Kenaikan Kadar Tol : Malaysia Darul Jibayah - Syarhan Humaizi Halim

10:00 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Selangor

Kenaikan Kadar Tol :
Malaysia Darul Jibayah


1. Apa malang nasib rakyat Malaysia berada dibawah kerajaan UMNO yang zalim. Di saat semua masyarakat merasa terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini 15 Oktober 2015.

2. Lebuhraya yang terlibat adalah lebuhraya utama yang menjadi kegunaan harian masyarakat di Lembah Klang. Kenaikan kadar tol antara 20 sen dan RM3 melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

3. Disamping kenaikan kadar tol yang terkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai. Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".

4. Darul Jibayah adalah jawapan yang tepat kepada tindakan serta keputusan kerajaan Malaysia berhubung kenaikan kadar tol tersebut. Darul Jibayah atau Negara "pemeras cukai" adalah nama dan slogan yang paling tepat bagi menggantikan segala slogan yang dibawa oleh pihak kerajaan ketika ini. Kenaikan kadar tol disaat ini adalah bentuk "pemeras cukai" yang amat zalim. Walaupun sepatutnya semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah mengenakan kadar tol bagi menampung pembinaan lebuhraya supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa.

5. Dewan Pemuda PAS Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar melanda rakyat Malaysia. Rakyat perlu bangkit bersama memberi desakan kepada kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya menzalimi rakyat dengan kenaikan semua yang melibatkan keperluan harian rakyat. Pemuda PAS Selangor akan menggerakkan rakyat agar berhimpun serta membantah keputusan kenaikan kadar tol ini agar kerajaan membatalkan keputusan tersebut.

Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
12 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

SOSMA 2012 - Zulhazmi Shariff

7:14 PM 0 Comments A+ a-



SOSMA 2012....

Dulu masa Kerajaan Umno/BN bentang Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, kita di pihak pembangkang dah cakap... Kita bantah... Kita tentang....

Kita bantah dan tentang bukan kerana kita setuju dengan keganasan tapi kita tahu Umno/BN akan salahguna Akta tersebut untuk kepentingan politik mereka.


Waktu itu seluruh Ahli Parlimen Umno/BN mengutuk pembangkang yang katanya tidak patriotik, tidak peduli keselamatan negara....

Kita kata ya, undang-undang untuk cegah keganasan mmg baik tapi selagi ianya ditadbir oleh Umno/BN, mereka akan salah guna sepertimana ISA disalahguna....

Apa saja kita kata mereka tuduh kita begitu begini dan akhirnya Rang Undang-Undang diluluskan menjadi Akta.

Sekarang terbukti... Terpampang terang depan mata bahawa Umno/BN salahguna Akta tersebut. Sekarang mereka baru sedar Umno/BN itu jahat. Itu pun hanya apabila orang-orang mereka yang kena, kalau orang lain kena, pasti mereka kata Akta itu baik.

Itulah standard Umno/BN. Selagi menguntungkan mereka, apa saja mereka sokong.

Duduklah sokonglah lagi Umno/BN nescaya jahanam Malaysia.

BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF.
12102015


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Parti Amanah Negara (AMANAH) Berhubung Kenyataan Media Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

4:11 PM 0 Comments A+ a-




KENYATAAN MEDIA PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) BERHUBUNG KENYATAAN MEDIA MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN.

www.amanahnegara.org

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan pada 11hb Oktober 2015 selepas sahaja selesai Mesyuarat Khas mereka. Bersama ini dikeluarkan respons AMANAH terhadap kenyataan media tersebut:-

1. AMANAH mengalu-alukan kenyataan media yang dikeluarkan pada 11hb Oktober oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan. Ianya menunjukkan sikap yang terus fokus terhadap usaha pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh dan bersatu demi menangani krisis ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin mendesak.

2. AMANAH mengucapkan tahniah kepada saff kepimpinan Parti Keadilan Rakyat atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah dua. Ini adalah bukti akan kematangan dan kebijaksanaan saff kepimpinan PKR, di bawah DS Wan Azizah selaku Presidennya, dalam mengurus perbezaan pandangan.

3. AMANAH berpendirian bahawa pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara. Ini berpaksikan keyakinan bahawa kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan. Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing.

4. AMANAH mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang berminat untuk menyertainya. Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat. Setiap anggota Pakatan Harapan hendaklah kommitted kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan.

5. Ke arah ini AMANAH mengesyorkan supaya segera dibentuk Sekretariat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama. Amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam menangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.

Sekian terima kasih.

KHALID BIN ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara
12 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media Bersama - Muhyiddin Yasin, Tun Dr Mahathir , Ling Liong Sik, Tengku Razaliegh , Sanusi Junid , Shafie Apdal , Ong Tee Keat

1:40 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA BERSAMA

Penahanan peguam Matthias Chang dan sebelum ini anak guamnya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012, adalah satu penyalahgunaan kuasa serta tindakan terdesak untuk mendiamkan pengkritik. Penggunaan SOSMA untuk menahan kedua-dua individu ini juga adalah bertentangan dengan semangat dan tujuan Akta ini diluluskan oleh Parlimen.

Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.

Pada akal yang sihat, tindakan ini juga memperlihatkan apabila ada pihak yang didakwa melakukan kesalahan dan apabila laporan dibuat terhadapnya, apa jua peruntukan undang-undang yang ada akan digunakan untuk menutup kesalahan pihak yang didakwa.

Tidakkah amat memalukan apabila seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak berusaha membuktikan kebenaran ataupun “his innocence” tetapi sebaliknya orang yang melaporkan kesalahan ditahan.

Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan, maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan.

SOSMA yang diperbuat menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah khusus untuk menghalang sebarang tindakan atau ancaman oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

1)untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;

(2)untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;

(3) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

atau

(4)untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Matthias Chang adalah peguam yang mengiringi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia. Tindakan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh SOSMA.

Malahan laporan-laporan yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Justeru, kami menegaskan bahawa penahanan Matthias Chang dan Khairuddin Abu Hassan di bawah SOSMA adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa yang jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen.

Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Apatah lagi, YAB Perdana Menteri sendiri ketika membentangkan Rang Undang-Undang SOSMA 2012 di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 memberikan jaminan bahawa setiap individu “bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan”. Malahan, beliau berjanji “tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara”.

Berdasarkan janji ini, maka kedua-kedua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan serta mengambil apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamd
YABhg Tun Ling Liong Sik
YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj Mohd Yassin
YB Datuk Seri Shafie Apdal
YBM Tengku Razaleigh Hamzah
YBhg Tan Sri Ong Tee Keat
YBhg Tan Sri Sanusi Junid

12 Oktober 2015



Sila kongsi artikel ini...

Kesunyian PM yang memekakkan - Tuan Ibrahim Tuan Man

11:42 AM 0 Comments A+ a-



Kesunyian PM yang memekakkan

Selepas pemecatan mengejutkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah diserang blog-blog misteri.

Apakah keberanian Bank Negara Malaysia untuk bertindak membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) terhadap pelaburan di luar negeri bernilai US$1.83 bilion (RM7.52 bilion) sejurus Pejabat Peguam Negara mendapati pegawai-pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak membuat sebarang kenyataan palsu akan memghidupkan kembali serangan terhadap Tan Sri Zeti?


Tanda-tanda serangan terhadap Tan Sri Zeti sudah kelihatan seperti yang disiarkan laman pro-Umno MyKMU.net – terutamanya tajuk sebuah artikel berbunyi “Perilaku Gabenor Bank Negara Berbahaya Kepada Ekonomi Negara”.

Namun, serangan terhadap Tan Sri Zeti tidak setajam blog-blog misteri sebelum ini. Ini barangkali hasil daripada teguran Majlis Raja-Raja terhadap 1MDB yang menuntut agar masalah 1MDB diselesaikan secepat mungkin. PAS tidak menolak bahawa kemungkinan Tan Sri Zeti sudah diserang habis-habisan sekiranya tiada saranan Majlis Raja-Raja yang menggesa isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

Selain memerhati gerak-geri serangan yang bakal dihadapi Tan Sri Zeti, kesunyian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap tindakan Bank Negara Malaysia dan saranan Majlis Raja-Raja terus mencetuskan tanda tanya dan memperkuatkan persepsi terhadap sikap tidak bertanggungjawab PM terhadap 1MDB.

Sebagai penghormatan, sepatutnya PM boleh membalas kepada Majlis Raja-Raja bahawa beliau sudah berjanji depan Umno dan rakyat pada 14 Jun 2015 bahawa masalah 1MDB akan selesai dalam 6 bulan. Dan jika dikira dari hari beliau berjanji, masalah 1MDB akan selesai dalam dua bulan lagi. PM juga boleh berjanji beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia dan memberi kuasa sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara melakukan dakwaan mengikut saranan agensi siasatan yang terlibat dalam menyiasat 1MDB.

Dan sekiranya masalah 1MDB masih juga tidak selesai dalam masa dua bulan akan datang, PM boleh berjanji untuk melepaskan jawatan Menteri Kewangan atau Penasihat 1MDB umpamanya.

Itu sikap bertanggungjawab yang sepatutnya dilakukan PM dan bukan dengan terus bersunyi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Asal Saya Tentang TPPA - Mohammad Agus Yusoff

12:43 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN ASAL SAYA TENTANG TPPA
Mohammad Agus Yusoff

Betul, TPP tidak perlu kelulusan parlimen kerana fungsi parlimen adalah untuk menggubal undang-undang negara.

TPP bukan undang-undang negara. Justeru, saya menyatakan tidak salah dari segi undang-undangnya jika kerajaan tidak membawanya untuk kelulusan parlimen.

Begitupun, kesan TPP ini besar kepada rakyat dan negara.

Justeru, sebelum kerajaan meluluskan dan meratifikasikan perjanjian ini, berilah peluang kepada rakyat dan ahli parlimen untuk meneliti dan membahaskan dokumen ini terlebih dahulu.

Akhirnya, saya menyeru kerajaan melibatkan rakyat sebelum keputusan muktamad dibuat untuk meratifikasikan TPPA ini. Begitulah kenyataan asal saya



Sila kongsi artikel ini...

TPPA – Kenapa kerajaan begitu beriya-iya? - Prof. Mohd Nazari Ismail

12:25 AM 0 Comments A+ a-



TPPA – Kenapa kerajaan begitu beriya-iya?

Oleh Prof. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan Pertubuhan IKRAM.

Susulan selesainya rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) di bandaraya Atlanta, Amerika Syarikat baru-baru ini, perdebatan dan perbincangan berkenaannya semakin hangat. Terdapat banyak isu yang ditimbulkan oleh berbagai pihak. Artikel ini akan membincangkan beberapa isu terpenting sahaja dan akan cuba merungkaikan persoalan kenapakah kerajaan Malaysia begitu beriaya-iya untuk menyertai perjanjian TPPA ini walaupun banyak pihak menentangnya.

Perlu disedari bahawa walaupun kerajaan Malaysia telah bersetuju kepada perjanjian ini, namun kerajaan Malaysia memilih untuk menjadi ahli kepada perjanjian secara rasmi hanya setelah mendapat persetujuan parlimen. Sebenarnya perkara ini juga berlaku di negara lain termasuk Amerika di mana kerajaannya juga perlu mendapat persetujuan kongres nya sebelum ia secara rasmi menjadi ahli TPPA. Oleh itu ramai pihak di negara yang terbabit sekarang sedang giat berusaha untuk mempengaruhi keputusan ini.

Penentangan terhadap TPPA adalah sangat lantang di kalangan beberapa organisasi dan persatuan. MTUC yang mewakili kesatuan buruh menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian ini akan menjejaskan kebajikan pekerja. Persatuan pengguna seperti CAP serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang kos kepada pengguna terutama sekali kos ubat-ubatan akan meningkat dan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga keras menentang TPPA kerana merasakan kebajikan usahawan dan peniaga bumiputera akan terjejas. Pengurusan syarikat dan perbadanan milik kerajaan (GLC) pula bimbang tentang kedudukan istimewa mereka akan turut terjejas kerana perjanjian ini akan membuka ruang kepada persaingan yang terbuka dan sengit dari syarikat luar negara yang lebih besar dan kuat apabila sekatan perdagangan dan pelaburan dalam banyak sektor dikurangkan atau dihapuskan terus.

Akhir sekali satu sebab kenapa perjanjian ini ditentang ialah kerana ianya dikatakan akan menjejaskan kedaulatan negara akibat dari provisi `Investor State Dispute Resolution’ yang membenarkan syarikat asing yang melabur menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa jika syarikat merasakan keuntungan pelaburan mereka terjejas akibat perubahan dalam polisi atau undang-undang negara yang terbabit.

Sebenarnya kesemua kebimbangan mereka adalah mempunyai asas yang sangat kukuh dan sukar untuk dinafikan. Namun perlu disedari juga bahawa penentangan terhadap TPPA juga lantang di negara lain termasuk di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di antara penentang utama TPPA di Amerika Syarikat adalah AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai 56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat. Mereka merasakan bahawa perjanjian ini akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan akan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah seperti Malaysia. Satu lagi persatuan dari barat yang sangat menentang perjanjian ini ialah MSF (Médecins Sans Frontières/Doctors Without Borders). Ini kerana mereka merasakan kos ubat-ubatan akan meningkat di semua negara ahli TPPA termasuk di negara barat akibat terma perjanjian yang akan menyekat proses pengeluaran ubatan generik yang lebih murah. Akibat kempen yang giat oleh banyak organisasi yang menentang TPPA, ramai rakyat Amerika sebenarnya sangat bencikan perjanjian ini. Maka tidak hairanlah kenapa dua calun utama dalam pertandingan merebut jawatan Presiden di Amerika, iaitu Hilary Clinton dari parti Democrat dan Donald Trump dari parti Republican adalah antara penentang utama perjanjian ini, mungkin kerana menyedari bahawa pendirian menentang TPPA akan memastikan mereka akan mendapat banyak sokongan dari kalangan rakyat Amerika.

Persoalan yang timbul ialah jika kebimbangan oleh berbagai pihak di atas adalah kukuh dan berasas, kenapakah kerajaan dari dua belas negara yang terlibat masih meneruskan perjanjian ini? Jawapannya ialah kerana terdapat satu kumpulan yang sangat berpengaruh yang sangat menyokong perjanjian ini iaitu organisasi perniagaan yang berdaya saing tinggi dan kuat dalam pasaran antarabangsa. Di Malaysia, kebanyakan mereka adalah ahli kepada FMM (Federation of Malaysian Manufacturers). Oleh sebab itu, FMM adalah penyokong paling kuat kepada perjanjian TPPA. Sebab utama mereka menyokong perjanjian ini ialah kerana perjanjian ini akan membuka ruang eksport yang lebih luas kepada ahli FMM, terutama dari sektor tekstil, elektronik dan barangan otomotif. Mereka berpendapat perjanjian ini akan membantu mereka meningkatkan pendapatan kerana pasaran baru akan terbuka untuk mereka seperti dari negara Canada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru. Pelaburan juga akan bertambah dan sudah tentu juga peluang pekerjaan dalam sektor mereka. Di samping syarikat di atas, syarikat-syarikat gergasi dalam sektor minyak sawit negara juga menyokong perjanjian ini. Ini kerana mereka merasakan bahawa eksport minyak sawit akan meningkat dengan mendadak akibat peluang pemasaran di negara lain terutama sekali di Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat pula, penyokong utama kepada perjanjian ini juga adalah dari kalangan syarikat perniagaan yang besar dan kuat, yang mengeskpot ke luar negara seperti dari sektor farmaseutikal dan pertanian. Begitu juga, antara penyokong utama TPPA dari negara New Zealand adalah syarikat pengeskport dalam sektor tenusu sementara dari Canada adalah syarikat pengeksport dari sektor keluaran daging.
Jelas sekali, bahawa kumpulan yang sangat akan mendapat manfaat dari TPPA adalah syarikat perniagaan, terutama sekali dari kalangan syarikat yang besar, dan kuat atau kompetitif dalam pasaran antarabangsa. Di samping itu, kebanyakan dari syarikat ini mempunyai beban hutang yang sangat tinggi akibat dari strategi perkembangan mereka. Beban hutang ini mewajibkan mereka membesarkan saiz pendapatan mereka dan ini hanya akan dapat dilakukan jika saiz pasaran untuk keluaran mereka juga bertambah. TPPA lah yang akan membantu meluaskan saiz pasaran mereka.

Kerajaan dari semua negara pula sangat bergantung kepada syarikat-syarikat ini untuk membantu merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi negara. Oleh itu mereka merasakan bahawa perjanjian ini bukan sahaja akan menambahkan peluang pekerjaan, malah kadar pertumbuhan ekonomi juga akan meningkat. Pendapat mereka diperkukuhkan lagi oleh dapatan dari beberapa kajian. Sebagai contoh sebuah organisasi penyelidikan ekonomi antarabangsa yang berpengaruh iaitu `The Peterson Institute for International Economics’ menyatakan bahawa TPPA berupaya meningkatkan pendapatan sebanyak USD295 billion serta peningkatan perdagangan sebanyak USD1.9 trillion di negara terbabit. Ini kerana bukan sahaja akan wujud liberalisasi dalam eksport dan import bahkan juga liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan teknologi. Dalam kes Malaysia, Peterson Institute meramalkan saiz ekonomi Malaysia (yakni GDP) akan meningkat lebih dari 5 peratus pada tahun 2025 akibat dari perjanjian ini. Jika beberapa negara Asia seperti Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand turut menyertai perjanjian ini nanti (dan menjadikan keahlian berjumlah 17 negara), peratusan ini akan meningkat menjadi lebih dari 10 peratus. Ini sudah tentu adalah satu angka yang sangat memberangsangkan.

Sebaliknya, jika perjanjian ini tidak wujud, kesemua pemimpin politik dari kesemua dua belas negara terlibat merasakan sukar untuk berlakunya pertumbuhan ekonomi di negara mereka. Tambahan pula suasana ekonomi yang terbantut bermakna pendapatan kerajaan juga akan terjejas. Di samping itu hampir kesemua kerajaan ini mempunyai beban hutang yang tinggi dan oleh itu suasana ekonomi yang terbantut akan bermakna kerajaan akan terpaksa melaksanakan langkah berjimat cermat atau meningkatkan kadar cukai untuk menampung perbelanjaan negara. Sudah tentu langkah tersebut adalah tidak popular. Di samping membuat rakyat semakin kecewa terhadap kerajaan, langkah tersebut juga akan tentu sekali menjejaskan sokongan politik rakyat terhadap mereka.

Jelas sekali bahawa isu pertumbuhan ekonomi lah menjadi faktor utama kenapa kerajaan di kesemua dua belas negara yang terlibat dalam TPPA begitu berusaha untuk menjayakan perjanjian ini. Isu ekonomi juga akan memastikan bahawa beberapa negara lain yang belum menjadi ahli termasuk negara China, akan lambat laun memohon untuk turut serta dalam perjanjian TPPA ini. Pemimpin politik di kesemua negara ini semua sedar bahawa pada masa ini garis ukur yang digunakan oleh rakyat untuk menyokong sesebuah kerajaan adalah prestasi ekonomi semata-mata. Walapun kedaulatan negara akan lebih utuh jika sesebuah negara memilih untuk tidak menyertai perjanjian ini, namun sebenarnya mereka juga sedar bahawa jika rakyat merasakan suasana ekonomi adalah tidak baik dan pendapatan mereka tidak bertambah, rakyat akan masih tidak berpuas hati atau marah kepada kerajaan dan akan berusaha untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan kerajaan baru yang dirasakan akan boleh menjamin keadaan ekonomi mereka adalah lebih baik.

Sebenarnya pertumbuhan ekonomi yang akan dialami oleh negara yang terbabit akan menguntungkan sebahagian kecil sahaja dari masyarakat, yang terdiri dari golongan yang sudah kaya, yang sedang mengawal sumber kewangan negara. Di samping itu, seperti yang telah terbukti berlaku di negara maju, pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan akan juga bermakna kenaikan kos kehidupan akibat dari inflasi dan pertumbuhan tahap hutang dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, tahap kebajikan rakyat akan masih terjejas dalam jangka panjang walau pun berlakunya pertumbuhan ekonomi. Namun, ramai yang tidak menyedari hakikat ini dan oleh itu mereka akan tetap menjadikan pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan sebagai isu paling utama. Dan oleh sebab itulah kerajaan di kesemua dua belas negara ahli TPPA, termasuk Malaysia akan berusaha untuk mengesahkan keahlian mereka, sementara yang lain akan berusaha untuk menyertainya di masa akan datang.

Jawaban kepada soalan kenapa kerajaan begitu beriya-iya kepada TPPA ialah kerana, sama ada secara sedar atau tidak sedar, itulah sebenarnya kemahuan sebahagian besar rakyat. Selagi fokus mereka tidak berubah dari isu pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan semata-mata, kerajaan tidak akan berganjak dari berusaha untuk menyertai TPPA.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.