Jangan Bakar Negara - Ustaz Idris Ahmad

6:24 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (23)
Jangan Bakar Negara

Ustaz Idris Hj Ahmad


naib presiden Pas

2/10/15

Malaysia sudah merdeka 58 tahun. Sepatutnya umur kemerdekaan ini sama dengan kematangan rakyat dan pemimpin berfikir. Tugas kita sebagai rakyat melanjutkan kerja yang sudah dilalui oleh orang yang terdahulu. Menjaga keharmonian dan kedaulatan negara adalah tugas kita bersama.

Pejuang kemerdekaan yang telah meletakkan asas pembinaan negara yang begitu tersusun jangan dihancurkan oleh nafsu serakah yang mempunyai cita-cita politik yang singkat. Asas persetujuan daripada mereka yang terdahulu semasa hendak mencapai kemerdekaan harus di renung dan dijadikan asas oleh generasi sekarang. Walaupun kita tidak bersetuju dan berpuas hati dengan apa yang diletakkan oleh mereka yang terdahulu. Di samping kita memperbaiki kekurangan yang masih ada, bukan memburukkan lagi keadaan.

Persetujuan yang disepekati oleh semua pihak bahawa Islam agama Persekutuan, Hak Istimewa orang Melayu, hak kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai balasannya mereka yang datang ke negara ini diberi kerakyatan. Sepatutnya kita bergerak atas asas itu dalam apa -apa tindakan supaya keharmonian antara kaum dapat dipupuk. Oleh itu jangan bakar negara dengan isu perkauman dan penghinaan kepada agama serta merungkai kontrak sosial yang sudah dipersetujui.

Sejarah hitam 13 Mei 1969 jangan diulang. Kehancuran yang tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Pihak berkuasa perlu bertindak kepada siapa yang cuba membuat provokasi dengan mempertikai asas yang sudah dipersetujui bersama, tanpa mengira darjat dan kedudukan. Kita lebih sayang negara daripada individu.

Sebarang bentuk tindakan, tulisan, himpunan dan ucapan yang hendak merungkai perkara yang telah dipersetujui bersama perlu diambil tindakan. Himpunan yang menuntut keadilan dan menentang penyelewingan tidak mengapa. Tetapi himpunan yang menghina agama dan bangsa mesti disekat.

Amat tidak elok ucapan atau tulisan yang mempertikaikan Islam, hak keistimewaan orang Melayu, hak Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Begitu juga tidak boleh menganggap bahawa orang Cina dan India golongan pendatang kerana mereka sudah beranak pinak di negara ini.

Pas yang berpegang dengan dasar Islam tidak berkompromi mereka yang meniupkan semangat perkauman dan menghina kedaulatan Islam. Perkara ini Pas praktikkan di Kelantan selama 25 tahun memerintah. Malahan ketika berlaku 13 Mei 1969, tidak berlaku pertumpahan darah di Kelantan, walaupun orang bukan Islam minoriti. Kerana Islam memberi amaran keras kepada penganutnya supaya jangan melakukan penindasan dan kezaliman kepada orang bukan Islam. Perbezaan agama dan bangsa bukan lesen untuk menindas orang lain, kerana mereka semua makhluk Allah SWT.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.