Keputusan Mahkamah Serlah Bohongnya Dakyah Bahawa Hudud Bercanggah Perlembagaan - Amzad Hashim

5:04 PM 0 Comments A+ a-



KEPUTUSAN MAHKAMAH SERLAH BOHONGNYA DAKYAH BAHAWA HUDUD BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin dalam Kes parti Gerakan Mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan adalah sangat penting.

Mahkamah Persekutuan memutuskan menolak permohonan Parti Gerakan yang mendakwa Kanun Jenayah Syariah Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Ia hujah yang sama dijaja oleh DAP selama ini yang mendakwa Hudud bercanggah dengan perlembagaan Malaysia maka kerana itu DAP menentangnya dengan bersungguh sungguh.

Malangnya ada orang orang Islam yang menjadi penyokong kepada dakyah berkenaan.

Dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan kelmarin, Mahkamah telah memutuskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan hanyalah terpakai untuk orang orang Islam dan tidak dapat dijelaskan secara spesifik oleh pemohon (parti Gerakan) bagaimana ia didakwa menjejaskan orang bukan Islam.

Secara tersirat saya melihat kenyataan ini bermaksud urusan Hudud adalah urusan umat Islam yang tidak menjejaskan bukan Islam. Dato' Seri Ram Gopal yang mewakili plaintif tidak dapat menunjukkan bagaimana orang bukan Islam terlibat dalam kanun berkenaan.

Yang sebenarnya tindakan pihak berkenaan yang mengganggu urusan hudud inilah yang secara spesifiknya menjejaskan umat Islam kerana ia melanggar batas sempadan yang tidak sepatutnya diganggu oleh bukan Islam.

Hudud adalah sebahagian dari tuntutan/kewajipan umat Islam yang menjadi sebahagian dari agama Islam itu sendiri.

Menolak kewajiban hudud bererti menolak hukum Islam yang menjejaskan kedudukan iman dan Islam seorang yang beragama Islam.

Malaysia yang meletakkan agama Islam pada kedudukan agama rasmi selayaknya tidak dilihat menganggu amalan dan keimanan umat Islam terhadap hukum hukum Islam yang menjadi kewajipan setiap umat Islam.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini mempunyai implikasi yang maksudnya hampir serupa dengan keputusan Mahkamah Tinggi beberapa minggu lalu dalam kes beberapa orang Islam yang menyaman Presiden PAS kerana mengemukakan ke Parlimen Usul Persendirian (Private Bill) yang mencadangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah bagi memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah yang kedudukan bidang kuasanya lebih rendah berbanding mahkamah paling rendah dalam kehakiman konvensional yang ada di Malaysia.

Mahkamah Tinggi telah membuat kenyataan penting bahawa mahkamah tiada kuasa menghalang Presiden PAS dari mengusulkan private bill berkenaan di Parlimen.

Ini sebenarnya selari dengan kenyataan umum yang pernah dibuat oleh Ketua Hakim Negara bahawa Mahkamah hanyalah pelaksana kepada undang undang. Manakala undang undang pula digubal di Parlimen. Apa yang diputuskan di parlimen dan kemudian disempurnakan di Dewan Negara dan mendapat endorsement Yang Di Pertuan Agong akan menjadi undang undang.

Perlu diingat, Yang Di Pertuan Agong sendiri berfungsi sebagai Ketua Agama Islam. Baginda secara perlembagaannya dilihat menjaga dan melindungi agama Islam.

Dalam satu lagi penghakiman penting oleh Mahkamah Persekutuan beberapa minggu lalu dalam kes beberapa individu Islam yang mempertikai kuasa mahkamah syariah menghukum lelaki yang berpakaian wanita, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang sangat penting dengan menegaskan bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah untuk mengadili kes berkenaan.

Kesemua perkembangan yang berlaku dalam sebulan ini memberi mesej penting kepada umat Islam agar menolak sebarang dakyah yang cuba mempertikaikan hak umat Islam untuk memperjuangkan hukum hukum agamanya yang menjadi sebahagian dari keimanannya.

Rakyat negara ini boleh menerima undang undang yang diperkenalkan penjajah British yang begitu asing.

Anehnya masih ada yang sangsi dengan usaha memartabatkan undang undang yang bersumberkan agama rasmi negara ini iaitulah Islam yang jelas kedudukannya dalam perlembagaan Malaysia termasuk peranan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan Sultan Sultan di peringkat negeri negeri.

Apakah rakyat negara ini tidak tahu sejarah era kegemilangan Tanah Melayu dan rantau ini selama ratusan tahun adalah ketika ditadbir menggunakan hukum syariah dan bebas dari penjajahan yang mengimpot undang undang barat yang asing? Ketika itu kitalah pusat kuasa, pusat perdagangan dunia dan pusat kecemerlangan ilmu.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
21hb Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.