Seluruh Malaysia Solat Hajat 'Untukmu SPRM Dan Selamatkan Malaysia Daripada Rasuah Dan Perasuah'. - Mahfuz Omar

10:40 PM 0 Comments A+ a-



SELURUH MALAYSIA SOLAT HAJAT "UNTUKMU SPRM DAN SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA RASUAH DAN PERASUAH".

1. Suasana menekan ke atas SPRM ekoran isu siasatan terhadap Skandal 1MDB yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib telah mengakibatkan penahanan dan siasatan ke atas Pegawai-Pegawai SPRM oleh pihak Polis DiRaja Malaysia. Serbuan, penggeledahan, tangkapan dan siasatan oleh Polis Cawangan Khas cukup menekan mereka dalam usaha untuk memerangi rasuah yang sedang bermaharajalela di Malaysia.


2. Sebagai orang yang punya pengalaman disiasat oleh Polis Cawangan Khas semasa ditahan di bawah ISA, pederaan mental (mental torture) merupakan kaedah yang digunakan untuk menekan tahanan semasa soal siasat. Tujuannya ialah untuk menimbulkan ketakutan dan membuat pengakuan kepada perkara yang kita sendiri tidak lakukan. Saya percaya ini lah juga yang pernah dilalui oleh rakan-rakan saya yang lain yang pernah berhadapan dengan Polis Cawangan Khas.

3. Hanya kekuatan kerohanian dan mental yang mampu menghadapi situasi seperti itu. Di samping doa daripada keluarga dan rakan-rakan untuk ketabahan dan ketenangan diri juga keluarga. Saya percaya inilah yang sedang dihadapi Pegawai dan Kakitangan SPRM yang sedang diganggu keselamatan dan diancam ketakutan ekoran kesepakatan mereka di SPRM BERJIHAD memerangi RASUAH.

4. Sebagai rakyat yang beramanah dan bertanggung jawab mari kita bersama denyut nadi mereka di SPRM mengistiharkan PERANG terhadap RASUAH. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan mereka dan keluarga dalam usaha berterusan memerangi rasuah.

5. Saya menyaran dan menganjurkan kepada umat Islam mengadakan Solat Hajat Untuk mu SPRM dan Selamatkan Malaysia daripada rasuah di seluruh negara selepas Solat Jumaat pada 7 ogos 2015/22 Syawal 1436H. Bersama kita memohon pada Allah untuk kekuatan dan keselamatan mereka di SPRM dan keluarga mereka untuk menghadapi ancaman daripada penyangak dan pengkhianat Negara atas usaha dan Jihad berterusan terhadap rasuah.

6. Ya Allah, Kau lindungi lah mereka di SPRM dan keluarga mereka. Berilah kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada mereka menghadapi cabaran yang getir ini untuk memerangi kebencian Mu Ya Allah iaitu rasuah dan perasuah negara. Allahumma aamiin.

"SELAMATKAN LAH MEREKA DAN MALAYSIA TERCINTA".

DATO' MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.

5 Ogos 2015/20 Syawal 1436.


Sila kongsi artikel ini...

Benarkah Akaun Najib Di Ambank Itu Trust Account UMNO? - Wan Ahmad Fayhsal

10:32 PM 0 Comments A+ a-



BENARKAH AKAUN NAJIB DI AMBANK ITU TRUST ACCOUNT UMNO?


Disebabkan pengesahan SPRM berhubung duit "sumbangan" dari luar berjumlah RM 2.6 bilion disahkan dan Najib juga tidak akan sama sekali The Wall Street Journal (WSJ) maka bahan bukti yang kononnya fitnah adalah sah untuk kita kaji dan fahami.

Tak ramai yang teliti lampiran bukti WSJ yang menunjukkan peranan Nik Faisal Ariff Kamil yang kini telah lari ke luar negara yang merupakan Pengarah SRC International Sdn. Bhd (dahulunya anak syarikat di bawah 1MDB) adalah salah satu pemegang amanah yang diberikan kuasa untuk mengurus selia akaun Najib di Ambank.

Seperti tertera pada gambar lampiran di atas ada TIGA AKAUN yang berkait dengan Najib.

Kalau benar ini akaun pemegang amanah duit parti UMNO, kenapa bukan Bendahari UMNO yang memiliki "power of attorney" untuk uruskan akaun amanah tersebut?

Kenapa Nik Faisal dari SRC International?

Adakah beliau ahli UMNO?

Adakah Majlis Tertinggi tahu hal ini khususnya Muhyiddin?

Adakah akaun-akaun tersebut telah diaudit?

Ke mana pergi duit-duit tersebut setelah akaun ditutup?

Kenapa semua ini sangat pelik dan kabur??!!













Posting asal Wan Ahmad Fayhsal di Facebookl


Sila kongsi artikel ini...

Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International - SPRM

9:58 PM 0 Comments A+ a-

Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International


Susulan kepada kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu SRC International atau pun mengenai dana RM2.6 bilion.
Oleh itu, SPRM mahu menjelaskan beberapa perkara.


SIASATAN BERKAITAN 1MDB
Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB. Sebaliknya, siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia. SPRM berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.

SUMBANGAN DANA RM2.6 BILION DITERIMA OLEH PERDANA MENTERI
Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu. SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri.
Bagaimanapun untuk makluman orang ramai, SPRM telah memperoleh penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada YAB Perdana Menteri. SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun YAB Perdana Menteri. Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.
SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut.
Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB.
Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara Malaysia yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.
Sehubungan itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.

SIASATAN MENGENAI SRC INTERNATIONAL
SPRM juga ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza.
Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup. Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.
Diharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM. SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Adalah diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi.
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

KEDUDUKAN PASUKAN PETUGAS KHAS
Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3 Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas. Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.
Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.
Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
5 OGOS 2015


Sila kongsi artikel ini...

Pemimpin BN Menyusahkan Semua Orang - Idris Ahmad

9:54 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Pemimpin BN Menyusahkan Semua Orang.
Ustaz Idris Hj Ahmad
Naib Presiden Pas
5/7/15


Tugas pemimpin negara menyenangkan rakyat, bukan menyusahkan rakyat. Apa yang berlaku kepada pemimpin BN menyusahkan semua pihak daripada rakyat biasa, SPRM, Bank Negara, polis, pejabat peguam negara dan anggota kabinet.

Contohnya Isu 1MDB banyak perkara yang selama ini kita tidak tahu, jadi tahu. Rakyat tidak tahu rupanya ada penderma yang bermurah hati memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi DS Najib. Selepas itu terdedah zaman Tun Mahathir dulu pun ada sumbangan wang daripada pihak tertentu.

Cuma menurut Pengarah Komunikasi dan Strategi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan, pada masa itu Tun menamakan proksi, sehingga sukar untuk menggunkan wang tersebut. Maka zaman DS Najib letak atas nama Presiden Umno supaya memudahkan wang itu digunakan.

Rakyat terkejut kerana bilangannya agak banyak. Sekarang SPRM pening kepala, integriti mereka teruji dan dipermainkan. Berbagai kata-kata dan cemuhan dituju kepada SPRM. Sehingga ada kata-kata , kalau sedikit korruption, kalau banyak komisyen. Kalau 'by hand' rasuah, kalau "bank in"derma. Kalau RM100 korruption, kalau juta komisyen, kalau bilion donation. Semuanya gara-gara kepimpinan negara hari ini yang menyusahkan semua pihak. Kita yakin masih ramai pegawai SPRM yang telus dan tegas di dalam menjalankan tugas, tetapi apa kan daya, hajat tidak kesampaian, kerana mereka mentimun. Insan kerdil yang tidak boleh tegak idealisma perjuangan, akhirnya ada yang sakit jiwa.

Begitu juga pihak Bank Negara juga tertekan. Mana Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. Bukankah kalau kita rakyat biasa jika ada wang yang mencurigai masuk ke dalam akaun bank, maka pihak bank negara boleh menyiasat, daripada mana sumber ini diperolehi. Kalau wang RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadi, apakah tidak ada unsur kecurigaan?. Sekali lagi Bank Negara kempunan!.


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Khairy Jamaluddin Cukup Bodoh - Khairuddin Abu Hassan

7:52 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN KHAIRY JAMALUDDIN CUKUP BODOH



oleh  
Khairuddin Abu Hassan



Khairy jamaluddin memang bangang dan beliau ingat dia boleh perbodohkan rakyat!! Apa saja reka cerita yang beliau cuba katakan untuk menegakkan benang yang basah tidak akan berhasil!!

Tanya budak hingusan KJ ni dia faham tak undang-undang di bawah akta suruhanjaya pencegahan rasuah malaysia?!


Undang-undang di bawah akta sprm secara jelas menyatakan sumbangan kewangan itu adalah rasuah!! Ini undang-undang yang jelas yang termaktub di bawah perlembagaan kita. Janganlah nak ubah tafsiran perundangan untuk ikut citarasa serta keperluan mereka bagi menutup segala kemungkaran yang telah dilakukan!!

Sebagai makluman ikhlas saya kepada budak hingusan KJ ini; hakikatnya rakyat tidak bodoh macam beliau!!

Budak KJ ni agak bangang dan tak faham bahasa!! Dalam isu ini duit sumbangan rm2.6 billion telah dimasukkan dalam akaun peribadi najib tun razak yang juga menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai penggubal undang-undang cukup malu bagi rakyat untuk dengar kenyataan bodoh yang dibuat oleh budak hingusan KJ ni!!

Saya juga nak tanya KJ mana dia resolusi dari MKT umno untuk lantik najib tun razak sebagai pemegang amanah kepada wang sumbangan tersebut?! Mana akaun umno yang diserahkan pada Registrar or Societies (ROS) pada waktu itu?! Ada tak perincian perbelanjaan wang sumbangan ini dalam akaun atau 'book keeping' umno?! Mana bukti resit pembayaran pada lembaga hasil dalam negeri (LHDN)?!

Apakah bank negara malaysia dimaklumkan tentang kemasukkan wang ini dengan jumlah yang amat besar?! Adakah suruhanjaya pilihanraya (SPR) juga telah dimaklumkan mengenai jumlah wang perbelanjaan BN itu?!

Janganlah nak cakap ikut sedap mulut saja kerana kita tertakluk di bawah undang-undang yang amat jelas!!

Kenapa bank negara dan lembaga hasil dalam negeri masih membisu dalam isu wang sumbangan ini yang telah dimasukkan dalam akaun peribadi najib tun razak?!

Di masa depan kalau budak KJ ni nak buat kenyataan; cakaplah secara ilmiah serta komprehensif. Jangan nak tegakkan benang yang basah untuk tutup segala kemungkaran serta salahlaku yang telah dilakukan.

Sekali lagi untuk pengetahuan budak hingusan KJ; yakinilah rakyat tidak bodoh macam beliau!!

s


Sila kongsi artikel ini...

Krisis kepimpinan Najib – 10 Pemimpin Pelajar

7:49 PM 0 Comments A+ a-



Krisis kepimpinan Najib – 10 Pemimpin Pelajar

Episod ketirisan dan agenda menindas rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak bagaikan bertali arus.

Ia bermula dengan peningkatan harga barangan yang disambut dengan implementasi GST sehingga skandal kewangan syarikat pelaburan nasional 1MDB yang mengakibatkan kejatuhan nilai mata wang ringgit dan melemahkan pasaran bon negara.

Kami, barisan pemimpin mahasiswa mewakili golongan mahasiswa seluruh Malaysia menzahirkan kegusaran terhadap kepimpinan Najib.

Kami menggesa beliau untuk memberi penjelasan mengenai persoalan yang timbul mengenai hutang 1MDB dan skandal kewangan yang melibatkan pemindahan wang bernilai USD700 juta ke akaun peribadi beliau.

1. Kewujudan akaun peribadi milik Najib seperti yang didedahkan Wall Street Journal.

2. Penggunaan wang di dalam akaun peribadi tersebut untuk tujuan peribadi dan parti.

3. Kesediaan Najib mengisytiharkan harta sepanjang menjadi perdana menteri dan menjelaskan sumber perbelanjaan mewah beliau dan keluarga.

Rakyat sudah muak dengan polemik dan permainan politik kerajaan pimpinan Datuk Seri.

Perwakilan mahasiswa seluruh Malaysia nyata kecewa dengan sikap tidak profesional dan menuntut kerajaan segera menghentikan sandiwara dan mula mengutamakan rakyat.

Adakah slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sekadar laungan retorik?’

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kabinet walapun sah di sisi undang-undang, namun tindakan Datuk Seri bersifat tidak bermoral lagi tidak berasas dan dilihat bersifat 'politically driven'.

Perkara ini secara langsung membunuh kualiti 'keterbukaan kerajaan' dalam menerima kritikan.

Mahasiswa melihat integriti dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan teramat penting untuk direjuvenasikan bagi membina negara Malaysia yang lebih matang dan berdaya saing.

Selain itu, kerajaan perlu mengangkat suara mahasiswa sebagai ejen ‘check & balance’ negara yang juga merupakan aset negara paling bernilai (modal intelek).

Memetik kata Profesor Diraja Ungku Aziz semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya pada 25 Jun 1971.

Wahai Datuk Seri Najib hayatilah petikan kenyataan Prof Diraja Ungku Aziz;

“Saya dengan ikhlas tidak takut mengatakan saya menyanjung tinggi hasrat mahasiswa hendak melakukan peranan sebagai 'conscience' negara. Pemimpin yang menyeleweng perlu ditunjukkan haluannya, rasuah perlu dibongkarkan, keadaan terbiar perlu diberi perhatian sewajarnya dan kemiskinan desa serta tindasan buruh yang semuanya merupakan penyakit masyarakat harus menjadi perhatian golongan pemuda-pemudi amnya dan MAHASISWA khususnya".

Selamatkan Malaysia! – 5 Ogos, 2015.

Kenyataan bersama:

1. Mohd Ammar Bin Atan
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya

2. Hanif Bin Mahpa
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak

3. Muhammad Sallehudin Bin Khalid
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

4. Abdul Muiz Bin Abdul Hakim
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

5. Mohammad Syahme Bin Baharuddin
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak

6. Mohd Akram Bin Mohd Yusoff
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universti Tenaga Nasional

7. Mohd Khairul Nizam Bin Suhaimin
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka

8. Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

9. Mohd Arif Zaki bin Ali
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Selangor

10. Mohd Abdul Muhaimin bin Zainol
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan.

r


Sila kongsi artikel ini...

Kecam Penangguhan Prosiding PAC Dan Derma RM 2.6 Bilion Untuk Apa? Ir Khairil Nizam

5:40 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA


IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA


6 Syawwal 1436 | 22 Julai 2015


“KECAM PENANGGUHAN PROSIDING PAC

DAN

DERMA RM 2.6 BILION UNTUK APA?”

______________________________________________________________

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan yang menangguhkan prosiding siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke satu tarikh yang tidak pasti.

DPPM tidak boleh menerima alasan penangguhan tersebut hanya kerana bekas pengerusinya YB Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri beberapa hari lalu.

Ini jelas satu tindakan sabotaj yang dilakukan oleh kerajaan. Prosiding siasatan yang dijadualkan bermula pada hari ini dijangka akan memanggil Presiden dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

DPPM melihat tindakan YAB Perdana Menteri yang merombak kabinet baru-baru ini memberi kesan langsung kepada PAC dan tidak menolak kemungkinan untuk menyelamatkan individu-individu penting 1MDB daripada prosiding siasatan termasuk taikun Jho Low.

Sementara itu, DPPM juga menyelar sejumlah RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri sepertimana yang dijelaskan oleh SPRM semalam. Tindakan tersebut boleh terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram yang berleluasa kepada parti-parti politik di Malaysia.

Jika ianya adalah dana untuk parti UMNO, maka kami mencabar pihak UMNO untuk mendedahkan penyata kewangan bagi tahun berkenaan yang telah diserahkan kepada pihak ROS bagi mengesahkan dakwaan transaksi tersebut. Sekian, terima kasih






Sila kongsi artikel ini...

Campur Tangan Kerajaan: Sejauh Mana Siasatan Terhadap 1MDB Kekal Bersih? - Nik Abduh

5:32 PM 0 Comments A+ a-




KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (DPPM)
20 Syawal 1436H I 5 Ogos 2015

CAMPUR TANGAN KERAJAAN: SEJAUH MANA SIASATAN TERHADAP 1MDB KEKAL BERSIH?


Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

1. Siasatan terhadap skandal 1MDB semakin tercemar dengan tindakan campur tangan pihak kerajaan terhadap kumpulan penyiasat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Beberapa tindakan kerajaan ketika ini dilihat tidak profesional dan mengganggu siasatan terhadap 1MDB daripada disempurnakan.

2. Rakyat mengharapkan penjelasan terhadap dakwaan skandal 1MDB dilakukan melalui suatu siasatan yang telus dan bersih. Namun, harapan tersebut ternyata meleset selepas satu demi satu tindakan pihak kerajaan yang mengotorkan ruang siasatan tersebut dan ini sekaligus menjadikan persoalan terhadap skandal 1MDB semakin menemui jalan buntu.

3. Rombakan kabinet dengan melantik Pengerusi PAC yang sedang mempengerusikan siasatan terhadap 1MDB menunjukkan ada campur tangan pihak kerajaan terhadap siasatan 1MDB. Ia juga disusuli pengguguran ke atas Tan Sri Gani Patail yang juga terlibat dalam ‘special task force’ bersama BNM, PDRM dan SPRM.

4. Dalam siasatan yang masih dipertengahan jalan, SPRM pula mendedahkan jumlah RM2.6 bilion yang disuntik ke akaun PM adalah dari ‘penderma’. Mengapa tidak menunggu laporan lengkap daripada PAC, badan yang bertanggungjawab menyiasat segala dakwaan terhadap 1MDB?

5. Kesemua permainan politik ini mengganggu prosiding siasatan. Ia tidak akan menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi negara ketika ini. Malah, ia semakin menambah membarah dalam kepimpinan UMNO/BN hari ini.

6. DPPM tegas mendesak kerajaan agar tidak campur tangan terhadap siasatan yang dilakukan PAC sehingga laporan lengkap siasatan tersebut didedahkan kepada rakyat. DPPM mencadangkan agar PM mengambil cuti dalam tempoh berkenaan supaya siasatan dapat berlaku dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan.

7. Selain itu, DPPM juga menyarankan PAC agar meneruskan siasatan skandal hutang 1MDB sehingga selesai. Laporan penuh siasatan pula mesti dibentangkan secepat mungkin supaya segala kekusutan yang melanda negara segera diselesaikan.

Sekian, terima kasih.


Sila kongsi artikel ini...

SAMM Kecam Penangkapan Petani di SUK Perak

5:24 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
5 Ogos 2015

SAMM Kecam Penangkapan Petani di SUK Perak
Rakyat terus ditindas di halaman sendiri apabila protes Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak yang berlangsung di hadapan pejabat SUK Perak pagi tadi berakhir dengan tangkapan oleh pihak berkuasa.


Isu timbul apabila petani-petani terbabit mendakwa mereka diusir oleh beberapa pihak berkepentingan termasuklah Perbadanan Menteri Besar dan syarikat swasta yang ingin membangunkan kawasan pertanian/penternakan yang diusahakan mereka lebih 50 tahun.

Walaupun pihak Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak sudah menyerahkan 8 memorandum sejak 2013, usaha mereka untuk bertemu dengan Menteri Besar Perak bagi mencari penyelesaian gagal menjadi realiti. Akhirnya seramai 39 orang petani dan aktivis dari sejumlah 200 peserta protes telah diberkas selepas Menteri Besar Perak tidak sudi turun menemui mereka.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak mengecam tindakkan pihak berkuasa yang tergamak menangkap peserta yang terdiri dari golongan petani dan penternak. Bagaimana masalah ini mampu diselesaikan jika MB sendiri tidak pernah bersedia untuk bertemu rakyat? Malah MB juga tidak mampu memberikan satu tarikh pertemuan dengan wakil gabungan petani.

SAMM Perak menggesa agar semua petani dan aktivis yang diberkas supaya dibebaskan segera dari tahanan polis tanpa sebarang dakwaan.

SAMM Perak turut mengucapkan syabas kepada Gabungan kerana dengan berani turun ke pejabat Menteri Besar (SUK) mempertahankan hak bertani. Peristiwa hari ini harus dicontohi oleh semua golongan tertindas di seluruh negara.

Muhammad Sufian
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak



Sila kongsi artikel ini...

Tuan Ibrahim Tuan Man : Membalas Rahman Dahlan

10:46 AM 0 Comments A+ a-




Membalas Rahman Dahlan

Pertama saya ucap terima kasih atas respon Dato Abdul Rahman Dahlan terhadap soalan 'remeh' yang saya kemukakan.

Sekurang-kurangnya ada maklum balas. Perdana Menteri masih berdiam diri meskipun rakyat sudah menanti lebih sebulan sehingga Tun Mahathir Mohamad pun naik angin.

Padahal bukan payah sangat untuk PM menjelaskan bahawa: "Ini sumbangan derma dari penderma perihatin." Peliknya mengapa PM tidak menjawab sedemikian ketika WSJ melakukan tuduhan ke atasnya. Mengapa PM menjawab ‘Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri’ dan bukannya terus menempelak WSJ dan berkata duit itu duit derma?

Setelah sebulan, akhirnya yang membuat kenyataan itu ialah SPRM.

Apakah kini PM yakin rakyat akan percaya wang itu dari sumbangan derma hanya kerana SPRM mengumumkan sedemikian?

Rakyat nak tahu ke mana hutang RM42 billion yang kini menjadi liabiliti kepada 1MDB dibelanjakan. Itu pun kerana yang menjamin hutang tersebut ialah rakyat. Kalau yang menjamin ialah besan PM di Kazathstan tak apalah pula.

Namun kini isu 1MDB ini merebak sehingga terdedahnya akaun PM pernah menerima dana RM2.6 bilion – di mana mengikut perkiraan matematik, 29 juta rakyat Malaysia perlu menderma sebanyak RM89 setiap seorang untuk mencapai jumlah ini.

Sebagai seorang yang menerima gaji daripada rakyat, PM perlu menjelaskan kepada bosnya – sumber RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya. Lebih elok kalau rakyat tahu siapa penderma tersebut bagi mengelak tuduhan dan kecurigaan apakah PM bekerja untuk penderma berkenaan atau untuk rakyat.

Pendedahan ini juga akan membantu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) membuat kunjungan kepada dermawan tersebut dan mungkin Pusat Pungutan Zakat juga berminat untuk melawat dermawan ini.

Walaupun Rahman telah memberi penjelasan kepada soalan remeh-temeh, ini bukanlah bermakna isu ini selesai. Masih banyak lagi soalan remeh-temeh yang perlu dijawab.

Antaranya - apakah wajar bagi PM menggunakan akaun peribadi bagi menerima dana sebesar RM2.6 bilion yang menjadikan beliau memasuki carta 10 orang terkaya di Malaysi, sedangkan ia boleh mengundang pelbagai prasangka buruk kepada beliau?

Berapakah jumlah yang dibelanja oleh Umno-BN bagi menghadapi PRU 13 lalu? Apakah ia melepasi had yang ditentukan oleh Akta Pilihanraya? Jika ya, bukankah keputusan PRU13 yang lalu menjadi tidak sah?

Jika dana itu tidak habis digunakan untuk PRU13 yang lalu dan bukan untuk kegunaan peribadi, berapakah baki duit derma yang masih berada di akaun itu ketika akaun perbadi PM yang mengandungi RM2.6 bilion itu ditutup? Ke mana perginya baki itu? Apakah penyaluran dana sebenar ini ke akaun PM ini tidak tertakluk di bawah Akta Kewangan dan tidak terbau hidung LHDN untuk dikejar cukainya?

Saya percaya soalan-soalan yang dikemukakan hari ini juga sangat-sangat ditunggu jawapannya oleh rakyat marhaen, namun mungkin dipandang remeh-temeh kepada mereka yang berniat cuba menutup sesuatu daripada pandangan rakyat.

Sebagai seorang penerima gaji dari rakyat jelata, eloklah Rahman mengingati siapa bosnya yang sebenar.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Khairy Jamaludin Usah Perlekeh Integrity Urustadbir Negara - Faiz Fadzil GHB

1:03 AM 0 Comments A+ a-




KHAIRY JAMALUDIN USAH PERLEKEH INTEGRITY URUSTADBIR NEGARA

By Gerakan AnakMuda Harapan Baru

Kenyataan saudara Khairy Jamaludin kononnya derma politik bukan perbuatan jenayah menunjukkan sikap kepimpinan UMNO yang memandang remeh persoalan integrity dalam urustadbir kerajaan. Tiada apa-apa peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mengecualikan politik daripada bidangkuasa perbuatan jenayah rasuah. Derma politik atau apa-apa suapan yang melibatkan politik atau parti politik tetap perbuatan rasuah dan tertakluk kepada undang-undang Akta SPRM 2009.


Derma didefinasikan antara elemen suapan di bawah seksyen 3 Akta SPRM 2009. Derma akan dianggap rasuah apabila penderma dan penerima derma mempunyai kepentingan dan derma diberikan sebagai dorongan melakukan sesuatu perkara. Apatah lagi dalam isu 1MDB, Perdana Menteri adalah pemilik akaun persendirian yang menerima satu jumlah yang begitu besar dalam keadaan negara dilanda krisis ekonomi yang parah.

Derma politik yang dikatakan digunakan untuk pilihanraya umum ke-13 juga kini menimbulkan keraguan kepada pemimpin umno sendiri, masakan mereka juga mempersoalkan akaun tersebut. Jika benar, kenapa tidak sahaja diwujudkan akaun amanah agar ketelusan dan integrity terpelihara. Jika benar, derma politik ini telah mencalar kesahihan keputusan pilihanraya umum ke-13 kerana jumlah wang yang begitu banyak digunakan bagi memenangi pilihanraya tanpa didedahkan kepada SPR, maka kesannya kerajaan Barisan Nasional yang dibentuk sekarang adalah tidak sah kerana dicemar dengan penggunaan wang yang diragui sumbernya.

Rasuah tetap rasuah. Derma politik tetap rasuah jika ia digunakan untuk membeli undi. Rasuah dilarang di dalam syariat Islam. Melainkan UMNO tidak lagi menjadikan syariat Islam sebagai pegangan dan undang-undang Akta SPRM 2009 sebagai undang-undang yang berkuatkuasa, maka rasuah hanya dianggap perkara remeh dan halal dalam perjuangan UMNO. Tiada lagi integrity dalam urustadbir negara yang boleh diharapkan pada UMNO kerana elemen ketelusan dan urustadbir bersih tidak lagi menjadi penting.

Faiz Fadzil
Pengarah Komunikasi
Gerakan Anakmuda Harapan Baru
4 Ogos 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Jawapan Terhadap Dr Md Rozaimi dan Dr Asri Tentang Isu Jemaah - Zaharudin Muhammad.

12:07 AM 0 Comments A+ a-



JAWAPAN TERHADAP DR MD ROZAIMI DAN DR ASRI TENTANG ISU JEMAAH.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada Dr Muhammad Rozaimi yang telah mengulas kritikan saya terhadap Dr Asri Zaial Abidin (Dr Maza). Mengimbas semula poin utama dalam tulisan saya yang lepas dimana saya telah mengkritik ulasan Dr Asri Zainal Abidin (MAZA) dalam youtube berlegar tentang 2 poin: (1) Tafsiran sempit hadis Huzaifah berkenaan Jemaah Muslimin sebagai Jemaah Sahabat dan Khalifah, (2) Penafsiran (idhofah) kepada bilangan jemaah. 2 poin ini adalah kepala utama yang saya lihat Dr Muhammad Rozaimi keliru sebagaimana luahan beliau. Dalam tulisan lepas, saya tidak menukilkan semua pendapat dan tidak mengulasnya satu persatu-persatu bagi mengelakan artikel menjadi terlalu panjang. Bagi saya cukup saya nukilkan bukti kedapatan banyak pendapat lain bagi menggambarkan penafsiran Dr Maza adalah sempit.

Setelah saya teliti tulisan Dr Muhammad Rozaimi, saya dapati hujah beliau mempertahankan Dr Asri hanya berlegar kepada beberapa poin; palig utama pendapat Dr Maza adalah pendapat Saidina Umar b. Abd Aziz sebagaimana nukilan Imam Syatibi di dalam kitab Al-I’tisom. Jadi tulisan Dr Muhammad Rozaimi seolah-olah menggambarkan pendapat Dr Maza adalah kuat justeru ia adalah pendapat Saidina Umar b Abd Aziz.

Balik kepada poin asas kritikan saya, ia tertumpu kepada ulasan Dr Maza tentang Jemaah Muslimin di dalam hadis Huzaifah dengan menyebut: ‘sama ada ia (Jemaah Muslimin) merujuk kepada jemaah sahabat atau ia merujuk kepada Daulah Islam apabila wujudnya Imam (atau) khalifah. Samada itu.” (Rujuk minit 1:24 - 1:36). Seterusnya saya pertikaikan di sana ada pendapat lain dengan menukilkan dalam bentuk tarjih oleh Imam Tabari di mana pendapat yang dihighlightkan oleh Dr Maza adalah pendapat yang lemah. Dr Muhammad Rozaimi kemudiannya dilihat cuba menjawab tarjih Imam Tabari dengan mengemukakan nukilan daripada Imam Syatibi daripada kitab I’tisom. Dalam masa yang sama, Dr Muhammad Rozaimi dilihat cuba pertahankan pendapat Dr Asri bahawa maksud hadis Huzaifah adalah jemaah Sahabat dengan alasan pendapat itu adalah pendapat Saidina Umar b. Abd Aziz.

Secara ringkas, saya melihat kelemahan Dr Muhammad Rozaimi ketika mempertahankan Dr Asri dalam poin-poin berikut:

1. KENAPA ULASAN DR ASRI BERASASKAN PENDAPAT YANG LEMAH?

Imam Tabari, seorang Imam bermazhab Syafie, mengguna pakai kaedah penulisan mazhab yang trend penulisannya tidak menyebut ‘pemunya pendapat’ jika berlaku kekeliruan sanad atau kelemahan pendapat atau hujah yang tidak jelas. Imam Tabari adalah Imam di peringkat Mujtahid Muntasib dalam mazhab Syafei di mana trend penulisan mereka cenderung untuk menggunakan istilah ‘ada yang berpendapat’, ‘dikatakan’ dan lain-lain istilah menunjukkan ianya adalah lemah.

Trend penulisan ini dibuat secara lebih tersusun dan penggunaan yang lebih konsistens oleh Imam Nawawi R.H, Imam Mazhab di peringkat Murajjih atau disebutkan juga sebagai Mujtahid Tarjih yang akhirnya diseragamkan penggunaan istilah-istilah seperti مقابل الأصح, مقابل الصحيح dan lain-lain istilah yang tidak menyebut nama serta pendapat imam-imam besar yang tidak kuat. Penulisan Imam Tabari cenderung ke arah ini sekalipun beliau akhirnya dikatakan mengasaskan mazahb sendiri (Mujtahid Mustaqil / Mutlak) selepas itu, tetapi penglibatannya dalam Mazhab Syafei pada peringkat awal serta bentuk penulisan beliau dengan trend mazhab Syafei adalah sesuatu yang pasti.

Perkara ini anda akan faham dengan jelas jika anda mendalami ilmu atau mempelajari subjek ‘المصادر والمراجع’ justeru hukum fiqh di dalam kitab-kitab klasik mazhab-mazhab Ahlu Sunnah Wal Jamaah kadangkala tidak boleh difahami dengan makna harfiyyah (literal) melainkan memahami asas-asas penting pemahaman kitab mazhab serta trend penulisannya. Ini adalah kunci penting bagi mereka yang membuat kajian perbandingan mazhab.

2. ADAKAH APABILA PENDAPAT DR MAZA SELARI DENGA PENDAPAT UMAR B ABD AZZIZ MAKA IA KUAT?

Dr Muhammad Rozaimi menukilkan di dalam kitab Al-I’tisom karangan Imam Syatibi bahawa pendapat Dr Asri itu adalah pendapat Umar b. Abd Aziz. Saya bertegas bahawa pandangan Dr Asri tetap lemah kerana:

i. Di dalam kita Al-I’tisam, Imam Syatibi tidak menyatakan pendapat itu datang daripada Umar b Abdul Aziz sendiri tetapi beliau hanya menukilkan pendapat itu datang daripada golongan yang mendakwa Jemaah Muslimin dalam hadis Huzaifah adalah bermaksud jemaah di zaman sahabat. Cuba perhatikan ayat-ayat dalam kitab Al-I’tisom:

قالوا ، وممن قال بهذا القول عمر بن عبد العزيز ، فروى ابن وهب عن مالك قال : كان عمر بن عبد العزيز يقول : سن رسول الله صلى الله عليه وسلم وولاة الأمر من بعده سننا ، الأخذ بها تصديق لكتاب الله ، واستكمال لطاعة الله ، وقوة على دين الله ، ليس لأحد تبديلها ولا تغييرها.

Maksudnya: Mereka (golongan ketiga yang berpendapat maksud hadis ialah jemaah sahabat) berkata: antara yang berpendapat dengan pendapat ini (Jemaah Muslimin ialah jemaah zaman sahabat) ialah Umar b. Abdul Aziz. (Dalilnya) Ibn Abd Wahab meriwayatkan daripada (Imam) Malik sebagai berkata: adalah Saidina Umar b Abd Aziz berkata: Rasulullah dan pemimpin selepas beginda telah merintis sunnah; berpegang dengannya adalah bermakna membenarkan kitab Allah swt dan menyempurnakan ketaatan kepada Allah swt (dan) memperkukuhkan agama allah swt. Tiada seorangpun berhak mengubahnya dan menukarnya.”

Daripada nukilan kitab Al-I’tisom di atas, maka dengan jelas bahawa bukan Imam Syatibi sendiri yang menyandarkan pendapat itu kepada Umar b Abd Aziz, tetapi yang menyandarkan itu ialah mereka yang berpendapat dengan pendapat ke 3, tanpa Imam Syatibi menyebut siapakah ‘mereka’ yang berpegang dengan pendapat ke 3 yang menafsirkan Jemaah Muslimin adalah jemaah zaman sahabat.

ii. Nukilan di atas jelas menunjukkan kepada kita, bahawa pendapat ketiga yang menukilkan kata-kata Umar b Abd Aziz bukan dalam konteks dan maksud organisasi Islam sebagaimana maksud Jemaah Islam yang kita faham. Pendapat ke 3 di atas adalah dari segi konteks jemaah rujukan yang boleh dijadikan hujah teladan, bukan jemaah dalam konteks organisasi yang wajib ditaati dan diberikan komitmen. Konteks ini sangat jelas apabila mereka berhujah bahawa: “Rasulullah dan pemimpin selepas beginda telah merintis sunnah; berpegang dengannya adalah bermakna membenarkan kitab Allah swt dan menyempurnakan ketaatan kepada Allah swt”.

Dengan kata lain, maksud pendapat ke 3 ini ialah, jemaah yang boleh menjadi hujah rujukan hanyalah jemaah para sahabat R.A bukan jemaah yang lain. Kita boleh berkata: kita telah membuat keputusan ini berdasarkan kepada sunnah sahabat R.A. Dalam usul, kedudukan perbuatan sahabat dan khulafa Ar-Raasyidun berada dalam kategori sumber yang tidak disepakati (الأدلة المختلفة). Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menjadikan apa yang dibuat oleh Ikhwan, PAS, Jamaat El-Eslami, Mahsyumi, PKS, Saadat, Refah, AKP dan lain-lain sebagai hujah tambahan kepada 4 sumber rujukan kita. Sebagai contoh, kita tidak perlu mengutamakan perlaksanaan Syariat dan ia dilihat sebagai harus bersandarkan kepada AKP juga tidak mengutamakannya. Sedar atau tidak kita telah menjadikan AKP sebagai hujah dan panduan politik kita.

Tetapi apabila kita berhujah, pemberontak dalam negara tidak boleh dibunuh sehinggalah mereka mengangkat senjata memerangi kerajaan Islam yang sah berdasarkan tindakan Saidina Othman R.A. Maka, menjadikan tindakan Saidina Othman sebagai rujukan dan hujah dalam isu ini adalah maksud sebenar pendapat golongan ketiga.

Bermakna, fahaman yang menyatakan bahawa perlu iltizam (komitmen) hanya kepada Saidina Othman dan para sahabat sahaja bukan maksud ‘Jemaah di zaman sahabat’ yang dimaksudkan oleh pendapat golongan ke 3.

Berpandukan kepada pendapat golongan ke 3 ini, hujah IRC pada awal 80an bahawa pilihanraya tidak syar’i (tidak mengikut syariat) justeru Ikwan Muslimin di Mesir berpendapat demikian. Maka cara IRC ini adalah salah menurut pendapat ke 3 (hatta pendapat-pendapat yang lain) kerana menjadikan Ikhwan Muslimin (samada sedar atau tidak) sebagai hujah rujukan selepas Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qias. Para ahli fiqh tidak melihat kepada apa sesebuah organisasi Islam lakukan, tetapi perlu melihat kepada dalil disebalik apa yang mereka lakukan. Dalam masa yang saya kita boleh bertukar-tukar pendapat dan mengambil pengajaran dalam perkara yang tidak melibatkan nas.

Perlu juga difahami, penafsiran hadis Huzaifah ini belum memadai sebagai satu-satunya hujah tentang perlu atau tidak perlu kita memberikan komitmen kepada hanya 1 jemaah atau lebih sebagaimana ia juga belum memadai sebagai satu hujah tunggal untuk menilai harus atau tidak taadud jemaah (berbilang-bilang jemaah).

iii. Sebenarnya, pendapat golongan ke 3 ini bukan perkara baru dalam alam usul fiqh, tetapi ia adalah perkara yang sudah dibincangkan panjang lebar dalam perbahasan ilmu usul fiqh khususnya tentang status Khulafa Ar-Rasyidun dan amalan para sahabat, adakah ia boleh menjadi dalil syara’ kepada kita atau tidak. Maka perbincangan ini adalah perbincangan ‘pakar’ dalam ilmu usul fiqh, bukan perbincangan awam. (susah difahami oleh mereka yang tiada asas usul fiqh).

Adapun isu intima’ dan memberikan komitmen kepada sesuatu jemaah adalah isu yang berbeza dengan isu menjadikan jemaah itu sebagai rujukan. Dengan kata lain, bila kita tidak boleh menjadikan sesuatu jemaah sebagai rujukan dan hujah, ia tidak bermakna kita boleh menyanggahi pimpinan sesebuah jemaah sewenang-wenangnya dan tubuh jemaah baru bila-bila masa apabila kita tidak berpuas hati. Untuk memahami perkara ini, ia perlukan kepada perbahasan dan penulisan lain yang lebih panjang.

iv. Kata-kata Saidina Umar b Abd Aziz yang dijadikan hujah oleh golongan ke 3 bukan mengulas secara langsung makna “jemaah muslim’ dalam hadis huzaifah, bahkan kata-kata beliau bersifat umum bahawa Rasulullah dan para Sahabat R.A adalah perintis sunnah yang baik (boleh dijadikan hujah).

Apabila di sebut, pendapat ini adalah pendapat Umar b Abd Aziz, maka kita yang tidak meneliti teks asal mungkin menggambarkan bahawa Saidina umar b Abd Aziz berkata: “maksud jemaah Muslimin dalam hadis huzaifah ialah jemaah di zaman sahabat”. Tidak sekali kali tidak. Saidina Umar b Abd Aziz bercakap dalam konteks umum sahaja.

Tetapi golongan ke 3 ini telah menjadikan ‘maksud umum’ Saidina Umar b Abd Aziz sebagai ‘hujah khusus’ mereka ketika menafsirkan hadis Huzaifah. Dalam istilah Usul Fiqh, kaedah sandaran seperti ini dinamakan Takalluf, dan ia adalah cara penukilan yang lemah menurut konteks usul fiqh.

3. TAKKAN PENDAPAT SAIDINA UMAR LEMAH?

Jika ada yang berterusan ingin bertegas bahawa konteks organisasi jemaah sahabat yang wajib diberikan ialah jemaah sahabat (sahaja) menurut pendapat Saidina Umar, maka kita perlu memahami bahawa lemah dan kuat sesuatu pendapat dalam Islam, bukan kerana ianya datang dari siapa tetapi apa dalil dan nasnya. Kita bukan seperti agama lain di mana ukuran lemah dan kuat sesuatu pendapat berdasarkan level atau tahap pastur dan pendeta atau paderi atau tahap ulama mereka.

Jika tidak diketahui hujah mereka, maka pendapat mereka tidak dijadikan hujah apabila ada pendapat lain yang mempunyai hujah yang jelas seperti isu Bai’ Al-‘Inah dalam mazhab syafei di mana pendapat Imam Syafei yang tidak dijadikan hujah utama oleh imam-imam mazhab syafei di peringkat tarjih. Jika pendapat mereka yang tiada hujah, tetapi di sana tiada bertembung dengan mana-mana nas, pada masa itu pandangan mereka diambil kira justeru mereka lebih memahami kaedah-kaedah usul dan fiqh berbanding kita. Inilah antara contoh kecil panduan ulama-ulama berijtihad.

PENUTUP:

Berdasarkan penjelasan dan penghujahan saya di atas, saya tetap bertegas dengan kritikan saya terhadap tafsiran Dr Maza di dalam video youtube tersebut bahawa ianya tafsiran yang sempit dan mengelirukan tentang 2 poin utama; (1) hadis Huzaifah merujuk kepada zaman sahabat dan (2) menyatakan bilangan berdasarkan Idhofah. Saya hanya akan ubah pendirian saya berkenaan hukum hakam jika ianya jelas bercanggah dengan nas-nas syariat, tetapi dalam isu ini saya dapati kritikan Dr Muhamamd Rozaimi tidak mengsasarkan poin utama yang saya kemukakan, bahkan poin beliau sendiri tidak berpijak pada kaedah yang tepat di dalam memahami ijtihad terdahulu.

Pembelaan Dr Maza oleh Dr Muhammad Rozaimi, sama ada sedar atau tidak, poin-poin beliau sebenarnya menyokong kritikan saya terhadap Dr Maza, justeru poin utama saya tafsiran Jemaah dalam hadis Huzaifah mempunyai pelbagai tafsiran sebagai menjawab ulasan sempit Dr Asri yang telah menampakkan maksud hadis tersebut fokus kepada organisasi di zaman sahabat. Kepelbagaian pandangan yang dinukilkan oleh Dr Muhammad Rozaimi itu sebenarnya memperkukuhkan poin kritikan saya, cuma saya tidak menukilkan semua pendapat serta mengulas setiap pendapat justeru tulisan FB saya akan berjela-jela dan tidak lagi relevan untuk status tulisan FB.

Saya berharap, saya dapat fokus dan berdepan dengan gerak kerja utama berdakwah dalam konteks politik dengan mengenengahkan Islam sebagai alternatif kepada kemelut yang ada pada hari ini. Saya juga menyeru lulusan-lulusan agama supaya berkecimpung dalam politik tanahair demi menyelamatkan negara yang tercinta dengan syariat yang baik dan adil. Berada dalam politik tanah air

Sekian.





Rujuk semula:

1 - Ulasan Dr Asri:
https://www.youtube.com/watch?v=ecLv7gbJ6zM

2 - Kritikan saya:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=999293690101066&id=312456128784829

3 - Dr Muhammad Rozaimi membela Dr Maza:
https://www.facebook.com/notes/muhamad-rozaimi/maksud-jamaah-muslimin-komentar-terhadap-artikel-saudara-zaharudin-muhammad/876537609082613?hc_location=ufi

s


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.