Jangan Ulangi Kesilapan lalu - Tuan Ibrahim Tuan Man
Jangan ulangi kesilapan lalu
Kedatangan Barat ke Nusantara atas misi perdagangan berakhir dengan kejayaan mereka melaga-lagakan pemerintah di negara ini bagi memudahkan penjajahan mereka ke atas kedaulatan negara. Sistem pecah dan perintah "divide and rule" yang diamalkan oleh mereka ternyata membuahkan hasil yang sangat lumayan, bilamana orang Melayu khasnya raja-raja yang menjadi pemerintah pada masa itu berjaya dipecah-belahkan sehingga sebahagian mereka tanpa segan memohon bantuan Inggeris demi mempertahankan survival kuasa politik mereka.
Akibatnya negeri berada dalam era penjajahan ratusan tahun. Kemerdekaan 1957 hanya berjaya mengembalikan kuasa ke tangan rakyat negara ini, namun sebahagian sistem yang dipaksakan oleh penjajah terus di amalkan sehingga kini.
Kini kita sedang melihat bagaimana hancurnya negara umat islam khasnya Afghanistan, Iraq dan kini Syria dan Yaman.
Golongan yang berbangga memohon pertolongan Amerika dan sekutu Barat satu waktu dahulu, kini menderita di atas tindakan mereka. Kita tentu masih ingat bagaimana ribuan rakyat Iraq menyambut kedatangan tentera Amerika dengan kuntuman bunga dan bersorak kegembiraan bila melihat kedatangan Tentera Bersekutu bersama dengan infantri mereka.
Penjajahan Barat tidak pernah terhenti di dunia moden, ia bukan lagi berkisar pada ketenteraan tapi juga melalui perdagangan dan ekonomi.
Negara kini berada dalam situasi yang hampir sama. Isu TPPA bukan hanya sekadar perjanjian perdagangan tetapi ia adalah satu bentuk penguasaan dan blok pegangan yang akan bertukar kepada blok ketenteraan dan penjajahan baru.
Dalam persaingan untuk menguasai ekonomi dan pengaruh dunia, Amerika menyedari saingan kuasa baru China. Di sisi blok perdagangan, Amerika memerlukan tindakan segera.
Malaysia perlu melepaskan diri dari ikatan perjanjian TPPA yang kini sedang berusaha mengikat dengan pelbagai peraturan ke atas negara kita.
Di saat ini, semua parti politik mesti meletakkan kepentingan negara jauh lebih besar dari polemik kepartian dalam keadaan negara berhadapan dengan kegagalan mengurus pelbagai isu utama yang menimbulkan kemelut dalaman, sehingga meninggalkan negara jauh ketinggalan dalam persaingan global. Namun apa yang perlu disedari oleh semua ialah kemelut tersebut kini menuntut perubahan menyeluruh kepada kepimpinan baru yang lebih bertanggungjawab.
PAS menentang perjanjian TPPA dan mendesak kerajaan tidak menandatangani perjanjian tersebut. Kita perlu memelihara kedaulatan negara dan menentang sebarang campur tangan asing dalam meneruskan masa depan negara.
Di saat ini semua parti politik samada blok pembangkang atau kerajaan mesti sepakat dalam membuat keputusan besar bagi masa depan negara. Kesilapan lalu tidak sepatutnya diulang semula oleh kepimpinan masa kini. Jangan disebabkan skandal seseorang pemimpin, negara diperas ugut untuk bersetuju dengan TPPA.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...