

2:52 PM 0 Comments A+ a-



ISU DUTA BESAR CHINA SELESAI CARA DIPLOMASI

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru semua pihak bertenang dan menyerahkan isu kenyataan Duta Besar China, Dr Huang Kui Kang kepada pihak kerajaan untuk diselesaikan secara diplomasi antara dua negara. Terbaru, Kedutaan China juga telah memberikan respon dan dilihat mempertahankan tindakan dutanya.

2. Maka, kita sangat berharap agar pihak Kementerian Luar Negeri bertindak segera untuk menyelesaikan kes ini di meja rundingan dengan segera bagi mengelakkannya terus berlarutan. Jangan biarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan atas isu yang berlaku dengan menyemarakkan api perkauman sehingga bertindak tidak rasional dan mengundang ketidakstabilan negara. 3. DPPM bertegas supaya urusan hal ehwal negara tidak dicampuri oleh negara luar dan mengalu-alukan permohonan maaf daripada pihak Kedutaan China bagi meredakan isu ini. Di samping itu, DPPM juga komited membantah mana-mana isu perkauman sempit yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

4. Selain itu, DPPM bimbang sekiranya kenyataan Duta China tersebut turut menggambarkan perspektif yang diterima oleh negara-negara luar terhadap Malaysia mengenai tatacara hidup kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, tahap demokrasi serta hak asasi manusia yang dipraktiskan di negara ini. Jika benar, ini satu lagi igauan buruk buat Perdana Menteri!

Sekian.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Selasa, 29 September 2015 | 15 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Sungai Pahang yang mengeruhkan hati - Tuan Ibrahim Tuan Man

1:51 PM 0 Comments A+ a-



Sungai Pahang yang mengeruhkan hati

Sayu hati melihat air sungai Pahang yang mengalir lesu dengan penuh keruh keperangan dengan keladak kekotoran hasil kerakusan dan ketamakan manusia.

Tindakan kerajaan meluluskan penebangan balak di kawasan tadahan air serta aktiviti perlombongan bijih besi, dan bauksit dan pembukaan ladang baru adalah penyumbang utama kepada pencemaran sungai utama di Pahang.


Di waktu aktiviti industri diutamakan, tiada lagi kedengaran kempen selamatkan sungai kita sebagaimana ia bergema dengan papan iklan di pasang di seluruh negeri sebelum ini.

Terbaru, penduduk di Kampung Baru Jerantut dan Sungai Berjuang di Batu Balai pasrah melihat punca tadahan air utama penduduk dimusnahkan.

Dengan perasaan dukacita yang tidak dapat digambarkan melihat tanpa daya kawasan tadahan air ini diteroka oleh syarikat pembalakan. Mereka buntu memikir bagaimana pihak kerajaan boleh sewenang-wenangnya meluluskan pembalakan yang menyebabkan punca air yang berpuluh tahun jernih kini bertukar menjadi keruh dan sangat tercemar.

Kini, penduduk kampung terpaksa meminum air yang keruh tidak ditapis. Air ini sudah tidak lagi dianggap sihat untuk diminum. Inilah harga yang terpaksa dibayar akibat kerakusan manusia. Lebih malang aduan serta bantahan penduduk langsung masuk ke telinga pekak.

Kerajaan negeri perlu memantau dan mematuhi garis panduan kelulusan kawasan pembalakan agar kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan tadahan air tidak diluluskan untuk aktiviti pembalakan dan pertanian sekiranya masih berhajat ingin melihat kembali air sungai kita akan jernih dan tidak lagi mengalir lesu untuk generasi-generasi akan datang.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 September 2015



Sila kongsi artikel ini...

Kurangkan Import Makanan Untuk Elak Aliran Wang Keluar - Ustaz Idris Ahmad

1:18 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (22)
Kurangkan Import Makanan Untuk Elak Aliran Wang Keluar.
Ustaz Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
29/9/14


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman gembira lawatannya ke tiga bandar raya utama Australia berjaya memenuhi matlamat untuk menambah baik import ternakan Malaysia. Apa yang hendak dibanggakan dengan lawatan ke Australia jika masih lagi mengharapkan import makanan daripada negeri tersebut. Sepatutnya lawatan tersebut menghasil idea supaya Malaysia hendak mengurangkan import makanan sehingga satu ketika Malaysia tidak lagi mengimport makanan sebaliknya mampu eksport makanan.
Dalam jawapan di Parlimen dalam tahun 2013, Kementerian Pertanian mengakui bahawa bagi tempoh sepuluh tahun di antara 2002 hingga 2012, Malaysia membelanjakan RM221.81 bilion untuk mengimport makanan iaitu purata RM22 bilion setiap tahun. Jenis-jenis makanan yang diimport termasuk beras, gandum, gula, daging, hasil tenusu, koko, bijirin, sayuran, buah-buahan, makanan siap dan lain-lain. Ertinya berapa banyak wang dihabiskan, lebih-lebih lagi nilai ringgit semakin merudum.

Satu perkara yang ajaib Malaysia yang berada di negeri Khatulistiwa dengan tadahan hujan yang tinggi kenapa tidak boleh menghasilkan bahan makanan yang cukup sehingga terpaksa menagih simpati dengan negara lain. Malaysia bukan negara sahara yang tanahnya kering kontang dan tidak berair.
Malaysia juga memiliki agensi pertanian dan Institut pertanian yang mempunyai kepakaran di dalam bidang pertanian. Persoalannya kenapa negara semakin teruk sehingga terpaksa makanan asasi pun perlu bergantung daripada negara luar. Tidak terfikirkah pemimpin negara ini jika berlaku perkara yang tidak diingini di negara pembekal makanan seperti bencana alam, peperangan, di manakah pula makanan kita hendak mendapat bekalan makanan.

Begitu juga dengan hasil buahan tempatan yang berlaku lambakan sehingga tidak ada harga dan tidak berbaloi untuk dipungut oleh pemilik. Kenapa tidak ada daya usaha yang lebih agresif untuk meningkatkan nilai tambah kepada buahan tempatan supaya ia ada nilai di pasaran.

Sejarah hitam projek NFC yang diberi kepada syarikat milik suami kepada Datuk Sharizat Jalil sebanyak RM250 juta berkubur begitu sahaja. Tujuannya baik, tetapi diberikan kepada bukan ahlinya, maka inilah yang terjadi. Jika wang sebanyak itu boleh membeli lembu sebanyak 50,000 ekor lembu jika nilai seekor RM5000. Alangkah bahagianya kalau lembu itu diberi kepada wanita Umno yang susah, ertinya 50,000 wanita Umno yang susah akan terbela. Tetapi apakan daya, hajat tak kesampaian.


Sila kongsi artikel ini...

Fakta Isu Pengswastaan Tebangan Balak KPK - Husam Musa

1:03 PM 0 Comments A+ a-



Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Pengasih.

FAKTA-FAKTA ISU PENSWASTAAN TEBANGAN BALAK KPK
(2,000 ekar setahun untuk tempoh sepuluh tahun dengan harga bersih RM 1,370 se ekar)

01. Untung bersih mengikut harga pasaran sekarang bagi setiap tan balak adalah tidak kurang dari RM 500 se tan.

02. Kawasan KPK mempunyai 8 tan - 12 tan minima balak se ekar (Mengambil kira had tebangan).

03. Ini bermakna keuntungan bersih se ekar sepatutnya adalah di antara RM 4,000 - RM 6,000. (RM 500 x 8 tan = RM 4,000 atau RM 500 x 12 tan = RM 6,000)

04. Dengan itu, keuntungan bersih KPK sepatutnya di antara RM 8 juta hingga RM 12 juta setahun (RM 4,000 x 2,000 ekar = RM 8 juta atau RM 6,000 x 2,000 ekar = RM 12 juta)

05. Bagi tempoh 10 tahun (20,000 ekar) keuntungan yang patut dijana adalah antara RM 80 juta hingga RM 120 juta.

06. Sedangkan mengikut kertas cadangan Souncern yang dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah KPK pada bulan Disember 2014, bayaran bersih se ekar yang akan dibayar kepada KPK hanyalah sebanyak RM1,372.70 sahaja. (RM 1,370 dibahagi RM 500 = 2.74 tan se ekar)

07. Adakah munasabah kawasan KPK hanya mempunyai kurang dari tiga tan se ekar??

08. Ini bermakna, keuntungan yang akan diberikan oleh Souncern adalah hanya sebanyak RM 2.7 juta setahun.

09. Mengikut kertas itu juga, Souncern mencadangkan KPK memeterai perjanjian untuk tempoh 10 tahun, melibatkan kawasan sebanyak 20,000 ekar.

10. Bagi tempoh 10 tahun keuntungan yang dijanjikan hanya sebanyak RM 27.4 juta sahaja.

11. Berasaskan perkiraan ini, KPK akan mengalami kerugian keuntungan di antara RM 52 juta hingga RM 92 juta bagi tempoh sepuluh tahun (Tidak termasuk 30% keuntungan tambahan yang dijanjikan kerana diragui ianya boleh terjadi atau tidak).

12. Ini belum mengambil kira kemungkinan pengeluaran sebenar adalah lebih besar, kayu yang dikeluarkan bermutu tinggi dan harga kayu akan meningkat pada masa akan datang.

13. Angka keuntungan bersih RM 500 se tan dan pengeluaran purata KPK antara 8-12 tan se ekar, saya perolehi daripada maklumat dalaman dan orang yang arif dengan kawasan KPK dan industri kayu.

Saya dimaklumkan, 6,000 ekar pertama kawasan yang diserahkan kepada Souncern telah pun di"tagging".

Ini bermakna KPK sudah pun mengetahui nilai sebenar yang ada di dalam kawasan berkenaan.

Nilainya lebih tinggi dari tawaran yang diterima.

14. Saya difahamkan KPK tidak melantik mana-mana penilai bagi pihaknya bagi urus niaga ini.

15. Souncern pula dikatakan melantik penilainya sendiri. Nilai yang diletakkan adalah RM1,950.00 se ekar kasar.

16. Bagi urus niaga sepenting ini, adalah sangat menghairankan mengapa KPK tidak melantik satu penilai bebas untuk menilai asetnya.

17. Souncern adalah syarikat yang dimiliki oleh Sern Kou Berhad, Syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

18. Tidak ada dalam pengetahuan saya KPK diberikan tawaran saham dalam syarikat induk Souncern iaitu Sern Kou.

19. Semakan saya menunjukkan harga saham Sern Kou telah meningkat daripada 40 sen se saham pada akhir Disember (tarikh KPD membuat keputusan) naik kepada 69 sen sebelum ditutup pada 65 sen se saham pada Hari Raya Korban 2015 baru-baru ini.

Bermakna, syarikat berkenaan mendapat faedah yang lebih besar dari khazanah KPK.

20. Saya hairan mengapa tidak ada susunan korporat yang lebih menyeluruh di mana KPK diberikan saham dalam Sern Kou untuk mendapat faedah yang maksima dari urus niaga ini.

21. Sebagai kesimpulannya, saya masih berpendirian keuntungan bersih yang ditawarkan kepada KPK adalah sangat rendah.

22. Saya berpendirian jika tawaran terbuka dilakukan, KPK boleh mendapat keuntungan yang lebih besar.

23. Adalah menjadi tugas saya selaku Adun yang berjuang atas nama Islam untuk menjaga kepentingan terbanyak rakyat yang memberikan amanah dengan cara yang saya fikirkan berkesan untuk menghentikan amalan melepaskan khazanah Negeri Kelantan di bawah nilai pasaran secara berterusan satu demi satu sekarang.

Yb. Husam Musa
Adun Salor
15 Zulhijjah 1436/29 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Duta CHina Kejadian Luar Biasa - Nik Nazmi

12:00 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN DUTA CHINA KEJADIAN LUAR BIASA

Isu kenyataan Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkenaan perhimpunan "baju merah" di Petaling Street amatlah luar biasa.

Walaupun dinafikan oleh Kedutaan China, kejadian itu menunjukkan bahawa kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah menyebabkan kuasa asing terasa perlu untuk campur tangan di dalam isu politik tempatan. Ini juga jelas membuktikan bahawa reputasi negara ini, yang pada suatu ketika dulu dijadikan contoh negara-negara membangun, telah tercalar.


Benarlah bahawa tindakan Dr Huang mungkin telah melampaui batas yang bersesuaian dengan seorang ahli diplomat.

China, melalui wakilnya ke Malaysia, bagaikan memberi isyarat bahawa mereka sudah bersedia menyatakan pendirian berkenaan perihal negara lain.

Oleh itu kami juga berharap agar negara China sendiri sudah bersedia untuk menerima teguran dan komentar daripada warga dunia berkenaan pelbagai isu di negara mereka, termasuklah mengenai cara mereka mengendalikan aktivitis-aktivis pro-demokrasi, masyarakat Muslim Uighur dan warga Tibet.

Namun begitu, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah perkara itu tidaklah terjadi sekiranya Najib Razak dan pihak kerajaan menunjukkan kepimpinan yang baik, serta berprinsip dan lebih tegas di dalam kes "baju merah" yang bagaikan sudah tidak terkawal.

Sebaliknya apa yang kita saksikan adalah ramai ahli kepimpinan di dalam pentadbiran dan parti UMNO yang mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dan tidak benar, termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Terdapat risiko bahawa ketandusan pemimpin yang baik di Malaysia ini boleh menyebabkan lebih banyak campur tangan kuasa asing seperti ini.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip jika kita hendak mengembalikan kegemilangan negara ini di persada antarabangsa.

Malaysia juga tidaklah harus begitu lekas terasa apabila menerima kritikan daripada pihak luar, terutamanya di dalam hal politik dan hak asasi manusia.

Pendirian kita yang begitu tegar di dalam prinsip "tidak campur
tangan", yang selama ini telah menentukan polisi luar Malaysia dan juga ASEAN, telah menyebabkan negara-negara Asia Tenggara —walaupun sering mengulangi retorik perpaduan serantau— untuk berselindung apabila dihadapkan dengan masalah yang serius, daripada menanganinya bersama.

Tetapi, walaupun dengan prinsip "tidak campur tangan", kita sering juga menyatakan pendirian dan memberi pendapat dalam isu-isu antarabangsa contohnya keadaan di Palestin. Malah, jika diimbau kembali, Malaysia juga merupakan antara negara Komenwel pertama yang mengkritik polisi Apartheid di Afrika Selatan.

Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa Malaysia amat memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip sekiranya kita hendak memulihkan keadaan dan mengembalikan kegemilangan negara ini di persada dunia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Himpunan Membantah Pencerobohan Masjid Al-Aqsa - Khalil Hadi

8:47 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

HIMPUNAN MEMBANTAH PENCEROBOHAN MASJID AL-AQSA

1. Keangkuhan Zionis Israel terus menerus menceroboh kiblat pertama umat Islam telah membakar kesabaran kaum Muslimin untuk bangkit menentang kebiadaban tersebut.

2. Tindakan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa itu jelas paluan gendang ke arah kobaran untuk mencetuskan peperangan.

3. Seluruh dunia Islam percaya, umat Islam Palestin tidak akan hanya melihat sahaja pencabulan sedemikian. Sebaliknya mereka akan bangkit menentang dan mempertahankan rumah Allah itu.

4. Semangat Intifadhah tidak pernah padam dan Zionis Israel perlu bersedia menghadapi kekuatan yang pasti lebih menggerunkan dari yang pernah dihadapi sebelum ini.

5. Sebagai solidariti dan maruah Islam, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan himpunan sokongan ke atas perjuangan umat Palestin mempertahankan Masjid al-Aqsa.

6. Himpunan tanggal Jumaat, 2 Oktober 2015 di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat itu nanti juga adalah pernyataan bantahan terhadap Israel atas kerakusan mereka itu.

7. Kami menyeru umat Islam khususnya anak muda hadir menyatakan sokongan dan berdiri atas dasar maruah dan semangat cintakan keamanan sejagat.

Sekian.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Selasa, 29 September 2015 | 15 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Apa Kesudahan Dengan Siasatan Skandal 1MDB dan RM2.6 Bilion? - Fitri Asmuni

8:00 AM 0 Comments A+ a-



APA KESUDAHAN DENGAN SIASATAN SKANDAL 1MDB DAN RM2.6 BILION?

1. Saya percaya ramai yang tidak tahu sejauh mana siasatan terhadap skandal 1MDB dan RM2.6 bilion ini sedang berjalan.

2. Saya percaya ramai yang tidak tahu apa yang Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang lakukan sekarang dengan kedua-dua skandal ini setelah beliau dilantik menjadi Peguam Negara.

3. Saya juga percaya ramai yang tidak tahu sejauh mana siasatan pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Negara terhadap kedua-dua skandal ini.

4. Saya dan rakyat Malaysia juga sudah lama tidak mendengar hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap RM2.6 bilion dan SRC International.

5. Yang saya dan ramai rakyat Malaysia tahu, mereka yang serius mengkritik skandal ini pula yang diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan yang terbaru adalah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan di bawah SOSMA atas dakwaan cuba mensabotaj negara.

6. Beginikah tahap kecekapan badan-badan besar yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat skandal 1MDB dan RM2.6 bilion?

7. Apa yang menyebabkan badan-badan ini mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat skandal ini?

8. Mengapa terlalu sukar untuk badan-badan ini untuk menemui bukti-bukti penyelewangan dan salah laku yang berlaku di dalam kedua-dua skandal ini?

9. Selama ini ramai yang memuji dan menyatakan bahawa PDRM dan SPRM adalah badan penyiasat yang cekap dan tangkas dalam menangani kes-kes rasuah dan jenayah. Tetapi apabila melibatkan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion, ramai menjadi was-was dan ragu-ragu serta bernyata mengapa kedua-dua badan ini kelihatan tidak bermaya dan lembap?

10. Mengapa siasatan terhadap kedua-dua skandal ini dilihat seperti dilengah-lengahkan?

11. Mengapa penyelewengan yang berlaku di dalam skandal ini perlu disembunyikan?

12. Apa yang telah badan-badan ini lakukan terhadap Najib dan suspek yang terlibat di dalam kedua-dua skandal ini?

13. Apa sudah jadi dengan badan-badan ini? Adakah mereka hendak menyelamatkan Najib dan kuncu-kuncunya atau hendak menyelamatkan Malaysia?

14. Akhirnya, adakah siasatan ini hanya sekadar satu lakonan dan sandiwara atau bagaimana?

15. Apa kesudahannya, rakyat mahukan jawapannya !

Amanah . Progresif . Peduli

‪#‎HarapanBaru‬

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH (AMAN) Negeri Perak


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.