Kenyataan Media Lajnah Pembangunan Tanah & Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia

12:02 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Zulkaedah 1436 | 25 Ogos 2015

1. Harga Saham FGV yang kian merudum ke paras RM1.24 merupakan malapetaka ke atas warga Felda pemegang saham tersebut. Sekaligus ia menggugat punca rezeki mereka yang telah tergadai kepada jaminan kerajaan. Kini jaminan itu kian rapuh sebagaimana integriti Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang masyhur dipertikaikan.


2. Sejak awal penyenaraian saham itu lagi PAS konsisten menyatakan bantahan. Kini grafnya kian merimaskan mata dan melajukan degupan jantung peneroka. Mereka mula dibayangi kehilangan tanah dan harta.

3. Impian besar pemimpin pelopor tanah rancangan terbesar ini iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kini seakan-akan musnah. Semuanya angkara diserahkan kepada individu haloba dan tercemar reputasinya untuk mengurus Felda.

4. Malangnya, Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri seakan memusnahkan legasi bapanya itu apabila mengemukakan Isa Samad untuk menerajui Felda. Bermakna juga Najib telah mengkhianati bangsa Melayu yang merupakan peneroka Felda.

5. Inilah sebenarnya siri membangsatkan bangsa sendiri setelah mereka menyebabkan warga Felda menjadi jutawan fakir satu masa lalu seperti yang berlaku di beberapa Felda di Negeri Sembilan.

6. Lalu, modal kapitalis yang sama dicengkam ke atas peneroka memperdaya mereka untuk meletakkan FGV ke Bursa Malaysia dan akibatnya sedang dihitung pada ketika ini hari demi hari.

7. Bahkan Felda mempunyai senarai panjang isu melibatkan ketiadaan peruntukan urus tadbir tanah rancangan untuk membangunkan kediaman generasi kedua. Begitu juga isu dan masalah kehilangan aset, KPF ditendang keluar, tanaman semula, hutang peneroka, harga komoditi, serta belengu-belengu bejatan sosial di kawasan Felda.

8. Semuanya tidak ditangani secara konkrit melainkan warga Felda hanya mahu diperalat untuk kepentingan pemimpin BN. Oleh itu, perjuangan memerdekakan mereka dari belengu BN akan terus diperhebatkan PAS.

USTAZ ROSLAN MD ESA
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah & Peneroka
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.