Pemberian Khas RM500 Untuk Meringankan Beban Selepas Kerajaan Menghadiahkan Beban Yang Sangat Membebankan - Mahfuz Omar

8:16 PM 1 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

PEMBERIAN KHAS RM500 UNTUK MERINGANKAN BEBAN SELEPAS KERAJAAN MENGHADIAHKAN BEBAN YANG SANGAT MEMBEBANKAN.

1. Hari ini penjawat awam akan menerima pemberian khas daripada kerajaan sebanyak RM500 dan pesara awam akan menerima RM250 sebagai mengganti bonus tahunan. Pemberian khas ini adalah daripada pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh PM Najib pada Oktober 2015 yang lalu. Ironinya, pemberian khas ini untuk meringankan beban rakyat khususnya penjawat dan pesara awam menanggung beban kos sara hidup yang telah diberikan kerajaan Umno Bn yang sangat membebankan.


2. Beban kos sara hidup rakyat ini adalah berpunca daripada urustadbir kerajaan yang penuh dengan ketirisan, rasuah, penyelewengan dan pelbagai salahguna kuasa. Akibatnya, kerajaan menarik dan memansuhkan segala pemberian subsidi yang diberikan pada rakyat serta mengenakan GST untuk menampung segala kekurangan perbelanjaan kerajaan akibat daripada ketirisan, rasuah dan penyelewengan kewangan yang besar. Dalam ertikata yang lain RAKYAT KENA MEMBAYAR DAN MENAMPUNG ketirisan, rasuah dan penyelewengan pimpinan kerajaan Umno Bn.

3. Persoalannya, boleh kah RM500 dan RM250 meringankan beban sara hidup rakyat yang kerajaan telah letakkan atas belakang rakyat? Umpama seorang yang membongkok berjalan memikul beban dibahunya seguni beras, lalu datang PM Najib membantunya dengan mengurangkan beban timbangan beras tersebut sebanyak sekilogram. Apakah dengan bantuan Najib mengurangkan sekilo daripada seguni beras mampu menjadikan orang tersebut berjalan tegak?

4. Rakyat khususnya penjawat awam terbeban dengan berbagai-bagai bebanan sara hidup ciptaan kerajaan Umno Bn. Pemberian RM500 ibarat memujuk anak kecil menangis kesakitan terjatuh tangga dengan gula-gula supaya anak kecil berhenti menangis. Nampaknya kerajaan tidak bersedia hendak berubah dan rakyat kena lah berubah. Janganlah lagi menanggung biawak hidup yang membeban dan menyakitkan.

SELAMAT RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Januari 2016/23 Rabiulawal 1437H.


Sila kongsi artikel ini...

1MDB Perlu Sahkan Samada Perbezaan Nilai Urusniaga RM2.13 BilionPenjualan Bandar Malaysia Adalah Bersabit Pemindarah NaikTaraf 6 Kem Tentera Udara - Rafizi Ramli

8:10 PM 1 Comments A+ a-



1MDB PERLU SAHKAN SAMA ADA PERBEZAAN NILAI URUSNIAGA SEBANYAK RM2.13 BILION MELIBATKAN PENJUALAN BANDAR MALAYSIA ADALAH BERSABIT PEMINDAHAN DAN NAIKTARAF 6 KEM TENTERA UDARA

Saya merujuk kepada laporan-laporan sebelum ini mengenai perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB yang diumumkan oleh 1MDB berbanding dengan nilai yang difailkan di Bursa Hong Kong oleh China Railway Group Limited iaitu syarikat induk kepada China Railway Engineering Corp.

Laporan The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah bahawa perbezaan sebanyak RM2.13 bilion itu adalah melibatkan beberapa liabiliti dan kos melibatkan pemindahan kemudahan sedia ada yang perlu dirundingkan oleh 1MDB dan konsortium pembeli yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China itu yang akan dimuktamadkan menjelang Jun 2016.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami betapa mengejutkan pengesahan yang dibuat oleh Arulkanda Abdullah hari ini.

Untuk pengetahuan umum, tanah yang ingin dibangunkan sebagai Bandar Malaysia dan dianugerahkan kepada 1MDB oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sekarang ini menempatkan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi. Sebelum ini 1MDB bersetuju untuk memindahkan kemudahan Kem TUDM itu dan menaiktarafkan 6 pengkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara sebagai pertukaran tanah di Sungai Besi itu dipindahmilik kepada 1MDB. Saya dimaklumkan kem-kem tersebut antara lainnya ialah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

Arulkanda Abdullah hari ini mengesahkan bahawa perbezaan RM2.13 bilion (iaitu nilai urusniaga yang diumumkan adalah RM2.13 bilion lebih tinggi dari apa yang difailkan oleh China Railway Group Limited) untuk mengambil kira kos-kos pemindahan dan kemudahan sedia ada di tanah tersebut.

Ini bermakna liabiliti 1MDB untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM Sungai Besi belum disempurnakan oleh 1MDB. Apabila pegangan saham di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dijual kepada konsortium yang dianggotai oleh syarikat milik Kerajaan China ini, ada kemungkinan besar liabiliti untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM itu turut ditanggung oleh konsortium pembeli itu.

Jika ini benar-benar berlaku, ini membawa implikasi besar kepada kedaulatan negara dan pertahanan negara seperti berikut:

1. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini akan terlibat di dalam keputusan-keputusan yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?

2. Apakah konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini berhak membuat keputusan mengenai kos yang membabitkan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM?


3. Apakah jika konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China ini enggan membayar jumlah RM2.13 bilion, itu akan menjejaskan proses pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM sedia ada?


Hakikat bahawa syarikat China Railway Group Limited telah memfailkan nilai urusniaga yang lebih rendah sebanyak RM2.13 bilion bermakna ia telah pun memasukkan liabiliti kos pemindahan kemudahan sedia ada yang dirujuk oleh Arulkanda Abdullah di dalam kenyataannya hari ini.

Justeru, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya, terutamanya memandangkan Kem TUDM Sungai Besi adalah salah satu kem tentera udara paling penting di negara ini.



RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

5 Januari 2016


Sila kongsi artikel ini...

Perjanjian Pakatan Harapan Ke Arah Membina Kesatuan Politik Yang Mampan

8:08 PM 1 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

PERJANJIAN PAKATAN HARAPAN KE ARAH MEMBINA KESATUAN POLITIK YANG MAMPAN

Pertukaran kepimpinan kerajaan di negara ini telah menjadi satu keperluan mendesak. Tidak pernah sebelum ini rakyat dihukum dengan dasar-dasar kerajaan yang membebankan dalam keadaan prospek ekonomi yang murung seperti sekarang. Malaysia berada di persimpangan genting yang bakal menentukan halatujunya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Oleh itu kelompongan kepimpinan yang jujur dan boleh dipercayai perlu diisi segera untuk memberi harapan kepada rakyat.

Mengambil iktibar itu, Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat KEADILAN, DAP dan AMANAH di dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Rundingan dan perbincangan untuk memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan telah bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan. Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH melalui sebuah Perjanjian Pakatan Harapan ini lahir dari keinsafan kami bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh yang padan dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang kami bawa selama ini.

Rakyat sedia maklum pandangan dan keputusan Pakatan Harapan dalam isu-isu besar negara. Perkara ini termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini (Kerangka Dasar Bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain) atau telah pun diterjemahkan oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Pun begitu, ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti. Niat politik yang ikhlas ini menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui di dalam dasar-dasar dan keputusan bersama. Keikhlasan dan kejujuran politik sebegini adalah sebahagian dari harapan rakyat yang perlu dikotakan oleh Pakatan Harapan.

Justeru, Perjanjian Pakatan Harapan yang akan ditandatangani pada 9 Januari 2016 akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti. Perjanjian Pakatan Harapan mengandungi tujuh (7) fasal utama mengenai pra-syarat tersebut iaitu:

i. Prinsip dan kaedah membuat keputusan

ii. Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik di antara parti

iii. Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti

iv. Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama

v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi

vi. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang

vii. Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari

Kami yakin pemeteraian Perjanjian Pakatan Harapan ini merupakan kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik KEADILAN, DAP dan AMANAH yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

Di atas kekuatan kesatuan politik hasil dari Perjanjian Pakatan Harapan ini, kami akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing. Ini akan membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016.

5 Januari 2016

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH


Sila kongsi artikel ini...

Mana RM2.6 Bilion? Zulhazmi Shariff

10:32 AM 1 Comments A+ a-



MANA RM2.6 BILION?

Pada 3 Ogos 2015, SPRM mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. SPRM juga mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut bukan dari wang 1MDB sebaliknya adalah dari "penderma" yang ketika itu masih tidak diketahui latarbelakangnya.

Dari tarikh tersebut sehingga Disember 2015, SPRM meneruskan siasatannya sehinggalah pada 31 Disember 2015 Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull menyatakan bahawa kertas siasatan RM2.6 bilion telah diserahkan kepada Peguam Negara tetapi masih belum lengkap.


Sehingga hari ini, seluruh Malaysia masih tidak mengetahui apa sebenarnya status RM2.6 bilion tersebut. Sebelum ini kita dengar pelbagai komen daripada badut-badut Perdana Menteri mempertahankan penerimaan derma tersebut. Ada mengatakan ianya derma kerana Malaysia memperjuangkan fahaman Ahli Sunnah wal jamaah. Ada mengatakan derma tersebut kerana Malaysia menentang keganasan. Ada mengatakan derma tersebut kerana hendak menentang fahaman zionis yang meresap melalui DAP.

Kita tertanya-tanya tujuan sebenar derma tersebut dan kenapa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib? Kenapa tidak melalui akaun amanah? Najib sendiri akhirnya mengakui bahawa beliau menerima derma tersebut dari penderma dari Timur Tengah. Najib mengakui bahawa penderma tersebut yang bersungguh-sungguh mahukan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau. Najib juga akui bahawa Bank Negara maklum berkaitan kewujudan akaun dan RM2.6 bilion.

Walau pun SPRM telah menyiasat dan telah menyerahkan siasatan kepada Peguam Negara, kita dimaklumkan siasatan masih belum lengkap.

Selagi itu kita masih tidak tahu apa sebenarnya status RM2.6 bilion tersebut.

a) Siapa penderma tersebut? Seorang atau beberapa orang atau negara atau konsortium?
b) Kenapa derma sebanyak RM2.6 bilion tersebut diberikan?
c) Kenapa derma sebanyak RM2.6 bilion tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib?
d) Kenapa Bank Negara boleh meluluskan kewujudan akaun yang melibatkan amaun sebesar itu atas nama peribadi Najib?
e) Ke mana wang RM2.6 bilion tersebut pergi?

Soalan-soalan ini WAJIB dijawab oleh Najib dan Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Umno/BN. Ini melibatkan integriti kepimpinan negara. Berapa lama lagi Malaysia harus menunggu jawapan?

MANA RM2.6 BILION?

BERANI BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF.
05012016


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.