Segera Siasat Bank Negara Berkaitan Kemasukan Wang Sebanyak RM 2.6 Bilion Ke Dalam Akaun PM Malaysia - Ketua Anak Muda HB Kelantan

6:30 PM 0 Comments A+ a-



CADANGAN KEPADA SPRM : SEGERA SIASAT BANK NEGARA BERKAITAN KEMASUKAN WANG SEBANYAK RM 2.6 BILION KE DALAM AKAUN PERDANA MENTERI MALAYSIA

1. Pendedahan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report berkaitan dengan penyaluran wang sebanyak RM2.6 Bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak telah menjadi satu isu yang cukup serius di mata rakyat.

2. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan Institusi kewangan tersebut dilihat tidak lagi mampu berfungsi untuk mendedahkan dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Memandangkan pasukan BNM yang diketuai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjadi sebahagian anggota penyiasat dilihat telah menerima tekanan yang hebat daripada pihak tertentu, maka SPRM perlu campur tangan untuk membuktikan kemasukan wang RM 2.6 billion tersebut melalui penyiasatan terhadap BNM.

3. Bank Negara Malaysia sepatutnya boleh memainkan peranan segera untuk menyiasat dan membuktikan pengaliran masuk wang bernilai RM 2.6 billion seterusnya mengesahkan berlakunya penyelewengan menerusi peruntukan undang-undang berikut:

3.1 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Undang-undang ini telah memberikan BNM kuasa pengawasan, pengawalan dan penyeliaan dalam menghadapi perkembangan persekitaran kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Sebarang pengaliran wang masuk melebihi RM 50, 000 sepatutnya dapat dikesan BNM terlebih dahulu tetapi dalam kes penyaluran wang sebanyak RM 2.6 bilion, sistem pantauan tersebut gagal berfungsi sepenuhnya. Oleh itu, kami mengesyaki bahawa BNM tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya FSA dan IFSA apabila berhadapan dengan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi yang melibatkan Perdana Menteri.

3.2 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah dikuatkuasakan. BNM seharusnya menggunakan akta tersebut dalam usaha menyiasat penyaluran wang sebanyak RM 2.6 Bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Akta ini diperuntukkan bagi melucutkan harta yang terlibat atau diperolehi daripada pengubahan wang haram. Maka, BNM telah dilihat gagal dalam menyiasat pengaliran wang masuk ke dalam akaun peribadi yang mempunyai kemusykilan terhadap asal usul wang tersebut dengan menggunakan AMLA. Justeru, kami mendesak SPRM membuat penyiasatan terhadap BNM berikutan kegagalan institusi kewangan tersebut untuk menggunakan AMLA bagi menyiasat misteri penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.

4. Berkaitan dengan isu RM 2.6 bilion yang cukup serius melanda negara pada hari ini. Kami sebagai wakil suara anak muda dan rakyat Malaysia menyeru SPRM untuk membuat penyiasatan terhadap BNM kerana tidak mampu berperanan di peringkat tertinggi dalam menyiasat penyaluran wang ke dalam akaun Perdana Menteri.

5. Kegagalan BNM untuk bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam membuat semakan terhadap isu ini dipercayai telah dicampuri oleh sesetengah pihak bagi menghalang BNM untuk membuat semakan terhadap akaun Perdana Menteri. Oleh itu, kami mendesak supaya SPRM menyiasat kegagalan BNM untuk membuat semakan terhadap penyaluran wang yang meragukan.

6. Kesimpulannya, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Kelantan menyokong penuh usaha SPRM bagi memerangi rasuah termasuk kesungguhan dalam membuat penyiasatan terhadap kes RM 2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri. Kami melihat BNM tidak lagi mampu untuk memainkan peranan seperti yang sepatutnya disebabkan ugutan dan tekanan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru, kami menyeru supaya SPRM membuat penyiasatan secara kritikal terhadap BNM berkaitan dengan kes RM 2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Hazmi Hassan
Ketua Anak Muda HB Kelantan
13 Ogos 2015/28 Syawal 1436


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.