PAS: Kenali Jama'ah Muslimin Dan Kewajiban Baiah Terhadapnya
KENALI JAMA'AH MUSLIMIN DAN KEWAJIPAN BAIAH TERHADAPNYA
Oleh: Mohd Asri Daud
Bendahari DUPP
Terdapat banyak hadis Nabi yang membicarakan tentang Jama'ah Muslimin ini seumpama hadis Huzaifah Ibnu Al-Yaman yang panjang terdapat sabdaan Nabi menegaskan:
....تلزم جماعة المسلمين وإمامهم
"Hendaklah kamu bersama dalam Jama'ah Muslimin dan ketuanya" (Riwayat Bukhari Muslim)
Dalam hadis lain:
من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الإسلام عن عنقه
"Barangsiapa yang memisahkan diri daripada Jama'ah walaupun sejengkal, maka bererti dia telah melepaskan ikatan Islam daripada tengkuknya." (Riwayat Abu Daud)
Kata Imam Syathibi dalam kitabnya Al-I'thishom, kalimah Jama'ah dalam hadis ini membawa maksud:
-Kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam
-Jama'ah Para Ulama mujtahidin
-Para Sahabat Nabi
-Sebuah organisasi umat Islam yang dipimpin oleh seorang Amir
Setelah itu, Imam Syathibi membuat kesimpulan bahawa Jama'ah Muslimin ini pada hakikatnya merujuk kepada sebuah organisasi yang dipimpin oeh seorang Amir yang menjalankan dasar Al-Quran dan Al-Sunnah manakala organisasi selain itu tidak dikira sebagai Jama'ah Muslimin.
Jama'ah Muslimin terdahulu yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W dan pengikutnya adalah dikalangan Sahabat merupakan sebuah Jamaah yang hanya beriman kepada Allah, berakidahkan Islam sebagai agama dan cara hidup, mempertahankan Rasulullah dan dakwah Islam dan berbaiah untuk berjihad mempertahankan agama sehingga tertegak. Inilah kesempurnaan Jama'ah Muslimin suatu ketika dahulu. Justeru, Jama'ah Muslimin mengikut kehendak hadis ialah seperti berikut:
-Jama'ah yang diasaskan berdasar tuntutan Syahadah dan menegakkan panji Islam.
- Jama'ah yang terdiri daripada kalangan umat Islam yang teguh berpegang kepada syariat Allah dan saling tolong-menolong antara ahli Jama'ah
- Jama'ah yang menjayakan agenda Islami bagi memberi kemuliaan kepada umat Islam
-Jama'ah yang tetap istiqamah dalam menegakkan perjuangan Islam dan mengeluarkan manusia daripada perhambaan terhadap thaghut
- Jama'ah yang berjuang tanpa sempadan bahkan perjuangannya adalah syumul meliputi seluruh ummah
Berdasarkan ciri-ciri Jama'ah Muslimin tersebut, jelas bahawa Jama'ah Muslimin bukan sahaja hanya tertumpu kepada Jama'ah Rasulullah S.A.W bahkan ia terpakai kepada Jama'ah Muslimin yang diasaskan pada zaman ini. Mengikut Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya Min Ajli Khuthwah ilal Amam 'Ala Thariq Al-Jihad Al-Mubarak menegaskan bahawa kenyataan Rasulullah pada kalimah 'Dakhanun' adalah merujuk kepada fahaman sesat dan menyeleweng dizaman kita pada hari ini.
Justeru, wajib umat Islam menggabungkan diri dalam Jama'ah Muslimin yang diketuai oleh pemimpin yang beriman. Sayugianya, umat Islam hanya perlu diwakili oleh sebuah Jama'ah Muslimin sahaja bagi mengukuhkan ikatan dan menguatkan pertahanan. Pada zaman kita ini telah berlaku 'Ghiyab Fikratil Jama'ah' iaitu hilangnya pemikiran untuk menyatukan umat Islam dalam satu Jama'ah demi membangunkan kembali khilafah Islamiyah. Apa yang telah diusahakan oleh Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna itu adalah langkah kearah kesatuan yang diimpikan ini.
Manakala baiah kepada Jama'ah Muslimin ini adalah wajib dizaman berlakunya 'Dakhanun' bagi mengembalikan kesejagatan ummah.Syeikh Fathi Yakan memberi penegasan bahawa baiah kepada Jama'ah pada hari ini adalah wajib bagi mendisiplinkan anggota Jama'ah dalam satu kekuatan. Baiah bermaksud janji setia untuk memberi ketaatan seumpama pemberi baiah berjanji dengan ketuanya untuk menerima pandangan dan arahan sama ada ketika senang atau susah (Ibnu Khaldun:Al-Mukadimah)
Baiah juga bermaksud memberi janji setia untuk dengar dan taat kepada ketua dalam keadaan selesa atau hadapi masalah, ketika susah atau senang dan tidak akan canggah arahan ketua serta menyerahkan apa jua perkara berlaku kepada kebijaksanaannya. (Dr Muhammad Abdul Qader Abu Faris: Al-Nizhom Al-Siyaasi Fil Islam)
Jadi, baiah ini tidak hanya berkait dengan sebuah kerajaan Islam sahaja akan tetapi ianya adalah berkait juga dengan Jama'ah Islam yang diasaskan bagi menegakkan ketuanan Islam diatas muka bumi dengan syarat Jama'ah ini ialah Jama'ah yang berobjektifkan membangun khilafah yang telah dimusnahkan. Baiah yang diberikan oleh anggota kepada ketua atau presiden, pada hakikatnya bukanlah baiah kepada ketua, ianya adalah baiah kepada amal Islami dan atas dasar laksana suruhan Islam.
Oleh yang demikian, baiah yang diberikan tersebut adalah kepada Allah. Maka, pelanggaran baiah adalah haram dan berdosa. Sekiranya dalam sighah baiah dilafazkan sumpah dengan nama Allah serta disandarkan kepada beberapa perkara yang disepakati oleh pembaiah dan pemberi baiah, maka perkara tersebut adalah terpakai. Kenyataan ini boleh dirujuk dalam kitab Al-Baiah Fi Al-Nizham Al-Siyaasi Al-Islami Wa Tatbiiqaatuha Fil Hayah Al-Siyasiyah Al-Muasirah karya Ahmad Shiddiq Abdul Rahman.
Sedikit huraian terhadap perkembangan berkaitan Jama'ah Muslimin yang diperbincangkan pada hari ini, penulis melihat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah Jama'ah yang menepati ciri-ciri Jama'ah Muslimin. Dasar yang terkandung dalam perlembagaan PAS adalah jelas dan menjunjung syariat. Maka, baiah dengan sighah yang telah ditentukan sama ada ianya baiah khas untuk memikul jawatan sebagai pemimpin kepada rakyat atau ianya baiah am dalam menganggotai Jama'ah sebagai jentera yang menggerakkan Jama'ah tersebut adalah syarie dan bukan ijtihad semata-mata. Segala pelanggaran baiah ini sudah tentu akan mengakibatkan kesan hukum yang jelas, maka hati-hatilah dalam beriltizam dengan Jama'ah Islam ini dan jangan sesuka hati memilih Jama'ah yang ragu-ragu dibangunkan atas dasar tidak puas hati.
والله يهدي من يشاء إلی صراط مستقيم
Sila kongsi artikel ini...