GHP Perak: Perutusan Hari Raya Aidil Fitri
PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Ketua Pemuda Gerakan Harapan Baru Negeri Perak
Salam Aidilfitri: Eratkan Hubungan, Suburkan Semangat Perubahan
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri Minal Aidin Wal Faidzin.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Ibadah puasa merupakan satu bentuk tamrin dalam mentarbiyyah rohani dan juga menguji fizikal umat Islam. Moga Ramadhan yang telah dilalui akan menjadikan kita sebagai individu yang berkualiti dan berakhlak mulia.
Tamrin Ramadhan selama sebulan yang telah dilalui dengan penuh kesabaran dan kehambaan, dengan bermatlamat hanya satu iaitu mencari keredhaan Allah SWT ini diharap dapat menambah baik diri kita menjadi lebih bertakwa daripada sebelum ini. Sebagaimana firmanNYA yang bermaksud:
"Sesungguhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa kepada Allah"
Perginya Ramadhan telah digantikan dengan Syawal sebagai tanda kemenangan kepada umat islam yang berjaya menghidupkan Ramadhan yang mulia.
Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan ruang untuk kita sama-sama menyambut Aidilfitri yang mulia ini.
Saya mengajak seluruh umat Islam agar menjadikan hari yang mulia ini untuk kita bermaaf-mafaan antara satu sama lain dengan ikatan kasih sayang serta keikhlasan.
Setiap manusia mempunyai kesilapan dan kekhilafannya tersendiri namun adalah lebih baik jika kita dapat menjernikan segala kekeruhan dan menutup segala ruang permusuhan.
Saya juga berpesan kepada semua agar dapat meneruskan sifat berlapang dada diantara satu sama lain, hormati segala pendirian masing-masing agar semangat ukhwah persaudaraan sentiasa terjalin.
Benarlah firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:
"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara…"
Kedatangan Syawal ini telah membuka satu lembaran baru kepada rakyat Malaysia apabila tertubuhnya satu entiti dan wadah yang kami namakan sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatannya HARAPAN BARU.
HARAPAN BARU akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baru yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut. Ia akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang Inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat. Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya "Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kami yakin, penubuhan wadah baru ini sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dalam usaha memberi satu inspirasi baru dalam mengorak langkah mengambil alih pemerintahan daripada Umno-BN yang telah berakar sekian lama.
Di kesempatan yang ada ini, saya dan barisan Sekretariat Pemuda Harapan Baru Negeri Perak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua khususnya rakyat Perak, maaf zahir dan batin. Sambutlah Aidil Fitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dalam lingkungan syariah tanpa melanggari batasan agama, saling bermaafan dan ziarah menziarahi bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati antara satu sama lain. Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan saya doakan agar anda selamat sampai ke kampung halaman yang dirindui.
Mari bersama kita membina harapan baru Malaysia! Maaf Zahir dan Batin. ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD
Sila kongsi artikel ini...