Kelantan: Kilatan Malaysia - Nik Abduh

10:50 PM 0 Comments A+ a-



Kelantan: Kilatan Malaysia

25 tahun lalu, negeri Kelantan di bawah kerajaan PAS terbentuk. 12 tahun sebelumnya, kerajaan PAS kali pertama di Kelantan runtuh selepas 18 tahun memerintah. Tempoh 12 tahun BN memerintah cukup memahamkan rakyat Kelantan bahawa PAS harus diberi peluang kali kedua untuk kembali memerintah. Kini usia kerajaan PAS di Kelantan memasuki tahun ke 25.

Kini rakyat Kelantan tidak merasa sebarang sebab untuk menukar kerajaan PAS di negeri bertuah ini. Kerajaan PAS bagi mereka adalah kerajaan mereka juga. Sebuah kerajaan rakyat yang merdeka dengan keinginan untuk hidup bersama al Quran dan kekal memacu kemajuan negeri dengannya.

Selama tempoh 12 tahun rebah itu, tiada siapa boleh meneka PAS akan bangkit cepat di Kelantan. Rakyat Malaysia dimomok dengan ketuanan UMNO membela Melayu. Maju negara hanya dengan dan kerana UMMO. Bangsatlah Melayu tanpa UMNO. Hancurlah bangsa-bangsa lain kalau tanpa ihsan UMNO.

Tetapi PAS, jalannya mustaqim (lurus) dan ahlinya istiqamah (berteguh di jalan lurus). PAS memilih Islam sebagai matlamat perjuangan. Justeru PAS memperolehi kekuatannya daripada sumber Islam jua. Al Quran dan al Sunnah, juga sirah nabinya, para sahabat, para ulamak dan para mujahidin yang merintis kemenangan Islam di sepanjang zaman. Tiada kesepian bertemankan sejarah kegemilangan.

Kesusahan adalah makna berjuang. Kemiskinan adalah pelita perjuangan. Fitnah adalah duri di jalanan. Siang menjadi perwira. Malam menjadi hamba. Perjuangan Islam begitu membangkitkan jiwa dan kekuatan.

Akhirnya, dogma tanaman UMNO hancur. Sebuah kerajaan miskin terbentuk di Kelantan di sebelah sebuah kerajaan besar dan kaya raya milik BN. Seorang ulamak 'stail pondok' dikerah memacu Kelantan baru. Pesaingnya bukan menteri-menteri besar lain sepertinya, bahkan pesaingnya adalah seorang Perdana Menteri sebuah negara umat Islam paling maju di dunia. Sebuah persaingan antara dua darjat!

90an bukanlah Malaysia lama. Ia zaman negara Malaysia moden. Kekayaan melimpah ruah. Dunia komputer dan internet berkembang maju. Dalam kegilaan kemajuan kebendaan itu, Kelantan kekal diperkenalkan sebagai sebuah negeri miskin, tercorot, terpinggir daripada arus utama serta jumud dengan ilmu dan cara fikir lama.

Itulah. Kelantan lebih ditunggu ajalnya berbanding diharapkan kehadirannya. Sebuah kerajaan awal 90an yang lahir daripada 'kesilapan' rakyatnya menghukum BN! Nantilah pembalasan..

Tetapi, ceding hadharah Islami tumbuh jua di belantara rimba. Kecil saja. Miskin saja. Sayup-sayup saja. Cuma, ia datang. Kemudian ia terus datang. Ia tidak berundur walau setapak. Langkahnya teratur sekali. Sifatnya subur dan hijau.

Tanpa wang, Kelantan datang memerangi riba. Bank-bank konvensional tiba-tiba terbeliak. Seorang tua miskin menarik wangnya keluar dan memindahkan akaunnya. Alasan, wangku untuk syurga tuhanku, bukan untuk murka tuhanku. Sengit serangan subuh ini dalam jiwa para mata duitan.

Tanpa wang, sistem pajak gadai Islam diperkenalkan untuk rakyat Kelantan. Sistem konvensional rebah TKO di pusingan pertama.

Tanpa wang, sistem pendidikan Islam diperteguhkan. Yayasan Islam Kelantan diberi wang tambah daripada kocek yang hampir kosong. Alasan, ilmu adalah kekayaan. Wang tanpa ilmu adalah kemiskinan.

Tanpa jaminan kekayaan, cuti dua hari seminggu diperkenalkan. Si ibu bersalin diberi tambahan hari cuti. Alasan, kerehatan adalah kekayaan dalam keluarga dan masyarakat. Biar wang memburu kerehatan, bukan kerehatan memburu wang.

Tanpa bimbang, pergaulan bebas dibendung. Enakmen kawalan hiburan Islam diperkenalkan. Eksploitasi wanita disekat. Alasan, wanita adalah lambang maruah dan kemuliaan manusiawi. Wanita bukan kiblat nafsu buas lelaki.

Puluhan pembaharuan, bahkan ratusan, bermula di Kelantan yang kecil, miskin dan sayup-sayup. Serangan terhadapnya begitu sengit dan bertalu-talu. Dibuli, diketuk dan ditukul sesuka hati. Tetapi ia istiqamah. Ia terus merempuh keegoan sang angkuh di Putrajaya tanpa takut dan bimbang. Jika ditanya kenapa? Ia menjawab, inilah hadharah manusiawi. Manusia mesti menjadi manusia. Tiada pilihan. Tahu maksud 'tiada pilihan'?

Akhirnya negeri Kelantan diiktiraf rakyat Malaysia dalam dendam dan kesombongan BN. Kelantan diikat dan dicekik, tetapi rakyat Malaysia berbondongan datang melepaskan ikatan dan cekikan. Kelantan menjadi destinasi pelancongan utama. Pelancongan ugama, budaya, ilmu dan semulajadi. Holistik. Kelantan ibarat sebuah universiti terbuka. Penuntutnya adalah rakyat Malaysia berbilang bangsa.

Hari ini, Kelantan masih bersedih tanpa orang tua itu. Seorang ulamak kebaktian. Dia pergi di antara dua cinta yang saling tarik menarik tetapi kudus. Cinta tuhannya bersambut. Semoga Allah meredhainya dan dia meredhaiNya.

Penggantinya adalah pilihannya. Pilihannya menjadi pilihan rakyatnya. Itu lambang cinta rakyatnya yang tergetus daripada naluri cinta ugama. Semoga Allah memelihara dan memperkukuhkan kedudukan penggantinya yang dipilihnya itu.

Saya mencintai Kelantan. Biarlah ujian menimpa Kelantan. Dari luar atau dari dalam. Susah adalah makna perjuangan. Miskin adalah pelita. Fitnah adalah duri. Kelantan adalah ilmu. Ia cahaya. Ia syurga sebelum syurga. Saya kekal mempertahankan Kelantan dan rakyatnya.

Seperti kata almarhum tuan guru, "Seluruh rakyat Kelantan yang mengundi PAS pada tahun 90 akan terus mendapat pahala berterusan daripada Allah."

Ya, sunnah hasanah terbesar dalam sejarah umat Islam di Malaysia. Wahai rakyat Kelantan, warisilah perjuangan tuan guru. Jangan sia-siakan kehidupan dengan fitnah dan kekalahan kepadanya.

Allahu Akbar Wa LiLlahil Hamd..


Sila kongsi artikel ini...

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membela penduduk Kampung Mutiara

10:35 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Akhbar
George Town, 25 Ogos 2015

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membela penduduk Kampung Mutiara


Semalam, penduduk Kampung Mutiara berjaya menangguhkan tindakan pengusiran tanpa sebarang pampasan yang dikenakan ke atas mereka ekoran perintah mahkamah yang dikeluarkan pada bulan Julai 2015 bagi mendapatkan milikan kosong (vacant possession) untuk tuan tanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran lebih kurang 3.5 ekar.

Perintah mahkamah ini telah dikeluarkan berikutan kes mahkamah yang sudah berlarutan sejak tahun 2007 lagi. Walaupun kes ini merupakan kes antara tuan tanah dan penduduk yang tidak membabitkan tanah kerajaan negeri, namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil prihatin akan kes ini dan bertekad untuk membantu penduduk yang teraniaya.

Kerajaan Negeri bertekad membela penduduk

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri mengambil maklum akan kemelut yang dihadapi penduduk Kampung Mutiara dan telah mengarahkan agar saya membantu dalam usaha mencari penyelesaian. Tambahan lagi, beliau juga menekankan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang pembangunan di tanah tersebut selagi penduduk tidak diberi pampasan adil.

Walaupun tindakan yang diambil oleh tuan tanah untuk mengusir penduduk tanpa pampasan ini tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, namun ia bertentangan dengan garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mensyarakatkan bahawa penduduk harus diberi pampasan sebelum pelan pembangunan diluluskan. Ini merupakan kelumrahan di Pulau Pinang sejak tahun 2008, dan contoh terdekat adalah kampung bersebelahan Kampung Mutiara, iaitu Kampung Chetty, yang diberi pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan. Pampasan ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara.

Justeru, pada 10 Ogos yang lalu, saya bersama Adun Tanjong Bunga Teh Yee Cheu telah membuat sidang akhbar bersama penduduk kampung, di mana kami telah membantah keras pengusiran tanpa pampasan ini. Pada masa yang sama, kami juga mengumumkan akan menolak sebarang pelan perancangan di atas tanah tersebut sekiranya penduduk tidak diberi pampasan yang adil.

Pada masa yang sama, saya juga telah berhubung dengan Jagdeep Singh Deo selaku Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan beliau dengan segera telah menyediakan rumah PPR sebagai penginapan sementara, dalam senario berlakunya perobohan rumah. Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dato’ Rashid Hasnor juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Mutiara untuk membeli rumah kos rendah atau kos sederhana rendah, sekiranya mereka diusir.

Bantahan kami telah berjaya apabila kurang seminggu selepas sidang akhbar saya dan Teh Yee Cheu, tuan tanah sendiri telah menghubungi saya melalui telefon, di mana beliau menyatakan keterbukaan untuk berjumpa bagi membincangkan masalah kampung tersebut. Selepas itu, tuan tanah juga menghubungi Dato’ Rashid Hasnor dan mengulangi ketersediaannya untuk berjumpa dalam masa terdekat.

Kerajaan Negeri difitnah Pas, walaupun usaha diiktiraf Umno

Walaupun pendirian dan usaha Kerajaan Negeri jelas dalam perkara ini, namun masih terdapat pihak-pihak tertentu, khususnya sesetengah pemimpin Pas negeri Pulau Pinang, yang masih menabur fitnah bahawa kononnya Kerajaan Negeri tidak membantu penduduk. Saya menyelar tuduhan-tuduhan tidak berasas ini, dan menyeru agar tenaga dikerah bagi membantu penduduk dan bukannya untuk menyebarkan tohmahan.

Malah, sumbangan Kerajaan Negeri dalam kes Kampung Mutiara telah diiktiraf oleh Umno sendiri, apabila Dato’ Ahmad Ismail, pemimpin Umno Bukit Bendera, dalam ucapannya semalam kepada penduduk Kampung Mutiara telah menyampaikan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, khususnya Dato’ Rashid Hasnor serta saya sendiri selaku Ahli Parlimen kawasan Bukit Bendera atas usaha kami untuk membantu penduduk kampung.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Dato’ Ahmad Ismail, isu Kampung Mutiara bukannya isu politik dan tidak seharusnya diputar belitkan oleh sesiapa pun. Jelas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang gigih berusaha bersama dengan pihak-pihak lain untuk mencari penyelesaian bagi kemelut yang dihadapi penduduk kampung.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang


Sila kongsi artikel ini...

Nasib Anak Muda dan Malaysia Hari - Raja Bahrin Shah.

10:20 PM 0 Comments A+ a-



NASIB ANAK MUDA DAN MALAYSIA HARI

Kita yang telah lebih dari separuh umur ini menghadapi situasi yang tidak pernah kita lalui dan tidak menjangka akan bolih berlaku dalam Negara yang di sayangi ini. Bagi mereka yang baru mula berkerja mereka bergelut dengan kos sara hidup tinggi dan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Anak muda hari ini pula menghadapi berbagai cabaran dan dugaan yg amat hebat sebelum mereka tamat pengajian dan sebelum dapat berkerja lagi. Krisis keyakinan dalam Negara kepada kerajaan amat parah dan nilai wang Malaysia di luar Negara jatuh begitu teruk sekali.

Anak muda Mahasiswa hari ini cerdik dan celik maklumat. Mereka tidak bolih dan tidak rela di perbodohkan olih mana mana pihak. Berbekalkan ilmu di dada, semangat yang berkobar serta tenaga muda yang dinamik mereka terpanggil untuk bertindak.

Mahasiswa yang menjemput Ahli Parlimen yang merupakan pakar ekonomi untuk memberi kuliah di sebuah Universiti UIA tempatan tentang situasi ekonomi semasa telah di gantung pengajian mereka. Mereka hanya dahagakan maklumat dan ilmu semasa bukan ketagih dadah. Anak muda yang hanya menyeru pemerintah di ganti kerana keadaan Negara yang sudah parah di tangkap di bawah akta yang hukumannya amat berat sekali. Bagaimana pun Ini tidak melunturkan semangat ikon anak muda Malaysia saperti Adam Adli dan Safuan Anang untuk terus mendesak walaupun mereka di penjarakan..

Terkini anak muda mahasiswa berkemah secara aman di luar Parimen menuntut pemerintah yang gagal mengurus Negara dengan baik di tukar, tetapi 17 dari mereka di muatkan kedalam lori olih Polis dan di kurung dalam Penjara Jinjang. Diantara yang di kurung di dalam adalah Khairul Najib, Lau Yi Leong dan Mustapha Kamal. Yang menunggu diluar pada malam 25 Ogos bersama saya di Penjara Jinjang adalah ketua gerakan mahasiswa Muqit Mohd dan Shukri serta ramai rakan rakan muda yang lain. Mendengar kuliah bebas tak bolih, bersuara tak bolih dan berkemah di luar Parlimen pun di tangkap. Apa yang bolih untuk anak muda kita.? Adakah Kerajaan kita hanya berminat menglahirkan generasi mahasiswa anak muda yang pekak, bisu dan buta ?

Saya meninggalkan acara menyambut setahun hari kelahiran anak saya , Bariq Umar, malam 25 Ogos itu untuk bersama mereka dalam saat dugaan hebat yang mereka hadapi. Tiada apa yang lebih penting dari memperjuangkan masa depan anak anak kita serta mahasiswa yang akan menerajui Negara kita satu hari nanti- In Sya Allah.

Sudah sampai masanya semua pihak memberi komitmen yang tinggi menangani masalah meruncing Negara. Tinggalkan lah pejabat berhawa dingin kita, bilik Kuliah kita, keselesaan rumah kita serta ruang Masjid dan Surau kita untuk seketika untuk turun kebawah bersama rakyat menyatakan kebimbangan dan penentangan apa yang berlaku di Negara kita hari ini. Islam menyuruh kita menegur kezaliman sekurang kurangnya dengan hati, atau mulut dan jika perlu dengan tangan. Tampa masa depan baik untuk anak muda tidak akan ujud sebuah Negara yang berdaulat dan Merdeka. Hanya beberapa hari lagi sehingga 31 Ogos 2015 hari Merdeka kita. Merdeka kan lah minda kita dari di kongkong, di ugut dan di jajah dengan menuntut keadilan untuk semua dengan turun ke Jalan Raya pada hujung minggu ini. "Bersih" kan lah segala yang telah mencemarkan Negara kita demi Agama, Negara dan Bangsa Malaysia yang Bersatu, In Sya Allah- God Willing.

Raja Bahrin Shah.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

(Di luar Lokap Berpusat Jinjang- malam ini-17 mahasiswa di tangkap di luar Parlimen di bawa ka Lokap di bawah 124 B........termasuk Khairul Najib)



Sila kongsi artikel ini...

Kerajaan Negeri Melaksanakan Kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) Ke Sungai Langat

10:09 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA YB TUAN HAJI ZAIDY BIN ABDUL TALIB

KERAJAAN NEGERI MELAKSANAKAN KEMUDAHAN PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR (PAMPS) KE SUNGAI LANGAT

26hb Ogos 2015 / 11 Zulkaedah 1436H

1. Melalui persetujuan di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Pahang, penyaluran air mentah sebanyak 500 JLH daripada Sg. Semantan, Pahang ke Sg. Langat dengan menggunakan kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) telah dilaksanakan.

2. Buat pertama kalinya air daripada Sungai Semantan telah dipam pada 24 Ogos 2015 pada jam 10.16 malam apabila kapasiti Empangan Sg. Langat menurun sehingga 44.24%. Sebanyak 300 JLH air dipam bagi proses penyaluran pertama kali ini dan masuk ke dalam Sungai Langat melalui terowong outfall pada jam 8.30 pagi semalam.

3. PAMPS adalah sebuah projek yang merangkumi pemindahan air mentah dengan kapasiti 1,890 JLH daripada Sg. Semantan di Pahang melalui terowong sepanjang 44 km terus ke LPA Langat 2. Bagaimanapun pembinaan LPA Langat 2 dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2019.

4. Bagi mengoptimakan kemudahan PAMPS sedia ada dan meningkatkan kebolehdapatan sumber air di Lembangan Langat, penyaluran awal sebanyak 500 JLH telah dilaksanakan. Caj sebanyak RM 50,000 atau RM 0.10 bagi setiap meter padu yang disalurkan akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi penyaluran tersebut sebagaimana perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

5. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyelaras penyaluran air mentah tersebut di Negeri Selangor dan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Pahang di Negeri Pahang. Manakala operasi pengepaman akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh KementerianTenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

6. Penyaluran awal air mentah ini juga merupakan salah satu langkah mitigasi bagi tujuan mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sg. Langat yang kini berada pada kapasiti 45.07%. Dengan penyaluran tersebut, pelepasan daripada Empangan Langat dan pengepaman daripada Empangan Semenyih telah dihentikan. Ianya juga adalah satu langkah untuk menangani gangguan bekalan air yang disebabkan oleh henti tugas LPA utama di Sg. Langat iaitu LPA Cheras, Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi semasa musim kering oleh kerana kurangnya kadar pencairan dan peningkatan parameter ammonia di dalam sungai.

7. Selain itu, ianya juga adalah untuk menangani isu penurunan paras air Sungai. Langat yang memberi kesan kepada LPA di mana pengepaman tidak dapat dijalankan disebabkan paras air sungai yang rendah. Justeru, penyaluran awal air mentah daripada Pahang ini disasarkan untuk membantu menangani isu tersebut sementara kemudahan LPA Langat 2 siap sepenuhnya.

8. Akhir sekali, Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan mengharapkan langkah yang dilaksanakan ini dapat menangani beberapa isu sumber air di negeri Selangor terutamanya di lembangan Sungai Langat.

Sekian, terima kasih.

YB TUAN HAJI ZAIDY ABDUL TALIB
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.



Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media YB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin

10:03 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO


26 OGOS 2015

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri. Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan Saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda UMNO dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state). Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.

Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi. Saya lakukan ini kerana saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam UMNO sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita. Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan. Seorang Ketua Bahagian di negeri Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada UMNO cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam UMNO lebih 40 tahun. Malah, ketika UMNO diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula UMNO di Johor sehingga UMNO kembali kuat dan negeri Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum. Saya juga tetap setia bersama parti ketika UMNO menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara. Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO


Sila kongsi artikel ini...

Mahfuz Omar: Pegawai-Pegawai Kerajaan Diseru Tampil Untuk Mendedahkan Salahguna Kuasa

1:22 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA.

PENDEDAHAN BEKAS TIMBALAN PENGARAH CAWANGAN KHAS PDRM

PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN DISERU TAMPIL UNTUK MENDEDAHKAN SALAHGUNA KUASA

1. Meneliti pendedahan terkini yang dilakukan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) PDRM, Dato Abdul Hamid Bador khususnya berhubung dengan siasatan ke atas skandal 1MDB dan kes-kes lain yang berkaitan dengannya, telah dengan sendirinya membuktikan berlakunya.dua (2) perkara yang jelas melanggar undang-undang iaitu :

i) Campur tangan oleh pihak tertentu di dalam kerajaan yang dipercayai rapat dengan Perdana Menteri untuk menghalang siasatan pihak berkuasa ke atas 1MDB dan penyaluran wang RM42 juta dari SRC International ke akaun Perdana Menteri serta menyembunyikan tiga saksi penting kes tersebut; dan

ii) Pihak polis khususnya Cawangan Khas kelihatan diarah mencampuri urusan politik atau diperalatkan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

2. Berhubung dengan pendedahan Dato Hamid bahawa terdapat pihak tertentu yang membantu menyembunyikan 3 saksi penting kes 1MDB dan juga tindakan menggunakan pihak polis untuk menghalang siasatan yang dijalankan olih pegawai-pegawai SPRM, ianya mengesahkan lagi pelbagai dakwaan yang timbul sebelum ini betapa kalangan yang rapat dengan Perdana Menteri di dalam kerajaan berusaha menggunakan pelbagai cara untuk menghalang siasatan yang adil dan telus ke atas kes 1MDB khususnya penyaluran wang RM 42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri.

3. Dengan pendedahan mengejutkan ini, saya tertanya-tanya apa lagi keyakinan yang dapat diberikan kepada pihak berkuasa khususnya PDRM. Di saat Malaysia bergelut dengan masalah ekonomi akibat dari kejatuhan ringgit, fakta betapa insitusi penting negara hilang integriti akibat salah guna kuasa dan campur tangan politik melampau akan hanya mempercepatkan lagi kehancuran negara ini. Tidak mustahil jika tiada tindakan drastik diambil berkaitan pendedahan Dato Hamid ini, krisis keyakinan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bukan sahaja melanda PDRM tetapi turut menjalar ke institusi-insitusi lain seperti badankehakiman dan sebagainya.

4. Dalam konteks pendedahan ini, saya memuji langkah berani yang diambil Dato Hamid yang sanggup menggadaikan nyawa, kedudukan dan pangkat apabila tampil ke depan mendedahkan penyelewengan dan sikap buruk Kerajaan yang diterajui olih Umno Barisan Nasional yang sanggup menjahanamkan negara demi mengekalkan kuasa politik mereka. Dalam masa yang sama, saya juga merasa risau terhadap keselamatan diri dan keluarga Dato Hamid yang sudah tentu berdepan dengan pelbagai risiko di atas pendedahan berani yang dilakukan. Saya berharap beliau tidak gentar dengan sebarang ugutan. Saya juga berharap agar kerajaan tidak menggunakan sebarang ‘taktik kotor’ samada dengan menggunakan undang-undang atau cara di luar undang-undang untuk menghalang pendedahan Dato Hamid.

5. Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada lain-lain pegawai kanan kerajaan untuk tampil ke depan samada secara terbuka atau sebaliknya untuk mendedahkan apa jua maklumat tentang perbuatan jenayah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh segelintir mereka yang berada di dalam kerajaan. Saya dan pimpinan-pimpinan parti-parti pembangkang negara ini bersedia mendengar dan juga menggunakan apa jua ruang yang ada untuk melindungi pegawai-pegawai terbabit.

6. Tanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini dari kerosakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan kerajaan UMNO/BN bukanlah menjadi tangungjawab parti-parti pembangkang sahaja. Ianya adalah kewajipan setiap dari kita rakyat Malaysia termasuk pegawai pegawai kanan kerajaan dan kakitangan kerajaan yang cintakan negara ini sebagai tanah tumpah darah kita. Jadikan ulang tahun Kemerdekaan negara ini kali ke 58 pada 31 Ogos ini sebagai titik tolak untuk ‘memerdekakan’ diri kita dan negara kita Malaysia dari belenggu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pengkhianatan amanah yang dilakukan oleh kerajaan UMNO/BN.

"SEHATI SEJIWA,SELAMATKAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

26 Ogos 2015/11 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Selesaikan Status Projek Plaza Rakyat Dan Pudu Sentral - Nurul Islam Mohamed Yusoff

1:01 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF

Timbalan Ketua


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

12 ZULKAEDAH 1436 | 26 Ogos 2015

SELESAI STATUS PROJEK PLAZA RAKYAT DAN PUDU SENTRAL

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menuntut penjelasan status perkembangan terkini daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berkaitan berhubung dua projek utama di Kuala Lumpur iaitu Plaza Rakyat dan Pudu Sentral.

Projek Plaza Rakyat telah terbengkalai kira-kira 20 tahun lalu. Kontraktor utama projek berkenaan iaitu Plaza Rakyat Sdn Bhd (PRSB) dilanda masalah akibat daripada Krisis Kewangan Asia 1997/1998. Sehingga ke hari ini, tiada berita lanjut mengenai perancangan keseluruhan projek tersebut termasuk pemaju yang akan dianugerahkan kontrak tersebut.

Pada tahun lalu, sebuah syarikat Ivory Properties Group Berhad dikatakan telah memenangi bidaan untuk mengambil alih projek berkenaan namun telah ditolak oleh DBKL atas faktor-faktor yang tidak diperincikan. Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur telah berikrar pada tahun lalu untuk memulihkan projek tersebut namun difahamkan perundingan bersama PRSB masih belum dimuktamadkan.

Hentian Pudu Raya yang telah dinaiktaraf sejak tahun 2011 kepada Pudu Sentral dengan kos berjumlah RM 52 juta telah diarah untuk berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan. Mengapa Pudu Sentral diarah berpindah sedangkan ia baru sahaja dinaiktaraf dengan kos yang tinggi? Adakah arahan ini turut memberi kesan kepada pembangunan setempat yang turut melibatkan Plaza Rakyat? Jika ya, apakah projek sebenar yang akan dibangunkan di kawasan tersebut?

Sekian, terima kasih.


Sila kongsi artikel ini...

Khairuddin Abu Hassan: Laporan Polis Keatas Akaun Peribadi Najib Tun Razak Dan Penipuan Arul Kanda Kandasamy Di Ibu Pejabat Polis Jalan Cantonment, Singapura

12:40 PM 0 Comments A+ a-

LAPORAN POLIS KEATAS AKAUN PERIBADI NAJIB TUN RAZAK DAN PENIPUAN ARUL KANDA KANDASAMY DI IBU PEJABAT POLIS JALAN CANTONMENT, SINGAPURA


oleh:
Khairuddin Abu Hassan


Saya telah membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis jalan cantonment, singapura keatas kes akaun peribadi najib tun razak serta penipuan arul kanda kandasamy mengenai simpanan tunai brazen sky limited (anak syarikat 1MDB) di bank BSI singapura.

Laporan polis di singapura telah dibuat secara rasminya pada jam 10:30 pagi di jabatan 'Commercial Affairs Department' di ibu pejabat polis singapura yang terletak di jalan cantonment.


Sekali lagi, memandangkan kes akaun peribadi najib tun razak telah melibatkan 'Falcon Private Bank' yakni 'Swiss Private Banking' cawangan singapura maka secara langsung ianya mempunyai satu asas yang kukuh agar laporan polis dibuat di singapura agar pihak 'Legal Enforcement Authority' di sini dapat menyiasat kes ini secara professional dan telus di bawah pengubahan wang haram.

Pihak penyiasat dari 'Commercial Affairs Department' singapura telah memberi jaminan untuk menyiasat kes ini secara komprehensif berteraskan segala bahan bukti yang telah diberikan kepada mereka oleh saya.

Secara peribadi saya amat sedih dan kesal dengan sikap penguatkuasa undang-undang di negara kita yang nampak tidak ikhlas untuk menyiasat kes skandal 1MDB ataupun kes-kes yang menjadi polemik di negara kita secara adil, telus, saksama mahupun professional.

Kalangan ini lebih gemar mengikut telunjuk 'tangan ghaib' serta nampak takut untuk bertindak secara adil dan saksama di dalam membela kepentingan rakyat jelata!!

Begitu juga dengan satu laporan polis turut dilakukan keatas arul kanda kandasamy yang telah membuat kenyataan berunsur 'fitnah' serta menipu di dalam kes simpanan wang tunai berjumlah usd1.103 billion di bank BSI singapura.

Demi untuk menyelamatkan negara kita dari sebarang unsur penyelewengan dana syarikat 1MDB serta untuk mencari kebenaran hakikat punca permasalahan syarikat ini maka adalah wajar untuk saya serahkan kepada undang-undang antarabangsa bagi menyiasatnya secara telus mahupun adil kerana mereka tidak mempunyai kepentingan langsung dalam kes skandal kewangan ini!!

Saya juga berharap tindakan ini akan menjadi satu pengajaran kepada mana-mana pihak yang berkompromi dengan salah-laku bahawa mereka tidak akan selamat dan tidak boleh dilindungi kerana pelbagai sumber undang-undang boleh mendakwa setiap unsur penyelewengan yang dilakukan secara tidak amanah yang membabitkan kepentingan rakyat.

Apa jua yang bakal menimpa diri; saya berikrar untuk melawan segala bentuk kemungkaran dan penyelewengan di negara kita secara habis-habisan kerana najis rasuah yang jijik ini bakal meruntuhkan keseluruhan bangsa mahupun negara kita!!

Sesiapa saja yang tidak amanah tanpa mengira pangkat serta darjat walaupun beliau seorang Perdana Menteri sebagai contohnya harus dikemukakan ke muka pengadilan atas setiap perbuatan mungkar mereka!!
 
s






Sila kongsi artikel ini...

Selamat Datang Stacy - Dewan Pemuda PAS Malaysia

6:24 AM 0 Comments A+ a-



Selamat Datang Stacy

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Stacy Anam yang telah memeluk agama Islam baru-baru ini. Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikah Stacy Binti Anam telah melafazkan kalimah syahadah di Pejabat Agama Johor Bahru, Johor.

Beliau yang kini popular dengan lagu "Not For Sale" namun ianya tidak menghalang Stacy untuk mengukir satu lagi sejarah baru dalam kehidupannya. DPPM juga berharap Stacy menjadi seorang lagi artis muslimah contoh kepada para peminat seni di Malaysia.


DPPM mendoakan agar Stacy istiqamah dalam mendalami agama Islam dan menjadi seorang muslimah yang sejati. Semoga dengan islamnya Stacy dapat membuka pintu hati keluarga beliau dan seluruh artis yang bukan beragama Islam untuk sama-sama mendalami agama Islam.

Ir. Khairil Nizam Khirudin
Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...

Siapa sebenarnya yang ‘membangsatkan’ Melayu, Najib? - Dr Dzulkefly Ahmad

2:08 AM 0 Comments A+ a-

oleh: Dr Dzulkefly Ahmad

Tidak pasti apa respons saya sebenarnya. Sedih atau suka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kata Melayu akan jadi 'bangsat' sekiranya Umno kalah dan hilang kuasa kerajaan persekutuan.

Secara ikhlasnya memang ada perasaan sedih dan kecewa mengenangkan masih ramai orang Melayu yang percaya akan khurafat dan doktrin hanya Umno mampu membela Melayu. Untuk membebaskan Melayu daripada doktrin ini sangat sukar.

Orang Melayu khasnya di luar bandar bahkan juga di bandar, yang kurang bermaklumat atau mendapat maklumat daripada akhbar perdana seperti Utusan dan RTM, akan terus percaya hanya Umno yang mampu membela Melayu.


Ya, memang sedih dan kesian orang Melayu terbelenggu dengan khurafat ini. Mereka kekal dalam politik perlindungan atau ‘patronage’ ini. Mereka mudah ditakut-takutkan atau diugut. Mungkin sampai kiamat agaknya.



Hendak ketawa dan merasa lucu ya juga, sebab PM ini tidak habis-habis hendak 'berjenaka'. Dengan ‘expose' atau pendedahan yg dibuat media antarabangsa seperti WSJ dan New York Time (NYT) tentang pelbagai skandal, termasuk terkini hal 'derma', melibatkan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat syarikat 1Malaysian Development Berhad atau 1MDB, dia masih mencuba. Ini melucukan.

Kalau dulu Umno memang jelas membantu rakyat khasnya orang Melayu. Contoh mudah, allahyarham Tun Razak, ayahanda Najib, membangunkan kaum Melayu dan Bumiputera dengan projek pembangunan seperti Felda. Sebaliknya, hari ini Umno di bawah Najib merungkaikan dan merencat usaha membangunkan warga peneroka.

Kini mereka dimangsakan. Ketika Felda Global Venture (FGV) akhirnya disenaraikan menjana hampir RM10 bilion, 112, 635 peneroka hanya diperuntukkan 91 juta saham dan berakhir dengan mendapat kurang daripada satu lot (800 unit). Mereka meminjam RM3,563 untuk membeli saham tersebut. Mutakhir, harga saham Felda merudum tinggal RM1.50 sesaham berbanding RM4.55 sesaham ketika diapung dulu. Peneroka terbeban hutang kerana membeli saham dahulu. Yang untung pihak korporat dan pengurusan. Yang merana peneroka. Umno membela peneroka Melayu?

Umum belum melupai bagaimana FGV Berjaya membeli 51% pegangan saham Koperasi Peneroka Felda (KPF) dalam Felda Holding Berhad (FHB) dengan harga murah daripada sepatutnya sebanyak RM4.1 bilion. Sekali lagi Melayu yakni kelompok peneroka ditipu korporat Melayu Umno!

Ramai yang mula celik sekarang ini dan tahu peneroka yg mengusahakan kebun sendiri mendapat pendapatan lebih lumayan daripada berurusan dengan pihak korporat Felda. Ada juga pihak tertentu terbukti sabit menipu peneroka tentang perahan minyak sawit.

Tun Razak sebagai Umno Asal atau Original, bangunkan Melayu, Umno sekarang tipu Melayu. Inilah 'Melayu tipu Melayu'.

Cerita terkini tentunya hal 1MDB. Bayangkan dana berbilion ringgit yang boleh digunakan untuk membangunkan orang Melayu dan juga kaum lain kalau tidak digunakan untuk 'bailout' dan selamatkan 1MDB. Hutang korporatnya mencecah lebih RM42 bilion. Seandainya gagal dilunaskan 1MDB, semua akan terbeban ke atas kerajaan persekutuan.

Berapa kali kerajaan bailout dengan diberi pula line kredit RM950 juta untuk digunakan 1MDB bila-bila masa.

Nah, bayangkan kalau tidak ada Umno dan Najib, maka tidak akan ada angkara 1MDB. Seluruh dana berbilion ringgit ini boleh kita gunakan membangunkan rakyat. Maka sekali lagi Umno bangsatkan rakyat khasnya bangsa Melayu.

Dengan kata lain, sebab angkara Najib dan Umnolah berbilion dana-dana awam ini 'koyak' dek mereka. Jadi siapa yang 'kencing dan tipu' Melayu. Umno!

Satu lagi contoh Najib 'tipu' Melayu ialah dengan menjual tanah diperuntukkan Pak Lah untuk Perbadanan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) kepada 1MDB. Itulah tanah yang kini hendak dibangunkan projek TRX Exchange.

Tanah itu asalnya diberikan kepada PHBB utk dibangunkan oleh mana-mana pemaju Bumiputera sebagai pembangunan hartanah Bumiputera dan akhirnya akan menerbitkan REIT seumpama Amanah Hartanah Bumiputera (ASH) untuk orang Melayu dan Bumiputera. Ini penting untuk bangunkan Melayu supaya memiliki saham dalam aset 'prima' di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

Sebab Najib dan Umno 'tipu dan bangsatkan' Melayu, maka semua perancangan baik dulu dikorbankan Umno hari ini. Menjadi lebih celaka dan bangsat kerana dijual kepada 1MDB dgn harga kroni sebanyak RM60 kaki persegi (kps), tetapi dijual semula kepada seumpama Tabung Haji setinggi RM2,700 kps dan terkini kepada Affin Bank melebihi RM4,700 kps. Apa yang orang Melayu dapat?

Dengan hanya mengambil beberapa contoh ini saja, cukup untuk saya buktikan Umno sekarang ini yang 'membangsatkan' Melayu! Naratif penuhnya terlalu panjang, dengan kisah pembangsatan bangsa Melayu yang sangat mengaibkan. Tolak tepilah hal urusan kewangan yang sangat culas, boros dan khianat yang mengakibatkan rakyat dibebani cukai GST yang ganas regresif.

Najib tidak sedar apabila beliau mengatakan kalau Umno kalah Melayu menjadi bangsat bermakna selain Umno, Melayu akan jadi bangsat! Tetapi hakikat sebaliknya tidak beliau sedari sehingga kini.

Nah untuk menamatkan program 'pembangsatan' Melayu, maka Melayu mesti tolak Najib dan Umno dalam pilihan raya akan datang. Tegasnya, Melayu akan selamat dan sejahtera apabila Umno hilang kuasa di peringkat persekutuan!

Dengan kata lain, siapa yang 'membangsatkan' orang Melayu? Najib dan Umno! –



25 Ogos, 2015.



Sila kongsi artikel ini...

Isu Tanah Dan Perkampungan Melayu di Pulau Pinang - Tuan Iszuree Ibrahim

1:43 AM 0 Comments A+ a-



Isu Tanah Dan Perkampungan Melayu di Pulau Pinang

Oleh Tuan Iszuree Ibrahim | Setiausaha BPPN Pulau Pinang dan AJK Lajnah Tanah PAS Pusat | 25 Ogos 2015





Pada 19 September 2014, selaku perwakilan di Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, Iszuree mempersoalkan mana-mana pembangunan yang melibatkan perkampungan warisan sama ada melayu atau pun bukan melayu, nasib mereka perlulah dibela oleh sebuah Kerajaan Baru yang menang dalam PRU ke 11 pada 2008 yang dipilih rakyat dan tidak sepatutnya bersikap yang sama diambil dengan pentadbiran BN yang mengambil sikap mengabaikan masalah rakyat dan penduduk dengan beralasan memberi laluan kepada projek-projek pembangunan.


Polisi kelulusan pembangunan yang disyaratkan oleh MBPP dan Kerajaan Negeri kini masih mengunakan kaedah lama iaitu pemaju perlu menyelesaikan masalah penduduk "setinggan" di atas tanah pembangunan sebelum kelulusan diberi oleh MBPP . Syarat ini perlu digubal semula dan diubah dengan mensyaratkan Pemaju perlu menyerap penduduk (yang telah bermastautin lebih dari 30 tahun dengan pelbagai aktiviti sosio ekonomi) di kawasan berkenaan dengan menyediakan unit rumah ganti rumah yang bersesuaian di kawasan berkenaan atau dalam perlingkungan kawasan pembangunan tersebut.

Ini akan menggelakkan masyarakat yang telah diwarnai dengan budaya setempat dari dihakis atau dihalau dari kawasan berkenaan. Contoh yang terbaik adalah di George Town di mana kesan pembangunan yang tidak mengambil kira faktor sosio ekonomi dan kebudayaan setempat menyebabkan orang melayu tertindas dan termasuk hilangnya jemaah di Masjid Melayu Jalan Acheh yang tidak mampu menjalankan solat jumaat berjemaah yang terpaksa bergilir dengan Masjid Kapitan Keling.

Kerajaan Negeri tidak langsung berusaha untuk menunaikan manifesto yang dijanjikan pada PRU13 di bawah tajuk WARISAN di mana di dalam manifesto berkenaan Kerajaan Negeri berjanji untuk mewujudkan perlingkungan sempadan perkampungan warisan melayu mahupun bukan melayu contohnya Kampung Batu Uban, Tanjung Tokong, Kampung Mutiara , Kampung Siam, Kampung Ceti dan tiada usaha langsung dibuat setelah janji itu disepakati oleh tiga Parti.

Sebaliknya, Kampung Ceti yang majoriti hampir 90% masyarakat bukan melayu di Batu Feringgi dibela dalam membantu mereka untuk menyelesaikan kemelut perumahan bila dilanda pembangunan. Begitu juga Kampung Siam di Pulau Tikus yang terdiri dari masyarakat Siam menghadapi tindakan makamah untuk diusir dari kawasan yang mereka duduki sejak kurun ke 18 lagi telah dibantu oleh Kerajaan Negeri.

Kenapa tidak pula dibantu oleh Kerajaan Negeri ke atas penduduk Kampung Mutiara dan Kampung yang dihuni oleh masyarakat melayu Islam. Ini menunjukkan amalan yang tidak mencontohi slogan dibawa oleh Kerajaan Negeri Sendiri iaitu CAT(Cekap-Akauntabiliti-Telus).

Jika mereka ikhlas, Kerajaan Negeri yang juga dipimpin oleh TKM 1, YB Dato Rasyid Hasnon perlu tampil menangani isu orang melayu seperti mana beliau pernah berjanji suatu ketika dulu bila mana dilantik sebagai TKM 1 bahawa masalah orang melayu adalah masalah beliau juga dan beliau mendakwa bahawa beliau umpama Ketua Menteri kepada orang melayu dalam suatu ceramah di Pulau Pinang.


Sila kongsi artikel ini...

Kenapa Pasaran Saham dan Matawang Sedunia Bergolak Jatuh - Saiful Bahari Baharom

1:14 AM 0 Comments A+ a-



KENAPA PASARAN SAHAM DAN MATAWANG SEDUNIA BERGOLAK JATUH?


oleh  
Saiful Bahari Baharom


1. Sejurus krisis kewangan dan ekonomi 2008, para analisa ekonomi dan kewangan berpendapat ekonomi dunia bergerak dengan ‘two-track economy” di mana negara-negara maju mengalami kelembapan ekonomi dan negara-negara membangun ekonomi yang cergas.

2. Mengelapai kumpulan negara-negara membangun adalah negara China di mana ekonominya tersangatlah besar hinggakan dengan kuasa ekonomi China, harga barangan asas seperti petroleum, arang (untuk menjana kuasa eletrik), besi, minyak kelapa sawit, dan galian (metals) meningkat naik.

3. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun mengalami ekonomi yang lemah lagi lesu.

4. Amerika Syarikat membuat keputusan untuk melonjakkan ekonominya dengan merendahkan kadar bunganya. Mereka mencetak berbilion-bilion matawang dan menggunakan wang tersebut untuk membeli bon-bon Perbendaharaan Amerika. Duit tunai yang kini di pegang oleh pelabur-pelabur yang menjual bon-bon itu berselerak ke pasaran-pasaran kewangan di negara-negara membangun untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi dari bon-bon yang mereka telah jual tadi. Malaysia adalah salah-satu dari negara penerima aliran tunai AS tersebut.

5. Akhir-akhir ini, ekonomi Amerika telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Bank pusat Amerika di katakan akan menaikkan kadar bunga, “mengostankan” kembali aliran tunai balik ke Amerika. Ini adalah suatu sebab-sebabnya matawang-matawang bebrapa negara membangun jatuh.

6. Di samping itu, negara China pula menunjukkan tanda-tanda ekonominya tidak akan berkembang sekencang tahun-tahun lepas. Dengan itu, permintaan untuk barang-barang asas menurun, membuatkan harga-harga barangan komoditi menurun.

7. Di masa yang sama, susulan dari pemulihan persahabatan di antara Amerika dan Iran, jualan minyak dari negara Iran di jangka akan menambahkan bekalan minyak dunia. Di tambah pula, Amerika sekarang mengeluarkan minyak (untuk kegunaan dalam negeri) dua kali ganda kepada tahap tertinggi dalam tempuh 30 tahun kebelakangan ini. Oleh kerana lebih banyak bekalan dari permintaan, dari tahun 2010 di mana minyak berharga USD110 se tong, sekarang USD40.00 se tong.

8. Oleh kerana sekarang China pula perlu melonjakkan ekonominya, pada minggu lepas China menurunkan nilai matawang Yuannya. Ini adalah untuk membuatkan harga barangan eksportnya lebih murah di pasaran antarabangsa.

9. Ini telah memberi kejutan kepada negara-negara lain, di mana negara-negara lain juga perlu menurunkan kadar pertukaran matawang mereka agar eksport mereka boleh berdaya-saing dengan eksport China.

10. Tetapi yang terutama sekali dalam menyebabkan pergolakan pasaran matawang dan saham adalah penilaian para analisa ekonomi yang mengatakan senario ekonomi dunia sejak dari tempuh 7 tahun lalu akan bertukar dari satu dunia di mana negara China dan negara-negara membangun stabil pertumbuhan ekonominya beralih pula kepada suatu senario dunia di mana bukan sahaja ekonomi China lemah tetapi juga ekonomi-ekonomi ngara-negara membangun yang bergantung kepada jualan eksport komoditi-komoditi asas akan mengalamai kelembapan ekonomi, beserta ekonomi Eropah yang masih terbelenggu sejak tahun 2008.

Hanya Amerika Syarikat di antara kuasa-kuasa ekonomi besar dunia yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang meningkat.

s


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Lajnah Pembangunan Tanah & Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia

12:02 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Zulkaedah 1436 | 25 Ogos 2015

1. Harga Saham FGV yang kian merudum ke paras RM1.24 merupakan malapetaka ke atas warga Felda pemegang saham tersebut. Sekaligus ia menggugat punca rezeki mereka yang telah tergadai kepada jaminan kerajaan. Kini jaminan itu kian rapuh sebagaimana integriti Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang masyhur dipertikaikan.


2. Sejak awal penyenaraian saham itu lagi PAS konsisten menyatakan bantahan. Kini grafnya kian merimaskan mata dan melajukan degupan jantung peneroka. Mereka mula dibayangi kehilangan tanah dan harta.

3. Impian besar pemimpin pelopor tanah rancangan terbesar ini iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kini seakan-akan musnah. Semuanya angkara diserahkan kepada individu haloba dan tercemar reputasinya untuk mengurus Felda.

4. Malangnya, Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri seakan memusnahkan legasi bapanya itu apabila mengemukakan Isa Samad untuk menerajui Felda. Bermakna juga Najib telah mengkhianati bangsa Melayu yang merupakan peneroka Felda.

5. Inilah sebenarnya siri membangsatkan bangsa sendiri setelah mereka menyebabkan warga Felda menjadi jutawan fakir satu masa lalu seperti yang berlaku di beberapa Felda di Negeri Sembilan.

6. Lalu, modal kapitalis yang sama dicengkam ke atas peneroka memperdaya mereka untuk meletakkan FGV ke Bursa Malaysia dan akibatnya sedang dihitung pada ketika ini hari demi hari.

7. Bahkan Felda mempunyai senarai panjang isu melibatkan ketiadaan peruntukan urus tadbir tanah rancangan untuk membangunkan kediaman generasi kedua. Begitu juga isu dan masalah kehilangan aset, KPF ditendang keluar, tanaman semula, hutang peneroka, harga komoditi, serta belengu-belengu bejatan sosial di kawasan Felda.

8. Semuanya tidak ditangani secara konkrit melainkan warga Felda hanya mahu diperalat untuk kepentingan pemimpin BN. Oleh itu, perjuangan memerdekakan mereka dari belengu BN akan terus diperhebatkan PAS.

USTAZ ROSLAN MD ESA
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah & Peneroka
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.