SPRM dan polis digesa menjawab kenyataan SRC International - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:08 AM 0 Comments A+ a-



SPRM dan polis digesa menjawab kenyataan SRC International

SRC International Sdn Bhd akhirnya tampil membersihkan diri sendiri.


Namun, waktu syarikat itu tampil membela diri menimbulkan pelbagai soalan dan spekulasi, terutamanya apabila ia dibuat sehari selepas Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said memberitahu parliamen bahawa adalah tidak sesuai untuk Perdana Menteri Najib Razak menjawab soalan samada beliau menerima ‘derma’ daripada SRC International Sdn Bhd, satu bekas anak syarikat 1MDB kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes tersebut.

Lebih pelik, kenyataan SRC International semalam adalah berkait dengan satu kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan palsu dan gambar rajah dana didakwa disalurkan dari syarikat tersebut ke dalam akaun PM yang sudah dibangkit sejak 30 Julai yang lalu.

Selepas 2.5 bulan, SRC International tampil dengan berkata ia menjalankan siasatan dalaman dan percaya dakwaan itu adalah berdasarkan kepada dokumen palsu.

Kenyataan ini bernada pelik, kerana Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hanya menggunakan masa sehari (pada 31 Julai) sejurus kertas dakwaan itu diterbitkan oleh Sarawak Report untuk menafikan bahawa kertas dakwaan terhadap PM itu adalah palsu.

Yang lebih pelik ialah meskipun Peguam Negara berkata kertas dakwaan itu palsu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tetap melancarkan siasatan terhadap kebocoran maklumat kepada Sarawak Report selepas itu. Siasatan itu menyaksikan tujuh pegawai SPRM disoal siasat dan pejabat siasatan khas SPRM yang sedang menyiasat SRC International diserbu.

Ketika itu, SRC International langsung tidak bersuara. Malah pada 22 Ogos yang lalu, SPRM mengumumkan kegagalan mengesan tiga individu iaitu ho Low (Low Taek Jho) Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd) bagi tujuan siasatan terhadap dakwaan RM42juta yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Apakah dengan kenyataan SRC International bermakna Nik Faisal sudah bersedia kembali menghadapi siasatan SPRM? Apakah SPRM sudah berjaya menghubungi Nik Faisal memandang SRC International sendiri mengisytiharkan diri sendiri sudah bersih?

Bagaimana pula hasil siasatan polis terhadap kebocoran maklumat siasatan terhadap SRC International yang dilancarkan bulan Ogos yang lalu?

Bola kini di kaki SPRM dan polis untuk membalas kenyataan SRC International. Rakyat tidak harus terperangkap dengan tindakan-tindakan mengelirukan ini. Persoalan pokok hari ini ialah PM menerima ‘derma’ daripada siapa lagi ke dalam akaun peribadinya selain RM2.6 bilion yang pendermanya masih menjadi misteri.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.