Campur Tangan Kerajaan: Sejauh Mana Siasatan Terhadap 1MDB Kekal Bersih? - Nik Abduh
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (DPPM)
20 Syawal 1436H I 5 Ogos 2015
CAMPUR TANGAN KERAJAAN: SEJAUH MANA SIASATAN TERHADAP 1MDB KEKAL BERSIH?
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.
1. Siasatan terhadap skandal 1MDB semakin tercemar dengan tindakan campur tangan pihak kerajaan terhadap kumpulan penyiasat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Beberapa tindakan kerajaan ketika ini dilihat tidak profesional dan mengganggu siasatan terhadap 1MDB daripada disempurnakan.
2. Rakyat mengharapkan penjelasan terhadap dakwaan skandal 1MDB dilakukan melalui suatu siasatan yang telus dan bersih. Namun, harapan tersebut ternyata meleset selepas satu demi satu tindakan pihak kerajaan yang mengotorkan ruang siasatan tersebut dan ini sekaligus menjadikan persoalan terhadap skandal 1MDB semakin menemui jalan buntu.
3. Rombakan kabinet dengan melantik Pengerusi PAC yang sedang mempengerusikan siasatan terhadap 1MDB menunjukkan ada campur tangan pihak kerajaan terhadap siasatan 1MDB. Ia juga disusuli pengguguran ke atas Tan Sri Gani Patail yang juga terlibat dalam ‘special task force’ bersama BNM, PDRM dan SPRM.
4. Dalam siasatan yang masih dipertengahan jalan, SPRM pula mendedahkan jumlah RM2.6 bilion yang disuntik ke akaun PM adalah dari ‘penderma’. Mengapa tidak menunggu laporan lengkap daripada PAC, badan yang bertanggungjawab menyiasat segala dakwaan terhadap 1MDB?
5. Kesemua permainan politik ini mengganggu prosiding siasatan. Ia tidak akan menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi negara ketika ini. Malah, ia semakin menambah membarah dalam kepimpinan UMNO/BN hari ini.
6. DPPM tegas mendesak kerajaan agar tidak campur tangan terhadap siasatan yang dilakukan PAC sehingga laporan lengkap siasatan tersebut didedahkan kepada rakyat. DPPM mencadangkan agar PM mengambil cuti dalam tempoh berkenaan supaya siasatan dapat berlaku dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan.
7. Selain itu, DPPM juga menyarankan PAC agar meneruskan siasatan skandal hutang 1MDB sehingga selesai. Laporan penuh siasatan pula mesti dibentangkan secepat mungkin supaya segala kekusutan yang melanda negara segera diselesaikan.
Sekian, terima kasih.
Sila kongsi artikel ini...