Kerajaan Negeri Melaksanakan Kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) Ke Sungai Langat
KENYATAAN MEDIA YB TUAN HAJI ZAIDY BIN ABDUL TALIB
KERAJAAN NEGERI MELAKSANAKAN KEMUDAHAN PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR (PAMPS) KE SUNGAI LANGAT
26hb Ogos 2015 / 11 Zulkaedah 1436H
1. Melalui persetujuan di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Pahang, penyaluran air mentah sebanyak 500 JLH daripada Sg. Semantan, Pahang ke Sg. Langat dengan menggunakan kemudahan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) telah dilaksanakan.
2. Buat pertama kalinya air daripada Sungai Semantan telah dipam pada 24 Ogos 2015 pada jam 10.16 malam apabila kapasiti Empangan Sg. Langat menurun sehingga 44.24%. Sebanyak 300 JLH air dipam bagi proses penyaluran pertama kali ini dan masuk ke dalam Sungai Langat melalui terowong outfall pada jam 8.30 pagi semalam.
3. PAMPS adalah sebuah projek yang merangkumi pemindahan air mentah dengan kapasiti 1,890 JLH daripada Sg. Semantan di Pahang melalui terowong sepanjang 44 km terus ke LPA Langat 2. Bagaimanapun pembinaan LPA Langat 2 dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2019.
4. Bagi mengoptimakan kemudahan PAMPS sedia ada dan meningkatkan kebolehdapatan sumber air di Lembangan Langat, penyaluran awal sebanyak 500 JLH telah dilaksanakan. Caj sebanyak RM 50,000 atau RM 0.10 bagi setiap meter padu yang disalurkan akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi penyaluran tersebut sebagaimana perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.
5. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyelaras penyaluran air mentah tersebut di Negeri Selangor dan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Pahang di Negeri Pahang. Manakala operasi pengepaman akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh KementerianTenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
6. Penyaluran awal air mentah ini juga merupakan salah satu langkah mitigasi bagi tujuan mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sg. Langat yang kini berada pada kapasiti 45.07%. Dengan penyaluran tersebut, pelepasan daripada Empangan Langat dan pengepaman daripada Empangan Semenyih telah dihentikan. Ianya juga adalah satu langkah untuk menangani gangguan bekalan air yang disebabkan oleh henti tugas LPA utama di Sg. Langat iaitu LPA Cheras, Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi semasa musim kering oleh kerana kurangnya kadar pencairan dan peningkatan parameter ammonia di dalam sungai.
7. Selain itu, ianya juga adalah untuk menangani isu penurunan paras air Sungai. Langat yang memberi kesan kepada LPA di mana pengepaman tidak dapat dijalankan disebabkan paras air sungai yang rendah. Justeru, penyaluran awal air mentah daripada Pahang ini disasarkan untuk membantu menangani isu tersebut sementara kemudahan LPA Langat 2 siap sepenuhnya.
8. Akhir sekali, Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan mengharapkan langkah yang dilaksanakan ini dapat menangani beberapa isu sumber air di negeri Selangor terutamanya di lembangan Sungai Langat.
Sekian, terima kasih.
YB TUAN HAJI ZAIDY ABDUL TALIB
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sila kongsi artikel ini...