Khairy Jamaludin: Kenyataan media berkenaan dengan isu Standard Chartered KL Marathon
Kenyataan media berkenaan dengan isu Standard Chartered KL Marathon
Terima kasih di atas segala pandangan yang disampaikan melalui Twitter, Facebook dan Emel berkenaan penukaran tarikh Standard Chartered KL Marathon 2015. Saya ingin menjelaskan beberapa perkara mengenai isu ini.
Hari Sukan Negara bukan hanya tentang jumlah peserta, bukan hanya tentang KPI, jauh lagi digunakan untuk Kementerian Belia dan Sukan campur tangan dalam acara-acara sukan. Ia adalah hari di mana rakyat Malaysia sama-sama turun bersukan tanpa mengenal bangsa, agama, umur, pendapatan, mahupun lokasi.
Sukan mampu menyatupadukan kita semua. Bila anda berlari, berbasikal, bermain bola sepak mahupun badminton, latar belakang demografi dan garis pemisah kita ketepikan. Baik Melayu, Cina, India, baik beragama Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu, baik yang kaya atau yang miskin, yang tinggal di bandar atau di kampung, kita sama-sama turun bersukan dengan satu objektif iaitu untuk melakukan yang terbaik bagi diri kita – tak kira lah dengan menjulang piala, meraih pingat penamat mahupun mengatasi rekod peribadi. Perpaduan terjalin secara semulajadi.
Maka dengan itu, terilhamlah gerakan Fit Malaysia 10 bulan yang lalu. Puluhan ribu rakyat Malaysia membanjiri setiap ibukota yang dilawati gerakan Fit Malaysia. Ada yang memang giat bersukan tetapi ada juga yang jarang bersukan secara kerap. Ada yang dibesarkan dalam suasana yang tidak mengenal jurang perkauman tetapi ada juga yang jarang-jarang berinteraksi dengan kaum yang lain. Semuanya turun bersama ke lokasi yang sama untuk bersukan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.
Dan Hari Sukan Negara adalah kemuncak kepada gerakan Fit Malaysia ini. Satu Sabtu setiap tahun di mana semua rakyat di seluruh pelusuk negara dapat beramai-beramai turun untuk bersukan. Anda boleh sertai puluhan aktiviti larian dan berbasikal yang dianjurkan, anda boleh bermain bolasepak dan badminton bersama rakan taulan dan anda juga boleh melakukan senaman ringan bersama ibubapa, pasangan dan anak-anak kecil.
Itulah satu-satunya agenda di sebalik penukaran tarikh Standard Chartered KL Marathon. Hari Sukan Negara, seperti Hari Guru dan Hari Kanser Sedunia, bukanlah sebuah agenda politik saya. Penukaran tarikh tidak dibuat semata-mata untuk merampas SCKLM kerana banyak lagi acara larian bakal dianjurkan pada hari tersebut. Ia tidak dibuat semata-mata untuk meramaikan Hari Sukan Negara kerana saya yakin rakyat Malaysia akan tetap ramai-ramai turun bersukan, sepertimana ketika program-program FitMalaysia dianjurkan.
Agendanya satu - supaya puluhan ribu pelari SCKLM dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain pada Hari Sukan Negara. Ia adalah keputusan bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan, Standard Chartered, Dirigo Events dan DBKL. Terima kasih kepada semua penganjur kejohanan dan rakan kongsi Hari Sukan Negara yang meletakkan agenda nasional di atas kepentingan promosi dan publisiti untuk sama-sama menjayakan 10 Oktober ini.
Setelah meneliti sendiri komen-komen saudara saudari dan berbincang dengan penganjur dan pihak-pihak yang terlibat, saya dan pemegang-pemegang taruh telah membuat keputusan untuk mengekalkan tarikh Standard Chartered KL Marathon pada tarikh asal iaitu hari Ahad, 4 Oktober 2015.
Bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan, Standard Chartered, Dirigo Events dan DBKL, saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Terima kasih tidak terhingga kepada peserta-peserta KL Marathon yang memberikan maklumbalas dan mengambil berat tentang isu ini. Kesungguhan anda untuk memastikan kejayaan SCKLM wajar menjadi inspirasi kepada saya dan rakyat Malaysia yang lain ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.
Khairy Jamaluddin
Sila kongsi artikel ini...