PAS The Real King Maker In Malaysian Politics - Alang Ibn Shukrimun

11:55 PM 0 Comments A+ a-



PAS THE REAL KING MAKER IN MALAYSIAN POLITICS

Semenjak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, PAS terus gagah sebagai sebuah parti yang bukan sahaja berjaya mencorak landskap politik Malaysia, bahkan turut mencorakkan budaya masyarakat Malaysia. Berkaitan perkara ini, Erical Miller dari Tufts University dalam kajiannya Democratic Islamist; A Case Study of the Pan Malaysia Islamic Party menyimpulkan:

"PAS sebuah organisasi yang rencam, sebuah parti politik sophisticated yang berkembang untuk menghadapi cabaran-cabaran baru dan berjaya dalam 'permainan demokrasi'. Ia telah berjaya melakukan kesemua ini bukan dengan menang besar dalam pilihanraya, tetapi dengan berterusan menjadi kuasa pendesak selama lebih 50 tahun walaupun menghadapi tekanan sebagai sebuah parti pembangkang dalam demokrasi tempang di Malaysia."

Kesimpulan yang diberikan Miller cukup jelas menunjukkan pendirian dan kegiatan PAS yang konsisten telah meletakkan PAS sebagai satu parti yang cukup berpengaruh dalam mencorak halatuju politik Malaysia. Malah seorang strategis MCA, Fui K. Soong dalam The Star pernah menyebut "PAS the Real Kingmaker in Malaysian Politics."

PAS sejak awal penubuhan telah memperkenalkan tema-tema perjuangan seperti 'Negara Islam', Kedaulatan syariah, Pembasmian Munkar, Keadilan Ekonomi Islam dan lain-lain. Kini tema-tema ini telah mempengaruhi dasar dan kegiatan negara dan telah diterima ramau meskipun dulunya sangat asing bagi mereka.

Di samping itu, peranan PAS memimpin isu-isu rakyat pelbagai peringkat turut membantu menaikkan PAS sebagai sebuah harapan alternatif kepada kerajaan sedia ada. Sikapnya profesional yang bukan sekadar mengkritik tetapi turut mengemukakan penyelesaian amat menarik hati rakyat secara berterusan untuk menaruh keyakinan kepada parti ini.

Perkara ini dinyatakan bukan untuk dijadikan kebanggaan, tetapi untuk menunjukkan PAS berada di landasan yang benar tentang penyertaannya dalam politik Malaysia. Semua ini mendidik kita supaya terus beristiqamah dengan perjuangan asas parti sejak dari dulu.

Maka PAS perlu terus menumpukan agenda penerangan Islam dan istiqamah dengan dasar dan prinsip Islamnya. Tentangan akan terus datang tetapi selari dengan itu, ruang-ruang baru dakwah sedang terus terbuka bagi mempersada Islam secara progresif dan berperingkat dalam negara saban hari.

Hari ini juga ramai telah mengakui kekuatan PAS dalam mendepani konflik politik yang ada. Walau berbagai pihak cuba menguasai landskap politik Malaysia dek kelemahan pemerintah, realiti telah menunjukkan PAS masih utuh sebagai parti teras alternatif kepada negara Malaysia.

Ini diakui oleh bekas Menteri dari Umno, Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir dalam Kongres Rakyat dan diulang dalam himpunan Istiqamah, bahawa tidak ada parti lain yang lebih kukuh dari PAS ketika ini. Perkara ini turut disokong oleh Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamal, strategis PKR Tian Chua dan lain-lain.

Kita boleh melihat realitinya. UMNO sedang bergolak teruk di bawah kepimpinan Najib sehingga bekas PM terpaksa turun padang lagi dalam menyelamatkan Umno. PKR turut mengalami kecamuk yang dahsayt apabila 25 orang nama kepimpinan mereka tidak bersetuju dengan keputusan Presiden Wan Azizah menyertai Pakatan Harapan. Tetapi PAS melalui perwakilan seluruh Malaysia berjaya memperkukuh kepimpinannya pasca Muktamar lepas dalam keadaan yang sangat dramatik.

Cukup beberapa fakta ini sebagai pemangkin semangat untuk kita tidak lagi menoleh ke belakang. Tidak perlu lagi bermain dengan kemuncut-kemuncut kecil yang cuba memperlahankan langkah. Jika dulu dalam keadaan PAS dilihat lemah dan parti lawan dalam keadaan yang sangat selesa pun kita masih mampu mencorak politik negara, maka tidak mustahil seandainya kita terus istiqamah dalam situasi sekarang, PAS mampu meluncur tenang ke Putrajaya dan mengambil alih kuasa politik Malaysia.

Fastaqim!!

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Jangan Ulangi Kesilapan lalu - Tuan Ibrahim Tuan Man

7:57 PM 0 Comments A+ a-



Jangan ulangi kesilapan lalu

Kedatangan Barat ke Nusantara atas misi perdagangan berakhir dengan kejayaan mereka melaga-lagakan pemerintah di negara ini bagi memudahkan penjajahan mereka ke atas kedaulatan negara. Sistem pecah dan perintah "divide and rule" yang diamalkan oleh mereka ternyata membuahkan hasil yang sangat lumayan, bilamana orang Melayu khasnya raja-raja yang menjadi pemerintah pada masa itu berjaya dipecah-belahkan sehingga sebahagian mereka tanpa segan memohon bantuan Inggeris demi mempertahankan survival kuasa politik mereka.

Akibatnya negeri berada dalam era penjajahan ratusan tahun. Kemerdekaan 1957 hanya berjaya mengembalikan kuasa ke tangan rakyat negara ini, namun sebahagian sistem yang dipaksakan oleh penjajah terus di amalkan sehingga kini.

Kini kita sedang melihat bagaimana hancurnya negara umat islam khasnya Afghanistan, Iraq dan kini Syria dan Yaman.

Golongan yang berbangga memohon pertolongan Amerika dan sekutu Barat satu waktu dahulu, kini menderita di atas tindakan mereka. Kita tentu masih ingat bagaimana ribuan rakyat Iraq menyambut kedatangan tentera Amerika dengan kuntuman bunga dan bersorak kegembiraan bila melihat kedatangan Tentera Bersekutu bersama dengan infantri mereka.

Penjajahan Barat tidak pernah terhenti di dunia moden, ia bukan lagi berkisar pada ketenteraan tapi juga melalui perdagangan dan ekonomi.

Negara kini berada dalam situasi yang hampir sama. Isu TPPA bukan hanya sekadar perjanjian perdagangan tetapi ia adalah satu bentuk penguasaan dan blok pegangan yang akan bertukar kepada blok ketenteraan dan penjajahan baru.

Dalam persaingan untuk menguasai ekonomi dan pengaruh dunia, Amerika menyedari saingan kuasa baru China. Di sisi blok perdagangan, Amerika memerlukan tindakan segera.

Malaysia perlu melepaskan diri dari ikatan perjanjian TPPA yang kini sedang berusaha mengikat dengan pelbagai peraturan ke atas negara kita.

Di saat ini, semua parti politik mesti meletakkan kepentingan negara jauh lebih besar dari polemik kepartian dalam keadaan negara berhadapan dengan kegagalan mengurus pelbagai isu utama yang menimbulkan kemelut dalaman, sehingga meninggalkan negara jauh ketinggalan dalam persaingan global. Namun apa yang perlu disedari oleh semua ialah kemelut tersebut kini menuntut perubahan menyeluruh kepada kepimpinan baru yang lebih bertanggungjawab.

PAS menentang perjanjian TPPA dan mendesak kerajaan tidak menandatangani perjanjian tersebut. Kita perlu memelihara kedaulatan negara dan menentang sebarang campur tangan asing dalam meneruskan masa depan negara.

Di saat ini semua parti politik samada blok pembangkang atau kerajaan mesti sepakat dalam membuat keputusan besar bagi masa depan negara. Kesilapan lalu tidak sepatutnya diulang semula oleh kepimpinan masa kini. Jangan disebabkan skandal seseorang pemimpin, negara diperas ugut untuk bersetuju dengan TPPA.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan Media: Usul Tidak Percaya - Wan Azizah

7:32 PM 0 Comments A+ a-




Kenyataan Media: Usul Tidak Percaya

Dengan kapasiti saya selaku Ketua Pembangkang, saya telah mengemukakan suatu usul pada hari ini untuk mengambil ketetapan bahawa Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Pekan, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Saya mempunyai sebab-sebab munasabah berkeyakinan bahawa majoriti dalam Dewan Rakyat, bererti bukan sahaja 88 orang Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi juga bilangan Ahli Parlimen dalam Barisan Nasional yang mencukupi, yang telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Yang Amat Berhormat untuk menerajui Kerajaan.

Perlu dijelaskan bahawa Usul tersebut hanya berkenaan dengan kehilangan kepercayaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bukannya terhadap Kerajaan. Ini kerana saya dan banyak lagi, tanpa mengira fahaman politik, kami percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik yang tenat dan sedang dihadapi negara ini berasal daripada krisis kepimpinan dalam negara. Rakyat sedang menderita kos kehidupan yang semakin meningkat dan kesengsaraan ekonomi di bawah jagaan beliau di mana polisi-polisi beliau terbukti gagal. Transformasi yang dihebohkan itu sekadar retorik.

Sungguhpun terdapat faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit seperti penurunan harga minyak dan harga komoditi, ‘sentimen’ yang disebutkan oleh ahli-ahli profesional dan ekonomi sebagai salah satu sebab kejatuhan ringgit adalah akibat daripada cara menguruskan siasatan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Penyingkiran Dato’ Gani Patail sebagai Peguam Negara secara tergesa-gesa tanpa penjelasan, pelucutan YB Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan YB Semporna Datuk Shafie Apdal, pembubaran selanjutnya pasukan bertindak menyiasat skandal 1MDB, pemindahan atau penukaran pengarah-pengarah yang mengetuai penyiasatan dan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas penyiasatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, merupakan satu percubaan untuk campur tangan ke atas penyiasatan. Keadaan bertambah buruk dengan pelantikan pengerusi dan tiga anggota PAC Dewan Rakyat (ke Kabinet) yang menghalang PAC daripada menjalankan penyiasatannya terhadap pengurusan dan pengarah-pengarah 1MDB yang sepatutnya didengar di hadapan PAC. Institusi-institusi kita telah diganggu-gugat daripada melaksanakan tugas-tugas tanpa rasa takut.

Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin bertambah rakus dengan timbulnya pelbagai perundangan menindas yang disegerakan menerusi parlimen dan lebih dari seratus ahli aktivis, cendekiawan, wartawan dan pelajar disiasat, didakwa atau dihadapkan pertuduhan. Meskipun terdapat jaminan di dalam parlimen, SOSMA dan undang-undang lain yang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara telah diperalatkan terhadap mereka yang tidak ada kena-mengena dengan keganasan. Perbicaraan dan pemenjaraan mantan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikutuk oleh badan kehakiman antarabangsa (contohnya ICJ) sebagai satu perbicaraan yang songsang dan penganiayaan politik.

Tokoh-tokoh tersohor dalam persidangan anti-rasuah antarabangsa (IACC) telah menggesa Perdana Menteri menjelaskan ‘derma’ RM2.6 bilion. Mereka mempersoalkan siapa membayar wang itu dan kenapa? Dan ke mana wang itu pergi? Tidak ada penjelasan yang munasabah diberikan. Oleh yang demikian, tidak memeranjatkan untuk melihat pelabur-pelabur dalam dan luar negara mengeluarkan pelaburan mereka dari negara kita. Mantan Perdana Menteri dan para pimpinan kanan kerajaan kini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib.

Ratusan ribu rakyat biasa telah memberanikan diri selama 34 jam dalam keadaan hujan dan panas bagi mendesak peletakan jawatan Dato’ Seri Najib. Tinjauan-tinjauan terkini menunjukkan bahawa populariti beliau telah menjunam ke tahap paling teruk dalam sejarah, dan beliau ditolak oleh rakyat.

Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan yang tiada tolok-banding yang menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan menghukum dalang-dalang yang terbabit dalam skandal 1MDB. Seluruh negara menyokong penuh tanpa kecuali gesaan Duli-duli Raja-raja Melayu.

Saya yakin Ahli-ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani. Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala. Kita tidak harus mengekalkan satu manusia berjawatan dan membiarkan beribu-ribu yang lain hilang pekerjaan.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen
Ahli Parlimen Permatang Pauh
22 Oktober 2015



Sila kongsi artikel ini...

KWSP-I : Gesa Kerajaan Beri Perhatian Terhadap Beberapa Isu Utama - Nik Abduh

1:53 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KWSP-I : GESA KERAJAAN BERI PERHATIAN TERHADAP BEBERAPA ISU UTAMA


1. DPPM menyokong penuh penubuhan KWSP Islamik (KWSP-I) seperti yang diluluskan di dalam RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat hari ini. Penubuhan ini akan menyaksikan KWSP-I sebagai sebuah tabung simpanan persaraan terbesar di dunia yang mempunyai operasi patuh syariah.

2. Berdasarkan artikel yang diterbitkan World Bank bertarikh 31 Mac 2015, 'Islamic Finance' atau Kewangan Islam telah berkembang 10 sehingga 12 peratus setiap tahun manakala aset kewangan yang patuh syariah pula mencecah jumlah USD 2 trilion seluruh dunia.

3. Perkembangan positif ini menunjukkan sokongan dan penerimaan masyarakat dunia terutamanya dalam menceburkan instrument kewangan ke dalam industri kewangan Islam. Sistem kewangan Islam bukan sahaja diterima dan berkembang di negara-negara umat Islam malah ia juga berkembang di negara-negara bukan islam seperti di UK, Luxembourg, Afrika Selatan dan Hong Kong.

4. Walaubagaimanapun, DPPM menggesa kerajaan meneliti beberapa perkara supaya aspek pengurusan KWSP-I berada pada landasan syariah yang jitu. Antaranya adalah;

i) Pembentukan jawatankuasa penasihat syariah bukan hanya sebagai penasihat kepada aspek pelaburan semata-mata, malah ia juga seharusnya bertindak mengawal pelaburan yang terdapat campur tangan politik disebabkan masalah korupsi dan penyalahgunaan tabung kepentingan awam. Sistem kewangan Islam tidak hanya merangkumi aspek penghapusan sistem riba atau 'interest' tetapi ia juga sangat berkait rapat kepada faktor moral dan nilai.

ii) Gesaan kerajaan agar mempertimbangkan cadangan bagi mewajibkan setiap pencarum yang beragama Islam untuk mencarum di KWSP-I. Ini adalah tanggungjawab utama kerajaan bagi memastikan rakyat terutamanya yang beragama Islam bersih dari segala perkara-perkara yang tidak diizinkan agama.

iii) Kerajaan juga digesa mempertimbangkan pembayaran zakat perniagaan sepertimana yang telah difatwakan. Ini sudah pasti menjadi tanggungjawab kerajaan memandangkan kerajaan berkuasa menguruskan pelaburan wang simpanan persaraan tersebut.

5. Semoga dengan penubuhan KWSP-I ini akan mengukuhkan industri kewangan Islam bukan sahaja diperingkat domestik malah turut berkembang di peringkat global.

Sekian, terima kasih.

“Mempersiap Generasi Kemenangan"

"Beristiqamah Hingga Kemenangan”

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Khamis, 22 Oktober 2015M | 9 Muharram 1437H


Sila kongsi artikel ini...

SPRM dan polis digesa menjawab kenyataan SRC International - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:08 AM 0 Comments A+ a-



SPRM dan polis digesa menjawab kenyataan SRC International

SRC International Sdn Bhd akhirnya tampil membersihkan diri sendiri.


Namun, waktu syarikat itu tampil membela diri menimbulkan pelbagai soalan dan spekulasi, terutamanya apabila ia dibuat sehari selepas Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said memberitahu parliamen bahawa adalah tidak sesuai untuk Perdana Menteri Najib Razak menjawab soalan samada beliau menerima ‘derma’ daripada SRC International Sdn Bhd, satu bekas anak syarikat 1MDB kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes tersebut.

Lebih pelik, kenyataan SRC International semalam adalah berkait dengan satu kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan palsu dan gambar rajah dana didakwa disalurkan dari syarikat tersebut ke dalam akaun PM yang sudah dibangkit sejak 30 Julai yang lalu.

Selepas 2.5 bulan, SRC International tampil dengan berkata ia menjalankan siasatan dalaman dan percaya dakwaan itu adalah berdasarkan kepada dokumen palsu.

Kenyataan ini bernada pelik, kerana Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hanya menggunakan masa sehari (pada 31 Julai) sejurus kertas dakwaan itu diterbitkan oleh Sarawak Report untuk menafikan bahawa kertas dakwaan terhadap PM itu adalah palsu.

Yang lebih pelik ialah meskipun Peguam Negara berkata kertas dakwaan itu palsu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tetap melancarkan siasatan terhadap kebocoran maklumat kepada Sarawak Report selepas itu. Siasatan itu menyaksikan tujuh pegawai SPRM disoal siasat dan pejabat siasatan khas SPRM yang sedang menyiasat SRC International diserbu.

Ketika itu, SRC International langsung tidak bersuara. Malah pada 22 Ogos yang lalu, SPRM mengumumkan kegagalan mengesan tiga individu iaitu ho Low (Low Taek Jho) Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd) bagi tujuan siasatan terhadap dakwaan RM42juta yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Apakah dengan kenyataan SRC International bermakna Nik Faisal sudah bersedia kembali menghadapi siasatan SPRM? Apakah SPRM sudah berjaya menghubungi Nik Faisal memandang SRC International sendiri mengisytiharkan diri sendiri sudah bersih?

Bagaimana pula hasil siasatan polis terhadap kebocoran maklumat siasatan terhadap SRC International yang dilancarkan bulan Ogos yang lalu?

Bola kini di kaki SPRM dan polis untuk membalas kenyataan SRC International. Rakyat tidak harus terperangkap dengan tindakan-tindakan mengelirukan ini. Persoalan pokok hari ini ialah PM menerima ‘derma’ daripada siapa lagi ke dalam akaun peribadinya selain RM2.6 bilion yang pendermanya masih menjadi misteri.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Apakah Kewajaran Mahb Menanggung Kos Baikpulih Kerosakan Klia2 Sebanyak Rm76.5 Juta? - Faiz Fadzil

10:04 AM 0 Comments A+ a-



APAKAH KEWAJARAN MAHB MENANGGUNG KOS BAIKPULIH KEROSAKAN KLIA2 SEBANYAK RM76.5 JUTA?


oleh Faiz Fazdil

KLIA2 yang telah digunakan sejak Mei 2014 walaupun dibina untuk kemudahan awam merupakan satu lagi projek mega kerajaan yang tidak seharusnya menelan belanja yang melampau tinggi dalam keadaan ekonomi negara yang meleset dan bebanan kos sara hidup yang begitu tinggi. Laporan juga menyebut bahawa kos asal pembinaan sebanyak RM1.7 billion telah meningkat kepada RM3.9 biliion.

Tidak cukup dengan kos pembinaan yang terlalu tinggi, kos pembaikan juga telah menelan belanja sebanyak RM76.5 juta. Kerosakan yang berlaku dilaporkan melibatkan mendapan di parkir apron, takungan air di 'taxiway' dan landasan serta retakan di bangunan terminal.


Kenapakah kualiti pembinaan tidak sempurna dan bebas daripada kerosakan, sedangkan kos pembinaan terlalu tinggi? Tidak sewajarnya wujud kerja baikpulih yang begitu substantif. Yang mengelirukan adalah kenapa MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih, sedangkan dalam amalan biasa kontrak pembinaan, kontraktor yang perlu membaikpulih sebarang kerosakan jika ia berlaku dalam tempoh tanggungan kecacatan.

Jika kontraktor enggan membaiki kerosakan, barulah MAHB boleh menanggung kos baikpulih, tetapi kosnya tetap akan dipotong daripada wang tahanan kontraktor. Namun, jika tempoh tanggungan kecacatan telah tamat, pihak MAHB masih mempunyai remedi melalui tort kecuaian sepertimana yang berlaku dalam kes Highland Towers.

Maka timbul persoalan kenapakah harus MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih sebanyak itu? Adakah kos tersebut benar-benar berpadanan dengan kerosakan yang berlaku? Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan kerosakan yang begitu substantif, samaada pihak MAHB, kontraktor atau konsultan? Apakah pihak MAHB akan mengambil tindakan terhadap kontraktor atau konsultan yang berkaitan? Mengapakah wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya bagi manfaat pihak-pihak tertentu memandangkan MAHB adalah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC)? Adakah wujud apa-apa unsur jenayah rasuah, pecah amanah atau penyelewengan dalam pembinaan dan pembaikan yang menelan belanja begitu tinggi?

Maka, laporan audit yang segera dan menyeluruh amat penting bagi menjelaskan persoalan-persoalan ini. Siasatan menyeluruh dan bebas oleh pihak SPRM juga amat penting bagi menyiasat isu kos pembinaan dan pembaikan yang amat tinggi ini. Kerajaan perlu telus dalam isu-isu yang melibatkan penggunaan wang rakyat.

Apatah lagi, kerosakan yang berlaku melibatkan keselamatan pekerja dan pengguna di KLIA2 yang merupakan 'stakeholder' di pusat perkhidmatan awam tersebut. Integriti dan kredibiliti pentadbiran negara perlu dipertingkatkan memandangkan negara sedang dilanda dengan pelbagai skandal kewangan termasuk 1MDB yang mendapat perhatian masyarakat luar yang boleh menjejaskan lagi nilai matawang.

Cukuplah rakyat menderita akibat ketidakcekapan dan ketidaktelusan pentadbiran negara pada hari ini.


Sila kongsi artikel ini...

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II - Hafez Sabri

6:58 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PERAK
[EKJS II TIDAK PERLU DITAKUTI]

1) Dewan Pemuda PAS Perak menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan yang difailkan oleh Gerakan untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan.


2) Melalui keputusan ini, dapat dirumuskan bahawa EKJS II masih mengikut lunas perlembagaan. Usaha Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bersama ahli parlimen PAS yang lain membawa usul ke Sidang Parlimen melalui ‘Private Members Bill’ untuk dibahaskan adalah menurut saluran demokrasi yang betul.

3) EKJS II merupakan pindaan terbaru selepas usaha awal dilakukan pada tahun 1993 oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS sepenuhnya. EKJS II dibentuk mengikut proses siyasah syariah, lunas demokrasi dan pengurusannya. Dengan disusun oleh pakar Syariah dan perundangan moden, EKJS II juga telah di bawa kepada umum dengan jemputan kepada semua parti politik, NGO Islam dan bukan Islam untuk mendengar dan memberi penjelasan kepada semua pihak. Dengan beberapa pindaan telah dilakukan, EKJS II kini hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja.

4) Polemik isu hudud terus dibangkitkan lagi oleh beberapa pihak yang tidak memahami atau sengaja tidak memahami. Tindakan mahkamah dan saman diambil bagi menggagalkan usaha mengkanunkan EKJS II di Parlimen.

5) Dewan Pemuda PAS Perak terus istiqamah menyokong usaha mengkanunkan EKJS II di Kelantan dan optimis bahawa perlaksanaannya akan memberi impak positif dalam mengurangkan jenayah dan membentuk keperibadian masyarakat yang lebih baik .

6) Dewan Pemuda PAS Perak juga berbesar hati menawarkan ruang diskusi samada terbuka atau tertutup kepada semua masyarakat terutamanya ‘non-muslim’ atas nama NGO atau persatuan bagi menjelaskan dan memberikan kefahaman terhadap isu EKJS II ini. Bagi tujuan itu, boleh menghubungi Pegawai Eksekutif DPPPerak ditalian 013-2118675.

‪#‎IstiqamahSehinggaKemenangan‬

Hafez Sabri

(Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia
merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak)

8 Muharram 1437H / 21 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Pemberitahu Usul Menggantung Yb Gelang Patah - Azalina Osman

3:56 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PEMBERITAHU USUL MENGGANTUNG YB GELANG PATAH

1. Pihak kerajaan atas arahan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat (Speaker) telah menarik balik PEMBERITAHU USUL untuk menggantung YB Gelang Patah.


2. Berdasarkan kepada keputusan yang ditetapkan oleh Tuan Yang di Pertua (Speaker) YB Gelang Patah harus menarik balik kenyataan yang dibuat oleh beliau pada 19 Oktober 2015 selepas Usul Mengenai Jerebudibawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) selesai dibahaskan.

3. Oleh kerana YB Gelang Patah tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Tuan Yang di Pertua (Speaker), PEMBERITAHU USUL yang baharu telah pun diedarkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat sebelum berakhirnya sidang pada 21 Oktober 2015.

Sekian terima kasih.

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tarikh: 21 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Politik Wang Punca Asal Kemelut Ekonomi Negara - Wan Ahmad Fayhsal

3:42 AM 0 Comments A+ a-



POLITIK WANG PUNCA ASAL KEMELUT EKONOMI NEGARA

oleh:

Wan Ahmad Fayhsal


Tercengang kami semalam dengar ceramah panjang Prof Edmund Terence Gomez pengkaji hubungan politik dan ekonomi Malaysia yang menulis karya penting iaitu "Malaysia's Political Economy: Politics, Patronage and Profits" yang mana beliau ceramahkan tentang akar masalah kemelut ekonomi - termasuk 1MDB - berpunca daripada politik wang yang membarah dalam UMNO tahap "terminal" (ini saya tambah).

Kita semua tahu seperti dihujahkan para penyokong 1MDB bahawa derma RM 2.6 bilion itu diperlukan kerana proksi UMNO membekukan banyak wang parti. Maka adalah penasihat yang "bijak" menyuruh presiden parti masuk ke akaun peribadi - tanpa pengetahuan timbalan presiden parti!

Inilah hakikat yang kita tak dapat nafikan yang semua pemimpin UMNO gagal selesaikan termasuk Tun Mahathir sendiri. Walaupun Pak Lah adalah "Mr Clean" yang kononnya janji bawa perubahan kepada UMNO tapi ianya janji tinggal janji. Sampai bawah DS Najib seperti ulas beliau ianya menjadi lebih parah kerana kalau zaman Ku Li dan Tun M dulu ianya melibatkan delegasi Perhimpunan Agung UMNO tapi bila Tun Mahathir mendemokrasikan pemilihan parti UMNO kepada semua ahli parti yang jumlah jutaan itu, untuk menang lebih banyak wang dilaburkan oleh para calon - termasuklah Anwar Ibrahim. Dahulu zaman Tun M kita ada "developmental corruption" sekarang kita ada "degenerative corruption". Itulah konklusi Prof Gomez.

Politik wang juga tidak terkecuali dalam pembangkang kata Prof Gomez kerana pengamal asal dalam UMNO yang berhijrah ke Pakatan juga membawa budaya yang sama.

Prof Gomez jelaskan bagaimana beliau dengan Transparency International usulkan rang undang-undang dana politik tapi tiada satu parti pun terima usul tersebut untuk diperjuangkan di parlimen.

Hatta Tony Pua dari DAP pun kata mereka "belum bersedia". Kita tak hairan kerana kita tahu tauke Cina juga mendanai kedua-dua belah baik UMNO/BN dan Pakatan.

Inilah hakikat dan nasib negara kita. Mangsanya siapa? Generasi kita yang muda.

Sebab itu saya cadangkan semalam kita kena letak moratorium kepada demokrasi untuk satu penggal bagi membersihkan parti politik daripada barah politik wang. Lihat saja gelagat ahli parlimen kita hari ini. Dysfunctional!!

Devolusi kuasa kepada Majlis Raja-Raja. Tubuhkan National Consultative Council 2.0 untuk troubleshooting ekonomi. Saya usulkan Ku Li sebagai Interim Perdana Menteri dan Tan Sri Khalid Ibrahim jadi Menteri Kewangan.

Kita tiada masa nak melayan politicking murahan PAS vs AMANAH; perang warlord dalam UMNO, PKR.

Sekarang dunia sedang alami kegawatan (recession) dan negara sedang berdepan "TWIN DEFICITS" ditambah lagi dengan geopolitical escalation di Laut China Selatan!!!

Tiada negarawan yang memimpin kecuali politikus!!

Ini zalim kepada anak muda yang mewarisi legasi terkutuk ini!



Sila kongsi artikel ini...

Penghapusan Tol Hanya Langkah Populis Pakatan Harapan - Dr Mohd Zuhdi Marzuki

1:29 AM 0 Comments A+ a-



PENGHAPUSAN TOL HANYA LANGKAH POPULIS PAKATAN HARAPAN

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat hasrat Pakatan Harapan (PH) seperti yang diumumkan oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, mahu menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pertama Pulau Pinang sekiranya PH memerintah negara sebagai langkah populis yang mahu menjanjikan 'bulan bintang' kepada rakyat. Langkah itu bukan sahaja dilihat populis, tetapi tidak realistik, apabila sumber alternatif yang dicadangkan untuk membiayai penyelenggaraan lebuhraya itu datang dari cukai jalan.


Cadangan PH itu dilihat sebagai populis kerana kerajaan Pulau Pinang yang diisytiharkan baru-baru ini sebagai kerajaan PH, sehingga hari ini tidak mampu untuk menghapuskan tol atau mengurangkan kadar tol yang ada di negeri tersebut. Walaupun PH boleh memberi alasan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa terhadap konsesi lebuhraya, jika mereka benar-benar ingin meringankan beban rakyat Pulau Pinang banyak ikhtiar yang boleh diambil, sebagai contoh mengeluarkan sejumlah peruntukan tertentu dalam bajet tahunan untuk membantu rakyat Pulau Pinang yang terpaksa membayar tol setiap hari untuk pergi bekerja.

Cadangan supaya sumber alternatif untuk menyelenggara lebuhraya diambil dari cukai jalan bukan sahaja tidak realistik, tetapi juga tidak adil kepada rakyat khususnya golongan bawahan yang tidak atau jarang menggunakan lebuhraya. Ada tiga negeri di Malaysia iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai lebuhraya, tetapi mereka perlu membayar cukai jalan yang kemudiannya digunakan untuk menyelenggara lebuhraya. Dengan kos penyelenggaraan lebuhraya yang tinggi, sekiranya hasil daripada cukai jalan tidak mencukupi, adakah ini bermaksud kadar cukai jalan nanti perlu dinaikkan.

Selain daripada itu, lebuhraya-lebuhraya di Malaysia semakin kerap digunakan oleh warga asing yang membawa kenderaan peribadi mereka memasuki negara ini. Sekiranya langkah menghapuskan tol diambil oleh PH nanti, adakah ia bermaksud warga asing boleh menggunakan kemudahan kelas pertama negara ini dengan percuma, sedangkan rakyat bawahan yang tidak pernah menggunakan kemudahan ini terpaksa membiayai penyelenggaraannya melalui cukai jalan yang dikenakan ke atas mereka.

PPP melihat hasrat menghapuskan tol seperti ini bukan langkah yang terbaik, kerana ia bukan sahaja tidak adil kepada pembayar cukai jalan yang tidak menggunakannya malah akan menyebabkan pekerja-pekerja berkaitan lebuhraya boleh diberhentikan kerja secara beramai-ramai. Pendekatan PAS dalam isu kutipan tol ini bukan dibuat secara semborono, sebaliknya kita akan berunding dengan rakyat akar umbi melalui platform KONGRES RAKYAT agar penyelesaian menang-menang dapat dicapai. Diyakini KONGRES RAKYAT akan memperhalusi perkara ini dan akan mengeluarkan polisi alternatif berkaitan dengannya bila tiba masanya kelak.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

21 Oktober 2015
8 Muharram 1437


Sila kongsi artikel ini...

Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016

12:53 AM 0 Comments A+ a-



Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan pimpinan parti KEADILAN, DAP dan Amanah,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.


1. Izinkan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Belanjawan Negara Pakatan Harapan yang telah bertungkus-lumus merangka dan seterusnya menerbitkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016 ini. Kerjasama berterusan di antara pakar-pakar dalam beberapa bidang ekonomi daripada parti Keadilan, DAP dan Amanah ternyata telah berjaya memastikan penghasilan dokumen Belanjawan ini.


2. Saya amat berharap agar komitmen dan semangat kesatuan yang diamalkan oleh pasukan Belanjawan ini dapat terus dipupuk dan dicontohi di dalam segala kerjasama bersama kesemua parti-parti komponen dalam keluarga besar Pakatan Harapan. Kerjasama dan kesatuan yang erat ini akan memastikan kejayaan kita berdepan dengan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya mengukuhkan keyakinan rakyat akan kebolehan kita merangka dasar-dasar utama negara seperti Belanjawan Negara ini.


3. Terlebih dahulu kita harus sedar bahawa Maqasid atau tujuan Belanjawan adalah untuk merancang dan merangka kutipan Hasil Pendapatan Kerajaan dan Perbelanjaan Kerajaan untuk mencapai Pembangunan Sosio-Ekonomi yang mampan dan inklusif (sustainable and inclusive socio-economic development).


4. Ia mesti berpandukan kepentingan bersama memenuhi prinsip keadilan sosial (social justice) dan mengambil kira keutamaan (priority) dan penyesuaian (adjustment) sesuai dengan realiti ekonomi global semasa untuk:
terus membina keupayaan ekonomi negara untuk berdaya-saing (competitiveness capacity building) terus memperkukuhkan daya ketahanan ekonomi (economic resilience) untuk menghadapai cabaran ekonomi global yang tidak menentu mengurangkan jurang atau kesenjangan pendapatan dan kekayaan rakyat (reduce income and wealth inequality).

5. Selaras dengan itu, pelaksanaan segala perancangan pembangunan sosio-ekonomi mesti berpaksikan Tata Kelola Urus Tadbir Baik dengan Timbang Tara dengan penuh adil, bertindak professional dan amanah (Good Governance with Check and Balances based on fairness, professionalism and integrity)


6. Kita wajib melaksanakan reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh agar kita tidak kekal dengan ‘status quo’ yang terus memerangkap negara dalam ekonomi berpendapatan menengah sahaja. Satu pendekatan reformasi politik dan ekonomi baru dapat dilihat di dalam konsep Agenda Ekonomi Malaysia atau Malaysia Economic Agenda (MEA-2008).


7. Agenda Ekonomi Malaysia (MEA-Malaysia Economic Agenda) dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2008 sebagai kenyataan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi membangunkan negara secara mampan dan inklusif. Dasar-dasar ini telah mendahalui Model Ekonomi Baru (NEM-New Economic Model dan Economic Transformation Program - 2010) yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.


8. Malaysian Economic Agenda (MEA -2008) sudah pun mengenal pasti matlamat dan halatuju dalam membentuk negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini termasuklah menggariskan strategi utama serta mengenal pasti halangan-halangan struktural kepada pembangunan negara secara jelas dan jitu.


9. Pasca-1998 selepas krisis ekonomi Asia 1997, menyaksikan unjuran trajektori pertumbuhan KDNK 9.4% tersasar dan jatuh merudum ke paras unjuran kadar pertumbuhan purata 5.7% setahun sehingga sekarang. Satu anjakan regresif telah berlaku dan berterusan sehingga ke hari ini. Malah unjuran pertumbuhan KDNK ETP juga gagal mencapai kadar purata 6% setahun yang diperlukan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


10. Defisit Fiskal kita pula sudah berlanjutan 18 tahun semenjak 1998. Ini juga memperlihatkan hutang kerajaan menghampiri 54% KDNK. Namun, ini tidak termasuk ‘contingent liability’ yakni hutang yang dijamin kerajaan jika diambil kira meletakkan beban hutang melebihi 70% KDNK.


11. Pelaburan Asing atau FDI juga mendatar. Purata pelaburan sebagai peratusan KDNK (investment per GDP) sebanyak 42.32% pada 1994-1997 berbanding purata 25% sahaja dari 2010-2014. Ini perlu diubah dengan meningkatkan daya tarikan pelaburan luar negara oleh warga asing dan kemasukan kembali pelaburan dari luar negara (capital return) yang dimiliki rakyat Malaysia. Tanpa pertambahan pelaburan, potensi pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.


12. Justeru itu, sebagai permulaan analisa masa depan ekonomi negara, kita harus ‘muhasabah’ yakni menilai kembali dan belajar daripada sejarah mengenai kelemahan pengurusan sosio-ekonomi semenjak merdeka. Segala pencapaian ekonomi negara apabila diukur daripada kekayaan sumber asli dan sumber manusia adalah dibawah paras potensi yang mampu (underperforming economic potential).


13. Prestasi di bawah paras potensi boleh dinilai daripada ‘Jurang-KDNK’ (GDP-Gap) berbanding beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura seperti yang pernah dihuraikan mantan Ketua Pembangkang Saudara Anwar Ibrahim dalam Agenda Ekonomi Malaysia (Malaysia Economic Agenda) pada 2008.


14. Contoh jurang KDNK antara Malaysia dan Korea Selatan di mana pada tahun 1970 KDNK adalah hampir setaraf. Malah Malaysia dengan KDNK per kapita sebanyak USD 400 mengatasi Korea Selatan dengan USD270. Tetapi pada hari ini kita telah jauh ketinggalan apabila untuk 2014 Korea Selatan yang tiada sumber asli seperti petroleum mendahului Malaysia sebanyak USD26,205 berbanding USD10,060; iaitu melebihi 260 peratus atau 2.6 kali ganda. Bila dibandingkan dengan KDNK per kapita Singapura USD 56,319, ia melebihi kita sebanyak 500% atau 5 kali ganda.

15. Ini yang maksudkan oleh saya didalam Ucapan Perbahasan RMK-11 bahawa kita sudah mengalami ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’ (Malaysia GDP Potential Loss) sebanyak 500 peratus. Maka kita boleh andaikan bahawa, KDNK per kapita rakyat Malaysia sepatutnya adalah USD50,000 dan bukan USD10,060 sekarang.


16. Analisa pembangunan sosial pula menyaksikan kesenjangan pendapatan dan kekayaan masih melebar. Indeks atau Pekali GINI Pendapatan pada 0.401, GINI Kekayaan pada 0.518 dan GINI Aset Kewangan pada 0.90 menjadi pengukur bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan pembangunan negara lebih inklusif dan bukan eksklusif yang menguntungkan segelintir kecil rakyat sahaja.


17. Apabila 3.85 juta isi rumah hanya memperolehi pendapatan purata bawah RM4,000 sebulan dengan kadar hutang isi rumah negara mencapai 86% KDNK mencecah lebih RM900 billion dan peratusan gaji pekerja hanya 32% KDNK (berbanding 43% KDNK Korea Selatan dan 41% KDNK Singapura) adalah menjadi petanda pendekataan sedia ada atau ‘business as usual’ tidak boleh diteruskan.


18. Oleh demikian, usaha merangka belanjawan jelas menunjukkan bahawa cabaran besar adalah bukan untuk merangka dasar, strategi serta perancangan pembangunan sosio-ekonomi sebuah negara tetapi adalah dari faktor pendekatan pelaksanaan.


19. Cabaran dan kunci kejayaan terletak kepada pelaksanaan dasar serta strategi dan perancangan yang bergantung kepada dua (2) prinsip asas yang membezakan pendekatan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional iaitu: Pertama, perlu wujud tata kelola urus tadbir baik (Good Governance), ketelusan (Transparency), akauntabiliti (Accountability) dan kejujuran (Honesty). Kedua, perlu dipandu Prinsip Keadilan Sosial (Social Justice).


20. Tanpa wujudnya prinsip asas seperti Tata Kelola Urus Tadbir Baik, Ketelusan, Akauntabiliti dan Kejujuran; akhirnya negara ini berdepan dengan krisis seperti 1MDB dan ketirisan sumber kewangan negara yang melampau.

21. Tanpa Keadilan Sosial untuk mengatasi kesenjangan pendapatan dan kekayaan; kita akan terus menerima BR1M yang tidak mampu merapatkan kesenjangan pendapatan dan kekayaan majoriti tanpa penstrukturan ekonomi berkesan untuk meningkatkan pendapatan secara mampan.


22. Justeru, perbezaan pendekatan perancangan dan pelaksanaan (planning and implementation) di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ini menjadi faktor penentu utama mencapai status negara maju yang dinikmati semua dan bukan hanya segelintir rakyat.


23. Bilamana keadaan ekonomi negara dengan defisit fiskal saban tahun semenjak 1998 menuntut pengurusan ekonomi yang lebih baik. Pendekatan yang diambil Pakatan Harapan dalam merangka Belanjawan ini adalah untuk memastikan agar negara mempunyai ketahanan ekonomi (economic resilience) yang lebih baik dalam mengharungi rencam ekonomi dunia yang penuh ketakpastian. Keadaan ini ditambah lagi dengan norma baru penyusutan harga minyak mentah dunia yang bakal memberikan dampak negatif kepada pendapatan komoditi negara pada tahun 2016.


24. Kemelut politik semasa yang penuh dengan beberapa ‘mega-scandals’ juga menuntut penyelesaian segera untuk mengembalikan keyakinan para pelabur tempatan dan asing. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, nilai ringgit dan penarafan kedaulatan negara (sovereign rating) akan terus terjejas dan boleh mengheret negara ke jurang kemelesatan ekonomi.


25. Pada hemat saya, tidak wajar sekiranya rakyat terbanyak dipaksa untuk menanggung kesilapan dan kecuaian pihak kerajaan ini menerusi langkah-langkah seperti GST 6% dan kenaikan kadar tol. Sebaliknya, dalam kemurungan ekonomi dunia kini, ekonomi domestik harus dirancakkan untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.


26. Belanjawan yang memberikan tumpuan kepada pembinaan ketahanan ekonomi negara adalah bertepatan dengan objektif menyelamatkan Malaysia daripada terus terdedah kepada risiko kemelesetan ekonomi yang berkekalan. Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa langkah penyelesaian segera di dalam belanjawan ini.


27. Di antara langkah segera untuk memulihkan keyakinan pelabur adalah menyelesaikan skandal 1MDB dengan menutup syarikat ini dan mengheret individu-individu yang berkaitan ke muka pengadilan. Portfolio Menteri Kewangan juga tidak boleh terus dikuasai oleh individu yang juga Perdana Menteri. Kami juga menggesa agar perkhidmatan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara disambung untuk tempoh dua tahun lagi.


28. Pakatan Harapan juga menyarankan agar reformasi Institusi Perundangan, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah terus dilaksanakan untuk memastikan kebebasan institusi-institusi ini dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka dengan lebih berkesan. Ini akan memastikan segala ketirisan kewangan dan rasuah yang saban tahun dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara boleh diatasi dengan berkesan, seterusnya menjamin penjimatan kewangan negara yang boleh disalurkan kembali menerusi lebih banyak program pembangunan untuk rakyat.


29. Pakatan Harapan mencadangkan penghapusan GST dalam belanjawan alternatif ini untuk merangsang pengembangan ekonomi domestik. Walaupun pendapatan negara bakal terkesan dengan penghapusan GST, kami yakin dengan pendekatan perbelanjaan berhemah, dan penjimatan daripada ketirisan dan rasuah, akan membolehkan belanjawan kami mencatatkan defisit 2.42% pada 2016 berbanding defisit 3% unjuran pihak kerajaan.


30. Di samping itu, Pakatan Harapan juga mencadangkan beberapa langkah penstrukturan semula tahap cukai pendapatan untuk mengurangkan bebanan pembayar cukai kelas rendah dan menengah.


31. Pakatan Harapan menekankan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar Jadual 10 Bahagian 4 Perlembagaan Malaysia mengenai Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak, contohnya, pemberian khas setiap tahun yang berjumlah 2/5 daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah. Walaupun Jadual tersebut telah menetapkan kadar 2/5, atau 40%, sebagai jumlah dari hasil bersih kepada Sabah, ia tidak pernah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Justeru, Pakatan Harapan berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengimplementasikan Jadual 10 dan, secara tidak langsung, tidak berpegang teguh pada Perjanjian Malaysia 1963, yang jikalau ditepati, dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Sabah.


32.Keupayaan tenaga kerja tempatan, wanita dan penduduk luar bandar juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kesenjangan pendapatan yang semakin meruncing di antara kaum dan juga; di antara penduduk Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Dalam belanjawan ini, Pakatan Harapan mencadangkan agar sebahagian daripada 20% royalti minyak dan gas Sabah dan Sarawak diuruskan menerusi suatu endowment fund yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan pembangunan jangka pendek seperti akses kepada elektrik, air bersih dan internet, tetapi juga melibatkan diri dalam beberapa pelaburan strategik untuk keperluan dana jangka panjang.


33. Pakatan Harapan menyarankan agar Skim Subsidi Harga Beras (Rice Price Subsidy, RPS) dihapuskan dan Skim Subsidi Harga Padi (Paddy Price Subsidy, PPS) distruktur semula untuk menaikkan pendapatan para petani padi dan juga menggalakkan penyertaan lebih ramai gologan muda ke dalam industri penting ini. Langkah-langkah ini penting untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih berkesan kepada golongan sasar di seluruh negara dan bukan dikecapi oleh beberapa orang kroni politik sahaja.


34. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016. Terima kasih


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
21 Oktober 2016



Sila kongsi artikel ini...

Saya sungguh pelik dengan kenyataan Speaker tersebut - Anina Saadudin

12:51 AM 0 Comments A+ a-



Speaker Dewan Negara, Dato Pandikar Amin Mulia, hari ini meminta pembangkang mengemukakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Undi Tidak Percaya ke atas najib supaya dia boleh mendesak untuk usul tersebut didebatkan.

Saya sungguh pelik dengan kenyataan Speaker tersebut. Jika begitulah caranya, apa kata kerajaan buat pungutan suara awal sebelum pilihanraya. Jika didapati ramai yang tidak mahu menyokong BN maka jangan lah dibuat pilihanraya. Kita bertanding kalau kita menang sahaja.


Persoalannya, kenapa susah sangat nak terima usul tersebut. Bukankah jumlah kerusi BN sememangnya melebihi kerusi pembangkang. Bukan itu sahaja, Presiden PAS sendiri sudah mengumumkan sokongan parti tersebut terhadap DSN.

Jika itulah keadaannya maka sudah pastilah undi tersebut akan gagal.

Apabila Speaker bermati-matian mengelak dari menerima usul tersebut, ianya seolah-olah DSN dapat merasakan ramai Ahli Parlimen BN akan menyokong Undi Tidak Percaya ke atas dirinya. Bukan itu sahaja, DSN juga sebenarnya tidak percaya kepada Hj Hadi Awang.

Pendapat saya, untuk apa lagi DSN menjadi PM jika dia sendiri sudah tidak percaya kepada Ahli Parlimen BN sendiri.

Di manakah Pahlawan Bugis yang begitu berkuasa. Marilah berjuang. Angkat tinggi-tinggi panji-panji kepahlawanan. Hunuskan Sundang, senjata pahlawan Bugis. Buktikan bahawa Parlimen Malaysia mendokong pahlawan Bugis.

Saya menulis sambil berdiri hormat

-
Anina Saadudin


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.