Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia - Pemikir Muda SAMM

6:14 PM 0 Comments A+ a-



Pemikir Muda SAMM
Kenyataan Umum
21 Oktober 2015

Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia

Pemikir Muda SAMM ingin menyatakan sokongan dan solidariti kami kepada kempen Zaman Kegelapan Pendidikan Malaysia ‪#‎MansuhPBS‬yang dirancangkan untuk diadakan pada hari Khamis, 29 Oktober 2015. Pemikir Muda SAMM berpandangan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mendengar rintihan suara guru-guru bukannya berlagak seperti diktator. Ternyata sistem pendidikan kita berdepan dengan 1001 masalah ketika ini.

Pemikir Muda SAMM menyelar kenyataan Datin Nawal Salleh, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan yang menyalahkan guru-guru kononnya tidak memahami sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Hujah ini sebenarnya menyerlahkan kelemahan KPM sendiri untuk memberikan kefahaman kepada semua guru berkaitan konsep perlaksanaan PBS.

Guru-guru ketika ini sedang berdepan dengan bebanan tugas yang banyak tetapi pegawai-pegawai di KPM lebih senang untuk menyalahkan guru-guru di sekolah. KPM juga perlu memperbetulkan sistem elektronik untuk merekodkan aktiviti di sekolah untuk meringankan bebas tugas guru. Begitu juga dengan keadaan bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam kelas. Bagaimana guru-guru dapat memberikan penumpuan perhatian untuk penilaian pelajar secara individu seperti yang diperlukan di bawah sistem PBS?

Dalam perkembangan yang sama, Pemikir Muda SAMM juga tidak bersetuju dengan cadangan KPM untuk mengimport guru Bahasa Inggeris dari India. Ini kononnya guru Bahasa Inggeris tempatan mempunyai masalah kompetensi. Hakikat yang perlu KPM terima adalah bukan mengenai kompetensi guru-guru tetapi lambakan tugas sampingan lain yang menyebabkan guru-guru tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan untuk kelas masing-masing.

Jika “Core Business” guru-guru cuma mengajar dan mendidik, Pemikir Muda SAMM yakin keputusan pelajar akan semakin baik. Guru-guru terpaksa menghadiri mesyuarat yang banyak, mengisi pelbagai sistem elektronik yang berbeza-beza, menyelia aktiviti persatuan, sukan dan ko-kurikulum, dan banyak lagi sehinggakan kepada menghantar murid yang tertinggal bas pulang, bilakah masanya guru-guru dapat menyediakan modul pembelajaran yang baik untuk anak muridnya?

Tindakan KPM sekarang ini seolah-olah menjadikan guru-guru seperti robot yang tidak mempunyai suami, isteri dan anak-anak yang juga memerlukan perhatian mereka. Sistem pendidikan Malaysia hari ini seolah-olah membunuh guru-guru atau memberikan tekanan yang cukup dahsyat kepada psikologi guru-guru. KPM perlu menambah lebih banyak kakitangan sokongan di sekolah-sekolah untuk membantu guru-guru menjalankan kerja perkeranian atau memasukkan data.

Selain itu juga, banyak sekolah-sekolah tidak mempunyai kemudahan dan peralatan yang cukup. KPM gagal dalam memastikan kemudahan dan peralatan secukupnya dapat disediakan di setiap sekolah dalam negara. Masakan KPM merasakan guru-guru perlu membeli sendiri LCD Projektor sebagai alat bantuan mengajar? Malah lebih teruk lagi, ada sekolah yang tidak mempunyai bilik darjah yang mencukupi, bagaimana sekolah boleh mengadakan makmal Bahasa untuk mengukuhkan keupayaan dan kompetensi guru dan pelajar dalam Bahasa Inggeris?

KPM perlu berhenti mengamalkan sikap kuku besi. Dengarlah suara rintihan guru-guru. Memegang jawatan sebagai Pengarah-Pengarah Kementerian bukanlah bererti untuk menunjukkan kekuasaan tetapi seharusnya menjadi landasan membentuk kebertanggungjawapan membina aspek pendidikan negara yang lebih efektif, kondusif dan berdaya saing.

Ayuh, bangkitlah guru-guru

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda SAMM


Sila kongsi artikel ini...

Keputusan Mahkamah Serlah Bohongnya Dakyah Bahawa Hudud Bercanggah Perlembagaan - Amzad Hashim

5:04 PM 0 Comments A+ a-



KEPUTUSAN MAHKAMAH SERLAH BOHONGNYA DAKYAH BAHAWA HUDUD BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin dalam Kes parti Gerakan Mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan adalah sangat penting.

Mahkamah Persekutuan memutuskan menolak permohonan Parti Gerakan yang mendakwa Kanun Jenayah Syariah Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Ia hujah yang sama dijaja oleh DAP selama ini yang mendakwa Hudud bercanggah dengan perlembagaan Malaysia maka kerana itu DAP menentangnya dengan bersungguh sungguh.

Malangnya ada orang orang Islam yang menjadi penyokong kepada dakyah berkenaan.

Dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan kelmarin, Mahkamah telah memutuskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan hanyalah terpakai untuk orang orang Islam dan tidak dapat dijelaskan secara spesifik oleh pemohon (parti Gerakan) bagaimana ia didakwa menjejaskan orang bukan Islam.

Secara tersirat saya melihat kenyataan ini bermaksud urusan Hudud adalah urusan umat Islam yang tidak menjejaskan bukan Islam. Dato' Seri Ram Gopal yang mewakili plaintif tidak dapat menunjukkan bagaimana orang bukan Islam terlibat dalam kanun berkenaan.

Yang sebenarnya tindakan pihak berkenaan yang mengganggu urusan hudud inilah yang secara spesifiknya menjejaskan umat Islam kerana ia melanggar batas sempadan yang tidak sepatutnya diganggu oleh bukan Islam.

Hudud adalah sebahagian dari tuntutan/kewajipan umat Islam yang menjadi sebahagian dari agama Islam itu sendiri.

Menolak kewajiban hudud bererti menolak hukum Islam yang menjejaskan kedudukan iman dan Islam seorang yang beragama Islam.

Malaysia yang meletakkan agama Islam pada kedudukan agama rasmi selayaknya tidak dilihat menganggu amalan dan keimanan umat Islam terhadap hukum hukum Islam yang menjadi kewajipan setiap umat Islam.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini mempunyai implikasi yang maksudnya hampir serupa dengan keputusan Mahkamah Tinggi beberapa minggu lalu dalam kes beberapa orang Islam yang menyaman Presiden PAS kerana mengemukakan ke Parlimen Usul Persendirian (Private Bill) yang mencadangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah bagi memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah yang kedudukan bidang kuasanya lebih rendah berbanding mahkamah paling rendah dalam kehakiman konvensional yang ada di Malaysia.

Mahkamah Tinggi telah membuat kenyataan penting bahawa mahkamah tiada kuasa menghalang Presiden PAS dari mengusulkan private bill berkenaan di Parlimen.

Ini sebenarnya selari dengan kenyataan umum yang pernah dibuat oleh Ketua Hakim Negara bahawa Mahkamah hanyalah pelaksana kepada undang undang. Manakala undang undang pula digubal di Parlimen. Apa yang diputuskan di parlimen dan kemudian disempurnakan di Dewan Negara dan mendapat endorsement Yang Di Pertuan Agong akan menjadi undang undang.

Perlu diingat, Yang Di Pertuan Agong sendiri berfungsi sebagai Ketua Agama Islam. Baginda secara perlembagaannya dilihat menjaga dan melindungi agama Islam.

Dalam satu lagi penghakiman penting oleh Mahkamah Persekutuan beberapa minggu lalu dalam kes beberapa individu Islam yang mempertikai kuasa mahkamah syariah menghukum lelaki yang berpakaian wanita, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang sangat penting dengan menegaskan bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah untuk mengadili kes berkenaan.

Kesemua perkembangan yang berlaku dalam sebulan ini memberi mesej penting kepada umat Islam agar menolak sebarang dakyah yang cuba mempertikaikan hak umat Islam untuk memperjuangkan hukum hukum agamanya yang menjadi sebahagian dari keimanannya.

Rakyat negara ini boleh menerima undang undang yang diperkenalkan penjajah British yang begitu asing.

Anehnya masih ada yang sangsi dengan usaha memartabatkan undang undang yang bersumberkan agama rasmi negara ini iaitulah Islam yang jelas kedudukannya dalam perlembagaan Malaysia termasuk peranan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan Sultan Sultan di peringkat negeri negeri.

Apakah rakyat negara ini tidak tahu sejarah era kegemilangan Tanah Melayu dan rantau ini selama ratusan tahun adalah ketika ditadbir menggunakan hukum syariah dan bebas dari penjajahan yang mengimpot undang undang barat yang asing? Ketika itu kitalah pusat kuasa, pusat perdagangan dunia dan pusat kecemerlangan ilmu.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
21hb Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Saman kanun jenayah syariah : tahniah kepada kerajaan negerI kelantan

11:59 AM 0 Comments A+ a-



SAMAN KANUN JENAYAH SYARIAH : TAHNIAH KEPADA KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan di atas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang telah menolak permohonan tiga anggota Parti Gerakan untuk mencabar keperlembagaan undang-undang hudud. Ia sekaligus membuka ruang yang lebih selesa untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) (1993) Pindaan 2015 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada bulan Mac yang lepas.


Tahniah juga dirakamkan kepada seluruh barisan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah yang telah bertungkus lumus mempertahankan hak kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini. Ia adalah hadiah yang paling berharga buat kerajaan dan rakyat Kelantan sempena ulang tahun ke 25 pentabiran "Membangun Bersama Islam" hari ini.

DPPM menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tepat dengan semangat yang ingin dibawa oleh EKJS (II) yang hanya dikuatkuasakan ke atas masyarakat Islam sahaja. Justeru, masyarakat non Muslim tidak sewajarnya merasakan terjejas dengan undang-undang yang ingin dilaksanakan ini.

Hakikatnya, isu saman oleh anggota-anggota parti Gerakan ini membuktikan bahawa parti komponen Barisan Nasional itu adalah merupakan parti yang anti kepada undang-undang Islam. Ia sekaligus menunjukkan bagaimana Umno selaku parti tunjang di dalam Barisan Nasional gagal mempertahankan hak umat Islam untuk mengamalkan agamanya secara mutlak. Tanpa ada sebarang kenyataan bahkan terus bersekongkol dengan parti Gerakan di dalam Barisan Nasional membuktikan bahawa Umno hanyalah bermain wayang di dalam mempertahankan Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

DPPM juga memohon supaya seluruh lapisan masyarakat mendoakan kejayaan permohonan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat lagi untuk membatalkan saman pemula empat individu yang mencabar usul bagi pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen. Keputusan berhubung permohonan ini dijadualkan akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November ini.

Sekian.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Bertarikh : 7 Muharram 1437H bersamaan 20 Oktober 2015M


Sila kongsi artikel ini...

Mohon Dedahkan Surat Penjelasan Presiden PAS dan Catatan Setiausaha Dr Yusuf Al Qaradhawi.

11:55 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PEMUDA AMANAH JASIN, MELAKA

21 OKTOBER 2015


Pengharaman Menubuhkan Parti Islam Baru Di Malaysia oleh Dr Yusuf Al Qaradhawi: Mohon Dedahkan Surat Penjelasan Presiden PAS dan Catatan Setiausaha Dr Yusuf Al Qaradhawi.

1) Pemuda Amanah Jasin telah pun menonton video viral Presiden PAS yang menceritakan tentang haramnya hukum menubuhkan parti Islam baru di Malaysia yang telah disandarkan kepada Dr Yusuf Al Qaradhawi.

2) Kami melihat kenyataan Presiden PAS itu seperti bercanggah dengan pendapat Dr Yusuf Al Qardhawi sebelum ini kerana terdapat banyak kitab-kitab beliau yang menceritakan tentang keharusan hukum menubuhkan parti Islam yang lain. Malah Dr Yusuf Al Qardhawi juga menganggap kepelbagaian parti ini seperti kepelbagaian mazhab dalam fiqh.

3) Tulisan dan hujah-hujah ini boleh dirujuk dalam kitab beliau seperti kitab Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Daulah serta artikel yang lain.

4) Kami berpendapat, kenyataan oleh Presiden PAS itu boleh mendatangkan persepsi yang buruk kepada rakyat Malaysia terhadap Parti Amanah Negara kerana ianya melibatkan soal halal-haram dan sebagaimana yang kita sedia maklum, perkara haram ini hukumnya berdosa dan boleh mendatangkan implikasi yang besar kepada amalan & juga pegangan umat Islam.

5) Justeru itu, kami memohon kepada Presiden PAS supaya menunjukkan surat penjelasan yang telah dihantar kepada Dr Yusuf Al Qaradhawi itu supaya umat Islam di negara ini amnya dan para ilmuan Islam khususnya dapat menilai setiap penjelasan yang telah diberikan itu.

6) Kami juga memohon agar catatan Setiausaha Dr Yusuf Al Qardhawi juga dapat ditunjukkan bersama supaya pihak kami dapat mengetahui dalil & sebab haramnya penubuhan parti Islam AMANAH.

7) Pemuda Amanah Jasin dengan ini mengambil pendirian untuk tidak membalas sebarang komen mengenai kenyataan Presiden PAS itu sehingga beliau mendedahkan dokumen-dokumen tersebut.

Sekian, terima kasih.

Adeysham Nor
Ketua,
Pemuda AMANAH Jasin, Melaka.


Sila kongsi artikel ini...

AMANAH Di Persada Antarabangsa - Salahuddin Ayub

10:34 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

AMANAH DI PERSADA ANTARABANGSA

www.amanahnegara.org


1. Misi antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan tokoh-tokoh gerakan Islam adalah bertujuan untuk memposisi peranannya sebagai sebuah parti Islam di peringkat antarabangsa.

AMANAH mahu bersama-sama dengan semua badan dan gerakan antarabangsa memperjuangkan isu keadilan dan kemanusiaan serta menentang kezaliman yang dihadapi masyarakat dunia dewasa ini.

2. AMANAH telah memberikan komitmen untuk sentiasa menyumbang dan berperanan di dalam mana-mana persidangan antarabangsa sama ada dalam isu kemanusiaan, keadilan mahupun alam sekitar.

3. Kewajaran kewujudan AMANAH akan dibuktikan melalui peranannya dan kegigihannya dalam memperjuangkan Islam sebagai paksi keadilan dan kerahmatan. Tidak timbul sama sekali isu pengiktirafan oleh mana-mana golongan atau individu.

4. Oleh yang demikian AMANAH akan terus melebarkan pengaruhnya di peringkat nasional dan antarabangsa, bersesuaian dengan pendekatan Islam yang mempamerkan wajah rahmat untuk semua.

"Dan katakan (kepada mereka), berkerjalah! Akan Allah lihat kerja kamu dan juga RasulNya dan orang-orang beriman..." (At-Taubah 105).

"Harapan Baru"

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden AMANAH
21 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.