Rafizi: Konspirasi Jahat Menutup Skandal 1MDB Melalui Laporan Polis dan Fitnah

11:57 PM 0 Comments A+ a-



KONSPIRASI JAHAT MENUTUP SKANDAL 1MDB MELALUI LAPORAN POLIS DAN FITNAH

Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN yang mendedahkan mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh individu bernama Ramesh Rao Krishnan Naidu yang mengaitkan saya, YB Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), YB See Chee How (ADUN Batu Lintang), YB Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Bandar Kuching) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan satu fitnah.

Laporan polis yang kini disebarkan oleh laman-laman yang menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak menuduh kononnya seorang yang bernama Lester Melanyi yang mendakwa pernah bekerja untuk Sarawak Report membuat pengakuan bahawa kami (nama-nama yang disebut di atas) adalah dalang yang memberi arahan kepada Sarawak Report untuk memfitnah Dato’ Seri Najib Tun Razak bersabit 1MDB.

Sejak semalam juga, satu video pengakuan oleh individu yang bernama Lester Melanyi ini telah disebarkan di internet.

Saya dengan tegas ingin menyatakan perkara-perkara berikut:

1. Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengan beliau. Kali pertama saya tahu kewujudan beliau adalah apabila Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan mengenai laporan polis seperti di atas

2. Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan oleh Sarawak Report

3. Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Clare Rewscastle Brown, pengendali Sarawak Report mengenai 1MDB. Sepanjang kerjaya saya, saya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes iaitu skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan seorang bernama Michael Chia dan pimpinan kanan Umno Sabah

Kesemua perkara yang saya bawa mengenai 1MDB adalah berdasarkan laporan akhbar dalam dan luar negara dan semua soalan-soalan saya di Parlimen. Kebiasaannya apabila Menteri Kewangan tidak lagi ada ruang untuk berdolak dalih, maka Menteri Kewangan terpaksa memberi fakta mengenai 1MDB yang kemudiannya saya semak dan padankan dengan laporan-laporan lain. Setelah bertanyakan ratusan soalan sejak beberapa tahun lalu, jawapan-jawapan dari Menteri Kewangan sendiri yang memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB ini.

Oleh yang demikian, laporan polis oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu ini adalah satu konspirasi jahat untuk cuba menutup isu 1MDB dengan memberi gambaran kononnya ia direka oleh pimpinan pembangkang sedangkan sebahagian besar pendedahan saya dan YB Tony Pua adalah berpunca dari jawapan Menteri Kewangan sendiri di Parlimen.

Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup. Apakah selepas ini Datuk Rahman Dahlan akan membuat satu lagi pendedahan kononnya saya juga mempunyai kuasa mengarahkan Asian Wall Street Journal (AWSJ) untuk menulis mengenai 1MDB?

Saya menyeru rakyat meneliti kredibiliti nama-nama yang terbabit di dalam perkara ini:

1. Datuk Abdul Rahman Dahlan dikenali sebagai penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sebagai seorang ahli politik junior yang kalah di bahagian sendiri (beliau tewas bertanding Ketua Bahagian Umno Kota Belud), beliau telah mendapat manfaat besar dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sehingga dilantik menjadi Menteri Persekutuan. Sudah tentu beliau mempunyai kepentingan (vested interest) untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan apa cara sekalipun kerana jika ada Perdana Menteri baru, besar kemungkinan beliau digugurkan dari kabinet dan kerjaya politik beliau akan tamat.

2. Ramesh Rao Krishnan Naidu yang membuat laporan ini adalah seorang pesuruh bawahan yang selalu digunakan untuk menghentam pimpinan pembangkang selain membuat laporan-laporan polis tidak berasas. Malah, beliau dilihat pernah melobi untuk dilantik menjadi senator bagi menggantikan P. Waythamorthy yang meletakkan jawatan seperti yang ditulis di laman-laman maya http://tenteramaya.blogspot.com/…/ramesh-rao-krishnan-naidu…

3. Lester Melanyi adalah seorang bekas wartawan yang pernah menimbulkan kontroversi dan mengundang kemarahan umat Islam dalam tahun 2006 dahulu apabila sebagai editor, akhbarnya Sarawak Tribune menyiarkan kartun Rasulullah sebagai pengganas, seperti dilaporkan http://www.thesundaily.my/node/175163

Hakikatnya ketiga-tiga orang ini yang membuat dakwaan ini adalah individu-individu yang berkepentingan. Ramesh Rao dan Lester Melanyi pula mempunyai latar belakang yang meragukan dan bukanlah sumber maklumat yang boleh dipercayai.

Oleh itu, saya sekali lagi menafikan dakwaan yang dibuat dan telah mengarahkan peguam-peguam saya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman terhadap Ramesh Rao dan individu-individu lain dalam masa yang terdekat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


Sila kongsi artikel ini...

Perutusan 'Eidul-Fitri Al-Mubarak - Gerakan Harapan Baru

11:03 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN 'EIDUL-FITRI AL-MUBARAK 1436H
Pengerusi
Gerakan Harapan Baru

www.harapanbaru.net


BismilLahirRahmanirRahim

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar . WalilLah hil Hamd.

'Eidul-fitri adalah hari kemenangan kepada seluruh Ummat Islam, di seluruh dunia. Hari kemenangan para mustadafin ke atas kelompok muktakbirin.

Marilah kita menyambutnya dengan penuh kesederhanaan. Sekaligus mengingati penderitaan insan-insan lain.

Islam adalah agama Rahmatan Lil 'Alamin, iaitu rahmat untuk sekalian alam. Justeru itu, ianya mesti dibumikan oleh setiap penganutnya bukan sekadar disyarahkan di mimbar-mimbar masjid dan kuliah-kuliah agama tetapi ianya mesti dihayati dalam setiap denyut nadi masyarakat keseluruhannya, sama ada yang Islam dan Bukan Islam.

Sejak sekian lama, sama ada kita sedar ataupun tidak, Islam sebagai agama Rahmat untuk sekalian alam telah dicemari akibat terpisahnya Aqidah dan Akhlak di kalangan Pemimpin dan Umat Islam sendiri. Maka sempena menyambut 'Eidul Fitri yang penuh barokah ini semoga sebuah Harapan Baru dapat dijelmakan agar Umat Islam dapat bergerak seiring aqidah dan akhlaknya dalam segenap corak kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Allah swt mengharam Umat Islam memutuskan silaturahim, maka dengan rendah hati saya mewakili seluruh Keluarga Besar Harapan Baru menyusun jari sepuluh memohon kemaafan di atas segala salah silap sepanjang persahabatan dan saya juga secara peribadi memaafkan anda semua.

'Eidul Fitri juga mencetuskan semangat politik yang baru. Menilai setiap isu yang berlaku daripada sudut gambaran besar (big picture) dan keluar dari sektarian sempit yang merugikan ummah.

Sekali lagi, saya dan keluarga serta seluruh penggerak Harapan Baru mengucapkan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri kepada seluruh rakyat Malaysia, dan selamat bercuti panjang kepada rakan-rakan yang Bukan Islam. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita semua.

Akhirnya, dengan semangat bulan Ramadhan itu hakikatnya adalah madrasah taqwa, maka marilah kita melangkah dengan semangat baru untuk sama-sama membina Kepimpinan Muttaqin selari dengan perjuangan Harapan Baru kita semua.

Selamat Hari Raya,
Mohon maaf zahir dan batin.

Harapan Baru!

MOHAMAD BIN SABU
01 Syawal 1436H
17 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Wan Ahmad Fayhsal: Tabayyun, Bukan Tolak Mentah

8:11 PM 0 Comments A+ a-



TABAYYUN, BUKAN TOLAK MENTAH

Dalam surah Al-Hujurat kita maklum dengan ayat "in ja'akum fasiqun bi-naba'in fa-tabayyanu" (jika datang orang-orang fasiq yang membawa berita, maka hendaklah kamu wahai orang beriman bertabayyun ke atas berita yang dibawa mereka).

Dalam bahasa Arab ini dipanggil al-Jumlah al-Shartiyyah (conditional sentence). Syarat إن (Jika) diikuti dengan pelengkap ف (maka).

Allah SWT tidak mengatakan jangan sesekali tidak percaya atau terus menolak mentah.

Allah SWT menyuruh kita siasat dengan banding bedakan (bayan) yang mana palsu yang mana betul.

Allah SWT tidak melarang kita mengambil berita dan maklumat yang benar hatta daripada orang fasiq atau musuh kita KECUALI selepas TABAYYUN.

Kemungkinan orang fasiq itu ada bercakap benar atau separa benar kerana maklumat tidak lengkap. Atau juga ada yang berniat jahat dengan melakukan "disinformation" macam penipuan SD oleh CAGM atau seperti Menteri Kewangan II yang cuba mengaburi rakyat seolah-olah selepas keluar audit tiada timbul soal duit $700 juta USD yang disalurkan keluar daripada 1MDB.

Pokoknya bak kata Arthur Conan Doyle pengarang saster penyiasat "Sherlock Holmes":

"Once you eliminate the impossible, whatever remains, no matter how improbable, must be the truth."

Aqal sihat saya berdasarkan kajian rinci yang telah saya lakukan setelah tabayyun cenderung percaya media fasiq Sarawak Report berbanding media fasiq TV 3 kerana banyak sungguh "qarinah" (circumstantial evidences) yang "suggesting" kepada unsur jenayah dalam 1MDB oleh Sarawak Report, The Edge hatta Tony Pua dan Rafizi Ramli.

Saya yakin.

Wallahua'lam.



Sila kongsi artikel ini...

GHP Perak: Perutusan Hari Raya Aidil Fitri

7:52 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Ketua Pemuda Gerakan Harapan Baru Negeri Perak

Salam Aidilfitri: Eratkan Hubungan, Suburkan Semangat Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri Minal Aidin Wal Faidzin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Ibadah puasa merupakan satu bentuk tamrin dalam mentarbiyyah rohani dan juga menguji fizikal umat Islam. Moga Ramadhan yang telah dilalui akan menjadikan kita sebagai individu yang berkualiti dan berakhlak mulia.

Tamrin Ramadhan selama sebulan yang telah dilalui dengan penuh kesabaran dan kehambaan, dengan bermatlamat hanya satu iaitu mencari keredhaan Allah SWT ini diharap dapat menambah baik diri kita menjadi lebih bertakwa daripada sebelum ini. Sebagaimana firmanNYA yang bermaksud:

"Sesungguhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa kepada Allah"

Perginya Ramadhan telah digantikan dengan Syawal sebagai tanda kemenangan kepada umat islam yang berjaya menghidupkan Ramadhan yang mulia.

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan ruang untuk kita sama-sama menyambut Aidilfitri yang mulia ini.

Saya mengajak seluruh umat Islam agar menjadikan hari yang mulia ini untuk kita bermaaf-mafaan antara satu sama lain dengan ikatan kasih sayang serta keikhlasan.

Setiap manusia mempunyai kesilapan dan kekhilafannya tersendiri namun adalah lebih baik jika kita dapat menjernikan segala kekeruhan dan menutup segala ruang permusuhan.

Saya juga berpesan kepada semua agar dapat meneruskan sifat berlapang dada diantara satu sama lain, hormati segala pendirian masing-masing agar semangat ukhwah persaudaraan sentiasa terjalin.

Benarlah firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:
"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara…"

Kedatangan Syawal ini telah membuka satu lembaran baru kepada rakyat Malaysia apabila tertubuhnya satu entiti dan wadah yang kami namakan sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatannya HARAPAN BARU.

HARAPAN BARU akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baru yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut. Ia akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang Inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat. Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya "Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kami yakin, penubuhan wadah baru ini sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dalam usaha memberi satu inspirasi baru dalam mengorak langkah mengambil alih pemerintahan daripada Umno-BN yang telah berakar sekian lama.

Di kesempatan yang ada ini, saya dan barisan Sekretariat Pemuda Harapan Baru Negeri Perak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua khususnya rakyat Perak, maaf zahir dan batin. Sambutlah Aidil Fitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dalam lingkungan syariah tanpa melanggari batasan agama, saling bermaafan dan ziarah menziarahi bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati antara satu sama lain. Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan saya doakan agar anda selamat sampai ke kampung halaman yang dirindui.

Mari bersama kita membina harapan baru Malaysia! Maaf Zahir dan Batin. ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD


Sila kongsi artikel ini...

Khairy Jamaludin: Kenyataan media berkenaan dengan isu Standard Chartered KL Marathon

5:32 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan media berkenaan dengan isu Standard Chartered KL Marathon

Terima kasih di atas segala pandangan yang disampaikan melalui Twitter, Facebook dan Emel berkenaan penukaran tarikh Standard Chartered KL Marathon 2015. Saya ingin menjelaskan beberapa perkara mengenai isu ini.


Hari Sukan Negara bukan hanya tentang jumlah peserta, bukan hanya tentang KPI, jauh lagi digunakan untuk Kementerian Belia dan Sukan campur tangan dalam acara-acara sukan. Ia adalah hari di mana rakyat Malaysia sama-sama turun bersukan tanpa mengenal bangsa, agama, umur, pendapatan, mahupun lokasi.

Sukan mampu menyatupadukan kita semua. Bila anda berlari, berbasikal, bermain bola sepak mahupun badminton, latar belakang demografi dan garis pemisah kita ketepikan. Baik Melayu, Cina, India, baik beragama Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu, baik yang kaya atau yang miskin, yang tinggal di bandar atau di kampung, kita sama-sama turun bersukan dengan satu objektif iaitu untuk melakukan yang terbaik bagi diri kita – tak kira lah dengan menjulang piala, meraih pingat penamat mahupun mengatasi rekod peribadi. Perpaduan terjalin secara semulajadi.

Maka dengan itu, terilhamlah gerakan Fit Malaysia 10 bulan yang lalu. Puluhan ribu rakyat Malaysia membanjiri setiap ibukota yang dilawati gerakan Fit Malaysia. Ada yang memang giat bersukan tetapi ada juga yang jarang bersukan secara kerap. Ada yang dibesarkan dalam suasana yang tidak mengenal jurang perkauman tetapi ada juga yang jarang-jarang berinteraksi dengan kaum yang lain. Semuanya turun bersama ke lokasi yang sama untuk bersukan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.

Dan Hari Sukan Negara adalah kemuncak kepada gerakan Fit Malaysia ini. Satu Sabtu setiap tahun di mana semua rakyat di seluruh pelusuk negara dapat beramai-beramai turun untuk bersukan. Anda boleh sertai puluhan aktiviti larian dan berbasikal yang dianjurkan, anda boleh bermain bolasepak dan badminton bersama rakan taulan dan anda juga boleh melakukan senaman ringan bersama ibubapa, pasangan dan anak-anak kecil.

Itulah satu-satunya agenda di sebalik penukaran tarikh Standard Chartered KL Marathon. Hari Sukan Negara, seperti Hari Guru dan Hari Kanser Sedunia, bukanlah sebuah agenda politik saya. Penukaran tarikh tidak dibuat semata-mata untuk merampas SCKLM kerana banyak lagi acara larian bakal dianjurkan pada hari tersebut. Ia tidak dibuat semata-mata untuk meramaikan Hari Sukan Negara kerana saya yakin rakyat Malaysia akan tetap ramai-ramai turun bersukan, sepertimana ketika program-program FitMalaysia dianjurkan.

Agendanya satu - supaya puluhan ribu pelari SCKLM dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain pada Hari Sukan Negara. Ia adalah keputusan bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan, Standard Chartered, Dirigo Events dan DBKL. Terima kasih kepada semua penganjur kejohanan dan rakan kongsi Hari Sukan Negara yang meletakkan agenda nasional di atas kepentingan promosi dan publisiti untuk sama-sama menjayakan 10 Oktober ini.

Setelah meneliti sendiri komen-komen saudara saudari dan berbincang dengan penganjur dan pihak-pihak yang terlibat, saya dan pemegang-pemegang taruh telah membuat keputusan untuk mengekalkan tarikh Standard Chartered KL Marathon pada tarikh asal iaitu hari Ahad, 4 Oktober 2015.

Bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan, Standard Chartered, Dirigo Events dan DBKL, saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Terima kasih tidak terhingga kepada peserta-peserta KL Marathon yang memberikan maklumbalas dan mengambil berat tentang isu ini. Kesungguhan anda untuk memastikan kejayaan SCKLM wajar menjadi inspirasi kepada saya dan rakyat Malaysia yang lain ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Khairy Jamaluddin


Sila kongsi artikel ini...

PAS: Kenali Jama'ah Muslimin Dan Kewajiban Baiah Terhadapnya

3:49 PM 0 Comments A+ a-



KENALI JAMA'AH MUSLIMIN DAN KEWAJIPAN BAIAH TERHADAPNYA

Oleh: Mohd Asri Daud
Bendahari DUPP

Terdapat banyak hadis Nabi yang membicarakan tentang Jama'ah Muslimin ini seumpama hadis Huzaifah Ibnu Al-Yaman yang panjang terdapat sabdaan Nabi menegaskan:
....تلزم جماعة المسلمين وإمامهم
"Hendaklah kamu bersama dalam Jama'ah Muslimin dan ketuanya" (Riwayat Bukhari Muslim)

Dalam hadis lain:

من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الإسلام عن عنقه
"Barangsiapa yang memisahkan diri daripada Jama'ah walaupun sejengkal, maka bererti dia telah melepaskan ikatan Islam daripada tengkuknya." (Riwayat Abu Daud)

Kata Imam Syathibi dalam kitabnya Al-I'thishom, kalimah Jama'ah dalam hadis ini membawa maksud:

-Kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam
-Jama'ah Para Ulama mujtahidin
-Para Sahabat Nabi
-Sebuah organisasi umat Islam yang dipimpin oleh seorang Amir

Setelah itu, Imam Syathibi membuat kesimpulan bahawa Jama'ah Muslimin ini pada hakikatnya merujuk kepada sebuah organisasi yang dipimpin oeh seorang Amir yang menjalankan dasar Al-Quran dan Al-Sunnah manakala organisasi selain itu tidak dikira sebagai Jama'ah Muslimin.

Jama'ah Muslimin terdahulu yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W dan pengikutnya adalah dikalangan Sahabat merupakan sebuah Jamaah yang hanya beriman kepada Allah, berakidahkan Islam sebagai agama dan cara hidup, mempertahankan Rasulullah dan dakwah Islam dan berbaiah untuk berjihad mempertahankan agama sehingga tertegak. Inilah kesempurnaan Jama'ah Muslimin suatu ketika dahulu. Justeru, Jama'ah Muslimin mengikut kehendak hadis ialah seperti berikut:

-Jama'ah yang diasaskan berdasar tuntutan Syahadah dan menegakkan panji Islam.
- Jama'ah yang terdiri daripada kalangan umat Islam yang teguh berpegang kepada syariat Allah dan saling tolong-menolong antara ahli Jama'ah
- Jama'ah yang menjayakan agenda Islami bagi memberi kemuliaan kepada umat Islam
-Jama'ah yang tetap istiqamah dalam menegakkan perjuangan Islam dan mengeluarkan manusia daripada perhambaan terhadap thaghut
- Jama'ah yang berjuang tanpa sempadan bahkan perjuangannya adalah syumul meliputi seluruh ummah

Berdasarkan ciri-ciri Jama'ah Muslimin tersebut, jelas bahawa Jama'ah Muslimin bukan sahaja hanya tertumpu kepada Jama'ah Rasulullah S.A.W bahkan ia terpakai kepada Jama'ah Muslimin yang diasaskan pada zaman ini. Mengikut Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya Min Ajli Khuthwah ilal Amam 'Ala Thariq Al-Jihad Al-Mubarak menegaskan bahawa kenyataan Rasulullah pada kalimah 'Dakhanun' adalah merujuk kepada fahaman sesat dan menyeleweng dizaman kita pada hari ini.

Justeru, wajib umat Islam menggabungkan diri dalam Jama'ah Muslimin yang diketuai oleh pemimpin yang beriman. Sayugianya, umat Islam hanya perlu diwakili oleh sebuah Jama'ah Muslimin sahaja bagi mengukuhkan ikatan dan menguatkan pertahanan. Pada zaman kita ini telah berlaku 'Ghiyab Fikratil Jama'ah' iaitu hilangnya pemikiran untuk menyatukan umat Islam dalam satu Jama'ah demi membangunkan kembali khilafah Islamiyah. Apa yang telah diusahakan oleh Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna itu adalah langkah kearah kesatuan yang diimpikan ini.

Manakala baiah kepada Jama'ah Muslimin ini adalah wajib dizaman berlakunya 'Dakhanun' bagi mengembalikan kesejagatan ummah.Syeikh Fathi Yakan memberi penegasan bahawa baiah kepada Jama'ah pada hari ini adalah wajib bagi mendisiplinkan anggota Jama'ah dalam satu kekuatan. Baiah bermaksud janji setia untuk memberi ketaatan seumpama pemberi baiah berjanji dengan ketuanya untuk menerima pandangan dan arahan sama ada ketika senang atau susah (Ibnu Khaldun:Al-Mukadimah)

Baiah juga bermaksud memberi janji setia untuk dengar dan taat kepada ketua dalam keadaan selesa atau hadapi masalah, ketika susah atau senang dan tidak akan canggah arahan ketua serta menyerahkan apa jua perkara berlaku kepada kebijaksanaannya. (Dr Muhammad Abdul Qader Abu Faris: Al-Nizhom Al-Siyaasi Fil Islam)

Jadi, baiah ini tidak hanya berkait dengan sebuah kerajaan Islam sahaja akan tetapi ianya adalah berkait juga dengan Jama'ah Islam yang diasaskan bagi menegakkan ketuanan Islam diatas muka bumi dengan syarat Jama'ah ini ialah Jama'ah yang berobjektifkan membangun khilafah yang telah dimusnahkan. Baiah yang diberikan oleh anggota kepada ketua atau presiden, pada hakikatnya bukanlah baiah kepada ketua, ianya adalah baiah kepada amal Islami dan atas dasar laksana suruhan Islam.

Oleh yang demikian, baiah yang diberikan tersebut adalah kepada Allah. Maka, pelanggaran baiah adalah haram dan berdosa. Sekiranya dalam sighah baiah dilafazkan sumpah dengan nama Allah serta disandarkan kepada beberapa perkara yang disepakati oleh pembaiah dan pemberi baiah, maka perkara tersebut adalah terpakai. Kenyataan ini boleh dirujuk dalam kitab Al-Baiah Fi Al-Nizham Al-Siyaasi Al-Islami Wa Tatbiiqaatuha Fil Hayah Al-Siyasiyah Al-Muasirah karya Ahmad Shiddiq Abdul Rahman.

Sedikit huraian terhadap perkembangan berkaitan Jama'ah Muslimin yang diperbincangkan pada hari ini, penulis melihat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah Jama'ah yang menepati ciri-ciri Jama'ah Muslimin. Dasar yang terkandung dalam perlembagaan PAS adalah jelas dan menjunjung syariat. Maka, baiah dengan sighah yang telah ditentukan sama ada ianya baiah khas untuk memikul jawatan sebagai pemimpin kepada rakyat atau ianya baiah am dalam menganggotai Jama'ah sebagai jentera yang menggerakkan Jama'ah tersebut adalah syarie dan bukan ijtihad semata-mata. Segala pelanggaran baiah ini sudah tentu akan mengakibatkan kesan hukum yang jelas, maka hati-hatilah dalam beriltizam dengan Jama'ah Islam ini dan jangan sesuka hati memilih Jama'ah yang ragu-ragu dibangunkan atas dasar tidak puas hati.

والله يهدي من يشاء إلی صراط مستقيم


Sila kongsi artikel ini...

Response Kepada Tulisan YB Ahli Parlimen Sepang Berkaitan GHB.

3:41 AM 0 Comments A+ a-



RESPONSE KEPADA TULISAN YB AHLI PARLIMEN SEPANG BERKAITAN GHB.

PAS Sepang memandang serius terhadap perkembangan muttakkhir yang berlaku di dalam PAS. Kami amat mendokong kebebasan dalam menyatakan pendapat dan komentar. Tetapi komentar dan tulisan berbentuk memburuk dan menegakkan pendapat sendiri yang mesti diikuti adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan. Lebih-lebih lagi seorang yang masih mengaku ahli PAS, yang pernah sebaris dengan pimpinan utama sebelum Muktamar Kali Ke 61.

Tindakan setelah tidak terpilih sebagai pimpinan untuk sesi baru, kami PAS Sepang juga terasa terperanjat terhadap keputusan pemilihan tersebut. Dalam waktu yang sama perasaan kagum berada dalam diri kami kerana para perwakilan seluruh negara sebenarnya lebih bijak dalam menentukan pimpinan yang mereka mahu. Bagi PAS Sepang terpilih atau tersingkir dalam pemilihan PAS bukan soalnya, kerana kami sebagai orang kerdil di bawah akan sedaya mungkin melaksanakan amanah dalam ruang lingkup dan kawalan kami.

Sesungguhnya keputusan pemilihan muktamar sudah ditentukan. Apapun alasan untuk menafikan keputusan itu adalah sikap ego diri yang sentiasa memandang rendah kebolehan oran lain. Soal perancangan, memang bagi mereka yang ingin berkhidmat dan melakukan pembaikan dalam jamaah perancangan adalah kewajipan untuk mencapai cita-cita. Sama juga mereka yang merancang untuk menguasai kepimpinan tertinggi dan bercita-cita menidakkan kepimpinan ulamak, pastinya teknik perancangannya lebih licik sehingga meratibkan gelaran UG, jumud, mundur dsbnya.

Ketika ini adalah lebih wajar untuk semua pihak dalam kepimpinan dan mantan pemimpin bermuhasabah diri masing-masing. Ahli PAS yang hebat, sebenarnya mereka yang melaksanakan kerja-kerja di grass root walaupun mereka bergelar pimpinan. Mana mungkin nama hebat pemimpin PAS hanya hebat di pentas dan kelompok kepimpinan tanpa punyai cawangan ataupun kawasan? Jangan menidakkan sokongan dan pengorbanan ahli-ahli PAS Sepang ketika PRU13 lalu.

Ada yang mengatakankan bahawa GHB diwujudkan untuk menentang UMNO/BN, tetapi sedarkah mereka mewujudkan atau menyokong GHB juga telah merosakkan ukhuwah dan kesatuan gerakan dalam PAS?. Jika nak lawan UMNO/BN, PAS juga konsisten menentang kezaliman UMNO/BN malah apapun nama parti yang melakukan penyelewengan dan kezaliman. Apakah kewajaran wujudnya GHB, kalau tidak kerana jawatan dan kedudukan yang sekaligus usaha memecahkan PAS dan beri nafas serta talian hayat kepada UMNO/BN?

Sedarkah YB Ahli Parlimen Sepang bahawa keberadaan YB di Sepang adalah atas tolak ansur PAS Sepang pada PRU13 lepas dalam soal meletakkan calon. PAS Sepang sentiasa akur kehendak dan arahan kepimpinan PAS Pusat walaupun pada ketika itu ramai pemimpin PAS Sepang rasa sedikit kecewa. Kami terima keputusan dan bergerak maju melaksanakan amanah untuk mencipta sejarah kemenangan PAS Sepang. Soal kedudukan kami ketepikan demi untuk maruah PAS dan kepimpinan parti ketika itu. Alhamdulillah, PAS berjaya letakkan title YB bagi kerusi Ahli Parlimen Sepang.

PAS Sepang ingin bertanya kepada YB Ahli Parlimen Sepang, berapa kali hadir bersama dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dan Pas Kawasan Sepang?. Berapa banyak duit yang dikorbankan ketika kempen PRU13 lalu? Siapa yang mengurus dan merancang jentera kawasan PRU13 dan urusan kelengkapan pejabat? Kalau tidak semua oleh ahli-ahli PAS Sepang.

Oleh itu PAS Sepang, mohon agar YB Ahli Parlimen Sepang kembali kepada usaha perkukuhkan jamaah. Jangan disebabkan ego diri, mulut kata sayangkan PAS, sanggup mewujudkan atau menyokong penubuhan gerakan baru yang mengakibatkan PAS berpecah. Alangkah baiknya, walaupun tidak lagi duduk sebagai pemimpin PAS, tawarkan diri untuk berkhidmat sebagai agen memperkukuhkan jamaah. Kami lebih yakin YB akan lebih dihormati.

Tetapi sekiranya YB Ahli Parlimen Sepang masih lagi menongkah arus kepimpinan semasa PAS dan tidak selesa berada sebagai ahli PAS adalah lebih wajar untuk undur diri segera dari berada dalam jamaah ini dan dengan hormatnya dipohon meletakkan jawatan sebagai YB Ahli Parlimen Sepang.

Walau apapun, PAS Sepang akan tetap berdiri teguh bersama PAS dan kepimpinan parti yang telah dimuktamadkan dalam Muktamar Kali Ke 61 untuk sesi 2015-2017. Semoga Allah membantu seluruh barisan kepimpinan PAS mengemudi bahtera perjuangan ini dengan penuh keredhaanNya, Insya Allah.

Istiqamah Hingga Kemenangan.


YB. IR. MOHD HASLIN HASSAN
YDP PAS Kawasan Sepang
28 Ramadhan 1436H/15 Julai 2015M


Sila kongsi artikel ini...

Lapan Perkara Mengenai Gerakan Harapan Baru

12:55 AM 0 Comments A+ a-



LAPAN PERKARA MENGENAI GERAKAN HARAPAN BARU

1. Harapan Baru lahir dari desakan kehendak rakyat yang resah dengan kemelut serta kepincangan negara khasnya NGO Islam serta anak-anak muda dan pimpinan mahasiswa agar politik Islam terus diperkukuhkan bagi memegang amanah membuat perubahan dalam ruang lingkup Perlembagaan Malaysia dan sistem demokrasi yang diamalkan.

2. Harapan Baru disertai aktivis pelbagai latar belakang, ras dan agama dari kalangan aktivis, profesional dan agamawan dengan membuka ruang dan peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan – selagi mana kesemuanya berpayung kepada nilai teras Harapan Baru.


3. Harapan Baru memelihara huquq al-insan (hak asasi manusia) berteraskan kemuliaan (karamah) yang diiktiraf AlLah, sekali gus menyatukan warga besar rakyat dalam anjuran "ukhuwwah insaniyyah" (persaudaraan umat) serentak menolak pelbagai amalan perkauman dan rasisme.

4. Harapan Baru berusaha menterjemahkan Islam sebagai rahmat buat seluruh alam dengan meletakkan agenda peduli rakyat sebagai tunggak utama aktivisme serta merangkumi semua aspek kehidupan nasional dan kenegaraan.

5. Harapan Baru komited meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditunjukkan almarhum tuan guru Yusuf Rawa, almarhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menerokai ruang politik Islam yang menyeluruh, progresif dan inklusif.

6. Menjelang PRU14, Harapan Baru meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

7. Pendekatan dan tindak balas Harapan Baru bersifat tidak jumud (dinamis) selari dengan realiti semasa dan setempat serta sederhana (wasatiyyah) namun tetap Tegas dalam berpegang kepada prinsip.

8. Komited dengan politik baru, Harapan Baru berpaksi kepada politik yang berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Sekretariat Gerakan Harapan Baru
15 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Salam Eidulfitri 1436 H : DACS Selangor

12:42 AM 0 Comments A+ a-



Salam Eidulfitri 1436 H : DACS Selangor

DACS Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri, Taqabbalallahu minna wa minkum kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia amnya sempena sambutan Hari Raya Eidulfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Diharap dengan berlalunya madrasah tarbiah bergelar Ramadhan berjaya meletakkan kita dalam golongan yang menang menentang hawa nafsu dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah Taala.

DACS Selangor juga ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf lahir dan batin seandainya ada terkasar bahasa dan tersalah bicara. Di hari yang mulia ini, pihak DACS Selangor menyeru agar semangat ukhwah dan persaudaraan bukan sahaja dikekalkan tetapi dieratkan lagi dengan budaya kunjung mengunjungi dan ziarah mahabbah sesama kita. Marilah dalam bulan mulia ini, kita bermaaf-maafan dan mengamalkan budaya toleransi dalam perhubungan. Buat rakan-rakan bukan Islam, pihak DACS Selangor mengajak kalian agar bersama menyemai dan mengukuhkan perpaduan dengan berkunjung dan beramah mesra ke rumah sahabat kalian yang beragama Islam.


Islam adalah agama rahmat dan belas ihsan. Pihak DACS Selangor juga mengucapkan selamat pulang kepada para pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing. Kepulangan anda dinanti kaum keluarga, bukan untuk ditangisi. Amalkanlah budaya berhati-hati dan toleransi sesama pemandu di lebuh raya. Jadikanlah keselamatan diri dan keluarga di lebuh raya sebagai perkara utama sewaktu memandu atau menunggang.

Sekali lagi pihak DACS Selangor menyeru agar semangat kesederhanaan diamalkan sepanjang musim perayaan ini. Jangan dilupakan saudara seakidah kita di bumi yang tertindas seperti Palestin, Mesir, Syria dan Myanmar. Janganlah kita mengamalkan apa jua bentuk pembaziran di bulan Syawal kerana kita telah dididik dengan rapi oleh madrasah tarbiah Ramadhan.

Pisang emas bersama nira,
Pohonnya dekat tumbuhan berduri,
Bulan Syawal disambut gembira,
Kekalkan kesyukuran di dalam diri.

Bulan Ramadhan sudah berlalu,
Hiba dan sedih melanda hati,
Semaikan taqwa dalam diri selalu,
Moga bahagia bertemu Allah nanti.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil Hamd!

MUHAMMAD FADZLI B. ABU BAKAR

Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.

Dewan Pemuda PAS Selangor.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.