Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International - SPRM
Penjelasan Mengenai Isu Dana RM2.6 Bilion Dan Siasatan SRC International
Susulan kepada kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan SPRM
hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan
kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan
menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu
SRC International atau pun mengenai dana RM2.6 bilion.
Oleh itu, SPRM mahu menjelaskan beberapa perkara.
SIASATAN BERKAITAN 1MDB
Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan
bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB. Sebaliknya, siasatan
keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia. SPRM
berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan
dengan 1MDB.
SUMBANGAN DANA RM2.6 BILION DITERIMA OLEH PERDANA MENTERI
Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015,
hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan
ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu. SPRM tidak boleh
mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada YAB
Perdana Menteri.
Bagaimanapun untuk makluman orang ramai, SPRM telah memperoleh
penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada YAB
Perdana Menteri. SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui
dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat
yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar
dimasukkan ke dalam akaun YAB Perdana Menteri. Dalam dokumen itu ada
dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.
SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal
dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan
derma tersebut.
Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB.
Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara Malaysia yang
meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara
siasatan masih dijalankan.
Sehubungan itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan
mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.
SIASATAN MENGENAI SRC INTERNATIONAL
SPRM juga ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC
International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh
SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International
merupakan dua perkara yang berbeza.
Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes
yang disiasat ini telah ditutup. Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia
bukan dari wang 1MDB.
Diharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang
disiasat oleh SPRM. SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan
dengan bebas, telus dan profesional. Adalah diharapkan semua pihak
memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh
tanpa membuat sebarang spekulasi.
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan
siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour. SPRM
tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur
tangan dalam siasatan yang dijalankan.
KEDUDUKAN PASUKAN PETUGAS KHAS
Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3
Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara
Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui
Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia,
bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas. Sebaliknya agensi-agensi
penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan
undang-undang masing-masing.
Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC
International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.
Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka
sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam
Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk
didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
5 OGOS 2015
Sila kongsi artikel ini...