Sungai Pahang yang mengeruhkan hati - Tuan Ibrahim Tuan Man
Sungai Pahang yang mengeruhkan hati
Sayu hati melihat air sungai Pahang yang mengalir lesu dengan penuh keruh keperangan dengan keladak kekotoran hasil kerakusan dan ketamakan manusia.
Tindakan kerajaan meluluskan penebangan balak di kawasan tadahan air serta aktiviti perlombongan bijih besi, dan bauksit dan pembukaan ladang baru adalah penyumbang utama kepada pencemaran sungai utama di Pahang.
Di waktu aktiviti industri diutamakan, tiada lagi kedengaran kempen selamatkan sungai kita sebagaimana ia bergema dengan papan iklan di pasang di seluruh negeri sebelum ini.
Terbaru, penduduk di Kampung Baru Jerantut dan Sungai Berjuang di Batu Balai pasrah melihat punca tadahan air utama penduduk dimusnahkan.
Dengan perasaan dukacita yang tidak dapat digambarkan melihat tanpa daya kawasan tadahan air ini diteroka oleh syarikat pembalakan. Mereka buntu memikir bagaimana pihak kerajaan boleh sewenang-wenangnya meluluskan pembalakan yang menyebabkan punca air yang berpuluh tahun jernih kini bertukar menjadi keruh dan sangat tercemar.
Kini, penduduk kampung terpaksa meminum air yang keruh tidak ditapis. Air ini sudah tidak lagi dianggap sihat untuk diminum. Inilah harga yang terpaksa dibayar akibat kerakusan manusia. Lebih malang aduan serta bantahan penduduk langsung masuk ke telinga pekak.
Kerajaan negeri perlu memantau dan mematuhi garis panduan kelulusan kawasan pembalakan agar kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan tadahan air tidak diluluskan untuk aktiviti pembalakan dan pertanian sekiranya masih berhajat ingin melihat kembali air sungai kita akan jernih dan tidak lagi mengalir lesu untuk generasi-generasi akan datang.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 September 2015
Sila kongsi artikel ini...