Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia - Pemikir Muda SAMM
Pemikir Muda SAMM
Kenyataan Umum
21 Oktober 2015
Bangkitlah 450,000 Guru-Guru Malaysia
Pemikir Muda SAMM ingin menyatakan sokongan dan solidariti kami kepada kempen Zaman Kegelapan Pendidikan Malaysia #MansuhPBSyang dirancangkan untuk diadakan pada hari Khamis, 29 Oktober 2015. Pemikir Muda SAMM berpandangan Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mendengar rintihan suara guru-guru bukannya berlagak seperti diktator. Ternyata sistem pendidikan kita berdepan dengan 1001 masalah ketika ini.
Pemikir Muda SAMM menyelar kenyataan Datin Nawal Salleh, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan yang menyalahkan guru-guru kononnya tidak memahami sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Hujah ini sebenarnya menyerlahkan kelemahan KPM sendiri untuk memberikan kefahaman kepada semua guru berkaitan konsep perlaksanaan PBS.
Guru-guru ketika ini sedang berdepan dengan bebanan tugas yang banyak tetapi pegawai-pegawai di KPM lebih senang untuk menyalahkan guru-guru di sekolah. KPM juga perlu memperbetulkan sistem elektronik untuk merekodkan aktiviti di sekolah untuk meringankan bebas tugas guru. Begitu juga dengan keadaan bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam kelas. Bagaimana guru-guru dapat memberikan penumpuan perhatian untuk penilaian pelajar secara individu seperti yang diperlukan di bawah sistem PBS?
Dalam perkembangan yang sama, Pemikir Muda SAMM juga tidak bersetuju dengan cadangan KPM untuk mengimport guru Bahasa Inggeris dari India. Ini kononnya guru Bahasa Inggeris tempatan mempunyai masalah kompetensi. Hakikat yang perlu KPM terima adalah bukan mengenai kompetensi guru-guru tetapi lambakan tugas sampingan lain yang menyebabkan guru-guru tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan untuk kelas masing-masing.
Jika “Core Business” guru-guru cuma mengajar dan mendidik, Pemikir Muda SAMM yakin keputusan pelajar akan semakin baik. Guru-guru terpaksa menghadiri mesyuarat yang banyak, mengisi pelbagai sistem elektronik yang berbeza-beza, menyelia aktiviti persatuan, sukan dan ko-kurikulum, dan banyak lagi sehinggakan kepada menghantar murid yang tertinggal bas pulang, bilakah masanya guru-guru dapat menyediakan modul pembelajaran yang baik untuk anak muridnya?
Tindakan KPM sekarang ini seolah-olah menjadikan guru-guru seperti robot yang tidak mempunyai suami, isteri dan anak-anak yang juga memerlukan perhatian mereka. Sistem pendidikan Malaysia hari ini seolah-olah membunuh guru-guru atau memberikan tekanan yang cukup dahsyat kepada psikologi guru-guru. KPM perlu menambah lebih banyak kakitangan sokongan di sekolah-sekolah untuk membantu guru-guru menjalankan kerja perkeranian atau memasukkan data.
Selain itu juga, banyak sekolah-sekolah tidak mempunyai kemudahan dan peralatan yang cukup. KPM gagal dalam memastikan kemudahan dan peralatan secukupnya dapat disediakan di setiap sekolah dalam negara. Masakan KPM merasakan guru-guru perlu membeli sendiri LCD Projektor sebagai alat bantuan mengajar? Malah lebih teruk lagi, ada sekolah yang tidak mempunyai bilik darjah yang mencukupi, bagaimana sekolah boleh mengadakan makmal Bahasa untuk mengukuhkan keupayaan dan kompetensi guru dan pelajar dalam Bahasa Inggeris?
KPM perlu berhenti mengamalkan sikap kuku besi. Dengarlah suara rintihan guru-guru. Memegang jawatan sebagai Pengarah-Pengarah Kementerian bukanlah bererti untuk menunjukkan kekuasaan tetapi seharusnya menjadi landasan membentuk kebertanggungjawapan membina aspek pendidikan negara yang lebih efektif, kondusif dan berdaya saing.
Ayuh, bangkitlah guru-guru
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda SAMM
Sila kongsi artikel ini...