Mahfuz Omar: Pegawai-Pegawai Kerajaan Diseru Tampil Untuk Mendedahkan Salahguna Kuasa

1:22 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA.

PENDEDAHAN BEKAS TIMBALAN PENGARAH CAWANGAN KHAS PDRM

PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN DISERU TAMPIL UNTUK MENDEDAHKAN SALAHGUNA KUASA

1. Meneliti pendedahan terkini yang dilakukan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) PDRM, Dato Abdul Hamid Bador khususnya berhubung dengan siasatan ke atas skandal 1MDB dan kes-kes lain yang berkaitan dengannya, telah dengan sendirinya membuktikan berlakunya.dua (2) perkara yang jelas melanggar undang-undang iaitu :

i) Campur tangan oleh pihak tertentu di dalam kerajaan yang dipercayai rapat dengan Perdana Menteri untuk menghalang siasatan pihak berkuasa ke atas 1MDB dan penyaluran wang RM42 juta dari SRC International ke akaun Perdana Menteri serta menyembunyikan tiga saksi penting kes tersebut; dan

ii) Pihak polis khususnya Cawangan Khas kelihatan diarah mencampuri urusan politik atau diperalatkan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

2. Berhubung dengan pendedahan Dato Hamid bahawa terdapat pihak tertentu yang membantu menyembunyikan 3 saksi penting kes 1MDB dan juga tindakan menggunakan pihak polis untuk menghalang siasatan yang dijalankan olih pegawai-pegawai SPRM, ianya mengesahkan lagi pelbagai dakwaan yang timbul sebelum ini betapa kalangan yang rapat dengan Perdana Menteri di dalam kerajaan berusaha menggunakan pelbagai cara untuk menghalang siasatan yang adil dan telus ke atas kes 1MDB khususnya penyaluran wang RM 42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri.

3. Dengan pendedahan mengejutkan ini, saya tertanya-tanya apa lagi keyakinan yang dapat diberikan kepada pihak berkuasa khususnya PDRM. Di saat Malaysia bergelut dengan masalah ekonomi akibat dari kejatuhan ringgit, fakta betapa insitusi penting negara hilang integriti akibat salah guna kuasa dan campur tangan politik melampau akan hanya mempercepatkan lagi kehancuran negara ini. Tidak mustahil jika tiada tindakan drastik diambil berkaitan pendedahan Dato Hamid ini, krisis keyakinan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bukan sahaja melanda PDRM tetapi turut menjalar ke institusi-insitusi lain seperti badankehakiman dan sebagainya.

4. Dalam konteks pendedahan ini, saya memuji langkah berani yang diambil Dato Hamid yang sanggup menggadaikan nyawa, kedudukan dan pangkat apabila tampil ke depan mendedahkan penyelewengan dan sikap buruk Kerajaan yang diterajui olih Umno Barisan Nasional yang sanggup menjahanamkan negara demi mengekalkan kuasa politik mereka. Dalam masa yang sama, saya juga merasa risau terhadap keselamatan diri dan keluarga Dato Hamid yang sudah tentu berdepan dengan pelbagai risiko di atas pendedahan berani yang dilakukan. Saya berharap beliau tidak gentar dengan sebarang ugutan. Saya juga berharap agar kerajaan tidak menggunakan sebarang ‘taktik kotor’ samada dengan menggunakan undang-undang atau cara di luar undang-undang untuk menghalang pendedahan Dato Hamid.

5. Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada lain-lain pegawai kanan kerajaan untuk tampil ke depan samada secara terbuka atau sebaliknya untuk mendedahkan apa jua maklumat tentang perbuatan jenayah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh segelintir mereka yang berada di dalam kerajaan. Saya dan pimpinan-pimpinan parti-parti pembangkang negara ini bersedia mendengar dan juga menggunakan apa jua ruang yang ada untuk melindungi pegawai-pegawai terbabit.

6. Tanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini dari kerosakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan kerajaan UMNO/BN bukanlah menjadi tangungjawab parti-parti pembangkang sahaja. Ianya adalah kewajipan setiap dari kita rakyat Malaysia termasuk pegawai pegawai kanan kerajaan dan kakitangan kerajaan yang cintakan negara ini sebagai tanah tumpah darah kita. Jadikan ulang tahun Kemerdekaan negara ini kali ke 58 pada 31 Ogos ini sebagai titik tolak untuk ‘memerdekakan’ diri kita dan negara kita Malaysia dari belenggu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pengkhianatan amanah yang dilakukan oleh kerajaan UMNO/BN.

"SEHATI SEJIWA,SELAMATKAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

26 Ogos 2015/11 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.